• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2016
    S M T W T F S
    « Jun    
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Maksiat

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Lailatul-Qadr…nikmat prima gandaan pahala Ramadhan.

Salah satu nikmat Ramadhan adalah berkurangnya perilaku maksiat. Maksiat yang akan menyebabkan iman kita cacat. Iman yang cacat akan menyebabkan kita hilang rasa takut kepada Allah.

Bagaimana untuk kita tahu hilangnya rasa takut itu?

Jawapan yang paling mudah apabila kita tidak khusyu’ didalam solat. Ya, betapa sukar untuk kita khusyu’ didalam solat, itulah petanda awal kita masih dan sedang bermaksiat kepada Allah. Iman tetap bertapak di hati, namun iman kita ini cacat. Jangan berterusan melakukan maksiat kerana hati akan bertambah hitam dengan palitan dosa, kelak tiada hidayah Allah, disaat itulah hati tidak lagi dapat menilai baik buruk sesuatu perkara.

Melakukan apa saja bentuk maksiat akan memberi kesan yang buruk kepada hati kita. Satu bentuk maksiat yang diakukan akan membenihkan pelbagai jenis maksiat lain. Apabila telah melakukan maksiat itu dan ini, disaat inilah si pelaku tersebut akan merasakan apa yang dilakukan itu adalah perkara remeh sahaja, tidak lagi menganggapnya sesuatu yang memalukan, langsung menghilangkan rasa takutnya kepada Allah.

Bagaimana untuk mendapatkan iman yang sempurna?

Bertaubatlah! Mohonlah kepada Allah sentiasa diampunkan segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Jangan lupa untuk sentiasa beristighfar dan menambahkan amalan baik, semoga segala tindakan kita ini mampu menyempurnakan kembali iman di hati yang masih berbaki.

Sentiasa ingat kepada kematian, mudah-mudahan dengan mengingati mati yang tidak tahu bilakah waktunya ini mampu memberi pencegahan kepada kita dari melakukan apa jua jenis maksiat. Mohon sentiasa kepada Allah semoga umur yang masih berbaki ini akan dipenuhi dengan amal soleh. Kita tidak mahu umur yang panjang tetapi penuh dengan bermaksiat kepada Allah.

Husnul-khatimah

Biar kita akhiri umur ini dengan pengakhiran yang baik. Untuk mendapat pengakhiran yang baik (husnul-khatimah) bukan suatu yang mudah. Hanya orang-orang yang taat kepada Allah dan Rasul serta beramal soleh sepanjang hayatnya mampu memiliki pengakhiran yang terpuji ini. Kita juga mahukan pengakhiran hayat yang baik, maka berdoalah sentiasa untuk mendapat husnul-khatimah, dan doa yang mudah dimakbulkan Allah adalah daripada hamba-hambaNya yang beriman, banyak mengamalkan sunnah, sentiasa beramal soleh, berterusan membuat kebajikan kepada orang lain, paling penting adalah menjauhi segala perbuatan maksiat kepada Allah.

Jangan ada keinginan untuk melakukan maksiat kerana mati itu tiada tertangguh. Perbanyakkan istighfar, berzikirlah selalu kerana lafaz yang mulia ini mampu melemahkan nafsu. InsyaAllah sama-sama kita lakukan yang terbaik untuk mendapatkan pengakhiran yang terpuji.

Sehingga ketemu lagi…

11.35am

Berdoa

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Salah satu nikmat Ramadhan adalah kurniaan waktu mustajab doa.

Jom kita ambil peluang sepanjang Ramadhan ini untuk berdoa, bukan sekadar bicara biasa tetapi berdoa juga adalah satu cara untuk kita berhubung dengan Allah.

Samada impian yang hanya tertanam di hati, mahupun dengan tuturkata memohon dan meminta-minta kepada Allah, itulah yang dikatakan sebagai doa. Senang bukan? Boleh saja kita berdoa sepanjang masa walau dimana kita berada, kerana Allah itu maha Mendengar dan Maha Memakbulkan.

Walaubagaimanapun, lebih elok jika kita beradab semasa berdoa. Lebih beradab, lebih mustajab, insyaAllah. Antara adab semasa berdoa adalah merendahkan suara ketika berdoa, penuh pengharapan ketika meminta-minta kepada Allah, berdoa dengan kalimah-kalimah yang baik, terutamanya dengan doa-doa yang pernah didoakan oleh para Nabi, tidak sesekali berdoa dengan meminta sebarang keburukan keatas diri sendiri, ahli keluarga mahupun harta benda, dan pastinya mesti yakin bahawa setiap doa yang kita panjatkan akan dimakbulkan Allah.

Waktu berdoa juga ada masanya yang tertentu untuk lebih mustajab. Antara waktu mustajab doa adalah ketika Ramadhan ini. Ketika kita sedang berpuasa, waktu hampir berbuka puasa, saat kita bangun untuk sujud pada sepertiga akhir malam, usai khatam al-Quran, dan sudah tentunya malam terbaik yakni Lailatul-Qadr.

Berdoa juga akan melahirkan rasa kehambaan kita kepada Allah. Jika Nabi Muhammad saw pun tidak putus-putus berdoa memohon segalanya kepada Allah, sedangkan baginda merupakan hamba Allah yang terpilih, apatah lagi kita ini hamba Allah yang serba-serbi kekurangan, maka tersangatlah perlu berdoa memohon segala-galanya daripada Allah.

Maksiat

Jikapun kita telah berdoa dengan penuh beradab dan pada waktu yang tepat, masih lagi ada doa yang diminta-minta tidak juga dimakbulkan Allah. Hal ini mungkin kerana kita masih bermaksiat kepada Allah. Maksiat inilah yang menjadikan doa kita terhijab dari dimakbulkan Allah. Maka latihlah diri untuk menjadi lebih baik. Cukupkanlah solat lima waktu, hindarkanlah diri dari perbuatan yang sia-sia seperti suka melihat maksiat, berfikiran kotor, sentiasa berbicara dengan perkataan yang negatif, dan sentiasalah membaca al-Quran, mudah-mudahan perubahan positif yang menjadi amalan harian ini mampu mendekatkan diri kita kepada Allah.

Jangan lupa berdoa memohon hidayah daripada Allah semoga kita sentiasa berada di jalan yang tepat menuju ke syurgaNya.

Sehingga ketemu lagi…

3:37pm 

Disiplin

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Hari ini mahu bicara perihal Ramadhan dan keluarga juga. Saya sangat suka menulis perihal kekeluargaan, terutamanya sentuhan kepada anak-anak.

Sepanjang Ramadhan ini jadual harian anak-anak saya juga berubah, waktu mengaji al-Quran diawalkan kepada selepas asar kerana selepas maghrib adalah waktu makan. Waktu mandi petang yang kebiasaannya 6.30 petangpun diubah kepada 4 petang, untuk mengelakkan makruh. Waktu menonton tv dikurangkan, perlu tidur seketika selepas zohor untuk bekalan tarawikh malam nanti dan waktu tidur malam diawalkan untuk memudahkan bangun sahur.

Semua ini adalah suatu bentuk disiplin yang perlu dilatih. Perlu diberitahu kenapa mereka mesti lakukan ini semua demi mendapatkan puasa yang lebih baik. Jikalah mereka dapat berdisplin sepanjang Ramadhan ini, maka besarlah juga harapan saya untuk mereka semua menjadi insan soleh pada sepanjang kehidupan mereka, insyaAllah.

Kebiasaannya saya memberi upah duit kepada anak-anak darjah 1 – darjah 3 apabila mereka berpuasa. Darjah 4 tiada lagi ganjaran kerana mereka sudah diwajibkan berpuasa penuh. Kalau adapun, mereka boleh memilih juadah berbuka pilihan sendiri di bazar Ramadhan sahaja. Bukan setiap haripun, jika berkebetulan lalu dimana-mana bazar Ramadhan dan orang tidaklah memenuh, kebiasaannya saya mengambil peluang mencari-cari juadah yang kecur di hati.

15 minit sebelum berbuka saya pun potpet menyuruh anak-anak berwudhu’ dan berkumpul di meja makan, memberitahu mereka perihal mustajabnya tempoh waktu sewaktu hampir berbuka puasa. Maka berdoalah mereka seadanya apa yang dimahukan, tak ketinggalan mahu mendapat nombor 1 di dalam kelas, kerana hadiahnya yang begitu menggiurkan, sebuah basikal baru!

Untuk saya juga, terlalu banyak tempoh mustajab doa yang telah diabaikan sepanjang kehidupan ini. Jom sahabat, kita berubah! Kita ambil peluang tempoh mustajab doa sewaktu hampir berbuka puasa ini dengan doa dan pengharapan yang terbaik. Paling penting mohon dosa-dosa diampunkan, dikurniakan syurga dan tidak lupa buat insan-insan tersayang, tentunya ibubapa dan semua ahli keluarga.

Sehingga ketemu lagi…

10.10am

Didikan

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Apa khabar Ramadhan anak-anak kita?

Anak-anak perlu dididik untuk memuliakan ibadah puasa sedari kecil agar dewasa kelak akan memudahkan lagi kefahaman mereka tentang ibadah ini secara mendalam.

Asuhan rohani perlu diterapkan berteraskan Islam sejak anak-anak mukallaf agar mereka membesar sebagai insan yang soleh.

Anak-anak kecil perlu dilatih berpuasa setakat mana kemampuan mereka. Latih mereka untuk menahan nafsu makan dan minum di siang hari, kemudian barulah seiring dengan asuhan rohani dengan memperdengarkan kelebihan-kelebihan berpuasa disisi Allah. Saya sendiri melatih anak-anak berpuasa penuh usai usia mereka tujuh tahun. Sebelum usia tersebut saya memberikan mereka kebebasan samada mahu berpuasa mahupun tidak. Apabila berusia tujuh tahun saya cuba didik mereka untuk berpuasa penuh, dapat seharipun ok lah, kalau dapat seminggu syukur sangat, kalau dapat lebih dari itu, memang anak itu sangat berkeinginan.

Saya juga cuba mengajar anak-anak perihal ibadah sampingan sepanjang Ramadhan ini. Paling sukar bangun qiam! Huhu…Mungkin saya yang perlu menjadi lebih baik supaya mampu menjadi idola kepada anak-anak. Paling seronok anak-anak suka bersedekah. Pastinya saya mengharamkan segala jenis bunga api dan mercun! Kata saya, daripada membakar duit lebih baik kita bersedekah, pahala pun dapat dan insyaAllah rezeki lagi dimurahkan Allah.

Apa yang penting adalah disiplin. Jika mahu anak-anak menjadi lebih baik dari kita, maka terapkan disiplin dalam kehidupan mereka. Harus diingat, kita juga harus berubah kepada yang lebih baik dari hari ini. Biar satu keluarga berubah kearah yang lebih baik, kita akan rasa keharmoniannya.

Sehingga bertemu lagi…

8.53am

Amalan Baik

Salam Ukhuwah…

Apa khabar Ramadhan…

Ramadhan yang bukan sahaja mewajibkan semua ummat Islam berpuasa, malah lebih dari itu. Ramadhan yang mengajak kita semua meraikan erti sebenar beribadah dengan memperbaiki dan meningkatkan lagi prestasi amal ibadat ke tahap terbaik dan juga menambahkan peratusan amalan baik sepanjang bulan ini.

Selain daripada menahan diri dari semua perkara yang boleh membatalkan puasa, dalam sedar mahupun tidak, puasa juga membantu kita mendidik nafsu. Puasa menjadikan kita lebih beriman, lebih bersabar, jiwa terasa lebih terdidik, perbuatan dan pemikiran juga sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Ini semua kerana kita berkeinginan untuk memperoleh puasa terbaik, insyaAllah diterima Allah.

Dalam tempoh berpuasa, banyak amalan baik yang dituntut untuk kita lakukan sebagai elemen tambahan mempertingkatkan lagi kualiti puasa. Perbanyakkanlah istighfar, berdoa memohon keampunan, mengaji al-Quran, membaca zikir al-ma’thurat, bersedekah, memberi makan orang lain yang juga berpuasa, dan banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilakukan. Jangan sekadar berpuasa yang menahan diri dari makan dan minum, terbaring lesu, menunggu-nunggu waktu berbuka tanpa melakukan apa-apa yang bermanfaat, ini hanyalah peringkat puasa umum – peringkat puasa yang paling rendah, setaraf puasa anak-anak kecil sahaja yang baru berjinak-jinak untuk belajar berpuasa.

Betulkan matlamat bahawa kita berpuasa adalah untuk meningkatkan tahap ketaqwaan kepada Allah. Jadikan puasa itu sebagai satu ibadah yang boleh mengikat jiwa kita kepada Allah. Sehingga 3 Ramadhan ini ditahap manakah status puasa kita? Sekurang-kurangnya puasa yang kita jalani 3 hari ni sudah memberi kesan kepada nafsu, yang turut mahu berlumba-lumba melakukan apa jua amal soleh, bukan sekadar melayan nafsu di bazar Ramadhan sahaja.

Puasa sebenarnya adalah suatu bentuk didikan untuk mewujudkan nafsu yang sihat. Nafsu yang baik ini mampu memberi kekuatan kepada jiwa, secara tidak langsung membantu membentuk karektor yang baik kepada diri. Karektor diri pula berkaitan langsung dengan perbuatan fizikal iaitu akhlak. Disinilah manifestasi individu itu terserlah, baik dari segi cara mereka berfikir dan bertindak.

Sehingga bertemu lagi…

3.47pm

Menulis

Salam Ukhuwah…

Rasanya sudah cukup lama tidak menulis…

Walaupun niat untuk menulis sentiasa berkobar-kobar, tetapi kalau semangat tu menipis, maka menipis jugalah harapan untuk masuk ke sini.

Tak kiralah betapa saya suka kepada bidang penulisan, tetapi kalau asyik beralasan memang satu kerjapun tak menjadi. Betulkan?

Hari ini entah semangat mana yang menyeru…saya cuba kembali untuk menulis. Semangat Ramadhan mungkin! Barangkali ya.

Alhamdulillah, kita dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan yang penuh barakah ini. Semoga hayat yang masih dikandung badan ini tidak kita sia-siakan untuk terus melaksanakan ibadah sepanjang Ramadhan ini. Moga tiada apa yang boleh menghalang semangat kita untuk lakukan yang terbaik pada Ramadhan kali ini, insyaAllah.

Setiap kali mahu menghadap Ramadhan saban tahun, saya cuba membuat sedikit ulangkaji untuk diri sendiri, memberi sedikit suntikan rohani kepada jiwa agar tidak ketinggalan dalam memeriahkan sambutan bulan ibadah ini. Saya membaca itu dan ini, mendapat pengetahuan di situ dan di sini…dan terdetik betapa bidang penulisan sangat bermakna jika mendapat sentuhan yang berilmu. Lebih menarik jika setiap pengetahuan itu dapat dikongsi kepada ramai…berkongsi setiap ilmu yang berfaedah dan juga gaya pemikiran penulis itu sendiri. Ya, menulis juga satu cabang kepada seni perhubungan.

Maka apabila sambil membaca sambil berkhayal, maka hari ini terasa ringan jemari saya untuk menulis. Tapi mahu menulis apa ya…?

Ramadhan

Menulis perihal Ramadhan mungkin…yang sudah melewati ke angka 2 hari ini. Sudah dua hari kita menjejakinya.

Sudah dua hari kita berpuasa.

Sudah dua malam kita bertarawikh.

Sudah dua hari kita cuba menjadi diri yang lebih baik, yang lebih berdisiplin dalam melaksanakan semua jenis amal ibadat.

Sudah dua hari kita melakukan amal kebajikan tambahan, bersedekah pada setiap hari, membaca al-Quran sehingga mampu menghabiskan 1 juz sehari – jika sebelum ini tidak –

Sudah dua malam kita bangun seawal waktu untuk bertahajjud.

Banyak lagi perubahan yang akan kita lakukan, demimu Ramadhan. Itulah istimewanya Ramadhan. Bulan yang penuh ikatan kejiwaan, yang menghidupkan kembali jiwa yang separuh mati.

Sehingga bertemu lagi…

 

3:53pm

Cemburu

Salam Ukhuwah…

 

“Janganlah mudah cemburu kerana cemburu itu kunci penceraian. Janganlah banyak mencela kerana mencaci itu hanya membuahkan kebencian. Hendaklah engkau memakai celak kerana celak itu hiasan yang paling indah. Minyak wangi yang paling harum adalah air…”

~ Abdullah bin Jaafar ~

 

Itu pesan seorang ayah kepada anak perempuannya yang ingin melangsungkan perkahwinan.

Siapa Abdullah bin Jaafar?

Beliau merupakan cucu kepada Abu Thalib, yang berkahwin dengan cucu Rasulullah s.a.w., Zainab, lalu dikurniakan empat orang putera dan seorang puteri, iaitu Ummu Kaltsum.

 

Hebat pesan seorang ayah buat puterinya yang akan melangsungkan perkahwinan – jangan mudah cemburu, jangan mencela mencaci kepada suami, bersoleklah untuk suami, dan berwangianlah apabila berada bersama suami.

Membacanya bagaikan mudah, tapi sebenarnya bukan mudah!

Nak tahu apa pesan bonda saat saya hampir bergelar seorang isteri? Pesan bonda saya, layan suami dengan baik. Itu sahaja! Tak ada yang lebih. Saya senyum sahaja, terasa kacang sangat! Tapi…apabila sudah memegang gelaran isteri, oh…bukan mudah…baru tahu saya sangat banyak kekurangan. Saya budak baru belajar rupanya. Syukur Alhamdulillah mendapat suami yang tahap kesabarannya sangat tinggi. Terima kasihlah Encik Suami kerana menerima saya seadanya…

Berbalik kepada tajuk saya – cemburu – tiada kaitan dengan sesiapapun apabila saya memilih tajuk ini untuk berkongsi dengan sahabat semua, sekadar untuk percambahan fikiran semata, lebih-lebih lagi cemburu di antara suami dengan isteri, apabila saya terbaca banyak kes penceraian yang berlaku hari ini adalah kerana sikap cemburu yang keterlaluan kepada pasangan masing-masing.

Berlebihan

Cemburu kepada pasangan tidak salah, salahnya apabila kita mula cemburu berlebihan, mula berfikiran terlalu negatif terhadap situasi yang sedang berlaku ketika itu. Adakalanya kerana cemburu kita mula terasa bahang, terancam, risau, takut, lemah, dan pelbagai perasaan negatif yang lain mula menguasai diri.

Sifat cemburu itu sendiri sebenarnya merupakan perasaan normal dalam perhubungan sesama manusia, lebih-lebih lagi kepada pasangan suami isteri. Tidak kiralah samada suami mahupun isteri, bijaklah dalam menguasai situasi cemburu tersebut.

Suami isteri mana yang tidak pernah cemburu? Saya pun pernah cemburu kepada suami. Langkah saya, berterus-terang saja. Saya tidak suka emosi negatif menguasai diri, takut nanti makin berapi jadinya. Tarik nafas, positifkan fikiran, mulakan dengan bertanya, berbincang seadanya, elakkan perbalahan supaya tiada konflik yang lebih panjang. Jujur kepada pasangan adalah terapi terbaik.

Hidup ini perlukan satu semangat yang kuat, motivasikan diri sendiri untuk mendepani hari-hari yang akan datang. Lebih penting dari segala-galanya, sentiasa dekatkan diri dengan Maha Pencipta, kerana Dialah yang paling memahami, sumber kekuatan kita yang sebenar-benarnya.

 

11.50pm

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.