• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    October 2010
    S M T W T F S
    « Sep   Nov »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Hadiah Ulangtahun Perkahwinan

Salam Ukhuwah…

Jom santai membaca cerpen hasil nukilan saya…

Namanya cantik, Rania. Seorang surirumah sepenuh masa. Manis orangnya, berlemah lembut pula peribadinya. Sudah 15 tahun mendirikan rumahtangga, namun katanya tetap masih lagi ingin mengenali hati budi suami tersayang.

Firdaus suaminya, pasti menerima khidmat terbaik daripada si isteri tercinta sebelum melangkah keluar ke jalanan, berkemeja segak dipadankan dengan tali leher yang sepadan iramanya, tentu saja menambahkan lagi aura si suami. Menambahkan lagi rasa kasih sayang didalam rumahtangga, dia tidak pernah lupa untuk menjamah hidangan pagi hasil air tangan terbaik daripada isterinya kala berkesempatan. Jika bukan hidangan berat, sekadar roti bakar pun sudah cukup sedap baginya untuk mengalas perut sebelum berpergian.

Mungkin kerana Rania seorang surirumah, maka dia berkeluangan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepadanya. Dulupun isterinya bekerja, malah perkenalan pertama mereka juga adalah kerana urusan kerja. Tetapi selepas 15 tahun bergelar wanita berkerjaya, dia yang menyarankan agar isterinya menjadi surirumah sepenuh masa. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak kian membesar, terasa benar olehnya bahawa ibu sangat berhak mendidik zuriat-zuriatnya sendiri.

Kalau dulu, seawal jam enam petang barulah isterinya boleh menjamah mata anak-anak setelah seharian di luar sana, tetapi kini tidak lagi. Jam enam petang sudah menjadi rutin untuknya melayan karenah anak-anak bermain di laman rumah.

Namun, hari minggu kali ini ada sesuatu yang berbeza. Berpagi-pagi lagi Rania sudah mengemas rumah sebaiknya. Bukan sahaja rumah, tetapi dirinya juga sudah berdandan hebat. Jubah kaftan sutera cifon berwarna ungu lembut menjadi pilihannya, rambutnya yang panjang mengurai dilepas bebas. Santai saja dia duduk di sofa di tengah rumah, sedang menonton rancangan kegemarannya, Deko Bersama Eric. Nama Eric Leong sudah sebati di bibirnya, namun tidaklah menjadi bahan cemburu kepada suaminya. Katanya, bila la Eric ni nak ada rambut? Sedap sikit mata nak memandang…Kalau sudah begitu lafaznya, maka si suami yang berambut lebat itu masih bertakhta di hatinya sampai bila-bila. Jangan harap la Eric tu nak tumbuh rambut! Itu la kot doa si suami…!

Firdaus menghampiri isterinya. Dari belakang dia memerhati gelagat isteri tersayang, dia belum lagi mandi pagi, isterinya sudah bersiap-siap lain macam! Dia lupa sesuatu rancangan? Tak mungkin…! Isterinya mahu ke mana-mana?

“Tak mandi lagi…?” sapa isterinya.

“Tak…” selamba saja Firdaus menjawab. Dia leka memerhati isterinya nan satu. Sesekala matanya menatap pada kaca tv.

Rania bangun, kaftan labuhnya beralun lembut, gemalai menghampiri suaminya.

“Busuk…eeeiii…”

Firdaus mencium diri sendiri, memang bau yang kurang menyenangkan. Sekejap lagi mandilah! Tapi apa hal dengan isterinya? Tidak pula lidahnya mahu bertanya. Isterinya ada agenda istimewa? Rania datang dekat lagi, lantas menarik manja lengan sasanya. Lembut tangan si isteri, terasa damai di hati suami. Firdaus mengikut saja rentak isterinya, melangkah santai, sambil sesekali ada jelingan manja dan menggoda daripada isteri tersayang. Sangat hairan! Tetapi sesekali ada adegan suspen begini sangat membangkitkan!

Rania senyum mengada-ngada, kelihatan menyembunyikan sesuatu daripadanya. Jarang isterinya bersolek ala-ala artis, tetapi hari ini sangat mengujakan. Hidung dilukis mancung bak seludang, bibir berkilauan menggoda dengan lipgloss penyeri membentuk kesempurnaan kemanjaan seorang isteri, senang bicara katakan saja, bibir yang bak delima merekah! Belum cukup lagi isterinya berdandan penuh, sapuan nipis pemerah pipi nuansa merah jambu sangat sesuai untuk kulitnya yang cerah, tampak lebih alami pada pipi pauh dilayangnya itu.

Bau perfume yang segar menambahkan lagi keyakinannya untuk menggoda si suami.  Memang tergoda sungguh Firdaus melihatkan kecantikan isteri yang lebih daripada hari-hari biasa. Tidak jemu mata si suami memandangnya.

Firdaus menanti-nanti apa kata isterinya. Dia pula mengambil tempat di sofa berhampiran balkoni rumah, menghadap si jantung hatinya. Membelai tangan mulus si isteri, lantas mencium lembut jemari perempuan yang sudah 15 tahun setia berada di sisinya.

Perasaan ingin tahu terus membuak di fikirannya. Sihat ke isteri aku ni…?

Dia menarik nafas, cuba meneutralkan otaknya bagi membolehkan sel-sel neuron menghantar dan mengumpul maklumat untuk membolehkan dia berada dalam keadaan penuh sedar, lantas boleh berfikir dengan baik, seterusnya memahami kondisi isterinya kini, seterusnya dia mahu membina  komunikasi yang berkesan selepas ini.

Oh! Rupanya…

“Nia…” Firdaus mula menyusun ayat. “Ok, tengahari ni…” Mata Rania bersinar-sinar.

“Tengahari ni apa bang? Lambat la abang ni…cakap cepat sikit boleh?”

Firdaus senyum. “Sabar la…” Dia bertukar tempat duduk ke sebelah isterinya. Tarik nafas lagi untuk mendapatkan oksigen secukupnya. Lantas dihembus perlahan-lahan. Matanya menusuk pandangan isterinya. Sungguh cantik Rania dalam kaftan barunya itu. Melayang lagi duitnya bulan ini! Tahu sangat dia kalau dah bersutera bagai mahu nyaris-nyaris boleh hapus RM500 dari akaun banknya. Tapi cantikkan, mampu sangat mencairkan hati suami. Tak pelah, bukannya dia selalu berbelanja bagai nak rak.

Apa sebenarnya permintaan khas daripada isterinya hari ini, hadiah yang canggih-canggih? Kepada seorang isteri pastinya hari ini hari yang amat besar ertinya. Ulangtahun perkahwinan ke 15!

“Tengahari ni…” Rania tidak sabar-sabar merenungnya. Menggenggam erat jemarinya. Semakin lama semakin mencengkam. Bagaikan tidak akan melepaskan dirinya sampai bila-bila pun. “…kita keluar nak?” Firdaus memaut lembut tangan isterinya, menjadikan tangan mereka bersatu. “Kita lunch kat kedai mamak,” pandangan Rania lemah, mulutnya muncung. Seronok juga sesekala tengok bini merajuk!

“Bosan!” Rania terus bangun.

Sudah…

“Kalau setakat nak pergi kedai mamak baik la saya masak sendiri,” Rania meluru ke dapur. “Handsome sangat ke mamak tu?”

Handsome abang lagi…,” Firdaus bersuara lembut, mulutnya tersenyum kambing. Geli hatinya melihat orang tua merajuk. “Abang bukannya nak tengok mamak tu, abang nak makanlah. Nak makan nasi daun pisang ala india…,”

“Apa yang best sangat dengan daun pisang tu?” sempat lagi Rania bertanya. “Bukannya kita makan pun daun pisang tu!”

Firdaus tergelak kecil, Rania merenungnya tajam. Dia buat-buat sibuk membuka peti ais, membawa keluar segala lauk-pauk dan sayur-sayuran. Berjalan laju-laju ke arah sinki, meletak semua lauk-pauk ke dalam besen rendaman. Ada ikan, ayam, daging, sotong, udang, segala mak nenek dia nak masak? Rania merenungnya semula dalam jarak beberapa langkah sahaja darinya dengan mata yang membulat. Solekan mata smokeynya yang tadi nampak sesuai untuk menyerlahkan keseksian jelingan lagi menggoda dan sungguh galak, kini bertukar bagaikan pandangan perempuan yang bertenggek di poster filem Hisss!

“Nia…” Firdaus mengambil langkah mendekat. Perlahan dia memaut tangan isterinya, dan memberi ciuman ringkas di ubunnya. Jemari lembut itu dibelai lagi. “Ok, serius! Nia nak makan kat mana?”

“Renai!”

“Erm…boleh tahan. Siapa nak belanja?” Firdaus menguji lagi. “Anak-anak bawak sekali? Diaorang pun dah banyak kali minta nak makan kat hotel,” Firdaus ringan tulang menyimpan semula semua barangan yang diangkut isterinya tadi ke peti ais. “Dila pun asyik claim hadiah, kan dia dapat top 5 hari tu. Abang ada janji dengan dia nak bawa dia makan kat hotel.”

Sepi.

“Ok, ok, …anak-anak kita bawa lain kali. Esok masih ada…”

Huh, faham pun! Rania meredupkan pandangan kearah suaminya yang sudahpun menutup peti ais. “So, pukul berapa kita nak pergi? Pukul 11 boleh?” Rania pandang wajah suaminya yang sudah kelihatan uban putih menghiasi awalan rambutnya. Masih boleh dibilang helaian putihnya.

“Ok.” Firdaus senyum.

Handsome abang…,” Rania tersenyum manis membalas senyum suaminya, “tapi lagi handsome kalau hari ni abang pakai baju yang Nia dah gosok siap-siap dalam bilik tu. Hadiah daripada Nia tau…!”

“Nia dah beli hadiah untuk abang?” Firdaus sedikit terkejut.

Wajahnya kelihatan sugul.

Rania serba salah. Salah ke dia beli baju tu? Bukannya dia minta belanja lebih pun bulan ni untuk beli kemeja BritishIndia tu. Lagipun, suaminya belum lagi tengok baju tu, apatah lagi tahu brandnya. Alah, sehelai setahun pakai baju BritishIndia takkanlah boleh muflis kot. Dari bulan lepas dia plan beli baju tu, tentunya dia dah bajet elok-elok.

“Ya bang, Nia beli kemeja untuk abang,” Rania bersuara perlahan, “tapi kalau abang tak suka Nia takkan paksa abang pakai.” Sedih!

Firdaus diam lagi, tetapi wajahnya kelihatan senyum sumbing memandang isterinya yang sedikit muram. “Abang ingat nak minta Mazda CX-9!”

Bersambung…

10.56pm

4 Responses

  1. Salam Nik,ana datang baca cerpen,kalau sudi datang ke blog ana baca cerpen ana tulis pula

  2. Salam Nik,terima kasih kujungi blog ana,Disini nak bagi tahu link blog nik ana letak dalam blog HARAPAN untuk tujuan senang pengujung blog ana nak baca cerpen dan isu semasa hasil penulisan yang bagitu kreati.Itu kalau diizinkan,kalau tak izin ana dellete semula.Maaf masuk link dulu baru tanya.

    Saya bagitu tertarik dgn blog Nik,ana mula membaca sejak mula-mula nik buat blog,seingat ana masa kontrovensi dengan kicddefella. lagi.

    • Adat orang berkunjung, jika kesempatan insyaAllah kita akan membuat kunjungan balas.

      Terima kasih kerana sudi letak link blog saya dalam blog saudara, saya sangat-sangat menghargainya.

      Selagi idea masih ada, saya harap semoga blog ini akan berpanjangan hingga ke akhir hayat saya. InsyaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: