• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2010
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Amanah

Salam Ukhuwah…

Masih lagi suka untuk saya berbicara perihal anak-anak…

Kerana ia suatu harta yang tiada tandingnya untuk semua ibubapa di dunia ini, sebagai suatu talian hayat untuk ke akhirat. Memiliki zuriat itu suatu nikmat yang besar. Maka bercita-citalah untuk memberi didikan yang terbaik kepada amanah ini, mudah-mudahan mereka semua akan menjadi lebih hebat berbanding apa yang kita miliki hari ini, tentunya kehebatan dalam ilmu Islam.

Islam sendiri sangat menekankan tentang keperluan membuat pencarian terbaik dalam memilih pasangan sebelum melangkah ke alam berumahtangga. Institusi perkahwinan adalah awalan terbaik dalam membangunkan sebuah keluarga. Bertitik tolak dari suami isteri yang baik, insyaAllah zuriat yang diamanahkan itu mampu dijaga sejak daripada kecil sehinggalah dewasa, mengikut tuntutan syarak agar mencapai keredhaan Allah dan Rasul.

Perlu ditegaskan bahawa zuriat itu adalah suatu amanah yang tiada perinya. Sayangi anak-anak kita dan sayangilah juga masa depan mereka.

Memiliki zuriat mengajar kita menjadi seorang manusia yang amanah, mendidik ibubapa dalam menjaga amanah besar yang diuji langsung daripada Allah, baik dari segi kesusahan, dan kepayahan dalam membesarkan anak-anak ini. Jika kita berilmu dalam memberi didikan, insyaAllah hasilnya juga adalah baik. Ibubapa harus sentiasa bersedia membuka jalan untuk anak-anak ini meneroka minda mereka, ke arah menjadi manusia hebat dan bermaruah dalam setiap langkah mereka dikemudian hari.

Mereka memberikan kita kekuatan, kecekalan, dan merupakan generasi yang boleh mencipta sesuatu yang lebih baik kepada Islam. Itulah impian tinggi setiap ibubapa, maka jangan hanya tinggal impian, jadikanlah itu satu kenyataan! Kitalah yang bertanggungjawab dalam merealisasikan impian besar itu.

Maka, setiap ibubapa perlu beriltizam untuk membina generasi terbaik dalam mendidik anak-anak. Biar mereka menjadi bayi yang disayangi ramai, kanak-kanak yang riang gembira bak kenangan Lasykar Pelangi, remaja yang beradab dan berakhlak mulia, seorang dewasa yang matang dan bermaruah, seterusnya giliran mereka pula membina generasi baru yang unggul.

Jadikanlah anak-anak kita ‘eksperimen’ untuk dijadikan contoh kepada masyarakat dalam melahirkan generasi baru yang lebih bermaruah dan berjaya kehidupan mereka di dunia, tanpa mengabaikan kepentingan ilmu akhirat.

Ibubapa

Betapa peritnya seorang ibu bertarung nyawa melahirkan seorang zuriat, betapa sabarnya seorang ayah membanting tulang mencari rezeki, itulah suatu bentuk tarbiah dan didikan yang sempurna daripada Allah untuk mengajar hamba-hambanya menghargai jasa dan pengorbanan besar ibubapa mereka, yang mana kesinambungan pengajaran ini akan berterusan kepada anak-anak, cucu-cucu, dan seterusnya.

Bertuah jika anda seorang ibu yang mampu memberi minum kepada bayi susu anugerah langsung daripada Allah. Dalam dakapan kasih seorang ibu, bayi anda akan berasa selamat dan damai hidupnya. Dia terkulai manja di bawah sinar redup pandangan bondanya. InsyaAllah sedarnya nanti, dia tetap mencari kehangatan kasih ibu sehingga kehujung usia.

Berkat susu anugerah Allah ini, mudah-mudahan menjadi darah daging yang mampu melembutkan jiwa anak-anak dalam menerima setiap didikan yang sempurna daripada ibubapa. Selain azan dan iqamah diperdengarkan kepada bayi, seawal bacaan Basmalah setiap kali disuakan susu, mudah-mudahan doa itu menjadi ubat untuknya, jua diberkati kehidupannya sentiasa.

Menjadi ibubapa terbaik untuk anak-anak bukanlah perkara yang mudah. Ia suatu tugasan yang berat, lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang sinonim dalam memahami perkembangan semasa anak-anak ini. Ibu tentunya lebih faham karenah anak-anak kerana keakraban mereka sejak dari dalam kandungan lagi. Andai baik laku seorang ibu semasa mengandung, insyaAllah baik jugalah nanti zuriat yang dikurniakan Allah itu. Adapun sebaliknya, maka jangan pula menyesali diri. Gunapakai masa yang masih panjang selepas itu untuk memberikan ilmu terbaik kepada mereka, mudah-mudahan dengan doa yang berpanjangan ada rezekinya nanti.

Sungguh menjadi kewajipan bagi setiap ibubapa memberi didikan sehabis baik kepada anak-anak, kerana mereka ini ‘datangnya’ dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu yang mana baik, yang mana buruk. Akal kecil mereka belum cukup elok untuk memikirkan bagaimana mahu menjadi hamba Allah yang sempurna. Pada setiap saat mereka amat perlu kepada tunjuk ajar daripada ibubapa yang berilmu.

Teras utama dalam melahirkan insan yang berjiwa besar ini adalah kekuatan ibubapa. Fitrah semua manusia mahu disayangi dan dihormati. Maka teruskan suasana saling menyayangi dan saling menghormati di kalangan ahli keluarga, seterusnya kepada masyarakat.

Tanggungjawab ibubapa bukan sekadar memberi makan, minum, pakai, dan apa jua perkara asas, tetapi ia lebih dari itu, tentunya ia melibatkan pendidikan yang berkaitan dengan perkembangan mental, rohani dan jasmani anak-anak.

Tentunya semua ibubapa tidak mahu melihat anak yang disayangi tiba-tiba bertukar watak kepada seorang yang keras kepala, kurang adab, pemalas, dan apa jua sifat yang buruk, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini pengaruh dadah sintetik merupakan suatu ancaman baru kepada masyarakat, yang mula berleluasa seawal umur sekolah rendah, selepas rokok menghantui kehidupan anak-anak ini. Tidak kurang juga di bandar-bandar tumpuan, minuman keras juga menjadi menu dalam kehidupan anak-anak muda kita hari ini ketika bersosial. Kebejatan ini tidak pernah mengenal jantina, lantas merebak pula kepada kes-kes zina, yang tiada berhenti di situ, malah ia menular kepada kes buang bayi merata-rata pula yang boleh dikatakan meningkat bilangannya saban tahun.

Takut bukan jika anak-anak yang terkena virus sosial itu adalah anak-anak kita? Jauhkanlah ya Allah…Tiada ibubapa yang sanggup melihat anak-anak yang disayangi sedari kecil bertukar menjadi manusia yang bertopengkan syaitan ini.

Apa boleh dipakai lagi istilah ‘bukan salah ibu mengandung’? Jika anak-anak sedari umur sekolah rendah telah menunjukkan kebiadaban dalam kehidupan mereka, saya percaya bahawa istilah di atas sudah tidak berguna lagi. Anak-anak kecil yang masih belum aqil baligh, sehingga dewasa sekalipun, perlu pemantauan sempurna daripada ibubapa. Kebebasan yang tiada batasnya boleh merencatkan pekembangan anak-anak untuk membesar sebagai manusia yang berguna, baik kepada agama, bangsa dan negara.

Mendidik anak-anak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Ganjarannya nanti insyaAllah sangat berbaloi, baik di dunia mahupun akhirat, andainya anak-anak itu terdidik seeloknya.

Skop mendidik itu banyak cabangnya. Namun sesuaikanlah dengan usia anak-anak, begitu juga dengan persekitaran, serta peredaran waktu yang memungkinkan cabaran itu makin mengganas. Anak-anak kecil ini akan terbina jiwanya mengikut acuan yang diberi oleh ibubapa. Mungkin ia akan kekal sebegitu hingga ke akhir hayatnya, ataupun ada perubahan yang mungkin berlaku apabila tiba masanya mereka bersosial kelak. Perhatikan kepada kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak ini.

Kehidupan ibubapa seharian adalah didikan langsung kepada tumbesaran anak-anak. Jika ibubapa itu minatnya membaca, saya percaya tabiat itu mampu menurun kepada anak-anak mereka. Begitu juga jika ibubapa itu adalah perokok, usah bimbang jika suatu hari nanti rokok itu menjadi ‘wasiat’ kepada anak-anak kelak. Jika pula ibubapa itu suka bersosial sehingga lupa kubur, maka kita doakan saja semoga ada anak-anak yang mampu membaca sekurang-kurangnya Yasiin diambang maut mereka.

Jadikan mereka anak-anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibubapa, baik ketika kita masih ada di dunia fana ini, mahupun yang telah menghadap Ilahi. Didiklah anak-anak sehingga mereka mampu menjadi penyelamat kepada setiap ibubapa yang telah kembali ke Rahmatullah.

Kerisauan sentiasa menghantui setiap ibubapa apabila anak-anak mula melangkah ke dunia yang sebenar. Paling ditakuti adalah apabila mereka mula memiliki kawan-kawan yang bermasalah.

Pengaruh kawan-kawan ini adalah sangat hebat. Jikapun mereka telah menerima ilmu yang sepatutnya di rumah, namun jiwa yang sedang galak itu mungkin boleh membinasakan masa depan mereka. Mungkin di rumah mereka boleh menjadi baik, tetapi siapa tahu jika mereka tiba-tiba saja boleh bertukar menjadi rakus menghambat keseronokan dunia yang tumbuh melata. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah berani memijak tempat-tempat yang tidak sepatutnya, rakus menyentuh makanan minuman yang haram menjadi darah daging, melonjak kealpaan dengan pelbagai kemaksiatan,…aduhai…mereka sudah jauh terjebak dalam dunia yang penuh nafsu syaitan ini.

Jika diperhatikan masih banyak ibubapa yang leka dan lalai dalam memberi didikan sempurna kepada jiwa anak-anak. Jawapannya mudah, pelbagai anasir luar mudah merebak kepada jiwa anak-anak ini. Samada lelaki mahupun perempuan, seawal usia mereka sudah menjadi samseng, berbudaya gotik – yang saya yakini mereka sendiri tiada tahu apa maknanya tentang budaya itu -, berpeleseran tanpa had waktu, sungguh memualkan mata yang memandang, dan apa saja yang sememangnya diluar jangkaan minda kita ini. Ia tentunya suatu musibah yang besar diatas kealpaan ibubapa dalam menjaga amanah Allah ini.

Andai kita ibubapa yang kurang agamanya, jangan sesekali biarkan anak-anak kita menjadi sebagaimana kita. Beri mereka peluang seluas-luasnya untuk meneroka bidang agama. Jadikan mereka pembimbing kita dihari tua nanti. Hormati juga guru-guru yang memberi ilmu kepada anak-anak ini.

Pendidikan

Saya masih mahu melihat sistem pendidikan formal di Malaysia akan lebih terbuka kepada aspek penekanan dalam beragama. Tentunya guru-guru – dalam pelbagai bidang ilmu sekalipun – masih lagi mendapat perhatian yang baik daripada murid-murid hari ini, maka gunapakailah kesempatan yang ada untuk para pendidik mengambil peluang ketika bersama, menyuntik sesuatu ilmu keagamaan kepada jiwa pelajar-pelajar, sehingga mereka merasa terkesan dalam ilmu yang mereka peroleh. Baik dalam menyentuh soal adab dan akhlak, sehinggalah kepada pahala dan dosa, syurga dan neraka. Maka tentunya gandingan ibubapa dan guru menjadi penyelamat kepada generasi hari ini untuk membesar sebagai manusia yang hidup semata-mata bertunjangkan Islam.

Asasnya, adalah sangat perlu kurikulum pendidikan di negara kita, baik di sekolah rendah mahupun menengah sehinggalah ke universiti, lebih menekankan kepada pengajaran Islam yang turut mengambil kira sistem pengajaran ‘beragama’ yang memerlukan pelajar mendalami al-Quran, Hadis, Tauhid, Feqah, Sirah, dan ilmu-ilmu berkaitan yang menggunapakai prinsip-prinsip pendidikan yang diasaskan atas dasar dakwah Islamiah. Kurikulum ini perlulah sentiasa segar dan disesuaikan dari semasa ke semasa.

Untuk mendapat impak yang hebat, tentunya penyampaian ilmu agama ini perlu melalui tutur bicara yang indah dan naratif bagi mendekatkan pelajar kepada rasa cinta dalam beragama.

Mendidik juga perlu berlembut, namun ada ketegasan yang tersirat. Pelajar-pelajar perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing agar jalan hidup mereka tidak tersilap.

Jangan biarkan pelajar-pelajar yang suci ini terbiasa dengan dunia sekular yang masih wujud di negara kita. Jika terlalai maka runtuhlah jatidiri mereka, dimana kita akan melihat satu generasi baru yang sungguh lemah, longlai dan rosak masa depan mereka.

Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajar agama kepada anak-anak kita. Mudah-mudahan atas keprihatinan guru-guru ini mampu menyelamatkan anak-anak kita di luar sana.

Namun ibubapa tetap penggerak utama. Guru hanya membantu sewajarnya.

Ilmu Islam itu sendiri banyak cabangnya. Carilah ilmu itu dimana jua, bukan sahaja untuk anak-anak, namun untuk ibubapa juga, bukan hanya untuk rakyat, tapi untuk pemimpin juga.  InsyaAllah dengan punya pemimpin yang berilmu dalam sebuah rumahtangga mahupun Kerajaan yang besar, maka akan sejahteralah rakyat dibawah naungannya.

Tanggungjawab

Selain menekankan kepada aspek akademik anak-anak, ibubapa jangan sesekali lupa kepada tanggungjawab sendiri dalam memberikan ilmu agama yang terbaik kepada mereka. Buat yang terbaik dalam mentarbiah anak-anak untuk solat lima waktu yang wajib itu, berpuasa, mengaji al-Quran, dan banyak lagi amalan yang lain. Bagaimana pendekatan mahu diambil, itu terpulanglah kepada gaya anda untuk memahami perilaku anak-anak.

Jangan hanya terhibur dengan kebijaksanaan anak-anak di sekolah, namun damaikan hati kita semua sebagai ibubapa dengan melihat betapa cergasnya anak-anak kita bangun untuk berjamaah apabila azan berkumandangan, apabila mereka yang sibuk berpesan supaya mengejutkan dari tidur untuk bangun sahur, apabila mereka sudah hampir khatam al-Quran diusia mentah, dan banyak lagi adegan yang boleh menyejukkan hati ibubapa yang melahirkan mereka.

Saya percaya bahawa tempoh waktu yang paling kritikal dalam kehidupan seorang manusia adalah diusia remajanya. Anak-anak usia sebegini sewajarnya telah dipenuhi jiwa mereka dengan sifat Muslim yang telah taat kepada perintah Allah, terutamanya dalam menunaikan kefardhuan solat lima waktu.

Anda tahu betapa ramai dikalangan pelajar di bandar-bandar utama tidak solat Subuh kerana bergegas menunggu bas sekolah? Sedih bukan kerana dunia ini mengejar waktu penghuninya sehingga mampu mengabaikan kepentingan untuk tunduk kepada Maha Pencipta. Sepatutnya setiap daripada kita maklumi bahawa kejayaan dalam akademik itu seharusnya seiring antara hubungan hamba dengan Penciptanya.

Ajarlah anak-anak bersolat seawal usia tujuh tahun. Sehingga umur 10 tahun, jika anak-anak masih liat untuk menunaikan solat fardhu lima waktu ini, ibubapa punya hak untuk memukul anak-anak ini. Ajaran Islam itu sangat syumul. Sehingga mereka aqil baligh, insyaAllah jiwa mereka makin kuat untuk mendepani cabaran semasa.

Dalam situasi hari ini, saya terfikir siapakah sebenarnya yang mengajar anak-anak kita solat? Apakah ibubapa serius mengambil peranan ini, atau tanggungjawab ini diserahkan kepada guru dalam sesi kelas Fardhu Ain?

Tidak sukar untuk mendidik anak-anak solat. Paling senang apabila ibu mahupun bapa yang mengimami sendiri solat itu.

Jadualkan kehidupan mereka. Bila masa perlu tidur, ada waktunya untuk solat, bersenggang santai untuk apa jua aktiviti berfaedah, mudah-mudahan mereka terdidik dalam kehidupan yang lebih teratur.

Susahnya jika ibubapa sendiri yang tidak menitikberatkan perihal solat.

Mendidik anak mengerjakan solat perlu ada ketegasan. Ibubapa yang perlu terlebih dahulu berdisiplin dalam menunaikan ibadat solat, insyaAllah anak-anak akan patuh pada setiap disiplin yang diperkenalkan, bilamana mereka sendiri melihat kita bergegas melaksanakan disiplin itu. Maka jadilah teladan yang baik kepada anak-anak, terutamanya dalam perihal solat.

Jangan sewenang mengajar anak itu dan ini, tapi kita masih juga ditakuk yang lama. Lebih teruk jika solat anak-anak itu adalah lebih baik daripada ibubapanya sendiri.

Inilah dia tanggungjawab besar ibubapa yang melahirkan amanah Allah ini. Jangan hanya pandai melahirkan, tetapi tiada ‘talinya’ untuk ‘mengikat’ langkah anak-anak itu. Kebebasan itu perlu, jangan terlalu mengongkong, namun kebebasan yang diberi itu mesti ada disiplinnya. Mesti ditentukan syarat-syarat yang munasabah kepada anak-anak. Paling penting, sejauh mana melangkah, lekatkan di jiwa anak-anak bahawa Allah itu sedang memerhati.

Fikirkanlah bahawa didikan Islam itu sewajibnya bermula dari rumah. Jangan sesekali biarkan anak-anak yang lahirnya suci bersih ini menjadi syaitan yang bertopengkan manusia.

Dalam mendidik juga jangan terlalu memaksa anak-anak, walaupun ibubapa sebenarnya berniat baik. Sesuaikan dengan peringkat umur mereka, hak pada setiap umur untuk mereka hidup dalam keadaan terkawal emosinya. Apabila mereka sudah cukup kuat untuk suatu tanggungjawab, maka berilah bebanan yang sesuai dengan emosi mereka.

Cabaran

Rasanya tiada yang lebih mencabar dalam dunia ini melainkan membesarkan anak-anak sehingga betul-betul menjadi. Namun, jika berpandukan didikan Islam, insyaAllah kita sudah ada petunjuk cara yang terbaik. Kita punya banyak pengkisahan tentang kejayaan cemerlang ummat terdahulu, mahupun kini, yang memungkinkan kita mengambil iktibar bagaimana ibubapa terdahulu mampu melahirkan pejuang-pejuang Islam yang hebat. Pedulikan cara mereka mendidik, gunapakai yang terbaik daripada mereka. Jika mungkin tidak bersesuaian kerana perubahan zaman, maka perlu kita sesuaikan dengan cara tersendiri, asalkan  tidak sesekali tergelincir ke jalan yang boleh membinasakan masa depan anak-anak kita sendiri.

Saya yang masih punya anak kecil masih belum ketahuan cabaran membesar anak-anak remaja. Namun hati ini tetap ada gusarnya. Besar harapan saya agar pihak berwajib membuka mata seluasnya mencari alternatif untuk menyelamatkan generasi kanak-kanak hari ini, dari terus menjadi mangsa kepada kancah sosial yang berterusan teruk dari semasa ke semasa.

Jangan mudah terpesong dengan ilmu didikan pembangunan insan dari barat yang kononya kelihatan urban itu. Mungkin bergaya pada hiasan dunia, namun tiada bekalnya untuk dibawa ke akhirat nanti.

Jangan sesekali berlepas tangan dalam membangunkan jiwa anak-anak. Mereka ini fragile. Jika hari ini mereka kelihatan tewas, teruskan motivasi menyelamatkan kehidupan mereka. Anak-anak ini sebenarnya sangat memerlukan kekuatan dan sokongan daripada ibubapa. Jangan sesekali ibubapa mengkritik keras sekiranya wujud perselisihan pendapat. Kritikan itu mampu membunuh jiwa mereka secara senyap.

Tanamkan semangat bahawa anak-anak kita adalah bakal pejuang dalam mewarisi kepimpinan yang baik pada hari ini.

Hamba

Setiap manusia itu adalah hamba kepada Allah. Maka sedari kecil lagi tanamkan kepada jiwa  anak-anak ini rasa cinta dan pengabdian diri kepada Maha Pencipta mereka. Berikan kebebasan yang sepatutnya untuk mereka bereksperi diri di muka bumi Allah ini, mudah-mudahan akan ditemukan dengan makna sebenar sebuah pencarian menuju ke Syurga yang abadi.

Alunkan zikir sebagai penenang hati.

Jangan biarkan anak-anak ini syirik perbuatan mereka kepada Allah.

Dunia ini penuh daya tarikan yang luar biasa. Jiwa yang lemah mampu terkulai dalam fitnah dunia.

Apabila saya berbicara perihal mendidik anak-anak, tidaklah bermakna saya telah berjaya menjadi seorang ibu yang baik. Saya cuba mengajak semua merenung kembali peranan besar kita sebagai ibubapa dalam membekalkan anak-anak sebagai pejuang Islam dalam kesinambungan pimpinan yang ada pada hari ini.

Anak-anak yang masih suci itu insyaAllah senang patuh kepada semua ajaran.

Salahkan diri sendiri jika anak-anak kita tidak menjadi. Seterusnya, mungkin Kerajaan yang patut benar mengubah sistem pendidikan mereka kepada yang lebih Islamik. Kita sebagai rakyat ada hak untuk meminta Kerajaan lebih prihatin kepada masalah sosial yang makin tenat, yang mampu memupuskan dan menjahanamkan jatidiri Muslim pada anak-anak kita.

Tiada yang lebih merosakkan anak-anak kita melainkan kelalaian kita sendiri. Iringilah doa semoga kita mampu menjadi ibubapa yang terbaik kepada anak-anak kita ini.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

If children live with criticism, they learn to condemn.
If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with ridicule, they learn to be shy.
If children live with shame, they learn to feel guilty.
If children live with encouragement, they learn confidence.
If children live with tolerance, they learn to be patient.
If children live with praise, they learn to appreciate.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with approval, they learn to like themselves.
If children live with honesty, they learn truthfulness.
If children live with security, they learn to have faith in themselves and others.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

By; Dorothy Law Nolte

11.10am

18 Responses

  1. Kelantan masih lagi dilimpahi rahmat oleh kerana pemimpin nya seorang ulamak….

    1. Blogger dipecat dari PMBK
    2. CEO diminta letak jawatan dari PMBK
    3. Setpol MB mengundur diri
    4. Setiausaha Akhbar MB mengundur diri
    5. AJK MPKB mengundur diri

    Walaupun pada asalnya mereka ini pejuang tetapi mereka hanyut dalam kesibukan individu lebih dari jemaah islam…..

    Semoga Allah memanjangkan umur MB Kelantan bagi mentadbir negeri ini ……..

    • bro, aku ni minat gak politik.

      tapi komen ikut topik la.

      benda yang baik kenalah akui baik. jgn melihat keburukan sahaja.

    • Alhamdulillah…saya mengharapkan kepimpinan Ulama ini akan ada kesinambungannya hingga ke penghujung dunia…

      Berjuang bukan sahaja bila kita berada didalam parti atau seumpamanya, samada dia menjadi seorang blogger, pegawai kerajaan, businessman, penerbit, pensyarah, atau apa saja bidang yang diceburi, insyaAllah dengan kefahaman untuk menjulang Islam, itulah yang dinamakan perjuangan.

      Saya juga akan sentiasa mendoakan semoga Negeri Kelantan ini berpanjangan diberkati pemimpin dan rakyatnya.

  2. Ibni-baitutoh,
    Harap tuan tak buat perangai komen bukan2 spr selalu.Kat atas sana ada Serisuri ambik petikan ungkapan orang putih, mu gerenti tak paham kan? so mu tolong lah jangan melalut kat sini. Bagi la orang lain nak bercambak fikiran secara akademik dan bijaksana kat sini Ok? dah tu, ibni-baitutoh,mu gi main jauh2,gi,gi…..
    Pada Sersuri,
    Tolong lah jangan layan sangat si ibni-baitutoh tu.Blog puan dah tecemar oleh kerakusannya sedangkan dia kata dia ada blog sendiri, so tak payah lah dia datang nyebok2 kat blog orang lain..

    • Warkah Terakhir telah dilayangkan…

      Blog saya terbuka kepada semua pengunjung, semoga berterusan perbincangan sihat di sini.

  3. SalamPuan Amalina,

    Semua ayah-ibu bercita-cita zuriatnya jadi berguna pada masyarakat.Tapi persekitaran membesarkan anak-anak banyak memberikan cabaran pada alaf baru,terutama sekali membesarkan anak di bandar-bandar.Celik mata maksiat sekeliling,masa anak sekitar 12 tahun boleh kontrol lagi.

    Tapi bila meningkat remaja anak mula diberi kelonggaran bergerak sendiri dalam kelopok kawan-kawanya,ini sudah menjadi lumrah takkan lah kita nak ikut somo dia gi mana,kita mahu juga anak kita berdikari untuk persediaan bila anak dewasa nanti.

    Jadi bekalan ilmu agama adalah ibu segala ilmu untuk dibekalkan sebagai benteng pertahanan dari sebarang acaman sosial.

    Adalah baiknya Amalina tulis macam mana Tok guru dan bonda didik Amalina hingga jadi jurus ,tak payah bagi contoh orang lain untuk dikongsi bersama.Ini adalah kejayaan Tok guru didik anak-anaknya jadi pakai kija.

    Nak tanya sikit,tok guru pernah bagi minum air tawau juga, nak bagi cerdik anak disamping ilmu agama dan ilmu dunia.

    Saya tanya ni sebab sekarang ramai ibu-ibu beli buat kismi yang dikatakan percerdik otak anak,dia kata telah dibaca ayat quraan.

    TQ

    • Alhamdulillah, kehidupan saya sejak dulu hingga kini tiada rasa terkongkong. Namun ada disiplinnya.

      Saya menjadi remaja selepas Pas menguruskan Negeri Kelantan. Jadi saya ‘selamat’ dalam persekitaran yang lebih Islamik.

      Namun ilmu agamalah yang menjadi pendinding ke mana sahaja kita pergi.

      Saya melihat TG lebih mengambil pendekatan membesarkan anak-anak melalui pengetahuan dan pengalaman dalam kehidupan. Beliau tidak banyak menegur apa yang kami lakukan. Kami juga sentiasa menjaga perilaku. Saya juga percaya ‘kematangan’ saya adalah berdasarkan pengalaman.

      Bonda pula lebih banyak menitikberatkan soal ilmu, pengurusan, adab, akhlak, etika dan seumpamanya.

      Namun, saya percaya doa ibubapa yang tiada putusnya dalam membesarkan anak-anak adalah azimat terpenting untuk ‘melepaskan’ anak-anak mereka apabila tiada di pandangan.

      Berkaitan air tawar/ penawar mahupun kismis yang didoakan, saya rasa itu adalah satu usaha yang baik. Terpulang kepada pendekatan masing-masing.

  4. Salam 1Ummah,

    Dari pemerhatian, selain dari didikan agama dan kasih sayang ibubapa, panduan untuk elak anak-anak remaja kita dari rosak ialah, antaranya;

    (1) Ketahui dengan siapa dia berkawan dan ke mana dia selalu pergi/melepak, kemudian,

    (2) Kawal pergerakan; jika mereka nak ke Mall atau jumpa kawan-kawan, pergi hantar sendiri, dan tengok sendiri akan hakikat lokasi dan kengkawannya, setiap kali without fail,

    (3)Sentiasa tanya/ambil berat/peduli @ jangan buat tak tahu/membiarkan ke mana dia pergi, dengan siapa dia berkawan, apa aktiviti dia di sana.

    (4) Disiplin masa; bila boleh keluaran, bila masa belajar, bila masa bermain, nila masa rehat/menonton TV, dan sebagainya.

    Percayalah yg pasti minah-minah rempit dan remaja bermasalah terdiri dari mereka yang tidak dipedulikan oleh keluarga.

    Mereka bebas. Apa yg terjadi pada layang-layang yang putus talinya?

    Bak kata Nabil: ** pikir la sendiri !

    • saya bersetuju!

      melihat keadaan sekarang dan persekitaran tempat tinggal saya, kebanyakkan ibu bapa zaman sekarang tidak seperti ibu bapa zaman saya.

      saya bukan nak mengumpat, tetapi ada yang saya lihat terdapat anak2 yang masih kecil (lebih kurang 10 – 12 tahun) mewarnakan rambut mereka dengan bermacam warna. dan mengejutkan, anak2 ini saya nampak berjalan bersama ahli keluarganya di sebuah pasaraya. Kalau zaman saya, sudah tentu dilibasnya dengan getah paip. hehe.

      warnakan rambut tentulah ramai beranggapan benda remeh, tetapi pada saya disitulah anak2 ini mula merasakan kebebasan. dan saya percaya, selepas itu akan timbul keinginan untuk menindik telinga dan sebagainya.

      saya sangat takut melihat akan perkara ini. Saya sentiasa berdoa agar Allah sentiasa memudahkan hati ini untuk sentiasa memantau anak saya apabila telah besar. Besar betul dugaan dunia akan menanti anak ini nanti.

    • Saya juga bersetuju dengan anda…

      Saya mahu berkongsi lagi…

      ~ Kepercayaan ibubapa terhadap anak-anak juga adalah penting. Lebih terbuka sekirannya anak-anak sendiri yang memperkenalkan kawan-kawan mereka kepada kita. Teras utama adalah didikan agama juga, insyaAllah mereka akan pandai memilih kawan.

      ~ Saya juga berazam untuk menghantar dan mengambil anak-anak sendiri bilamana mereka outing, melainkan mereka keluar bersama orang yang dipercayai, tentunya mahram.
      Begitulah juga sewaktu saya membesar dahulu, dihantar dan diambil.

      ~ Jangan biarkan waktu luang anak-anak tersadai tanpa program yang munasabah. Keboringan juga boleh membawa masalah. Ibubapa perlu memikirkan sesuatu yang istimewa kepada anak-anak apabila keluangan.

      ~ Disiplinkan anak-anak. InsyaAllah hikmahnya besar sekali.

      Sama-sama kita menjayankan institusi kekeluargaan.

  5. salam.

    saya tertarik dengan topik ini kerana isteri baru sahaja melahirkan anak.

    sesungguhnya anak adalah anugerah dari Allah yang terbesar kepada umatnya. Dan ia juaga adalah hadiah dari isteri kepada suaminya.

    sebagai suami, saya tersentuh melihat jerih perih isteri selama 9 bulan mengandung. Saya memahami apa yang dirasai, tetapi apa yang dirasai isteri, rasanya tentulah lebih hebat.

    saya sering bertanya kepada diri samada mampu menjadi seorang ayah yang baik. adakah saya mampu memberikannya didikan yang sempurna terutama mengenai Islam, sementelah dugaan di dunia pada masa kini dan akan datang tentunya lebih hebat.

    Nama yang diberikan kepada anak mempunyai maksud yang baik- baik. Tetapi saya percaya, baik mana pun nama diberikan, ianya tidak akan melambangkan keperibadiaannya apabila besar kelak, sekiranya saya dan isteri tidak mengasuh dan mendidiknya dengan sempurna.

    Ibubapa memainkan peranan penting. Tetapi, seorang bapa, peranannya lebih besar kerana tindak tanduknya mempengaruhi sikap isteri dan kemudian anak. Sekiranya suami/ bapa tidak mengunjurkan peribadi yang baik, sudah tentu ianya akan diikut sama oleh isteri. jika suami/ bapa dan isteri/ibu tidak mempunyai peribadi yang baik, maka ianya akan melekat pula kepada anak.

    Menjadi seorang bapa muda tentunya berdepan sedikit cabaran yang besar. antara pengaruh inginkan hiburan dengan mendidik anak dengan ajaran Islam yang sempurna, tentunya menjadi sedikit dugaan yang besar. Tetapi saya redha, saya korbankan hiburan kerana berharap anak mendapat ajaran yang betul dan sempurna. seperti kata puan, anak adalah talian hayat kita ke syurga. Dan saya berharap ianya menjadi ketetapan untuk saya pada masa kini dan akan datang. Dan saya berdoa semoga ianya tidak goyah dengan pengaruh nikmat dunia.

    Dan saya masih belajar untuk menjadi seorang bapa dan suami yang baik. kesilapan lalu sudah tentu tidak boleh diubah. tapi saya percaya, saya masih boleh mengubah masa depan, lebih lebih lagi untuk anak ini.

    • W’lam…

      Tahniah untuk saudara kerana memegang status baru, seorang ayah! Besar nikmatnya, besar juga cabarannya. Untuk isteri anda, tahniah juga…selamat berpantang…jika belum selesai…

      Hargai isteri, sayangi keluarga, insyaAllah damailah hati semua…

      Saya sarankan saudara ambil kesempatan untuk sentiasa membaca al-Quran disisi si kecil setiap hari. Mudah-mudahan ayat-ayat suci ini mampu menjadi hiburan yang baik dalam tumbesarannya.

      Saya pernah mendengar TG mengajar, katanya kesempurnaan rumahtangga adalah terletak kepada suami. Sempurna suami, maka sempurnalah keluarga.

      Saya yakin saudara telah menunjukkan satu kesungguhan yang baik untuk membina sebuah keluarga yang berjaya. InsyaAllah, mudah-mudahan terlaksana.

  6. Salam sekali lagi Paun Amalina,

    Apa yang Amalina tulis memanglah baik untuk panduan mendidik anak yang dapat menberi manfaat kepada semua orang.Tapi adakalanya disebalik nak comel sangat feil anak,perlu juga kita menoleh kebelakang melihat yang negatifnya.Tak salahkan.

    Ada kalangan ibubapa menjaga anak berlebihan kononnya nak bentuk dari rebung lagi.Sampai ke mentua dan waris nak dukung pun tak berapa nak bui.Apatah lagi mentua nak bawa cucu main kat rumah dia seminggu dua untuk hilangkan sunyinya.

    Ana pernah dengar seorang anak mengatakan pada ibunya bila nak buat balik cucu “tak boleh mak anak jerit malam,kalau tak da mak dia mulalah nak deman …,ayah dia pula takleh tidur kalau anak takda”.

    Hasilnya lahir anak-anak manja ,adakala anak lelaki kalau manja tak boleh juga nanti membesar menjadi perwatakan seakan-akan anak perempuan,terutama sekali yang baru dapat anak pertama atau punya anak tunggal kata orang.

    Paling tak elok lagi kalau manja sangat anak,adakalanya memeningkan kepala ibubapa.Nak itu nak ini kena tunai,kalau tidak guling atas supermarket jika barang kandak tidak boleh.

    Semetelah lagi bila masuk sekolah tak berapa nak dengar cik gu ajar.Kalau cik gu cubit sikit, emak bergalang ganti.

    Jadi dalam mendidik anak-anak kata orang tua-tua sayang anak rontan-rontankan .Apa-apa pun ibubapa biar berada di titik perseimbangan dalam mencomelkan feil anak.

    Oleh itu ,apa komen Amalina dalam soal mendidik sampai anak jadi manja kededek.

    tq

    • W’lam…

      Saya cuba memberi pandangan…

      Saya juga sangat tidak bersetuju sekiranya anak-anak dimanja dengan sangat berlebihan. Ini adalah kesilapan besar ibubapa dalam mendidik sekiranya manja itu bersamaan dengan degil. Selalunya begitulah.

      Sepatutnya ibubapa adalah kata pemutus kepada anak-anak. Mendapat pandangan anak-anak adalah terbaik, mengajar mereka memberi buah fikiran, namun pemutus kata adalah ibubapa, bukannya anak-anak yang membuat keputusan. Jika keadaan sebaliknya, dimanakah bisanya menjadi ibubapa?

      Bersederhanalah dalam soal menjaga anak-anak. Jangan sehingga ke rumah tok nenek pun tidak boleh, bagi saya itu sudah melampau. Saya sendiri, setiap kali musim cuti sekolah, akan menghantar anak-anak ke rumah tok nenek mereka. Biar mereka merasa hidup dalam suasana yang berlainan pula. Mudah-mudahan ada juga pengalaman dan pengetahuan baru yang mereka timba…

  7. Salam Kak Na,
    Baru berkesempatan mencelah dalam blog Kak Na. tajuk mengenai anak-anak ini memang sangat menarik, terutama bagi kita para ibu.

    Saya ingin memberi sedikit pandangan perihal salah langkah masyarakat kita hari ini tentang pendidikan anak-anak. Kalau difikirkan ia agak lucu, tetapi secara sedar atau tidak kita sendiri melakukannya.

    Anak yang baik bukan sahaja datang daripada ibu bapa yang baik, tetapi juga pendidikan yang berterusan sampai ke akhirnya.

    Ramai ibubapa sekarang, bermula daripada memilih pasangan untuk anak-anak menilai dari segi materialistik iaitu kerjaya dan pemilikan harta. Jarang benar orang sekarang apabila menerima pinangan atau mencari pasangan untuk anak-anak melihat kepada akhlak seorang jejaka atau gadis itu. Sebaliknya, kerja apa, keluarga kaya atau tidak, pakai kereta apa dsbnya menjadi kriteria penting selain paras rupa yang menawan. Akhlak, peribadi dan latar belakang pendidikan agama tidak diambil soal.

    Seterusnya bila telah berkahwin, pendidikan antara pasangan juga terabai. Apabila anak-anak berselisih faham dalam tempoh awal perkahwinan, banyak ibubapa, ipar duai, sanak saudara yang mengapi-apikan dan mencucuk sana sini supaya berlaku penceraian dan perkara yang tidak elok dalam institusi rumahtangga. Natijahnya masjid yang baru dibina itu roboh, jika tidak mempunyai anak nasib baik. tetapi jika ada, alangkah malangnya anak kecil itu.

    Kemudian, semasa isteri atau ibu-ibu mengandung, kita mulalah mencari bagaimana formula untuk menjadikan anak dalam kandungan bijak, pandai, solehah dsbnya. Kismis, kurma, susu, dan berbagai rumusan terbaik ditelan ibu mengandung, tetapi apabila lahir, anak diserahkan kepada pengasuh, bibik, nurseri dsbnya. Sedarkah kita, pendidikan anak-anak selepas ia dilahirkan jauh lebih berguna berbanding semasa di dalam kandungan. Walaupun tidak dinafikan, mendidik anak itu sejak di alam rahim, tetapi adalah lebih menjadi, jika selepas lahir kita sendiri yang membentuknya.

    Ibu bapa hari ini ramai yang berpendidikan tinggi, bijak pandai, dan soleh-soleh, tetapi anak-anak diserahkan kepada pengasuh dikalangan orang kampung yang pendidikan tidak seberapa, atau bibik yang ditempah daripada negara seberang yang tidak tahu latar belakangnya, atau paling tidak dikembalikan kepada ibubapa sendiri atau datuk neneknya. Apalah yang boleh diharapkan kepada orang lain yang mengasuh. Anak mereka bolehlah, tetapi anak orang…memang ada bezanya.

    Kemudian kita megah dengan kualiti makanan yang berkhasiat, yang tidak terawet, halal haramnya tetapi apabila anak-anak hampir setengah hari berada di rumah orang, adakah terjamin makanan yang diberi seperti yang kita harapkan. Itu belum lagi bahasa dan adab yang diserap anak-anak. Tentu tak tertapis.
    Banyak saya melalut. Tentu membosankan. Tetapi itulah yang saya perhatikan. Sungguh menakutkan bila difikirkan. Akhirnya, terpaksalah kita korbankan mana yang patut supaya anak kita tak ‘terkorban’.

    Teruskan menulis Kak Na!

    • W’lam…

      Alhamdulillah, akhirnya timbul juga Tina kat sini…🙂

      Bicara perihal memilih pasangan untuk anak-anak, sememangnya terfikir siapa agaknya jodoh anak-anak kita kelak. Tentunya kita mahukan yang baik-baik saja, baik dari segi rupa paras, hartanya, keturunannya, dan agamanya. Namun Islam telah menetapkan bahawa agama itulah yang paling utama.

      Maka, penyelesaian yang paling tepat adalah, setiap ibubapa perlu menyediakan anak-anak yang bernilai peribadinya dalam beragama. InsyaAllah, perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan sebaliknya begitulah.

      Apabila anak-anak berumahtangga pula, cukuplah sekadar ibubapa menjadi pemerhati dari jauh. Berikan anak-anak ini peluang membina kehidupan mereka sendiri. Jika mereka perlukan nasihat, maka berkata-katalah yang baik-baik saja. Jika mereka hampir karam, maka selamatkanlah rumahtangga mereka dengan kebijaksanaan mengikut panduan Islam. Jangan pula mengadu domba yang akhirnya merobohkan istana kebahagiaan yang pernah mereka cipta.

      Mendidik anak-anak pula suatu cabaran yang luar biasa pada hari ini. Saya pasti bahawa ibubapa juga dalam dilema dalam membesarkan anak-anak. Mungkin bukan mahu mereka untuk menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada pengasuh mahupun bibik, malah datuk nenek sendiri, tetapi mereka terpaksa. Rela dalam terpaksa menyerahkan anak-anak dididik oleh orang lain demi membina keutuhan sebuah keluarga dari aspek ekonomi.

      Justeru, doa adalah senjatanya. Selain memberi makan minum kepada keluarga dari sumber halal lagi berkat, berdoalah pada setiap ketika moga-moga anak-anak ini dilindungi dari sebarang malapetaka sosial dalam waktu ketika mereka membesar sehinggalah ke penghujung usia.

      InsyaAllah…

  8. KOTA BHARU, 28 Jan: Kelantan ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

    Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

    Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

    Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

    Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    Orang ramai juga dihidangkan dengan tayang klip video oleh Gegar pada sesi pertama anjuran Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.

    Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: