• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    March 2010
    S M T W T F S
    « Feb   Apr »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Filem

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu Tayangan Amal filem Laskar Pelangi (LP) telah diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa.

Saya membawa si sulong dan anakanda yang kedua menikmati keindahan filem ini yang diadaptasi dari novel Lasykar Pelangi. Saya sangat sukakan Lasykar Pelangi! Juga sangat teruja untuk menontonnya walaupun terlambat.

Mana yang lebih hebat? Buku atau filem?

Wajah anak-anak berseri apabila tawaran hebat disuakan kepada mereka. Tentunya satu ‘sesi percutian’ menarik buat mereka yang ditinggalkan saya baru-baru ini. Mereka begitu teruja dengan tawaran yang saya berikan. Jom kita pergi tengok wayang!

Sudah dua kali saya mengizinkan anakanda yang ini menonton wayang di Kuala Lumpur, ditemani sepupunya yang dewasa, menonton cerita kartun. Saya tidak pernah memberi galakan kepada anak-anak untuk menonton wayang, tetapi tidak juga membantah permintaan mereka jika filem yang ditayangkan adalah bersesuaian dengan umur dan minda mereka. Kiranya saya ini fleksibel.

Anak-anak begitu teruja untuk menghadap LP, kerana sudah tahu sedikit jalan ceritanya apabila saya sering menceritakan kepada mereka mengenai buku tersebut.

Saya memang suka bercerita kepada anak-anak, terutama kisah yang mampu memberi teladan yang baik kepada mereka. Kini saya mula mengajar si sulong membaca ‘mini novel’ (yang bersesuaian umur dan mindanya), dengan tujuan memperkasakan penggunaan perbendaharaan kata dan gaya bahasa.

Bukan sekadar mahu mereka mengambil iktibar dari suatu pengkisahan, bahkan cuba menanam sikap suka membaca.

Biarkan mereka memilih, dan ibubapa yang menentukan kesesuaiannya.

Sesekala boleh juga ibubapa memberi beberapa pilihan, dan biar mereka putuskan.

Teruja

Sepuluh minit sebelum tayangan, saya mula mengambil tempat duduk. Dua orang anak dan dua orang anak saudara teruja di bahagian paling depan. Suasana masih lengang dan saya mula mengomel dalam hati, bahawasa inilah padahnya apabila tiada promosi menyeluruh. Atau, sikap Melayu itu sendiri, sangat tidak suka menepati masa!

Saya menerima mesej jemputannya pada sebelah pagi, yang mana tayangan berlangsung pada malamnya. Dengan bahasa, tulisan dan ayat yang ‘kampung’, saya menaip semula jemputan tersebut untuk disebarluaskan kepada sahabat-sahabat yang lain. Buatlah yang terbaik untuk mendapat impak yang baik.

Tiketnya hanya RM2 untuk dewasa, dan percuma bagi kanak-kanak. Murah! Saya sangat mengalu-alukan harga tiketnya itu, tapi wajarkah kita turut membayar RM2 untuk amal jariah?

Maka saya berseru, bayarlah lebih jika anda mampu!

Saya menduga bahawa setiap yang datang menonton itu lebih dari mampu untuk membayar lebih dari RM2.

Apalah RM2 kepada saya, kepada sahabat saya seorang Doktor, kepada sahabat saya yang lain seorang Akauntan, pada malam itu. Itu yang saya kenal, pasti ramai lagi yang datang pada malam itu orang yang hebat-hebat semuanya.

Tidak perlu menunggu berlebihan untuk beramal jariah. Cukup sekadar ada iman, beramallah untuk bekalan akhirat.

Apapun, sangatlah tidak salah untuk tetap membayar RM2, sekiranya mampu apa salahnya jika disuakan RM20. Angka berapa sekalipun, janji ikhlas!

Tidak dinafikan seringkali kita terpaksa berkira-kira untuk mengeluarkan wang. Kehidupan hari ini sememangnya menuntut kepada penggunaan kewangan yang berleluasa. Kadangkala menuntut kita menjadi seorang yang materialistik. Berapapun jumlah wang yang diterima setiap bulan, mampu membuatkan kita sesak nafas dipenghujung tempoh.  

Tidak cukup dengan pendapatan tetap yang sudah ada, kita berkreatif lagi untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Tentunya kita semua menuntut tahap kehidupan yang lebih baik.

Bermula hari ini pula saya mengambil inisiatif untuk memulakan rawatan gigi secara berkala,  maka menuntut status kewangan saya dikemaskini. Saya berazam untuk memiliki gigi yang sihat sehingga ke penghujung usia. Bukan hanya mahu tubuh badan yang sihat, tapi sebenarnya gigi juga perlu sihat. Gigi yang sakit mampu meragut keupayaan tubuh badan yang sihat. Saya tidak mahu lagi mengulangi trauma itu. Ini tekad baru saya.

Saya tidak mahu terlambat. Bukan sekadar mahukan senyuman yang menawan, tapi apa yang lebih penting adalah nafas yang lebih segar sepanjang hayat.

Mendidik

LP mampu mendidik setiap minda kecil bahawa dalam apa jua keadaan hidup sekalipun, ilmu itu haruslah dimiliki walau sesukar manapun. Sesekali tidak boleh menyerah kalah walau keadaan sering menekan kehidupan.

Walau bagaimana terbatasnya kehidupan seseorang itu, setiap individu itu berhak memiliki cita-cita. Keinginan yang kuat untuk mencapai cita-cita tersebut akan mampu menghasilkan prestasi lain sebelum cita-cita asalnya tercapai. Tarikan itu juga memunculkan kemampuan-kemampuan besar yang tersembunyi dan keajaiban-keajaiban di luar jangkaan.

Alasan klasik daripada ibubapa yang tidak mampu dari sudut kewangan tidak boleh digunapakai lagi. Pendidikan adalah satu kewajipan. Setiap ibubapa harus bersedia untuk berani melawan sebarang kesulitan. Teguhkanlah pendirian anak-anak tentang ketekunan dan keinginan untuk menggapai cita-cita yang lebih cemerlang dalam kehidupan mereka. Keyakinan untuk mencapai kebahagiaan dalam kehidupan harusnya sentiasa ada walaupun dibataskan dengan segala kepayahan, paling utama ibubapa sanggup berkorban dalam apa jua situasi.

Menyusuri LP membawa kita lebih meyakini bahawa setiap manusia itu mempunyai jalan tersendiri yang tentunya berbeza-beza untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan mereka.

Guru

Tugas mulia sebagai seorang guru juga mendapat pengiktirafan yang baik dalam LP. Guru seharusnya seorang yang pandai, berkarisma dan berpandangan jauh ke hadapan. Mereka bolehlah diibaratkan sebagai pahlawan yang sangat berjasa, mentor yang sebenar, idola yang dikagumi, pengajar yang dihormati, juga merangkap sahabat kepada semua murid-murid.

Guru juga berperanan menyebarluaskan peribadi yang baik, dan mengelak daripada melakukan perilaku yang buruk di hadapan pelajar-pelajar.  

Seorang guru juga perlu mengajar nilai-nilai luhur kepada setiap murid, agar tercermin perilaku baik mereka adalah kerana kesedaran peribadi. Lebih terhormat kiranya guru turut menekankan kepentingan solat, terutama solat tepat pada waktunya.

Betapa mulianya tugas guru apabila pahalanya tidak pernah putus sehingga ke akhir hayat!

Solat

Solat tepat pada waktunya secara langsung akan mendidik kita menghargai masa. Sewajarnya kita perlu menepati waktu yang telah ditetapkan pada setiap solat fardhu, dan sesekali tidak akan melengahkannya. Namun, tentu sekali dalam situasi masa kini, teramat mendukacitakan kerana majoriti di kalangan Muslim selalu amat melambat-lambatkan solat. Bukan hanya kepada orang awam, namun turut terpalit sama kepada agamawan.

Lebih teruk kiranya Muslim itu sendiri tidak memahami keperluan menunaikan solat tepat pada waktunya, malah menyamakan saja mana-mana waktu untuk mendirikan solat, asal saja bersolat.

Pemahaman menyamakan mana-mana waktu untuk mendirikan solat fardhu adalah satu kefahaman primitif. Pemikiran sebegini sangat silap kerana keutamaan dalam Islam adalah menepati waktu solat. Tabiat melengahkan solat hanya akan merugikan diri sendiri. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu, kerana di akhirat kelak, perkara pertama disoal Allah s.w.t adalah SOLAT! Jika sempurna solat seseorang itu, insyaAllah sempurnalah amalan-amalannya yang lain.  

Unik

Keindahan yang unik turut disajikan pada interaksi di antara watak-watak dalam LP. Tersembunyi daya tarikan corak pemikiran mereka yang berlawanan terhadap pendapat umum. Kerana sebuah kehidupan yang sentiasa mengasak, maka mereka membesar dalam persekitaran yang terbatas, baik dari segi kemelaratan orang Melayu, lakaran rasa belas kasihan dan kesedihan yang amat menyentuh emosi.  

Setiap jawapan yang dipaparkan dalam LP akan pula menarik minat untuk menghasilkan beberapa persoalan baru. Persoalan tersebut pula memiliki sejumlah jawapan, yang akan mengembangkan lagi kepada pertanyaan baru dalam deretan yang bersifat mengembangkan minda. Jawapan-jawapan yang diberikan membantu mencerdaskan minda kita yang melihat filemnya, mahupun membaca novelnya.

Seorang cerdas mampu melihat sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Mereka pintar menghubungkan setiap informasi kepada konteks yang lebih luas, juga mudah dalam berbahasa, serta efektif dalam berkomunikasi. Dengan lebih mudah, mereka mampu menggambarkan sesuatu dengan mengambil contoh yang tepat. Mereka juga tidak hanya memiliki satu sasaran dalam kehidupannya, tetapi sentiasa memiliki perancangan alternatif.

Melayu

LP juga banyak memberi gambaran tentang masyarakat Melayu. Mereka berperibadi sederhana, sinonim persekitaran mereka yang juga sedan-sedan sahaja.

Jika di suatu masa dahulu, biasanya masyarakat Melayu banyak menerima pengetahuan daripada para guru mengaji, orang-orang tua, dan para Jamaah di surau-surau, tentunya sesi kuliah di antara Mahgrib dan Isya’, yang banyak menghikayatkan sirah para nabi, para sahabat dan perjuangan mendaulatkan Islam.

Namun, orang Melayu wujud dalam masyarakat yang serba kekurangan, dan tidak malu-malu berada dalam lingkungan kawasan yang kotor. Saya boleh akuinya bahawa orang Melayu agak pemalas dalam membersihkan kawasan persekitaran mereka. Jika adapun sesi pembersihan dilaksanakan, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti tersebut. Bukan hanya di rumah, tapi juga di tempat kerja, hatta di pejabat-pejabat sekalipun.

Saya punya pengalaman bahawa kebanyakan pejabat tidak teratur kedudukannya dan semak keadaannya, bukan hanya pada aturan fail, tetapi sehingga kepada bekas-bekas makanan yang tidak dibasuh, sehingga mengeluarkan aroma yang memenatkan! Terima kasih kepada konsep 5S yang banyak membantu kakitangan menyediakan ruang kerja yang lebih selesa dan kemas.

~ Pemalas  

Masyarakat Melayu juga sebenarnya masih terikut-ikut untuk lebih mengutamakan anak-anak lelaki berbanding anak-anak perempuan, sehingga menghasilkan lelaki Melayu yang pemalas. Dalam masyarakat hari ini, kita mampu melihat bahawa ramai wanita Melayu keluar bekerja untuk menyara keluarga, dari seringan-ringan pekerjaan sehinggalah melakukan kerja-kerja berat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

Wanita-wanita berkerjaya inilah apabila kembali ke rumah, terpaksarela meneruskan agenda mereka untuk menguruskan rumahtangga seperti memasak, menghidang, membersih, dan segala aneka kerja-kerja yang kelihatan remeh, tetapi jika tidak diurus dengan baik mampu mengkucar-kacirkan sebuah keluarga. Si suami pula masih dilihat gemar menghabiskan masa untuk berehat-rehat ketika si isteri kepenatan menguruskan sebuah keluarga.

Namun, bukanlah semua lelaki Melayu itu pemalas, dan bukan semua juga wanita Melayu itu rajin.

~ Hiburan  

Dalam babak lain diperlihatkan masyarakat Melayu sebagai golongan yang sukakan hiburan, dan boleh berhimpun seramainya untuk melihat acara-acara hiburan.

Lebih parah apabila yang bergelar suami masih hebat dalam adegan bersantai dan menghabiskan masa berbual dengan rakan-rakan, terutamanya di kedai-kedai makan, mengalahkan si bujang.

~ Politik

Dalam berpolitik pula, orang Melayu digambarkan susah untuk fokus. Mereka gemar berpolitik sesama sendiri dan kurang berusaha untuk mencapai tujuan asal dalam berpolitik. Mereka sukar menerima hakikat jika telah melakukan kesalahan, dan amat jarang benar yang mahu menilai diri sendiri. Mereka sering sahaja berbeza pendapat dan seolah-olah dengan sengaja mewujudkan permusuhan yang langsung tidak membina, bahkan dengan rela mendahulukan kepentingan peribadi asal boleh kekal dalam arena.

Sentiasa pula berebut-rebut untuk menjadi pemimpin. Paling dikesalkan apabila yang bodoh sombong itulah paling lantang dan kelihatan pintar jika berbicara. Akhirnya kerana pemimpin dipilih daripada kalangan korup, maka tidak pun pernah terbentuk satu pasukan pimpinan yang mantap.

Akhirnya, marilah kita sama-sama fikirkan, siapakah kita sebagai Melayu?

Sekadar Melayu? atau Muslim? atau Mu’min?     

********************

Kami diajar supaya tidak bercakap jika azan berkumandang.

“Diam dan hayatilah panggilan menuju kemenangan itu…,” pesan ibu bapa kami.

(Lasykar Pelangi)

12.56pm

Advertisements

Kesempatan…

Salam Ukhuwah…

Saya berkesempatan menyahut seruan untuk berpuasa sunat sehari sebelum mendirikan solat sunat Istisqa’ pada 26 Rabiulawal 1431/ 12 Mac 2010 yang lalu. Ahli keluarga yang lain juga turut berpuasa sama.

Solat sunat Istisqa’ di bumi Kelantan pada Jumaat yang lalu merupakan kali kedua didirikan, selepas yang pertamanya lewat beberapa tahun yang berlalu. Tentunya solat sunat ini didirikan akibat dari kemarau yang agak berpanjangan, sebagaimana yang berlaku sekarang ini.

Namun, niat untuk bersama-sama ke Padang Perdana tidak kesampaian. Suami terpaksa ke Kuala Lumpur (KL) pada pagi itu dan saya menyertainya bersama tiga orang anak. Kesempatan diambil untuk bersama keluarga sementelah cuti persekolahan bermula. Saya membawa kembar dan adiknya. Sulong dan yang kedua berminat untuk bercuti di rumah Nenda + Tokkunya. Manakala si bongsu saya tinggalkan bersama bibik.

Begitulah saya apabila berpergian.

Tidak pernah membawa semua ahli keluarga pada satu masa, kerana saya takut tidak mampu mengawasi mereka seadanya. Tentunya saya yang banyak mengawasi anak-anak, biasalah ibu…

Salah seorang kembar dan adiknya tidak pernah sampai ke KL. Tentunya percutian kali ini agak menarik kerana selama ini mereka hanya tahu menyebut perkataan KL, namun tidak pernah melihat wajah KL yang sebenar. 

Acapkali mereka merengek untuk ke KL, sementelah ayahnya sering saja berulang-alik ke KL sejak dahulu lagi atas urusan kerja.

Saya sentiasa berkeinginan untuk merancang perjalanan yang menarik kepada anak-anak, namun jarang kesampaian kerana kesibukan suami. Saya teruja untuk menghadirkan kepada anak-anak pengalaman dan pengetahuan baru sepanjang sesi percutian. Kerana itu saya senang memilih berkereta ke KL, tentunya mahu mereka melihat dan menghargai dunia luas ciptaan tuhan, sepanjang tujuh jam perjalanan! Lamanya apabila membawa anak-anak kecil. Banyak ragamnya.

Sepanjang perjalanan juga anak-anak tidak berhenti bertanya itu dan ini, letih saya melayan mereka sambil berdiskusi dengan suami. Hampir empat jam perjalanan, barulah semuanya longlai dan matapun turut terkatup rapat.

Istimewa

Namun, Jumaat itu istimewa sekali, hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami seawal lapan pagi. Bukan hanya di Pulau Melaka, namun berpanjangan sehingga ke Gua Musang, sungguh saya takjub kerana hujan berpanjangan membasahi bumi Kelantan.

Alhamdulillah, saya percaya bukan hanya hujan itu membasahi selatan bumi Kelantan, namun keberkatannya menyerak ke serata tanah di bumi bertuah ini.

Perjalanan kami agak sempurna kerana hujan turun dengan jumlah seadanya. Tidak lebat, tapi secukupnya untuk membasah tanah-tanah yang kontang. Nikmat ini hanya mampu dirasai oleh manusia yang tahu menghargai. Tidak kepada manusia yang sentiasa memperlekehkan kekuasaan Allah.

Saya benar-benar bersyukur.

Melangkah masuk ke Gua Musang, saya meminta suami menghubungi ayahanda. Mahu mengkhabarkan kepadanya berita gembira, bahawa doanya yang diaminkan dua ribu rakyat Kelantan yang berhimpun mendirikan solat sunat Istisqa’ pada pagi itu telah Allah makbulkan. Apatah lagi apabila beliau pula mengkhabarkan kepada kami bahawa hujan mula membasahi seawal rakat pertama lagi!

Alhamdulillah, ucap beliau dengan suara yang agak serak dan sengau. Beliau mula dilanda selesema kerana dibasahi hujan, suatu yang pasti baginya kerana beliau memang alah kepada hujan dan sejuk. InsyaAllah, selesema itu tidak akan berpanjangan kerana hujan itu adalah rahmat yang dipohon.

Masuk ke Kuala Lipis, hujan mula rintik-rintik dan sesetengah kawasan awan mendung mula berarak. Barakahnya ke serata alam, makbullah doa seorang Ulama’.

Jumaat lalu memberi satu pengalaman menarik buat saya, tentunya lebih bererti jika diri sendiri dibasahi hujan rahmat itu di tengah-tengah Bandar Kota Bharu.

Perjalanan

Kami meneruskan perjalanan. Menuju destinasi yang masih jauh. Suami disisi tenang memandu, dengan bekalan borak saya mengenai keluarga besar kami.

Antaranya saya memfokuskan kepada pendidikan anak-anak. Maklumlah anak-anak baru saja menyerahkan buku laporan peperiksaan masing-masing. Dua orang anak di sekolah rendah, dengan dua buku laporan prestasi yang berbeza. Satunya agak baik dengan beberapa A dan satunya lagi tanpa sebarang A! Traumanya menjadi ibu dan fobianya menjadi ayah!

Maka, saya mula mendaftarkan anak yang tanpa A itu di kelas tuisyen. RM30 sebulan. Subjek Inggeris dan Sains menjadi pilihan, dibonuskan dengan subjek Jawi. Tiga jam untuk satu sesi setiap hujung minggu.

Belajarlah wahai anakku bersungguh-sungguh. Ibumu ini tidak tahu mengajar setiap subjek di rumah. Penat lagi!

Saya tidak pernah kecewa mahupun sedih setiap kali menerima laporan prestasi anak-anak walaupun kurang memberansangkan, terima hakikat seadanya. Paling penting sentiasa berikan mereka galakan dan motivasi untuk membuat yang lebih baik, sekurang-kurangnya pada peperiksaan yang mendatang peratusan prestasi mereka akan meningkat.

Sepanjang perjalanan yang berjam-jam itu kami cuba mengkualitikan sepenuhnya masa yang ada untuk membincangkan kemaslahatan keluarga. Alhamdulillah, banyak perbezaan pendapat yang mampu dititikkan.

Akhirnya kami menjengah KL dan makan tengahari di Ulu Klang, bermenu ikan bakar cicah air asam dan ulaman, suatu yang pasti setiap kali melewati Taman Melawati, sejak dari tahun pertama perkahwinan kami.

Percutian

Tanpa rehat yang berlebih-lebihan saya mula merancang percutian yang ringkas ini.

Anak-anak mula tidak sabar untuk keluar berjalan-jalan. Lagi pula malam nanti kami akan berlabuh di rumah kakak ipar.

Saya mencadangkan kepada suami untuk membawa anak-anak ke KLCC. Paling senang dituju kerana berdekatan penginapan kami, jimatkan masa untuk elakkan kesesakan di jalanan.

Usai menyediakan anak-anak dengan persalinan baru, kami menuju ke KLCC. Anak-anak melompat riang menikmati keindahan di Taman Pancuran Air, KLCC, seronok melihat keterujaan mereka. Saya dan suami duduk melepak-lepak saja di anak tangga taman, mengawasi tingkah mereka. Seronok juga melihat keindahan pancuran air, walau entah ke berapa kali menikmatinya, lantas mengagumi kehebatan manusia yang berjaya menyatukan unsur air dan kehijauan alam, tetapi kesegarannya terbantut dengan kepulan asap rokok yang bertebaran!

Ramai juga manusia lain menguasai taman itu.

Taman ini tidak pernah mati.

Bukan sekadar pelancong asing, bahkan rakyat tempatan juga tidak melepas peluang berehat-rehat di sini, melepak-lepak juga tidak kurang.

Tentunya beberapa keping kenangan dirakamkan, sambil mata saya mula mencari tapak untuk mengisi perut lagi. Saya masuk mencuci mata di dalam Suria. Banyak melangkah ke situ ke sini, namun tidak satupun berkenan di hati. Akhirnya saya membeli sepasang selipar, buat pengubat kaki yang letih berjalan.  

Nasib baik saya tidak terlalu tergugat dengan ‘Sale’ yang meriah itu. Anak-anak pun tidaklah beragam mahukan itu dan ini. Selamatlah duit!

Tip agak berkesan, elakkan melalui kawasan permainan kanak-kanak.

Tapi akhirnya saya beli juga mainan satu untuk setiap seorang. Kesian juga apabila terlihat adegan jeling-menjeling mereka saat melewati barangan kanak-kanak. RM20 saja setiap satu, kira ok lah.

Saya juga berniat mahu membawa anak-anak menikmati keseronokan di Cosmo’s World Theme Park, Berjaya Times Square, namun masa tidak mengizinkan. Alhamdulillah, kami cuba mengatur keseronokan lain seadanya. Tentunya masih banyak tempat lain yang menarik di KL.

Berkumpul

Malamnya kami ke Gombak untuk menikmati hidangan di rumah kakak ipar. Seronok apabila sesekali dapat bertemu dan berbual panjang dengan ahli keluarga di kejauhan. Saya membawa tiga set Burger King yang dibeli di Suria, untuk dikongsi-kongsikan bersama.

Alhamdulillah, sesekali berkumpul dengan ahli keluarga meriah sungguh jadinya. Mertua dan ipar saya dari Kelantan juga ada kerana kami semua akan menghadiri majlis perkahwinan kakak dan abang kepada biras saya yang sedang alahan. Semoga berbahagialah kepada dua pasangan pengantin itu. Bahagia di dunia, sejahtera di akhirat.

Kesian biras saya yang alahan pada kandungannya yang kedua. Sudah sebulan tidak mampu menjamah nasi! Saya tidak pernah mengalami alahan seteruk itu setiap kali mengandung.

Paling terukpun saya tidak boleh makan lauk-pauk, terutamanya ayam. Kelihatan mentah sepanjang masa. Apa yang saya sentiasa mahu tentunya nasi putih berlaukkan ikan rebus goreng! Selera sungguh. Itulah kelainannya apabila mengandung. Namun diketika umur kian bertambah, kelainannya adalah pada daya ketahanan tubuh. Semakin bertambah usia, semakin saya cepat letih membawa kandungan selama sembilan bulan itu. Cukuplah!

Silaturrahim

Saya sentiasa ada kemahuan untuk mengeratkan silaturrahim, terutama di kalangan ahli keluarga terdekat. Keluarga adalah pembuah kepada serakan kasih sayang yang lebih meluas. Tentunya membawa kepada konsep berkasih sayang yang lebih terbuka dan tidak hanya kepada golongan tertentu sahaja.

Islam menganjurkan ummatnya saling berkasih sayang kerana ia melambangkan iman seseorang. Kasih sayang dan iman saling berkait rapat. Kasih sayang yang berteraskan iman akan membawa seseorang itu kemuliaan dalam kehidupannya. Tentunya Allah memuliakan darjat ummatnya yang saling berkasih sayang  dan bersilaturrahim keranaNya.     

Keesokan harinya saya memenuhi undangan majlis perkahwinan. Semua wajah kelihatan ceria dan gembira. Saya seronok kerana dapat memenuhi jemputan keluarga pengantin, pada asalnya saya tidak mampu hadir kerana suami akan berangkat mengerjakan Umrah pada tarikh tersebut, yang mana disaat akhir tarikhnya ditunda. Seboleh-bolehnya setiap jemputan yang diterima saya mahu tunaikan, selagi majlis itu tidak diwarnai dengan unsur-unsur yang melaghakan.

Memenuhi jemputan sesama manusia akan membuahkan kasih sayang berpanjangan. Hidup ini tentunya lebih terkesan jika sentiasa dilimpahi kasih sayang. Dengan kasih sayang tiadalah perasaan iri hati, hasad dengki, benci-membenci yang boleh membawa kemudaratan yang lebih besar. Saya pencinta kedamaian.

Islam melarang bagi Muslim menunaikan jemputan majlis daripada individu yang berupa pelaku maksiat, disertakan pula hidangan yang bercampur Halal dan jelas Haram. Begitu juga yang menyediakan hiburan yang melalaikan, diserikan lagi dengan pelbagai maksiat. Lebih-lebih lagi apabila majlis itu bertujuan mempamerkan status dalam masyarakat, dengan secara terang-terangan meminggirkan jiran-jiran yang miskin.

Pulang

Malam terakhir sebelum kami pulang, saya membawa keluarga kakak ipar menjamah tomyam. Pertama kali saya merasa tomyam ikan! Boleh tahan.

Tiga hari di KL, jadual kami penuh terisi. Bukan hanya membawa anak-anak menikmati percutian, kami juga bertemu mata dengan ahli keluarga di sana.

Saya mahu meninggalkan sesuatu yang istimewa kepada anak-anak dalam percutian kali ini, yang boleh mereka simpan sebagai kenangan yang indah. Bermakna kepada jiwa-jiwa kecil mereka. Bukan menghambarkan dunia kecil, bahkan membantu untuk menceriakan hari-hari riang ria mereka.

Alhamdulillah, kerana saya mampu memberi sedikit kebahagiaan kepada anak-anak dalam mengisi kehidupan kecil mereka. Saya mahu mereka membesar dalam keriangan dunia kanak-kanak yang sebenar. Biarkan anak-anak kita bebas bereksperimen, dengan kawalan yang baik insyaAllah mereka akan membesar dengan sempurna. Tentunya saya berminat untuk merancang percutian lagi. Tapi nampaknya terpaksa meninggikan semula tabungan yang makin surut. Bercuti itu indah, tapi kosnya juga harus diambil kira. Pastikan kewangan yang dilaburkan membuahkan hasil yang berbaloi.

Terima kasih kepada suami terutamanya. Meluangkan masa untuk keluarga satu anugerah yang tidak ternilai.

Segalanya berjalan dengan sempurna, satu percutian yang ringkas namun tetap bermakna, semoga mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga, pengubat hari-hari yang sibuk sebelum ini.  

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

(Ibrahim 14: 7)

8.15am

Wanita

Salam Ukhuwah…

Lewat beberapa hari, saya masih lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita di luar sana.

8 Mac merupakan hari yang diiktiraf sebagai Hari Wanita Sedunia. Telah diterima umum sebagai satu hari untuk menghargai dan memberi sokongan kepada wanita, terutama kepada wanita yang berkerjaya.

Hari Wanita mula disambut pada tahun 1908 di New York. Namun, Hari Wanita pada tahun 1917 adalah kemuncaknya sebelum tarikh 8 Mac diiktiraf sebagai tarikh rasmi untuk Hari Wanita.

Sejarahnya berlaku di Rusia, bilamana pada hari tersebut telah diadakan mogok selama empat hari oleh pekerja wanita dalam industri tekstil di Negara tersebut. Mogok ini mampu menyedarkan dunia bahawa wanita sebenarnya punya kekuatan tersendiri. Sehinggalah, Kerajaan sementara Rusia pada waktu itu meluluskan hak untuk wanita mengundi.

Sedari itu, peranan wanita dalam dunia ini mula berubah kearah yang lebih baik. Dari perihal menjadi suri rumah, melahir, menyusu, mendidik dan membesarkan anak-anak, sehinggalah menjaga suami, mereka mula melangkah ke alam pekerjaan.

Kekuatan yang ada pada wanita mula diambil perhatian dalam membantu membangunkan sesebuah Negara. Idea wanita mula diterima pakai dalam semua bidang, terutamanya pendidikan, malah mula berkembang kepada bidang sosial, sukan, kesihatan, sehinggalah politik.

Malaysia

Jumlah penduduk Malaysia seramai 27.4 juta orang, mengambil kira 49.1% daripadanya adalah wanita. Separuh daripada peratusan ini terdiri daripada wanita berusia 24 tahun ke bawah.

Jika dilihat penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan di Negara kita ini, peratusannya masih lagi kecil. Kira-kira hanya 47.3% wanita memilih untuk berkerjaya, peratusan yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Negara lain yang mencecah 70%.

Walaupun umum mengetahui bahawa graduan wanita lebih cemerlang pencapaiannya dalam bidang akademik, namun cabarannya jauh berbeza apabila mereka melangkah ke dunia realiti. Jumlah graduan wanita yang menganggur (61.2%) mengatasi pengangguran yang berlaku dikalangan graduan lelaki (38.8%). Ia juga berkait rapat dengan jumlah pelajar perempuan yang saban tahun mengatasi pelajar lelaki di mana-mana institusi pengajian tinggi. Lebih 65% pelajar di institusi pengajian tinggi adalah wanita, malah mereka juga cemerlang dalam bidang yang ditekuni. Peratusan ini juga berhubung kait dengan kemudahan graduan lelaki mendapat pekerjaan (59.9%), berbanding graduan wanita (54.2%).

Tentunya lelaki itu lebih berktrampilan dari sudut kepimpinan dan lebih mudah bergaul dengan pelbagai lapisan individu lain. Jelasnya, golongan wanita masih menghadapi pelbagai halangan sehingga membataskan usaha daya mereka diiktiraf juga dihargai sebaiknya. Lazimnya golongan wanita lebih perlu membahagikan komitmen mereka kepada kerjaya dan rumahtangga, perlu upaya yang lebih baik dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk berjaya dalam kehidupan berkerjaya. Jika tidak punya kesungguhan sebegini, golongan wanita sering sahaja diberi tanggungjawab sebagai golongan kelas kedua di tempat kerja.

Profesional

Walaubagaimanapun, penglibatan wanita dalam bidang profesional seperti penggubal undang-undang, pegawai atasan syarikat dan juga pengurus semakin meningkat saban tahun. Kita mula dapat melihat kejayaan wanita sudahpun setaraf dengan lelaki. Namun masih wujud diskriminasi kepada golongan pekerja wanita. Kadangkala, golongan wanita tidak mampu bertahan lama dalam kerjaya disebabkan faktor tempat kerja yang tidak peka kepada keperluan mereka.

Penghalang bagi wanita dalam pasaran sektor pekerjaan sememangnya telah wujud sejak dahulu lagi. Terdapat beberapa sebab yang menjadi penghalang untuk memperkasakan wanita ini. Antara halangan terbesar kepada golongan wanita termasuklah polisi pakaian syarikat yang mengekploitasi tubuh badan wanita, terutamanya kepada wanita muslim yang sewajibnya menutup aurat.

Gangguan seksual yang kerap berlaku juga membantutkan minat untuk golongan wanita bekerja. Lebih-lebih lagi pelaku utamanya adalah rakan sekerja, lebih teruk jika pelakunya adalah bos sendiri. Gangguan seksual boleh merangkumi pelbagai cara termasuklah dari aspek pertuturan, tingkah laku, sentuhan, isyarat kelucahan, mahupun menunjukkan gambar-gambar lucah di tempat kerja.

Tentunya kepada golongan wanita berkerjaya yang bergelar ibu, amat memerlukan tempat kerja mesra ibu, yang memberikan perkhimatan penjagaan anak-anak yang berkualiti dan selamat dengan kos yang mampu ditanggung.

Jika halangan sebegini tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak sewajarnya, maka amatlah rugi kepada Negara juga kerana tidak mampu untuk menggunapakai kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu memesatkan lagi pembangunan negara.

Hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab terutama majikan di sektor awam mahupun swasta, seharusnya menunjukkan kepekaan mereka terhadap keperluan pekerja wanita.

Namun ada juga halangan yang diwujudkan oleh wanita itu sendiri, dengan memilih untuk berhenti kerja apabila sudah melahirkan anak. Jika diperhatikan, ia merupakan satu aliran baru yang menguasai dunia pekerjaan di Negara kita, yang memperlihatkan bahawa peratusan wanita bekerja di Negara ini semakin berkurangan. Jika adapun wanita yang bergelar ibu muda meneruskan kerjaya mereka, akan tiba waktunya juga mereka ini memilih untuk berhenti kerja awal sebelum umur mencapai 40 kerana terpaksa memilih antara kerjaya dan rumahtangga.

Rumahtangga

Sememangnya wanita tidak boleh mengelak dari mengurus kerja-kerja rumahtangga dan mendidik anak-anak. Walaubagaimanapun, tangan lembut wanita inilah yang banyak menyumbang saham dalam usaha untuk membekalkan benih-benih yang berkualiti untuk pembangunan negara. Benih-benih inilah yang akan membentuk peribadi generasi seterusnya. Tentunya anak-anak sangat memerlukan kasih sayang, perhatian dan suntikan keagamaan dalam memenuhi kehidupan awal mereka, yang sepatutnya asas ini difahami awal lagi oleh setiap ibubapa.

Pendidik utama dalam sebuah keluarga adalah ibu yang merupakan sekolah pertama kepada anak-anak. Atas kesedaran itulah ramai ibu-ibu mula bersara awal daripada kerjaya, melihat kepada kepentingan masa depan anak-anak yang merupakan satu pertaruhan dalam pembentukan keperibadian setiap insan. Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik dari aspek rohani dan jasmani.

Kita tentunya tidak mahu sama sekali melihat generasi baru yang pincang kehidupan mereka dalam kehidupan bermasyarakat. Kita memerlukan satu generasi baru yang mempunyai jiwa besar, bukan sekadar membesar dalam dunia ikut-ikutan. Lebih parah jika mereka membesar dalam sebuah keluarga yang hanya mementingkan kepentingan material sahaja. Tanpa suntikan agama, akhirnya generasi baru ini akan hilang jati diri. Manusia yang tidak seimbang inilah yang melakukan korupsi dan penipuan di sana-sini.

Melihat kepada gejala sosial yang melanda Negara hari ini, saya jelas bersetuju bahawa perlunya setiap ahli keluarga berganding bahu memenuhi keperluan makanan rohani dan jasmani. Kita bukan sekadar mahu melihat anak-anak tidak ketinggalan dalam arus pemodenan semasa, lebih dari itu mahu mereka meraih pencapaian yang hebat dalam bidang pendidikan seiring keagamaan yang akan sentiasa menjadi benteng kepada kehidupan mereka.

Kita tidak mahu mewujudkan satu generasi yang sihat jasmani dan berpendidikan tinggi, namun cacat dari segi moral, tiada semangat juang, langsung tentunya miskin agama.

Wanita haruslah sentiasa sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kecemerlangan dalam berkerjaya, haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka kepada rumahtangga sendiri. Keluarga adalah kekuatan sebenar kepada mereka. Wanita yang bijak harus juga profesional dalam menguruskan aspek masa bersama keluarga tersayang, tentunya menghormati suami dan menyayangi anak-anak.

Skim

Kerajaan perlu mewujud dan menyediakan lebih banyak skim dan kemudahan terutama dari aspek kesihatan dan kebajikan akan menggalakkan lebih ramai wanita di negara ini menyertai alam pekerjaan. Ini termasuklah skim bersalin, cuti, penyediaan tempat penjagaan anak-anak, bekerja dari rumah, dan bekerja sambilan, dilihat sebagai suatu langkah prihatin kerajaan terhadap golongan pekerja wanita. Aspirasi kerajaan sebegini akan membuktikan mereka turut menghargai wanita dalam  memainkan peranan yang penting untuk membangunkan negara.

Jika diambil contoh cuti bersalin, Negara kita meluluskan kadar cuti bersalin selama 60 hari. Berdasarkan standard antarabangsa, kadar cuti bersalin ini adalah masih rendah. Malaysia adalah antara 25 daripada 152 negara menyediakan cuti bersalin selama 60 hari atau kurang. Ini berbeza dengan beberapa negara Asia lain yang memberi cuti bersalin lebih panjang. China selama 90 hari, India (12 minggu), Iran (empat bulan), Laos (tiga bulan), Myanmar (12 minggu), Pakistan (12 minggu), Filipina (60-78 hari), Thailand (90 hari) dan Vietnam (120 hari).

Tahniah

Akhirnya, tahniah kepada semua wanita! Kehidupan wanita hari ini adalah lebih baik. Tidak kira samada pekerja itu lelaki mahupun wanita, tekadkan semangat untuk terus seiring dalam membina kejayaan di dunia menuju kesejahteraan di akhirat.

6.04am

Gigi

Salam Ukhuwah…

Akhirnya gigi saya dicabut jua hari ini. Geraham bongsu.

Hampir dua minggu sudah saya menahan sakit. Telah saya maklum bahawa gigi yang satu ini perlu dicabut, namun saya lengahkan, sehinggalah ia mampu mengambil sebahagian nikmat sihat dalam kehidupan ini.

Selesai menghantar anak-anak ke sekolah, saya terus ke klinik gigi bersendirian.

Rasa takut ada juga, tapi insyaAllah, tidaklah sampai saya menangis nanti…  

Tabahlah saya hendaknya sehingga semua proses berkaitan selesai. Pengalaman terakhir saya mencabut gigi lebih kurang sepuluh tahun yang lalu.

Pengalaman yang lalu menyakitkan saya.

Saat tiba di klinik, tiada pesakit lain, melainkan saya seorang. Ada seorang doktor, dua orang pembantunya, tidak ketinggalan, yang saya kira bibik kepada doktor tersebut, bersama anak kecilnya seusia lebih kurang satu tahun.

Setelah mendaftar diri, lebih kurang lima minit menunggu, saya dipanggil untuk menerima rawatan. Entah apa perasaan saya ketika itu, takut pun ada, risau pun ada, teruja pun ada…namun yang sesungguhnya saya sudah tidak sabar untuk membuang gigi yang satu ini. Doktor pun nampak baik saja, seorang perempuan muda yang lembut bicaranya.

Sedikit penerangan ringkas diberikan.

Saya sudah tidak sabar-sabar lagi.

Gigi di atas, di bawah, di kiri, di kanan, semua diperiksa sehinggalah kepada yang betul-betul sakit. Seminggu sebelum, saya sudahpun memeriksa gigi yang sakit, diberi tempoh satu minggu untuk menghilangkan bengkak di gusi saya. Setelah dibekali antibiotik dan ubat tahan sakit, bengkak gusi saya makin surut. Kerana hari ini keadaan gigi dan gusi saya telahpun berada dalam keadaan baik, maka saya dibenarkan cabut gigi.  

Bius

Maka krim bius perisa strawberry disapu pada gusi untuk mengurangkan rasa sakit apabila doktor menyuntik bius nanti.

Ucapan basmalah didahulukan doktor sebelum jarum tajam itu menusuk gusi saya pada dua bahagian, bermakna dua suntikan bius lokal diberikan. Suntikan pertama tidak begitu menyakitkan, namun suntikan kedua mampu mengilukan saya, sehingga mata terkatup rapat serapatnya menahan perit. Sedikit kritikal. Nasib baik tiada genangan air mata…

Sambil menunggu bius itu berkesan, doktor memeriksa gigi saya yang lain.

Alhamdulillah, saya senang dengan pendekatan doktor tersebut yang bijak memberi khidmat nasihat berkaitan penjagaan gigi yang baik, sewaktu menunggu bius itu berkesan. Saya tenang-tenang sahaja, walaupun ada juga sedikit rasa takut. Tidak sampai sepuluh minit, gusi dan bibir saya sudah mula rasa menebal.

Cungkil 

Sehelai kapas diletakkan di atas bibir saya. Ucapan basmalah didahulukan dengan sekelumit doa. Langsung doktor mencungkil geraham itu, dua kali cungkilan, saya bayangkan seolah saya sedang mencabut akar pokok yang besar dari tanah yang pejal, sekejap cuma segalanya sudah selesai. Rasanya tidak sampai lima minit. Langsung tiada sakitnya!

Doktor meletakkan kain kasa yang dilipat-lipat kepada gusi yang masih berdarah kesan cabutan.

Akhirnya gigi geraham yang dicabut diletakkan di atas sehelai kain di atas meja peralatan, saya tatap. Selamat tinggal! Hilang sudah sebatang harta saya…

Doktor memberi pesan supaya saya mendapat rehat selama dua jam selepas itu. Nasib baik empat orang anak saya ke sekolah. Amanlah sedikit dunia saya.

Terima Kasih

Terima kasih kepada doktor muda itu, yang telah melaksanakan tugasannya dengan efisyen sekali.

Sebelum pulang, saya dibekali lagi dengan dua biji ubat tahan sakit, berserta kain kasa untuk ditukar-tukar pada gusi selagi berdarah, dengan membayar kos mencabut gigi sebanyak RM45.   

9.53pm

Rabiulawal

Salam Ukhuwah…

Kita masih lagi meraikan Rabiulawal, bulan memori kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Negara kita, Malaysia, meraikannya dengan memberi cuti sehari kepada rakyat umum, dengan harapan semoga ia dapat disambut bersama-sama dengan pelbagai program yang telah diaturkan diperingkat pusat mahupun disemua negeri.

Sambutan Maulidur Rasul menjadi suatu acara tipikal didalam masyarakat Islam di Negara kita. Lazimnya sambutan ini diserikan dengan perarakan berselawat beramai-ramai, forum keagamaan, ceramah, dan kuliah, serta sedikit pembaharuan jika adapun majlis-majlis hi-tea, yang diserikan dengan tazkirah dan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Menyusuri sambutan Maulidur Rasul saban tahun, seolah-olah ia hanya satu rutin ritual keagamaan yang berjaya mengumpulkan ramai rakyat secara paksa-rela untuk berhimpun dalam sebuah majlis hebat. Sejauh mana majlis sebegini mampu menyuburkan rasa keinsafan dalam diri setiap yang hadir itu, terpulanglah kepada jiwa-jiwa yang mahu menerima pencerahan yang dihadapkan.

Saban tahun kita akan dapat mendengar ceramah yang mengembalikan nostalgia kepada permulaan kelahiran Rasulullah s.a.w., dipanjangkan kepada liku-liku suka duka kehidupan Baginda sehinggalah kewafatannya. Namun, saya kira pendekatan hari ini sedikit berubah, kecuali di kampung-kampung masih ada lagi para pendakwah yang memutarkan ilmu kenabian yang sama saban tahun.

Tentunya tidak banyak aktiviti berbentuk hiburan yang diadakan sempena sambutan ini, walaupun artis dengan imej bertudung masih lagi laku dijemput untuk menyerikan mana-mana sambutan Maulidur Rasul, jika ianya majlis yang ditaja oleh badan-badan korporat. Jika dilihat secara positif, mungkin ini satu cara untuk memanggil ummat Muhammad dalam kapasiti yang lebih besar datang mendengar tentang kehebatan sebenar Kekasih Allah ini, lantas mewujudkan rasa rindu dan cinta yang menggunung kepada Junjungan Besar. Negatifnya, dapatlah dilihat bahawa masyarakat hari ini mula dikuasai oleh dunia hiburan, lantas majlis keagamaan juga perlu diserikan dengan kehadiran artis semasa.

Sesungguhnya kita adalah ummat beruntung kerana diutuskan seorang Nabi yang hebat, yang membawa cahaya kepada sebuah kegelapan dalam kehidupan yang disulami perilaku jahiliah, sehingga kita mampu hidup dalam sebuah kehidupan yang lebih bermaruah dan bermartabat tinggi.

Inilah peranan seorang Rasul, yang diperlukan oleh semua ummat manusia dalam mencapai kebahagiaan kehidupan di dunia menuju kesejahteraan di akhirat. Jika kita meneladani pengkisahan para Nabi, maka yakinlah kita bahawa tugas mereka bukan sahaja untuk menyebarkan agama samawi, bahkan lebih dari itu, yakni untuk mensucikan manusia daripada unsur syirik kepada Allah s.w.t..

Fitrah

Asasnya, setiap manusia itu mempunyai fitrah dalam beragama. Tidak kiralah dizaman mana kehidupan itu bermula, tidak pernah ada kehidupan di dunia ini yang wujud tanpa menghambakan diri kepada sesuatu, samada kehidupan itu menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Tuhan yang Hakiki, yakni Allah s.w.t.. Hatta, penganut sosialisme yang berideologi berasaskan tradisi pemikiran sehingga mencetuskan komunisme, dimana mereka ini tegar menolak agama dan tuhan, tetap juga ‘bertuhan’, tetapi mereka beralih arah mengabdi diri kepada suatu bentuk objek penyucian, yakni individu yang berupa pemimpin hebat mereka, mahupun kebendaan yang memanifestasikan keagungan.

Beragama merupakan fitrah manusia yang tidak dapat disangkal. Fitrah ini membawa maksud untuk memperoleh perlindungan daripada satu kuasa yang lebih kuat dan hebat. Maka disinilah keperluannya kepada seorang Nabi, untuk memberi panduan dan petunjuk serta membimbing ummat manusia dalam pencariannya menemui hakikat tuhan yang sebenar. Para anbiya’ juga berperanan menyebarluaskan ilmu pengetahuan dalam bentuk hujah intelektual berdasarkan wahyu yang diterimanya, dimana ia akan mampu memberi logik akal dan memuaskan hati manusia dalam memenuhi keperluan fitrah mereka yang mahu berurusan dalam kehidupan beragama.

Allah mencipta manusia yang telah diprogramkan secara genetik dengan fitrah percaya kepada agama. Fitrah beragama ini mensasarkan kepada disiplin kerohanian dan ibadah dalam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika kita perhatikan, apabila seseorang manusia itu menjengah ke tempat suci, samada masjid mahupun gereja ataupun kuil dan tokong, atau apa saja nama lain yang membawa maksud tempat beribadah, tentunya manusia itu secara langsung akan merasa rendah hati terhadap satu ‘kuasa’ yang ‘menjaga’ tempat ibadah itu. Inilah dia satu perbuatan logik yang boleh diterima akal.

Naluri beragama ini secara magnetnya akan menyeru kita untuk melaksanakan ibadah, dimana ia berfungsi sebagai tali penghubung antara manusia dengan tuhannya. Hubungan ini perlu ada disiplinnya, supaya sesekali tidak terpesong lantas menyesatkan.

Rohani dan Jasmani

Manusia hidup adalah kerana motivasi yang wujud dalam diri. Kerana wujudnya fitrah beragama, secara langsung ia berkait rapat dengan dua unsur, yakni rohani dan jasmani. Dua unsur ini perlu dipenuhi keperluannya secara terkesan agar membantu manusia itu membina sahsiah diri dengan baik dan sempurna.

Jasmani berhajat kepada keperluan makan, minum, pakaian, tempat tinggal, dan sebagainya yang menjadi keperluan material kepada seseorang individu. Jika ada yang terbatas, kehidupan seseorang itu tidak akan sempurna. Rezeki ini tentunya boleh dicapai dengan satu usaha yang bersungguh, dimana Allah akan mengurniakannya kepada semua makhluk yang bernyawa di dunia ini, baik kepada hambanya yang baik ataupun jahat, beriman mahupun kufur.

Keperluan rohani pula berupa ilmu pengetahuan, kecerdasan, taufik serta hidayah dalam kehidupan. Keperluan ini tidak boleh dicapai dengan pancaindera manusia secara langsung, tetapi ia digapai oleh akal yang sihat dan sejahtera. Jika terbatasnya keperluan rohani, seseorang manusia itu akan mengalami satu perasaan yang sukar ditafsirkan, yakni rasa resah gelisah, stres, kecewa, sehingga yang lebih teruk boleh mencapai halusinasi.

Pemenuhan keperluan rohani inilah yang mengajak kita memahami betapa perlunya seorang Rasul untuk membimbing dan menyampaikan ajaran Allah kepada semua manusia di muka bumi ini. Seorang Rasul berperanan memberi petunjuk untuk memenuhi keperluan rohani mengikut syariat Islam.

Penting

Amat jelas sekali bahawa kehadiran Rasul didalam kehidupan manusia amatlah penting sekali. Baginda datang untuk membawa ummat manusia beriman dengan Pencipta sekalian alam yang sebenar-benarnya tanpa ada sedikit prejudispun.

Maka, hangatkanlah kembali rasa cinta dan rindu kita kepada Baginda Muhammad s.a.w. yang telah memberikan kita petunjuk untuk menuju kesejahteraan di dunia sehinggalah akhirat sana. Jadikanlah Baginda teladan yang terbaik buat kita semua, bukan hanya pada Rabuilawal ini, malah pada semua saat dan ketika. Bukan sekadar mengagung-agungkannya kerana Baginda seorang Nabi, malah teladanilah Baginda dalam semua aspek kehidupan termasuklah pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan, malah segalanya demi untuk kita merealisasikan sebuah Negara Islam yang hakiki.

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui

[ Ar-Rum : 30]

12.02am

Selesai

Salam Ukhuwah…

Selesai sudah majlis pertunangan adinda saya.

Tiada lagi majlis sebegini untuk keluarga kami selepas ini, kerana ia merupakan majlis untuk ahli keluarga kami yang terakhir. Majlis ini mampu menghimpunkan kami sekeluarga, memberi erti yang sungguh bermakna buat kami semua, kerana si bongsu keluarga kami telah menemui ‘orangnya’ untuk menemani kehidupannya di masa hadapan. Hendaknya jodoh mereka akan berpanjangan hingga ke jinjang pelamin. InsyaAllah…

Amalan bertunang didalam Islam dikenali sebagai ‘khitbah’ dan kiranya ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ianya perlu diurusi dengan penuh tanggungjawab kerana merupakan sebuah janji, yakni untuk mengahwini perempuan yang disuntingnya itu.

Bertunang hanyalah sebagai suatu tempoh untuk bakal suami isteri itu saling ta’aruf di antara satu sama lain, tentunya bukan maksud untuk bercinta. Bercinta yang sebenarnya adalah untuk mereka yang telah sah bergelar suami isteri. Situasi bertunang tidak sama dengan berkahwin. Kerana masih ada sekatan inilah, maka pasangan yang bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan, melainkan ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum diakadkan, maka mereka tetap dua individu yang bukan mahram, tentu wajib bagi mereka untuk menjaga batas pergaulan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Tempoh Bertunang

Tempoh bertunang juga sebaiknya digunakan untuk mempersiapkan diri dan membina persefahaman di antara dua individu yang datang dari latar belakang yang berbeza, sebelum pernikahan dilangsungkan.

Berapa lama tempoh pertunangan biasanya ditentukan oleh ‘uruf, yakni adat yang masyhur diterimapakai didalam sesebuah masyarakat setempat. Saya kira sangat lazim masyarakat kita memberi tempoh setahun untuk tempoh pertunangan ini. Namun, saya lebih bersetuju sekiranya tempoh tersebut dipendekkan lagi, merujuk kepada budaya masyarakat kita hari ini yang ‘memperlekehkan’ maksud pertunangan dengan menganggapnya lesen besar untuk ke hulu ke hilir berdua-duaan. Maka, saya fikir adalah lebih baik sekiranya tempoh pertunangan ini disingkatkan untuk menjaga hubungan yang telah terjalin ini.

Pengalaman

Ini pengalaman pertama saya menguruskan sendiri sebuah majlis pertunangan, sungguh mengujakan! Majlis ini memberi ruang kepada saya untuk berkreativiti dengan minat yang tersendiri, yang membawa saya berinteraksi dengan ramai kenalan-kenalan baru, dan banyak memberi ilmu sampingan kepada saya mengenai apa itu wedding planner.

Ekslusifnya majlis kami adalah kerana ia dihadiri oleh kaum wanita sahaja! Itulah syarat keluarga kami, sejak berpuluh tahun yang lalu, seawal pertunangan kekanda sulong saya. Kalau adapun lelaki, mereka akan berada di ruangan yang berbeza.

Lazimnya ayahanda saya tidak masuk campur dalam hal ini. Beliau memberi kepercayaan 80% kepada bonda saya untuk menguruskan hal-hal sebegini. Saya juga percaya begitu, lebih memudahkan semua urusan yang berkaitan.

Biasanya jika segalanya telah dipersetujui di pihak perempuan dan tentunya dimaklumkan segalanya kepada suami, ayahanda saya berperanan untuk menentukan tarikh terbaik mengikut kalendar Islam.

Saya bersetuju dengan cara ini. Jika diberi kepercayaan oleh suami suatu hari nanti, saya juga mahukan majlis ekslusif sebegini untuk anak-anak nanti, biar pihak perempuan sesama perempuan sahaja yang berbincang, dimaklumkan kepada suami kemudiannya, rasanya lebih memudahkan urusan.

Saya kira wanita lebih berpengetahuan dalam bab-bab sebegini. Tentunya dalam beradab dan beradat, tutur bicara serta runding cara. Sesama perempuan juga akan lebih memudahkan mereka berkenalan dengan gadis pingitan yang diimpikan, boleh berta’aruf seadanya, kelihatan lebih sopan dan tertib.

Syukur

Saya berbesar hati mengambil kesempatan yang ada ini untuk memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu yang terlibat dalam menjayakan majlis sederhana ini, terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan semenjak di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP). Sebulan yang lalu, saya mula menghubungi sahabat-sahabat lama yang saya kira punya keahlian dalam bidang masing-masing, untuk mendapat perkhidmatan terbaik bagi menjayakan majlis ini.

Kesempatan ini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang banyak membantu dalam menjayakan majlis ini, terutama kepada Nor, sahabat saya yang jauh nun di Sabah sana, yang mencadangkan tukang jahit terbaik untuk saya bereksplorasi dengan fesyen yang saya impikan. Tak lain tak bukan, kakaknya, Kak Yah yang bersedia untuk melayan karenah saya yang mahukan begitu dan begini, bahkan banyak memberi panduan dan cadangan yang bernas untuk mendapat fitting terbaik bagi persalinan dihari istimewa.

Terima kasih juga kepada Ida yang pada awalnya mengaku sangat sukakan kreativiti dalam menggubah hadiah iringan, lantas saya ‘mengeksploitasi’ bakatnya itu untuk membantu dalam menyediakan lima hadiah iringan untuk pihak lelaki. Walaupun hanya berseni pada malam hari kerana tuntutan kerjaya pada siangnya, tidak dinafikan hasilnya boleh memuaskan hati saya.

Tentunya buat Kak Ni, yang ala-ala wedding planner, juga pimpinan dalam Pas Kelantan, terima kasih kerana mampu mengurus ‘emosi’ apabila berurusan dengan saya yang sememangnya agak cerewet. Tentunya seronok apabila dia menghargai idea saya yang mahu satu konsep ruang yang ringkas, bersih dan sederhana.

Begitu juga kepada Echah, jurugambar yang bersedia aktif sepanjang tempoh majlis berlangsung.

Buat ahli keluarga, ipar-duai dan kaum kerabat serta rombongan pihak lelaki, terima kasih kepada semua kerana sudi meluangkan masa pada majlis istimewa untuk ahli keluarga kami yang terakhir, saya dapat melihat betapa semuanya bergembira untuk menerima ahli keluarga yang baru, tentunya kami sudah mengira-ngira berapakah nanti total cucu yang menjadi milik ayahbonda kami, yang kini jumlahnya mencapai 52 orang!

Sederhana

Walaupun kelihatan saya seronok bercerita mengenai majlis pertunangan ini, sebenarnya ia hanyalah sebuah majlis yang ringkas sahaja. InsyaAllah kami tetap bersederhana dalam semua aspek kehidupan, sehingga tidaklah perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk sebuah majlis seperti ini. Jangan sesekali mendidik diri kearah unsur-unsur pembaziran dan berlebih-lebihan kerana ia menjurus kepada perbuatan yang mengundang dosa. Membazir itu sangat dibenci Allah. Kerana Islam itu bukanlah agama yang memberat-beratkan ummatnya.

Jika memerlukan satu majlis untuk melaksanakan pertunangan, maka bersederhana sajalah, usah sehingga mengeluarkan bajet yang besar terhadap perkara yang sia-sia, cukuplah berpada-pada, berpadanan dengan ‘kekuatan’ yang ada pada diri sendiri. Islam menuntut kita untuk sentiasa bersederhana didalam segala perkara yang dilaksanakan.

11.32pm