• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2010
    S M T W T F S
    « Jun   Aug »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031

Perkahwinan

Salam Ukhuwah…

Kebanyakan masyarakat Melayu kita masih tebal mengamalkan adat didalam melaksanakan majlis perkahwinan. Kadang-kadang boleh merimaskan generasi baru yang adakalanya lebih suka kepada majlis agak moden, mahupun yang lebih berjiwa islamik hanya mahukan majlis yang serba ringkas.

Saya mahu menulis sedikit tentang perjalanan majlis perkahwinan adinda saya baru-baru ini. Ada juga adat Melayu yang kami sertakan, tetapi mungkin boleh dikatakan sebagai adat yang telah diubahcaranya mengikut kesesuaian adab Islam.

Umumnya, tidak jauh bezanya adat Melayu dengan adab yang dianjurkan oleh Islam. Masyarakat Melayu yang sebenarnya masih lagi dilitupi adab sopan, masih lagi beralas budi bicaranya, ada seni dalam kaedah akhlaknya, maka setiap tingkah cara itu sememangnya cantik teratur dan lembut terancang perjalanannya.

Saya percaya bahawa masyarakat Melayu kita hari ini makin memahami bagaimana cara terbaik untuk melaksanakan majlis perkahwinan, yang lebih menggambarkan kesederhanaan dan lebih kelihatan islamik.

Perkahwinan sebenarnya adalah fitrah kepada setiap manusia.

Jarang sudah kita mendengar istilah ‘nikah gantung’ – semata-mata kerana belum upaya mengadakan kenduri, begitu juga dengan fahaman ‘langkah bendul’ – pengantin perempuan merupakan adik kepada kakaknya yang belum berkahwin, dan yang paling tragis ada juga masyarakat kita dulu-dulu membaca ‘jampi serapah’ – semata-mata percaya bahawa jampi tersebut mampu melindungi majlis perkahwinan yang diadakan itu daripada sebarang bentuk gangguan jahat makhluk halus.

Takdir

Ditakdirkan Allah, ‘perkenalan’ pertama adinda saya dengan suaminya berlaku di rumah saya tanpa dirancang. Jua tanpa dirancang, saya menjadi ‘orang tua’ pada hari tersebut, dengan kata lain, ‘mewakili’ ayahbonda untuk melihat bakal menantu. Dapatlah saya pengalaman menjadi ‘matchmaker’ tak bertauliah pada hari tersebut!

Seingatan saya, kami menerima tamu pada hari itu, rasanya lebih kurang setahun yang lalu.  Sahabat kepada suami saya, datang mereka sekeluarga untuk bertanya khabar. Sambil menyantuni, sememangnya datang mereka berhajat.

Sebelum ini pernah suami suarakan mengenai sahabatnya yang sangat berminat untuk menyunting adinda menjadi menantu mereka. Kerana soal ‘menjodohkan’ memang bukan kepakaran, maka saya hanya kembalikan persoalan itu kepada empunya diri.

Begitulah selalunya, jika ada yang datang bertanya, maka saya kembalikan kepada empunya diri, dia yang mahu memakainya untuk seluruh kehidupan, maka biarkan dia bebas membuat keputusan, jangan sesekali memaksa. Personaliti saya, tidak suka dipaksa dan sesekali tidak akan memaksa, hidup biar bebas untuk membuat keputusan sewajarnya.

Pasangan suami isteri ini masih muda, mereka juga tiada berpengalaman dalam kaedah menyunting bunga di taman, sementelah si teruna adalah si sulong dalam keluarga, samalah seperti saya yang tidak pernah sekalipun menjadi matchmaker.

Maka merancanglah saya sesuatu…

Sangat kebetulan pada hari tersebut adinda melepak-lepak di rumah saya. Sebenarnya bukan senang untuk menyuruh si dara keluar berjumpa tetamu kiranya dia tahu yang datang bertandang itu berhajat mahu ‘melihatnya’, maka terpaksalah saya menipu sunat. Saya hanya menyuruhnya keluar bersalaman dengan tetamu perempuan, lebih selamat rasanya begitu, dan kiranya idea itu menjadi.

Itulah secantik idea yang saya ada. Tidak memaksa, malah kiranya saya sudah mendidik adinda saya bagaimana meraikan tetamu yang datang bertandang.

Kerana rumah saya mempunyai ruang yang berbeza untuk mengasingkan tetamu lelaki dan perempuan, peranan seterusnya adalah untuk memberi peluang si teruna melihat si dara.

Cinta

Majlis perkahwinan adinda tempohari memberikan saya sedikit sebanyak pengalaman berguna. Saya yakin tautan cinta mereka dijalinkan setelah dimatchkan oleh kami ini, namun saya juga yakin bahawa mereka telah menjaga sebaiknya hubungan persahabatan, jalinan pertunangan, sehinggalah mereka melangkah masuk ke gerbang perkahwinan. Cita-cita mereka adalah untuk melakar mekar rasa cinta yang membara selepas berkahwin, maka tiada yang buruk dilakukan sehingga pertalian ini benar-benar halal.

Majlis akad nikah dilaksanakan di masjid ayahanda saya, dinikahkan sendiri oleh ayahanda. Pengantin perempuan menunggu saja di rumah. Begitulah kami adik-beradik perempuan selama ini, tidak akan sama-sama turun ke masjid untuk majlis akad nikah, kerana kami sudah bercantik-cantik menunggu suami datang…Bercantik-cantik bukan untuk tatapan orang luar, tetapi hanya untuk suami dan mahram sahaja!

Jangan kerana pengantin perempuan beria-ia mahu turut serta mendengar khutbah nikah yang hukumnya harus sahaja, sehinggakan jatuh pula kepada hukum haram, yakni berdosa, kerana telah menunjukkan kecantikannya (tabarruj - bersolek) kepada umum, lebih-lebih lagi di tempat yang paling mulia, yakni masjid.

Pelamin

Tidak sesuai di sebut pelamin, tetapi kami hanya menyediakan tempat yang selesa untuk pengantin duduk bersila/ bersimpuh bersama dalam upacara yang disebut sebagai ‘upacara membatalkan air sembahyang’. Sangat bersesuaian istilah itu kerana usai diakad nikahkan, pengantin bersama-sama menunaikan solat sunat nikah di bilik pengantin perempuan.

Saya turut terkenangkan majlis perkahwinan saya dulu, kerana di bilik yang sama jugalah saya dirai sebagai pengantin.

Tempat yang disediakan atas permintaan saya kepada bonda. Rimas bonda atas permintaan saya. Takut nanti apa orang kata! Saya yakinkan dia bahawa ianya akan menjadi serba ringkas pada hari tersebut, jangan terlalu pedulikan ‘apa orang kata’, ia hanya satu sudut untuk pengantin bergambar.

Bonda tetap melahirkan kegusarannya takut-takut majlis ini dikatakan berlebih-lebihan. Saya cuba mendamaikan hatinya dengan meyakinkan bahawa majlis ini ada sedikit sebanyak sumbangan daripada kami adik-beradik yang berkemampuan, sebagai hadiah tidak langsung kepada adinda bongsu ini. Jangan terlalu kisahkan apa orang kata. Sedikit berlebihan – jika dilihat begitu – hanyalah sebagai tanda kasih sayang kami dalam meraikan pengantin baru.

Akhirnya bonda akur pada permintaan saya, yang sentiasa ingin lakukan yang terbaik pada hari yang teristimewa.

Kami tidak mampu menutup mulut ramai orang jika ada yang membawa cerita yang bukan-bukan. Kami hanya mampu berharap bahawa apa yang telah dilakukan sekadar kemampuan kami, insyaAllah dalam keadaan serba sederhana. Rasanya kami masih bersederhana dalam setiap aspek kehidupan, insyaAllah sentiasa mengharapkan redha tuhan dalam apa jua tindakan yang dilakukan.

Saya berbincang dengan desingner, fahamkan kepadanya bahawa dia perlu merealitikan sebuah tempat yang simple, hanya untuk pengantin duduk bersama dan bergambar. Saya mahu gembirakan adinda, juga untuk meraikan kedatangan ahli keluarga baru kami. Kalau ada mulut yang mahu mengata juga, jangan tuju kepada ayahbonda, kerana ia adalah perancangan saya.

Hangat

Tiada iringan kompang menyambut kehadiran pengantin lelaki, yang ada hanyalah sambutan hangat daripada ahli keluarga lelaki kami untuk mengiringi pengantin berjumpa pengantin perempuan.

Seperti biasa pengantin akan menjadi tumpuan ramai, sesi bergambar hanya diadakan di bilik pengantin sahaja dengan kehadiran semua kaum wanita. Majlis kelihatan tenang-tenang sahaja, semoga Tok Guru telah mampu membawa kefahaman yang baik kepada tetamu yang bertandang bahawa inilah sebaik-baiknya majlis perkahwinan diadakan. Tiada percampuran di antara lelaki dengan perempuan.

Tentu sekali tiada majlis persandingan.

Kerana tiada majlis persandingan, maka tiada jualah menu sampingan menepung tawar, merenjis air mawar, menabur beras, membaling bunga, makan beradat, menabur duit syiling, dan apa jua yang sewaktu dengannya.

Islam tidak menggalakkan adat bersanding yang tentunya ia dicedok dari ajaran agama Hindu, walaupun kini masyarakat Melayu telah banyak melakukan pengubahsuaian didalam adat tersebut. Majlis persandingan hanya akan mengakibatkan pembaziran yang berleluasa. Membazir harta adalah haram hukumnya.

Tiada makan beradat, pengantin hanya makan bersama ahli keluarga di meja makan di ruang makan rumah ayahbonda. Itupun usai solat Asar, setelah tetamu mula berkurangan. Tiadalah nanti sehingga tidak sempat melayan tetamu ketika keramaian.

Tidak sukar untuk ayahbonda mensyaratkan kepada keluarga bakal besan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan didalam majlis pernikahan tersebut. Kerana apa yang ayahbonda syaratkan adalah selari dengan kehendak Islam. Tiada adat yang berlebih-lebihan, kerana nikah kahwin ini adalah mudah sebenarnya. Jangan menyusahkan sehingga membebankan perkara yang mudah. Tetapi jangan pula kerana mahu bersederhana pada setiap perkara sehingga ada maruah yang tercela. Berpada-padalah mengikut keadaan dan suasananya.

Abang

Adinda saya masih bertatih membahasakan suaminya dengan panggilan ‘abang’, itu panggilan ‘wajib’ kepada setiap ahli keluarga kami kepada suami masing-masing. Sebagai tanda hormat  dan kasih kepada suami hingga ke akhir hayat.

Selamat datang kepada adik ipar saya ke dalam keluarga besar kami, bak kata ramai, seorang pengantin bukan hanya berkahwin dengan pasangannya, tetapi turut berkahwin dengan keluarga pasangannya.

Jagalah isteri/ suami sebaiknya, hormat ibubapa kedua-dua belah pihak, pandai-pandailah sesuaikan diri di dalam keluarga baru masing-masing, jaga adab dan budaya keluarga masing-masing, dan binalah kerukunan rumahtangga hingga ke akhir hayat.

Sebagaimana ucapan pengantin lelaki di dalam majlis keraian di Terengganu, buat isteri tersayang, ‘bersamalah kita memperbaiki diri masing-masing untuk membina kawalan yang lebih sempurna dalam mencari titik persamaan dalam melayari rumahtangga mengikut redha Allah s.w.t.. Semoga kita mampu melahirkan zuriat yang soleh dan solehah penyambung generasi alim ulama’ di bumi tuhan ini’. InsyaAllah!

Juga pesanan kepada adinda berdua, jua kepada pengantin-pengantin baru yang lain, dalam bergembira melayari kehidupan baru, jangan sesekali melupai ibubapa yang sentiasa setia menunggu khabar anak-anak. Buatlah seupaya mungkin untuk tidak mengguris hati kecil ibubapa, yang merelakan anak-anak pergi jauh meninggalkan mereka untuk kesekian kali. Sentiasa sediakan kesempatan untuk menghubungi mereka.

Sedarkan diri bahawa jikapun kita sudah berpunya mahupun dipunyai, ibubapa itulah yang pernah melahirkan, membesarkan, dan mendidik kita semua sehingga apa yang kita peroleh hari ini. Cermatlah dalam menghalusi hati kecil ibuayah yang bersusah menyediakan kesempurnaan kepada anak-anak saat mereka membesarkan kita semua.

Impian

Saya sendiri mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana sahaja untuk anak-anak nanti. Majlis yang ringkas tetapi tetap happening dengan undangan yang ramai. Cukup untuk hebahan kepada ramai bahawa anak ini sudah berpunya. Buat majlis secara teratur dan beradab, biar hadirin selesa menikmati suasananya.

Tuan rumah juga perlu memahami keperluan setiap undangan, samada mereka adalah saudara mara terdekat, sahabat handai, kejiranan, VIP, dan sebagainya, perlu tahu etika dalam melayani para tetamu ini mengikut tahap sosial masing-masing. Semoga tiada tetamu yang terasa mereka dipinggirkan.

Ini semua bukan hanya kerana adat, tetapi ia adalah adab yang menjurus kepada akhlak. Perlu bertegur sapa dengan tetamu walau hanya sepatah dua kata. Jangan hanya pandai menjemput tetapi tidak tahu untuk melayan.

Berkongsi

Saya cuba berkongsi sesuatu yang telah diajarkan oleh Tok Guru kepada keluarga kami, jika ada yang baik maka terimalah sebagai landasan dalam kehidupan, jika ada cacat celanya, maka tanamkanlah semangat untuk melaksanakan yang lebih baik. InsyaAllah setiap keazaman yang baik itu akan direstui Allah s.w.t..

Saya mahu bersantai…

Terima kasih kepada suami dan bonda kerana memahami minat saya, terima kasih En. Razif yang akur dengan keinginan saya untuk menghasilkan kad jemputan yang kononnya ‘mahukan kelainan’, terima kasih Kak Nun yang seringkali bersedia menemani saya sepanjang berurusan menyelesaikan masalah kad yang lewattt…(tension sekejap!), terima kasih Ida yang selalu bersedia untuk berkreatif menggubah barang hantaran, terima kasih sahabat sepanjang hayat (insyaAllah) Lin, yang sudi balik dari Kuala Lumpur untuk menghadirkan diri pada majlis tersebut, terima kasih kepada sahabat sepanjang hayat (insyaAllah) Nor, yang jauh di perantauan Sabah – yang asyik bertanya puas hati ke tak dengan baju-baju yang direalisasikan oleh kakaknya, Kak Yah – yang tentunya sangat berterima kasih yang amat kerana sudi meluangkan masa yang panjang semata-mata untuk memahami impian kakak pengantin (yang mana pengantin tak lah sekesah kakaknya nak pakai apapun – janji tutup aurat – pengantin kata nak pakai kain tudung bawal je! Kakak pengantin yang lebih-lebih tarik pengantin ke kedai itu ini semata-mata kononnya mahu cari tudung yang kononnya mahukan kelainan – siap beli tudung Made in Iran – tapi yang keluarnya muka Melayu jugak…). Terima kasih K.Nur kerana memuji mekap pengantin macam artis! (Kena check K.Nur siapa yang bertanggungjawab decide nak makeover pengantin macamana! Jawapan; Kakak pengantin la tu…sampai mak andam pun takut nak conteng muka pengantin kalau kakak pengantin tak de kat tepi!) Terima kasih Kak Pini yang tak letih-letih melayan karenah kakak pengantin yang mahukan itu ini semuanya perfect! – hatta kalau boleh satu benang langsir pun tak boleh tersimpul! Dan terima kasih kepada semuanya yang terlibat secara langsung dan tidak langsung…terutamanya yang langsung berurusan dengan saya…(harap-harap saya ok!), yang tak disebut di sini janganlah berkecil hati ok…Saya hargai semuanya!

11.10am

 

5 Responses

  1. Assalamualaikum…….

    Tahniah kerana berjaya menjadi “wedding planner” sepertimana yang dicita-citakan… Lepas ni blh buka com.jadi Islamic Consultant Weeding Planner…..!
    Terima kasih atas jemputan ke majlis kenduri adinda Salsabila….Lin hadir ke majlis itu bukan semata-mata ingin “makan gulai” tetapi memenuhi jemputan Na kerana sentiasa menghargai persahabatan kita yang telah sekian lama terjalin…insya-Allah sehingga ke akhir hayat….! Amin…..!

    • w’lam…

      kena seru nama dulu baru nak timbul… :)

      Wedding planner celup! Tunggu manage untuk anak-anak kita pulak…paling awal pun sepuluh tahun lagi! Tapi bak kata Andrea Hirata, bakal menantunya kena teropong dari sekarang lagi…

      Terima kasih kerana sudi hadir majlis baru-baru ni, maaf mana yang terkurang, insyaAllah ada rezeki kita jumpa lagi…

  2. Salaam…. Sungguh indah majlis walimah yang diadakan. teringin benar untuk mengikuti perjalanan majlis walimah yang benar-benar mengikut landasan islam, bebas dari percampuran lelaki dan wanita namun, kejelasan mengenai walimah tersebut masih samar-samar…. Tidak tahu bagaimana ingin mengaturkannya di rumah sendiri.

    • w’lam…

      Saya juga percaya bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan walimah yang sedemikian.
      Paling penting kita kena berbincang dengan ibuayah tentang majlis yang bakal diadakan. Jelaskan kepada mereka apa kemahuan kita, jelaskan juga inilah sebenarnya kehendak Islam.
      Cadangan saya, elakkan bersanding – Islam sangat melarang mempamerkan kecantikan seorang perempuan untuk tontonan ramai.
      Seterusnya, pengantin perempuan hanya melayan tetamu di atas rumah, bukannya ke sana ke mari merai tetamu di tempat jamuan diadakan.
      Wallhua’lam…semoga niat yang baik ini akan direstui Allah s.w.t. InsyaAllah…

  3. ~ SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI EL-MUBARAK ~

    MAAF ZAHIR DAN BATIN

    FROM:

    ibni-battutah SEKELUARGA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: