• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    April 2010
    S M T W T F S
    « Mar   May »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    252627282930  

Menulis

Salam Ukhuwah…

Akhirnya saya punya masa lagi untuk menulis!

Berkongsi idea dengan ramai sahabat di luar sana untuk memberi erti pada sebuah kehidupan. Menulis sesuatu yang boleh mencambahkan lagi kebaikan di antara kita semua.

Pengetahuan juga boleh ditambah dengan menulis, membantu saya untuk berkongsi apa saja idea yang ingin diluahkan. Semoga dengan menulis mampu membantu diri ini menyebarluaskan sekadar mampu ilmu Islam yang berserakan di bumi ini, insyaAllah.

Sebenarnya, saya keterbatasan waktu untuk menulis. Jika kita renung-renungkan, masa 24 jam sehari yang dikurniakan ini tidak mencukupi, untuk dibalasi dengan tugasan yang dibebani keatas setiap daripada kita, itupun jika kita tahu menghargai masa. Maka, janganlah sesekali kita merasakan kosongnya hidup ini, lebih parah apabila memenuhi masa yang ada dengan perkara yang sia-sia, membukitkan lagi dosa yang telahpun menggunung!

Apa yang saya mahu tulis kali ini?

Tidak tahu bagaimana mahu mulanya, saya masih mencari-cari kata yang sesuai. Menulis sepatah dua kata, merangkak-rangkak, untuk memanjangkan lagi perkongsian ini. Minda berputar-putar, mengajak jemari mengetuk-ngetuk a, b, c …

Sukar juga…saya kehilangan rentak kerana berhenti agak lama dari menulis.

Ada sesuatu yang saya ingin kongsikan bersama, agak bahang, namun jarang dibincang.

Rumahtangga  

Ianya sebuah rumahtangga. Perihal ketidaksafahaman, penderaan fizikal mahupun mental, skandal, penceraian, poligami, dan banyak lagi masalah lain yang melingkarinya. Paling saya berapi, hubungan terkutuk isteri orang dengan suami orang! Jikapun mereka ini yang tentunya mengaku Muslim tidak tahu apa itu Hudud, apakah mereka juga tidak punya sedikit iman untuk memahami kenapa Islam menganjurkan sebuah perkahwinan?

Perkahwinan bertujuan menjaga kehormatan.

Perkahwinan bertujuan menghalalkan persetubuhan.

Perkahwinan bertujuan mencari ketenangan dan  kebahagiaan dalam kehidupan.

Itu hanya sekadar beberapa tujuan asas sebuah perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Saya percaya sahabat di luar sana telahpun memahami kenapa kita berkahwin.

Maka, apa pula tujuannya kita berkahwin? Tentunya bukan sekadar untuk seks semata, tetapi juga sebagai hiburan kepada jiwa-jiwa yang bersatu didalamnya. Suami isteri perlu menjadi tempat untuk berlibur dan berseronok. Sentiasa berwajah ceria di antara satu sama lain, akan hadirlah ketenangan di hati, maka lebih bermaknalah hidup ini. Secara tidak langsung akan membantu kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap amal ibadat kepada Allah S.W.T., khususnya  solat yang menjadi tiang agama.

Seks dalam perkahwinan merupakan terjemahan rasa cinta yang disalurkan melalui syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan persetubuhan di antara suami dengan isteri, dengan izinNya, akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia yang soleh. Inilah yang dimaksudkan sebagai Mawaddah, yakni keinginan untuk melakukan persetubuhan di antara suami dengan isteri.

Namun syahwat manusia ini ada hadnya. Lazimnya apabila wanita telah melewati umur 50-an dan lelaki pula telah mencapai umur 60-an, maka Mawaddah ini akan berkurangan. Maka, Allah menggantikannya dengan Rahmah, yakni kasih sayang yang tulus ikhlas daripada hati setiap pasangan yang berkahwin. Tentunya nilai Rahmah ini lebih tinggi kedudukannya, kerana cinta, kasih dan sayang antara suami dengan isteri bukan lagi berasaskan syahwat, tetapi ia merupakan sebuah perasaan yang lahir dari jiwa yang bersih, yang mampu melahirkan rasa bahagia untuk hidup bersama sehingga ke akhir hayat.

Pasangan

Hajat untuk membina rumahtangga tentunya bermula apabila kita sudah menemui calon pasangan. Bagaimana mahu mencari pasangan terbaik telahpun diberi tunjuk ajar dalam Islam. Yakni mencari calon isteri adalah kerana empat perkara, kerana harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan juga kerana agamanya. Namun, calon isteri yang terbaik adalah yang mengutamakan agamanya, nescaya sejahteralah rumahtangga yang dibina itu.

Bagaimana pula memilih calon suami? Islam juga memberi tunjuk ajar kepada kita semua panduan untuk memilih bakal suami yang terbaik. Seorang wanita perlu terlebih dahulu mengetahui latar belakang lelaki yang dihajatinya. Tentu dari sudut akhlak dan agamanya, sebelum dipanjangkan kepada perihal harta, pangkat dan kedudukannya. Pengetahuan keatas peribadi calon suami adalah sangat penting, kerana lelaki inilah yang bakal menjadi ketua dalam rumahtangga yang akan dibinanya.

Jika hanya mengambil mana-mana lelaki tanpa menyelidik terlebih dahulu peribadinya, dikhuatiri kelak si isteri tersebut akan menerima kesan yang teruk apabila suami tersebut sebenarnya adalah seorang lelaki yang durjana sifatnya. Lelaki yang buruk peribadinya tiada segan silu untuk mengabaikan tanggungjawab dalam perkahwinannya, seperti lupa kepada hak-hak isteri, tidak menggauli isteri dengan sempurna, malah punya skandal merata-rata.

Bercerita…

Saya akan bercerita secara umum, insyaAllah sesekali tidak akan menyentuh secara jelas identiti mana-mana pihak. Mudah-mudahan apabila saya cuba sedaya upaya menjaga aib seseorang, maka Allah akan membantu untuk menghijabkan keaiban yang ada pada saya daripada pandangan umum, insyaAllah.

Beberapa kali saya pernah dihadapkan dengan permasalahan rumahtangga, baik yang datang sendiri kepada saya mahupun sekadar chatting, dan semuanya bercerita, seterusnya mengharapkan sedikit suara daripada saya perihal permasalahan mereka, lantas hari ini saya cuba berkongsi sedikit rasa bersama sahabat semua apa sebenarnya yang kita mahukan dalam sebuah rumahtangga. Saya menulis bukan bermakna rumahtangga saya yang terbaik, tapi marilah kita bersama berkongsi sesuatu untuk membina rumahtangga yang lebih baik.

Kiranya saya ini seorang pendengar yang baik, maka banyak mendengar permasalahan persekitaran yang datang berkunjung. Saya mengharapkan cukuplah sekadar saya mendengar untuk meringankan beban perasaan si pencerita, tetapi amatlah berat kiranya apabila mereka mendesak, apa yang perlu dibuat?

Saya simpulkan, rumahtangga adalah milik peribadi, maka pemilik itulah yang lebih mengetahui perihal bagaimana mahu menyelesaikan permasalahan yang melandanya.

Poligami

Beberapa orang sahabat lelaki saya telahpun mengamalkan poligami, tentunya isteri mereka adalah sahabat saya juga.

Saya sebagai perempuan, tentunya tidak suka kepada poligami. Saya juga percaya bahawa ramai lagi lelaki di luar sana juga tidak betah dengan isu poligami ini.

Maka, di musim ini, jarang amat seorang isteri berlapang hati apabila mereka dipaksa menerima amalan poligami. Para isteri ini mula didera mentalnya, disalahkan mereka apabila seolah tidak redha dengan apa yang diujiankan oleh Allah.

Persolannya, kenapa seringkali si isteri menolak amalan poligami? Tentunya secara jelas, bukan semua, tetapi sebahagian suami bukanlah layak untuk berpoligami, hanya layak pada skala ukuran nafsu semata.

Pada saya, kebanyakan suami harus berfikir lebih panjang sebelum mengamalkan poligami. Alasan sunnah sangatlah lapuk, maka berpijaklah pada realiti!

Bercakap perihal poligami amatlah menyeronokkan mana-mana suami. Tidak pula saya detailkan dimana keseronokannya, tapi saya amat pasti keseronokan itu hanya ada pada nafsu, bukannya tanggungjawab!

Jika ditanya saya, sepatutnya seorang suami yang sedang bercita-cita untuk mengamalkan poligami, perlu terlebih dahulu berjaya mendidik isteri sehingga si isteri tersebut meyakini bahawa poligami tersebut adalah terbaik untuk dirinya. Jika berbincang pun sudah menjadi susah, mengkhabarkan untuk berkahwin lagi tentunya lebih menyusahkan. Itu petunjuk yang jelas bahawa si suami tersebut tidak layak untuk mengamalkan poligami.

Banyak alasannya adalah untuk menjaga hati isteri, anak-anak, mentua, dan mungkin mula belajar untuk menipu yang lain-lainnya. Jika ada kemahuan untuk berpoligami, seharusnya ada kesungguhan juga untuk memahamkan kenapa ‘saya harus berpoligami’ kepada isteri terutamanya dan ahli keluarga lain. Jika tiada alasan yang benar-benar munasabah, maka alasan yang paling tepat adalah nafsu!

Saat ini dimana letaknya pemikiran waras si suami?

Saat itu juga, si isteri mula dirundung duka.

Tentunya si isteri ini akan lebih mudah mengadu kepada sahabat-sahabatnya tentang permasalahan yang mengganggu rumahtangga mereka. Jangan salahkan wanita ini kerana itu adalah fitrah kejadian wanita yang berhati lembut. Mereka ini mungkin akan bercerita perihal pasangan masing-masing, bukan kerana mahu menjaja aib suami, tetapi memerlukan sedikit khidmat nasihat untuk mereka cuba memperbaiki kehidupan rumahtangga mereka itu.

Sememangnya teramat simpati jika ada air mata si isteri yang tumpah di hadapan saya kerana perihal poligami.

Dalam situasi mahu mengamalkan poligami, saya tidak akan menyalahkan si suami 100%, ada juga salahnya datang daripada si isteri. Antara sebab yang dapat saya kesan, mungkin si isteri sudah mula mengambil mudah dan leka dalam menguruskan keperluan sebenar seorang suami, yang saya pastikannya sebagai layanan, belaian dan seks!

Sepatutnya, antara suami isteri tidak boleh memendam perasaan. Jika ada yang tidak berpuas hati di antara satu sama lain, elok jangan disimpan. Jika sudah dipendam bertahun-tahun lamanya, ia hanya akan mewujudkan satu penyakit. Maka jalan yang agak sering dicari untuk mengubatinya, menumpang kasih kepada individu lain, walau pada asalnya untuk mencurah perasaan, namun kelamaan sudah tentu kasih akan tercipta tanpa disengajakan. Mangsanya tidak mengenal siapa, daripada anak dara, isteri orang, janda, duda, suami orang, malah teruna sekalipun. Ketika kasih terpaut, manusia sering saja hilang kewarasan!

Ada juga masalah rumahtangga yang tercipta kerana internet, lebih-lebih lagi di pejabat. Internet yang disediakan secara percuma, telah banyak disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri. Bukan hanya sekadar berchatting, malah lebih dari itu, sehingga mula menyusuri laman-laman lucah yang tiada noktahnya. Muslim apakah ini?

Berbaliklah kepada tugas kita sebagai seorang Muslim, suami isteri, ibu bapa, dan juga ahli masyarakat yang mahukan yang terbaik dalam mewujudkan satu generasi yang sihat pada setiap ketika.

Keluarga

Dalam situasi hari ini, amalan poligami dalam masyarakat kita sering saja mewujudkan perihal institusi kekeluargaan yang tidak sihat. Institusi perkahwinan sewajarnya menjadi tapak yang kukuh untuk kita mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih baik. Jangan sesekali mengambil mudah kepentingan perancangan masa depan sesebuah keluarga, kerana hasilan produk daripada rumahtangga inilah yang bakal menentukan kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan beragama, moral, kejiwaan dan etika bermasyarakat, seterusnya menjadi asas kepada pembinaan Negara.

Saya juga agak merasa terkilan kerana sejak kebelakangan ini amalan poligami agak berleluasa di kalangan pasangan yang baru setahun jagung berkahwin.

Tidaklah saya tahu keperluannya, tetapi daripada pemerhatian umum, tidakkah pasangan yang baru berkahwin ini masih tidak lagi berkemampuan, terutamanya dari aspek kewangan?

Suami yang mengamalkan poligami dengan status kewangan yang masih caca marba dan punya anak yang beranak-pinak, apa sebenarnya kefahaman mereka mengenai tanggungjawab dalam berpoligami? Tidakkah tindakan mereka ini akan menambahkan bebanan? Bukan hanya kepada dirinya sendiri, malah kepada keluarga yang sedia ada dan tentunya kepada keluarga yang baru dibina.

Dalam menguruskan sebuah rumahtangga yang sedia ada, saya kira sumber kewangan adalah antara faktor utama dalam membangunkan sesebuah keluarga. Sepatutnya tempoh waktu bersama yang masih pendek ini harus disirami lagi dengan kasih sayang yang tiada taranya, bukan hanya kepada isteri, tetapi juga kepada anak-anak kecil yang tentunya amat memerlukan perhatian penuh daripada seorang ayah.

Bagaimana jika suami itu sudah merasa ekonominya kukuh untuk membina sebuah lagi keluarga lain? Dari satu aspek, tentu jawapannya, ya! Persoalannya, apakah poligami hanya merujuk kepada status ekonomi?

Sedikit kesimpulan daripada pemerhatian umum saya; antara penyebab kenapa suami mengamalkan poligami adalah kerana cuba mencari cabaran dan keseronokan baru dalam kehidupan, bukan mereka tidak peroleh dalam rumahtangga yang sedia ada, tetapi mereka sendiri sudah gagal untuk mencipta keindahan dalam berumahtangga itu. Sepatutnya sebagai suami, merekalah yang perlu menjadi teraju utama bagaimana mahu rumahtangga itu berada di landasan yang sebenar. Mereka sangat perlu membawa watak sebagai seorang ketua yang berwibawa.

Dalam berumahtangga, suami perlu tahu mendepani permasalahan, tahu bagaimana menguruskan kewangan keluarga, tahu bagaimana mendidik isteri dan anak-anak, tahu mencurahkan kasih sayang kepada watak-watak yang sepatutnya, tahu untuk menyelesakan kehidupan berkeluarga, dan juga tahu bagaimana untuk menjayakan watak sebagai ketua keluarga yang disegani oleh orang-orang di bawah pimpinannya. Inilah sebenarnya seorang suami!

Penyelesaian  

Apa jalan penyelesaiannya dalam menguruskan konflik rumahtangga? Ada jawapannya.

Bukan di tangan saya, tetapi pada setiap watak dalam rumahtangga tersebut.

Berhati-hatilah juga kepada mana-mana wanita yang sedang berhajat mahu dipoligamikan. Tilik-tiliklah dahulu ‘kekuatan sebenar suami orang’ yang anda ingin berkongsi suami itu.

Begitulah juga wahai suami! Fikirkan yang terbaik untuk keluarga anda yang sedang mengharap belas ehsan, kasih sayang dan perhatian yang menyeluruh daripada anda. 

Tiada paksaan dalam berpoligami, yang ada sebenarnya adalah kemahuan.

Sekali lagi, saya menulis bukan kerana saya yang terbaik, tetapi untuk kesedaran saya sekeluarga, juga kepada sahabat-sahabat di luar sana. Sayangilah keluarga yang telah kita bina dengan susah payah ini.

Kita harus sentiasa bersedia untuk menjadi pasangan yang terbaik, dan ibubapa yang cemerlang kepada zuriat yang telah kita lahirkan dari sebuah tautan kasih sayang.

Kata ayah saya, usah berpoligami andainya mampu merosakkan keluarga yang sedia ada!

“Ya Allah, kurniakanlah kepadaku isteri dan anak-anak sebagai penyejuk mata tenteram jiwa, dan jadikanlah aku sebagai imam bagi ahli keluargaku yang bertaqwa”

11.40pm

17 Responses

  1. salam,

    setuju..
    “bahgiakan dirimu dengan satu istri”

    • w’lam…

      Setuju aja kalau dah nama perempuan kan…🙂
      Tapi insyaAllah kita perempuan bukan hanya bersetuju kerana kita ini perempuan, tapi kita bersetuju kerana berilmu.

      mmm…belum berkesempatan membaca tulisan Ustaz Cahyadi Takariawan; Bahagiakan Diri dengan Satu Istri

      Untuk pengetahuan sahabat-sahabat yang belum tahu, Ustaz Cahyadi merupakan anggota Majlis Syura Partai Keadilan Sejahtera Indonesia (PKS).

      Saya selitkan satu ungkapan dari penulis buku tersebut apabila ditanya mengapa beliau tidak mengamalkan poligami sedangkan ia menjadi kebiasaan kepada pendakwah;

      ”Jagalah istri, jangan kau sakiti. Sayangi istri, amanah Ilahi. Bila diri kian bersih, satu istri terasa lebih. Bila bisa jaga diri, tidak perlu menikah lagi. Bila suami berpoligami, dakwah akan terbebani. Demarketing menjadi-jadi, dakwah bisa dibenci…”

      (Ehsan: Saifulislam.com)

  2. poligami..
    kenapa disusahkan benda yang senang…

    poligami ni bagus…
    kesian tengok mereka yang memerlukan suami….tapi dihalang oleh sikap tidak terbuka isteri….
    kebanyakkan isteri yang kematian suami, mempunyai anak sepatutnya diambil sebagai isteri muda….
    yang ini pun ramai isteri marah…?
    sikit2 cakap nafsu, sikit2 guna alasan nafsu…..wahhal kaum isteri tidak faham sikap semulajadi PEMIMPIN lelaki..asyik2 tuduh nafsu,,langsung tidak terbuka fikiran.
    wahai perempuan….kalau suami nak ikut nafsu,…..kat rumah urut banyaklah….suami nak poligami tu ..baguslah.
    …oh Tuhan , manusia sering berdusta.
    cakap jer jeles, kalau ikhlas dengan hukum tuhan…mesti tiada langsung alasan…..sikit tuduh tak adil..
    yang tak poligami pun tak adil…tak besar2 kan pun…
    ‘IKHLAS ADALAH SEGALA GALANYA’ ….
    terimalah poligami….bagilah hadiah kepada mereka yang berpoligami…… bantulah kami kaum lelaki untuk kempen berpoligami…untuk membantu kaum perempuan.
    ikhlas. salam.

    • Secara peribadi saya tidak memandang poligami adalah suatu perkara yang senang.

      Jika perkahwinan memerlukan komitmen, poligami menggandakan lagi komitmen yang sedia ada.

      Saya sama sekali tidak menolak kebaikan yang ada pada poligami, sekiranya poligami tersebut benar-benar dilaksanakan mengikut panduan yang telah diaturcarakan oleh Islam.

      InsyaAllah seorang isteri akan terbuka dalam menerima pengamalan poligami oleh suaminya, jika syarat-syarat yang seharusnya ada pada pengamal poligami, sebahagian besarnya telah dipenuhi oleh si suaminya itu.

      Saya tidak punya kajian yang tepat, tetapi dari pemerhatian umum, kebanyakan suami yang mahu berpoligami lebih ramai memilih anak dara berbanding janda yang kematian suami, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak.

      Tulisan saya merujuk kepada poligami yang diamalkan hari ini, di kalangan suami yang masih belum establish kehidupannya bersama keluarga yang sedia ada.

      Saya agak tidak bersetuju jika dikatakan kaum isteri langsung tidak terbuka fikirannya kepada poligami. Usah diperihalkan tentang rumah urut, itu sudah jauh menyimpang dari Islam. Sekarang ini kita membincangkan tentang amalan poligami yang dibolehkan dalam Islam. Jika sudah ke rumah urut, memang sah-sah lah si suami itu sudah bertuhankan nafsu.

      Walaupun poligami dibolehkan dalam Islam, bukan semudah itu Islam membenarkannya. Al-Quran juga telah menyatakan bahawa, jika tidak mampu berkahwin dua atau tiga mahupun empat, maka berkahwinlah satu.

      Saya sendiri tidak pula jeles kepada rumahtangga yang mengamalkan poligami, itu urusan rumahtangga mereka. Biasanya keadilan dipertikaikan dalam pengamalan poligami bukannya yang monogami.

  3. Saya lebih bersedia jadi isteri ke 2 atau ke 3 hatta ke 4 sekiranya lelaki itu beriman, berharta dan mampu bersikap adil.. daripada lelaki bujang yang banyak tidak mampu.. harap muda dan hensem saja

    • Saya boleh bersetuju dengan pendapat saudari.

      Sejak kebelakangan ini agak ramai juga lelaki bujang yang tidak memiliki ciri-ciri yang baik untuk dijadikan suami.

      Boleh sahaja saudari memilih dipoligamikan jika telah ketemu calon suami seperti yang dicirikan itu, tetapi poligami itu bukan hanya untuk memiliki suami, tetapi haruslah dipanjangkan sedikit lagi, ia adalah suatu perkongsian. Bukan perkongsian biasa, tapi ia melibatkan hati dan perasaan banyak pihak.

      Jika sudah bersedia fizikal dan mental, teruskanlah niat yang ada, dengan doa yang berpanjangan semoga keluarga suami yang sedia ada tidak sesekali akan berantakan kerana poligami.

  4. wan kembang,..
    bagus tu..
    suka saya pada yang ikhlas begini…
    adalah baik,,,dicari kebaikan berpoligami terlebih dahulu..
    daripada ditakut takutkan dengan apa yang belum berlaku.

    iya.. bagi saya , kita hendaklah menilai kebaikan sesuatu..baru kita dekat padanya. umpama mencari kawan..jika kita memandang yang buruk, nescaya kita tak akan berkawan dengannya,..pandangkan dengan hati terbuka, dan renungkan kenapa poligami ini sebenarnya mampu menyelesaikan banyak masalah,,.

    mengenai saya, apabila dah berumur 40tahun, isteri saya asyik suruh saya berpoligami ( mengikut sunnah) wahhal saya tak pernah menyatakan hasrat tersebut. (hmm bersyukur dapat isteri yang ikhlas dan redha dengan hukum Tuhan, meletakkan cemburu di tempat terakhir’.
    ..tetapi hingga disaat ini , saya tidak mengambil kesempatan terhadap apa yang disuruh..mungkin Insyaallah, di usia 60tahun baru saya berpoligami.
    adakah ini juga nafsu?

  5. salam…mungkin agak terlewat sikit utk comment tp sya branikan diri jugak..tulisan pn nik memang benar dan lojik di sertakan pula dgn pandangan dari sudut agama kita..ya kebanyakan yg berpoligami bukan nya layak sangat tp mungkin kerana nafsu sya kira lah,reality nya isteri mana yang sanggup dimadu..x tahu lah sya tuan adha kita, rasanya beliau ni seorang yg sangat bertuah for having such a humble wife..sebenar nya saya ini anak kepada seorang suami yg beristerikan 3 orang hingga keakhir hayat beliau (arwah) sangat bertanggung jawab pada emak2 saya apalagi pada 23 org adik beradik saya..tidak pernah ditolak setiap permintaan kami dari segi perbelanjaan sekolah hingga ke universiti tp ada yang x dapat kerana kelulusan x mengizinkan spt sya,,terus terang saya katakan yang my dad sangat adil pada emak2 sya setiap sorang dapat sebuah rumah yang selesa jugaklah..dan ikut giliran masing2..apa yang sya ingin share disini ialah bukan semua lelaki yang berpoligami itu semata2 kerana hawa nafsu dan sya kira saya dan adik beradik amat bertuah mendapat seorang ayah dan emak2 yang bertanggungjawab.. payah nak jumpa…very rare…thanks to my dad,thanks to all my mom and many2 thanks to da creator “ALLAH”….ps.well i’m married to one.( teringgin gak tp x mampu, hehehe.)

    • W’lam…

      Selewat manapun komen yang datang, insyaAllah saya tetap akan membacanya.

      Kagum saya dengan bilangan adik-beradik saudara, mudah-mudahan kesemuanya mampu menjadi anak-anak yang soleh kepada ibubapa yang bertanggungjawab.

      Dalam tulisan saya pun, telah saya katakan bahawa;
      “Tentunya secara jelas, bukan semua, tetapi sebahagian suami bukanlah layak untuk berpoligami”

      maka telah diberi contoh yang baik oleh arwah ayah saudara bahawa dia mampu melaksanakan poligami dengan baik.

      Ada teringin jugak ya…🙂

      Bak kata Ustaz Cahyadi;
      Bila diri kian bersih, satu istri terasa lebih.

  6. emmm..isu yang menarik..tapi rasanya perlu dikupaskan dengan lebih ilmiah lagi…

  7. salam semua rakan2..
    dalam mempersoalkan isue poligami ni, siapa layak, siapa tidak bukan persoalannya, tp individu itu sendiri (,i meant both) sudah bersedia ke ? dari segi mental, kesihatan, kewangan, dan yang paling payah ialah keadilan…
    hi..cik wan kembang..
    r u serious ke ! nk jadi 2nd wife..
    think twice my advice. kalau ada jodoh, cari yang bujang lah senang nak didik, kadang2 suami ni, isteri kena didik suami, jgn salah faham pulak Tuan adha. Man mcm saya semuanya ada keinginan..tp bila fikir2..adakah saya mampu seperti mana saya mention awal tadi..yalah spt my dad tu sya kira special case sikit la ..dia tak joli, tak merokok, dan…dan…ada jawatan tinggi gak lah, dari segi kesihatan x de kompromi..daily routine ada senaman indoor n outdoors..supplement saya tengok dia makan pharmaton, tak pernah tengok dia marah2kan mak2 saya, tp dengan anak2 adalah sikit2 kalau x buat kerja sekolah, sembahyang satu kemestian berjemaah..
    kalau malam jumaat semua kena berkumpul di rumah my mom (1st wife) untuk baca yassin bersama2 lepas maghrib dan sedikit tasqirah sebelum isyak, pastu dinner bersama2, macam kenduri, dis it wat i went thru until sya keluar utk mencari rezeki sendiri dan seterunya having my own family… secara jujur saya katakan saya x mampu buat macam my beloved AYAH..missed him so much…
    so serisuri dis is only some part of da input to share wit others, to b frank saya bukan anti or pro pada poligami, itu semua kerja tuhan our creator..jodoh dan maut semuanya dari ALLAH..

  8. ‘topik yang salah….perbincangan yang salah.’

    sebenarnya..saya memandang yang baik2.
    ‘orang yang berjaya memandang masalah dengan kecil, yang gagal memandang yang kecil sebagai masalah’

    saya harapkan..sudah tiba masanya kaum2 perempuan memperjuangkan poligami’..itu yang sedang saya tunggu dan masih menunggu,,,,
    ..dari dulu asyik mencungkil…, masalah yang akan berlaku…memandang poligami sebagai halal tetapi cara penulisan sebenarnya cuba untuk menyatakan..baik kawin sorang sahaja…ini semua orang sudah tahu.
    kalau boleh saya nakkan penulis menulis…

    ‘KEBAIKAN-KEBAIKAN POLIGAMI YANG MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH SOSIAL’…dan minta pandangan orang poligami…( tapi yang poligami malaysia, rasa dah banyak ditakut takutkan…so pandangan negetif ler yang banyak)..mintalah pandangan yang positif.

    ,,,,,,,,,cadangkan bagi hadiah kepada sesiapa yang sanggup ‘poligami’…iya, bukan senang untuk menanggung tanggungjawap ini. ..( saya sekarang yang nak belajar bab poligami pun takut…terasa dianggap, orang yang poligami dikalangan wanita sebagai jenayah, bukan sebagai ‘WIRA’)

    …………kempenlah beristeri ramai itu cemerlang’..kami menyokong mereka yang sanggup menjadi pembela wanita, kaum lelaki ayuh poligami’ ( tanya wanita yang jadi, isteri no 2,3,4….masa nak kawin,..dia senyum jer..setuju)

    asyik2 cerita bab duit tak cukup, didikan agama…saya pun anggap masih belajar, ‘ ..ada tak cerita yang mengisahkan seseorang disuruh kawin ‘poligami’ wahhal…dia miskin?..ambil contoh yang nilah…pandang positif’.

    huh hairan…….bertahun2 saya menunggu…bila agaknya kaum perempuan akan kempen ‘marilah poligami bagi membantu ibu tunggal’ …yang ni pun tak ada yang kempen’

    akhir sekali saya sudahi dengan perumpamaan berikut:
    ‘perempuan ini diibaratkan memandu kereta…kalau nak ambil jalan orang , dia kan masuk jer, tetapi kalau orang ambil jalan dia..dia marah’…..begitulah perumpamaan dalam poligami’…(kuat cemburu…perempuan ni)

    • Saya tidak fikir topik Poligami adalah salah, dan membincangkannya jauh sekali menjadi kesalahan, kerana setiap perkara yang dibahaskan itu perlu kepada perbincangan yang sihat. Samada kita boleh bersetuju mahupun tidak kepada setiap pandangan, itu terpulang kepada sejauh mana kita boleh menerima hakikat isu yang berlaku.

      Sekali lagi saya tegaskan, poligami adalah baik, tetapi baikkah poligami yang diamalkan dalam masyarakat kita pada hari ini? Banyak pengkisahan poligami yang dipaparkan umum adalah tidak menjurus kepada yang baik-baik, inilah yang menjadi fobia kepada kaum wanita. Pengamal poligami yang baik-baik pun ada, tetapi kerana lebih sedikit dipaparkan umum, maka saya tidak nampak kaum perempuan boleh memperjuangkan poligami dengan agak agresif.

      Saya juga menunggu-nunggu komen-komen daripada pengamal poligami, tetapi mungkin di blog saya ini belum ada yang mangamalkan poligami kot. Sewaktu saya bekerja dahulu, ada beberapa orang anak buah saya yang mengamalkan poligami, dan ada juga si suami yang datang memberitahu saya, agak sukar melaksanakan poligami dengan baik, dan dia lebih rela menasihatkan suami-suami lain elakkan poligami. Saya hanya tersenyum, tidak pula saya bertanya kenapa, itu urusan rumahtangga mereka. Cuma nasihat saya, jaga isteri-isteri baik-baik, elakkan penceraian.

      Poligami bukan hanya merujuk kepada kstabilan kewangan semata, tetapi tanggungjawab dalam pelaksanaannya itu adalah lebih besar. Ini bukan hanya soal kehidupan di dunia, tapi soal jawab di akhirat kelak.

  9. salam semua danTuan adha..apayang saya paparkan hanyalah sebagai pengalaman saya sebagai anak kepada yang ber poligami..mungkin boleh diambil sebagai teladan..Tapi apapun saya setuju dengan tajuk Tuan adha..sebagai penyelesaian masaalah sosial..Rasanya topik x salah,masih menjurus kearah kesitu juga..Poligami..dan tentunya perlu ada garis panduan…Apa yang nak ditakutkan kalau kita dah bersedia untuk mengharungi alam berpoligami…Kita tengok dulu apa rakan2 dengan comment masing2..dan diharap penulis ruangan ini boleh memberi pandangan bagaimana untuk membantu kempen..”Marilah berpoligami bagi membantu ibu2 tunggal ” saya tambah sikit… anak2 dara yang umur dah lebih sikit…kalau boleh Kerajaan boleh bantu dalam soal hadiah dan dijadikan acara tahunan “Poligami Mithali “…wassallam

  10. hmm…maaf dan terimakasih kepada yang selari dengan saya…

    ‘kisah kesian, simpati saya pada perempuan’

    ………sebenarnya saya kesian dengan perempuan, iya..yang kematian suami, sudah tentu mencari penganti, bukan untuknya…untuk anak yang perlu ayah..
    tentulah untuk mencari suami baru, yang seumur dengannya..hmm maksudnya diantara 40 – 60thn ( sudah tentu ini suami orang)…
    ..dan untuk anak dara berumur pula., (cakap tua marah’) ingin bersuami segera..iyalah budaya orang kita suka mengejek…gossip bla2..macam2lah…yang ini pun saya kesian…..untuk makluman, tentulah ingin mencari suami sebaya atau lebih tua…(hmmm..ini pun suami orang yang layak)……

    ‘cuba mencari jawapan’

    sebenarnya saya pernah mencuba ‘ ruangan cari jodoh diinternet’ …dihati saya ingin mencari jawapan. saya nyatakan tentang saya yang telah berkawin, anak berapa..iya, saya tak merokok, aktiviti sosial pun tak de…,pekerjaan saya, , bla2..dll. saya sangat sayangkan isteri saya…tetapi saya nyatakan ingin berpoligami mencari isteri kedua atau ketiga…’dengan ikhlas’.,WALAUBAGAIMANA PUN saya dan bersyarat, calon saya hendaklah mampu menyara diri sendiri. ( kaya’ ..maksudnya)
    …hmm saya mendapat balasan dari 5 orang yang sudi, (menjadi isteri kedua atau ketiga ..-‘meminang saya) kebanyakkannya anak dara berumur 28 dan 40thn. …dan kebanyakkan pula kaya dan berkerja sebagai eksekutif atau manager’.
    …..suatu hari dahulu’ saya maklumkan kepada isteri saya ( iya sebagaimana yang disuruh oleh jabatan agama-maklumkan pada isteri) isteri saya dapat menerima poligami, ..bersetuju …tenangnya hati saya, ..

    …tetapi setuju perempuan, tetap goyah….dalam diam isteri saya minta pendapat rakan seperjabat’ , minta pandangan ibunya tanpa saya tahu…’, membaca ruangan2 diinternet..’ hmmm…akhirnya terkeluar dari mulutnya – ‘seorang isteri lebih baik’, …setialah pada yang satu…takut tak adil..bla2…dan macam lagi ditakut2kan oleh kawan2’…

    nampak? apa kesannya bila tak ada ‘ruangan cerita indah untuk poligami’ , tak ada cerita tahniah untuk mereka yang ingin memikul tanggungjawap berat, tak ada sokongan kaum isteri, kasihannilah kaum janda yang malu untuk mencari suami..suami orang. kasihannilah anak dara tua…yang ingin mencari suami’…suami orang.

    …sambung balik cerita, akhirnya setelah 3 tahun berlalu, isteri saya sudah kurang cemburu, ..hmm sekarang suruh pulak saya berpoligami…
    ……….’sekarang saya sebenarnya bukan tak mahu’….tetapi saya mulai ragu kebenarannya, iya bimbang keikhlasan hatinya berubah bila saya berpoligami..iya kerana terlalu banyak kaum2 hawa suka memaparkan kisah2 negetif terhadap poligami’….
    saya masih menunggu, bilakah kaum hawa sendiri, menubuhkan persatuan, galakkan poligami, ,,bantulah kami kaum lelaki , untuk membantu kaun anda sendiri’
    ….dengan cara ini nescaya hati isteri saya mengizinkan poligami akan tenang’ ,,,pergi pejabat orang akan memberi hadiah, ibu mertua memberi hadiah…kawan2 ucap tahniah.., hmm.Tuhan telah pun menjanjikan hadiah disyurga…”

    ‘ikhlas’. sokong 100& poligami.
    ayuh, kaum hawa mulalah menulis, kempenlah mari berpoligami’, ‘mulailah dari rumah, esok suruhlah suami2 berpoligami….
    jika suami kita bertanggungjawap, baik, hadiahkan ‘madu’ untuknya…amin.

  11. Populasi kaum hawa lebih ramai daripada kaum lelaki. Jika nisbah perkahwinan 1:1, yakni seorang lelaki hanya untuk seorang perempuan.. Si Pencipta kaum hawa MEMANG tidak adil.

    Satu hari seorang miskin yang berkeluarga datang bertemu Rasulullah mengadu tentang nasibnya.

    Nabi S.A.W sarankan supaya dia berkahwin lagi. Maka si miskin pun menikahi isteri yang ke- 2. Namun taraf kehidupannya masih tidak berubah.
    Nabi S.A.W memberi nasihat yang sama supaya berkahin lagi.

    Maka si miskin berkahwin isteri ke-3. Keadaan tetap tidak berubah.
    Nabi S.A.W memberi nasihat yang sama supaya berkahin lagi.

    Si miskin berkahwin isteri ke-4. Ditakdirkan isteri ke-4 mempunyai kepandaian menjahit baju.

    Isteri ke-4 menjahit, manakala isteri pertama hingga ke-3 membantu dan si suami duduk di kedai menerima tempahan. Kehidupan mereka telah berubah.

    Hukum tuhan jangan sesekali difikirkan oleh kepandaian otak fikiran kita yang terbatas yang cuma setitik daripada lautan ilmu yang dimiliki Allah S.A.W.

    Kejadian perempuan dan lelaki BERBEZA. Wanita tidak boleh sampai ke tahap pemikiran seorang lelaki. Seperti mana seorang kanak-kanak tidak boleh sampai ke tahap pemikiran orang tuanya.

    Jika ditanya…. Along nak adik tak? Maka si Along yang berumur 7 tahun akan bercakap TAK NAK!. Dia membalas, cuba ibu dan ayah fikirkan, saya yang seorang nipun nak makan ayam seminggu sekali pun susah. Astro pun tak ada….Duit belanja 50 posen aje…

    Kalau ibu dan ayah pakar ekonomi.. siapa yang akan tanggung perbelanjaan selepasa bersalin? Duit lampin pakai buang? Duit susu adik?

    Pernahkah ayah dan ibu mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada saya? Tidak cukupkah saya sebagai seorang anak?

    Saya tak mahu hidup bertambah susah kerana kehadiran adik saya… mengertilah perasaan saya…

    Di sini kita akan bijak berkata…

    “Rezeki ketentuan tuhan.”

    Syahdan, lahirlah si adik. Si abang merasa sedih.
    Sekiranya si abang beralah dan berbaik pakat dengan adik, ibu bapanya akan senang hati.

    Tetapi jika si abang tidak beralah dan selalu sabotaj atau mengusik si adik, adakah si ibu dan ayah bersalah dalam kes ini?

    Tetapi untuk mengelakkkan kelahiran anak ke 2, patutkah nafsu si ibu dan ayah disekat. Mereka tidak boleh tidur bersama untuk mengelakkan kelahiran yang ke-2? Bolehkah? Bolehkah si ibu atau si bapa mengawal nafsunya?

    Seperti juga syarat berkahwin dua, sepatutnya ibu bapa yang miskin juga mesti dipantau supaya tidak mempuanyai anak melebihi daripada pendapatan si suami. Kalau gaji setakat RM1,500 sebulan, seorang ibu hanya boleh lahirkan seorang anak, kemudian “ikat” supaya tidak boleh beranak yang ke-2.

    Patut ke?

    Masalah yang timbul kerana poligami bukannya datang daripada si suami sahaja. Jika isteri pertama dan kedua baik pakat dan masing-masing beralah, maka si suami tak pening kepala.

    Kalau masing-masing nak tunjuk “ego” atau “samseng” kepada pihak lain, sudahnya si suami yang mengeluh tak habis.

    Datang seorang sahabat kepada Nabi S.A.W dan berkata, “Wahai Rasulullah, izinkan saya sujud kepada mu.” Rasulullah menjawab,”Sekiranya dibenarkan manusia sujud kepada manusia yang lain, nescaya akan disuruh isteri sujud kepada suaminya.”

    Apakah layanan yang diberikan kepada suami anda sehingga dia masih merasa kekosongan dalam hatinya?

    Apakah makanan kegemarannya?
    Apakah warna kegemarannya?
    Apakah pantang larangnya?…

    Pernahkah si isteri mendokan suaminya?
    (In Malay pun Allah faham..)

    Wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: