• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2010
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Terima Kasih

Salam Ukhuwah…

Tidak banyak yang ingin saya nukilkan, sekadar memberi penghargaan kepada sebuah kesetiaan.

Khamis, 28 Januari 2010, adalah hari terakhir suami saya menamatkan perkhidmatannya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Selama lebih kurang lima tahun keringatnya ditumpahkan kepada PMBK.

Pada hemat saya, dia sendiri belum puas menumpahkan kudratnya ke arah memartabatkan PMBK sebagai sebuah agensi Kerajaan Kelantan yang berjaya dan berkaliber.

Namun, secara tersurat, Khamis itu adalah titik noktah perjuangannya di PMBK.

Saya kira, dalam usianya yang masih muda, tentunya dia mempunyai satu semangat yang membara dalam apa jua yang dilaksanakannya, lebih-lebih lagi pada bidang yang mampu dikuasai dengan ilmu dan kepakaran yang ada padanya.

Setiap hari, dengan keinginan dan semangat yang sentiasa hidup untuk melakar sebuah kejayaan, dia dan kakitangan PMBK sentiasa bersedia menekuni untuk maju lebih jauh ke hadapan mendepani cabaran semasa.

Walau Pengerusi PMBK menyokongnya untuk mempertahankan diri disaat fitnah sesat mencari sasarannya, namun arahan daripada Presiden Parti harus ditaati.

Mungkin dirinya agak terkilan kerana tidak mampu menoktahkan perancangannya bersama kakitangan PMBK yang lain dengan daya usahanya sendiri. Maka hanya doa yang dipanjangkan semoga berjayalah segala perancangan yang baik untuk dunia ini, semoga ada sahamnya untuk akhirat nanti.

Fitnah

Dia difitnah, disisihkan oleh ramai yang pernah mengaku sahabat seperjuangan, diumpat malah dikeji, itulah kejamnya sebuah fitnah yang terancang hebat sepanjang empat bulan yang berlalu. Namun, itulah hakikat sebenar pada sebuah kehidupan dunia, suatu masa yang akan dikenang sehingga ke penghujung usia, dengan doa dan harapan yang menggunung semoga ia tidak akan berulang lagi, bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk pejuang-pejuang Islam yang lain, kerana dia sudah merasa betapa pedih dan peritnya menghadapi sebuah fitnah yang entah bila akan berpenghujung. Walau sehebat manapun pencapaian yang diraih selama mana bergelar COO mahupun CEO, inilah kehidupan, sukar dipercayai, namun harus redha, mudah-mudahan ada hikmah yang lebih baik dihari kemudian nanti.

Sehingga ke saat ini, dia tidak pernah kenal erti mengalah.

Sepanjang kekalutan yang timbul, lebih ramai sahabat yang menjauh berbanding sahabat yang datang bertanya khabar berita perihal kebenaran. Pelbagai versi fitnah yang menyelubungi kami. Awalannya kami bersedia untuk tega menyatakan kebenaran, namun begitulah resam dunia, A yang diceritakan, B pula yang dipaparkan. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk diam.  Mungkin, diam itu lebih baik, walaupun sebenarnya, di luar sana fitnah itu sambung menyambung bagaikan sebuah rangkaian minda yang hebat.

InsyaAllah, kami juga berjanji kepada diri sendiri untuk berubah menjadi lebih baik pada masa hadapan. Segala nasihat dan saranan yang diberikan oleh para sahabat yang bersimpati kepada kami akan dijadikan panduan hidup. Begitu juga nasihat daripada rakan siber di sini, yang memuji, yang mengeji, ada bahagiannya dalam perjalanan hidup kami selepas ini.

Inilah sebuah ujian!

Walau dilambung dengan gempa fitnah yang dahsyat, Alhamdulillah, jiwa kami tetap tenang dan masih mampu tersenyum.

Hikmah

Antara hikmah besar dari kekalutan ini, hubungan kami suami isteri makin utuh keserasiannya. Kami lebih menyokong di antara satu sama lain, menghargai kehadiran anak-anak sebagai penguat semangat, sesungguhnya kehidupan ini ada indahnya walau dilanda badai.

Saya berkeyakinan penuh bahawa setiap ujian yang Allah datangkan itu adalah mengikut kemampuan setiap hambaNya. Ujian kali ini membuatkan kami lebih berfikir tentang maksud sebuah musibah.

Sebenarnya, ujian seburuk ini amatlah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan ujian yang Allah datangkan dalam bentuk kesenangan dan keselesaan. Saban waktu, kami akan sentiasa berdoa semoga hati ini masih ada imannya, semoga kami redha dengan ujian ini, insyaAllah…

Tiada tempat lain selain Allah tempat kami bermohon.

Saya percaya bahawa setiap kesulitan ini akan ada kesenangannya. Kepedihan menghadap fitnah saban fitnah yang menjalar liar setiap hari menjemput kami lebih kerap mendekatkan diri kepada kehebatan Maha Pencipta. Jika sebelum ini kami merasai manis sebutir gula, tapi kali ini kami mula tahu nikmatnya setitis madu. Tiada lagi gundah gulana, yang ada kesabaran dan ketenangan.

Saat fitnah bermaharajalela, kami masih ada Allah untuk memberi pencerahan, meskipun ia bergerak perlahan dan tersembunyi, hidayah itulah yang memberi suatu kesabaran untuk kami terus bertahan dan bertenang selama ini. Segalanya adalah rahmat Allah untuk kami, sesungguhnya percayalah bahawa selepas pahit itu akan ada manisnya.

Saya yakin bahawa kami telah berjaya melepasi tahap sukar itu.

Kami akan terus bangkit.

Bukan didikan kami untuk menyerah kalah. Kami bermotivasi bahawa hanya hamba Allah yang terpilih sahaja boleh merasai nikmat dalam sebuah ujian. Inilah mainan dunia, menghampar liku-liku tajam demi mencapai kesejahteraan di akhirat.

Percayalah bahawa, dengan semangat yang kental tidak kenal erti mengalah, insyaAllah ada jalan untuk kita bangkit dikemudian hari.

Walau sehebat manapun perancangan manusia, yakinlah semua bahawa perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Jangan sesekali mempersoalkan ketidakadilan dunia keatas kita. Kerana Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Dunia ini bukan sebuah kehidupan yang statik, adakalanya kita dalam terang bercahaya, esok lusa mungkin kita dalam gelap gelita.

Tugas kita, merancang sesuatu yang baik untuk ditinggalkan kepada generasi seterusnya untuk terus berusaha memberi kesinambungan yang baik dalam apa jua gerak kerja yang dilakukan, tentunya bukan sahaja untuk nikmat dunia, malah untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

PMBK

Bagi saya, PMBK masih lagi diusia muda belia, masih banyak waktu untuk meransang kehebatannya, semoga generasi PMBK hari ini mampu menggegarkan bumi Kelantan dengan kejayaan yang penuh gemilang. Bersama pengurusan baru, insyaAllah PMBK akan terus berwibawa dan berupaya untuk terus menjunjung kecemerlangan.

Mengenali kakitangan PMBK yang rata-ratanya belum mencapai usia 40-an, bagaikan melihat satu generasi yang sedang bergerak penuh motivasi. Mereka semua masih hangat semangatnya. Gerakerjanya agak hebat, walaupun dalam jumlah yang kecil, namun hasilnya memikat.

Kami mudah mesra kerana hampir sebaya. Beradik kakak saja…

Tidak banyak memori saya bersama kakitangan PMBK. Pengalaman terbaik mungkin ketika saya bersama-sama menjayakan aktiviti bersama Cempaka. Pesona Gala Cik Siti Wan Kembang adalah satu program yang amat memberansangkan. Tentunya tidak pelik kerana program itu sangat mendapat pujian daripada hadirin yang ramai memenuhi dewan.

Namun, ada juga seorang Exco yang secara terbuka memberi komen bahawa program kami itu menampilkan model yang menampakkan pusat! Mana dia tengok saya pun tidaklah tahu, kerana program itu hanya tertutup untuk wanita sahaja. Katanya, PMBK telah membuat satu program yang lagha, hanya mahukan keuntungan semata dan publisiti murahan, tanpa menitikberatkan soal maruah Kerajaan Negeri. Saya tersenyum cuma mendengar perkhabaran itu, betapa kami mensyaratkan kepada model-model tersebut supaya menutup aurat sepenuhnya selama mana mereka berada di Kelantan selama lebih kurang tiga hari.

Saya akan mengingati sebuah persahabatan yang singkat ini. Walau amat jarang kami bersua muka, saya akan mendoakan semoga semua kakitangan PMBK mampu meneruskan agenda yang telah disasarkan sebelum ini dan mampu membawa kecemerlangan pada masa hadapan dibawah pengurusan baru. InsyaAllah…

Saya seorang yang menyayangi sebuah kenangan.

Akhirnya, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada semua kakitangan PMBK, andainya ada tutur bicara dan tingkah laku saya yang mampu menyentuh perasaan anda semua. Saya tidak mampu untuk menemui anda semua seorang demi seorang, hanya pada hari Khamis yang lalu, lebih kurang sepuluh orang sahaja yang mampu saya bersalaman. Terima Kasih diatas pemberian cenderahati yang banyak itu. Tepak Sirih pun ada! Saya tidak pernah makan sirih, tapi ada sahabat yang mengajar saya makan daun kadok beberapa hari yang lalu, yang menunya dinamakan Mieang Kam. Boleh tahan!

InsyaAllah dilain waktu kita akan berjumpa lagi.

Untuk kakitangan PMBK, teruskan perjuangan anda.

Nasihat saya, ikhlaskan hidup kita semua kerana Allah semata.

Siiru ‘ala barakatillah…

Ya Allah, rahmatilah hidup kami jua…

Saya akan tetap di sini, berbicara lewat idea yang ada, mudah-mudahan ada baiknya kepada ramai orang di luar sana, walau mungkin ramai yang mengeji, saya percaya masih ada yang mencair di hati.

Mungkin hari ini ada yang menjadikan saya lawan mereka, tapi saya tetap mengalu-alukan mereka untuk menjadi kawan saya, pada bila-bila hari pun.

Ada masanya, yang benci itu akan bertukar menjadi sayang, yang melawan itu akan berakhir dengan berkawan.

Alhamdulillah, kami sudah punya khabar yang lebih baik, insyaAllah masih ada hamba Allah yang tahu menghargai usaha kami selama ini, mudah-mudahan kami akan terus diberkati olehNya.

Ada

Tahukah dirimu, kawan?

Dalam serpih-serpih cahaya

Dan gerak-geri halus benda-benda

Tersimpan rahsia

Mengapa kita ini ada

~ andrea hirata ~

5.05pm

Coretan

Salam Ukhuwah…

Kalau dulu saya hanya berkawan dengan kawan-kawan di alam realiti, Alhamdulillah hari ini kawan saya bertambah lagi, tentunya di alam maya, rata-ratanya yang tidak saya kenal.

Tentunya jika kenal itu lebih mengujakan. Lebih saling memahami dan tentunya lebih saling menghormati.

Hanya saya berta’aruf di sini dan tidak bagi anda semua.

Interaksi adalah minat saya. Tentunya boleh bertukar pandangan. Samada pendapat itu baik mahupun buruk, kita ada masa untuk memikir dan menilainya kemudian.  

Saya yang datangnya daripada sebuah keluarga besar, tentu saja akan peroleh pelbagai pandangan apabila kami duduk bersama. Ada guru, pengembala kambing, businessman, pelajar, dan tentunya saya seorang surirumah.

Tentunya kerjaya saya yang paling seronok. ‘Bercuti’ sepanjang masa.

Saya juga satu-satunya saudara perempuan yang tinggal di Kelantan. Lain-lain saudara perempuan saya semuanya ‘di luar’ sana. Jadi tidaklah pelik jika ada yang selalu berjumpa saya menempel di sebelah bonda.  

Adakalanya saya merasa segan juga. Takut dikata menumpang tuah mahukan glamour yang lebih. Tapi jika ke program sama, kenapa perlu kami pergi berbeza.

Kenangan

Sewaktu usia saya masih kecil, tahun 70-an, belum bersekolah, jambatan yang menghubungi ‘pulau’ kami belum lagi terbina. Untuk ke seberang sana, Kampung Pauh, saya punya pengalaman menaiki feri yang ditarik menggunakan tali, yang talinya itu merentangi sungai, diikat di pokok di kedua-dua belah daratan. Feri (tali) itu ditarik menggunakan kudrat tangan, sungguh perkasa ‘pemandunya’ itu, yang dikenali sebagai Pak Mat Feri. Sehingga kini orangnya masih ada, masih gagah berulang-alik ke masjid pada setiap waktu solat. Saya kira umurnya telah menjangkau 90-an. Pak Mat itu adalah ayah kepada pemandu ayah saya yang sekarang ini.

Apabila saya melangkah ke alam persekolahan menengah, saya meminta izin daripada bonda untuk tinggal di asrama. Kononnya saya mahu belajar hidup berdikari. Bonda mengizinkan, sementelah dua orang kakak saya juga tinggal di asrama, bolehlah kami menjadi pemerhati antara satu sama lain.

Kalau saya mahu berulang alik ke rumah pun tiada masalahnya, kerana kami akan dihantar dan diambil. Masih saya terkenangkan pada waktu itu ayahanda memiliki kereta Mercedes, sekitar akhir 80-an – model lama – yang saya kira ia adalah model 123, atau lebih dikenali juga sebagai 200E. Nombor platnya adalah DQ 8969, masih kukuh dalam memori saya. Lama jasanya kepada keluarga kami lebih kurang 10 tahun.

Setiap satu itu akan menjadi kenangan terindah dalam hidup saya. Walaupun kini arus pemodenan kian terasa, saat membesar dalam kesederhanaan, namun menyeronokkan, tetap memberikan saya satu senyuman apabila mengenangkannya kembali.

Kampungku…

Alhamdulillah, saya yang berjiwa ‘kampung’ akhirnya direzekikan Allah untuk menetap di kampung halaman sendiri. Berdekatan dengan ayahbonda adalah suatu nikmat yang tiada taranya. Walaupun punya rumah sendiri, apabila tiba waktu berpantang, saya akan tinggal di rumah ayahbonda. Kepercayaan saya kuat kepada berpantang cara orang lama, kerana itu saya tidak yakin untuk tinggal di rumah sendiri dalam tempoh itu, takut saya terlanggar pantang. Bukan pantang larang yang luar biasa pun, saya cuma takut ‘cair’ pada sesi makan-makan dan juga pergerakan tubuh yang sepatutnya dikurangkan. 

Kalau di rumah sendiri tentunya saya mahu uruskan itu ini. Adakalanya saya rajin juga, walaupun punya bibik. Boleh dikatakan saya mengurus sendiri anak-anak. Selagi mampu, saya mahu membesarkan mereka dengan tangan saya sendiri. Anak-anak pula tentu boleh merasa nikmatnya punya ibu. Bukan hanya tahu melahirkan, tapi saya mahu membesarkan mereka dengan cara sendiri.

Demi untuk sihat!

Bonda akan memberitahu saya ini boleh, itu tidak boleh. Pesanan terakhirnya, kalau nak sihat, ikut. Kalau tak nak ikut, tiada masalah, sakit tanggung sendiri! Siapa mahu sakit? Maka saya ikut juga pantang itu walau terpaksa menelan apa saja yang pahit-pahit.

Habis saja tempoh pantang, saya akan kembali ke rumah, disamping memastikan suami bawa saya keluar jalan-jalan melihat ‘dunia’. Berkurung di dalam bilik selama 40 hari sungguh saya perlukan tahap kesabaran yang tinggi. Alhamdulillah, sehingga anak yang ke 6, saya masih lekat pantang, walaupun makin usia bertambah, makin malas untuk berpantang.

Saudaraku…

Hampir 10 tahun sudah kami adik-beradik yang tinggal di Kelantan akan berkumpul di rumah ayahbonda pada setiap malam Khamis. Kami akan makan malam bersama. Apa sekalipun menu yang dihidangkan, seenak gulai darat, ikan sungai, mahupun ulam budu, ia tetap membangkit selera kami kerana kemeriahan itu cukup terasa apabila hampir 30 orang berkumpul pada waktu itu, termasuk cucu-cucu dan juga bibik masing-masing.

Biasanya kami akan makan dua ‘shift’. Ayahbonda akan makan bersama anak dan menantu lelaki terlebih dahulu, disambung juadah tersebut bersama kami yang perempuan pula. Cucu-cucu akan berkumpul sesama mereka pada juadah yang lain. Kami cukup santai kala ini, bercerita perihal kehidupan masing-masing, paling seronok kiranya ada yang mengimbau kenangan silam. Selewat 10 malam, kami akan bersurai kembali ke rumah masing-masing.

Memori bersama setiap ahli keluarga adalah yang terbaik.

Ayahbonda

Alhamdulillah, kerana saya masih punya ayah dan bonda. Panjang umur mereka, dan masih ada usia saya untuk meraih kasih sayang mereka.

Saya dilahirkan dalam tempoh waktu ayahanda telahpun bergelar Wakil Rakyat. Pada saat itu saya tidak tahu apa itu Wakil Rakyat, yang saya tahu, keluarga kami memang menjadi tumpuan sejak saya mentah lagi. Paling seronok apabila saya boleh berulang kali ke Kuala Lumpur, apabila ayahanda menghadiri sidang Parlimen.

Seawal kehidupan saya, datuk sebelah ayahanda telahpun kembali ke rahmatullah. Tokku Nik Mat hanya saya kenal lewat cerita-ceritanya yang tidak pernah putus dalam keluarga kami.

Saya langsung tidak pernah kenal akan dirinya. Hanya sekeping gambar lusuh memberi saya sedikit perkenalan bagaimana raut wajahnya. Tidak banyak beza dengan ayahanda saya, cuma mungkin postur badannya yang sedikit tegap.

Sehingga kehidupan hari ini, saya tidak lagi punya datuk dan nenek pada kedua-dua belah pihak. Terakhir adalah nenek sebelah bonda saya, pemergiannya adalah pada tahun 2005.

Ayahanda saya jarang menegur apa jua tindakan kami. Namun beliau seorang yang gemar memberi penerangan yang berilmu.

Jika saya berpeluang bersamanya pada ketika tertentu, beliau seringkali memberitahu saya itu dan ini, tanpa ditanya. Paling tidak dia memberikan penerangan mengenai kitab yang sedang dibacanya. Seronok juga saya kerana tanpa perlu membaca kitab yang bagus-bagus itu, saya sudahpun mendapat ilmunya yang mahal itu.

Ayahanda saya juga seorang yang sentiasa berprasangka baik kepada semua perkara. Saya sungguh mengaguminya akan sifat itu.

Jikapun ayahanda saya itu adalah ayah saya, namun saya menghormatinya bukan sekadar seorang ayah, tapi lebih dari itu. Beliau seorang ayah, juga seorang Tok Guru, bahkan seorang ulama, merangkap seorang pejuang Islam yang unggul di mata dunia sekalipun.

Namun, memiliki seorang ayah yang menjadi milik masyarakat umum, tidak punya banyak masa untuk dirinya bersama kami sekeluarga, namun kami rela dan redha kerana itulah sebuah perjuangan dan pengorbanan.

Bonda saya pula dahulunya seorang tukang jahit. Beliau menjahit sendiri baju anak-anak, dan juga menerima tempahan.

Namun, bakatnya itu langsung tidak tumpah kepada saya. Mungkin tumpahnya kepada kekanda. Saya cuma tahu jahit butang baju dan mana-mana jahitan yang terburai, itu sehabis baik bakat jahitan yang saya ada, berguna untuk saya, suami dan anak-anak sahaja!

Akhirnya, saya mahu menjadi seorang ibu sehebat bonda. Walaupun seorang surirumah sejak diusia belasan tahun, beliau mampu menjadikan kami adik-beradik sebagaimana hari ini.

Perkongsian

Saya cuma mahu berkongsi sedikit rasa dengan sahabat semua, memberi sedikit gambaran bagaimana kehidupan kami pada suatu ketika dulu hinggalah ke hari ini.

Saya percaya bahawa rentetan kehidupan seorang pejuang Islam yang mendokong PAS pada tahun-tahun yang sungguh terkebelakang adalah sangat memeritkan. Saya boleh merasai betapa setiap kali sahabat seperjuangan ayahanda saya pulang ke rahmatullah, betapa ayahanda cukup sayu. Mengimbau kenangan jatuh bangun beliau bersama sahabat seperjuangan dalam memartabatkan PAS di mata Malaysia kepada kami, adalah pengubat rindunya kepada sahabat-sahabatnya yang setia itu.

Saya sendiri banyak memotretkan gambar anak-anak bersama datuknya itu. Saya mahu mereka merasa ‘bangga’ kerana punya seorang datuk yang hebat. Bukan kerana berjawatan hebat, tapi kerana seorang pemikir Islam yang unggul. Saya menyimpan baik karya ayahanda untuk dibaca oleh generasi cucu-cucunya pula pada masa hadapan. Saya tidak mahu ilmu yang disebarluaskan itu tidak mampu dimiliki oleh generasinya sendiri.

Suatu hari nanti saya akan kehilangannya jua, tapi insyaAllah tidak pada ilmunya yang banyak itu. Sisa-sisa umur ayahanda yang masih berbaki lagi ingin saya rebut peluang keemasan ini untuk lebih memahami pemikirannya, bahawa dia mahu meninggalkan sesuatu yang istimewa dalam perjuangannya menjulang syiar Islam, lebih-lebih lagi di bumi Kelantan yang berkat ini. Tahun ini genaplah umur ayahanda saya 79 tahun.

Saya dedikasikan tulisan ini untuk keluarga saya yang tercinta.

“ Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya ”

(al-Syura 42: 13)

10.26pm

Amanah

Salam Ukhuwah…

Masih lagi suka untuk saya berbicara perihal anak-anak…

Kerana ia suatu harta yang tiada tandingnya untuk semua ibubapa di dunia ini, sebagai suatu talian hayat untuk ke akhirat. Memiliki zuriat itu suatu nikmat yang besar. Maka bercita-citalah untuk memberi didikan yang terbaik kepada amanah ini, mudah-mudahan mereka semua akan menjadi lebih hebat berbanding apa yang kita miliki hari ini, tentunya kehebatan dalam ilmu Islam.

Islam sendiri sangat menekankan tentang keperluan membuat pencarian terbaik dalam memilih pasangan sebelum melangkah ke alam berumahtangga. Institusi perkahwinan adalah awalan terbaik dalam membangunkan sebuah keluarga. Bertitik tolak dari suami isteri yang baik, insyaAllah zuriat yang diamanahkan itu mampu dijaga sejak daripada kecil sehinggalah dewasa, mengikut tuntutan syarak agar mencapai keredhaan Allah dan Rasul.

Perlu ditegaskan bahawa zuriat itu adalah suatu amanah yang tiada perinya. Sayangi anak-anak kita dan sayangilah juga masa depan mereka.

Memiliki zuriat mengajar kita menjadi seorang manusia yang amanah, mendidik ibubapa dalam menjaga amanah besar yang diuji langsung daripada Allah, baik dari segi kesusahan, dan kepayahan dalam membesarkan anak-anak ini. Jika kita berilmu dalam memberi didikan, insyaAllah hasilnya juga adalah baik. Ibubapa harus sentiasa bersedia membuka jalan untuk anak-anak ini meneroka minda mereka, ke arah menjadi manusia hebat dan bermaruah dalam setiap langkah mereka dikemudian hari.

Mereka memberikan kita kekuatan, kecekalan, dan merupakan generasi yang boleh mencipta sesuatu yang lebih baik kepada Islam. Itulah impian tinggi setiap ibubapa, maka jangan hanya tinggal impian, jadikanlah itu satu kenyataan! Kitalah yang bertanggungjawab dalam merealisasikan impian besar itu.

Maka, setiap ibubapa perlu beriltizam untuk membina generasi terbaik dalam mendidik anak-anak. Biar mereka menjadi bayi yang disayangi ramai, kanak-kanak yang riang gembira bak kenangan Lasykar Pelangi, remaja yang beradab dan berakhlak mulia, seorang dewasa yang matang dan bermaruah, seterusnya giliran mereka pula membina generasi baru yang unggul.

Jadikanlah anak-anak kita ‘eksperimen’ untuk dijadikan contoh kepada masyarakat dalam melahirkan generasi baru yang lebih bermaruah dan berjaya kehidupan mereka di dunia, tanpa mengabaikan kepentingan ilmu akhirat.

Ibubapa

Betapa peritnya seorang ibu bertarung nyawa melahirkan seorang zuriat, betapa sabarnya seorang ayah membanting tulang mencari rezeki, itulah suatu bentuk tarbiah dan didikan yang sempurna daripada Allah untuk mengajar hamba-hambanya menghargai jasa dan pengorbanan besar ibubapa mereka, yang mana kesinambungan pengajaran ini akan berterusan kepada anak-anak, cucu-cucu, dan seterusnya.

Bertuah jika anda seorang ibu yang mampu memberi minum kepada bayi susu anugerah langsung daripada Allah. Dalam dakapan kasih seorang ibu, bayi anda akan berasa selamat dan damai hidupnya. Dia terkulai manja di bawah sinar redup pandangan bondanya. InsyaAllah sedarnya nanti, dia tetap mencari kehangatan kasih ibu sehingga kehujung usia.

Berkat susu anugerah Allah ini, mudah-mudahan menjadi darah daging yang mampu melembutkan jiwa anak-anak dalam menerima setiap didikan yang sempurna daripada ibubapa. Selain azan dan iqamah diperdengarkan kepada bayi, seawal bacaan Basmalah setiap kali disuakan susu, mudah-mudahan doa itu menjadi ubat untuknya, jua diberkati kehidupannya sentiasa.

Menjadi ibubapa terbaik untuk anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Ia suatu tugasan yang berat, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang sinonim dalam memahami perkembangan semasa anak-anak ini. Ibu tentunya lebih faham karenah anak-anak kerana keakraban mereka sejak dari dalam kandungan lagi. Andai baik laku seorang ibu semasa mengandung, insyaAllah baik jugalah nanti zuriat yang dikurniakan Allah itu. Adapun sebaliknya, maka jangan pula menyesali diri. Gunapakai masa yang masih panjang selepas itu untuk memberikan ilmu terbaik kepada mereka, mudah-mudahan dengan doa yang berpanjangan ada rezekinya nanti.

Sungguh menjadi kewajipan bagi setiap ibubapa memberi didikan sehabis baik kepada anak-anak, kerana mereka ini ‘datangnya’ dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu yang mana baik, yang mana buruk. Akal kecil mereka belum cukup elok untuk memikirkan bagaimana mahu menjadi hamba Allah yang sempurna. Pada setiap saat mereka amat perlu kepada tunjuk ajar daripada ibubapa yang berilmu.

Teras utama dalam melahirkan insan yang berjiwa besar ini adalah kekuatan ibubapa. Fitrah semua manusia mahu disayangi dan dihormati. Maka teruskan suasana saling menyayangi dan saling menghormati di kalangan ahli keluarga, seterusnya kepada masyarakat.

Tanggungjawab ibubapa bukan sekadar memberi makan, minum, pakai, dan apa jua perkara asas, tetapi ia lebih dari itu, tentunya ia melibatkan pendidikan yang berkaitan dengan perkembangan mental, rohani dan jasmani anak-anak.

Tentunya semua ibubapa tidak mahu melihat anak yang disayangi tiba-tiba bertukar watak kepada seorang yang keras kepala, kurang adab, pemalas, dan apa jua sifat yang buruk, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini pengaruh dadah sintetik merupakan suatu ancaman baru kepada masyarakat, yang mula berleluasa seawal umur sekolah rendah, selepas rokok menghantui kehidupan anak-anak ini. Tidak kurang juga di bandar-bandar tumpuan, minuman keras juga menjadi menu dalam kehidupan anak-anak muda kita hari ini ketika bersosial. Kebejatan ini tidak pernah mengenal jantina, lantas merebak pula kepada kes-kes zina, yang tiada berhenti di situ, malah ia menular kepada kes buang bayi merata-rata pula yang boleh dikatakan meningkat bilangannya saban tahun.

Takut bukan jika anak-anak yang terkena virus sosial itu adalah anak-anak kita? Jauhkanlah ya Allah…Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak-anak yang disayangi sedari kecil bertukar menjadi manusia yang bertopengkan syaitan ini.

Apa boleh dipakai lagi istilah ‘bukan salah ibu mengandung’? Jika anak-anak sedari umur sekolah rendah telah menunjukkan kebiadaban dalam kehidupan mereka, saya percaya bahawa istilah di atas sudah tidak berguna lagi. Anak-anak kecil yang masih belum aqil baligh, sehingga dewasa sekalipun, perlu pemantauan sempurna daripada ibubapa. Kebebasan yang tiada batasnya boleh merencatkan pekembangan anak-anak untuk membesar sebagai manusia yang berguna, baik kepada agama, bangsa dan negara.

Mendidik anak-anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ganjarannya nanti insyaAllah sangat berbaloi, baik di dunia mahupun akhirat, andainya anak-anak itu terdidik seeloknya.

Skop mendidik itu banyak cabangnya. Namun sesuaikanlah dengan usia anak-anak, begitu juga dengan persekitaran, serta peredaran waktu yang memungkinkan cabaran itu makin mengganas. Anak-anak kecil ini akan terbina jiwanya mengikut acuan yang diberi oleh ibubapa. Mungkin ia akan kekal sebegitu hingga ke akhir hayatnya, ataupun ada perubahan yang mungkin berlaku apabila tiba masanya mereka bersosial kelak. Perhatikan kepada kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak ini.

Kehidupan ibubapa seharian adalah didikan langsung kepada tumbesaran anak-anak. Jika ibubapa itu minatnya membaca, saya percaya tabiat itu mampu menurun kepada anak-anak mereka. Begitu juga jika ibubapa itu adalah perokok, usah bimbang jika suatu hari nanti rokok itu menjadi ‘wasiat’ kepada anak-anak kelak. Jika pula ibubapa itu suka bersosial sehingga lupa kubur, maka kita doakan saja semoga ada anak-anak yang mampu membaca sekurang-kurangnya Yasiin diambang maut mereka.

Jadikan mereka anak-anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapa, baik ketika kita masih ada di dunia fana ini, mahupun yang telah menghadap Ilahi. Didiklah anak-anak sehingga mereka mampu menjadi penyelamat kepada setiap ibubapa yang telah kembali ke Rahmatullah.

Kerisauan sentiasa menghantui setiap ibubapa apabila anak-anak mula melangkah ke dunia yang sebenar. Paling ditakuti adalah apabila mereka mula memiliki kawan-kawan yang bermasalah.

Pengaruh kawan-kawan ini adalah sangat hebat. Jikapun mereka telah menerima ilmu yang sepatutnya di rumah, namun jiwa yang sedang galak itu mungkin boleh membinasakan masa depan mereka. Mungkin di rumah mereka boleh menjadi baik, tetapi siapa tahu jika mereka tiba-tiba saja boleh bertukar menjadi rakus menghambat keseronokan dunia yang tumbuh melata. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah berani memijak tempat-tempat yang tidak sepatutnya, rakus menyentuh makanan minuman yang haram menjadi darah daging, melonjak kealpaan dengan pelbagai kemaksiatan,…aduhai…mereka sudah jauh terjebak dalam dunia yang penuh nafsu syaitan ini.

Jika diperhatikan masih banyak ibubapa yang leka dan lalai dalam memberi didikan sempurna kepada jiwa anak-anak. Jawapannya mudah, pelbagai anasir luar mudah merebak kepada jiwa anak-anak ini. Samada lelaki mahupun perempuan, seawal usia mereka sudah menjadi samseng, berbudaya gotik – yang saya yakini mereka sendiri tiada tahu apa maknanya tentang budaya itu -, berpeleseran tanpa had waktu, sungguh memualkan mata yang memandang, dan apa saja yang sememangnya diluar jangkaan minda kita ini. Ia tentunya suatu musibah yang besar diatas kealpaan ibubapa dalam menjaga amanah Allah ini.

Andai kita ibubapa yang kurang agamanya, jangan sesekali biarkan anak-anak kita menjadi sebagaimana kita. Beri mereka peluang seluas-luasnya untuk meneroka bidang agama. Jadikan mereka pembimbing kita dihari tua nanti. Hormati juga guru-guru yang memberi ilmu kepada anak-anak ini.

Pendidikan

Saya masih mahu melihat sistem pendidikan formal di Malaysia akan lebih terbuka kepada aspek penekanan dalam beragama. Tentunya guru-guru – dalam pelbagai bidang ilmu sekalipun – masih lagi mendapat perhatian yang baik daripada murid-murid hari ini, maka gunapakailah kesempatan yang ada untuk para pendidik mengambil peluang ketika bersama, menyuntik sesuatu ilmu keagamaan kepada jiwa pelajar-pelajar, sehingga mereka merasa terkesan dalam ilmu yang mereka peroleh. Baik dalam menyentuh soal adab dan akhlak, sehinggalah kepada pahala dan dosa, syurga dan neraka. Maka tentunya gandingan ibubapa dan guru menjadi penyelamat kepada generasi hari ini untuk membesar sebagai manusia yang hidup semata-mata bertunjangkan Islam.

Asasnya, adalah sangat perlu kurikulum pendidikan di negara kita, baik di sekolah rendah mahupun menengah sehinggalah ke universiti, lebih menekankan kepada pengajaran Islam yang turut mengambil kira sistem pengajaran ‘beragama’ yang memerlukan pelajar mendalami al-Quran, Hadis, Tauhid, Feqah, Sirah, dan ilmu-ilmu berkaitan yang menggunapakai prinsip-prinsip pendidikan yang diasaskan atas dasar dakwah Islamiah. Kurikulum ini perlulah sentiasa segar dan disesuaikan dari semasa ke semasa.

Untuk mendapat impak yang hebat, tentunya penyampaian ilmu agama ini perlu melalui tutur bicara yang indah dan naratif bagi mendekatkan pelajar kepada rasa cinta dalam beragama.

Mendidik juga perlu berlembut, namun ada ketegasan yang tersirat. Pelajar-pelajar perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing agar jalan hidup mereka tidak tersilap.

Jangan biarkan pelajar-pelajar yang suci ini terbiasa dengan dunia sekular yang masih wujud di negara kita. Jika terlalai maka runtuhlah jatidiri mereka, dimana kita akan melihat satu generasi baru yang sungguh lemah, longlai dan rosak masa depan mereka.

Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajar agama kepada anak-anak kita. Mudah-mudahan atas keprihatinan guru-guru ini mampu menyelamatkan anak-anak kita di luar sana.

Namun ibubapa tetap penggerak utama. Guru hanya membantu sewajarnya.

Ilmu Islam itu sendiri banyak cabangnya. Carilah ilmu itu dimana jua, bukan sahaja untuk anak-anak, namun untuk ibubapa juga, bukan hanya untuk rakyat, tapi untuk pemimpin juga.  InsyaAllah dengan punya pemimpin yang berilmu dalam sebuah rumahtangga mahupun Kerajaan yang besar, maka akan sejahteralah rakyat dibawah naungannya.

Tanggungjawab

Selain menekankan kepada aspek akademik anak-anak, ibubapa jangan sesekali lupa kepada tanggungjawab sendiri dalam memberikan ilmu agama yang terbaik kepada mereka. Buat yang terbaik dalam mentarbiah anak-anak untuk solat lima waktu yang wajib itu, berpuasa, mengaji al-Quran, dan banyak lagi amalan yang lain. Bagaimana pendekatan mahu diambil, itu terpulanglah kepada gaya anda untuk memahami perilaku anak-anak.

Jangan hanya terhibur dengan kebijaksanaan anak-anak di sekolah, namun damaikan hati kita semua sebagai ibubapa dengan melihat betapa cergasnya anak-anak kita bangun untuk berjamaah apabila azan berkumandangan, apabila mereka yang sibuk berpesan supaya mengejutkan dari tidur untuk bangun sahur, apabila mereka sudah hampir khatam al-Quran diusia mentah, dan banyak lagi adegan yang boleh menyejukkan hati ibubapa yang melahirkan mereka.

Saya percaya bahawa tempoh waktu yang paling kritikal dalam kehidupan seorang manusia adalah diusia remajanya. Anak-anak usia sebegini sewajarnya telah dipenuhi jiwa mereka dengan sifat Muslim yang telah taat kepada perintah Allah, terutamanya dalam menunaikan kefardhuan solat lima waktu.

Anda tahu betapa ramai dikalangan pelajar di bandar-bandar utama tidak solat Subuh kerana bergegas menunggu bas sekolah? Sedih bukan kerana dunia ini mengejar waktu penghuninya sehingga mampu mengabaikan kepentingan untuk tunduk kepada Maha Pencipta. Sepatutnya setiap daripada kita maklumi bahawa kejayaan dalam akademik itu seharusnya seiring antara hubungan hamba dengan Penciptanya.

Ajarlah anak-anak bersolat seawal usia tujuh tahun. Sehingga umur 10 tahun, jika anak-anak masih liat untuk menunaikan solat fardhu lima waktu ini, ibubapa punya hak untuk memukul anak-anak ini. Ajaran Islam itu sangat syumul. Sehingga mereka aqil baligh, insyaAllah jiwa mereka makin kuat untuk mendepani cabaran semasa.

Dalam situasi hari ini, saya terfikir siapakah sebenarnya yang mengajar anak-anak kita solat? Apakah ibubapa serius mengambil peranan ini, atau tanggungjawab ini diserahkan kepada guru dalam sesi kelas Fardhu Ain?

Tidak sukar untuk mendidik anak-anak solat. Paling senang apabila ibu mahupun bapa yang mengimami sendiri solat itu.

Jadualkan kehidupan mereka. Bila masa perlu tidur, ada waktunya untuk solat, bersenggang santai untuk apa jua aktiviti berfaedah, mudah-mudahan mereka terdidik dalam kehidupan yang lebih teratur.

Susahnya jika ibubapa sendiri yang tidak menitikberatkan perihal solat.

Mendidik anak mengerjakan solat perlu ada ketegasan. Ibubapa yang perlu terlebih dahulu berdisiplin dalam menunaikan ibadat solat, insyaAllah anak-anak akan patuh pada setiap disiplin yang diperkenalkan, bilamana mereka sendiri melihat kita bergegas melaksanakan disiplin itu. Maka jadilah teladan yang baik kepada anak-anak, terutamanya dalam perihal solat.

Jangan sewenang mengajar anak itu dan ini, tapi kita masih juga ditakuk yang lama. Lebih teruk jika solat anak-anak itu adalah lebih baik daripada ibubapanya sendiri.

Inilah dia tanggungjawab besar ibubapa yang melahirkan amanah Allah ini. Jangan hanya pandai melahirkan, tetapi tiada ‘talinya’ untuk ‘mengikat’ langkah anak-anak itu. Kebebasan itu perlu, jangan terlalu mengongkong, namun kebebasan yang diberi itu mesti ada disiplinnya. Mesti ditentukan syarat-syarat yang munasabah kepada anak-anak. Paling penting, sejauh mana melangkah, lekatkan di jiwa anak-anak bahawa Allah itu sedang memerhati.

Fikirkanlah bahawa didikan Islam itu sewajibnya bermula dari rumah. Jangan sesekali biarkan anak-anak yang lahirnya suci bersih ini menjadi syaitan yang bertopengkan manusia.

Dalam mendidik juga jangan terlalu memaksa anak-anak, walaupun ibubapa sebenarnya berniat baik. Sesuaikan dengan peringkat umur mereka, hak pada setiap umur untuk mereka hidup dalam keadaan terkawal emosinya. Apabila mereka sudah cukup kuat untuk suatu tanggungjawab, maka berilah bebanan yang sesuai dengan emosi mereka.

Cabaran

Rasanya tiada yang lebih mencabar dalam dunia ini melainkan membesarkan anak-anak sehingga betul-betul menjadi. Namun, jika berpandukan didikan Islam, insyaAllah kita sudah ada petunjuk cara yang terbaik. Kita punya banyak pengkisahan tentang kejayaan cemerlang ummat terdahulu, mahupun kini, yang memungkinkan kita mengambil iktibar bagaimana ibubapa terdahulu mampu melahirkan pejuang-pejuang Islam yang hebat. Pedulikan cara mereka mendidik, gunapakai yang terbaik daripada mereka. Jika mungkin tidak bersesuaian kerana perubahan zaman, maka perlu kita sesuaikan dengan cara tersendiri, asalkan  tidak sesekali tergelincir ke jalan yang boleh membinasakan masa depan anak-anak kita sendiri.

Saya yang masih punya anak kecil masih belum ketahuan cabaran membesar anak-anak remaja. Namun hati ini tetap ada gusarnya. Besar harapan saya agar pihak berwajib membuka mata seluasnya mencari alternatif untuk menyelamatkan generasi kanak-kanak hari ini, dari terus menjadi mangsa kepada kancah sosial yang berterusan teruk dari semasa ke semasa.

Jangan mudah terpesong dengan ilmu didikan pembangunan insan dari barat yang kononya kelihatan urban itu. Mungkin bergaya pada hiasan dunia, namun tiada bekalnya untuk dibawa ke akhirat nanti.

Jangan sesekali berlepas tangan dalam membangunkan jiwa anak-anak. Mereka ini fragile. Jika hari ini mereka kelihatan tewas, teruskan motivasi menyelamatkan kehidupan mereka. Anak-anak ini sebenarnya sangat memerlukan kekuatan dan sokongan daripada ibubapa. Jangan sesekali ibubapa mengkritik keras sekiranya wujud perselisihan pendapat. Kritikan itu mampu membunuh jiwa mereka secara senyap.

Tanamkan semangat bahawa anak-anak kita adalah bakal pejuang dalam mewarisi kepimpinan yang baik pada hari ini.

Hamba

Setiap manusia itu adalah hamba kepada Allah. Maka sedari kecil lagi tanamkan kepada jiwa  anak-anak ini rasa cinta dan pengabdian diri kepada Maha Pencipta mereka. Berikan kebebasan yang sepatutnya untuk mereka bereksperi diri di muka bumi Allah ini, mudah-mudahan akan ditemukan dengan makna sebenar sebuah pencarian menuju ke Syurga yang abadi.

Alunkan zikir sebagai penenang hati.

Jangan biarkan anak-anak ini syirik perbuatan mereka kepada Allah.

Dunia ini penuh daya tarikan yang luar biasa. Jiwa yang lemah mampu terkulai dalam fitnah dunia.

Apabila saya berbicara perihal mendidik anak-anak, tidaklah bermakna saya telah berjaya menjadi seorang ibu yang baik. Saya cuba mengajak semua merenung kembali peranan besar kita sebagai ibubapa dalam membekalkan anak-anak sebagai pejuang Islam dalam kesinambungan pimpinan yang ada pada hari ini.

Anak-anak yang masih suci itu insyaAllah senang patuh kepada semua ajaran.

Salahkan diri sendiri jika anak-anak kita tidak menjadi. Seterusnya, mungkin Kerajaan yang patut benar mengubah sistem pendidikan mereka kepada yang lebih Islamik. Kita sebagai rakyat ada hak untuk meminta Kerajaan lebih prihatin kepada masalah sosial yang makin tenat, yang mampu memupuskan dan menjahanamkan jatidiri Muslim pada anak-anak kita.

Tiada yang lebih merosakkan anak-anak kita melainkan kelalaian kita sendiri. Iringilah doa semoga kita mampu menjadi ibubapa yang terbaik kepada anak-anak kita ini.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

If children live with criticism, they learn to condemn.
If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with ridicule, they learn to be shy.
If children live with shame, they learn to feel guilty.
If children live with encouragement, they learn confidence.
If children live with tolerance, they learn to be patient.
If children live with praise, they learn to appreciate.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with approval, they learn to like themselves.
If children live with honesty, they learn truthfulness.
If children live with security, they learn to have faith in themselves and others.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

By; Dorothy Law Nolte

11.10am

Keutamaan

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, seminggu sudah sesi persekolahan baru bermula. Kembali ke alam persekolahan selepas lebih kurang 40 hari bercuti panjang, insyaAllah menjanjikan motivasi baru kepada anak-anak. Saya pula kembali ke rutin asal, menghantar dan mengambil mereka pada setiap hari.

Setiap kali sesi persekolahan baru bermula, saya yakin semua ibubapa akan memberi tumpuan yang lebih kepada kedudukan kewangan mereka. Untuk sesi kali ini saya menghabiskan RM500 untuk yuran pengajian bagi empat orang anak, RM150 untuk pakaian seragam anakanda yang menjengah ke darjah satu, dan RM50 bagi keperluan alatulis. Dengan jumlahnya mencapai RM700, saya kira ia suatu jumlah yang banyak.

Saya tidak pasti sejauh mana setiap ibubapa bersedia untuk menyediakan keperluan kewangan yang sekaligus ini. Namun, saya yakin bahawa setiap ibubapa itu telah berusaha sehabis daya untuk mencukupkan keperluan kepada anak-anak bagi mendapat pendidikan yang terbaik. InsyaAllah, saya juga di antara ibubapa yang mahu sehabis baik mengutamakan keperluan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.

Isu-isu kemasyarakatan ada tempatnya dalam pemikiran ini kerana jiwa saya sudah sebati dengan permasalahan dalam kehidupan. Keluhan sesetengah daripada ahli masyarakat tentang ketidakcukupan kewangan mereka pada musim-musim tertentu sering saja mendapat perhatian pancaindera saya.

Saya yang membesar di dalam sebuah keluarga Wakil Rakyat sentiasa meniti fenomena ketidakcukupan rakyat dalam menyediakan keperluan kepada anak-anak diawal sesi persekolahan pada saban tahun. Begitu juga pada tahun ini, rumah ayahbonda saya menjadi tumpuan rakyat untuk datang memohon sebarang bentuk keperluan untuk penyediaan persekolahan anak-anak. Kadang-kadang ke rumah saya pun ada juga, tapi sedikit sahaja. Kami akan cuba sedaya yang boleh, insyaAllah.

Tentunya yang datang itu adalah para ibu, bersama anak-anak kecil yang masih didukungan. Jika ditanya di mana ayahnya, dijawabnya sakit, tidak boleh bekerja. Anda faham fungsi anak kecil itu? Inilah yang dihebohkan sebagai tanggungjawab seorang ketua keluarga. Keutamaan itu penting. Mana yang lebih penting? Mengkualitikan anak-anak atau mengkuantitikan anak-anak? Kita sama-sama fikirkan.

Sebenarnya jika ditanya sesiapapun tentang status kewangan mereka, hatta disoal kepada seorang ahli perniagaan Palestin (yang namanya tidak didedahkan) yang membeli sebuah apartmen satu bilik tidur di bangunan Burj Dubai pada harga AS$3 juta (RM10.27 juta) pada tahun 2008, saya percaya bahawa dia juga akan menjawab, kekayaannya itu belum mencukupi.

Walaupun dunia ini sudah dimaklumkan hanya bersifat persinggahan, namun sesi ‘mengejar’ dunia itu tiada hentinya. Jika diikutkan nafsu, masa 24 jam itu tiada cukupnya.

Nafsu ini sentiasa mahukan yang baru, dari sekecil-sekecil keinginan kepada makan pakai, sehinggalah kepada pemilikan kekayaan hartanah yang luar biasa.

Kalau boleh semuanya mahu dikaut. Andai ada lagi harta di atas langit sana, tiada segan silunya untuk manusia memilikinya.

Namun, percayalah bahawa berlebih-lebihan itu satu bebanan. Bersederhana itu adalah keperluan. Bukan bermaksud tiada boleh bersaing hebat di dunia ini, tetapi kalau sudah ketahap pembaziran, tiada maknanya pencarian itu. Ia hanya mendatangkan kemudaratan.

Prioritikan Ibadah

Dimana kita dalam mengutamakan kepentingan dalam beribadat kepada Allah? Sama-sama kita renungkan.

Jika kita prioritikan solat mengikut masa diawal waktunya, insyaAllah kehidupan ini ada rehatnya.

Sepatutnya solat diawal waktu diberi keutamaan. Namun, daripada pemerhatian sendiri dalam bermu’amalah ketika di kampus mahupun sekarang ini, masih banyak yang bergelar kepimpinan kampus dan ustaz mengabaikan solat di awal waktu, yang diprioritikan ceramah mahupun kuliah yang berdegar-degar itu. Menyampaikan ilmu Islam itu sememangnya dihargai, namun jika diterbalikkan keutamaan ini, tidak salah jika ‘pengikut’ ini tidak memberi hormat kepada mereka.

Sejak fikiran ini boleh memahami erti dunia dan akhirat, tentu sekali kita sudah boleh menilai apa sepatutnya yang kita lakukan pada kehidupan dunia ini.

Dosa pahala telah kita sama-sama pelajari. Sebagai seorang Muslim, sepatutnya kehidupan kita lebih teratur berbanding non-muslim, memandangkan sudah nyata sekali bahawa kehidupan dunia ini ada matlamatnya. Kita ada alam lain untuk dituju selepas dunia yang fana ini.

Jika tahu menggunapakai sistem Islam dalam kehidupan, insyaAllah hidayah daripada Ilahi sentiasa akan melorongkan kita ke jalan yang diredhaiNya.

Kehidupan sihat

Untuk memiliki sebuah kehidupan yang ‘sihat’, sepatutnya kita tahu benar apa yang perlu kita dahulukan. Supaya kelak nanti kita berakhir dengan aman.

Bagaimana mahu faham untuk memberi keutamaan? Mungkin kita boleh senaraikannya terlebih dahulu.

Beli keperluan persekolahan anak-anak, bereskan yuran persekolahan, bantu anak buat homework, bersantai bersama kawan-kawan, update blog…senarai ini mungkin sesuai untuk seorang suri rumah…

Tiada orang lain yang boleh menentukan apa yang sepatutnya kita dahulukan, melainkan diri kita sendiri yang membuat perancangan keatas kehidupan ini. Kita yang memilih keutamaan itu berdasarkan kepentingannya ke atas kehidupan kita.

Fikirkan dengan bijak apa yang sebetulnya kita mahukan dalam kehidupan ini. Jika mampu, senaraikan kekakanan keutamaan itu, pilih yang terbaik, maka ‘kirikan’ perkara yang boleh dikemudiankan.

Jarang seseorang itu mampu mencapai keinginannya secara serentak.

Jika kita bermula pada usia dewasa ini, apa yang kita mahu sebenarnya? Jika ditanya saya, jawabnya, anak-anak adalah keutamaan. Kemudian itu, kemudian ini. Tentunya untuk diri sendiri saya kemudiankan. Tidak mengapa saya berkorban, namun janganlah sehingga saya terkorban.

Usia kanak-kanak adalah usia emas yang tinggi nilainya. Saya cuba memberikan mereka yang terbaik, mengutamakan keperluan kehidupan mereka, bakinya barulah untuk saya.

Jangan kerana seorang dewasa itu nafsunya besar, disisihkan pula keperluan sikecil.

Ilmu

Sejauhmana kita mementingkan percambahan ilmu dalam kehidupan ini? Kelihatan anak-anak kita lebih mudah menghafal lirik lagu berbanding ayat-ayat suci al-Quran.

Anak-anak saya adakalanya begitulah. Saya tidak membenarkan apa-apa lagu berkumandang di dalam rumah, di dalam kereta pula kadang-kadang sahaja, tika boring dan tiba-tiba menjadi mengantuk semasa pemanduan, saya mula mencari-cari info di radio…Sekurang itupun saya mendengar radio, boleh lagi anak-anak ini menyanyi-nyanyi kecil bersahutan bersama mereka. Apabila saya tanya, mana tahu lagu ini? Jawabnya, kawan-kawan yang nyanyikan. Lihatlah betapa besarnya pengaruh kawan-kawan!

Bagaimana pula kita mahu menentukan kawan-kawan yang baik mempengaruhi anak-anak kita? Inilah cabaran besar buat kita sebagai ibubapa dalam mengharungi sebuah kehidupan sosial yang mula menonjolkan kebejatannya yang mula rosak dari semasa ke semasa. Apakah peranan besar kita sebagai ibubapa dalam mendidik dan memberi kesedaran sivik kepada anak-anak ini, kerana sesungguhnya akhlak yang baik itu bermula daripada didikan di rumah.

Tiada ibubapa yang tidak mahu melihat anak-anak ini berjaya kehidupan mereka dengan cemerlang. Bukan hanya meraih kejayaan gemilang di dunia, namun lebih dari itu, membawa hati yang sejahtera ke akhirat.

Kita sememangnya tidak mahu anak-anak ini layu dalam propaganda dunia yang semakin menjadi-jadi terutama dalam bidang hiburan. Tanahair yang kita cintakan ini pun sudah larut sama dengan budaya hedonisme.

Seolah-olah tiada ertinya hidup ini tanpa artis, baik si seksa tempatan mahupun yang dimport dari luar. Tiada keberkatannya sebuah kehidupan dengan keterlaluan menaja program-program yang berorientasikan syaitan ini. Rakyat pula diperah secara rela untuk melabur keatas tiket-tiket konsert yang berharga beratus-ratus RM.

Siapa sebenarnya yang patut kita salahkan dalam fenomena ini? Saya memilih ibubapa.

Dalam membina sebuah keluarga yang berjaya, ilmu keibubapaan sangat penting. Ibubapalah yang berperanan besar dalam melahirkan anak-anak yang mempunyai jatidiri muslim yang sebenar. Tanamkan akhlak Islam sedari mereka kecil lagi. Beritahu mereka situasi yang sebenar dalam semua aspek keadaan, jangan biarkan mereka terikut-ikut dengan arus kemodenan dunia. Kelak nanti, jangan kita mengalir air mata kerana mereka sudah menjadi anak derhaka.

Penekanan didikan bersumberkan ilmu Islam itu bukan sekadar cukup dengan mereka memakai tudung, berkopiah sahaja, tetapi lebih kepada menanam jauh ke dalam jiwa mereka bahawa ke mana mereka pergi sekalipun, Allah tetap ada bersama.

Jangan jemu memberi pengertian kepada anak-anak ini mengenai betapa sempurnanya Islam. Kita yang melahirkan mereka, maka wajib kita menjaga amanah ini dengan sehabis sempurna.

Namun, ibubapa perlu bijak mengawal emosi anak-anak, banyakkan menjawab persoalan, kurangkan ‘berceramah’ itu ini kepada mereka, lebih-lebih lagi kepada anak-anak remaja, mereka mudah saja merasa rimas, akan terasa diri mereka semuanya tidak kena kepada mata orang tua.

Sebagai ibubapa, fahami apa kehendak anak-anak ini. Apa yang anak-anak ini mahukan dalam kehidupan mereka, dalam masa yang sama sampaikan juga harapan kita secara santai kepada mereka. Saya percaya komunikasi dua hala sebegini mampu untuk kita lebih menjiwai peranan masing-masing. Sebagai contoh, jika impian kita mahukan anak-anak berjaya, jangan pula mengelak untuk menghantar mereka tuisyen, jika itu yang mereka pinta. Itu maknanya kita saling memahami kepada semua kehendak.

Sebuah keluarga yang tiada harmoninya, membebankan, caca marba…sungguh tiada bahagianya.

Sebuah keluarga yang dibina biarlah mencapai matlamat sebenar sepertiman kita putuskan ketika mahu mendirikan rumahtangga. Membina keluarga adalah suatu kurniaan yang tiada nilainya, tiada kejayaan yang dibina tanpa sebuah keluarga yang berjaya.

Berbeza

Saya kira keutamaan di antara seorang wanita dengan lelaki itu adalah berbeza. Kelainan juga kepada tanggungjawab seseorang itu. Mungkin saya sebagai seorang ibu memikirkan kepada anak-anak, tetapi adalah penting bagi suami saya mendahulukan keperluan seorang ibu. Begitu pula jika ditanya kepada anak-anak yang masih ringan tanggungjawabnya, tentu keutamaan mereka diberi kepada pencapaian dalam peperiksaan sahaja.

Jika dilihat dalam kontek yang lebih besar, keutamaan seorang pemimpin tentunya mahu memberi kesejahteraan kepada rakyat umum, jika ditanya rakyat awam pula, tentu keutamaan mereka dalam skop yang lebih kecil, mungkin mahu menjaga keselesaan keluarga.

Matlamat

Hidup ini biarlah ditentukan matlamatnya. Jika suka berfikir jauh, buatlah matlamat jangka panjang, jika tidak mahu membebankan fikiran melihat masa depan yang bermacam-macam itu, maka rancangkanlah sekudrat tilikan minda yang ada. Namun, elakkanlah perancangan yang hanya akan menjadi sia-sia kepada usia ini.

Jadilah manusia bijak, jangan campur adukkan perancangan itu dengan ramuan-ramuan yang mungkin memakan diri sendiri. Manfaatkan usia yang ada dengan perkara-perkara yang munasabah lagi berfaedah. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat sekeliling dan masa depan yang akan kita tinggalkan.

Dunia ini hanya sementara. Tempat kita mencari bekalan menuju akhirat. Menghadap tuhan itu adalah sasarannya. Pastinya sementara usia masih dikandung badan, marilah kita sama berfikir apakah keutaman yang sepatutnya kita prioritikan.

Keliru

Namun, tidak dinafikan bahawa kadang-kadang kita terkeliru dengan keutamaan yang kelihatan sama pentingnya. Tidak tahu untuk kita nilaikan mana satu wajar didahulukan.

Dalam rutin sebuah keluarga, tentunya kita patut prioritikan diri sendiri, pasangan kita, seterusnya anak-anak. Mahukan kehidupan yang lebih teratur, pastinya kita dahulukan keperluan yang lebih penting nilainya. Hal remeh-temeh kita selesaikan selepas itu. Mungkin ada pula hal-hal kecil yang terkebetulan, maka kita sambil-sambil usahakannya.

Kita sendiri yang akan menentukan kepentingan yang perlu diutamakan.

Dahulukan keutamaan yang akan memberi harga yang lebih prestij pada kehidupan kita.

Mencari rezeki yang halal dan diberkati, menyelesakan kehidupan berumahtangga, mengekalkan prestasi kesihatan tubuh badan, menjayakan potensi anak-anak, bersosial dalam hidup bermasyarakat, bukanlah perkara-perkara enteng. Ia memerlukan ketahanan fizikal dan minda yang kuat.

Pastikan setiap perkara yang kita sasarkan itu ada manfaatnya. Bukan hanya nilaian untuk dunia, namun lebih dari itu. Niatkan juga segala setiap perilaku dan amalan itu adalah untuk bekalan akhirat. InsyaAllah dengan niat yang baik diatas tindakan yang baik, Allah menjaminkan sebuah ketenangan untuk kita.

Ketenangan ini sesuatu yang tidak boleh diperoleh sambil lewa, ia hadir ke dalam hati yang tiada gundahnya. Pentingnya, kita percaya kepada kebesaran Allah, sujud kepadaNya, pohonlah agar hati ini sentiasa dihidayahkan untuk sentiasa mendapat yang terbaik.

Jiran

Bagaimana kejiranan anda? Ambillah masa bertanya khabar kepada mereka. Bantulah apabila mereka memerlukan sekadar kudrat yang kita ada. InsyaAllah konsep memberi dan menerima lebih mengharmonikan suasana hidup berjiran.

Setiap bicara kita kepada jiran ada ganjarannya. Bersapalah dengan perkataan yang baik-baik saja. InsyaAllah jika kita berniat baik terhadap mereka, maka baik juga balasan yang akan kita terima. Jangan pula terlalu bersosial sehingga terlajak mengumpat, itu konsep kejiranan yang belum merdeka pemikirannya.

Apabila saya memutuskan untuk ‘berjiran’ dengan berblog, maka saya mahukan yang baik-baik saja.

Saya mahu kita bersama menjayakan sebuah nilai kemanusiaan yang sejati dalam kehidupan ini.

Anda sudah ketemu keutamaan yang sebenar? Sama-sama kita menuju kearah sebuah kehidupan yang lebih sejahtera dan bermatlamat.

“Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah hamba”

(Al-Baqarah : 138)

11.14am

Pengisian

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, anak-anak saya telah menunjuk minat yang baik kepada bahan bacaan. Saya sendiri sangat mengalu-alukan minat mereka itu. Dalam sebulan adalah kiranya saya membelikan mereka bahan bacaan santai, sekurang-kurangnya dua buah, untuk menggalakkan minda mereka kepada minat membaca. Ia juga suatu penambahan pengetahuan kepada mereka secara tidak langsung.

Biasanya mereka akan memilih sendiri bahan bacaan yang mereka mahu. Saya biarkan mereka mencari-cari sendiri bahan bacaan yang mereka suka apabila kami ke mana-mana kiosk buku. Namun, keputusannya di tangan saya. Jarang benar saya membenarkan mereka membeli komik kartun semasa. Saya lebih suka mereka membaca bahan bacaan yang baik ilmunya. Lebih-lebih lagi yang mempunyai isu yang dihuraikan secara teratur, tentunya mengikut kesesuaian akal dan pemikiran anak-anak kecil ini.  

Huraian penulis yang baik dalam isu kanak-kanak mampu memberi terjemahan langsung sehingga kepada perubahan perilaku mereka. Kadangkala kita berbeza pendapat dengan anak-anak, namun jika ada pencerahan dalam bahan bacaan yang ditelitinya, ia banyak membantu untuk menguruskan emosi mereka dengan lebih berhikmah.

Pilihan

Saya pula lebih suka memilih majalah dan novel bagi pengisian ringan. Saya mudah tertarik kepada novel ‘best seller’ yang tentunya mendapat maklum balas yang bagus daripada ahlinya. Namun sudah lama benar tidak membeli novel, kali terakhir rasanya lima bulan lepas, saya memiliki naskah Lasykar Pelangi, tulisan Andrea Hirata. Saya sangat sukakan memori zaman keriangan mereka. Novel yang ringan tapi bermanfaat.

Saya juga membaca Memoirs of a Geisha, satu penyelidikan yang hebat telah dilakukan oleh Arthur Golden, perasaannya memang terkesan. Saya dimaklumatkan bahawa novel ini menjadi bahan kajian dan rujukan kepada satu projek penterjemahan dalam aspek budaya, yang melibatkan terjemahan perkataan, frasa dan ayat ke dalam bahasa dan istilah yang sepatutnya sampai ke sasaran maksudnya. Ia juga bertujuan untuk memastikan terjemahan yang dibuat tidak ‘lari’ dari maksud yang asal.

Sebelum itu saya juga antara orangnya yang tenggelam dalam fenomena Ayat-Ayat Cinta lebih dua tahun yang lalu. Bagi saya Habiburrahman El Shirazy adalah seorang penulis yang gah, mampu membangunkan jiwa setiap pembacanya. Pastinya saya mahu mengucapkan terima kasih kepada seorang sahabat yang menghadiahkan saya buku ini. Entahkan hadiah atau tidak, saya meminta bantuannya untuk membelikan buku itu, saya menerimanya melalui Encik Posmen. Berkali-kali mahu membayarnya melalui akaun bank, dia tetap menyepi diri. Saya pohon dia halalkan buku itu untuk saya. Doa saya mudah-mudahan sahabat saya ini dimurahkan rezeki,…nanti boleh belanja saya lagi…

Kebanyakan masanya saya membaca pengisian ringan ini adalah di dalam kereta. Saya benci menunggu, jika perlu juga untuk menunggu, maka majalah dan novel inilah teman baik saya. Apabila membaca, jangan hanya kita membaca, dapatkanlah sesuatu yang istimewa daripadanya.

Terpulanglah kepada masing-masing bagaimana mahu menambah ilmu melalui pengisian ringan ini. Segalanya terletak kepada kemahuan dan minat. Tiada siapa yang boleh memaksa, yang adalah hanyalah cadangan yang pelbagai.

Pendekatan yang bersesuaian mengikut minat dan kefahaman adalah perlu bagi menghadirkan kemahuan kepada pengetahuan sampingan. Usah memaksa diri membaca sesuatu yang tidak kita suka, malah menjadi sukar untuk memahaminya sekadar kemampuan minda. Jangan menjadi makin keliru selepas membaca. Lebih parah kiranya andai kita menjadi ‘sesat’ kerana membaca, lebih-lebih lagi dalam ilmu keagamaan, kerana ada kemungkinan juga kita sebagai orang awam ini akan menjadi ‘fobia’ kepada pandangan-pandangan ilmuan Islam yang banyak memberi diskusi penting mengenai ketuhanan.

Pandangan

Berbeza pandangan itu sesuatu yang perlu diraikan dalam hidup bermasyarakat. Mungkin hari ini kita tidak bersetuju dengan suatu perkara, insyaAllah ada saatnya nanti Allah melorongkan sesuatu yang pasti untuk kita.

Menyuarakan pendapat tidak salah, tetapi biarlah kita faham tentang isunya. Jangan pula kerana hanya dengan keyakinan, kita telah membuat suatu keputusan yang silap kerana tidak pernah tahu asal sumbernya.

Andai wujud kekhilafan, adalah wajar kita cari persepakatan dan persetujuannya. Jangan kerana berlainan pendirian kita jauhkan sebuah persaudaraan. Kerana sebuah persaudaraan akan terbinanya ikatan persahabatan. Bersyukurlah dengan setiap jalinan ukhuwah yang wujud, kerana sebuah persahabatan akan menjunjung sebuah kesetiaan yang sukar dicari.

Buku-buku karya ayahanda juga menjadi pilihan saya, yang banyak diterbitkan oleh Anbakri Publika Sdn Bhd. Samada ia banyak menyentuh isu agama mahupun politik, saya terasa ‘dekat’ dengan tulisannya yang hebat menyuarakan pandangan-pandangan beliau tentang pelbagai isu, yang kadangkala membuahkan kontroversi pada masa-masa tertentu. Tulisannya adalah bahasanya ketika berkuliah mahupun ceramah, dan semestinya sebahagian usia saya adalah membesar dengan suara-suaranya itu.

Saya sangat sukakan tulisan beliau yang memberi semangat dalam mempertahankan Islam sebagai satu ideologi dalam berpolitik. Walau kemana arah tuju Pas sekalipun, saya percaya ia merupakan sebuah parti politik yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri, kerana kekuatan itu adalah Islam!

Selama ini juga saya suka mengutip buku-buku daripada rumah ayahanda, yang sering dihadiahkan kepadanya, yang mana jarang amat dia membaca buku-buku bertulisan rumi, hanya kitab Arab pilihannya. Buku terbaru yang saya miliki daripadanya, Wasiat Nabi SAW Kepada Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah, terjemahan Ustaz Yahya Othman, moga-moga dapatlah saya menghabiskannya dalam waktu terdekat ini.

Ada baiknya jika saya mula mengubah diri sendiri untuk menjadikan buku sebagai hadiah kepada sahabat-sahabat.

Perkongsian

Jika saya memiliki koleksi bahan bacaan ringan, saya amat suka jika mampu untuk berkongsi pengisian ini dengan sahabat-sahabat. Saya sentiasa bersedia untuk memberi pinjam mana-mana bahan yang saya ada, malah tidak pernah ambil kisah jika tidak memilikinya kembali, kerana biasanya saya tidak akan membacanya untuk kali kedua. Majalah-majalah pula akan dititipkan kepada kakak saya untuk dijadikan bahan bacaan di sekolah tempatnya mengajar. Namun, tidak pada buku-buku agama, saya menyimpannya dengan baik untuk dijadikan rujukan dilain masa.  

Apabila saya menulis, bukan bermakna saya banyak ilmunya. Saya masih juga orang awam yang sentiasa dahagakan ilmu buat bekalan hidupan dunia menuju akhirat. Belajar dan memahami setiap ilmu agama itu tiada rehatnya. Iman saya perlu disihatkan, biar ia bertambah pada setiap ketika, dan menjadi makin ‘gemuk’ pada setiap detik kehidupan ini.

Menjaga iman adalah sesuatu yang sukar. Penambahan ilmu pada setiap ketika adalah suatu keperluan yang bukan terpinggir. Maka bersamalah kita menanam semangat agar ada penyelesaiannya bagaimana untuk kita terus beriman kepada Allah swt.

Jangan jemu berkongsi sesuatu dengan saya. Usia ini sentiasa menuju ke pengakhirannya. Usah terlalu yakin kepada diri bahawa kita ini sudah benar betul di jalan yang diredhai olehNya. Ujian dan dugaan itu akan sentiasa hadir dalam kehidupan, maka bersamalah kita muhasabah moga-moga hidayah Allah itu sentiasa menusuk masuk ke dalam jiwa pada setiap ketika.

InsyaAllah pada setiap ketika saya tetap akan menjadi diri saya yang sebenar. Kalaupun saya hebat dikritik mahupun dipuji, saya tetap percaya bahawa setiap yang berlaku itu akan ada hikmahnya. Ujian yang datang kepada saya dan keluarga pada kali ini mampu meletakkan diri saya menjadi seorang yang lebih ‘keras’ jiwanya.

Taatlah Allah dan Rasul. Walau apapun dugaan yang menimpa, ingatlah bahawa Allah itu Maha Adil! Jadilah diri sendiri, yang sentiasa mahu dibimbing oleh sahabat-sahabat yang lain untuk terus bersemangat mencintai Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara)”

(al-Ahzab 33: 70)

11.57am

2010

Salam Ukhuwah…

Sometimes,

Allah breaks our spirit to save our soul,

He breaks our heart to make us whole,

He sends us pain so we can be stronger,

He sends us failure so we can be humble,

He sends us illness so we can take care of ourselves…

Sometimes,

Allah takes everything away from us so we can learn the value of everything He gaves us…

Happy New Year

11.09pm