• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    April 2010
    S M T W T F S
    « Mar   May »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    252627282930  

Menulis

Salam Ukhuwah…

Akhirnya saya punya masa lagi untuk menulis!

Berkongsi idea dengan ramai sahabat di luar sana untuk memberi erti pada sebuah kehidupan. Menulis sesuatu yang boleh mencambahkan lagi kebaikan di antara kita semua.

Pengetahuan juga boleh ditambah dengan menulis, membantu saya untuk berkongsi apa saja idea yang ingin diluahkan. Semoga dengan menulis mampu membantu diri ini menyebarluaskan sekadar mampu ilmu Islam yang berserakan di bumi ini, insyaAllah.

Sebenarnya, saya keterbatasan waktu untuk menulis. Jika kita renung-renungkan, masa 24 jam sehari yang dikurniakan ini tidak mencukupi, untuk dibalasi dengan tugasan yang dibebani keatas setiap daripada kita, itupun jika kita tahu menghargai masa. Maka, janganlah sesekali kita merasakan kosongnya hidup ini, lebih parah apabila memenuhi masa yang ada dengan perkara yang sia-sia, membukitkan lagi dosa yang telahpun menggunung!

Apa yang saya mahu tulis kali ini?

Tidak tahu bagaimana mahu mulanya, saya masih mencari-cari kata yang sesuai. Menulis sepatah dua kata, merangkak-rangkak, untuk memanjangkan lagi perkongsian ini. Minda berputar-putar, mengajak jemari mengetuk-ngetuk a, b, c …

Sukar juga…saya kehilangan rentak kerana berhenti agak lama dari menulis.

Ada sesuatu yang saya ingin kongsikan bersama, agak bahang, namun jarang dibincang.

Rumahtangga  

Ianya sebuah rumahtangga. Perihal ketidaksafahaman, penderaan fizikal mahupun mental, skandal, penceraian, poligami, dan banyak lagi masalah lain yang melingkarinya. Paling saya berapi, hubungan terkutuk isteri orang dengan suami orang! Jikapun mereka ini yang tentunya mengaku Muslim tidak tahu apa itu Hudud, apakah mereka juga tidak punya sedikit iman untuk memahami kenapa Islam menganjurkan sebuah perkahwinan?

Perkahwinan bertujuan menjaga kehormatan.

Perkahwinan bertujuan menghalalkan persetubuhan.

Perkahwinan bertujuan mencari ketenangan dan  kebahagiaan dalam kehidupan.

Itu hanya sekadar beberapa tujuan asas sebuah perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Saya percaya sahabat di luar sana telahpun memahami kenapa kita berkahwin.

Maka, apa pula tujuannya kita berkahwin? Tentunya bukan sekadar untuk seks semata, tetapi juga sebagai hiburan kepada jiwa-jiwa yang bersatu didalamnya. Suami isteri perlu menjadi tempat untuk berlibur dan berseronok. Sentiasa berwajah ceria di antara satu sama lain, akan hadirlah ketenangan di hati, maka lebih bermaknalah hidup ini. Secara tidak langsung akan membantu kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap amal ibadat kepada Allah S.W.T., khususnya  solat yang menjadi tiang agama.

Seks dalam perkahwinan merupakan terjemahan rasa cinta yang disalurkan melalui syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan persetubuhan di antara suami dengan isteri, dengan izinNya, akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia yang soleh. Inilah yang dimaksudkan sebagai Mawaddah, yakni keinginan untuk melakukan persetubuhan di antara suami dengan isteri.

Namun syahwat manusia ini ada hadnya. Lazimnya apabila wanita telah melewati umur 50-an dan lelaki pula telah mencapai umur 60-an, maka Mawaddah ini akan berkurangan. Maka, Allah menggantikannya dengan Rahmah, yakni kasih sayang yang tulus ikhlas daripada hati setiap pasangan yang berkahwin. Tentunya nilai Rahmah ini lebih tinggi kedudukannya, kerana cinta, kasih dan sayang antara suami dengan isteri bukan lagi berasaskan syahwat, tetapi ia merupakan sebuah perasaan yang lahir dari jiwa yang bersih, yang mampu melahirkan rasa bahagia untuk hidup bersama sehingga ke akhir hayat.

Pasangan

Hajat untuk membina rumahtangga tentunya bermula apabila kita sudah menemui calon pasangan. Bagaimana mahu mencari pasangan terbaik telahpun diberi tunjuk ajar dalam Islam. Yakni mencari calon isteri adalah kerana empat perkara, kerana harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan juga kerana agamanya. Namun, calon isteri yang terbaik adalah yang mengutamakan agamanya, nescaya sejahteralah rumahtangga yang dibina itu.

Bagaimana pula memilih calon suami? Islam juga memberi tunjuk ajar kepada kita semua panduan untuk memilih bakal suami yang terbaik. Seorang wanita perlu terlebih dahulu mengetahui latar belakang lelaki yang dihajatinya. Tentu dari sudut akhlak dan agamanya, sebelum dipanjangkan kepada perihal harta, pangkat dan kedudukannya. Pengetahuan keatas peribadi calon suami adalah sangat penting, kerana lelaki inilah yang bakal menjadi ketua dalam rumahtangga yang akan dibinanya.

Jika hanya mengambil mana-mana lelaki tanpa menyelidik terlebih dahulu peribadinya, dikhuatiri kelak si isteri tersebut akan menerima kesan yang teruk apabila suami tersebut sebenarnya adalah seorang lelaki yang durjana sifatnya. Lelaki yang buruk peribadinya tiada segan silu untuk mengabaikan tanggungjawab dalam perkahwinannya, seperti lupa kepada hak-hak isteri, tidak menggauli isteri dengan sempurna, malah punya skandal merata-rata.

Bercerita…

Saya akan bercerita secara umum, insyaAllah sesekali tidak akan menyentuh secara jelas identiti mana-mana pihak. Mudah-mudahan apabila saya cuba sedaya upaya menjaga aib seseorang, maka Allah akan membantu untuk menghijabkan keaiban yang ada pada saya daripada pandangan umum, insyaAllah.

Beberapa kali saya pernah dihadapkan dengan permasalahan rumahtangga, baik yang datang sendiri kepada saya mahupun sekadar chatting, dan semuanya bercerita, seterusnya mengharapkan sedikit suara daripada saya perihal permasalahan mereka, lantas hari ini saya cuba berkongsi sedikit rasa bersama sahabat semua apa sebenarnya yang kita mahukan dalam sebuah rumahtangga. Saya menulis bukan bermakna rumahtangga saya yang terbaik, tapi marilah kita bersama berkongsi sesuatu untuk membina rumahtangga yang lebih baik.

Kiranya saya ini seorang pendengar yang baik, maka banyak mendengar permasalahan persekitaran yang datang berkunjung. Saya mengharapkan cukuplah sekadar saya mendengar untuk meringankan beban perasaan si pencerita, tetapi amatlah berat kiranya apabila mereka mendesak, apa yang perlu dibuat?

Saya simpulkan, rumahtangga adalah milik peribadi, maka pemilik itulah yang lebih mengetahui perihal bagaimana mahu menyelesaikan permasalahan yang melandanya.

Poligami

Beberapa orang sahabat lelaki saya telahpun mengamalkan poligami, tentunya isteri mereka adalah sahabat saya juga.

Saya sebagai perempuan, tentunya tidak suka kepada poligami. Saya juga percaya bahawa ramai lagi lelaki di luar sana juga tidak betah dengan isu poligami ini.

Maka, di musim ini, jarang amat seorang isteri berlapang hati apabila mereka dipaksa menerima amalan poligami. Para isteri ini mula didera mentalnya, disalahkan mereka apabila seolah tidak redha dengan apa yang diujiankan oleh Allah.

Persolannya, kenapa seringkali si isteri menolak amalan poligami? Tentunya secara jelas, bukan semua, tetapi sebahagian suami bukanlah layak untuk berpoligami, hanya layak pada skala ukuran nafsu semata.

Pada saya, kebanyakan suami harus berfikir lebih panjang sebelum mengamalkan poligami. Alasan sunnah sangatlah lapuk, maka berpijaklah pada realiti!

Bercakap perihal poligami amatlah menyeronokkan mana-mana suami. Tidak pula saya detailkan dimana keseronokannya, tapi saya amat pasti keseronokan itu hanya ada pada nafsu, bukannya tanggungjawab!

Jika ditanya saya, sepatutnya seorang suami yang sedang bercita-cita untuk mengamalkan poligami, perlu terlebih dahulu berjaya mendidik isteri sehingga si isteri tersebut meyakini bahawa poligami tersebut adalah terbaik untuk dirinya. Jika berbincang pun sudah menjadi susah, mengkhabarkan untuk berkahwin lagi tentunya lebih menyusahkan. Itu petunjuk yang jelas bahawa si suami tersebut tidak layak untuk mengamalkan poligami.

Banyak alasannya adalah untuk menjaga hati isteri, anak-anak, mentua, dan mungkin mula belajar untuk menipu yang lain-lainnya. Jika ada kemahuan untuk berpoligami, seharusnya ada kesungguhan juga untuk memahamkan kenapa ‘saya harus berpoligami’ kepada isteri terutamanya dan ahli keluarga lain. Jika tiada alasan yang benar-benar munasabah, maka alasan yang paling tepat adalah nafsu!

Saat ini dimana letaknya pemikiran waras si suami?

Saat itu juga, si isteri mula dirundung duka.

Tentunya si isteri ini akan lebih mudah mengadu kepada sahabat-sahabatnya tentang permasalahan yang mengganggu rumahtangga mereka. Jangan salahkan wanita ini kerana itu adalah fitrah kejadian wanita yang berhati lembut. Mereka ini mungkin akan bercerita perihal pasangan masing-masing, bukan kerana mahu menjaja aib suami, tetapi memerlukan sedikit khidmat nasihat untuk mereka cuba memperbaiki kehidupan rumahtangga mereka itu.

Sememangnya teramat simpati jika ada air mata si isteri yang tumpah di hadapan saya kerana perihal poligami.

Dalam situasi mahu mengamalkan poligami, saya tidak akan menyalahkan si suami 100%, ada juga salahnya datang daripada si isteri. Antara sebab yang dapat saya kesan, mungkin si isteri sudah mula mengambil mudah dan leka dalam menguruskan keperluan sebenar seorang suami, yang saya pastikannya sebagai layanan, belaian dan seks!

Sepatutnya, antara suami isteri tidak boleh memendam perasaan. Jika ada yang tidak berpuas hati di antara satu sama lain, elok jangan disimpan. Jika sudah dipendam bertahun-tahun lamanya, ia hanya akan mewujudkan satu penyakit. Maka jalan yang agak sering dicari untuk mengubatinya, menumpang kasih kepada individu lain, walau pada asalnya untuk mencurah perasaan, namun kelamaan sudah tentu kasih akan tercipta tanpa disengajakan. Mangsanya tidak mengenal siapa, daripada anak dara, isteri orang, janda, duda, suami orang, malah teruna sekalipun. Ketika kasih terpaut, manusia sering saja hilang kewarasan!

Ada juga masalah rumahtangga yang tercipta kerana internet, lebih-lebih lagi di pejabat. Internet yang disediakan secara percuma, telah banyak disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri. Bukan hanya sekadar berchatting, malah lebih dari itu, sehingga mula menyusuri laman-laman lucah yang tiada noktahnya. Muslim apakah ini?

Berbaliklah kepada tugas kita sebagai seorang Muslim, suami isteri, ibu bapa, dan juga ahli masyarakat yang mahukan yang terbaik dalam mewujudkan satu generasi yang sihat pada setiap ketika.

Keluarga

Dalam situasi hari ini, amalan poligami dalam masyarakat kita sering saja mewujudkan perihal institusi kekeluargaan yang tidak sihat. Institusi perkahwinan sewajarnya menjadi tapak yang kukuh untuk kita mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih baik. Jangan sesekali mengambil mudah kepentingan perancangan masa depan sesebuah keluarga, kerana hasilan produk daripada rumahtangga inilah yang bakal menentukan kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan beragama, moral, kejiwaan dan etika bermasyarakat, seterusnya menjadi asas kepada pembinaan Negara.

Saya juga agak merasa terkilan kerana sejak kebelakangan ini amalan poligami agak berleluasa di kalangan pasangan yang baru setahun jagung berkahwin.

Tidaklah saya tahu keperluannya, tetapi daripada pemerhatian umum, tidakkah pasangan yang baru berkahwin ini masih tidak lagi berkemampuan, terutamanya dari aspek kewangan?

Suami yang mengamalkan poligami dengan status kewangan yang masih caca marba dan punya anak yang beranak-pinak, apa sebenarnya kefahaman mereka mengenai tanggungjawab dalam berpoligami? Tidakkah tindakan mereka ini akan menambahkan bebanan? Bukan hanya kepada dirinya sendiri, malah kepada keluarga yang sedia ada dan tentunya kepada keluarga yang baru dibina.

Dalam menguruskan sebuah rumahtangga yang sedia ada, saya kira sumber kewangan adalah antara faktor utama dalam membangunkan sesebuah keluarga. Sepatutnya tempoh waktu bersama yang masih pendek ini harus disirami lagi dengan kasih sayang yang tiada taranya, bukan hanya kepada isteri, tetapi juga kepada anak-anak kecil yang tentunya amat memerlukan perhatian penuh daripada seorang ayah.

Bagaimana jika suami itu sudah merasa ekonominya kukuh untuk membina sebuah lagi keluarga lain? Dari satu aspek, tentu jawapannya, ya! Persoalannya, apakah poligami hanya merujuk kepada status ekonomi?

Sedikit kesimpulan daripada pemerhatian umum saya; antara penyebab kenapa suami mengamalkan poligami adalah kerana cuba mencari cabaran dan keseronokan baru dalam kehidupan, bukan mereka tidak peroleh dalam rumahtangga yang sedia ada, tetapi mereka sendiri sudah gagal untuk mencipta keindahan dalam berumahtangga itu. Sepatutnya sebagai suami, merekalah yang perlu menjadi teraju utama bagaimana mahu rumahtangga itu berada di landasan yang sebenar. Mereka sangat perlu membawa watak sebagai seorang ketua yang berwibawa.

Dalam berumahtangga, suami perlu tahu mendepani permasalahan, tahu bagaimana menguruskan kewangan keluarga, tahu bagaimana mendidik isteri dan anak-anak, tahu mencurahkan kasih sayang kepada watak-watak yang sepatutnya, tahu untuk menyelesakan kehidupan berkeluarga, dan juga tahu bagaimana untuk menjayakan watak sebagai ketua keluarga yang disegani oleh orang-orang di bawah pimpinannya. Inilah sebenarnya seorang suami!

Penyelesaian  

Apa jalan penyelesaiannya dalam menguruskan konflik rumahtangga? Ada jawapannya.

Bukan di tangan saya, tetapi pada setiap watak dalam rumahtangga tersebut.

Berhati-hatilah juga kepada mana-mana wanita yang sedang berhajat mahu dipoligamikan. Tilik-tiliklah dahulu ‘kekuatan sebenar suami orang’ yang anda ingin berkongsi suami itu.

Begitulah juga wahai suami! Fikirkan yang terbaik untuk keluarga anda yang sedang mengharap belas ehsan, kasih sayang dan perhatian yang menyeluruh daripada anda. 

Tiada paksaan dalam berpoligami, yang ada sebenarnya adalah kemahuan.

Sekali lagi, saya menulis bukan kerana saya yang terbaik, tetapi untuk kesedaran saya sekeluarga, juga kepada sahabat-sahabat di luar sana. Sayangilah keluarga yang telah kita bina dengan susah payah ini.

Kita harus sentiasa bersedia untuk menjadi pasangan yang terbaik, dan ibubapa yang cemerlang kepada zuriat yang telah kita lahirkan dari sebuah tautan kasih sayang.

Kata ayah saya, usah berpoligami andainya mampu merosakkan keluarga yang sedia ada!

“Ya Allah, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak sebagai penyejuk mata tenteram jiwa, dan jadikanlah aku sebagai imam bagi ahli keluargaku yang bertaqwa”

11.40pm