• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    February 2010
    S M T W T F S
    « Jan   Mar »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28  

Sibuk

Salam Ukhuwah…

Saya sungguh sibuk pada seminggu yang berlalu.

Menyempurnakan majlis pertunangan adinda saya pada hari semalam (12 Rabiulawal 1431), membuatkan saya mengabaikan seketika ‘rumah’ rehat ini. Banyak tugasan yang diamanahkan kepada saya lewat seminggu ini untuk menjayakan majlis istimewa buat ahli keluarga kami yang terakhir.

Alhamdulillah, segalanya telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna, dalam keadaan cukup sederhana, namun saya kira meriah dan berbaloi untuk kami sekeluarga. Tiada apa-apa tekanan yang saya hadapi sepanjang menjayakan majlis ini, hanya sedikit terkilan kerana artikel yang telah hampir siap saya drafkan untuk tatapan semua, tidak mampu saya edit untuk paparan di sini.

Saya seronok menguruskan majlis ini, sehingga mengabaikan waktu makan dan tidur. Saya berjaya ‘menyibukkan’ diri menyediakan tempat yang ringkas untuk adegan sarung cincin, sehinggalah pada malam sebelum majlis, tidur saya terbabas ke jam dua pagi. Apa yang saya buat? Borak-borak dengan adinda saya yang sedikit hari lagi akan menjadi milik seseorang…

Pengajian moral yang saya peroleh dari kesibukan ini, betapa pentingnya kita punya ramai sahabat yang ringan tulang untuk membantu.

Kebolehan

Saya sendiri merasa ‘kagum’ dengan kebolehan diri sendiri dalam menjayakan majlis ini, hampir 70% keperluan dalam majlis tersebut diamanahkan kepada saya. Sebenarnya, saya memang sentiasa terarah kepada aspek kecantikan. Asalnya saya hanya memilih persalinan untuk adinda, tetapi telah terheret kepada fesyennya, jenis tudungnya, dan bagaimana bergaya di depan kamera. Itulah takdir minat saya, dari mana ‘menurun’ tidaklah dapat dipastikannya. Apapun, saya sangat senang dengan minat yang satu ini, sehingga sudah memasang angan sejak lebih kurang lima tahun lalu untuk menjadi ‘wedding planner’! Apa???

Kesibukan saya menguruskan majlis ini telah mencambahkan lagi minat saya kearah pengurusan majlis. Dalam tempoh itu saya kenal ramai individu baru yang banyak membantu dalam melancarkan majlis tersebut. Menyempurnakan majlis tentunya lebih seronok jika komunikasi di antara individu terlibat berjalan lancar.

Tanpa komunikasi yang baik banyak perancangan akan tergendala, hasilnya juga entah ke mana. Komunikasi yang baik memerlukan penerangan sesuatu perkara secara jelas, tersusun butir bicaranya – usah tegesa-gesa walaupun anda sedang sibuk, ringkas dan padat, serta sesekali tidak melakukan kesilapan mahupun anda sendiri masih lagi ragu-ragu ketika berkomunikasi. Jika anda berkomunikasi dalam keraguan, tentunya mesej yang ringkas akan menjadi berjela-jela. Paling penting untuk mencapai maksud, anda perlu berbicara dengan ‘ahlinya’ untuk mendapat hasil yang diinginkan.

Selepas ini, saya mahu menyibukkan diri lagi dalam urusan majlis nikah kahwin adinda saya itu, yang tarikhnya masih belum diputuskan. Paling seronok apabila adinda saya itu seorang yang ‘menurut perintah’ kekandanya yang satu ini. Banyak cadangan saya untuk majlis pertunangannya itu diterima pakai tanpa banyak bicara. Saya doakan semoga tempoh pertunangan ini tidak akan mengambil masa yang lama, agar berbahagialah ayahbonda kami untuk melihat anak daranya yang terakhir itu ada peneman hidup untuk membimbingnya pada tempoh masa akan datang. InsyaAllah…

Blog

Dalam pada menyiapkan segala keperluan untuk majlis tersebut, minda saya masih lagi terselit ingatan pada blog, lantas ada beberapa catitan yang sempat dirakamkan dalam minda untuk penulisan seterusnya di sini.

Semenjak berblog, minda saya sentiasa perlu memikirkan apakah idea tulisan saya seterusnya. Saya bukanlah kreatif, tetapi rasa ingin berkongsi dengan semua sentiasa membuak-buak. Tentunya saya ingin memperbanyakkan perkongsian mengenai isu kekeluargaan, bacaan ringan, dan sesekali mencuit politik.

Apabila saya menyelesaikan Maryamah Kaprov, saya percaya bahawa kemahuan yang tinggi kepada sesuatu adalah pemangkin kepada sedikit semangat yang wujud dalam diri. Paling penting adalah ilmu dan pengetahuan, insyaAllah kita mampu melaksanakan apa jua impian yang kita angankan.

Hampir tiga bulan sudah di sini, saya mengimpikan sesuatu yang lebih baik dalam penulisan, mahu menambah perisa kepada setiap artikel yang dikongsikan, insyaAllah sekurang-kurangnya saya mampu menghasilkan satu artikel pada setiap minggu. Inilah aktiviti terbaik buat saya semenjak berjawatan suri, selain berkebun – tentu sekali hobi baru yang membawa saya ‘melabur’ di banyak nursery sekitar Kota Bharu.

Terima Kasih

Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung, mahupun tidak langsung dalam majlis ini, insyaAllah penghargaannya pada artikel seterusnya, jika mampu. Saya mahu menulis nama-nama mereka seadanya.

Terima kasih!

Sekadar ini saya ingin berkongsi buat seketika. Syukur kepada Allah yang memudahkan perjalanan hari semalam.

Sehari berlalu, saya mengqada’ tidur saya. Saya mahu bangun dalam keadaan yang lebih bermaya untuk menguruskan ‘rumah’ saya ini.

Mudah-mudahan saya diberi kesihatan yang sempurna tanpa sebarang gangguan pada sistem ketahanan tubuh.

6.26pm

Advertisements

Novel

Salam Ukhuwah…

Saya usai saja membaca Maryamah Karpov.

Sebuah novel yang berjaya menarik minda saya untuk membelinya kerana ia tulisan Andrea Hirata.

Tulisannya sungguh menakjubkan. Saya pernah mengagumi hasil nukilan Habiburrahman El Shirazy, dan kali ini nampaknya saya obses kepada Andrea Hirata.

Pernah larut dalam Lasykar Pelangi, dan Maryamah Kaprov adalah tetralogi terakhir dalam siri ini.

Saya bukanlah tegar pembaca novel. Bagaimana boleh saya terbeli Lasykar Pelangi? Saya hanya mahukan syiling baki belian buku tersebut untuk dimasukkan ke dalam ‘tabung’ caj tempat letak kereta. Sebelum itu tentunya saya sudah mendengar promo tentang buku ini, bahawa tidak rugi sesiapa yang membacanya. Namun, saya tidak menonton filemnya. Saya selalu lembab bab-bab menonton.

Maryamah Karpov mengajak kita berani bermimpi untuk belajar menghadapi sesuatu hingga ke puncak jayanya. Ia bukanlah sebuah novel yang agak Islamik, tetapi yang selesa bagi saya, tidak punya unsur-unsur mengulit perasaan yang membuai-buai. Saya menolak novel-novel ‘tangkap lentok’.

Novel ini saya baca hanya ketika tempoh menunggu anak-anak menamatkan sesi persekolahan, tentunya di dalam kereta. Hampir tiga minggu juga untuk saya mengkhatamkannya. Saya sangat mengagumi gaya bahasanya. Mungkin juga tulisan saya kali ini berbau sedikit Indonesia…, walau sekalipun tidak pernah berbicara slang Indon dengan bibik saya. Lirih saja bibik saya itu berbahasa Klate…

Muqaddimah

Muqaddimahnya tentang soal kenaikan pangkat si ayah. Tentunya ia sangat menyenangkan, lebih-lebih lagi kepada seorang ayah yang buta huruf. Surat pemberitahuan pun dibaca oleh si isteri, yang berdehem berkali-kali sebagai tanda mahukan baju baru, apabila dimaklumkan bahawa si suami akan menerima tunggakan gaji selama enam bulan, si anak hanya mengidam makanan yang lazat-lazat sahaja.

Namun, perasaan sukacita itu telah hancur berkecai, dek telah terjadi kekeliruan dalam urusan penghantaran surat, yang sepatutnya dihantar kepada si polan lain yang bernama serupa! Dalam perasaan sebegitu luruh pun, betapa seorang ayah ini tetap berterima kasih kepada mandurnya, kerana telah memberinya seketika saat-saat yang bermakna dalam suatu tempoh kehidupannya, sungguh begitu besar jiwanya!

Inilah dia sebuah kehidupan, sentiasa ada riak-riak kecilnya, berombak sesekali, begitulah lumrah.

Hidup ini bukannya sentiasa kita dapat menelan madu. Adakalanya ujian berat datang mengundang, menduga iman kita yang tentunya lemah gemalai ini.  

Siapapun kita di dunia ini pastinya akan diuji, itulah pengukur sejauh mana kita beriman kepada Allah.

Usah ditanya kenapa kita diuji, kerana kita ini hanyalah seorang manusia yang bertaraf hamba sahaja. Terima hakikat seadanya, menyedari kekurangan diri, maka bertaubatlah, panjangkan doa semoga ujian yang datang tidak memudaratkan hidup kita di dunia ini.

Bukan hanya kita diuji dalam hidup bermasyarakat, mungkin juga kepada rumahtangga sendiri, mungkin memiliki seorang isteri yang degil, suami yang khianat, anak-anak yang liar, ibubapa yang buruk perangai, mertua yang suka campur tangan, adik beradik yang tunggang-langgang, nah, inilah yang dinamakan ujian.

Cara Allah menegur kealpaan kita hendaknya.

Usaha

Maryamah Karpov mengisahkan tentang seorang pemuda yang sentiasa berusaha dalam semua aspek keinginannya, dalam sebuah realiti kehidupannya yang serba sederhana, seorang anak yang taat dan patuh kepada kedua ibubapanya,..dan tentunya ketentuan Tuhan yan sering menduga hambaNya, sehingga ke penghujung pengkisahannya, dia telah terduga dengan cubaan nan tak tertanggungkan.  

Setelah menghayati pengkisahannya, terbukti bahawa setiap kesulitan apapun, dapat diatasi dengan mengubah cara pandang. Maka, percayalah bahawa sesuatu yang kita mulakan dari kosong pengetahuannya dan sukar untuk memahami peraturannya, namun jika punya nyawa dalam kemahuan itu, pasti akan peroleh hasil yang menakjubkan. Lambat laun kita akan mengerti bahawa ketekunan mencari ilmu berkaitan apa jua kemahuan, insyaAllah kita akan berjaya. Terbukti bahawa kekuatan sebenar diri adalah bukan kerana keahlian turunan, bakat ataupun pengalaman, tapi ia berkait rapat dengan ilmu dan pengetahuan.

Setiap titis ilmu yang kita temukan pada bila-bila waktupun, merupakan butir-butir peluru untuk memerangi segala hal yang awalnya tampak seperti tidak mungkin. Penjelajahan dalam ilmu-ilmu baru itu seperti meneroka dunia yang tidak punya penghujungnya, samalah juga apabila saya membaca novel ini, yang paling mempesona daripada keseluruhan, adalah penerangannya bagaimana membuat perahu.

Saya tidak pernah memasang niat untuk membuat perahu, tetapi sekurang-kurangnya tahulah saya tentang lambung, geladak, palka, dan macam-macam lagi. Dengan mevariasikan pelbagai bahan bacaan, saya berhipotesis, barangkali ada satu masa kita semua boleh menguasai satu bidang ilmu dengan jayanya dalam dunia ini asal saja ada kemahuan.

Apa yang baik dari novel ini, merujuk kepada masyarakatnya dari daerah Belitong, betapa mereka rajin membanting tulang memerah keringat mencari sumber rezeki dalam komuniti mereka yang kecil sahaja. Sikap mereka selalu moderat, tidak pernah ada yang melarat. Tidak baiknya, mereka suka kepada omongan kosong yang bersifat artifisial dan berbau politik.  

Fenomena ini ada jawapannya di kedai-kedai kopi dalam masyarakat kita di Malaysia ini. Imaginasi para pembual di kedai kopi amatlah luar biasa. Biasanya ia menjerat masyarakat Melayu kita ini, sehingga mampu dikatakan bahawa borak-borak kosong ini merupakan salah satu esensi dalam kehidupan bermasyarakat. Mungkin juga sejenis terapi minda, kerana ia perlu kepada tahap kreativiti dan imaginasi yang tinggi.

Ikhlas

Erti keikhlasan untuk menghargai setiap manusia antara tema dalam novel ini. Tidak perlu ada dalam diri sepercik maksud yang tersirat demi kepentingan diri sendiri, tiada tendensi sekelumitpun, hanya pelbagai idea untuk masa depan yang lebih bahagia, diramukan sedikit humor yang cukup lucu dan kekadang agak ekstrem.

Setiap kebaikan yang kita lakukan di dunia ini, usah diharapkan ia dibalas baik. Berbaktilah dengan ikhlas, biarkan Allah saja yang menilainya.

Sekalipun kita yakin bahawa telah melakukan pelbagai kebaikan dalam kehidupan ini, itupun bukanlah jaminan untuk kita tiada diuji oleh Allah.

Manusia baik dibandingkan dengan manusia ikhlas ada bezanya.

Ujian Allah itulah jawapannya.

Cara Allah menentukan sejauhmana benarnya keihlasan kita, bahawa hati ini sesekali tidak merasa gundah dengan ujianNya kerana selayaknya begitulah, adat seorang hamba, harus sentiasa akur pada kehebatan Empunya dirinya. Semoga apa jua ibadah yang kita laksanakan di dunia ini adalah lambang keikhlasan dan ketaatan kita sebagai hamba, yang sentiasa bersedia berserah diri kepada Maha Pencipta.  

Ketenangan itu dapat dirasai jika kita ikhlas dalam melaksanakan sesuatu, andai datang dugaan perit sekalipun, jika kita yakin berada di pihak benar, tiada siapa mampu menggugat kebahagiaan jiwa yang ada, lebih-lebih yakin benar bahawa Allah itu Maha Adil dan Saksama. Kita ini manusia yang lemah, sifat seorang hamba yang sentiasa bergantung harap. Itulah sebabnya kita sentiasa diuji dan diduga, supaya kita sentiasa ada kesedaran bahawasanya kita ini bukan manusia yang perkasa, tapi masih ada yang lebih Perkasa, itulah Dia tempat kita sentiasa merayu bergantung harap.

Hamba

Ya, kekadang kita sungguh alpa, lupa pada kejadian diri seorang hamba.

Namun, usah kita gentar. Sama sekali bukan kerana kita seorang yang bijaksana, melainkan kita telah menghabiskan seluruh kehidupan ini untuk mempersiapkan minda memperhambakan diri kepada Maha Pencipta sekalian alam.

Alam ini ada pemegang kuasanya, maka kita sebagai penghuni tidak akan lepas dari sebarang ujian yang mendatang. Mungkin tidak pernah sesaat kita berfikir tentang kemungkinan akan menjadi korban kepada kejahatan yang mengerikan. Mungkin juga tidak pernah terduga bahawa tali barut suruhan itu adalah sahabat-sahabat terdekat kita sendiri. Namun, ini semua tidak pelik andainya terjadi, kerana teori bahawa kekejaman sering dilakukan oleh orang yang paling hampir dengan kita, sering sudah terbukti jawapannya.

Hidup ini penuh dengan bermacam kemungkinan. Paling penting kita sentiasa bersedia untuk berjerih payah dengan harapan sesekali tidak akan dikecewakan di akhirat kelak.

Maka, inilah masanya kita bersama memperbaiki diri sendiri, keluarga seterusnya masyarakat. Melihat kepada sosial masyarakat kita hari ini, maka tentukanlah sahabat-sahabat yang mengelilingi kita, sentiasa bertanya khabar untuk kesejahteraan bersama, jaga tingkah laku, sentiasa kembali kepada Allah, mudah-mudahan kita akan mendapat yang terbaik dalam kehidupan. Jika ada pun badai yang datang melanda, semoga kita mampu menanggungnya sekadar kudrat iman yang ada, jangan kiranya kita tidak mampu melawan ombak besar itu sehingga kita menjadi kufur pula.  

InsyaAllah, mudah-mudahan selagi kita ada iman, maka kita akan meraih hikmah disebalik setiap ujian yang mendatang. Mungkin hari ini kita diuji, esok lusa kita dipuji. Namun, harus diingat bahawa setiap pujian itu kita pulangkan kepada kehebatan Allah yang sentiasa memudahkan perjalanan hidup ini.

Jangan sesekali kita mengabaikan Allah, sekali kita menjauh, kita mungkin akan dilanda stres yang hebat, inilah penyakit yang melanda kebanyakan rakyat di Negara kita kini, yakni penyakit yang berkaitan kejiwaan yang memungkin ia terhasil dari sikap diri sendiri yang alpa kepada Allah.

* * * * *

‘cukup kau tunjukkan raut muka bahawa kau bersedia menyuapinya nanti jika dia sakit, bersedia menggendongnya ke kamar mandi jika dia sudah renta tak mampu berjalan. Bahawa, kau, dengan segenap hatimu bersedia mengatakan di depannya betapa jelitanya dia, meski wajahnya sudah kerepot seperti jeruk purut, dan kau bersedia tetap berada di situ, tak ke mana-mana, disampingnya selalu, selama 40 tahun sekalipun…’

(Maryamah Karpov)

8.57pm

 

p/s: Tahniah untuk adinda saya yang telah selamat dirisik…

Bercuti

Salam Ukhuwah…

Saya sememangnya sudah lama berhajat untuk pergi bercuti ke mana-mana destinasi dalam Negara, terutamanya ke mana-mana Pulau, sudah sebati dengan Pulau Melaka, saya mahu menjenguk ke Pulau lain pula. Saya hanya pernah pergi ke Pulau Perhentian (2003), dan sedang teringin untuk ke Pulau Redang pula. Siapa nak ajak saya ni…?

Tentunya saya mahu bercuti bersama keluarga.

Namun, sehingga hari ini kami masih lagi tidak punya masa untuk aktiviti tersebut. Kalaupun suami saya sedang bercuti seminggu dua ini, ia bukan juga masa terbaik untuk kami mencuri waktu pergi kejauhan. Walaupun diistilahkan sebagai bercuti, suami saya bukanlah seorang yang boleh duduk diam di rumah, tentu aktiviti politik pula memenuhi jadualnya.

Nampaknya saya juga menjadi ‘mangsa’ politiknya.

Sejak dia bercuti, banyak pula dia mengajak saya ke program politik. Saya ini sebenarnya jarang-jarang menimbulkan diri di khalayak politik, alasan saya, malu! Inilah sahabat, yang dikatakan malu tidak bertempat!

Saya membesar sebagai seorang kanak-kanak yang petah bicaranya. Biasalah bongsu – bongsu keladi! Selalu amat mengikuti ayahbonda ke mana-mana program politik, menjadikan saya luas bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Itu di zaman lasykar pelangi sewaktu ketika dulu-dulu, tetapi agak berkurangan apabila meningkat dewasa. Mungkin kekangan kesibukan urusan dunia meminggirkan saya dalam dunia politik. InsyaAllah, itu bukanlah alasannya selepas setahun sudah saya bergelar seorang suri.

Mendidik

Jika saya renung kembali kepada kenangan yang lalu, sebenarnya amat tepat kiranya ibubapa yang berjuang dalam bidang politik, turut sama membawa anak-anak mereka ke pentas sebenar politik. Ini merupakan langkah awal untuk memperkasakan dunia politik, dengan mendidik anak-anak kita sendiri untuk memahami erti sebuah perjuangan. Secara tidak langsung, anak-anak ini akan lebih mengerti kehidupan seorang pejuang.

Mendidik anak-anak kecil berpolitik tidaklah sehingga mengajar mereka politik kepartian. Tentunya kita memberikan mereka didikan dan pengetahuan Islam yang sebenarnya.

Ceritakan kepada mereka apa itu pahala, apa itu dosa.

Jawab soalan mereka secara penuh berhemah. Saya juga punya pengalaman, bahawa sebenarnya anak-anak kita boleh berfikir dengan baik setiap kali ada pengetahuan baru yang mereka peroleh samada di sekolah, mahupun dalam persekitaran seharian mereka.

Beri peluang seluasnya untuk mereka meneroka pengetahuan, dengan memberikan mereka jawapan terbaik kepada setiap soalan yang dikemukan. Pengetahuan ini juga mampu memberi keyakinan dan keberanian kepada mereka untuk menyatakan pendapat pada bila-bila masa sahaja.

Inilah dunia politik yang paling mudah, namun terapi sebeginilah yang mendewasakan jiwa anak-anak untuk melihat yang mana kebajikan, yang mana kezaliman dalam pentadbiran di Malaysia hari ini apabila mereka dewasa kelak.

Galakan

Maka saya melihat hari ini, sepatutnya ibubapalah yang memberi galakan kepada anak-anak untuk mula melibatkan diri dalam apa jua program yang dilaksanakan oleh parti politik. Tidak cukup kritis minda anak-anak jika hanya bermati-matian untuk mendapat terbaik dalam bidang pendidikan, luaskan gunapakai minda mereka itu untuk menikmati rasa hebat dalam bicara politik juga. Politik mampu mengajar anak-anak kita lebih matang dari usianya yang sebenar.

Anak-anak bukan hanya perlu bijak di sekolah, tapi biar juga mereka bijak apabila berbicara, tahu apa yang berlaku di sekeliling, tidaklah sehingga langsung kosong tentang kebobrokan pemimpin yang mampu menjahanamkan Negara mereka sendiri.

Kita mulakan dengan berpolitik dalam keluarga. Siapapun kita di dalam keluarga, saya pasti ada pengaruhnya tersendiri.

Tidakkah kesedaran yang baik itu bermula dari rumah? Dari rumahlah akan menghasilkan generasi yang bijak berpolitik.

Kita semua perlu berkerja kuat untuk memberi pendedahan kepada umum, terutamanya remaja, bahawa politik itu satu pilihan terbaik untuk jalan hidup, bukannya membawa keburukan kepada individu yang menyertainya.

Potensi

Saya maklum bahawa potensi terbesar generasi baru dalam kesedaran berpolitik adalah mahasiswa di Kampus. Kebanyakan remaja kita akan kenal apa itu politik semasa sesi pengajian mereka. Saya seru kepada mahasiswa, ambillah peluang yang terbuka luas ini untuk mencintai politik. Jangan menyepi diri, libatkan diri anda semua dalam persatuan yang baik-baik. InsyaAllah ia akan lebih membina keyakinan dan bagus untuk penguasaan bicara anda. Semua ini adalah satu pendedahan yang baik kepada mahasiswa, yang secara tidak langsung melatih anda untuk memiliki semangat yang lebih kental dalam mengharungi dunia realiti.

Belajar berpolitik di Kampus tidak semestinya jika anda mahu menjadi ahli politik di luar sana, tetapi ia memberi seribu kebaikan bilamana anda mula masuk ke dunia realiti.

Anda berkerjaya pun ada politik pejabatnya. Anda membina rumahtangga pun ada seni politik suami isteri juga. Jika sudah punya anak, politiknya akan lebih hebat. Apa yang hebat sangat politik rumahtangga? Ya, di sinilah kita mula belajar disiplin, tanggungjawab, membuat keputusan, dan tentunya minda sentiasa berfikir bagaimana cara terbaik untuk mengharmonikan rumahtangga sehingga ke akhir hayat.

Inilah politik, bukan hanya apabila kita berparti baru dinamakan politik.

Sebagaimana yang telah saya nukilkan, politik itu mengajak kita berkreativiti.

Politik

Politik dalam bahasa arab disebut Siasah.

Politik sebenarnya bukanlah perkara yang sulit lagi menyulitkan.

Politik adalah suatu cara hidup, yang mengajak kita hidup secara berdisiplin, mendidik manusia untuk mencapai sebuah kehidupan yang lebih sejahtera di dunia ini.

Setiap kehidupan itu ada peraturannya, ada disiplinnya, untuk menjaga semua kepentingan yang ada di muka bumi ini. Maka tentunya kita semua yang menghuni dunia ini punya peranan, tanggungjawab dan bahagian serta hak masing-masing.

Kepada Muslim, tentunya politik itu satu bentuk jalan hidup untuk menuju kepada kehidupan yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, politik itu semacam istilah yang sering difobiakan. Namun, rasanya istilah politik itu lebih baik jika dibandingkan perkataan ‘dakwah’. Mungkin ‘dakwah’ ini boleh menjadi trauma pula. Politik itu sebenarnya sesuatu yang ‘menyeronokkan’. Kita akan sentiasa ‘up to date’ dalam kehidupan ini. Walau dalam keadaan tenang mahupun bergelora pada suatu masa, politik mengajak kita sentiasa berfikir, mencari jawapan bagi sebuah kekeliruan.

Politik dan dakwah itu sebenarnya membawa rentak yang sama.

Dalam pada kita berpolitik tentunya kita turut berdakwah, baik kepada keluarga kecil kita, jiran-jiran setempat, berkata-katalah yang baik-baik. Jika terpaksa memberi teguran, gunapakailah cara yang paling berhikmah, jika mahu menasihati, biarkan ia sehingga menjadi motivasi. Jangan sesekali akibat dari ingin berdakwah, menjurus kita kepada berbalah.

Usah kita ragu untuk berjuang dalam bidang politik.

Masyarakat hari ini kelihatannya lebih memahami apa itu politik Islam, ini satu situasi yang lebih baik. Politik mengajak kita bersama-sama menyatukan fikiran, dan bukannya nafsi-nafsi mencari kekuatan tersendiri dalam hidup ini.

Memahami, seterusnya mencintai politik bukanlah sehingga kita dilantik menjadi pemimpin. Pimpinan itu adalah lantikan semata. Sebagai ahli mahupun pendokong gerakan Islam, kita perlu menonjolkan diri membantu sejauh mana kemampuan yang ada untuk memastikan dasar perjuangan itu terlaksana dengan jayanya.

Sepi

Jangan kita menjadi seorang Muslim yang sepi. Politik itu mengajak kita erti kebersamaan, mampu mengenali masyarakat yang meluas, membuahkan persefahaman dengan fikrah yang sama, tentu kiranya akan saling berganding bahu untuk mencapai kegemilangan Islam.

Menyepikan diri hanya merugikan diri sendiri. Kita telah lalai dari tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk menjadi Khalifah di muka bumi ini.

Adapun makna Khalifah dalam erti kata yang paling mudah adalah, pengganti Nabi untuk menjaga agama dan maruahnya serta mengurus dunia ini dengan agama.

Asasnya, politik sebenar yang dianjurkan oleh Islam adalah sebagai satu wadah untuk menjaga agama. Dengan mengikut lunas sebenar politik Islam, maka tatacara mengurus dunia ini menjadi lebih mudah kerana segalanya sudah ada tunjuk caranya dalam Islam itu sendiri.

Semua manusia di bumi ini tahu bahawa dunia ini ada penciptanya, maka perkara yang paling mudah dicapai akal adalah, setiap ciptaan itu tentunya ada peraturan bagaimana mahu mengaplikasikannya. Maka, jika Muslim itu percaya dunia ini ciptaan Allah, maka usah berfikir berbelit-belit, tentunya Allah sendiri telah menyediakan ‘modul’ peraturan untuk kita menjaga amanah besar ini.

Jika setiap ketentuan Allah itu ditaati, maka sudah tentu setiap manusia akan ada penghormatannya disisi Allah.

Agak kurang bijak kiranya kita sebagai Muslim untuk berkecuali daripada kehidupan berpolitik. Mengambil pendirian sebegitu membawa maksud memilih untuk meleburkan impian yang lebih besar, yakni mengaburkan untuk melihat Islam terus bersinar di bumi Malaysia yang tercinta ini. Jika sesungguhnya anda tidak boleh menerima politik dengan 1001 alasan, maka jangan juga menyepi diri di dalam arus kehidupan bermasyarakat, anda bebas memilih untuk berjuang dalam badan-badan NGO yang bermaruah, mahupun pertubuhan-pertubuhan yang bermatlamat untuk memperjuangkan syiar Islam, asal sahaja anda telah berusaha untuk menyumbang sesuatu kepada Islam.

Kesejahteraan

Jika ditanya kepada rakyat Malaysia lewat hari ini apa yang mereka inginkan, saya percaya antara jawapan yang punya peratusan tinggi tentunya, keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Saban hari kita sering membaca rungutan tentang kes-kes jenayah yang mula menguasai kehidupan kini, apakah kita berfikir apakah puncanya jenayah itu? Faktor utama perlakuan jenayah yang mula berleluasa kini disebabkan tipisnya iman kita.

Tipisnya iman adalah perkaitan rapat betapa kita tidak mahu kepada Islam itu sendiri. Apa lagi yang kita mahu agungkan? Sedangkan Islam itu sendiri adalah satu agama yang komprehensif.

Inilah antara tanda-tanda yang memperlihatkan bahawa masyarakat kita tidak bersatu, hanya membawa tabi’i tunggu dan lihat.

Berpolitik juga mampu menjadi kekuatan kepada iman kita.

Politik membantu kita lebih berkeyakinan dalam melaksanakan ibadah. Jika ibadah itu makin baik, insyaAllah kita mampu pula menjaga amanah di dunia ini. Menjaga amanah Allah merupakan satu tanggungjawab yang besar kepada setiap khalifah di muka bumi ini. Dengan tulisan yang mudah, mengajak kita kepada berbuat kebaikan dan mencegah segala bentuk kemungkaran. Jika kita teguh jatidiri untuk berpolitik secara Islam, maka kita takut untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dalam kehidupan, samada jenayah kepada masyarakat, mahupun dalam pentadbiran Negara, terutama yang melibatkan amalan rasuah dan juga amalan lain yang menjurus kepada kepentingan diri sendiri.

Keutamaan politik Islam juga kepada proses mencari pemimpin yang terbaik.

Tentunya ia terhasil daripada ahli gerakan Islam yang mempunyai kematangan dalam berfikir dan juga cerdik pandai yang berganding minda ini.

Jika anda masih lagi ragu-ragu dengan politik kepartian, maka inilah masanya untuk bertekad, bahawa anda mahu lebih tahu tentang politik, yakni politik yang berteraskan Islam. Sesungguhnya hanya parti PAS yang memperjuangkan Islam melalui saluran politik.

Sudah tiba masanya kita beraura untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini.

“Katakanlah; siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

(Yunus 10: 31)

11.59pm

 

p/s; Ampatuan Jr raya tak esok…?

Berblog

Salam Ukhuwah…

Apabila memutuskan untuk berblog, saya mengharapkan sedikit ruang untuk mengutarakan pandangan secara peribadi dalam bidang keilmuan yang saya berpengetahuan keatasnya, terutama dalam memperkasakan generasi baru. Samada pengujung blog berpuas hati atau sebaliknya dengan tulisan yang dipersembahkan, ia diluar bidang kemahiran saya.

Tentunya saya berharapan besar untuk menarik minat pengunjung membaca apa yang ditulis.

Boleh kiranya saya katakan bahawa blog ini adalah untuk kita semua ‘berusrah’ secara maya. Namun usrah ini tiada silibus tetapnya. Kiranya saya yang memilih tajuk untuk diberikan sedikit kupasan, dan pengunjung semua memberi ulasan sejauh mana kemahiran dalam ilmu masing-masing. Tiada sekatan dipihak saya, sekadar menggalakkan percambahan ilmu yang sempurna, tiada ulasan-ulasan yang bersifat emosional keterlaluan.

Saya alu-alukan.

Masih banyak yang perlu saya belajar dalam berblog, tentunya banyak juga yang saya ingin kongsikan bersama anda semua di luar sana, untuk mengembangkan minda saya sendiri supaya sentiasa bersedia untuk menerima sesuatu yang baru dalam apa jua bidang keilmuan. Membaca dan menulis sesuatu yang mampu menyokong pemikiran supaya tidak menjadi statik.

Saya percaya masyarakat kita masih berada ditahap sederhana dalam soal mencari ilmu sisipan. Sekadar menelaah buku-buku wajib kerana ia suatu kemestian kepada status pelajar, amat rugi jika cerdik pandai tidak mengambil peluang untuk memperkasakan lagi bidang ilmu yang mereka pelajari, sekurang-kurangnya mereka mampu menjadi ahli dalam satu cabang ilmu.

Saya sendiri mula mempelbagaikan koleksi bacaan setelah punya ‘wang sendiri’. Berbekalkan duit bulanan yang disediakan ayahanda semasa di kampus, sedikit diperuntukkan untuk membeli buku ataupun majalah, biasanya saya memilih isu yang menarik dibahaskan secara ilmiah. Alhamdulillah, sedari kecil boleh dikatakan membaca itu adalah hobi, saya menyokong kuat kepada program-program yang bermatlamatkan membudayakan buku dalam kehidupan harian.

Bacalah apa jua ilmu yang baik-baik, mudah-mudahan ia mampu memberi ruang kepada kita untuk bersama memberi sedikit pencerahan kepada Islam. Bersama membangunkan generasi baru yang berminat untuk membaca, lantas menghasilkan banyak bertanya, seterusnya membuahkan lebih banyak cabang ilmu yang bermanfaat hendaknya. Ilmu itu sangat penting, pengetahuan itu memberi keyakinan yang tinggi kepada diri, sangat bermanfaat dalam menghasilkan budaya hidup yang sentiasa mahu menyumbang kearah kebaikan.

Amatlah rugi kiranya kita yang punya kesedaran dalam membantu gerakan Islam, menjadi sebahagian daripada ramai orang yang langsung tidak ambil peduli tentang keperluan penambahan dan percambahan ilmu. Sebagai seorang yang bergelar pemimpin, hatta pemimpin keluarga sekalipun, berusahalah untuk kelihatan berminat kearah memperkasakan ilmu. Secara tidak langsung, memberi gambaran yang baik kepada orang bawahan dalam penyebaran pengetahuan. Dengan ilmu, jiwa kita tidak akan menjadi layu. Amatlah rugi jika kita sebagai pemimpin tidak tahu untuk menghargai betapa bernilainya sebutir ilmu.

Pelbagaikan usaha untuk menarik minat ramai kearah membina persepsi yang baik kepada pencarian ilmu. Besar peranan yang perlu dimainkan oleh para pemimpin. Benarlah bahawa, kepimpinan itu melalui teladan.

Berjamaah

Dalam berjamaah, bukan hanya mahukan kader-kader memberi sumbangan yang tiada taranya kepada gerakan Islam, tapi inilah masanya juga untuk bersama-sama memperkemaskan ilmu di minda. Ilmu dan amal perlu seiring. Perlu difahamkan kepada setiap anggota gerakan Islam bahawa setiap amalan yang dilaksanakan itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya berteraskan kepada kefahaman ilmu Islam yang sebenar.

Impian besarnya adalah mengumpul seramai mungkin bijak pandai di dalam gerakan Islam, untuk membuahkan hasil yang lebih dinamis mengikut acuan realiti semasa didalam masyarakat yang semakin berkembang pendidikannya. Jika kita masih bermain permainan yang sama tanpa sebarang pembaharuan, tidak pelik jika kita sentiasa menjadi satu alternatif, bukannya satu pilihan yang tiada pilihan lain lagi.

Tidak kiralah samada ahli itu berpendidikan sekular mahupun ditarbiah mengikut acuan Islam secukupnya, gandingan ulama-profesinal ini amatlah dialu-alukan untuk membantu menjulang gerakan Islam yang semakin hebat ini.

Apabila gerakan Islam yang ada pada hari ini telah mengumpulkan banyak cerdik pandai, tentunya pencapaian yang diraih juga lebih besar. Segala tindak-tanduk yang dipamerkan perlulah berdasarkan ilmu, seiring dengan keperluan masyarakat semasa. Jangan pula terlalu berteori berdasarkan ilmu formal, tapi berpijaklah di bumi nyata, bahawa segala tindakan yang diperlakukan adalah untuk kepentingan pembangunan gerakan Islam semata.

Jika kita yang kononnya dianggap terpelajar, jangan dilupa rakyat di kampung, ada saham untuk mereka dalam gerakan Islam ini. Saat dipalu demam pilihanraya, kiranya saya percaya gerakerja mereka cukup hebat dan sungguh bersemangat untuk mengibar bendera parti, menayang poster si calon, berkempen meraih undi, di situlah kehebatan mereka berbanding ahli yang kononnya golongan akademik ini.

Inilah pentingnya ilmu, bukan sekadar ilmu formal yang dikutip di pusat-pusat keilmuan, tapi ilmu kemanusiaan, yang mampu mengajar setiap manusia untuk lebih banyak memberi, untuk menerima yang lebih baik.

Bagi sebuah gerakan Islam, yakni PAS yang sentiasa mahukan kebijaksanaan dalam berpolitik, perlu memiliki kepimpinan yang hebat buah fikirannya. Bukan sekadar kita mempunyai pemimpin yang hebat butir bicaranya, tapi apa yang lebih penting, adalah bagaimana mindanya boleh melihat jauh realiti politik semasa dan bagaimana mengeksploitasi kelebihan dan kekurangan yang ada untuk mencapai sasaran.

Sebuah gerakan Islam tidak perlu kepada ahli dan pimpinan yang hanya tahu bercakap dan terus bercakap, tapi pengetahuan yang berilmu itu adalah lebih penting.

Apa yang kita perlu kini, setiap ahli gerakan Islam mahupun pemimpinnya sendiri adalah penguasaan ilmu.

Terbuka

Kita harus sentiasa terbuka, memberi suatu gambaran yang boleh menyelesakan kepada masyarakat umum. Membuka pintu seluas-luasnya untuk ramai orang berminat untuk menjadi ahli gerakan Islam ini, tidak kiralah siapa pun mereka, yang penting ada kemahuan untuk berada pada kehidupan yang lebih baik, yakni didalam ruang lingkup yang lebih Islamik. Keahlian daripada pelbagai kategori ahli masyarakat tentunya sangat membantu gerakan Islam ini untuk lebih memahami keinginan sebenar rakyat umum, dan tentunya memberi satu anjakan ke arah memartabatkan perpaduan Islam sejagat.

Dalam rekod, di bumi Malaysia ini kita mempunyai lebih dua dozen parti politik yang telah berdaftar dengan Suruhajanya Pilihan Raya (SPR). PAS tentunya antara parti terbesar dalam Negara kita ini. Tentunya untuk Pilihan Raya Umum yang bayang-bayangnya sudah mula kelihatan, sasaran besar kita adalah remaja dan juga pengundi-pengundi muda serta yang baru. Walaubagaimanapun, amatlah mendukacitakan bilamana peratusan yang belum mendaftar adalah sangat tinggi sejak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.

Kita masih punya kira-kira empat juta rakyat Negara ini, yang majoritinya bawah umur 30 tahun, masih belum mendaftar sebagai pengundi. Sayang! Inilah tugas kita. Memberi penerangan dan memenangi hati mereka dengan ilmu pengetahuan. Bukan sekadar ilmu pengetahuan umum, tapi ilmu politik juga. Jangan dikata remaja hari ini tidak endah pada politik, itu di fikiran kita, masuklah kedalam kehidupan dan minda mereka, tentunya ada yang lebih istimewa, mereka juga mahukan kehidupan yang lebih baik, tentunya pada pegangan Islam. Sesungguhnya Islam dan politik itu tidak mungkin mampu dipisah-pisahkan.

Ini satu maklumat yang perlu kita teliti dan perhalusi bagaimana kaedah terbaik untuk menarik ramai bakal pengundi untuk mendaftar seberapa segera.

Sebarkan maklumat kepentingan mendaftar sebagai pengundi secara lebih berhemah dan meluas, makin luas sebarannya makin besar sasaran yang boleh kita capai.

Jangan pandang enteng perihal sebegini, walaupun kononnya tarikh keramat pilihan raya umum masih kelabu kelihatan, namun gendang dipihak lawan sudahpun mula dipalu dalam diam. Ini yang perlu kita prihatinkan, gemblengkan yang terbaik.

Gerakan Islam ini perlu sentiasa bergerak, mencari peluang terbaik untuk menarik minat masyarakat yang masih mencari-cari tempat untuk bergantung harap. Bukan hanya dengan sebaran maklumat melalui akhbar, internet, tetapi lebih dari itu, ahli dan pemimpin perlu sentiasa turun ke bumi, memberi penerangan secara bertemu mata, agar kesannya telus ke jiwa. 

Mendekati masyarakat hari ini perlu kepada pendekatan yang lebih terbuka dan sedikit moden. Bukan sekadar berceramah, tapi lebih dari itu, ‘mengambil hati’ rakyat adalah lebih perlu, lebih-lebih lagi kepada pemimpin yang telahpun bergelar YB. Ini yang rakyat mahukan, melihat wajah YB mereka dari dekat, mendengar permasalahan mereka, jika mampu, cuba menyelesaikannya.

Kreativiti

Sebenarnya, kreativiti lebih mampu memikat ramai masyarakat di luar sana untuk masuk dekat melihat apa yang ada pada gerakan Islam ini. Selain dari berilmu pengetahuan, ahli dan pemimpin gerakan Islam ini perlu punya kemahiran dalam selok belok berpolitik.

Kreativiti itu adalah satu anugerah Allah yang tiada bandingnya. Setinggi manapun ilmu yang digapai, tanpa kreativiti untuk menggunapakai ilmu tersebut mampu membawa kegagalan. Teras utama dalam berpolitik adalah kreativiti. Tidak cukup lagi dengan ilmu, tambahkan lagi dengan kreativiti, gandingkan pula dengan kajian demi kajian tentang kekuatan dan kelemahan yang ada pada tubuh gerakan Islam itu sendiri, dan tentunya perlu dibandingkan dengan apa yang ada pada pihak lawan. Gahkan perancangan, bagaimana untuk kita ‘berperang’ dalam dunia yang tidak pernah mahu menghormati sebuah keadilan, malah terus dicengkam dengan undang-undang buatan yang barang tentu akan berpihak kepada mereka.

Kita masih lagi menerima penindasan daripada parti pemerintah di Pusat, maka dengan segala kesukaran yang ada, gunapakai segala idea dan minda kreatif untuk bangkit menonjolkan kekuatan, mudah-mudahan kita tetap boleh menyampaikan seruan kepada masyarakat yang sentiasa mahukan kebenaran.

Bagunlah para sahabat yang mengaku sebagai pejuang!

Terbukti sudah bahawa kehebatan ilmu dan gerakerja yang kreatif serta berkemahiran dalam memaut hati-hati manusia, mampu memberi kecemerlangan yang padu kepada sebuah gerakan Islam.

Ilmu yang paling utama, seterusnya kreativiti, insyaAllah dengan adanya kekuatan ini kita akan senantiasa bersemangat untuk bangkit mendokong kekuatan gerakan Islam ini. Kita tidak mahu lagi melihat gerakan Islam ini dianaktirikan oleh pemerintah kini.

Akhlak

Jika kita sudah punya ilmu, punya kreativiti dan juga kemahiran, tentunya akhlak pula yang menjadi taruhan.

Tentunya akhlak setiap ahli, lebih-lebih lagi para pimpinan akan disuluh sentiasa untuk melihat sejauhmana Islamiknya kita ini sebagai pendokong gerakan Islam dan sentiasa bercakap tentang kesyumulan Islam itu sendiri.

Tentunya, walaupun ilmu itu penting, kreativiti dan kemahiran itu amat diperlukan, tapi tidak akan ke mana jika kita terburai dalam akhlaknya.

Dalam berpolitik, jangan jadi seorang yang perasan punya pengetahuan segalanya. Melangkaui jangkauan gerakerja orang lain akan menyebabkan banyak matlamat akan terganggu. Memberi cadangan untuk penambahbaikan adalah sesuatu yang baik, tapi sehingga mempengerusikan mesyuarat yang diluar bidang kuasa kita adalah suatu tindakan yang amat tidak bijak.

Andai merasa diri adalah bijak, sebenarnya masih ramai lagi di luar sana yang lebih bijaksananya. Jangan kerana bijak kita mula disisihkan. Mencampuri urusan orang lain secara berleluasa sehingga kepada merubah keputusan, membuat provokasi mengapi-apikan sentimen perasaan, lebih jauh sebenarnya akan menghilangkan wibawa diri sendiri dalam kebijaksanaanya, orang-orang sebegini akan terkubur tanpa sedar, sesungguhnya mereka beransur lupa bahawa di atas sana masih ada Allah yang sedang memerhati.

Kebijaksanaan seharusnya menjadi titik tolak kepada penyatuan fikiran dan fikrah kearah mencapai matlamat yang satu, yakni memperkukuhkan gerakan Islam. Jangan kerana merasa bijak, kita menjadi terlalu angkuh untuk menguasai segala-galanya.

Kata kunci dalam bahasa yang lebih mudah; Jangan mengada-ngada nak tunjuk pandai!

Kerana bijak juga ada yang mudah mengambil sikap untuk melampau-lampau.

Asal sudah mula belajar untuk melampau, maka akan terjerumus pula ke lembah menzalimi.  

Usaha

Usaha itu adalah satu kewajipan. Jika gagal hari ini, insyaAllah esok lusa kita akan ada jalannya. Lihatlah negeri Kelantan sendiri, walau dikekang dengan pelbagai cabaran yang kadangkala diluar minda kita, dengan berkat kepimpinan seorang Ulama, mampu untuk kita menumpang tuah di bumi Allah ini. 19 tahun menguruskan sebuah negeri dengan pelbagai tohmahan, bukan satu perkara yang mudah. Serambi Mekah ini tidak akan mudah jatuh kiranya masih ada lagi insan-insan yang malu kepada Allah.

Negeri Kelantan adalah contoh yang terbaik bagaimana untuk menguruskan negeri-negeri lain di Malaysia. Pengurusan di bumi Serambi Mekah ini sudahpun mencapai ke tahap yang jauh terkehadapan berbanding negeri-negeri lain di Negara kita ini.

Walauapapun dugaan yang mendatang, tetapkan hati semoga kita semua akan berada pada jalan yang ikhlas untuk menyokong sepenuhnya perjuangan memperkukuhkan gerakan Islam nan satu ini, yakni PAS! InsyaAllah…

Apakah gerakan Islam yang kita dokong ini sudah sempurna tubuhnya? Cukup sempurna itu tidak mungkin, tapi kita sudah punya pelbagai lapisan ahli dan pemimpin yang punya pelbagai pengetahuan dalam bidang ilmu, kita punya kepakaran dalam bidang sepenting ekonomi, dan tentunya gandingan di kalangan ahli baru dan pemimpin lama yang luas pengalamannya dalam menghadapai terjahan musuh yang sentiasa bernafsu untuk menjahanamkan gerakan Islam yang satu ini.

Tentunya, secara berterusan kita mengharapkan sumbangan daripada ahli gerakan Islam ini untuk terus berjuang menegakkan syiar Islam, umumnya di bumi Malaysia ini. Kita terus mahukan peningkatan dalam kualiti pemerintahan, mudah-mudahan ia menjadi titik tolak kepada cabaran untuk kita menawan Malaysia pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Inilah masanya untuk kita bersama-sama bangun dan sesekali jangan mundur.

Perjalanan kita makin hampir, untuk melihat kibaran Bulan menakluk Putrajaya!

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan Dunia dan Akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata”

(al-Hajj 22: 11)

3.29pm