• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2010
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Keraian

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu, saya mengadakan sedikit keraian untuk meraikan empat orang ahli keluarga kami yang menyambut Hari Lahir pada April. Ia tidaklah termasuk saya.

Juga meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ke 11. Tiada janji baru yang dimeterikan, kerana kami hanya pasangan yang ringkas dalam melayari rumahtangga, yang ada hanyalah rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing untuk menjaga keharmonian rumahtangga ini semampu yang boleh.

Satu soalan cepu emas daripada suami, bila nak tambah ahli keluarga? Saya hanya menjawab dengan soalan, perlu tambah lagi ke?

Zuriat seramai enam orang rasanya sudah cukup untuk menghidupkan rumah kami, sudah cukup bising jika kena waktunya, sudah mampu menghangatkan jiwa saya adakalanya, jika sampai pada suhunya, insyaAllah ada yang ‘kena’!

Saban tahun, setiap kali meraikan hari lahir anak-anak, saya akan menjemput hampir 50 orang kanak-kanak sekitar kampung, termasuk anak-anak saudara untuk menikmati kek dan sedikit hidangan yang saya sediakan sendiri.

Seingatan saya, untuk diri sendiri tidak pernah punya majlis sambutan hari lahir sepanjang hayat, sehinggalah ke hari ini. Sekadar beli kek adalah, tapi majlisnya tiada.

Melewati tarikh hari lahir, ada juga dua tiga orang sahabat yang memberi ucapan selamat kepada saya.

Selepas berkahwinpun begitulah juga, sehinggalah saya telahpun beranak-pinak.

Mungkin kerana saya dibesarkan di kampung, maka sambutan majlis Hari Lahir bukanlah satu acara yang ditonjolkan. Lebih-lebih lagi didalam keluarga saya, sambutan untuk meraikan umur yang bertambah, hayat yang berkurang, tidak pernah ada di kalangan kami adik-beradik.

Tahun ini umur saya menjangkau 33 tahun. Alhamdulillah, masih lagi menghirup udara kampung, aura segar dari sebuah sungai yang cantik.

Dewasa

Apabila meningkat dewasa suatu masa dahulu, memang saya pernah berkemahuan untuk menjadi penghuni kampung. Saya sukakan suasananya, dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau dan mahu bersantai di halaman rumah pada petang hari. Syukur Allah mengurniakan rezeki sebagaimana yang saya miliki hari ini.

Selepas berkahwin, hampir dua tahun kami menetap di KL. Kami membina keluarga baru di pangsapuri, tinggallah saya di kayangan, tingkat 14. Tiada apa yang seronok dengan rumah yang sebegini, tiada tanah sendiri untuk dihijaukan, yang ada cuma keindahan pemandangan dan sedikit privacy dari kebisingan jalanan.

Seawal perkahwinan dulu, untuk mencari damai, kami sering saja menghabiskan masa bersama di taman-taman sekitar KL. Sering saja mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa, dan sesekali ke Tasik Perdana. Tidak kurang berkelah bersama adik-beradik lain, yang diwaktu itu kami empat beradik menetap di KL, sehingga ke Hutan Lipur Lentang dan mendaki Bukit Tinggi, tidak lupa menikmati keindahan Janda Baik, untuk lari seketika dari kesibukan kota.

Setiap kali mahu berpergian, kami sepakat untuk masing-masing menyediakan bekalan makanan sendiri untuk dinikmati bersama apabila bersinggahan nanti. Sangat seronok apabila sesekali dapat berkumpul bersama ahli keluarga, mampu mengubat kerinduan kepada ahli keluarga lain yang berada di bumi Kelantan.

Sesungguhnya hidup ini akan merasa lebih tenang dalam kehijauan alam. Menikmati keindahan ciptaan tuhan, mampu mendekatkan rasa kehambaan kepada kehebatan Maha Pencipta alam ini.

Keputusan

Namun akhirnya, saya dan suami mengambil keputusan untuk kembali menghuni bumi Kelantan, mencari titik noktah membesarkan keluarga di sini. Jiwa kami suami isteri sama, tidak betah dengan suasana kehidupan di KL. Kami mahukan kehidupan yang lebih damai…bukan kesibukan yang selalu menghambat di KL.

Kami mencari kehidupan yang lebih tenteram, yang akhirnya merezekikan kami kembali ke kampung halaman. Punya angin yang sepoi-sepoi bahasa, berhampiran dengan sungai yang cantik. Tidak lupa kepada haiwan ternakan orang-orang kampung yang masih juga seperti dahulu-dahulu…meliar masuk ke pagaran rumah kami, kambing, biri-biri, ayam, dan apa lagi ya…ada lagi…juga kepada tupai-tupai yang melompat-lompat dari satu dahan ke dahan pokok-pokok yang tinggi menghijau di sekitar kampung, juga beruk pemanjat pokok kelapa! Sesekali bagaikan di zoo apabila ada juga melintas ular dan biawak! Kus semangat…Sungguh kampung bukan!

Kakak saya yang masih tinggal di KL kala ini, sering saja tidak melepaskan peluang untuk jogging mengelilingi kampung pada setiap pagi, selama mana dia berada di kampung. Selain untuk sihat tubuh badan, dia turut mengutip kenangan barangkali…

Banyak kelainannya apabila kami kembali menetap di kampung, berbanding seketika menghuni KL. Suasana hidup di kampung sangat berbeza, selain sara hidup yang lebih murah, tentunya akan lebih terpesona dengan semangat kejiranan yang lebih terserlah dengan tegur sapa saban hari, dan lebih intim kerana kami semua sering bertemu mata di masjid untuk sama-sama solat berjamaah tika berkesempatan.

Jiwa saya di bumi ini, memang tidak boleh berenggang.

Suasana di Kelantan sangat harmoni bagi saya. Walaupun punya masalah sosial tersendiri, tapi tidaklah sehebat kerosakan yang berlaku di KL. Saya tabik kepada ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak yang hebat di KL, tidak kepada saya mungkin.

Tentunya lebih seronok di bumi kelahiran. Lebih-lebih lagi tinggal berhampiran ayahbonda, apa lagi yang kurang…?

Remaja

Berbeza sewaktu usia remaja dulu, memang saya sukakan kehidupan yang berjauhan daripada keluarga. Kononnya mahu belajar berdikari. Sesi sekolah menengah saya mula tinggal di asrama.

Asrama Maahad yang terletak di tepi jalan utama di Bandar Kota Bharu adalah sebuah bangunan lama, namun masih teguh berdiri, penuh dengan aktiviti keagamaan yang mengajar pelajar-pelajar semua mendekatkan diri kepada tuhan.

Didikannya adalah didikan Islam.

Membesarkan jiwa dengan semangat Islam.

Mengajar bagaimana mahu berakhlak Islam.

Saya kenal Ma’thurat juga sewaktu di asrama, yang mampu diamalkan hingga ke hari ini.

Pihak asrama membenarkan kami pulang ke rumah selang dua minggu. Sesekali bonda datang melawat, membawa bekalan makanan dari air tangannya di hari minggu, sambil saya mengambil peluang untuk menikmati Cornetto bersamanya di pondok kecil berhampiran asrama. Apa istimewanya Cornetto itu? Kerana bonda yang akan belanjanya. Saya tidak punya kecukupan duit untuk membeli Cornetto sendiri.

Saya masih ingat, setiap dua minggu bonda akan membekalkan wang sejumlah RM25 untuk kegunaan sepanjang dua minggu seterusnya di asrama.

Begitulah kami dididik, walaupun pada waktu itu ayahanda saya telahpun bergelar Menteri Besar.

Masih ramai sahabat-sahabat seangkatan di Maahad dulu masih berhubungan sehingga hari ini, lebih-lebih lagi apabila saya mula berblog. Banyak kenangan saya bersama sahabat-sahabat di Maahad dulu, terutamanya di asrama.

Seronok mengimbau kenangan belajar memasak bersama kawan-kawan seangkatan di ruang dapur yang disediakan di asrama. Pernah pada suatu malam, sekembali dari prep di bangunan sekolah, saya kelaparan, terus saja menuju ke ruang dapur dalam samar-samar cahaya lampu kalimantan, lantas mencedok baki nasi dan sup sayur petang tadi, masih juga enak. Sedang asyik, tiba-tiba…oh, tidak…seekor lipas sedang tertiarap dalam kuah yang saya hirup! Segalanya terbantut!

Jauh

Usai SPM, saya ke Skudai, Johor. Itu juga yang saya mahu, mahu jauh daripada keluarga.

Saya seronok di Skudai, memberi satu pengalaman berharga kepada saya yang sentiasa berkemahuan untuk hidup berdikari. Segalanya saya lakukan sendiri, sehinggalah saya terpaksa menghadap peperiksaan semester terakhir seorang diri! Kerana kelalaian saya melihat jadual peperiksaan…Alhamdulillah, grad juga akhirnya…

Saya agak seronok menjadi warga UTM Skudai suatu ketika dulu, kerana di sana masih ada ruang untuk syiar Islam tersebar luas di kalangan warganya, walaupun tidak dinafikan agak sukar untuk Islam menyinar terang di dalam kampus.

Perjalanan hidup saya bersambung ke KL. Tahun akhir pengajian di UM, saya mendirikan rumahtangga. Tamat sudah kehidupan berdikari saya, yang ada, bergantung harap kepada suami pula.

Hiduplah saya berduaan dengan suami, yang banyak berkorban kerana beristerikan ‘budak sekolah’. Menghadap peperiksaan semester terakhir dengan perut yang sarat mengandung tujuh bulan, saya memang agak malu!

Orang kampung

Sekarang ini saya telah kembali menjadi orang kampung.

Sementelah semenjak menjadi suri, saya lebih menghayati watak orang kampung. Sekali seminggu saya akan ke pasar membeli barang dapur, sebaik sahaja selesai menguruskan anak-anak. Rumah saya berdekatan dengan pasar basah, maka amat senang sekali untuk mencari bahan-bahan dapur, walaupun barangannya sedikit mahal berbanding pasar di Kota Bharu.

Dua minggu sekali pula saya peruntukkan masa untuk membeli keperluan rumahtangga yang lain. Biasanya saya lebih suka membeli di pasaraya besar, sedikit jimat kerana harga barangan di pasaraya besar lebih murah. Peluang membawa seorang dua anak-anak ke pasaraya juga saya gunakan untuk mendidik anak-anak membeli keperluan yang sebenar, bukan secara rambang mengikut nafsu, juga mengajar mereka sedikit kira-kiraan supaya mereka faham nilai wang yang dimiliki dan bagaimana mahu berbelanja secara berhemah.

Jika tidak ke pasar, biasanya saya merumput diawal pagi, melihat pokok-pokok yang ditanam di halaman rumah. Kerana saya pencinta kehijauan, saya akan pastikan halaman rumah saya akan menghijau sebaiknya. Sekarang ini saya berdikit-dikit menanam pokok-pokok, nasib baik punya bibik yang rajin membantu saya menguruskan pokok-pokok yang ditanam itu.

Ini hobi baru saya semenjak bergelar suri, sangat ralit menilik bunga-bunga yang tumbuh subur di halaman rumah, sangat teruja jika ada kuntuman baru yang akan mekar sehari dua lagi. Sekarang ini, sedang menunggu dua kuntuman teratai yang mula muncul di permukaan air untuk mekar cantik!

Maka, sekembalinya saya ke Kelantan, memang sudah jarang benar ke taman, boleh dibilang dengan jari saya mengunjungi Taman Perbandaran Tengku Anis dan Taman Indra Petra. Rasanya sudah cukup saya menyibuk dengan ‘taman’ di rumah.

Kesempatan di halaman, sesekala bersapa dengan jiran tetangga yang lalu-lalang di hadapan rumah. Jiran-jiran juga Alhamdulillah, semuanya baik-baik. Depan rumah saya ada empat jiran utama, saya gunapakai semua kemahiran yang ada pada mereka, tukang masak yang hebat dikala saya ada keraian, tukang jahit baju melayu heroes saya dikala Hari Raya menjelma, pakcik Fauzi yang ringan tulang dan pakcik Mat yang banyak membantu.

Lewat petang, sekembali anak-anak dari sekolah, adakalanya saya menemani mereka bermain di halaman rumah. Seronok melihat mereka berlari-lari berkejaran, namun tidak sehebat pengalaman saya seusia mereka dahulu, tempat permainan saya adalah di hutan!

Saya bersama adik-beradik berserta anak-anak kampung yang lain sangat betah menyelongkar hutan di kampung kami. Sangatlah tidak hairan untuk kami sama-sama memanjat pokok, tarik pelepah pinang, main sorok-sorok, dan banyak lagilah.

Tetapi sekarang ini hutan sudah tiada, yang tinggal sedikit-sedikit itupun sudah tidak lagi selamat kepada kanak-kanak. Bukan takut hantu, tetapi takut kepada manusia yang berperangai mengalahkan hantu. Kalau dulu-dulu, orang tua-tua selalu menakut-nakutkan anak-anak dengan hantu jika bermain di hutan, tetapi sekarang sudah tebalik, anak-anak apalah yang diaorang takutkan, tapi kita sebagai ibubapa sering saja ketakutan jika anak hilang daripada pandangan, takut anak-anak hilang terus, tidak kembali sampai ke sudah!

Kampung

Namun kampung hari ini tidak lagi sama dengan kampung dahulu. Taraf hidup masyarakat kampung sudah agak baik. Saya perhatikan sudah jarang anak-anak kecil ke sekolah berjalan kaki, tidak seperti saya dahulu, paling kurangpun tentunya berbasikal. Itu yang saya kira baik, yang tidak baiknya, remaja kampung kini semakin ‘urban’, yang perempuannya tidak lagi memilih untuk memakai kain batik sarung ketika berada di rumah, tetapi berbaju senteng berseluar ketat, yang lelakinya lebih selesa berpakaian ranggi, siap berantai-rantai lagi, kononnya trend semasa, walaupun sebenarnya sangatlah tidak cantik dipandang, hatta sedikit sebanyak mula menyimpang dari akhlak seorang Muslim.

Menghuni kampung turut memanggil saya untuk benar-benar menjadi orang kampung yang turut sama berperanan dalam mewujudkan satu masyarakat yang sihat. Bukan sahaja kejiranan yang sihat, tetapi mewujudkan satu masyarakat yang terbimbing dalam amalan Islam yang sihat. Saya mahu menjadi jiran yang boleh membawa kebaikan kepada jiran yang lain. Jika saya ‘menegur’ anak-anak jiran saya, begitulah saya mahu mereka ‘menegur’ anak-anak saya jika mereka ada melakukan kesilapan.

Semoga berjayalah saya menjadi orang kampung yang baik!

12.53am

« »

9 Responses

  1. senang betul saya melihat perjalanan hidup akak. Tidak berpeluang untuk merasakan apa yang telah akak rasanya,,,,,,, Secara jujurnya saya masih mencari “rentak” sebegitu dalam hidup saya…..saya masih positif dengan diri saya di mana saya ada ruang untuk menjadi muslimah se”baik” akak….

    • Setiap individu itu ada susah senangnya sepanjang kehidupan. Peluang untuk mendapat yang terbaik ada di mana-mana. Pentingnya kita sentiasa positif setiap kali memulakan hari baru.

      All the best!

  2. Salam ukhuwah Puan Nik Amalina,

    Seronok saya baca blog puan. Saya sudah berkahwin dan berusia 40an (pangkat kakaklah). Sudah bekerja lebih kurang 20 tahun. Memang hajat saya kalau ekonomi dah stabil ingin juga jadi suri rumah. Namun hingga ke hari ni masih hasrat ini terpaksa ditangguhkan memandangkan saya ada 4 orang cahaya mata yang sedang membesar. Gaji suami pula kurang daripada saya. …. InsyaAllah saya berhajat kalau dah stabil ekonomi ingin berhenti kerja sebelum usia 54 tahun…. 3 orang anak saya di sekolah swasta Islam, sebab tu banyak belanja. And saya pun ada maid… Memang bagi saya maid adalah satu kemestian, sebab saya pun sejak kecik walaupun mak saya suri rumah, ayah saya selalu pastikan ada pembantu rumah utk membantu mak saya di rumah agar tidak kepenatan…. Salam berkenalan dengan Nik Amalina. Puan punyai bakat dalam menulis… Salam. Nik Najihah

    • W’lam…

      Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya.

      Saya tabik sebenarnya kepada wanita berkerjaya. Ada manfaat yang besar baginya.

      Untuk jiwa saya, berada di rumah itu adalah lebih baik. Tetapi bukan kerana ekonomi keluarga saya sudah stabil, dan saya rasa dengan usia sebegini jauh lagi untuk keluarga saya berada pada tahap ekonomi yang memuaskan.

      Apabila saya menyuarakan kepada suami untuk berhenti kerja, dia minta saya tangguh, alasannya adalah ekonomi. Tapi saya tekad demi anak-anak kecil yang saya lihat lebih memerlukan saya di rumah.

      Apabila saya berhenti kerja memang ekonomi rumahtangga sedikit terkesan. Tapi kami sama-sama cuba mengharungi ketidakselesaan yang sementara ini, lama-lama kalau dah biasa tidaklah rasa beban sangat.

      Satu yang saya kagum, rasanya tidak ramai suami sehebat ayah Puan Nik yang mampu menyediakan pembantu rumah kepada isteri yang bergelar suri rumah sejak dahulu lagi.

      Semoga tautan ukhuwah ini akan berpanjangan…

      • Assalamu’alaikum Nik Amalina, sebenarnya saya dah lama menjadi “peminat” ayah puan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya bercita-cita bila saya balik ke KB suatu hari nanti, nak ziarah Tuan Guru, dia merupakan idola saya sejak sekian lama. …..Dia merupakan pemimpin Islam sejati….Kampung mak dan ayah saya dekat Jalan Atas Paloh dan Jalan Merbau dkt Kubang Pasu…. walaupun saya dibesarkan di KL, saya bangga dilahirkan di Kota Bharu….

        Walaupun saya lebih senior daripada Nik Amalina, dari sudut ilmu agama, ilmu saya sangat sedikit…. Nak tanya puan sikit, puan ada tips untuk berkongsi agar memperolehi anak-anak yang soleh dan solehah serta lebih mendengar kata… Anak saya yang bongsu berusia 8 1/2 tahun dan sangat keras, suka membantah cakap saya dan agak aggressive bila kita tegur atau marah mesti dia akan lawan balik. Puan boleh beri pandangan dan juga ada do’a khusus supaya hati anak saya lebih lembut dan mendengar kata…

        Ya, saya mempunyai ayah yang sangat baik dan lembut hati, jarang sekali dia marah anak-anak kecuali apabila lambat solat dan tak rajin baca buku masa sekolah-sekolah dulu. Dia juga selalu pentingkan dan melebihkan isteri dan anak-anak apabila membeli baju dan juga keperluan lain. Dia tak kisah pakai baju lama asalkan isteri dan anak-anak dapat baju baru….. Seingat saya dari saya lahir, anak ketiga dari lima adik beradik memang mak saya sungguh beruntung kerana disediakan dua pembantu rumah, bila kami dah sekolah menengah baru lah 1 pembantu rumah full time dan 1 pembantu rumah yang datang balik hari….. Sebab tu agaknya saya tak boleh “survive” tanpa pembantu rumah….. Rasa mcm patah kaki dan tangan tanpa maid….

        InsyaAllah bila saya nak balik Kelate, saya akan inform puan, manalah tahu saya ada rezeki dan kita dapat berjumpa… Puan ada adik nama Nik Salsabila kan? Saya rasa pernah terbaca dlm majalah tahun 1990an dulu…

  3. salamualaikum ukhti Nik Amalina.
    salam ukhuwah dari akak dan keluarga dari australia.
    may be you don’t know me.but always follow yr blog.
    utk pengetahuan Nik,husband akak amat menghormati ayahanda Nik,akak org malaysia,suami australia.suami akak pernah berjumpa ayahanda Nik satu masa dulu.my husband name is Hassan Ali Aggag.
    salam dr akak.

    • W’lam…

      Dari jauh rupanya datang bertandang, Alhamdulillah…semoga tautan hati sebagai Muslim akan mendekatkan jiwa-jiwa kita semua.

  4. Lama tak singgah di blog akak. Sekarang kembali. Secara mudahnya, Kelantan lebih harmoni. Tetapi, jika diteliti pengalaman hari demi hari, saya rasa banyak yang tidak berapa menyenangkan hati. Saya makin banyak kecewa dengan cara dan gaya hidup rakyat Kelantan kini.
    Saya menyimpan banyak memori duka di sini sekembalinya dari KL. Walaupun KL itu kalut, bising, hinggar, namun ada juga terselit kebaikannya yang dapat saya bandingkan. Saya seperti akak, pernah tinggal di KL selama hampir 3 tahun, dan pulang ke kampung halaman selepas itu, dan saya punya pengalaman sendiri. Jika akak di Johor, saya di utara, Pulau Pinang USM. Apa-apa pun kita tetap sama di maahad.

    Panjang kisahnya jika hendak ditintakan, tetapi pemikiran rakyat kelantan dan masyarakat di sini tidak seperti dulu. Mungkin agak celupar jika saya katakan, orang-orang di sini ramai yang jumud. Pemikiran kampung sukar menerima kebaikan jika datangnya dari mereka yang ‘tidak sefahaman’. Banyak yang berdengki, iri, dan terlalu ramai yang gila dengan harta. Maaf, saya bukan ingin mencemuh bangsa sendiri, kampung sendiri, negeri sendiri, kerana ia seolah meludah ke muka sendiri. Tetapi, saya akur ada kelemahan orang-orang kita perlu diakui.
    Lain orang lain pengalaman, lain kehidupan, lain ujian dan lain pendapatnya. Kita sama-sama hormati. Semoga Kak Na bahagia dengan pilihan Kak Na, dan kekal gembira dengan pilihan itu.🙂

    • Terima kasih kerana kembali…

      Setiap orang itu punya pengalamannya sendiri, tapi bagi akak kita lah yang kena jadi diri sendiri. Akak percaya tinggal di negeri lain pun sama juga, akan ada masalah yang tidak menyenangkan hati kita, namun kembali ke pangkuan tanah tumpah sendiri itu adalah jauh lebih baik.

      Akak cuma satu je tak suka kat Klate ni, corak pemanduan di jalan raya…sangatlah tidak menyenangkan! Tapi apakan daya, jalan tu jugaklah yang kita kena gunakan.

      Kesimpulannya, mana-mana kita pergi pun, masalah tetap akan wujud kerana kita hidup dalam masyarakat. Mungkin di Klate kita tak suka kerana pemikirannya yang jumud, kita pergi ke lain, lain pula yang kita tak suka, mungkin gaya hidup yang advance sangat, tidak sesuai dengan pembawaan kita ini.

      Pentingnya kita perlu bertolak ansur, dan fikirkan yang terbaik bagaimana untuk memudahkan perjalanan hidup kita setiap hari. Jika perlu mengalah hari ini, mengalahlah, mungkin ia berbaloi untuk hari esok. Lama-lama nanti insyaAllah, kita akan menghargai apa jua yang ada di sekeliling kita…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: