• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2010
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Kupasan

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu saya berkesempatan menekuni ‘Anak Siapa’ dalam slot al-Kuliyyah di TV3, yang dikupas oleh dua orang panelis yang tidak asing lagi pada hari ini, iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saifulislam.Com), seorang pendakwah dan Haji Hushim Salleh, seorang pakar motivasi terkenal tanahair.

‘Anak Siapa’ cuba mengupas dan mencari penyelesaian kepada isu buang anak, yang sudah pastinya anak-anak yang tidak berdosa ini adalah hasil daripada perlakuan zina. Adapun zina ini bermaksud, persetubuhan haram antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah di sisi syara’, tanpa paksaan serta berlaku dengan rela hati.

Sesungguhnya zina membawa kemudaratan besar kepada sebuah kehidupan, bukan hanya kepada pelakunya, malah kepada masyarakat umum. Kepada pelakunya, tentu mereka telah merosakkan sebuah institusi keluarga, yang sebenarnya ditunjangkan oleh pasangan suami isteri yang sah ikatannya di sisi syara’. Bertitik tolak dari kerosakan yang mereka janakan ini, kecelaruan kehidupan anak-anak yang dilahirkan tanpa nasab (jalur kerabat dari susur ayah –  kerana manusia hanya dinasabkan kepada ayahnya sahaja),  akan merosakkan sebuah masyarakat Islam.

Atas sebab inilah Islam mengharamkan zina dan ia tergolong dalam kelompok dosa-dosa besar, kerana perlakuan terkutuk ini akan menyebabkan kerosakan yang meleret, bukan hanya kejelikan kepada si pelaku, bahkan ketenteraman jiwa anak yang dilahirkan, keturunannya suatu masa nanti, sehingga yang lebih dahsyat adalah menghancurkan maruah Islam! Sedangkan Islam sangat mementingkan nasab supaya keturunan setiap Muslim itu terjamin kemuliaannya.

Bincang

Dalam membincangkan perihal ‘Anak Siapa’, panelis tersebut cuba merungkaikan bagaimana boleh berlakunya perlakuan zina ini. Antara penyebab utama yang dilontarkan adalah soal berpakaian di kalangan perempuan Muslim. Saya tertarik kepada penyebab yang ini, kerana percayalah bahawa betapa ramai Muslim sudah terpesong dalam mereka berpakaian. Saya percaya bahawa semua Muslim telahpun tahu apa yang dimaksudkan dengan aurat, samada aurat perempuan mahupun lelaki. Secara mudahnya aurat terdiri daripada tiga perkara, iaitu menutup kulit, longgar dan tidak jarang.

Saya menjurus kepada aurat perempuan Muslim, bagaimana mahu berpakaian, terpulanglah kepada keselesaan masing-masing. Kita permudahkan soal menutup aurat, jangan sesekali menyusahkan dengan perkara yang berlebih-lebihan. Berbaju kurung resam terbaik masyarakat Melayu. Tentunya berjubah itu kelihatannya lebih baik. Bergaya Punjab pun apa kurangnya. Tetapi jika kita punya keinginan untuk berkebaya, berblouse, berskirt labuh, berseluar panjang, tentunya boleh saja asal ia longgar, melepasi punggung, dan sesekali jangan jarang. Pastikan juga tudung yang dipakai itu melepasi paras dada.

Tidak cantik sebenarnya jika kita keterlaluan melawan arus berfesyen secara Islam. Mana manisnya jika memakai jeans ketat berpotongan rendah dikhalayak sehingga menampakkan lurah punggung, memakai baju senteng yang menampakkan pusat, bertudung singkat lagi menampakkan jambul? Kekadang sungguh lucu kelihatannya, bagaikan tersesat-sesat mencari identiti diri. Sungguh hairan pula jika semuanya sudah sempurna kelihatan, tiba-tiba kainnya pula yang terkoyak hingga ke paha. Sungguh saya tidak faham apa fesyennya! Pastinya semua itu mengundang dosa!

Sebagai Muslim, kita perlu ada identiti yang tersendiri. Saya sendiri memilih kesederhanaan. Boleh pakai apa sahaja, asalkan menutup aurat dan bersesuaian pada tempat dan masanya. Tidak dinafikan kadang-kadang kita mahukan kelainan pada penampilan, maka kita boleh berubah. Kadang-kadang juga kita perlukan perubahan, supaya ada motivasi baru yang boleh menambahkan daya hidup kita. Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan bagaimana kita mahu suai padankan cara kita berpakaian.

Jangan sesekali kita berfesyen kerana ikut-ikutan, berfesyenlah dengan ilmu. Islam itu indah dan menyukai perkara yang indah-indah. Berfesyen juga perlu diiringi dengan niat yang betul. Jangan kerana mahukan pujian, menarik perhatian ramai dan ingin bermegah-megah. Berfesyenlah dengan tepat, mahukan keselesaan dan mahu menutup aurat!

Peduli

Pedulikan juga bagaimana anak-anak kita berpakaian. Sedarkan mereka tentang masalah aurat, dosa, pahala, syurga, neraka, jika kelihatannya masih liar mengikut arus pemodenan yang tidak bernoktah. Pastikan mereka berpakaian secara tepat mengikut kehendak Islam. Pastikan juga mereka bertudung sempurna, bukan sekadar belit di situ, butang di sini, tetapi pahalanya kosong! Anak-anak inilah aset penting dalam masyarakat. Tanggungjawab kita semua menjauhkan mereka daripada bauan zina, yang sekarang ini tidak kenal siapa mangsanya. Semuanya makin menjadi-jadi! Na’uzubillah…

Sebelum jauh menambah aksesori pada artikel saya ini,marilah kita bersama berperanan dalam menjauhkan zina daripada ahli keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, masyarakat kita, dan semua Muslim, mudah-mudahan rahmat Allah itu sentiasa berpanjangan memayungi kita di mana saja kita berada, insyaAllah!

9.41pm

Advertisements

Guru

Salam Ukhuwah…

Harapan saya semoga sahabat semua dalam keadaan sejahtera hendaknya.

Saya pasti pada minggu ini ramai di kalangan anak-anak kita beria-ia meminta dibelikan sesuatu  untuk dihadiahkan kepada guru-guru mereka sempena Hari Guru yang disambut pada Ahad yang lalu.

Saya juga begitu, turut serta dalam memberi sambutan dan penghargaan kepada guru-guru yang mengajar dan mendidik anak-anak di sekolah.

Bagaimana cara kita untuk menunjukkan penghargaan dan penghormatan kepada guru, terpulanglah kepada kemampuan masing-masing. Mungkin boleh diberikan hadiah, mungkin juga sebagai ibubapa perlu menghubungi guru-guru untuk mengucapkan terima kasih atas kesudian mereka mengajar dan mendidik anak-anak kita, jika mereka selesa, boleh juga kita membawa anak-anak bersama mengunjungi rumah guru dengan membawa sedikit buah tangan.

Cita-cita

Pernah saya bercita-cita menjadi guru, tetapi tidak kesampaian, kerana sememangnya tidak pernah layak menjadi guru. Saya kekurangan tahap kesabaran dalam menghadapi karenah kanak-kanak, mahupun pelajar remaja.

Kisah seorang guru banyak pahit manisnya, tentunya bahagia apabila disayangi murid-murid sekalian, tentunya derita apabila impian yang diharapkan kepada murid-murid untuk berjaya kehidupan mereka, berkecai diseparuh jalan.

Apapun, saya pernah menjawat jawatan ‘ustazah Fardhu ‘Ain’ – sebagai guru ganti sahaja -, untuk tempoh beberapa minggu. Tidak banyak kenangan yang saya simpan dalam tempoh sesingkat itu, tetapi masih ada ingatan untuknya.

Saya mengajar Fardhu ‘Ain (FA) di sebuah sekolah kebangsaan di Kota Bharu. Murid-muridnya sebilangan besar di kalangan anak-anak orang berada, tidak seberapa takutkan guru dan tidaklah sangat berminat untuk belajar ilmu-ilmu dalam silabus FA.

Banyak ragam murid-murid ini ketika berada di dalam kelas. Kerana mahu mengelakkan amarah menguasai diri, maka saya perlu mencari idea terbaik untuk menakluk mereka dari terus menunjukkan ragam yang bermacam-macam. Maka saya menggunapakai kekurangan yang ada pada diri sendiri. Kerana sangat tidak suka menulis di papan hijau akibat tulisan yang tersangatlah tidak cantik, saya menggalakkan mereka menulis sesuatu di papan hijau dengan menggunakan tulisan jawi.

Nampaknya idea itu menjadi apabila mereka sungguh seronok menjadi ‘cikgu’ di hadapan kawan-kawan yang lain. Sementelah pula setiap kali mereka berjaya mengeja dengan betul menggunakan tulisan jawi, saya dan yang lain akan memberikan tepukan gemuruh kepada murid berkenaan. Itulah antara pengalaman saya menjadi cikgu yang tak berapa nak menjadi! Barulah saya sedar bahawa, apabila kita berkeinginan kepada sesuatu, haruslah disulami dengan minat yang mendalam, bukan sekadar ikut-ikutan.

Peranan

Sangat tidak dinafikan bahawa peranan seorang guru kini amatlah besar terhadap perkembangan murid-murid hari ini. Sementelah sejak kebelakangan ini agak ramai ibubapa sering lepas tangan dan memandang mudah kepada perkembangan jatidiri anak-anak mereka. Maka, secara tidak langsung seolah-olah tanggunjawab mengajar dan mendidik itu menjadi perkara serentak yang harus dipikul oleh seorang guru. Lebih parah andai anak yang buat hal dan mula menconteng arang ke wajah ibubapa, para guru pula dipersalahkan dengan mudah.

Jika di sekolah, tanggungjawab untuk mengajar dan mendidik diberi kepada para guru, maka tidak dapat tidak, guru akan dipersalahkan apabila ada murid-muridnya tidak menjadi seorang manusia yang baik. Kemungkinan ini berlaku kerana akhlak sebahagian guru juga tidak elok.

Amat mendukacitakan apabila ada sebilangan guru kini sangat betah menunjukkan perilaku yang tidak berakhlak kepada murid-murid mereka. Merokok di hadapan pelajar, tidak memberi galakan dan motivasi membina kepada pelajar-pelajar yang lemah, berkasar yang berlebihan ke atas murid-murid, dan mungkin banyak lagi perilaku yang tidak baik ini harus disisihkan daripada insan yang bergelar guru, kerana umum mengetahui betapa mulianya tugas sebagai seorang guru.

Andai guru sendiri tidak tahu untuk mendisiplinkan diri, sangatlah tidak pelik jika murid-muridnya langsung tidak tahu untuk berdisiplin. Sesungguhnya untuk mendapatkan pelajar-pelajar yang berakhlak baik, sewajarnya para gurulah yang menjadi contoh teladan utama kepada mereka.

Jikapun seorang guru itu hebat dalam melontarkan ilmunya, adalah jauh lebih hebat sebenarnya jika guru tersebut disulami dengan akhlak yang baik, barang tentu pengaruh dirinya itu sangat mampu menakluk setiap murid untuk menghormatinya, jauh lebih bisa akhlaknya berbanding setiap patah kata yang dituturkannya.

Namun, jangan hanya memberi telunjuk kepada guru, sepatutnya setiap anggota masyarakat itu harus berperanan baik. Sebenarnya, untuk membentuk sebuah masyarakat yang baik, secara efektifnya, kitalah yang terlebih dahulu harus menjadi baik. Sebelum kita berkemahuan untuk mengubah situasi semasa yang kelihatannya sangat tidak patut, amat patut kita melihat kepada diri sendiri terlebih dahulu. Dalam maksud yang mudah, jadilah kita sebagai seorang manusia yang baik, mudah-mudahan orang lain di sekeliling kita juga boleh mengambil contoh teladan daripada kita, insyaAllah.

Mendidik

Begitu juga dalam kita mendidik, baik sebagai seorang guru, malah ibubapa, sepatutnya untuk memiliki anak-anak yang baik akhlaknya, haruslah adab sopan itu sudah menjadi jati diri kepada diri pendidik. Usah mengimpikan yang muluk-muluk kepada anak-anak andai diri sendiri pun masih terumbang-ambing melawan nafsu keduniaan.

Maka, jika ibubapa tidak baik perilakunya kepada anak-anak, usah segan untuk melihat peribadi yang sedemikan akan melekat kepada diri anak-anak ini. Tidak perlu menunggu lama, anak-anak yang berusia tadika pun sudah mampu menciplak apa yang ibubapanya perlakukan di hadapan mereka. Harus dipanjangkan lagi, ia bukan hanya fotostat kepada anak-anak kita, malah keturunan kita sebenarnya.

Sudah tentu untuk berharapan orang di sekeliling kita mampu berubah kearah kebaikan, maka dahulukan dengan mengubah diri sendiri sewajarnya. Namun, jangan pula sehingga kita takut untuk menegur kearah kebaikan semata-mata diri sendiri buruk perilakunya, tapi haruslah kita punya kesedaran bahawa akhlak yang baik itu lebih berperanan berbanding butir bicara yang kita sampaikan. Maka berubahlah kearah yang lebih baik dengan seikhlas hati, mudah-mudahan ia menjadi sebati sebagai darah daging kita untuk menghadap Ilahi, insyaAllah.

Akhirnya, saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, samada guru yang pernah mengajar saya secara langsung, secara tidak langsung, kepada guru anak-anak saya, kepada guru-guru yang sudi menjenguk blog saya ini, dan kepada semua guru yang tidak kira di mana mereka berada. Saya doakan semoga anda semua terus bermotivasi untuk menabur ilmu demi kebaikan anak bangsa, insyaAllah!

8.20am

Ibu

Salam Ukhuwah…

Jika sahabat semua pernah tahu tentang seseorang yang bernama Maryamah Karpov (MK), maka dia adalah seorang wanita gemuk bertudung, yang matanya bengkak kerana banyak menangis, berusia separuh umur dan malang perjalanan hidupnya.

Gambaran perwatakan wanita ini saya ceduk dari Sang Pemimpi (SP), tentunya hasil seni dari penulis yang saya sedikit obses, Andrea Hirata. Jika ada sahabat yang belum membaca MK dan berminat untuk membacanya, maka terlebih dahulu perlu memiliki SP untuk lebih berpengetahuan tentang siapa MK.

Sangatlah belas kerana MK merupakan seorang isteri yang ditinggalkan suami, seorang ibu yang perlu menyara keluarganya sekudrat yang ada, sehingga pernah beberapa kali dalam seminggu meminjam beras dari jiran sekampung untuk meneruskan hidup. Walaupun dikatakannya sebagai meminjam, tetapi sebenarnya MK tidak pernah mampu untuk menggantikan beras itu walau selama manapun dia membuat janji, bukan kerana tidak mahu menepati janji, tetapi kerana hidupnya tiada apa, kosong!

Anak-anaknya semua kurus, bukan kurus semulajadi, tetapi kurus kerana kekurangan gizi. Jika pula dapat diselami, kelihatan diraut wajah anak-anaknya itu satu tekanan perasaan yang amat.

Kasih Sayang

Watak MK mengisahkan tautan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Moralnya, walau terpaksa menebal muka membuka aib, jika sudah hilang pergantungan, maka si ibu akan sanggup melakukan apa saja, asal saja anak-anak tidak terkesan dengan keperitan sebuah kehidupan.

Saya sebenarnya terkesan dengan babak itu. Pengorbanan seorang ibu untuk membesarkan anak-anaknya. Saya tidak pernah mengalami keadaan sebegitu getir dalam kehidupan ini. Tetapi sudah acap kali melewati keadaan yang sedemikian, daripada wanita yang bergelar ibu, yang datang mengadu keperitan hidup kepada ayahbonda saya semenjak dahulu-dahulu lagi.

Saya akan sentiasa berdoa semoga sesekali tidak akan menerima nasib semalang MK. Semoga anak-anak saya berpanjangan mendapat perlindungan sewajarnya daripada seorang ayah, dan berterusan mendapat kasih sayang sejati daripada seorang ibu. Jika pun saya seorang ibu yang teruk, akan dipanjatkan doa yang tiada hujungnya semoga anak-anak ini menjadi manusia yang berguna untuk Islam. Inilah hakikat kemahuannya. Saya percaya keinginan seorang ibu dengan ibu yang lain tidak jauh bezanya.

Jika kelaparan mampu mencabar wibawa seorang ibu seperti MK, bagaimana pula apabila menghadapi anak-anak yang sedang kesakitan? Tentunya seorang ibu juga turut gundah gulana.

Bersabar

Saya pernah melaluinya beberapa tahun yang berlalu. Si sulong saya yang dilahirkan normal, tanpa disedari mempunyai ketumbuhan Hemangioma (pertumbuhan pembuluh kapilari) di dahi, mula kelihatan bintik merah pada usia lebih kurang dua minggu, dan makin membesar dari hari ke hari, sehingga tumbesarannya ‘mati’ diusia enam bulan. Sebagai ibu, saya cuba sedaya upaya untuk memulihkannya. Sehingga usianya menjangkau lima tahun, saya mengambil keputusan untuk membuangnya melalui pembedahan kecil, yang dikenali sebagai cosmetic surgery.

Dalam tempoh lima tahun itu, saya belajar untuk lebih bersabar. Pergi ke mana sahaja, dengan membawa si kecil yang mempunyai benjolan merah sebesar ibu jari di dahi, sungguh akan menarik perhatian ramai. Saya tidak akan menyembunyikan dia daripada khalayak, saya positifkan minda bahawa ini adalah satu cara bagaimana Allah mahu mendidik saya.

Tempoh yang bertahun itu juga saya berulang-alik ke hospital memenuhi temujanji dengan doktor. Kata positif daripada doktor yang merawat, sebelum mencapai umur satu tahun, Hemangioma ini akan hilang secara semulajadi. Sebaliknya yang berlaku, ia tetap kekal disitu sehingga terpaksa membuangnya melalui pembedahan kecil.

Paling penting adalah motivasi, untuk diri sendiri, dan tentunya untuk anak itu sendiri. Walaupun masih kecil, tidak tahu untuk meluah perasaan, namun naluri ibu tetap berkata, bahawa dia malu dengan kelainan yang ada pada dirinya. Jangan sesekali sisihkan anak-anak yang istimewa ini, berikan mereka yang terbaik. Anak-anak kecil ini tidak mengerti apa-apa, maka kita ibubapalah yang sepatutnya sentiasa memberikan mereka yang terbaik.

Saya motivasikan anakanda dengan kecantikan, almaklumlah perempuan…Saya katakan kepadanya, bahawa dia akan lebih cantik apabila tanda itu dibuang. Dalam hati hanya Allah saja yang tahu, bahawa tiada yang lain saya mahukan, melainkan mahu pembedahan itu selamat dan anakanda kembali menjadi seorang kanak-kanak normal sebagaimana yang lain. Saya mahu dia sihat, lebih dari itu, tiada rasa rendah diri dengan kekurangan yang ada padanya.

Selama tiga hari saya menemaninya di wad, Alhamdulillah anakanda yang ini jarang merengek, tidak menunjukkan rasa takut, malah tidak menangis apabila disuntik. Dia bertahan seadanya. Saya membekalkannya banyak bahan bacaan, termasuklah buku mewarna. Naluri seorang ibu berkata, bahawa dia juga mahu tandanya dibuang. Dia dengan rela diperlakukan apa saja oleh pihak hospital. Disuakan ubat, dia makan, mahukan darahnya, dia rela disuntik, disuruh berpuasa sebelum pembedahan dilakukan, dia rela berlapar untuk seketika. Tidak sekalipun dia menangis keterlaluan. Cuma sekali saja, apabila biusnya tidak menjadi, dia meraung sekuat hati apabila dirinya tersedar semasa dalam ‘terowong’ ct scan!

Saya percaya bahawa saya seorang ibu yang berjiwa kuat. Pernah Doktor Pakar yang merawat anakanda menyatakan bahawa saya seorang ibu yang degil! Sehinggakan sebelum anakanda  dibawa ke bilik pembedahan, tiada setitikpun air mata saya menitis, walau melihat kedua-dua belah kelopak mata anakanda membengkak bagaikan mahu pecah sehari sebelum itu, selepas disuntik ubat untuk menahan pengaliran darah ke benjolan tersebut.

Ketika pembedahan sedang dilakukan, sememangnya ada debar di hati saya. Namun cuba  dielakkan untuk berfikir yang bukan-bukan, maka saya layan bicara sambil makan bersama suami di cafe hospital.

Akhirnya air mata saya bergenang juga, apabila doktor memaklumkan bahawa pembedahan itu berjalan lancar, dan anakanda selamat keadaannya. Saya lihat sebuah keceriaan di wajah anakanda apabila memaklumkan kepadanya bahawa tandanya sudah tiada lagi.

Tidak dapat dinafikan, saya agak fobia untuk melahirkan lagi selepas itu. Takut-takut perkara sama berulang lagi.

Bertuah

Sangatlah bertuah kepada setiap anak mempunyai ibubapa yang melayan baik kehidupan mereka. Ada bezanya sayang seorang ayah dan kasih seorang ibu. Itu adalah fitrah kejadian Allah. Seorang ayah akan sentiasa bersedia untuk memberi perlindungan dan memahami keperluan sebenar keluarganya, manakala seorang ibu, dengan fitrah kelembutan seorang wanita,  akan lebih berperanan dalam mendidik dan memberi ketenangan jiwa kepada anak-anak ini.

Sepuluh tahun yang lalu saya mula menggalas cabaran seorang ibu. Maka saya mula percaya bahawa setiap ibu yang normal, yang waras fikirannya, akan mempunyai naluri yang sama, akan kasih kepada zuriat yang dilahirkannya dengan susah payah. Tentunya akan sentiasa berusaha untuk melindungi anak-anak ini daripada sebarang kesulitan sepanjang hayat mereka, selagi dia mampu. Hanya ibu yang gila sahaja sanggup mendera zuriat mereka sendiri!

Dalam membentuk sebuah keluarga yang berjaya, peranan serentak yang dimainkan oleh ibubapa sangatlah diperlukan. Samada bapa mahupun ibu, salah seorang hendaklah membawa perwatakan tegas dan berdisiplin, diseimbangkan dengan seorang lagi yang berlembut dan mendidik. Jika disatukan watak ibubapa yang baik ini, akan mampu membentuk peribadi mulia terhadap anak-anak, baik dari aspek akidah, iman dan pemikiran.

Berdoa

Maka, marilah kembalikan perasaan ini kepada ibu-ibu kita dahulu kala, yang membesarkan anak-anak mereka itu sehingga jadilah sebagaimana hari ini. Tentunya banyak onak duri yang terpaksa mereka lewati sepanjang kehidupan membesarkan kita semua, pastinya telah dilalui dengan sebuah kesabaran yang tinggi. Hal yang demikian, bersamalah mendoakan kesejahteraan seorang ibu yang melahirkan kita semua ke dunia ini, tiada yang lebih baik daripada seorang ibu, sesungguhnya syurga itu ada pada redhanya.

Jangan sesekali mengguris perasaan lembutnya, berdoalah untuk diampunkan segala dosa-dosanya, berdoalah juga untuk menjadikan kita anak-anak soleh untuk ibubapa yang telah banyak mengharung susah payah menjadikan kita sebagai seorang manusia!

Jangan sesekali kita merasa rugi dilahirkan oleh ibu yang ini. Percayalah bahawa setiap ibu itu ada keistimewaannya. Jika mampu, tiada ibu yang mahu mati awal, tanpa melihat terlebih dahulu kejayaan yang akan diraih oleh anak-anaknya. Setiap ibu jika diberi pilihan, tentunya akan sentiasa mahu bersedia membantu anak-anaknya walau sesukar manapun, walau seusia berapa pun anak-anaknya itu.

Selamat Hari Ibu…

6.24pm

Keraian

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu, saya mengadakan sedikit keraian untuk meraikan empat orang ahli keluarga kami yang menyambut Hari Lahir pada April. Ia tidaklah termasuk saya.

Juga meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ke 11. Tiada janji baru yang dimeterikan, kerana kami hanya pasangan yang ringkas dalam melayari rumahtangga, yang ada hanyalah rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing untuk menjaga keharmonian rumahtangga ini semampu yang boleh.

Satu soalan cepu emas daripada suami, bila nak tambah ahli keluarga? Saya hanya menjawab dengan soalan, perlu tambah lagi ke?

Zuriat seramai enam orang rasanya sudah cukup untuk menghidupkan rumah kami, sudah cukup bising jika kena waktunya, sudah mampu menghangatkan jiwa saya adakalanya, jika sampai pada suhunya, insyaAllah ada yang ‘kena’!

Saban tahun, setiap kali meraikan hari lahir anak-anak, saya akan menjemput hampir 50 orang kanak-kanak sekitar kampung, termasuk anak-anak saudara untuk menikmati kek dan sedikit hidangan yang saya sediakan sendiri.

Seingatan saya, untuk diri sendiri tidak pernah punya majlis sambutan hari lahir sepanjang hayat, sehinggalah ke hari ini. Sekadar beli kek adalah, tapi majlisnya tiada.

Melewati tarikh hari lahir, ada juga dua tiga orang sahabat yang memberi ucapan selamat kepada saya.

Selepas berkahwinpun begitulah juga, sehinggalah saya telahpun beranak-pinak.

Mungkin kerana saya dibesarkan di kampung, maka sambutan majlis Hari Lahir bukanlah satu acara yang ditonjolkan. Lebih-lebih lagi didalam keluarga saya, sambutan untuk meraikan umur yang bertambah, hayat yang berkurang, tidak pernah ada di kalangan kami adik-beradik.

Tahun ini umur saya menjangkau 33 tahun. Alhamdulillah, masih lagi menghirup udara kampung, aura segar dari sebuah sungai yang cantik.

Dewasa

Apabila meningkat dewasa suatu masa dahulu, memang saya pernah berkemahuan untuk menjadi penghuni kampung. Saya sukakan suasananya, dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau dan mahu bersantai di halaman rumah pada petang hari. Syukur Allah mengurniakan rezeki sebagaimana yang saya miliki hari ini.

Selepas berkahwin, hampir dua tahun kami menetap di KL. Kami membina keluarga baru di pangsapuri, tinggallah saya di kayangan, tingkat 14. Tiada apa yang seronok dengan rumah yang sebegini, tiada tanah sendiri untuk dihijaukan, yang ada cuma keindahan pemandangan dan sedikit privacy dari kebisingan jalanan.

Seawal perkahwinan dulu, untuk mencari damai, kami sering saja menghabiskan masa bersama di taman-taman sekitar KL. Sering saja mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa, dan sesekali ke Tasik Perdana. Tidak kurang berkelah bersama adik-beradik lain, yang diwaktu itu kami empat beradik menetap di KL, sehingga ke Hutan Lipur Lentang dan mendaki Bukit Tinggi, tidak lupa menikmati keindahan Janda Baik, untuk lari seketika dari kesibukan kota.

Setiap kali mahu berpergian, kami sepakat untuk masing-masing menyediakan bekalan makanan sendiri untuk dinikmati bersama apabila bersinggahan nanti. Sangat seronok apabila sesekali dapat berkumpul bersama ahli keluarga, mampu mengubat kerinduan kepada ahli keluarga lain yang berada di bumi Kelantan.

Sesungguhnya hidup ini akan merasa lebih tenang dalam kehijauan alam. Menikmati keindahan ciptaan tuhan, mampu mendekatkan rasa kehambaan kepada kehebatan Maha Pencipta alam ini.

Keputusan

Namun akhirnya, saya dan suami mengambil keputusan untuk kembali menghuni bumi Kelantan, mencari titik noktah membesarkan keluarga di sini. Jiwa kami suami isteri sama, tidak betah dengan suasana kehidupan di KL. Kami mahukan kehidupan yang lebih damai…bukan kesibukan yang selalu menghambat di KL.

Kami mencari kehidupan yang lebih tenteram, yang akhirnya merezekikan kami kembali ke kampung halaman. Punya angin yang sepoi-sepoi bahasa, berhampiran dengan sungai yang cantik. Tidak lupa kepada haiwan ternakan orang-orang kampung yang masih juga seperti dahulu-dahulu…meliar masuk ke pagaran rumah kami, kambing, biri-biri, ayam, dan apa lagi ya…ada lagi…juga kepada tupai-tupai yang melompat-lompat dari satu dahan ke dahan pokok-pokok yang tinggi menghijau di sekitar kampung, juga beruk pemanjat pokok kelapa! Sesekali bagaikan di zoo apabila ada juga melintas ular dan biawak! Kus semangat…Sungguh kampung bukan!

Kakak saya yang masih tinggal di KL kala ini, sering saja tidak melepaskan peluang untuk jogging mengelilingi kampung pada setiap pagi, selama mana dia berada di kampung. Selain untuk sihat tubuh badan, dia turut mengutip kenangan barangkali…

Banyak kelainannya apabila kami kembali menetap di kampung, berbanding seketika menghuni KL. Suasana hidup di kampung sangat berbeza, selain sara hidup yang lebih murah, tentunya akan lebih terpesona dengan semangat kejiranan yang lebih terserlah dengan tegur sapa saban hari, dan lebih intim kerana kami semua sering bertemu mata di masjid untuk sama-sama solat berjamaah tika berkesempatan.

Jiwa saya di bumi ini, memang tidak boleh berenggang.

Suasana di Kelantan sangat harmoni bagi saya. Walaupun punya masalah sosial tersendiri, tapi tidaklah sehebat kerosakan yang berlaku di KL. Saya tabik kepada ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak yang hebat di KL, tidak kepada saya mungkin.

Tentunya lebih seronok di bumi kelahiran. Lebih-lebih lagi tinggal berhampiran ayahbonda, apa lagi yang kurang…?

Remaja

Berbeza sewaktu usia remaja dulu, memang saya sukakan kehidupan yang berjauhan daripada keluarga. Kononnya mahu belajar berdikari. Sesi sekolah menengah saya mula tinggal di asrama.

Asrama Maahad yang terletak di tepi jalan utama di Bandar Kota Bharu adalah sebuah bangunan lama, namun masih teguh berdiri, penuh dengan aktiviti keagamaan yang mengajar pelajar-pelajar semua mendekatkan diri kepada tuhan.

Didikannya adalah didikan Islam.

Membesarkan jiwa dengan semangat Islam.

Mengajar bagaimana mahu berakhlak Islam.

Saya kenal Ma’thurat juga sewaktu di asrama, yang mampu diamalkan hingga ke hari ini.

Pihak asrama membenarkan kami pulang ke rumah selang dua minggu. Sesekali bonda datang melawat, membawa bekalan makanan dari air tangannya di hari minggu, sambil saya mengambil peluang untuk menikmati Cornetto bersamanya di pondok kecil berhampiran asrama. Apa istimewanya Cornetto itu? Kerana bonda yang akan belanjanya. Saya tidak punya kecukupan duit untuk membeli Cornetto sendiri.

Saya masih ingat, setiap dua minggu bonda akan membekalkan wang sejumlah RM25 untuk kegunaan sepanjang dua minggu seterusnya di asrama.

Begitulah kami dididik, walaupun pada waktu itu ayahanda saya telahpun bergelar Menteri Besar.

Masih ramai sahabat-sahabat seangkatan di Maahad dulu masih berhubungan sehingga hari ini, lebih-lebih lagi apabila saya mula berblog. Banyak kenangan saya bersama sahabat-sahabat di Maahad dulu, terutamanya di asrama.

Seronok mengimbau kenangan belajar memasak bersama kawan-kawan seangkatan di ruang dapur yang disediakan di asrama. Pernah pada suatu malam, sekembali dari prep di bangunan sekolah, saya kelaparan, terus saja menuju ke ruang dapur dalam samar-samar cahaya lampu kalimantan, lantas mencedok baki nasi dan sup sayur petang tadi, masih juga enak. Sedang asyik, tiba-tiba…oh, tidak…seekor lipas sedang tertiarap dalam kuah yang saya hirup! Segalanya terbantut!

Jauh

Usai SPM, saya ke Skudai, Johor. Itu juga yang saya mahu, mahu jauh daripada keluarga.

Saya seronok di Skudai, memberi satu pengalaman berharga kepada saya yang sentiasa berkemahuan untuk hidup berdikari. Segalanya saya lakukan sendiri, sehinggalah saya terpaksa menghadap peperiksaan semester terakhir seorang diri! Kerana kelalaian saya melihat jadual peperiksaan…Alhamdulillah, grad juga akhirnya…

Saya agak seronok menjadi warga UTM Skudai suatu ketika dulu, kerana di sana masih ada ruang untuk syiar Islam tersebar luas di kalangan warganya, walaupun tidak dinafikan agak sukar untuk Islam menyinar terang di dalam kampus.

Perjalanan hidup saya bersambung ke KL. Tahun akhir pengajian di UM, saya mendirikan rumahtangga. Tamat sudah kehidupan berdikari saya, yang ada, bergantung harap kepada suami pula.

Hiduplah saya berduaan dengan suami, yang banyak berkorban kerana beristerikan ‘budak sekolah’. Menghadap peperiksaan semester terakhir dengan perut yang sarat mengandung tujuh bulan, saya memang agak malu!

Orang kampung

Sekarang ini saya telah kembali menjadi orang kampung.

Sementelah semenjak menjadi suri, saya lebih menghayati watak orang kampung. Sekali seminggu saya akan ke pasar membeli barang dapur, sebaik sahaja selesai menguruskan anak-anak. Rumah saya berdekatan dengan pasar basah, maka amat senang sekali untuk mencari bahan-bahan dapur, walaupun barangannya sedikit mahal berbanding pasar di Kota Bharu.

Dua minggu sekali pula saya peruntukkan masa untuk membeli keperluan rumahtangga yang lain. Biasanya saya lebih suka membeli di pasaraya besar, sedikit jimat kerana harga barangan di pasaraya besar lebih murah. Peluang membawa seorang dua anak-anak ke pasaraya juga saya gunakan untuk mendidik anak-anak membeli keperluan yang sebenar, bukan secara rambang mengikut nafsu, juga mengajar mereka sedikit kira-kiraan supaya mereka faham nilai wang yang dimiliki dan bagaimana mahu berbelanja secara berhemah.

Jika tidak ke pasar, biasanya saya merumput diawal pagi, melihat pokok-pokok yang ditanam di halaman rumah. Kerana saya pencinta kehijauan, saya akan pastikan halaman rumah saya akan menghijau sebaiknya. Sekarang ini saya berdikit-dikit menanam pokok-pokok, nasib baik punya bibik yang rajin membantu saya menguruskan pokok-pokok yang ditanam itu.

Ini hobi baru saya semenjak bergelar suri, sangat ralit menilik bunga-bunga yang tumbuh subur di halaman rumah, sangat teruja jika ada kuntuman baru yang akan mekar sehari dua lagi. Sekarang ini, sedang menunggu dua kuntuman teratai yang mula muncul di permukaan air untuk mekar cantik!

Maka, sekembalinya saya ke Kelantan, memang sudah jarang benar ke taman, boleh dibilang dengan jari saya mengunjungi Taman Perbandaran Tengku Anis dan Taman Indra Petra. Rasanya sudah cukup saya menyibuk dengan ‘taman’ di rumah.

Kesempatan di halaman, sesekala bersapa dengan jiran tetangga yang lalu-lalang di hadapan rumah. Jiran-jiran juga Alhamdulillah, semuanya baik-baik. Depan rumah saya ada empat jiran utama, saya gunapakai semua kemahiran yang ada pada mereka, tukang masak yang hebat dikala saya ada keraian, tukang jahit baju melayu heroes saya dikala Hari Raya menjelma, pakcik Fauzi yang ringan tulang dan pakcik Mat yang banyak membantu.

Lewat petang, sekembali anak-anak dari sekolah, adakalanya saya menemani mereka bermain di halaman rumah. Seronok melihat mereka berlari-lari berkejaran, namun tidak sehebat pengalaman saya seusia mereka dahulu, tempat permainan saya adalah di hutan!

Saya bersama adik-beradik berserta anak-anak kampung yang lain sangat betah menyelongkar hutan di kampung kami. Sangatlah tidak hairan untuk kami sama-sama memanjat pokok, tarik pelepah pinang, main sorok-sorok, dan banyak lagilah.

Tetapi sekarang ini hutan sudah tiada, yang tinggal sedikit-sedikit itupun sudah tidak lagi selamat kepada kanak-kanak. Bukan takut hantu, tetapi takut kepada manusia yang berperangai mengalahkan hantu. Kalau dulu-dulu, orang tua-tua selalu menakut-nakutkan anak-anak dengan hantu jika bermain di hutan, tetapi sekarang sudah tebalik, anak-anak apalah yang diaorang takutkan, tapi kita sebagai ibubapa sering saja ketakutan jika anak hilang daripada pandangan, takut anak-anak hilang terus, tidak kembali sampai ke sudah!

Kampung

Namun kampung hari ini tidak lagi sama dengan kampung dahulu. Taraf hidup masyarakat kampung sudah agak baik. Saya perhatikan sudah jarang anak-anak kecil ke sekolah berjalan kaki, tidak seperti saya dahulu, paling kurangpun tentunya berbasikal. Itu yang saya kira baik, yang tidak baiknya, remaja kampung kini semakin ‘urban’, yang perempuannya tidak lagi memilih untuk memakai kain batik sarung ketika berada di rumah, tetapi berbaju senteng berseluar ketat, yang lelakinya lebih selesa berpakaian ranggi, siap berantai-rantai lagi, kononnya trend semasa, walaupun sebenarnya sangatlah tidak cantik dipandang, hatta sedikit sebanyak mula menyimpang dari akhlak seorang Muslim.

Menghuni kampung turut memanggil saya untuk benar-benar menjadi orang kampung yang turut sama berperanan dalam mewujudkan satu masyarakat yang sihat. Bukan sahaja kejiranan yang sihat, tetapi mewujudkan satu masyarakat yang terbimbing dalam amalan Islam yang sihat. Saya mahu menjadi jiran yang boleh membawa kebaikan kepada jiran yang lain. Jika saya ‘menegur’ anak-anak jiran saya, begitulah saya mahu mereka ‘menegur’ anak-anak saya jika mereka ada melakukan kesilapan.

Semoga berjayalah saya menjadi orang kampung yang baik!

12.53am