• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2010
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Guru

Salam Ukhuwah…

Harapan saya semoga sahabat semua dalam keadaan sejahtera hendaknya.

Saya pasti pada minggu ini ramai di kalangan anak-anak kita beria-ia meminta dibelikan sesuatu  untuk dihadiahkan kepada guru-guru mereka sempena Hari Guru yang disambut pada Ahad yang lalu.

Saya juga begitu, turut serta dalam memberi sambutan dan penghargaan kepada guru-guru yang mengajar dan mendidik anak-anak di sekolah.

Bagaimana cara kita untuk menunjukkan penghargaan dan penghormatan kepada guru, terpulanglah kepada kemampuan masing-masing. Mungkin boleh diberikan hadiah, mungkin juga sebagai ibubapa perlu menghubungi guru-guru untuk mengucapkan terima kasih atas kesudian mereka mengajar dan mendidik anak-anak kita, jika mereka selesa, boleh juga kita membawa anak-anak bersama mengunjungi rumah guru dengan membawa sedikit buah tangan.

Cita-cita

Pernah saya bercita-cita menjadi guru, tetapi tidak kesampaian, kerana sememangnya tidak pernah layak menjadi guru. Saya kekurangan tahap kesabaran dalam menghadapi karenah kanak-kanak, mahupun pelajar remaja.

Kisah seorang guru banyak pahit manisnya, tentunya bahagia apabila disayangi murid-murid sekalian, tentunya derita apabila impian yang diharapkan kepada murid-murid untuk berjaya kehidupan mereka, berkecai diseparuh jalan.

Apapun, saya pernah menjawat jawatan ‘ustazah Fardhu ‘Ain’ – sebagai guru ganti sahaja -, untuk tempoh beberapa minggu. Tidak banyak kenangan yang saya simpan dalam tempoh sesingkat itu, tetapi masih ada ingatan untuknya.

Saya mengajar Fardhu ‘Ain (FA) di sebuah sekolah kebangsaan di Kota Bharu. Murid-muridnya sebilangan besar di kalangan anak-anak orang berada, tidak seberapa takutkan guru dan tidaklah sangat berminat untuk belajar ilmu-ilmu dalam silabus FA.

Banyak ragam murid-murid ini ketika berada di dalam kelas. Kerana mahu mengelakkan amarah menguasai diri, maka saya perlu mencari idea terbaik untuk menakluk mereka dari terus menunjukkan ragam yang bermacam-macam. Maka saya menggunapakai kekurangan yang ada pada diri sendiri. Kerana sangat tidak suka menulis di papan hijau akibat tulisan yang tersangatlah tidak cantik, saya menggalakkan mereka menulis sesuatu di papan hijau dengan menggunakan tulisan jawi.

Nampaknya idea itu menjadi apabila mereka sungguh seronok menjadi ‘cikgu’ di hadapan kawan-kawan yang lain. Sementelah pula setiap kali mereka berjaya mengeja dengan betul menggunakan tulisan jawi, saya dan yang lain akan memberikan tepukan gemuruh kepada murid berkenaan. Itulah antara pengalaman saya menjadi cikgu yang tak berapa nak menjadi! Barulah saya sedar bahawa, apabila kita berkeinginan kepada sesuatu, haruslah disulami dengan minat yang mendalam, bukan sekadar ikut-ikutan.

Peranan

Sangat tidak dinafikan bahawa peranan seorang guru kini amatlah besar terhadap perkembangan murid-murid hari ini. Sementelah sejak kebelakangan ini agak ramai ibubapa sering lepas tangan dan memandang mudah kepada perkembangan jatidiri anak-anak mereka. Maka, secara tidak langsung seolah-olah tanggunjawab mengajar dan mendidik itu menjadi perkara serentak yang harus dipikul oleh seorang guru. Lebih parah andai anak yang buat hal dan mula menconteng arang ke wajah ibubapa, para guru pula dipersalahkan dengan mudah.

Jika di sekolah, tanggungjawab untuk mengajar dan mendidik diberi kepada para guru, maka tidak dapat tidak, guru akan dipersalahkan apabila ada murid-muridnya tidak menjadi seorang manusia yang baik. Kemungkinan ini berlaku kerana akhlak sebahagian guru juga tidak elok.

Amat mendukacitakan apabila ada sebilangan guru kini sangat betah menunjukkan perilaku yang tidak berakhlak kepada murid-murid mereka. Merokok di hadapan pelajar, tidak memberi galakan dan motivasi membina kepada pelajar-pelajar yang lemah, berkasar yang berlebihan ke atas murid-murid, dan mungkin banyak lagi perilaku yang tidak baik ini harus disisihkan daripada insan yang bergelar guru, kerana umum mengetahui betapa mulianya tugas sebagai seorang guru.

Andai guru sendiri tidak tahu untuk mendisiplinkan diri, sangatlah tidak pelik jika murid-muridnya langsung tidak tahu untuk berdisiplin. Sesungguhnya untuk mendapatkan pelajar-pelajar yang berakhlak baik, sewajarnya para gurulah yang menjadi contoh teladan utama kepada mereka.

Jikapun seorang guru itu hebat dalam melontarkan ilmunya, adalah jauh lebih hebat sebenarnya jika guru tersebut disulami dengan akhlak yang baik, barang tentu pengaruh dirinya itu sangat mampu menakluk setiap murid untuk menghormatinya, jauh lebih bisa akhlaknya berbanding setiap patah kata yang dituturkannya.

Namun, jangan hanya memberi telunjuk kepada guru, sepatutnya setiap anggota masyarakat itu harus berperanan baik. Sebenarnya, untuk membentuk sebuah masyarakat yang baik, secara efektifnya, kitalah yang terlebih dahulu harus menjadi baik. Sebelum kita berkemahuan untuk mengubah situasi semasa yang kelihatannya sangat tidak patut, amat patut kita melihat kepada diri sendiri terlebih dahulu. Dalam maksud yang mudah, jadilah kita sebagai seorang manusia yang baik, mudah-mudahan orang lain di sekeliling kita juga boleh mengambil contoh teladan daripada kita, insyaAllah.

Mendidik

Begitu juga dalam kita mendidik, baik sebagai seorang guru, malah ibubapa, sepatutnya untuk memiliki anak-anak yang baik akhlaknya, haruslah adab sopan itu sudah menjadi jati diri kepada diri pendidik. Usah mengimpikan yang muluk-muluk kepada anak-anak andai diri sendiri pun masih terumbang-ambing melawan nafsu keduniaan.

Maka, jika ibubapa tidak baik perilakunya kepada anak-anak, usah segan untuk melihat peribadi yang sedemikan akan melekat kepada diri anak-anak ini. Tidak perlu menunggu lama, anak-anak yang berusia tadika pun sudah mampu menciplak apa yang ibubapanya perlakukan di hadapan mereka. Harus dipanjangkan lagi, ia bukan hanya fotostat kepada anak-anak kita, malah keturunan kita sebenarnya.

Sudah tentu untuk berharapan orang di sekeliling kita mampu berubah kearah kebaikan, maka dahulukan dengan mengubah diri sendiri sewajarnya. Namun, jangan pula sehingga kita takut untuk menegur kearah kebaikan semata-mata diri sendiri buruk perilakunya, tapi haruslah kita punya kesedaran bahawa akhlak yang baik itu lebih berperanan berbanding butir bicara yang kita sampaikan. Maka berubahlah kearah yang lebih baik dengan seikhlas hati, mudah-mudahan ia menjadi sebati sebagai darah daging kita untuk menghadap Ilahi, insyaAllah.

Akhirnya, saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, samada guru yang pernah mengajar saya secara langsung, secara tidak langsung, kepada guru anak-anak saya, kepada guru-guru yang sudi menjenguk blog saya ini, dan kepada semua guru yang tidak kira di mana mereka berada. Saya doakan semoga anda semua terus bermotivasi untuk menabur ilmu demi kebaikan anak bangsa, insyaAllah!

8.20am

« »

2 Responses

  1. Alhamdulillah, seronok kerana dapat membaca nukilan terbaru dalam blog puan.

    Saya juga sama mcm puan masa muda-muda, kecil-kecil dulu
    teringin jadi guru tapi bila dah dewasa, saya pun kurang tahap kesabaran, dan rasanya tidak sesuai jadi guru…. So saya kerjalah kat pejabat sebagai pengurus….But satu hari nanti saya berhasrat kalau dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki ingin buka tadika, dan jadi guru besar….InsyaAllah sekiranya diizinkan Allah, nothing is impossiblekan?

    • Saya juga memang sangat tidak sesuai jadi guru, tapi semenjak saya mula bekerja sampailah ke hari ini, jika pertama kali bersua dengan seseorang, soalannya; kerja cikgu ke? kalau tak pun, ustazah ya…alahai, memang langsung tak de muka pejabat!

      Saya sangat menyokong jika puan ingin buka tadika, lebih-lebih lagi yang berkonsepkan Islamik, jika pulak yuran bulanannya yang mampu dibayar oleh kebanyakan ibubapa. Orang kata, sebelum menjadi kenyataan ianya bermula dengan berangan dulu…insyaAllah menjadi lah tu…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: