• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2010
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Ibu

Salam Ukhuwah…

Jika sahabat semua pernah tahu tentang seseorang yang bernama Maryamah Karpov (MK), maka dia adalah seorang wanita gemuk bertudung, yang matanya bengkak kerana banyak menangis, berusia separuh umur dan malang perjalanan hidupnya.

Gambaran perwatakan wanita ini saya ceduk dari Sang Pemimpi (SP), tentunya hasil seni dari penulis yang saya sedikit obses, Andrea Hirata. Jika ada sahabat yang belum membaca MK dan berminat untuk membacanya, maka terlebih dahulu perlu memiliki SP untuk lebih berpengetahuan tentang siapa MK.

Sangatlah belas kerana MK merupakan seorang isteri yang ditinggalkan suami, seorang ibu yang perlu menyara keluarganya sekudrat yang ada, sehingga pernah beberapa kali dalam seminggu meminjam beras dari jiran sekampung untuk meneruskan hidup. Walaupun dikatakannya sebagai meminjam, tetapi sebenarnya MK tidak pernah mampu untuk menggantikan beras itu walau selama manapun dia membuat janji, bukan kerana tidak mahu menepati janji, tetapi kerana hidupnya tiada apa, kosong!

Anak-anaknya semua kurus, bukan kurus semulajadi, tetapi kurus kerana kekurangan gizi. Jika pula dapat diselami, kelihatan diraut wajah anak-anaknya itu satu tekanan perasaan yang amat.

Kasih Sayang

Watak MK mengisahkan tautan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Moralnya, walau terpaksa menebal muka membuka aib, jika sudah hilang pergantungan, maka si ibu akan sanggup melakukan apa saja, asal saja anak-anak tidak terkesan dengan keperitan sebuah kehidupan.

Saya sebenarnya terkesan dengan babak itu. Pengorbanan seorang ibu untuk membesarkan anak-anaknya. Saya tidak pernah mengalami keadaan sebegitu getir dalam kehidupan ini. Tetapi sudah acap kali melewati keadaan yang sedemikian, daripada wanita yang bergelar ibu, yang datang mengadu keperitan hidup kepada ayahbonda saya semenjak dahulu-dahulu lagi.

Saya akan sentiasa berdoa semoga sesekali tidak akan menerima nasib semalang MK. Semoga anak-anak saya berpanjangan mendapat perlindungan sewajarnya daripada seorang ayah, dan berterusan mendapat kasih sayang sejati daripada seorang ibu. Jika pun saya seorang ibu yang teruk, akan dipanjatkan doa yang tiada hujungnya semoga anak-anak ini menjadi manusia yang berguna untuk Islam. Inilah hakikat kemahuannya. Saya percaya keinginan seorang ibu dengan ibu yang lain tidak jauh bezanya.

Jika kelaparan mampu mencabar wibawa seorang ibu seperti MK, bagaimana pula apabila menghadapi anak-anak yang sedang kesakitan? Tentunya seorang ibu juga turut gundah gulana.

Bersabar

Saya pernah melaluinya beberapa tahun yang berlalu. Si sulong saya yang dilahirkan normal, tanpa disedari mempunyai ketumbuhan Hemangioma (pertumbuhan pembuluh kapilari) di dahi, mula kelihatan bintik merah pada usia lebih kurang dua minggu, dan makin membesar dari hari ke hari, sehingga tumbesarannya ‘mati’ diusia enam bulan. Sebagai ibu, saya cuba sedaya upaya untuk memulihkannya. Sehingga usianya menjangkau lima tahun, saya mengambil keputusan untuk membuangnya melalui pembedahan kecil, yang dikenali sebagai cosmetic surgery.

Dalam tempoh lima tahun itu, saya belajar untuk lebih bersabar. Pergi ke mana sahaja, dengan membawa si kecil yang mempunyai benjolan merah sebesar ibu jari di dahi, sungguh akan menarik perhatian ramai. Saya tidak akan menyembunyikan dia daripada khalayak, saya positifkan minda bahawa ini adalah satu cara bagaimana Allah mahu mendidik saya.

Tempoh yang bertahun itu juga saya berulang-alik ke hospital memenuhi temujanji dengan doktor. Kata positif daripada doktor yang merawat, sebelum mencapai umur satu tahun, Hemangioma ini akan hilang secara semulajadi. Sebaliknya yang berlaku, ia tetap kekal disitu sehingga terpaksa membuangnya melalui pembedahan kecil.

Paling penting adalah motivasi, untuk diri sendiri, dan tentunya untuk anak itu sendiri. Walaupun masih kecil, tidak tahu untuk meluah perasaan, namun naluri ibu tetap berkata, bahawa dia malu dengan kelainan yang ada pada dirinya. Jangan sesekali sisihkan anak-anak yang istimewa ini, berikan mereka yang terbaik. Anak-anak kecil ini tidak mengerti apa-apa, maka kita ibubapalah yang sepatutnya sentiasa memberikan mereka yang terbaik.

Saya motivasikan anakanda dengan kecantikan, almaklumlah perempuan…Saya katakan kepadanya, bahawa dia akan lebih cantik apabila tanda itu dibuang. Dalam hati hanya Allah saja yang tahu, bahawa tiada yang lain saya mahukan, melainkan mahu pembedahan itu selamat dan anakanda kembali menjadi seorang kanak-kanak normal sebagaimana yang lain. Saya mahu dia sihat, lebih dari itu, tiada rasa rendah diri dengan kekurangan yang ada padanya.

Selama tiga hari saya menemaninya di wad, Alhamdulillah anakanda yang ini jarang merengek, tidak menunjukkan rasa takut, malah tidak menangis apabila disuntik. Dia bertahan seadanya. Saya membekalkannya banyak bahan bacaan, termasuklah buku mewarna. Naluri seorang ibu berkata, bahawa dia juga mahu tandanya dibuang. Dia dengan rela diperlakukan apa saja oleh pihak hospital. Disuakan ubat, dia makan, mahukan darahnya, dia rela disuntik, disuruh berpuasa sebelum pembedahan dilakukan, dia rela berlapar untuk seketika. Tidak sekalipun dia menangis keterlaluan. Cuma sekali saja, apabila biusnya tidak menjadi, dia meraung sekuat hati apabila dirinya tersedar semasa dalam ‘terowong’ ct scan!

Saya percaya bahawa saya seorang ibu yang berjiwa kuat. Pernah Doktor Pakar yang merawat anakanda menyatakan bahawa saya seorang ibu yang degil! Sehinggakan sebelum anakanda  dibawa ke bilik pembedahan, tiada setitikpun air mata saya menitis, walau melihat kedua-dua belah kelopak mata anakanda membengkak bagaikan mahu pecah sehari sebelum itu, selepas disuntik ubat untuk menahan pengaliran darah ke benjolan tersebut.

Ketika pembedahan sedang dilakukan, sememangnya ada debar di hati saya. Namun cuba  dielakkan untuk berfikir yang bukan-bukan, maka saya layan bicara sambil makan bersama suami di cafe hospital.

Akhirnya air mata saya bergenang juga, apabila doktor memaklumkan bahawa pembedahan itu berjalan lancar, dan anakanda selamat keadaannya. Saya lihat sebuah keceriaan di wajah anakanda apabila memaklumkan kepadanya bahawa tandanya sudah tiada lagi.

Tidak dapat dinafikan, saya agak fobia untuk melahirkan lagi selepas itu. Takut-takut perkara sama berulang lagi.

Bertuah

Sangatlah bertuah kepada setiap anak mempunyai ibubapa yang melayan baik kehidupan mereka. Ada bezanya sayang seorang ayah dan kasih seorang ibu. Itu adalah fitrah kejadian Allah. Seorang ayah akan sentiasa bersedia untuk memberi perlindungan dan memahami keperluan sebenar keluarganya, manakala seorang ibu, dengan fitrah kelembutan seorang wanita,  akan lebih berperanan dalam mendidik dan memberi ketenangan jiwa kepada anak-anak ini.

Sepuluh tahun yang lalu saya mula menggalas cabaran seorang ibu. Maka saya mula percaya bahawa setiap ibu yang normal, yang waras fikirannya, akan mempunyai naluri yang sama, akan kasih kepada zuriat yang dilahirkannya dengan susah payah. Tentunya akan sentiasa berusaha untuk melindungi anak-anak ini daripada sebarang kesulitan sepanjang hayat mereka, selagi dia mampu. Hanya ibu yang gila sahaja sanggup mendera zuriat mereka sendiri!

Dalam membentuk sebuah keluarga yang berjaya, peranan serentak yang dimainkan oleh ibubapa sangatlah diperlukan. Samada bapa mahupun ibu, salah seorang hendaklah membawa perwatakan tegas dan berdisiplin, diseimbangkan dengan seorang lagi yang berlembut dan mendidik. Jika disatukan watak ibubapa yang baik ini, akan mampu membentuk peribadi mulia terhadap anak-anak, baik dari aspek akidah, iman dan pemikiran.

Berdoa

Maka, marilah kembalikan perasaan ini kepada ibu-ibu kita dahulu kala, yang membesarkan anak-anak mereka itu sehingga jadilah sebagaimana hari ini. Tentunya banyak onak duri yang terpaksa mereka lewati sepanjang kehidupan membesarkan kita semua, pastinya telah dilalui dengan sebuah kesabaran yang tinggi. Hal yang demikian, bersamalah mendoakan kesejahteraan seorang ibu yang melahirkan kita semua ke dunia ini, tiada yang lebih baik daripada seorang ibu, sesungguhnya syurga itu ada pada redhanya.

Jangan sesekali mengguris perasaan lembutnya, berdoalah untuk diampunkan segala dosa-dosanya, berdoalah juga untuk menjadikan kita anak-anak soleh untuk ibubapa yang telah banyak mengharung susah payah menjadikan kita sebagai seorang manusia!

Jangan sesekali kita merasa rugi dilahirkan oleh ibu yang ini. Percayalah bahawa setiap ibu itu ada keistimewaannya. Jika mampu, tiada ibu yang mahu mati awal, tanpa melihat terlebih dahulu kejayaan yang akan diraih oleh anak-anaknya. Setiap ibu jika diberi pilihan, tentunya akan sentiasa mahu bersedia membantu anak-anaknya walau sesukar manapun, walau seusia berapa pun anak-anaknya itu.

Selamat Hari Ibu…

6.24pm

12 Responses

  1. Salam ziarah…salam kenal…semoga semua ibu diberi balasan pengorbanan yang setimpal di akhirat kelak.

    Teruskan menulis…teruskan berkongsi…

    • salam…

      Terima kasih atas kesudian menziarah…

      Semoga kita semua juga mampu menjadi ibu yang terbaik buat zuriat yang diamanahkan Allah kepada kita, insyaAllah!

  2. Salam Puan Nik Amalina,

    Saya turut merakamkan ucapan “Selamat Hari Ibu” kepada puan dan semua ibu-ibu yang telah banyak berkorban. Semoga setiap pengorbanan dan keiklhlasan mendapat balasan yang setimpal, insyaAllah.

    Saya seronok baca blog puan, semoga lebih banyak lagi cerita-cerita menarik…. yang boleh dikongsi bersama. Salam. Nik Anne

  3. Saya mohon nik amalina memberi pandangan tetang riak.

  4. Bumi Kelantan adalah bumi yang penuh barakah. Walaupun kami tinggal jauh di Utara malaysia saya sempat menghantar anak perempuan di Maahad Muhamadi dan anak lelaki di Tahfiz Sain Tanah Merah.Mereka kini sedang melanjut pelajaran di IPTA dalam negeri.Syukur kepada Allah yg memudahkan urusannya kerana proses kemasukan kesekolah ini penuh dgn persaingan yg bersih.Minggu depan salah seorang anak saya akan mendaftar di Nilam Puri sementara menempatkan ia ke University Malaya. Setelah sekian lama tidak menziarah Kelantan, alangkah syukurnya pemberian Allah ini. Muga Kelantan terus di bawah pemerintahan ulama. andai BN kembali berkuasa maka sudah pasti sekolah YIK akan dipeti sejukkan

    • Seronok saya membaca cerita mengenai kejayaan anak-anak saudara. Melihat kepada perkembangan anak-anak saya menjadikan saya kadang-kadang amat takut untuk melihat masa depan mereka. Namun saya gagahkan diri cuba memberi yang terbaik kepada mereka, mudah-mudahan mereka juga mampu bersaing secara sihat untuk mendapat tempat terbaik di alam persekolahan menengah nanti, insyaAllah.

      Tahniah buat saudara dan isteri yang sebahagian hidupnya sudah mampu tersenyum puas melihat kejayaan anak-anak yang dididik sempurna. Bak kata mak saya, menyediakan anak-anak yang baik untuk menjadikan mereka menantu yang baik kepada pasangan yang baik-baik.🙂

      Tapi anak-anak saya kecik-kecik lagi…🙂

      Sampaikan salam saya untuk isteri saudara.

  5. Salam Puan Nik Amalina,
    Apa khabar? Kenapa sunyi sepi. Saya tertunggu-tunggu berita daripada puan. Harap puan kembali dengan artikel baru. Saya seronok membaca nukilan puan sebab sangat membangun dan memberi pengajaran….

    Salam.
    Nik Anne

    • Alhamdulillah, sihat sokmo…
      Kalau saya menyepi buat seketika, adalah tu saya pergi ‘bertapa’ kat mana-mana…🙂

      InsyaAllah saya akan sentiasa kembali ke sini…

  6. salam puan seri..
    rasa2 agak terlewat buat wishes kat ibu2..outstation…untuk semua kaum2 ibu, Selamat menyambut hari IBU, selamat sejahtera semoga diberi penuh dengan kerahmatan di panjangkan umur dan dimurahkan rezeki dari ALLAH..amin..
    memang benar pengorbanan ibu x kan terbalas oleh kita semua.. yang pastinya kita merasainya bila kita dah ada keluarga sendiri..,sebagai seorang bapa,saya dapat menyelami perasaan ini bersama2 isteri tersayang,,
    sebagaimana ibu kita menjaga dan melayan kerenah2 anak2, x pernah bersunggut langsung..untunglah bagi mereka2 yang ibu/bapa tinggal berhampiran, boleh jenggok2 selalu..jgnlah kecikan hati mereka…
    yeop selalu teringgatkan mak2 di kampung…maanusia yang teramat penyabar..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: