• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2011
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  

Penampilan Diri

Salam Ukhuwah…

Sebagaimana kita melihat remaja pada hari ini terutamanya di peringkat menengah, begitulah saya suatu ketika dahulu, sibuk belajar bagaimana cara mahu menjaga penampilan diri, terutamanya perihal kecantikan wajah – yang mula dimasalahi dengan kulit berminyak, langsung dilawati jerawat. Tidak kiralah jerawat nasi mahupun batu, sungguhlah ia merimaskan emosi.

Maka bermulalah episod saya mencuba produk kecantikan, tetapi tidaklah sehingga belajar untuk bermekap. Sekadar untuk menghilangkan masalah pada wajah. Kesimpulannya, nak juga merasa cantik!

Itu satu bab, belum lagi keinginan untuk berjalan persis model, catwalk lah kononnya…sehingga saya mula belajar berjalan dengan menjunjung buku! Ada sahabat yang pernah buat? Rasa terrorlah sangat kalau mampu berjalan dari A hingga ke hujung B tanpa menjatuhkan buku di atas kepala. Susah tau! Tulang belakang nak kena tegak, mata pula harus tepat pandang ke hadapan dan langkah kaki harus tersusun cantik pada satu garisan sahaja.

Semuanya gara-gara nak cantik! Bukan mak ayah yang ajar, tapi berjangkit dengan kawan-kawan sebaya yang semuanya nak jadi cantik. Termasuklah cara berpakaian juga, rasa mahu mencuba pelbagai fesyen terkini. Namun yang ini ada batasnya apabila masih dalam kefahaman kewajipan menutup aurat sepenuhnya. Jadi, saya belajar cara untuk menyuaipadankan warna baju dan tudung, sehinggalah pemilihan kasut!

Itu muqaddimahnya – tentang penampilan diri. Tetapi bukan itu yang mahu saya bualkan. Bukan sekadar cantik – lebih jauh dari itu, yang sebenarnya adalah sihat tubuh badan.

Cantik vs Sihat

Mana yang lebih penting? Cantik atau sihat?

Mudahnya, kita perlu sihat untuk kelihatan cantik. Betulkan?

Maka, bermulalah episod seterusnya dalam kehidupan saya untuk menjaga kesihatan sepenuhnya apabila mula bermastautin di Skudai, Johor. Saya mula sedar untuk menjaga kesihatan diri apabila mula berjauhan daripada keluarga. Saya belajar untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, baik dari segi pola pemakanan dan cuba untuk bersenam.

Minggu ini juga, saya berkesempatan menghadiri majlis kesyukuran seorang sahabat yang membuka Farmasi. Lebih mengujakan apabila disediakan tempat untuk membuat pemeriksaan kesihatan diri secara menyeluruh dengan percuma. Saya mula memeriksa kandungan gula dalam darah, mengambil tekanan darah, mengukur tahap kolestrol dalam badan, dan membuat ujian BMI. Alhamdulillah, segalanya masih terkawal.

Pada usia 30-an kini, saya masih cuba untuk tetap menjaga pemakanan dan adakalanya bersenam walaupun sangatlah tidak berutin tetap. Nasib baiknya, saya bukanlah pencinta makanan. Selalunya makan untuk mengalas perut dan tidak pernah berkira pun perihal sedap mahupun tidak. Saya boleh makan apa saja dan suka mencuba sesuatu yang baru, tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja.

Adakalanya boleh makan berulangkali pada selang waktu yang singkat tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja pada setiap kalinya. Selain daripada halal, selalunya saya memilih masakan yang kurang berlemak, kurang berminyak, kurang garam, kurang gula, kurang segalanya…janji ia makanan yang boleh membantu menyihatkan badan.

Bukan bermakna saya menolak terus kerepek yang mendorong kearah kegemukan, seafood yang gah dengan kolestrol dan makanan segera yang menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang agak tinggi, ada juga mengambilnya tetapi sangat jarang. Biasa sangat kita mengambil makanan sebegini ketika makan di luar dan bersantai bersama keluarga.

Saya juga sangat jarang mengambil minuman berkarbonat – yang sebenarnya berkafein juga (Coca-cola/ Pepsi). Langsung mendidik anak-anak untuk tidak membelinya. Jika ada juga yang ‘tersesat’ masuk ke rumah, saya pastikan mereka menambah air masak ke dalam minuman tersebut sebelum meminumnya, untuk mengurangkan rasa manis yang teramat.

Buat anak-anak, saya galakkan mereka bersarapan dengan Koko Krunch dan susu rendah lemak. Dengan harapan mereka memiliki tubuh badan yang sihat dan bertenaga untuk memulakan kehidupan harian.

Usaha  

Ini semua adalah usaha yang saya lakukan untuk menjaga kesihatan, baik untuk diri sendiri mahupun keluarga. Seboleh mungkin saya mahu jauhkan sebarang penyakit dari menyentuh diri, sekurang-kurangnya pada usia yang masih boleh dikatakan ‘muda’. Biarlah usaha ini dilihat kecil dan sedikit, mudah-mudahan saya mampu lakukannya secara istiqamah.

Tetapi saya sangat sukakan coklat! Perempuan macam ni la kot…jarang nak jumpa lelaki yang suka coklat kan…? Lelaki suka bola! Tetapi bukan semua coklat boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan, bahkan ada sejenis asid dalam coklat yang boleh berperanan merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Hanya coklat yang berkafein (Cadbury) sahaja kurang digalakkan. Namun masih ada kemaafan apabila faktanya adalah; kafein yang wujud di dalam coklat adalah tidaklah berbahaya. Jadi apalagi? Makan je lah…

Walau bagaimanapun, sejauh mana kita berinisiatif untuk menjaga kesihatan diri, samada menjaga pola pemakanan mahupun aktif bersenam, ia tetap juga perlu disokong dengan gaya hidup yang sihat. Terutamanya, JANGAN MEROKOK!

Sudah terbiasa dengan amalan merokok, dan sudah kalih telinga mendengar ‘jangan merokok’, inilah yang menimpa kepada emosi perokok tegar. Mereka sudah mencapai kepada suatu tahap ketagihan yang kompleks. Kenapa? Kerana ia berpunca dari tiga perkara utama: pengaruh dadah nikotin dalam tembakau, tabiat yang tidak mahu diubah dan psikologi yang mengatakan bahawa merokok mampu menghilangkan tekanan.

Sebenarnya tiada alasan untuk berkata tidak kepada rokok, kerana kini sudah wujud pelbagai jenis rawatan yang disediakan untuk mengatasi masalah ketagihan tembakau. Paling penting, kemahuan untuk berubah! Bersedia untuk melakukan penghijrahan diri kepada yang lebih baik. InsyaAllah niat yang baik akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami kenapa proses perubahan ini sangat perlu dilakukan.

Tiada guna duit yang tidak terhitung banyaknya, kerja yang terbaik, kereta yang berprestasi tinggi, dan rumah yang sangat moden, serta kawan-kawan yang bersemangat, tetapi diri sendiri terabai – tiada ketenangan jiwa dek kesihatan yang tidak memuaskan.

Pinjaman

Maka, sayangilah tubuh badan kita yang hanya pinjaman daripada Allah s.w.t. semata-mata. Organ dalaman adalah sangat penting untuk kesinambungan nyawa penyambung hayat. Bersama tanamkan kesedaran untuk sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, walaupun kita merasa bahawa diri ini sedang sihat walafiat. Sementara kita masih sihat hari ini, buatlah pilihan yang terbaik buat diri sendiri, semoga kebajikan diri dapat dioptimumkan pada tahap yang sewajarnya.

Seterusnya, jangan sesekali abaikan komponen yang paling penting dalam kehidupan, manfaatkanlah ayat-ayat suci al-Quran dan sertailah dengan doa yang berpanjangan semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik sepanjang umur ini. InsyaAllah!

10.30am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: