• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    November 2011
    S M T W T F S
    « Oct   Dec »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  

Tetamu Allah

Salam Ukhuwah…

14 tahun lalu (1995), buat pertama kalinya saya menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan ibadat Haji, rukun Islam kelima. Suatu anugerah Ilahi yang amat besar kepada seorang remaja seperti saya pada kala itu. Tentunya setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi, sementelah ia merupakan ‘hadiah’ terbaik buat saya yang sedang kemurungan menerima keputusan SPM yang kurang memberansangkan.

Sesungguhnya perasaan itu sangat sukar digambarkan, namun terasa bahawa diri ini masih disayangi Maha Pencipta kerana seramai hamba Allah di muka bumi ini, saya antara manusia kerdil yang dijemput menjadi tetamuNya. Walaupun tanpa sebarang usaha dan impian untuk mengunjungi kota suci ini pada waktu itu, Allah tetap ‘memandang’ kepada hambaNya yang seorang ini, lantas memberi peluang dan ruang untuk saya mengubati rasa luka yang teramat dalam pada saat itu.

Inilah ‘seru’.

Terbang jauh selama lebih kurang lapan jam, pertama kalinya juga saya melihat sisi bumi Allah yang lain – bergunung batu, berpadang pasir dan iklimnya yang sangat panas.

Saat mengiringi bonda buat pertama kali ke Masjidilharam, saya teramat kagum dengan senibinanya yang sangat hebat. Sungguh hebat pada pandangan mata saya ketika itu (dan setiap kali saya memandangnya sehinggalah sekarang ini), dengan keseluruhan dinding luarnya bermarmarkan putih kelabu, keindahannya turut menjemput sesiapa sahaja untuk masuk ke dalam.

Saya menitiskan airmata kesyukuran saat memandang Kaabah buat pertama kalinya, sekali lagi terpegun dengan keangkuhan binaannya yang kelihatan kukuh gagah di tengah-tengah kerumunan ramai hamba Allah yang sedang tawaf mengelilinginya.

Seingatan saya setiap kali mengerjakan solat di Masjidilharam kala itu, lebih-lebih lagi apabila diri dihadapkan ke hadapan Kaabah, berulang-ulang kali – tanpa jemu, tanpa lesu, saya merintih memohon kepada Allah s.w.t. semoga akan bergelar Mahasiswa, walaupun keputusan peperiksaan tidak sebaik yang diimpikan. Saya mahu ke Universiti! Itu impian saya selepas SPM, dan itulah juga rintihan tanpa putus kepada Yang Maha Kuasa.

Pulang ke Malaysia, sekali lagi saya terharu dan bersyukur yang amat apabila selang beberapa waktu, nama saya terpilih untuk bergelar Mahasiswa. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Allah s.w.t..

Khabar Gembira 

Oktober 2011, sekali lagi saya menerima khabar gembira apabila dijemput untuk menjadi Tetamu Allah pada musim Haji tahun ini. Perasaan bercampur baur – teruja, berdebar, dan tentunya gembira yang amat apabila impian untuk mengerjakan haji bersama suami yang sudah bertahun-tahun disimpan, akhirnya tiba juga. Syukur ya Allah kerana memakbulkan doa kami untuk menjadi tetamuMu pada tahun ini.

Bagi setiap Muslim yang berkemampuan, Haji adalah suatu ibadat yang wajib dikerjakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pada usia saya mencapai 34 tahun Oktober lalu, sekali lagi ia menjadi sesuatu yang istimewa dalam diari hidup. Juga kepada suami yang telah menginjak umur 38 tahun, saya kira inilah masanya yang terbaik untuk kami berdua melaksanakan tuntutan agama yang satu ini.

Sedari awal perkahwinan, kami telah mensasarkan untuk menunaikan Haji bersama sebelum mencapai umur 40 tahun. Alhamdulillah, impian kami dikabulkan. Tentunya usia yang masih ‘muda’ ini mempunyai kelebihan dan kebaikannya yang tersendiri dalam melaksanakan ibadah Haji dengan lebih sempurna, insyaAllah. Ibadah yang satu ini menuntut persediaan fizikal (kesihatan dan kekuatan) yang baik, selain dari spiritual (ilmu dan iman) dan material (kewangan) yang terkesan.

Namun, jemputan menjadi Tetamu Allah pada kali ini terasa ada kelainannya. Mungkin kerana ‘kedewasaan’ membantu mematangkan, maka saya mula terfikir, sudah sempurnakah amalan Rukun Islam empat yang lain apabila saya mahu melaksanakan Rukun Islam yang Kelima? Fahamlah bahawa kenapa Allah s.w.t. meletakkan ibadat Haji ini sebagai Rukun Islam yang terakhir, ini adalah untuk memberi peluang kepada hambaNya memantapkan diri dengan rukun-rukun yang lain terlebih dahulu.

Sebagai seorang hamba Allah yang imannya tidak dapat diwarisi daripada seorang ayah yang hebat, suatu perasaan halus menyelubungi – bahawa saya bukan lagi ‘sebersih’ suatu ketika dulu. Saya bukanlah seorang yang sempurna imannya walaupun telah dididik sesempurna yang mungkin oleh kedua ibubapa. Tentunya terlalu banyak dosa yang telah saya lakukan sepanjang usia ini, samada secara sedar mahupun sebaliknya.

Motivasi

Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali sebagai satu motivasi membakar semangat, saya juga mahukan ibadah Haji yang akan dilaksanakan nanti sebagai kemuncak ibadat dan pengabdian diri seorang Muslim kepada Allah SWT. Saya berazam untuk melakukannya sehabis baik, lantas berusaha menambah ilmu perihal pengetahuan Haji semampu yang boleh, tanamkan semangat yang berkobar-kobar untuk ke Tanah Suci dan menjaga kesihatan sebaik yang mungkin agar saya berada dalam keadaan berstamina sentiasa kala di sana nanti.

25 Oktober 2011, kami berdua terbang meninggalkan anak-anak, ayahbonda, sanak-saudara, harta-benda, dan tanah air tercinta menuju ke Tanah Suci. Alhamdulillah, tiada yang menggusarkan hati kami saat berpergian. Segalanya kami serahkan kepada Allah s.w.t. dalam pemeliharaanNya.

Perasaan sayu hanya menyelubungi apabila mengenangkan dalam tempoh beberapa bulan saja, buat kali keduanya saya mampu memijakkan kaki lagi ke Tanah Suci pada tahun ini. Saya yakin, inilah rezeki buat kami. Rayuan kami kepada Tabung Haji (TH) untuk mendapat tempat sebagai jemaah Haji pada tahun ini diterima, Alhamdulillah!

Sepanjang berada di Tanah Suci, kami sentiasa dalam keadaan yang mengizinkan untuk mengambil peluang berjamaah di Masjidilharam. Jarak berjalan kaki dari hotel kami ke Masjidilharam lebih kurang 15 minit. Hari awalan saya membuat rutin berjamaah ke Masjidilharam agak menyakitkan kaki. Namun selepas tiga hari segalanya kembali normal, Alhamdulillah kami dapat menyempurnakan solat berjamaah pada setiap waktu di Masjidilharam.

Sehingga tibalah masanya kami bergerak ke Arafah untuk Wukuf. Cuaca panas membahang walaupun solat sunat Istisqa’ telah dilakukan di Masjidilharam beberapa hari sebelumnya.  Walaupun dengan doa jutaan hambaNya, Allah s.w.t. tetap mahu menguji kesabaran dan kepatuhan hambaNya, tiada setitikpun hujan yang membasahi sepanjang tempoh Haji berlangsung.

Arafah

Arafah sememangnya menguji kesabaran dan keimanan setiap hambaNya. Berada dalam khemah yang serba sederhana cukup membahang keadaannya. Tanpa kipas, jauh sekali pendingin udara, semua jemaah Haji khusyuk redha dengan ujian Allah. Alhamdulillah, tiada terdengar rungutan. Tetapi ada juga jemaah Haji yang sentiasa membasahkan anggota badan dengan air dan tidak kurang juga yang sentiasa berkipas.

Alhamdulillah, saya dapat menjalani ibadah wukuf tanpa sebarang masalah, sekadar tertutup selera makan. Kesempatan berada di Arafah sungguh-sungguh sangat bermakna. Bertaubat, memohon ampun, meminta-minta, merintih, dan segala-galanya, tanpa segan silu mengalir laju air mata – tidak mungkin sama dengan saat-saat yang pernah dilalui sebelum ini.

Sebelum berlalu ke Muzdhalifah, sempat saya mengabadikan beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan manis di sini.

Kami tiba di Muzdhalifah sekitar jam 10.00 malam, lebih kurang 15 minit perjalanan dari Arafah dengan menaiki bas. Sudah ramai jemaah Haji yang tiba lebih awal sebelum kami. Kelihatan di mana-mana sahaja mereka sedang sibuk mencari anak batu. Langsung kami menyertai mereka untuk mengutip anak batu sejumlah 70 biji. Sementara menunggu giliran untuk berangkat ke Mina, kami semua tertidur beralaskan tikar plastik ehsan TH, berbantalkan beg dan berbumbungkan langit. Lena!

Lebih kurang jam 3.00 pagi kami berangkat ke Mina. Nampaknya saya terpaksa berdiri dalam bas sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang setengah jam, akibat daripada jemaah Haji yang sudah tidak teratur disiplinnya. Agaknya kerana keletihan dan mengantuk ramai jemaah Haji yang tidak mengikut nombor bas yang telah ditentukan buat mereka. Saya yang masih berdisiplin terpaksa pula berdiri. Tidak mengapa, jangan merungut!

Sebenarnya saya berasa selesa berdiri ketika itu kerana masalah lutut yang sedang meragam. Lutut saya memang bermasalah sejak remaja kerana pernah terseliuh, tetapi hanya terasa sakit apabila duduk terlalu lama (terutama dalam pantang selepas melahirkan). Peluang berdiri ketika itu satu nikmat! Anggap saja ia satu bonus kerana mampu bersabar. Syukurlah jika sesuatu yang tidak disukai sebenarnya positif buat kita. Jangan nak merungut lebih-lebih, itu godaan syaitan namanya.

(bersambung…)

11.59am

4 Responses

  1. Nik, Ya Allah bestnya dpt. jadi tetamu Allah. Selamat balik ke M’sia. Semoga Nik & jemaah yg. lain mdpt haji yg. mabrur. Patutlah akak nengok lama tak up dated blog rupanya Nik ke Tanah Suci. Seronoknya belum 40 an lagi dah b’gelar hajjah. Tak sabar lah nak baca kisah Nik kat Tanah Suci waktu melakukan ibadah. Nanti free cepat2 up dated ya dgn foto2 nya sekali Nik. Nik ke sana berdua dgn. Ir. Ariff saja ke @ ada group yg lain (maksud akak ikuti ayahanda TGNA & bonda Nik bersama ke – pakej haji agensi mana ya). Anak2 pula tinggal dgn siapa @ bawa sekali…

    • Alhamdulillah, mudah-mudahan segalanya telah sempurna kami laksanakan.
      Nik berdua dengan suami je ke sana dan kami memang pergi dengan Tabung Haji (Muassasah).
      Anak-anak kami tinggal dengan bibik saja yang dah kembali dua minggu sebelum kami berangkat.

      Semoga perjalanan akak dan keluarga untuk mendapat Haji Mabrur dipercepatkan dan dipermudahkan, insyaAllah!

      • Amin 3x. Ya Rabbal Alamin. terima kasih byk2 Nik atas doa tersebut. semoga suatu hari nanti tiba lah waktu yg dinantikan untuk kami pula ke sana …

  2. Maaf ! Terbaca Kisah ANda ….. Teringgat Kisah Sendiri cuma kami perGI tahun 2012 meadi Tertamu Allah dalam Usia yg agar LewatTapi Alahamdulillah……….Semuanya d permudahkan olih ALLAH…. Inyaallah kami akan Kesana Lagi klu D IZINkan ALLah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: