• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2009
    S M T W T F S
        Jan »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Ta’aruf

Salam Ukhuwah…

Serba sedikit tentang diri saya.

Nama saya membawa maksud ‘cita-cita kami’. Sepengetahuan saya, semua nama adik-beradik diberikan oleh ayahanda. Saya menyukai nama saya sendiri, dan juga setiap nama adik-beradik saya kerana ia hanya ringkas, senang disebut dan bermaksud yang baik. Saya pula memanjangkan rasa suka itu kepada anak-anak saya yang mempunyai nama-nama yang ringkas sahaja. Atas persetujuan suami, saya yang memberikan nama kepada anak-anak saya, atas alasan, sebagai upah kepada saya yang letih mengandung zuriat kami dan peritnya melahirkan mereka.

Ramai yang bertanya umur saya, maka pada tahun ini umur saya genap 32 tahun.

Sepertimana adik-beradik saya yang lain, tadika rasmi kami adalah tadika Islam di hadapan rumah kami. Menginjak usia tujuh tahun, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat. Namun Kedai Lalat itu kini telah ditukar namanya, dikenali pula sebagai Kota Jembal.

Tamat sudah usia kanak-kanak, saya menyambung pencarian ilmu saya di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Anuar. Kini tiada lagi nama tersebut, yang ada Maahad Darul Anuar (MADA). Saya hanya di sana beberapa bulan sahaja, kemudian meneruskan pengajian di SMU(A) Maahad Muhammadi (P).

Cita-cita pertama saya adalah Cikgu. Bermula dari itu, maka banyaklah cita-cita saya yang sering berubah-ubah seiring perubahan usia saya, nampaknya ia telah menjangkit anak saya yang sering saja berubah cita-citanya. Saya pernah ingin menjadi doktor dan sebelum mengambil SPM, cita-cita saya yang terakhir adalah Wartawan. Sekarang ini nampaknya wartawanlah yang mencari fasal dengan saya.

Saya menyambung lagi pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (Skudai). Melanjutkan Sarjana Muda saya di Universiti Malaya (KL).

Menganggur selama enam bulan, saya memulakan kerjaya di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), sehinggalah saya memilih jalan untuk menjadi suri.

Sorotan

Kiranya semua sahabat-sahabat telah sedia maklum siapa ayahbonda saya. Usah lagi saya ta’arufkan siapa mereka. Seronok menjadi anak mereka? Adakala rasa seronok, dan tentu ada juga rasa sebaliknya, seperti hari ini…menimbunnya kejian, meratanya pujian. Itu hakikat pada semua kehidupan. Semoga kita semua tidak akan pernah menyesal siapa kita kepada kedua ibubapa kita. Mereka yang bersusah payah mengajar kita erti sebuah kehidupan, maka taatilah mereka untuk selamanya. InsyaAllah ada berkatnya kehidupan kita pada setiap masa.

Saya menjadi bongsu selama tujuh tahun sebelum adik saya dilahirkan. Sempat sangat untuk saya menjadi anak manja pada ketika itu. Seingat saya, banyak kali benar saya ke Kuala Lumpur, menemani bonda yang mengiringi ayahanda saya ke parlimen. Seingat saya lagi, pernah sekali saya dibawa ke Parlimen, tapi bukan untuk melihat dan mendengar perbahasan, tapi sekadar ‘berkenalan’ dengan wajah Parlimen. Selebihnya saya berada di hotel bersama bonda. Apa yang saya banggakan, bonda tidak pernah lupa membawa al-Quran Muqaddam saya, mengajar saya al-Quran walau diwaktu kami berpergian. Andai ayahanda menelefon, dia akan bertanya saya, ‘hari ini mengaji apa?’ Saya akan memberitahunya Surah mana yang bonda ajar pada hari itu. Jika betul ingatan saya ini, sewaktu itu usia saya lima tahun.

Ada ketikanya saya masih berkesempatan mengaji al-Quran ditemani pelita di rumah kami, kerana letrik pada waktu itu sering saja putus-putus. Usai mengaji, kami adik-beradik sibuk pula menghadap cermin, melihat lubang hidung kami yang kehitaman dipenuhi asap! Sambil tergelak-gelak kami mencucinya.

Saya sekeluarga sememangnya dibesarkan dalam keadaan serba sederhana. Baik dari segi makan minum, bual bicara, pakaian sekalipun, semuanya sedan-sedan sahaja. Hatta ingin bergurau senda dengan adik-beradik sekalipun, gelak tawa kami mesti dikawal volumnya. Tengok tv pun jangan sampai ‘suaranya’ masuk ke ruang lain. Cukup untuk telinga kami saja.

Sewaktu saya kecil juga, sentiasa saya pergi mengikuti program mengajar agama ayahanda saya di Kelab Pas. Sekarang ia dikenali sebagai Kuliah Jumaat di Pejabat Perhubungan Pas Negeri, Jalan Dato Pati. Namun saya tidak pergi dengan ayahbonda, pengasuh saya yang suka sangat membawa saya ke sana. Apa yang saya seronok pada waktu itu bukannya mendengar kuliah ayahanda, tapi sarapan pagi, nasi berlauk gulai kuning yang enak itu sering menggamit saya ke sana. Saya lupa di mana tempat pengasuh saya membelinya, tapi sebelum kuliah dimulakan, kami berdua akan duduk di atas tikar, di bawah tangga tingkat satu Kelab Pas itu, bersama-sama menjamah nasi berlapik daun pisang itu. Rindunya saya pada saat itu…Sehingga kini, pengasuh saya itu masih ada, dan usianya menjangkau 70 tahun.

Kerana saya yang paling kecil dalam keluarga pada waktu itu, saya senang dibawa kemana-mana saja mengikuti program ayahbonda. Saya seronok dibawa berjalan-jalan hatta ke hulu Kelantan pun. Saya pernah ke perkampungan Orang Asli, Pos Broke, menaiki pajero, melalui jalan lori balak, yang saya rasa bagaikan babak-babak dalam cabaran Camel Trophy, sehingga badan saya yang kecil itu melambung, maka kepala saya terhantuk kepada bumbung pajero. Tidak cukup dengan itu, ketika saya tidur mengiring, saya dilambung lagi ke lantai pajero kerana jalan belantara yang teruk itu. Namun aksi-aksi ‘ganas’ itu membuatkan saya tergelak. Percayalah, bahawa saya memang sukakan cabaran sebegitu, sehinggalah sekarang ini.

Itu semua hanya tinggal kenangan. Kini, tiada lagi aksi-aksi cemas ketika kami berkonvoi melalui cerunan dan denai ke mana-mana perkampungan Orang Asli yang lain. Pemandangan yang terlalu indah menemani sepanjang jalan Lojing. Itulah namanya sebuah pembangunan.

Sembahyang berjamaah di masjid adalah didikan ayahbonda saya. Alhamdulillah, kerana rumah saya hanya beberapa langkah sahaja untuk ke masjid. Setiap malam Khamis dan Jumaat, kakak saya yang menjadi ‘pengawal penguatkuasa’ yang agak garang untuk memastikan kami adik-beradik mendengar kuliah ayahanda di masjid itu. Kuliah berkenaan berlangsung dari dulu hinggalah sekarang. Tiada lagi kakak saya yang tegas itu mengawal kami kini, yang ada hanyalah kesedaran kami sendiri. Mahu dengar atau tidak? Nafsu kami akan menjawabnya.

Dulu, ayahanda saya juga mengajar agama pada setiap petang Jumaat di masjid tersebut. Seingat saya jadual tersebut diberhentikan apabila dia mula menjawat jawatan Menteri Besar. Kesibukannya makin bertambah. Masih dalam kenangan, setiap kali kuliahnya di masjid itu, ada tabung derma berupa kotak kayu empat segi yang akan dilalukan kepada setiap jemaah yang mendengar. Dari situlah saya mula belajar betapa nikmatnya menderma. Cerita mengenai pahala yang bergayutan di akhirat kelak mampu menawan minda saya ketika itu. InsyaAllah, tarikan menderma itu akan saya pegang hingga ke akhir hayat nanti.

Kesimpulan

Bidang penulisan adalah jiwa saya, rasanya termakbul sudah sebahagian impian saya untuk menyatakan sesuatu kepada masyarakat di luar sana melalui penulisan sebegini. Saya yakin dengan penulisan sebagai suatu wadah penyebaran keindahan Islam. Harapan saya, semoga setiap tulisan yang saya nukilkan ini ada manfaatnya kepada setiap yang membaca, jika tidak 100% memberi sinar, jadilah kiranya 1% itu menghadirkan rasa minat pembaca kepada Islam. Saya mahukan keindahan penulisan ini sebagai sebahagian bekalan saya menuju ke akhirat. Alhamdulillah, rasanya belum terlewat untuk saya bermula…

Cukuplah sekadar ini ta’aruf saya. Akhirnya, saya sentiasa mahu menjadi diri sendiri pada setiap ketika dan di mana saja berada. Saya juga bercita-cita mahu menyampaikan sedikit kebenaran kepada masyarakat di luar sana. Sentiasa saya tagihkan doa daripada ayahbonda, moga-moga mereka meredhai kehidupan ini.

Jika kamu seorang yang mempunyai pandangan, maka jadilah juga seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya suatu pandangan itu akan menjadi rosak, hanya kerana kamu berbelah bagi

~ Abu Tayyib al-Mutanabbi ~

3.15pm

Salam Muharam

Salam Ukhuwah…

Belum lagi separuh bulan, maka tidaklah terlalu lewat untuk saya mengucapkan Salam Muharam 1431 kepada semua. Semoga tahun ini akan menjadi hari-hari yang lebih sempurna dari masa-masa yang telah berlalu. Jika anda semua pernah membuat azam, saya doakan semoga impian itu telahpun tercapai, walau mungkin banyak cabaran yang perlu anda lalui. Ini adalah sebuah kehidupan. Cabaran dan dugaan itu jadikan suatu penglipurlara dalam meniti hari-hari yang berlalu, walaupun ia mungkin suatu yang pahit, jika boleh direnung kembali, tentunya yang pahit suatu ketika dulu telah menjadi manis sudah pada hari ini.

Jika saya boleh berkongsi sesuatu di sini, ingin saya perihalkan beberapa perkara dalam aspek kehidupan kita semua. Semoga ada bahagianya untuk kita sepanjang tahun ini, dan semestinya hingga ke akhir hayat.

Anak-anak

InsyaAllah anakanda kedua saya akan menjejakkan kaki ke darjah satu pada sesi persekolahan akan datang. Saya telah menjanjikan kepadanya akan membuat segala persiapan persekolahan pada minggu hadapan.

Tentunya sebagai seorang ibu, saya juga bersemangat apabila melihat anak-anak mula menjejakkan kaki ke sekolah. Dalam masa yang sama, sedarlah diri ini makin meningkat usianya, maka makin kurang saki baki hayatnya. Saya juga tidak sabar melihat anak kedua saya ini menyarungkan pakaian seragam sekolahnya. Apa yang tidak berubah hanya sekolahnya sahaja, kerana dia sudah tadika di sekolah tersebut.

Untuk anak sulong saya, hanya penyediaan alatulis yang saya utamakan. Jika anak saya telah melepasi darjah satu, tiada yang baru saya sediakan diawal sesi, melainkan alatulis sahaja. Saya mahu mendidiknya begitu. Pakai saja apa yang masih boleh dipakai. Namun saban tahun, setiap kali selepas cuti penggal barulah saya memberinya sepasang persalinan baru dan kasut baru. Ini juga bagi memastikan kewangan saya tidaklah ‘tersumbat’ dalam satu masa. Saya suka mengagihkan kewangan ini mengikut waktu yang tertentu, bukan ditentukan secara bermusim. Selain itu, persalinan baru pada setiap selepas cuti penggal adalah sebagai motivasi baru untuk dia terus bersemangat ke sekolah.

Doa mana-mana ibu sekalipun, tentunya saya juga mengharapkan anak-anak saya berjaya mencapai impian mereka. Biar mereka cemerlang hidup di dunia dan membawa hati yang sejahtera menuju ke akhirat.

Persekolahan

Anak sulong saya bersekolah di sekolah kebangsaan biasa, manakala anak kedua pula saya mengambil peluang untuk menghantarnya ke sekolah kebangsaan jenis cina. Saya mahu dia menguasai bahasa tersebut. Walaupun ia suatu yang sukar kepada saya kerana tidak mampu untuk sepenuhnya membantu sewaktu dia membuat homework, tapi saya tetap sentiasa disisinya waktu itu, walaupun dia banyak bertanya itu dan ini, sehabis modal saya akan menjawab, ‘simpanlah dulu, pergi sekolah esok tanya kawan-kawan ya…’       

Saya mahu memberi motivasi yang terbaik agar dia juga bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang dilakukan. Saya cuba juga melihat buku yang bertulisan petak-petak itu, cuba merealisasikan kefahaman mengikut contoh yang diberikan, namun kadang-kadang fikiran saya sendiripun sonsang untuk menterjemahkan kefahaman yang cuba saya bina. Adakalanya terfikir juga saya untuk mengambil kursus intensif Mandarin…

Namun sehingga kini ia hanya lintasan di fikiran sahaja. Saya masih tidak mampu meluangkan masa kearah itu. Bila masanya, saya sendiripun tidak tahu…Anak saya pula yang beria-ia mengajar saya perkataan itu dan ini, saya menunjukkan kesungguhan kepadanya sambil bertanya lagi itu dan ini, dan saya cuba menyebutnya dalam perbualan harian kami di rumah, namun cuti yang panjang mampu menghakis ingatan saya kepada perkataan-perkataan tersebut kerana anak saya juga ‘bercuti rehat’ dari menguasai bahasa itu. Kata gurunya, sehingga darjah tiga, insyaAllah murid-murid Melayu mampu menguasai bahasa Mandarin dengan fasih. Saya menunggu saat itu…

Menjelang sesi persekolahan baru juga, si kembar saya akan melangkah ke alam persekolahan, insyaAllah PASTI tempatnya. Namun sehingga kini saya masih mencari-cari cawangan PASTI yang manakah akan menjadi pilihan saya. Bab ini saya agak cerewet. Saya sentiasa mahukan yang terbaik dalam pencarian ilmu.

Impian  

Sebagaimana rumahtangga yang lain, saya juga mengimpikan rumahtangga yang saya bina ini akan sentiasa dirahmati Allah swt pada setiap ketikanya. Saya mahu suamkan sedikit suasana yang agak panas yang melanda kami sejak kebelakangan ini. Ujian Allah kami gapai dengan harapan yang besar moga ada hikmahnya disebalik ketegangan yang melanda.

Saya juga mahu blog yang saya bina ini memberi sedikit manfaatnya kepada masyarakat umum. Kejian yang menimbun saya seimbangkannya dengan pujian yang merata. Banyak komen yang saya terima berupa fakta yang terfitnah. Mana mungkin saya boleh menerimanya. Kiranya mahu saya menjelaskannya, harus saya ingat bahawa blog saya ini ‘dijaga’ 24 jam oleh ramai pemerhati-pemerhati di luar sana.

Banyak pengajaran yang saya peroleh langsung di tahun baru ini. Ia suatu semangat yang bagus untuk memulakan tahun baru. Alhamdulillah, saya tetap boleh menjalani kehidupan sebagaimana biasa. Alah bisa tegal biasa.

Masih saya tidak berkesempatan untuk mena’aruf diri. Hanya kepada sahabat-sahabat yang belum mengenali saya, insyaAllah kepada sahabat yang pernah bersahabat dengan saya pada ketika mana sekalipun, saya tetap juga seperti dulu. Rasanya tidak pernah berubah sikapnya. Mungkin pada pemikiran, ia perlu selari dengan keadaan. Hari ini saya makin memahami apa itu politik, mahu tahu apa akannya pada hari esok, dengan harapan yang besar semoga Islam yang didokong oleh PAS akan terus maju, bukan hanya di bumi Kelantan yang teristimewa ini, bahkan menuju jauh menawan Malaysia. InsyaAllah!  

Redha Allah kepada setiap hambaNya itu amatlah saya tagih. Menjadi diri sendiri itu adalah terbaik, bukannya mengikut arus lalang politik hari ini. Teguhkan pendirian kita semua untuk berjuang kerana Allah. Moga-moga ada nilainya pengorbanan kita semua ini di sisiNya, lantas menjadikan kita semua hamba-hambaNya yang ikhlas. Jangan mengotorkan dunia politik kerana ketamakan nafsu yang membuas.

Amalan

Saya mahu terus belajar untuk memperbaiki diri pada setiap masa. Menginsafi kehinaan diri kepada Maha Pencipta moga-moga apabila datangnya waktu itu, kita semua dalam keadaan sebaiknya. Umur tentunya makin meningkat, hayat ertinya makin berkurang. Kesedaran pada setiap saat amatlah penting, semoga kita sentiasa mengambil setiap pengajaran dalam tiap detik waktu yang kita lalui ini.

Kehidupan yang sudah melewati berpuluh tahun ini akan tamat pada bila-bila masa sahaja. Gunapakai sebaiknya talian hayat yang masih dikandung badan. Kalaupun kita masih bersemangat mengejar dunia, jangan sesekali akhirat kita lupakan. Bercintalah dengan akhirat, melebihi kita mencintai dunia. Belajar merindui akhirat, dengan doa-doa yang tiada keputusan, moga-moga ada tempatnya yang terbaik untuk kita disisiNya. InsyaAllah…

Namun, selagi ada hayat di dunia fana ini, teruskan berusaha menggapai yang terbaik dalam kehidupan. Selesaikan semua tanggungjawab ke atasnya. Hindari sifat-sifat mazmumah yang mampu menjahanamkan diri sendiri. Semoga disaat ketikanya datang menyeru, tiada lagi ‘terbuka mata’ menyesali setiap apa yang telah dilakukan. Perkemaskan diri, teruskan berdoa semoga dijauhkan azab Allah yang teramat pedih itu.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka). Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan.

(Al-Hashr 59 : 19 -20)

10.50am

Selamat Kembali…

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, ibu mertua saya selamat kembali ke kampung halaman selepas mengerjakan ibadah Haji baru-baru ini. Saya yang sepatutnya merancang untuk menyambutnya di lapangan terbang terpaksa membatalkan niat, ada aral yang melintang. Tidak mengapalah, di rumah pun kami masih boleh berpelukan, mengucapkan selamat kembali, bertanya khabar, dan membuka cerita yang banyak itu.

 Sepatutnya saya bersama-sama mertua mengerjakan ibadah Haji pada tahun lalu. Tapi apakan daya, segalanya telah tersurat. Andainya kami dapat bersama, tentunya saya ada kenangan yang hebat untuk dikenang. Saya seorang menantu yang bertuah kerana memiliki seorang mertua yang sungguh baik budinya. Baiknya bukan sahaja kepada menantunya yang ini, tetapi kepada semua menantu-menantunya yang berjumlah sebelas orang itu.

Ibadah Haji ini bukan yang pertama kali buat mertua saya, juga kepada saya. Pertama kali bagi mertua saya adalah sebelum saya menjadi menantunya lagi, kepada saya pula adalah 15 tahun yang lalu. Namun siapapun tidak mampu menahan kerinduan untuk mengunjungi Baitullah jika diseru lagi. Kali ini hajat mertua saya kesampaian, dan saya pula adalah sebaliknya.

Ketidaksampaian saya dan suami ke sana pada waktu yang dijanjikan tidak diberitahu secara langsung kepada mertua saya, sementelah kami tidak mahu mengganggu konsentrasi ibadahnya. Ia disampaikan secara jelas kepada abang ipar saya yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan mertua saya di sana, dengan pesanan ‘pandai-pandailah menyusun ayat’ semoga tiada sebarang kedukaan melanda. Hati seorang ibu tersangatlah lembut. Sampaikanlah apa saja alasan yang munasabah asalkan dia tetap bersenang hati di sana. Saya sendiri tidak pernah menelefonnya selama mana dia berada di sana, takut tersasul bicara pula.

Besar harapan saya untuk mengerjakan ibadat Haji pada tahun lalu. Saya mahukan kefahaman yang berbeza dari sebelumnya. Namun tiada saya menduga pengakhiran episodnya begitu. Keputusan membatalkan pemergian ke Tanah Suci adalah secara tiba-tiba. Saya pasrah walau dalam keadaan terkilan.

Pengalaman

Saya menarik nafas dalam-dalam. Inilah politik, Sukar untuk kita maklumi setiap percaturannya. Ia suatu pelajaran politik yang hebat kepada saya. Jarang sekali manusia di luar sana beroleh pengalaman dan pengajaran langsung sebagaimana yang saya dapat dari sekeliling. Saya sentiasa membesar bersama pengalaman. Ia sukar diperoleh dari mana-mana guru sekalipun.

Pertama kali saya melihat Ka’abah diusia saya 17 tahun. Bertuahnya saya pada saat itu hanya saya yang tahu perasaannya. Anak saya yang sulong pernah bertanya kepada saya, apakah benar jika ada tahi lalat di kaki akan dimurahkan rezeki awal ke Tanah Suci? Saya tiada jawapan yang tepat, tetapi saya punya tahi lalat itu. Mungkin kerana tahi lalat di kaki juga membawa saya menjejak ke beberapa buah Negara lain. Negara Malaysia yang saya sayangi ini telah saya berpeluang untuk menjejaki 14 buah negerinya.

Saya pernah ke Turki, sebuah negara yang cantik, juga punya rakyat yang sedap mata memandang. Pernah juga ke Bangkok, kenangan menyusuri sungai di sana tidak pernah luput di ingatan, kerana bauan sungai itu yang boleh mencungapkan nafas saya. Kenangan di Syria, negaranya sedikit kotor, tetapi makanannya mampu menggamit saya ke sana lagi. Merayu kepada bonda agar diberi peluang untuk saya melihat kehebatan Piramid di Mesir, kerana tatkala itu bonda saya mahu ke tempat lain.Saya yang alah sejuk terasa membeku pada musim sejuk di Jordan, yang memungkinkan saya tidak mandi…

Trauma kecil di Bukit Tinggi, Padang, apabila bilik kami bergegar sewaktu kami enak diulik mimpi di malam hari, kata pemandu pelancong kami, ‘batuk-batuk kecil saja buk’. Berendam dalam kolam air panas di tepian gunung di Medan, dengan harapan semoga dapat mengembalikan kesegaran tubuh. Pernah ke Brunei usai penyatuan ikatan suci ini, entah apalah saya pada waktu itu yang merajuk kerana suami tidak membelikan saya sepasang kasut! Sedang memasang angan untuk menjejak kaki ke India, terasa mahu benar melihat universiti dimana ayahanda saya mendapat ilmunya yang banyak itu.  

Walaupun kembara itu memenatkan, namun ia memberi berjuta kegembiraan. Kekurangan saya, tidak tahu untuk berkongsi pengalaman indah itu bersama rakan-rakan di luar sana. Saya tidak tahu untuk merencanakannya dalam bentuk penulisan.

Bersyukur

Sudah tentu saya sentiasa memanjat kesyukuran diatas kurniaan yang hebat ini. Bukan mudah sebenarnya untuk mencapai pengalaman sebegini. Namun betullah sebagaimana yang dikata, andai ada kemahuan di situ ada jalan. Kerana minat saya dalam aktiviti sebegini, tentunya saya memperuntukkan sedikit sumber kewangan saya untuk tabungan bagi merealisasikan mana-mana impian saya. Sejak dulu saya memulakan tabungan untuk minat yang ini. Ada musimnya saya sangat perlu berjimat-cermat walaupun ia sukar. Setiap bulan ada peratusannya yang saya sediakan untuk tabungan. Mungkin kawan-kawan terdekat saya tahu perihal minat saya yang ini.

Saya seronok melancong untuk melihat keindahan bumi ciptaan Ilahi. Lebih seronok kiranya saya berpergian tanpa ayahbonda kerana saya sedikit bebas dari protokol. Bukan tidak seronok bersama mereka, tapi kadang-kadang terasa juga mahukan cabaran kecil untuk menghiasi memori saya ini. Saya seronok kiranya dapat naik turun bas di negeri orang, berjalan-jalan mencari haluan sendiri, mencuba makanan di gerai-gerai di tepi jalan…seumpama itu sahaja. Boleh anda faham…? Tentunya ayahbonda saya tidak boleh berbuat demikian.

Namun sebenarnya saya banyak berpergian bersama ayahbonda, lebih-lebih lagi bersama bonda saya yang tercinta. Bonda juga senang apabila anak-anak boleh turut serta dalam perjalanannya. Saya fikir tentunya saya juga begitu dihari tua nanti, tentunya saya mahu anak-anak saya pula menemani saya ketika berpergian. Harap-harapnya sampailah saya kesaat itu…

Jika saya berpergian bersama ayahbonda perjalanannya agak mudah kerana menggunakan akses VIP. Layanannya baik-baik belaka. Perlu duduk saja di bilik khas, tiba masanya ada yang datang menjemput. Saya menumpang tuah mereka. Segalanya telah diaturkan dengan sempurna. Tidak perlu bergegas, hanya perlu menghormati masa. Saya tabik kepada ayahbonda saya yang cukup menghormati masa. Saya juga mahu jadi begitu.

Sebenarnya saya agak malu apabila dilayan berlebih-lebih. Namun saya sentiasa beringat bahawa layanan itu adalah untuk ayahbonda saya yang layak mendapat layanan sebegitu, bukannya kerana diri saya sendiri. InsyaAllah saya akan sentiasa tahu membawa diri. Harapnya bukan saya pula yang berlebih-lebih mahu menjadi VIP.  

Siapapun kita di dunia ini, adat menghormati itu adalah perkara yang terbaik dalam kehidupan. Berpegang pada pepatah, yang kecil disayangi, yang tua dihormati. InsyaAllah berbahagialah hidup kita semua. Tidak perlu untuk petah berbicara menunjuk budi, cukuplah sahaja dengan sebuah senyuman yang ikhlas lahir dari hati. Perjalanan hidup ini insyaAllah masih panjang, perbanyakkan kebaikan mudah-mudahan hidup kita semua akan dirahmati Allah.   

Apabila melancong, Alhamdulillah perut saya boleh menerima semua jenis makanan setempat. Kecuali di Turki, tentunya saya balik dengan kilo yang bertambah. Saya tidak cerewet dalam bab makan-makan. Saya seorang yang seronok mahu mencuba sesuatu yang baru, dalam apa jua perkara sekalipun. Paling saya kisah, pedas, saya tidak tahan dengannya.

Lebih seronok kiranya dalam perjalanan itu dapat saya temui pelajar-pelajar Malaysia di luar sana. Suka untuk saya berborak mesra dengan mereka. Biasanya saya dan rombongan akan pergi ke rumah penginapan mereka. Kami akan makan bersama dan bertanya khabar.

Ole-ole

Setiap Negara yang saya lawati akan saya beli ole-ole indah buat kenangan. Buat diri sendiri tentunya saya sukakan perhiasan rumah. Ada kesempatan yang saya gunakan di sana untuk ‘retail treatment’. Tersenyum dalam kepenatan kiranya ole-ole itu telah lama diimpikan. Peluang yang ada digunapakai sebaiknya. Andai pula ia barangan yang murah, tentunya saya tersenyum puas. Saya bukanlah kaki shopping, kalau pergi dengan satu bagasi, balik pun satu juga. Jika berjalan-jalan saya suka berlenggang. Jangan ada apa-apa di tangan saya, cukup sekadar satu beg di bahu.

Ahli rombongan yang lain mahu shopping sakan, silakan. Saya akan tumpang seronok. Mungkin saya pula yang beria-ia mahu melihat ole-ole yang dibeli mereka apabila balik ke hotel. Jelasnya, saya sebenarnya seorang yang tidak tahu untuk shopping, tapi jangan pula cuba memujuk saya, rambang mata saya nanti. Selain perhiasan rumah, saya juga sukakan pakaian, tentunya tudung sekali untuk disesuaikan. Paling saya sayang, sehelai kain jahitan manik dan labuci bercorak yang dibeli di Syria. Saya framekannya dan memotretkannya di ruang tamu perempuan rumah saya.

Dua helai linen bercorak bunga jahitan tangan yang saya miliki semasa mengerjakan ibadah Umrah juga merupakan kenangan indah bagi saya. Satu sudah saya potretkannya di dinding, satu lagi masih disimpan di dalam almari. Masih lagi terfikir-fikir dimana tempat yang sesuai baginya. Ada juga rakan yang bertandang ke rumah tertarik untuk membelinya, bila saya meletak harga, mereka menarik nafas! Sajalah tu…memang tak kasi orang beli pun…tengok saja!

Pulang

Anak-anak saya sudah terbiasa andai ditinggalkan. Samalah sebagaimana saya dahulu yang sering ditinggalkan ayahbonda kerana kesibukan mereka yang teramat. Ada baiknya juga dibesarkan begitu, lazimnya mereka akan cepat matang kerana perlu tahu untuk berdikari. Saya tidak pernah membawa anak-anak kala berpergian ke luar negara. Bagi saya mereka masih kecil untuk memahami setiap perkara yang berlaku. Tunggulah mereka besar dan matang, insyaAllah ada hasilnya dengan kewangan yang dilaburkan.

Kalaupun saya suka melancong, tidaklah saya boleh berlama-lama di sana. Ingatan saya akan menjengah ke kampung halaman. Jika lawatan ala kadar, empat malam pun sudah memadai bagi saya. Anak-anak juga sudah mula bertanya bila mahu balik. Biasanya saya belikan mereka pakaian. Mujurlah kerana mereka masih belum pandai untuk meminta yang bukan-bukan. Gembira saja mereka menerima apa saja yang dibelikan. Beli yang murah-murah saja, tak perlu membazir untuk membeli pakaian yang mahal kerana kanak-kanak cepat membesar.

Ingatan

Sebuah kembara pastinya akan memberi berjuta rasa kepada si pengembara. Memori itu pastinya terlalu banyak untuk dikenang, ada masam ada manisnya, tetapi biarlah setiap kenangan yang dicipta itu mampu untuk membuahkan hasil yang lebih baik dari sebelumnya.

Bersama rakan-rakan dalam senggang waktu perjalanan yang memakan hari tentunya akan menjadikan kita lebih saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Jadikanlah itu satu nikmat yang besar apabila kita sering bersama pada hari-hari tersebut. Tentu sekali ada kesenangan, kesusahan, dugaan, dan banyak lagi permainan emosi akan mencerminkan akhlak sebenar seseorang itu. Malah akhlak sendiripun akan teruji. Mungkin sebuah kembara itu menjadikan kita lebih menghargai nilai sebuah persaudaraan.

Setiap perjalanan itu ada kemanisannya. Mudah-mudahan panjang langkah kaki saya ini mampu mendekatkan diri saya kepada Maha Pencipta. Saya sentiasa bersemangat untuk mengenali destinasi-destinasi baru, insyaAllah ada rezekiNya buat saya.

Umar ra pernah menyatakan;

seseorang itu tidak boleh mendakwa dia mengenali hati budi seseorang yang lain sehinggalah mereka pernah bermusafir bersama atau bergaul mesra.

 12.46pm

p/s: selamat kembali juga kepada adinda saya…

Kerana Saya Anak Nik Abdul Aziz

Salam Ukhuwah…

Sepanjang tahun 1430 tidak pernah saya terfikir untuk menjadi seglamour hari ini…Glamourkah saya? Barangkali boleh dikatakan ‘Ya’ kerana nama saya mula meniti di media realiti mahupun maya. Ia publisiti murahan bagi saya. Maka sudah tentu jauh sekali saya menyukainya.

Saya yang dikatakan ‘membuka pekung’ parti agak menerima asakan terbuka daripada pelbagai pihak. Sejauh mana sebenarnya saya membuka pekung parti? Itulah yang saya cuba nilaikan. Berpadanankah dengan asakan yang saya terima? Adakah ia adil bagi saya? Apa pula stand pimpinan terhadap fitnah yang tersebar meluas? Kiranya saya, ia lebih besar aibnya kepada jamaah Islam, terutamanya Kerajaan Pas Kelantan.

Saya menulis bukan sekadar kerana saya tahu menulis. Tetapi ombak kecil kadang-kadang perlu juga untuk membawa kesedaran. Asasnya, saya hanyalah mahu memberikan sedikit perjernihan keatas isu suami saya dan tentunya keluarga saya. Tidak kelihatan sebarang petunjuk daripada pimpinan yang mahukan suasana itu menjadi kendur pada waktu itu, malah sehingga kinipun fitnah itu masih liar menjalar. Inilah sepatutnya diberi perhatian. Bukannya sebaris ayat dalam artikel saya.

Tiada niat untuk saya menyerang, tapi ada benarnya jika saya mengambil sedikit rasa di jiwa ini untuk menerang. Jangan diulangi pendirian yang sama andai dilain masa ada pula fitnah baru tercipta. Ada benar sepatutnya mana-mana empunya diri yang terfitnah itu dipanggil untuk membela diri, bukan hanya mendapat maklumat yang kiranya ia masih lagi boleh dipertikaikan. Jangan pula dibiar bebas si penyebar fitnah, berbuatlah sesuatu agar fitnah itu tidak terus menjadi bebanan kepada Jamaah Islam.

Masih lagi saya ingat, ada pimpinan mengatakan ini urusan keluarga, biarlah Tok Guru menyelesaikannya. Saya terfikir, bijakkah kenyataannya itu? Ini urusan kerajaan, YB. GLC adalah Kerajaan, dan Tok Guru juga adalah Kerajaan. Jika ia urusan keluarga, sepatutnya bila saya ‘bangun’, jangan pula ada yang melatah. Kalau ada yang melatah, boleh kiranya saya berkata, semuanya mahukan publisiti murahan, sebagaimana yang saya dapat! Waktu sepatutnya buka mulut, semuanya bisu. Waktu sepatutnya bisu, apa yang anda semua telah buat? Jangan hanya pandai bercakap sepatutnya begitu, sepatutnya begini, tapi bertindaklah. Kurangkan bercakap, banyakkan bertindak. Gunapakai semua mekanisme yang terbaik untuk buat yang lebih baik kepada parti.

Jagalah Kerajaan Pas Kelantan yang ada hari ini sebaiknya. Sayangilah sepenuh hati. Jangan melihat sebelah mata bahawa saya hanya mempertahankan suami, tapi bukalah mata seluasnya, politik itu licik, hanya yang bijak mampu merubah segalanya. Kenapa harus Tok Guru saja yang bangun mempertahankan setiap apa yang berlaku. Bangunlah juga wahai pimpinan. Tunjukkanlah juga bahawa anda bersatu, buktikan dengan tindakan jangan hanya suara dari belakang yang anda juga menyanyangi Tok Guru, dan sudah tentu Kerajaan Islam hari ini.

Allahuakbar!

Salam Muharam

10.08am

Santai…

Salam Ukhuwah…

Setiap kali hadirnya cuti panjang, saya akan menghantar anak-anak ke kelas lukisan dan mewarna. Mereka yang mahukannya begitu dan saya bersetuju saja sementelah saya mahu masa luang mereka terisi dengan baik. Saya tidak pernah memaksa mereka untuk pergi, tapi saya akan pastikan setiap kali cuti yang panjang, ia akan terisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Tiba saja waktu pagi mereka cukup bersemangat untuk menghadirkan diri ke kelas tersebut.

Jika saya tidak mampu untuk menghantar pada hari tersebut, mereka yang merungut kerana keboringan berada di rumah. Paling tidak mereka menyuruh saya menghantarnya ke rumah nenda + tokku mereka yang cuma mengambil masa beberapa minit saja berjalan kaki. Sepupu mereka ramai berkumpul di sana.  

Saya senang jika anak-anak boleh mengusulkan idea mereka. Saya cuba mengajar mereka untuk membuat keputusan sendiri – dalam kontek kehidupan ‘kecil’ mereka. Saya tidak mahu cuti yang panjang mengundang kebosanan kepada mereka. Saya juga tidak mahu mereka hanya menghadap televisyen semata.  

Menjadi seorang ibu kini bukan suatu jawatan yang mudah, lebih susah dari melahirkan seorang zuriat. Ibu moden perlu kritis, kerana anak-anak kini sungguh kreatif. Cabaran mendidik anak-anak kini sungguh hebat, paling hebat bagi saya adalah pengaruh televisyen. Menonton televisyen bukan minat saya, maka sudah tentu saya ketinggalan dalam banyak perkara berkaitan dunia kanak-kanak, ada Mak som, Syazlan, Abang Awi, Bong, dan tak lupa juga apa yang mereka pakai, jam Ben 10, dan banyak lagi lah…Ia boleh memusingkan kepala saya untuk mencari helah apabila si kecil mula merengek mahu dibelikan itu ini sebagaimana watak yang mereka dambakan…

Biasanya saya beli juga…tetapi selepas berbulan-bulan mereka rengekkanya. Saya mengambil pendekatan berpada-padalah. Biarlah mereka bersusah-susah juga, biar mereka tahu menghargai setiap perkara yang terjadi kepada mereka. Apabila saya memberi kepada mereka sesuatu, biarlah mereka tahu menyayanginya. 

Namun peredaran zaman juga mengubah pendirian saya ‘untuk tidak terlalu memanjakan anak’. Akhirnya saya terpaksa akur bahawa penggunaan telefon bimbit adalah suatu kemestian, bukan lagi sampingan. Untuk hadiah hari lahir anak sulong saya yang ke 9 pada November lalu, saya menghadiahkannya telefon bimbit – tentunya yang murah saja – dan bersyarat pula – hanya kegunaan apabila dia menghadiri kelas lukisan & mewarna sahaja. Tapi saya masih lagi tidak mengendahkan rengekan mereka untuk punya pendingin hawa di bilik mereka. Biarlah dulu, cukuplah sekadar kipas syiling sahaja. Adakalanya ‘kesusahan’ itu perlu juga diajar agar mereka boleh ‘menginsafi diri’. Mereka juga perlu tahu kesusahan kami sewaktu kami membesar dahulu. Kami dulupun susah juga. Bukan senang untuk hidup senang dan bukan susah untuk menjadi susah.

Ibu

Saya bukanlah seorang ibu yang suka berleter panjang. Saya lebih suka memberitahu apa yang sepatutnya, memberitahu akibat daripada perbuatan yang tidak sepatutnya, memberi teguran jika masih ada kesilapan, memberi amaran jika kesilapan sama berulang, dan seterusnya tentunya akan mendapat ‘upah’ sepatutnya. Biasanya ‘upah’ itu jarang diberi kerana sifat seorang ibu yang cepat kesian…

Dalam banyak perkara saya mahu mereka melakukan kerja rumah sendiri secara ‘bergotong-royong’. Walaupun saya mempunyai bibik, saya mahu mengusahakan sifat tolong-menolong di kalangan mereka, dalam masa yang sama mahu mereka mengurangkan pergantungan kepada individu lain dalam membuat sebarang kerja. Kakak, abang mahupun adik semuanya perlu bergerak. Mereka ada tugasan masing-masing.  

Jika si kakak mengemas bilik – ala kadar – si adik lelaki akan membawa bakul kain ke tempat basuhan, si kembar pula menyusun mangkuk untuk makan, manakala si adik lagi mengambil cawan. Namun tentunya aktiviti di luar rumah paling mereka gemari. Biasanya mereka akan menyiram pokok, mencabut rumput, dan bermain-main dengan si kecil, selain berbasikal mengelilingi rumah.   

Komunikasi

Selain komunikasi yang baik perlu ada antara seorang ibu dan ayah, komunikasi dengan anak-anak juga amatlah penting. Bagaimana ibubapa berkomunikasi, begitulah juga anak-anak akan mewarisinya. Sangat biasa kita dengar perkataan, intonasi, lenggok bahasa yang keluar dari mulut anak-anak adalah sebagaimana yang biasa kita gunakan. Dalam hal ini saya juga sentiasa mahu berusaha untuk memperbaiki skill komunikasi saya bersama anak-anak.

Dalam mendidik anak-anak juga saya suka mengambil pendekatan yang lebih relax. Saya tidak mahu expectation saya ke atas anak-anak terlalu tinggi menggunung. Saya mesti faham ‘ciri-ciri’ mereka. Anak sulong saya nampaknya lebih kepada aktiviti yang berorientasikan kemahiran. Saya tidak pernah menyoal cita-cita mereka, tapi mereka sentiasa memberitahu saya cita-cita mereka…yang saya puratakan berubah-berubah setiap enam bulan…mmm…sehingga anak ke dua saya pernah bercita-cita untuk menjadi penjual aiskrim kerana sangat suka makan aiskrim! Tapi saya tetap menghargai cita-citanya itu, dengan memberi syarat bahawa dia perlu belajar bersungguh-sungguh supaya tahu mengira wang semasa berjual beli…saya kira alasan itu sesuai untuk kanak-kanak berusia enam tahun…

Kadang-kadang saya juga memberi ransangan kepada mereka berupa hadiah. Tapi semua itu bersyarat. Ransangan itu perlu dibuat supaya mereka sentiasa mahu berusaha menunjukkan kehebatan mereka yang sebenar, kerana setiap anak itu ada potensinya yang semulajadi. Sebagai ibubapa kita perlu sentiasa memberi sokongan. Saya paling suka sesi bersoal-jawab dengan mereka – walau kadang-kadang meletihkan! Saya mahu mereka faham dengan kehidupan mereka.

Boleh dikatakan saya tidak pernah merasa bosan melayan karenah anak-anak, tentunya letih itu suatu kemestian. Yakinlah bahawa anak-anak itu adalah pembawa kebahagiaan didalam rumahtangga kita. Saya sentiasa tidak sabar untuk melihat mereka kian membesar. Saban malam ketika mereka tidur, saya luangkan sedikit masa memerhatikan mereka satu persatu, sambil di dalam hati mendoakan yang baik-baik untuk mereka sehingga akhir usia mereka. Itu pesan seorang sahabat saya, sentiasalah melihat kepada anak-anak, maka niatkanlah sesuatu yang baik untuk mereka semua, kerana doa seorang ibu itu ada ‘masinnya’. InsyaAllah…

Memiliki enam orang zuriat terasa seperti sudah ramai, namun jika si kecil mula tahu berjalan-jalan, maka terasa keluarga ini masih kecil bilangannya…Saya mahu menambah lagi? Jawapan saya; Cukuplah! Jawapan suami? Kena tanya dia…tapi biasanya ia akan kontra dengan jawapan seorang ibu…anda juga begitu kan?

Akhirnya, bersamalah kita membina sebuah rumahtangga bahagia. Mudah-mudahan zuriat yang kita lahirkan itu mampu menjadi hambaNya yang berguna untuk kehidupan dunia, konsisten sejahtera membawa hatinya menghadap Ilahi…

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahupun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”

al-Shu’araa’ [26: 88-89]

 

Jom berkongsi sesuatu dengan saya…

Saya berminat untuk mengetahui rahsia kehebatan anda dalam mendidik anak-anak juga…

12.02pm

Alahai…

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah…blog saya mula dikunjungi.

Bagus juga punya blog kerana pemikiran kita senantiasa mahukan yang terbaik dalam penulisan. Apabila mahu mencuit banyak gaya bahasa yang kita perlukan, tetapi terlalu berbahasa banyak pula pembaca yang kurang faham maksudnya.

Apabila saya berblog ia bukan bertujuan untuk berpolitik semata, minat saya sebenarnya lebih kepada institusi kekeluargaan, yang banyak melibatkan perasaan cinta, kasih dan sayang. Saya bermagnet ke arah itu. Namun apakan daya, saat ini lebih mengheret saya kepada penulisan yang berbau politik.

Artikel saya yang ‘tersohor’ itu nampaknya terus diperpanjangkan. Alhamdulillah, dalam masa yang sama orang mula mengenali nama saya, walaupun tidak mengenali saya yang sebenarnya. Artikel yang saya niatkan untuk mempamerkan sebuah kebenaran, nampaknya berjaya benar dimanipulasi oleh pihak tertentu. Tidak mengapa, saya serahkan kepada kebijaksanaan mereka dalam membuat helah. Tipu helah yang terangka baik itu bagaikan seekor ular panjang yang berbelit-belit. Bukan sahaja berbelit-belit, tapi lidahnya pula bercabang-cabang.

Namun saya tersenyum sumbing apabila ada yang menyatakan bahawa artikel saya itu mampu menyinggung perasaan, mahupun peranan barisan Exco Negeri Kelantan yang tercinta ini. Cepatnya mereka latahkan sehingga semua Exco ini patut letak jawatan? Alahai…hanya kerana artikel itu semua Exco patut letak jawatan? Kalau ditanya saya, tentunya saya jawab, kalau adapun Exco yang patut letak jawatan, saya WAJIBKAN seorang Exco itu saja yang letak jawatan. Ada berani Exco yang seorang itu menyahut cabaran?

 

Akhlak Islam

Alhamdulillah, usia rumahtangga saya menghampiri ke angka 11 tahun kurang seminggu lagi. Saya beremosi mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana menjaga ikatan suci ini hingga ke saat ini. Harapan saya hanya satu, ingin membina rumahtangga ini seIslam yang mungkin mengikut kudrat dan ilmu yang saya ada.

Pada saya dalam sesebuah rumahtangga komunikasi antara suami isteri adalah paling utama. Jika suami membuat silap, isteri sepatutnya menjadi orang pertama yang akan menegur, begitu juga sebaliknya, jika isteri membuat salah, sepatutnya suamilah yang menjadi orang pertama memberi nasihat. Antara dua watak ini, tentunya watak suami adalah yang lebih penting kerana dia merupakan ketua bagi sesebuah keluarga. Lemahnya suami, maka pincanglah rumahtangga, pincangnya rumahtangga, maka harulah keluarga yang dibina.

Sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang sedang membesar, saya juga cuba sedaya upaya untuk menerapkan nilai-nilai Islam kepada mereka. Anak sulong saya yang merupakan seorang perempuan menjangkau umur sepuluh tahun pada sesi persekolahan akan datang. Pada tahun hadapan juga saya mewajibkan keatasnya untuk bertudung sepenuh masa apabila dia berada didalam masyarakat nanti. Sementelah pada masa sekarang saya masih membenarkan dia memakai tudung secara on/ off.

Apabila saya mahu mempraktikkan sesuatu ke atasnya, saya akan cuba memberi penjelasan sewajarnya sehingga dia faham, agar penerapan nilai Islam itu dapat dia terima dengan baik. Namun harus diingat bahawa jangan hanya kita sebagai ibubapa pandai mengajar itu dan ini, tapi yang lebih besar lagi adalah kita sebagai ibubapa lah yang sewajibnya memberi contoh teladan yang baik kepada anak-anak itu.

Jika saya mahu anak perempuan saya itu bertudung seeloknya, sewajibnya saya yang wajib bertudung elok terlebih dahulu. Kita sebagai ibubapa perlu menunjukkan bukti yang kukuh terlebih dahulu untuk memberi kepercayaan yang jitu kepada anak-anak ini.

Anak-anak saya memanggil ‘cek’ kepada saya. Ia suatu panggilan yang klasik bagi saya. Pada awalnya saya sendiri segan untuk menerima gelaran itu, namun atas permintaan ibu saya yang juga saya panggilnya ‘cek’, maka saya bersetuju untuk mewarisi panggilan itu, sebagai suatu cara saya menghargai betapa bermaknanya dia kepada saya.

Suka saya memberi sedikit gambaran tentang ibu saya…

Ibu saya seorang wanita yang berlemah lembut – agak lain dengan sikap saya yang sedikit agresif. Ibu banyak mengajar saya tentang etika kesempurnaan, terutama dalam bab berpakaian. Tentunya saya diajar dan diasuh sedari kecil untuk menutup aurat, tapi berpakaianlah sebagaimana selera masing-masing, yang penting aurat WAJIB ditutup.

Ibu saya tidak menggalakkan kami adik-beradik membawa imej yang kerterlaluan. Cukup sekadar menutup aurat, jangan berlebih-lebih mahukan yang berlebihan. Kalau boleh ibu mahu kami menjadi contoh kepada yang lain dalam berpakaian menutup aurat. Pembawaan kami juga perlu dijaga kerana kami public figure sejak dari ‘merah’ lagi. Saya bersetuju dengan ibu, kerana didikannyalah kami adik-beradik agak terbuka dalam berfesyen, menerima fesyen, dan boleh berkawan dengan sesiapa sahaja hatta yang menjadi mangsa fesyen.

Dalam dunia politik pula, tentunya saya disuakan dengan ‘bulan’ sejak awalan lagi. Alhamdulillah, sehingga saya cukup akal, saya boleh bersetuju dengan prinsip dan dasar PAS yang bertunjangkan Islam.

Ibubapa saya juga amat menitikberatkan soal pemakanan, sebagai suatu syarat untuk mendapat keberkatan dalam kehidupan. Tentunya bukan sahaja Halal, tapi keberkatan itu penting. Tentunya Haram bagi kami memakan benda-benda yang Haram, tapi yang syubhah pun kami ditegah mengambilnya. Pesan mereka, makanlah makanan yang halal dari sumber yang berkat, mudah-mudahan darah daging kami dimuliakan Allah swt.

 “Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang HALAL lagi BAIK, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata”

[Al-Nahl 16: 114]

 

Sehingga berjumpa lagi…

12.15pm

Pulang…

Salam Ukhuwah,

Saya mencuri sedikit waktu di hari ini untuk menulis, menulis sesuatu yang saya berpengetahuan keatasnya. Saya merealisasikan pemikiran saya disini. Saya bebas, dan saya tidak mahu lagi ada orang lain merasa terkongkong kerana perihal saya.

Saya menerima banyak komen selepas tulisan saya dimayakan kepada umum. Tentunya saya menjadi selebriti di dalam blog Kickdefella. Siapa sangka komen yang diterima melebihi komen artikel tuan rumah sendiri. Saya hargai komen-komen tersebut, walaupun saya tahu kebanyakan komen itu boleh ditongsampahkan.

Apabila saya berniat untuk menulis, tentunya saya perlu tahu apa selepas itu. Pentingnya, rasional! Saya perlu rasional kepada diri sendiri, kepada suami dan keluarga saya, serta rasional kepada orang-orang yang ingin saya cuit.

Saya patut berterima kasih kepada semua rakan siber yang telah membaca artikel saya sebelum ini, seharusnya saya juga patut bersyukur dengan komen-komen yang diberikan, kerana ia mampu menjadi kapsul yang baik kepada semangat saya untuk terus bangkit memperjuangkan sesuatu pada hari ini.

Saya berlapang hati membaca mana-mana komen yang diberikan. Komen yang baik, Alhamdulillah, komen yang bersifat pondan, ia tidak pernah menjadi nanah kepada jiwa saya. Saya hanya perlukan sebuah senyuman, kerana senyuman itu satu penawar yang begitu baik kepada mana-mana kehidupan manusia di dalam dunia ini.

Perasaan itu sesuatu yang mendalam, namun tidak sukar untuk membacanya, kerana ia mudah terpancar di riak wajah anda. Tulisan juga boleh mentafsirnya. Untuk menjadi diri sendiri, rasionalkan pemikiran anda. Jikapun anda seorang rasional, di luar sana masih banyak rakan yang emosional.

PERSEPSI

Sehari dua ini perkataa ‘persepsi’ menjadi suatu ungkapan yang bermakna dalam dunia politik. Ya, betullah, kerana ia merupakan suatu bentuk tanggapan pertama kepada semua keadaan. Untuk menjadi bijak, kita janganlah mudah membuat penghakiman ke atas sesuatu perkara, tapi bersedialah untuk membuat homework tambahan, agar keputusan yang kita peroleh lebih bermakna maksudnya. Tidak perlu untuk kita cepat melatah, tunggulah sedikit masa tambahan, mudah-mudahan ada jawapan terbaik menjadi hakimnya.

Alhamdulillah, saya melalui hari-hari yang penuh dengan nikmat dan hikmah daripadaNya. Dengan kekuasaan Tuhan, kemelut yang berlaku hari ini memberi sedikit ‘rasa’ kepada saya untuk mengkritiskan lagi pemikiran saya dalam dunia politik. Walaupun saya dilahirkan dalam dunia politik, saya sendiri lebih suka untuk mengelakkan diri dari berbicara perihal politik. Namun saya masih bersyukur kerana ciri politician yang sememangnya kental itu ada dalam jiwa saya. Sehingga ke saat ini, saya masih belum bersedia untuk menggilap apa-apa bakat yang ada pada saya untuk kearah itu.

Saya hanya menulis apa yang saya berpengetahuan ke atasnya. Untuk mendapat input yang lebih tentunya saya perlu kepada homework. Saya hanya menulis sesuatu yang benar, yang memang ada dalam realiti. Bukan sekadar penyedap rasa, yang boleh memagnetkan orang ramai memberi komen untuk memeriahkan suasana. Sesuatu yang salah tidak pernah ada pada jemari saya. Saya mesti benar kepada diri sendiri kerana saya masih ada keyakinan bahawa setiap apa yang saya lakukan di dunia ini akan dipersoal di akhirat nanti.

Saya tidak mahu berpegang hanya kepada persepsi. Itu tidak betul! Tidak mungkin saya boleh faham kepada sesuatu isu hanya kerana dia tahu untuk menggayakan lenggok bahasanya sahaja.

Saya punya seorang sahabat yang sangat detail tentang pemahaman ke atas sesuatu isu. Jika saya memberitahunya sesuatu dia akan mempersoalkan saya siapa?, bila?, di mana?, dan banyak lagi soalannya, baguslah begitu. Tentunya dia akan menjadi waras apabila menghakimi sesuatu isu.

Sebagai seorang yang kehidupannya dilingkungi politik sejak berpuluh tahun yang lalu, sedikit sebanyak saya faham tentang rentak tari dalam politik. Saya kenal kawan, saya kenal lawan. Saya kenal pimpinan dan saya kenal rakyat jelata. Namun kadang-kadang politik ini amat rakus, bersedia saja pada setiap masa agar jangan sesekali menjadi mangsa. Apa yang penting kita perlu teguh memperjuangkan kebenaran.

ONAR

Jangan sesekali cuba membuat onar, kerana akhirnya pengkhianatan itu akan terselak jua apabila tiba masanya nanti. Jangan cuba menjadi hero kepada semua perkara, kerana bukan semua kebijaksanaan itu ada pada kita. Jangan suka mengambil pendekatan sendiri kerana tarbiah kita adalah berjamaah. Bersedialah untuk ditegur, terimalah pendapat, InsyaAllah yang terbaik untuk jamaah, bukan untuk memasyhurkan diri sendiri. Andainya bisa meramal kebijaksanaan sendiri, jadikan bijaksana itu untuk menjulang jamaah. Kerana adanya jamaahlah wujudnya kita. Sedarlah!

Saya melihat kepada wujudnya keperluan kearah memperkasakan kepimpinan di dalam jamaah. Kita perlu kepimpinan yang sihat mindanya. Kepimpinan yang terlalu lama memerhati dan terlalu lambat bertindak harus dianjakkan paradigmanya. Sampai pula masa untuk bertindak, penguatkuasaannya pula lembab. Namun saya yakin kepimpinan yang bertukar ganti itu akan membuahkan hasil yang makin baik pada setiap masa.

Akhir kalam untuk kali ini, saya mendoakan semoga isu yang masih dilagukan di dalam kelambu PAS Kelantan akan dijadikan pengajaran kepada semua ahli, terutamanya kepada pimpinan, khususnya dalam membawa masuk ‘orang luar’ ke dalam kelambu kita.

Wallahua’lam…

p/s: saya membawa pulang artikel saya yang terdahulu ke tempat yang sepatutnya…

12.20pm