• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    March 2010
    S M T W T F S
    « Feb   Apr »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Filem

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu Tayangan Amal filem Laskar Pelangi (LP) telah diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa.

Saya membawa si sulong dan anakanda yang kedua menikmati keindahan filem ini yang diadaptasi dari novel Lasykar Pelangi. Saya sangat sukakan Lasykar Pelangi! Juga sangat teruja untuk menontonnya walaupun terlambat.

Mana yang lebih hebat? Buku atau filem?

Wajah anak-anak berseri apabila tawaran hebat disuakan kepada mereka. Tentunya satu ‘sesi percutian’ menarik buat mereka yang ditinggalkan saya baru-baru ini. Mereka begitu teruja dengan tawaran yang saya berikan. Jom kita pergi tengok wayang!

Sudah dua kali saya mengizinkan anakanda yang ini menonton wayang di Kuala Lumpur, ditemani sepupunya yang dewasa, menonton cerita kartun. Saya tidak pernah memberi galakan kepada anak-anak untuk menonton wayang, tetapi tidak juga membantah permintaan mereka jika filem yang ditayangkan adalah bersesuaian dengan umur dan minda mereka. Kiranya saya ini fleksibel.

Anak-anak begitu teruja untuk menghadap LP, kerana sudah tahu sedikit jalan ceritanya apabila saya sering menceritakan kepada mereka mengenai buku tersebut.

Saya memang suka bercerita kepada anak-anak, terutama kisah yang mampu memberi teladan yang baik kepada mereka. Kini saya mula mengajar si sulong membaca ‘mini novel’ (yang bersesuaian umur dan mindanya), dengan tujuan memperkasakan penggunaan perbendaharaan kata dan gaya bahasa.

Bukan sekadar mahu mereka mengambil iktibar dari suatu pengkisahan, bahkan cuba menanam sikap suka membaca.

Biarkan mereka memilih, dan ibubapa yang menentukan kesesuaiannya.

Sesekala boleh juga ibubapa memberi beberapa pilihan, dan biar mereka putuskan.

Teruja

Sepuluh minit sebelum tayangan, saya mula mengambil tempat duduk. Dua orang anak dan dua orang anak saudara teruja di bahagian paling depan. Suasana masih lengang dan saya mula mengomel dalam hati, bahawasa inilah padahnya apabila tiada promosi menyeluruh. Atau, sikap Melayu itu sendiri, sangat tidak suka menepati masa!

Saya menerima mesej jemputannya pada sebelah pagi, yang mana tayangan berlangsung pada malamnya. Dengan bahasa, tulisan dan ayat yang ‘kampung’, saya menaip semula jemputan tersebut untuk disebarluaskan kepada sahabat-sahabat yang lain. Buatlah yang terbaik untuk mendapat impak yang baik.

Tiketnya hanya RM2 untuk dewasa, dan percuma bagi kanak-kanak. Murah! Saya sangat mengalu-alukan harga tiketnya itu, tapi wajarkah kita turut membayar RM2 untuk amal jariah?

Maka saya berseru, bayarlah lebih jika anda mampu!

Saya menduga bahawa setiap yang datang menonton itu lebih dari mampu untuk membayar lebih dari RM2.

Apalah RM2 kepada saya, kepada sahabat saya seorang Doktor, kepada sahabat saya yang lain seorang Akauntan, pada malam itu. Itu yang saya kenal, pasti ramai lagi yang datang pada malam itu orang yang hebat-hebat semuanya.

Tidak perlu menunggu berlebihan untuk beramal jariah. Cukup sekadar ada iman, beramallah untuk bekalan akhirat.

Apapun, sangatlah tidak salah untuk tetap membayar RM2, sekiranya mampu apa salahnya jika disuakan RM20. Angka berapa sekalipun, janji ikhlas!

Tidak dinafikan seringkali kita terpaksa berkira-kira untuk mengeluarkan wang. Kehidupan hari ini sememangnya menuntut kepada penggunaan kewangan yang berleluasa. Kadangkala menuntut kita menjadi seorang yang materialistik. Berapapun jumlah wang yang diterima setiap bulan, mampu membuatkan kita sesak nafas dipenghujung tempoh.  

Tidak cukup dengan pendapatan tetap yang sudah ada, kita berkreatif lagi untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Tentunya kita semua menuntut tahap kehidupan yang lebih baik.

Bermula hari ini pula saya mengambil inisiatif untuk memulakan rawatan gigi secara berkala,  maka menuntut status kewangan saya dikemaskini. Saya berazam untuk memiliki gigi yang sihat sehingga ke penghujung usia. Bukan hanya mahu tubuh badan yang sihat, tapi sebenarnya gigi juga perlu sihat. Gigi yang sakit mampu meragut keupayaan tubuh badan yang sihat. Saya tidak mahu lagi mengulangi trauma itu. Ini tekad baru saya.

Saya tidak mahu terlambat. Bukan sekadar mahukan senyuman yang menawan, tapi apa yang lebih penting adalah nafas yang lebih segar sepanjang hayat.

Mendidik

LP mampu mendidik setiap minda kecil bahawa dalam apa jua keadaan hidup sekalipun, ilmu itu haruslah dimiliki walau sesukar manapun. Sesekali tidak boleh menyerah kalah walau keadaan sering menekan kehidupan.

Walau bagaimana terbatasnya kehidupan seseorang itu, setiap individu itu berhak memiliki cita-cita. Keinginan yang kuat untuk mencapai cita-cita tersebut akan mampu menghasilkan prestasi lain sebelum cita-cita asalnya tercapai. Tarikan itu juga memunculkan kemampuan-kemampuan besar yang tersembunyi dan keajaiban-keajaiban di luar jangkaan.

Alasan klasik daripada ibubapa yang tidak mampu dari sudut kewangan tidak boleh digunapakai lagi. Pendidikan adalah satu kewajipan. Setiap ibubapa harus bersedia untuk berani melawan sebarang kesulitan. Teguhkanlah pendirian anak-anak tentang ketekunan dan keinginan untuk menggapai cita-cita yang lebih cemerlang dalam kehidupan mereka. Keyakinan untuk mencapai kebahagiaan dalam kehidupan harusnya sentiasa ada walaupun dibataskan dengan segala kepayahan, paling utama ibubapa sanggup berkorban dalam apa jua situasi.

Menyusuri LP membawa kita lebih meyakini bahawa setiap manusia itu mempunyai jalan tersendiri yang tentunya berbeza-beza untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan mereka.

Guru

Tugas mulia sebagai seorang guru juga mendapat pengiktirafan yang baik dalam LP. Guru seharusnya seorang yang pandai, berkarisma dan berpandangan jauh ke hadapan. Mereka bolehlah diibaratkan sebagai pahlawan yang sangat berjasa, mentor yang sebenar, idola yang dikagumi, pengajar yang dihormati, juga merangkap sahabat kepada semua murid-murid.

Guru juga berperanan menyebarluaskan peribadi yang baik, dan mengelak daripada melakukan perilaku yang buruk di hadapan pelajar-pelajar.  

Seorang guru juga perlu mengajar nilai-nilai luhur kepada setiap murid, agar tercermin perilaku baik mereka adalah kerana kesedaran peribadi. Lebih terhormat kiranya guru turut menekankan kepentingan solat, terutama solat tepat pada waktunya.

Betapa mulianya tugas guru apabila pahalanya tidak pernah putus sehingga ke akhir hayat!

Solat

Solat tepat pada waktunya secara langsung akan mendidik kita menghargai masa. Sewajarnya kita perlu menepati waktu yang telah ditetapkan pada setiap solat fardhu, dan sesekali tidak akan melengahkannya. Namun, tentu sekali dalam situasi masa kini, teramat mendukacitakan kerana majoriti di kalangan Muslim selalu amat melambat-lambatkan solat. Bukan hanya kepada orang awam, namun turut terpalit sama kepada agamawan.

Lebih teruk kiranya Muslim itu sendiri tidak memahami keperluan menunaikan solat tepat pada waktunya, malah menyamakan saja mana-mana waktu untuk mendirikan solat, asal saja bersolat.

Pemahaman menyamakan mana-mana waktu untuk mendirikan solat fardhu adalah satu kefahaman primitif. Pemikiran sebegini sangat silap kerana keutamaan dalam Islam adalah menepati waktu solat. Tabiat melengahkan solat hanya akan merugikan diri sendiri. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu, kerana di akhirat kelak, perkara pertama disoal Allah s.w.t adalah SOLAT! Jika sempurna solat seseorang itu, insyaAllah sempurnalah amalan-amalannya yang lain.  

Unik

Keindahan yang unik turut disajikan pada interaksi di antara watak-watak dalam LP. Tersembunyi daya tarikan corak pemikiran mereka yang berlawanan terhadap pendapat umum. Kerana sebuah kehidupan yang sentiasa mengasak, maka mereka membesar dalam persekitaran yang terbatas, baik dari segi kemelaratan orang Melayu, lakaran rasa belas kasihan dan kesedihan yang amat menyentuh emosi.  

Setiap jawapan yang dipaparkan dalam LP akan pula menarik minat untuk menghasilkan beberapa persoalan baru. Persoalan tersebut pula memiliki sejumlah jawapan, yang akan mengembangkan lagi kepada pertanyaan baru dalam deretan yang bersifat mengembangkan minda. Jawapan-jawapan yang diberikan membantu mencerdaskan minda kita yang melihat filemnya, mahupun membaca novelnya.

Seorang cerdas mampu melihat sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Mereka pintar menghubungkan setiap informasi kepada konteks yang lebih luas, juga mudah dalam berbahasa, serta efektif dalam berkomunikasi. Dengan lebih mudah, mereka mampu menggambarkan sesuatu dengan mengambil contoh yang tepat. Mereka juga tidak hanya memiliki satu sasaran dalam kehidupannya, tetapi sentiasa memiliki perancangan alternatif.

Melayu

LP juga banyak memberi gambaran tentang masyarakat Melayu. Mereka berperibadi sederhana, sinonim persekitaran mereka yang juga sedan-sedan sahaja.

Jika di suatu masa dahulu, biasanya masyarakat Melayu banyak menerima pengetahuan daripada para guru mengaji, orang-orang tua, dan para Jamaah di surau-surau, tentunya sesi kuliah di antara Mahgrib dan Isya’, yang banyak menghikayatkan sirah para nabi, para sahabat dan perjuangan mendaulatkan Islam.

Namun, orang Melayu wujud dalam masyarakat yang serba kekurangan, dan tidak malu-malu berada dalam lingkungan kawasan yang kotor. Saya boleh akuinya bahawa orang Melayu agak pemalas dalam membersihkan kawasan persekitaran mereka. Jika adapun sesi pembersihan dilaksanakan, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti tersebut. Bukan hanya di rumah, tapi juga di tempat kerja, hatta di pejabat-pejabat sekalipun.

Saya punya pengalaman bahawa kebanyakan pejabat tidak teratur kedudukannya dan semak keadaannya, bukan hanya pada aturan fail, tetapi sehingga kepada bekas-bekas makanan yang tidak dibasuh, sehingga mengeluarkan aroma yang memenatkan! Terima kasih kepada konsep 5S yang banyak membantu kakitangan menyediakan ruang kerja yang lebih selesa dan kemas.

~ Pemalas  

Masyarakat Melayu juga sebenarnya masih terikut-ikut untuk lebih mengutamakan anak-anak lelaki berbanding anak-anak perempuan, sehingga menghasilkan lelaki Melayu yang pemalas. Dalam masyarakat hari ini, kita mampu melihat bahawa ramai wanita Melayu keluar bekerja untuk menyara keluarga, dari seringan-ringan pekerjaan sehinggalah melakukan kerja-kerja berat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

Wanita-wanita berkerjaya inilah apabila kembali ke rumah, terpaksarela meneruskan agenda mereka untuk menguruskan rumahtangga seperti memasak, menghidang, membersih, dan segala aneka kerja-kerja yang kelihatan remeh, tetapi jika tidak diurus dengan baik mampu mengkucar-kacirkan sebuah keluarga. Si suami pula masih dilihat gemar menghabiskan masa untuk berehat-rehat ketika si isteri kepenatan menguruskan sebuah keluarga.

Namun, bukanlah semua lelaki Melayu itu pemalas, dan bukan semua juga wanita Melayu itu rajin.

~ Hiburan  

Dalam babak lain diperlihatkan masyarakat Melayu sebagai golongan yang sukakan hiburan, dan boleh berhimpun seramainya untuk melihat acara-acara hiburan.

Lebih parah apabila yang bergelar suami masih hebat dalam adegan bersantai dan menghabiskan masa berbual dengan rakan-rakan, terutamanya di kedai-kedai makan, mengalahkan si bujang.

~ Politik

Dalam berpolitik pula, orang Melayu digambarkan susah untuk fokus. Mereka gemar berpolitik sesama sendiri dan kurang berusaha untuk mencapai tujuan asal dalam berpolitik. Mereka sukar menerima hakikat jika telah melakukan kesalahan, dan amat jarang benar yang mahu menilai diri sendiri. Mereka sering sahaja berbeza pendapat dan seolah-olah dengan sengaja mewujudkan permusuhan yang langsung tidak membina, bahkan dengan rela mendahulukan kepentingan peribadi asal boleh kekal dalam arena.

Sentiasa pula berebut-rebut untuk menjadi pemimpin. Paling dikesalkan apabila yang bodoh sombong itulah paling lantang dan kelihatan pintar jika berbicara. Akhirnya kerana pemimpin dipilih daripada kalangan korup, maka tidak pun pernah terbentuk satu pasukan pimpinan yang mantap.

Akhirnya, marilah kita sama-sama fikirkan, siapakah kita sebagai Melayu?

Sekadar Melayu? atau Muslim? atau Mu’min?     

********************

Kami diajar supaya tidak bercakap jika azan berkumandang.

“Diam dan hayatilah panggilan menuju kemenangan itu…,” pesan ibu bapa kami.

(Lasykar Pelangi)

12.56pm

15 Responses

  1. salam, Pn. Nik & semua.
    saya suka menonton.
    harap sgt industri hiburan tanah air kita lebih terbuka hati mereka untuk menghasilkan produk yang bermutu terutamanya untuk Islam.

    • W’lam…

      Saya lebih suka membaca, berbanding suami yang lebih suka menonton.
      Tentunya jarang sekali menonton filem melayu, kerana selalu sangat temanya adalah cinta yang mengada-ngada.
      Saya juga sangat mengharapkan industri perfileman tanahair lebih banyak menghasilkan filem yang memaparkan imej Islam yang lebih baik.

  2. “Akhirnya kerana pemimpin dipilih daripada kalangan korup, maka tidak pun pernah terbentuk satu pasukan pimpinan yang mantap.

    Akhirnya, marilah kita sama-sama fikirkan, siapakah kita sebagai Melayu?”

    p/s :tahniah Puan, satu kenyataan yang membangkitkan kesedaran kita semua.

  3. –masih menahan diri dari menonton lasykar pelangi, kerna belum dihabisin bukunya😀 —

    • apa sudah habisin bukunya?🙂

      sangat wajar dihabisin bukunya terlebih dahulu untuk menghayati filemnya, yang saya kira ada sesetengah scene kelihatan longgar dan tidak mampu dihayati dengan baik kiranya tidak dirujuk buku terlebih dahulu.

  4. tolong jawab geteh gat hak kick dok kata puak abang jat dok pera anak beranak tok guru ni, sekian haribulan masuk duit beratus ribu ke
    nik abduh,lepas tu anak beranak abg jat dok kekah habis hutan digua musang nu,ansuran beribu rial pun puak pak jat bayar,hak kita peleknya dengan nama bank,haribulan,time masok kick tulis.ginilah we ,ka;au sah tak betul hak dia kata tu, kita kena saman dia.

  5. ate dah tak ada modalke nak wat cite baru…..

  6. Saya rasa kalau alia ye ye sangat dengan masalah tu berjuang lah dengannya,,,,jangan cakap je bagaikan nak mencipta fitnah. kalau cakap tanpa fakta, elok jer pergi cakap dalam zoo tuh.

  7. Assalamualaikum….Akak……sudah lama saya tidak singgah di sini, rasanya rindu lah pulak. Saya masih kekal lagi dengan nick name ini…..dan semakin lama sudah saya tinggalkan alam blog, dan kembali sekali sekala….dan saya lihat di blog akak ini semakin baik…dan diharap ayahand dan suami tercinta dan keluarga dalam keadaan sihat tenang dan selamat……Takbir..

  8. assalamualaikum..
    sy telah menonton laskar pelangi 2,3 kali…
    meskipun begitu sy masih menyimpannya di dlm laptop sy.
    sy tanamkan dlm hati, apabila sy sudah memiliki anak2 suatu hari nanti, sy mesti menontonkannya kepada putera dan puteri sy. krn mesejnya yg terlalu mendalam. inilah cerita yg wajib ditonton oleh anak2 kita.

  9. W’lam…

    Kadang-kadang anak-anak juga perlu disuakan makna sebuah kemiskinan dan harapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: