• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2012
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930

Tinggal Bersama Mertua

Assalammualaikum…

Saya baru saja membaca blog puan dan sangat suka dengan pendapat dan pandangan puan. Sangat  berguna bagi saya yang masih nak belajar hidup berkeluarga.

Saya berumur 29 tahun, ada 2 anak berumur 4 & 2 tahun. Surirumah… harap puan tak kisah sekiranya saya ingin minta nasihat atau pandangan puan.

Saya tinggal bersama mertua dan maid. Suami saya ada bisnes sendiri. Rumah saya juga bersebelahan dengan ipar2 saya.

Waalaikumussalam,

Terima kasih kerana menjenguk blog saya, mudah-mudahan ada yang baik-baik untuk kita kongsikan bersama, insyaAllah.

Saya telah edit sedikit-sebanyak persoalan yang Puan kemukakan, demi perkongsian lebih baik untuk sahabat lain di sini. Jawapan saya secara umum, mudah-mudahan ada pencerahannya, insyaAllah.

Apabila saya membaca perenggan pertama persoalan daripada Puan Nazura, ada dua perkara yang tentunya menarik perhatian untuk kita kongsikan;

  1. Tinggal bersama mertua
  2. Tinggal bersebelahan dengan ipar duai

Perkongsian yang lumrahnya banyak berlaku, terutamanya kepada pasangan yang baru memulakan kehidupan berumahtangga.

Tentu sekali kehidupan berkeluarga bagi pasangan baru yang tinggal sebumbung dengan mertua, apatah lagi berjiran pula dengan ipar-duai akan mengundang persepsi yang tersendiri.

Jadi bagaimana untuk kita menggapai bahagia disamping keluarga sendiri yang baru dibina?

Jawapan umum, jadilah diri sendiri.

Jawapan yang kelihatan mudah, tetapi praktikalnya memanglah susah. Tetapi tidaklah sesusah mana jika kita tahu apa prioritinya dalam kehidupan berumahtangga yang telah kita bina selama ini.

Hidup serumah dengan mertua mahupun ‘keluarga’ yang lain tentunya perlu kepada sikap toleransi yang baik. Jangan terlalu mementingkan keluarga sendiri, tetapi perlu juga ‘memberi ruang’ kepada keluarga lain yang juga sebenarnya mempunyai masalah yang agak sama dengan kita juga.

Jika kita rasa tidak bebas hidup ‘menumpang’ begitu, mereka juga tidak bebas sebenarnya.

Jika kita rasa tidak selesa kerana terpaksa berkongsi itu ini, maka mereka juga begitu sebenarnya.

Jika kita rasa sukarnya mahukan ‘privacy’ untuk keluarga sendiri, mereka juga merasa apa yang kita rasa sebenarnya.

Maka, bertolak-ansurlah.

Tetapi harus diingat, jangan pula kerana kita tinggal di rumah mertua, adik-beradik yang lain tidak teragak-agak untuk menjadikan kita ‘tukang’ segala-galanya.

Tukang memasak apabila berkumpul?

Tukang bersihkan rumah apabila berkumpul?

Tukang beli barang keperluan apabila berkumpul?

Jika kita sendiri yang sudi melakukan semua kerja tukang ini, maka kita tidak jauh beza dengan peranan orang gaji sahaja.

Kita bersedia untuk menjadi orang gaji? Jika jawapannya TIDAK, maka kembalikan status diri sendiri, kita juga ahli keluarga sebagaimana orang lain yang berkumpul di rumah orang tua juga. Suami kita juga perlu faham etika ini, jadilah ‘pelindung’ yang baik kepada isteri anda dari ‘didera’ semasa keluarga berkumpul beramai-ramai. Untuk isteri, bersyukurlah kerana anda telah memiliki seorang suami yang sayangkan keluarganya.

Tidak dapat tidak, tinggal bersama mertua ada masanya kita merasa sedikit tertekan. Emosi cepat tersentuh – maka mulalah mahu menangis, berkurung saja dalam bilik, memberontak dengan suami, marahkan anak-anak, dan apa saja yang mungkin kita lakukan semata-mata untuk melepaskan beban yang ditanggung. Mungkin suami akan memujuk; sabarlah! – jawapan standard!

Maka kita pujuklah diri sendiri pula – anggaplah kita bertuah kerana dapat berbakti kepada orang tua – mertua juga adalah ibubapa kita. Hulurkan tenaga yang ada buat mereka, cekalkan hati dengan melihat jauh ke hadapan, bahawa Allah itu akan membalas segala apa yang baik telah kita lakukan seikhlas mungkin buat mereka.

Namun, jika kita sendiri ada keinginan untuk memiliki rumah dan membina kehidupan berkeluarga sendiri, maka berbincanglah sebaik mungkin dengan suami. Ambil pendekatan yang sesuai supaya tiada hati yang akan terguris terutamanya mertua. Panjangkan doa semoga impian untuk membina masa depan keluarga dengan lebih baik akan dimakbulkan Allah suatu masa nanti, insyaAllah.

10.01am

5 Responses

  1. saya dulu pernah tinggal dengan mertua, hampir 10 tahun. saya kerja di kl, isteri surirumah bersama tiga anak, tinggal bersama ibunya (mertua saya). sepanjang tempoh itu, saya berulang alik dari kl ke kb setiap minggu, hujan panas, ribut petir serta musim banjir. naik bas, kapal terbang dan kereta, apa saja kenaikan yang boleh bawa saya berjumpa keluarga.

    Penah naik van duduk di lantai untuk pulang berhari raya sebab tidak ada tiket.

    Selepas dua tahun tinggal, bapa mertua meninggal dunia akibat kanser. Jadi kebetulan, isteri sanggup berkorban untuk temankan ibunya dan saya sanggup korbankan keadaan, untuk berulang alik dari kl ke kb dan duduk berseorngan di kl.

    Ibu mertua tinggal berseorang diri sebab anaknya yang lain melanjut pelajaran serta bekerja di jajahan lain. Jadi saya suruh isteri temankan dan saya akan berulang dari kl ke kb.

    Ada ketika, memang tidak dinafikan ada angin dalam diri terhadap ibu mertua, namun saya dapat kawal dengan baik sehingga sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

    Tinggal dengan mertua ni, kena sedar siapa diri kita dan perlu bersikap profesional serta saling hormat menghormati. Jangan rasa kita hebat, perlu give and take.

    Syukur, selepas 10 tahun, rezeki tuhan, saya dapat membina sebuah kediaman sendiri yang cukup untuk melindung anak isteri dari hujan panas. Malah kediaman itu juga membolehkan mertua saya ini, datang tidur di rumah apabila beliau rindu ke anak cucunya. Nasib baik rumah saya itu dekat dengan rumah mertua.

    Kini mertua saya duduk seorang diri di rumahnya, dan akan berulang tidur di rumah anaknya. Di sini, rasa kesian timbul sebab akhirnya ibu mertua duduk seorang diri.

    Dia selalu kata rasa sunyi terutama selepas anak cuci balik untuk semula selepas cuti bersama. Ketika ini dia akan datang tinggal di rumah saya. Dapat bersama anak cucu.

    Moral of the story, hormati orang tua serta orang lain. Kita akan rasa hidup selesa walaupun di mana berada. Anggap mertua kita itu part of our family.

    • Terima kasih atas perkongsian saudara, semoga ada manfaatnya untuk saya dan sahabat yang lain di sini.

      Tinggal di rumah mertua, mahupun mertua tinggal bersama kita memang ada cabarannya. Tetapi isteri saudara lebih bernasib baik kerana tinggal di rumah ibunya sendiri, berbeza dengan isteri yang tinggal di rumah mertua. Perempuan ni kan banyak emosi, dengan mak sendiri sudah biasa itu ini sejak kecil, tetapi apabila isteri tinggal di rumah mertua memang ada kekoknya apatah lagi kepada pasangan yang baru berkahwin.

      Alhamdulillah, saudara sudah memiliki rumah sendiri kini, mudah-mudahan dapatlah mengecapi lebih kebahagiaan hidup berkeluarga.

      Saya faham benar bagaimana rasanya hidup bersama keluarga lain dalam satu rumah. Saya sendiri rasanya lebih kurang lima tahun jugaklah tinggal di rumah ibubapa sendiri, sementara menunggu rumah sendiri siap.

      Tetapi itu semua suatu proses kematangan dalam kehidupan, terutamanya kehidupan berumahtangga.

      Tinggal bersama orang tua ada baiknya apabila kita mendapat khidmat nasihat yang ikhlas daripada orang tua yang banyak pengalamannya, ia juga mengajar kita lebih mengawal emosi apabila berhadapan dengan pendapat yang bercanggah dengan pemikiran orang muda. Apapun, kita terima dengan hati yang terima, bersyukur diatas segala nikmat Allah itu adalah jalan utama untuk sentiasa berlapang dada dalam apa jua ujian yang melanda.

      Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan dunia dan kesejahteraan di akhirat sana, insyaAllah!

    • terima kasih..satu tips yang sangat berguna ..dan untuk pertama kali nya saya berjumpa dgn org yg suka tggl dgn mertua.untuk pengetahuan puan,saya juga tggl dgn mertua dan kadang2 ada juga makan hati..

  2. saya juga seorang wanita yg tinggal dgn mentua sementara menunggu istana siap dibina. Istana itu nanti akan didiami juga mak mentua. Soalnya istana belUm didirikan…dan kini rumah mak mertua tiada bilik. Kami berlima tido di ruang tamu. urgent…rumah terbakar. Wajar atau tidak mendapatkan sebuah rumah sewa?

    • Daripada kenyataan diberikan, saya tidak pasti berapa orang anak yang Puan miliki – teka saya; dua orang anak – tidak tahu jantina dan masih kecil.

      Walaubagaimanapun, anak-anak ini pastinya akan membesar dan seharusnya diberi perlindungan dan keselesaan sewajarnya kepada mereka. Jika mereka masih dibawah umur 10 tahun tidak mengapalah jika dibiarkan tidur begitu sahaja di ruang tamu, tetapi jika umurnya sudah meningkat amatlah sangat tidak sesuai untuk anak-anak lelaki dan perempuan tidur di ruang yang sama.

      Melihat kepada permasalahan yang diutarakan, sememangnya saya berharap situasi ini mampu diubah dengan kadar segera. Sekurang-kurangnya diwujudkan satu bilik untuk suami isteri adalah suatu yang wajib. Jika masih didalam kemampuan, sangatlah baik sekiranya Puan berbincang dengan suami untuk menyewa rumah terlebih dahulu, sekurang-kurangnya yang mempunyai dua buah bilik tidur – sebuah bilik tidur untuk suami isteri dan sebuah lagi bilik perkongsian untuk mertua dan anak-anak (jika mereka masih kecil). Namun jika telah mempunyai anak lelaki dan perempuan yang sedang meningkat remaja seharusnya mereka memerlukan bilik berlainan.

      Rumah bukan sekadar untuk berteduh dari panas dan hujan, tetapi di sinilah tempat untuk setiap ahlinya mendapat sokongan motivasi bagi meneruskan perjuangan dalam kehidupan ini. Persekitaran tempat tinggal adalah antara faktor utama yang akan menentukan perkembangan fizikal dan mental bagi setiap individu. Lemahnya keadaan sesebuah rumahtangga kebiasaannya mampu juga merosakkan jatidiri seseorang individu itu.

      Sentiasa berfikiran positif untuk mengatur kehidupan Puan sekeluarga kearah yang lebih baik. Mungkin ianya memerlukan satu semangat yang kental dan modal yang agak besar, tetapi bermula dengan impianlah, insyaAllah dengan doa yang berterusan cita-cita untuk memiliki rumah sendiri dalam masa terdekat ini akan tercapai. Dalam pada menguruskan impian yang satu ini, pastikan perbelanjaan rumahtangga dilakukan secara berhemah. Dahulukan apa yang wajib sahaja – keperluan kemestian untuk sebuah rumahtangga dan urusan pendidikan anak-anak – kesampingannya tolak ketepi dahulu supaya keazaman untuk tinggal di rumah sendiri sentiasa menjadi keutamaan. Jika Puan mempunyai kemahiran sampingan seperti menjahit, memasak, mahupun berniaga, bolehlah mengembangkan bakat ini untuk menambahkan pendapatan seisi keluarga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: