• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2010
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  

Padat

Salam Ukhuwah…

Cuti persekolahan yang baru saja berlalu sungguh padat buat saya.

Saya memulakan percutian dengan menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Terengganu.  Sudah lama saya tidak ketemu dengan sepupu yang seorang ini, sudah bergelar doktor rupanya, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Saya yang sangat suka menghadiri majlis perkahwinan, tentunya tidak melepas peluang melihat tatarias ratu sehari. Entah apalah penyakit yang menimpa saya, sentiasa terkesan dengan majlis perkahwinan. Seronok melihat yang cantik-cantik!

Hampir satu jam juga di majlis itu, saya dan suami sudah sepakat untuk mengambil peluang cuti persekolahan kali ini untuk membawa anak-anak bersantai di kolam. Maka kami terus saja check-in di resort berhampiran. Terima kasih kepada pengurusan resort yang memberikan layanan baik kepada kami. Masih ingat lagi rupanya mereka kepada kami yang pernah bermalam di sana lebih kurang setahun yang lalu.

Usai solat qasar dan jama’ fardhu Zohor dan Asar, terus saja saya melepaskan anak-anak ke kolam. Tidak peduli kepada bahang terik mentari jam 2.30 petang, anak-anak saya ‘merasmikan’ kolam pada waktu itu. Tiada yang lain! Hanya yang berlima itu, si kecil saya tinggalkan bersama bibik di rumah. Saya hanya memerhati dari tepian. Penyakit saya seterusnya, tidak tahu main air! Sepuas hati saya membiarkan anak-anak bermain semahunya, sehinggalah jam 6.00 petang barulah mereka mengerti erti menggigil.

Malamnya kami dibelanja makan oleh pengurusan resort, sangatlah saya berterima kasih dengan masakan yang enak itu. Apapun, makan-makan bukan priority dalam hidup saya. Ada lagi penyakit saya, tidak suka makan!

Esoknya, usai bersarapan, sekali lagi anak-anak menyerang kolam. Sehingga ke tengahari barulah mereka kenal erti letih.

Pulang

Petangnya kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Puaslah hati kami sebagai ibubapa dapat mengembirakan jiwa anak-anak. Walaupun hanya seketika, cukuplah sekadar itu mengikut kemampuan kami. Dua hari satu malam, rasanya sudah lama meninggalkan si kecil di rumah. Tunggulah apabila dia boleh berjalan nanti, insyaAllah peluangnya akan hadir untuk bersama ahli yang lain.

Kami sampai di rumah lewat petang, nampaknya sudah lewat untuk menghadirkan diri ke majlis perkahwinan anak bodyguard ayahanda saya. Apapun, suami bergegas memenuhi undangan. Saya surrender di rumah, menguruskan anak-anak yang sudah keletihan melalui sebuah perjalanan. Malamnya kami ke rumah ayahbonda, selalunya begitulah apabila kembali dari berpergian, ‘tunjuk muka’ adabnya, selain makan malam dan bertanya khabar bersama ahli keluarga yang lain.

Sekembali ke rumah, saya mula mengemaskini ‘rumah’ yang ini. Alhamdulillah, anak-anak tidak mengganggu, suami pula sibuk mengupdate bola! Saya suka juga tengok bola, tapi kalau tak ada gol dalam setengah jam pertama, lebih baik saya menghadap internet!

Hari seterusnya saya memperuntukkan masa untuk mencari-cari hadiah untuk bakal pengantin, nampaknya sepanjang cuti sekolah kali ini saya menerima 13 jemputan majlis kesyukuran. Maka, untuk memudahkan urusan, setiap undangan itu saya hadiahkan sebuah vase kaca yang cantik! (ikut citarasa saya la kan…tak tau la kan pengantin suka ke tidak…janji saya ada cenderahati untuk mereka…semoga berbahagialah hingga ke akhir hayat, insyaAllah!).

Muktamar

Namun, tidak kesemua jemputan dapat saya penuhi, terutamanya ketika muktamar berlangsung. Alhamdulillah, saya dapat menghadiri muktamar seadanya. Jika aral untuk ke sana, saya langsungkan melalui webtv.pas, seronok juga. Paling saya terkesan, ucapan perwakilan dari Sarawak. Kenapa terkesan? Satunya, saya melihat ada kesungguhan kemahuan untuk mereka semua menyebarluaskan empayar PAS di sana walaupun dalam kapasiti yang kecil, walaupun terpaksa melalui pelbagai kesukaran, dan sedih juga mendengar keluhan mereka.

Duanya, kerana lenggok ucapan perwakilan tersebut ‘kurang serius’. Isinya serius, tetapi terlalu santai. Tahu apa yang saya fikirkan masa tu? Takutnya ayahanda saya marah! Sedikit pantang untuk ayahanda saya apabila berbicara tentang perkara serius tetapi disantaikan. Namun, perwakilan itu selamat, yang tidak selamatnya apabila ada perwakilan lain yang mempersendakan Perdana Menteri kita dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Maka marahlah ayahanda saya dalam sesi penggulungannya. Kesimpulan dari kata-katanya, hormatilah sesiapa saja di kalangan kita hatta musuh! (Saya pula tidak pernah kena marah dengan ayahanda semasa sunti, tetapi apabila bergelar isteri, pernah juga kena ‘tegur’ dengannya apabila melengahkan urusan berkaitan suami! Moral: TAATILAH SUAMI WAHAI ISTERI! – seronok la jadi suami ya…

Peluang

Selesai saja urusan bermuktamar, saya bergerak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja suami, sekali lagi mengambil peluang membawa anak-anak bercuti. Kebiasaannya kami tidak merancang percutian, ia hanya bergantung kepada ‘rezeki’. Kali ini saya hanya membawa tiga orang anak, si sulong dan yang kedua saya tinggalkan di rumah datuk nenek mereka, sementelah menjadi kebiasaan sepupu-sepupunya berkumpul di sana semasa sesi cuti persekolahan.

Apabila saya mahukan percutian, saya ingin benar percutian itu benar-benar menjadi. Percutian saya bermakna pergerakan! Saya tidak suka tidur semasa bercuti, masa yang ada harus dihabiskan semaksimum mungkin dengan pergerakan ke mana sahaja. Namun, bercuti dengan anak-anak kecil memang tidak menang kaki tangan, mulut pun tidak berhenti menegah itu ini. Memang sangat mencabar kesabaran!

Apapun, ke mana sahaja kita pergi, apa saja yang kita lakukan, kembalikan anak-anak kita kepada ilmu ketuhanan. Dalam bersantai sahaja, kita terangkan apa saja yang boleh membesarkan kehebatan Maha Pencipta. Boleh ceritakan tentang keindahan alam, tentang apa yang boleh dan tidak boleh dalam Islam, tunjukkan contoh perilaku yang baik, dan macam-macam lagi.

Sesi percutian kali ini juga saya ditemani sebuah novel yang menarik. SS (tajuk rahsia) hanya untuk bacaan santai sahaja, tetapi cukup terkesan dengan watak dua beradik lelaki yang merebut cinta seorang perempuan. Saya terjebak dalam buku cintan-cintun? Mungkin juga, tetapi ia sebuah cinta selepas berkahwin. Ia menggambarkan sebuah rumahtangga idaman bagi setiap isteri, mungkin.

Ceria

Akhirnya sesi persekolahan kembali. Jadual hidup saya kembali ke asal. Berpagi-pagi sudah menguruskan anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak ceria untuk kembali ke sekolah, tidak ada yang bermalasan untuk bangun pagi. Tetapi secara jujurnya, saya pula yang kemalasan setelah bercuti panjang dari menjadi driver…aduhhh…! Motivasinya, saya suka melayan anak-anak bercakap semasa memandu, kesempatan untuk sesi soal jawab semua perkara. Ia boleh menjadi satu sesi mendidik yang amat berkesan. Maka, itulah ubat kepada malas saya untuk bertukar kepada rajin!

Selepas menghantar empat orang anak ke sekolah, saya boleh bersantai-santai dengan dua orang si kecil yang ada di rumah. Biasanya saya peruntukkan masa setengah jam untuk berjalan-jalan di laman rumah sambil bermain dengan si kecil.

Menjadi surirumah memberikan saya kehidupan yang lebih santai.

Memberi peluang kepada saya untuk lebih memahami anak-anak. Itulah kemahuan saya.

Nampaknya si kecil saya sudah memulakan langkah pertama, masih menggigil lututnya. Baru saja dua tiga langkah, dia kembali merangkak. Walaupun sudah punya ramai anak, saya percaya saat-saat beginilah yang dinantikan oleh setiap ibubapa. Sangat teruja!

Lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang melahirkan, peluang keemasan begini janganlah terlepas peluang untuk melihat perkembangan anak-anak, juga untuk mensyukuri nikmat kesihatan yang baik kurniaan Allah kepadanya. Kelak nanti, ada cerita yang boleh kita khabarkan kepadanya.

Rekod

Dua anakanda yang bersekolah rendah, membawa pulang buku rekod untuk peperiksaan yang dilalui mereka sebelum bercuti. Alhamdulillah, ada sedikit peningkatan pada peratusannya walaupun sangatlah sedikit. Saya hadiahkan sebuah beg untuk si kakak dan belt untuk si adik, sekadar suntikan motivasi untuk mereka bersungguh-sungguh lagi. Kadang-kadang jika tiada kesempatan untuk mencari hadiah, saya akan membawa mereka makan-makan sahaja.

Buat sekadar kemampuan!

9.07am

Ayah

Salam Ukhuwah…

Saya punya seorang ayah yang hebat. Sayangnya saya kepadanya hanya ada di hati ini, rasanya tidak pernah diluahkan kepadanya dengan kata-kata, dan kiranya semua adik-beradik kami begitu. Mungkin ada sedikit bezanya kepada kakak saya yang sulong dan si bongsu, yang seringkali juga memeluk dan mencium pipi ayah jika mereka ketemu. Tetapi jaranglah, kerana kedua-duanya tinggal di Kuala Lumpur.

Walau apapun gerak laku kami kepadanya, kami tahu betapa ayah sayang kepada kesemua anak-anaknya yang seramai sepuluh orang ini. Semestinya kami adik-beradik sering saja mendahulukan penghormatan kepadanya, kerana sedaya boleh kami tidak akan menjatuhkan maruah dan reputasinya yang sangat dihormati ramai. Kami akur betapa kami berkongsi ayah dengan ramai orang di luar sana. Alhamdulillah, Allah menganugerahkan sesuatu yang hebat buat kami sekeluarga.

Namun, siapapun kita sebenarnya, bersyukurlah apabila telahpun mempunyai sebuah keluarga, yang lengkap dengan ibu dan ayah. Jikapun ibu dan ayah itu ada kekurangannya di situ, di sini, mereka tetap pasangan ibubapa yang telah ‘mewujudkan’ kita di muka bumi ini. Sebagai seorang anak, wajib untuk kita melayan baik mereka seadanya sepanjang hayat.

Derhaka

Tidak perlu berfikir jauh, kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak cerita anak-anak yang derhaka kepada kedua ibubapa mereka, sehingga sanggup membuang ibu ayah di tepi-tepi jalan, mendera mental dan fizikal mereka, menghantar ke rumah orang-orang tua tanpa mempedulikan kesunyian kehidupan mereka…anak apakah ini? Jikapun azab akhirat itu tidak kelihatan pada pandangan mata kasar, cubalah berfikir sejenak bahawa hidup ini ada hukum karmanya, hari ini kita melaknati ibubapa, insyaAllah esok lusa anak-anak kita pula yang akan menyulitkan kehidupan kita. Na’uzubillah…

Cuba kita perhatikan, berapa ramaikah ibubapa yang sanggup membuang anak mereka sesuka hati kalaupun kehidupan mereka sangat mendesak? Usah peduli tentang kes buang anak, kerana mereka itu bukan ‘ibubapa’. Sangat berat hati ibu ayah untuk menyerahkan anak kandung kepada orang lain, walaupun mereka terpaksa menerima hakikat ketidakmampuan membesarkan anak-anak itu akibat kemiskinan atau apa saja kesulitan yang mencengkam.

Tanggungjawab

Begitu pula saat seorang ayah mewalikan perkahwinan anak perempuan mereka. Bukan mudah untuk dia melepaskan tanggungjawab melindungi anak perempuannya itu kepada lelaki lain. Namun, inilah dia hakikat sebuah kehidupan. Kerana sebuah kasih sayanglah dia dengan rela hati menyempurnakan erti cinta kepada anaknya pula. Ayahanda saya sendiri menitiskan air mata saat saya diijabkabulkan. Entah apa perasaannya, dia tidak pernah memberitahu saya.

Saya terfikir bahawa setiap ayah yang sempurna akan berat hatinya untuk melepaskan anak perempuannya kepada lelaki lain, yang bergelar suami. Setelah berpuluh tahun di bawah pemerhatian dan kasih sayangnya, akan tiba jua hari yang dijanjikan itu, dalam kegembiraan ada juga kesebakan. Tanggungjawab menjaga puterinya itu akan bertukar tangan jua, dengan iringan doa yang berpanjangan semoga selamatlah rumahtangga yang baru dibina itu.

Pada kejauhan, dia rela menyerahkan amanah besar kasih sayangnya ini kepada seseorang yang baru saja dia kenali. Hati seorang ayah pasti ada gundahnya. Pasti ada persoalannya walau telah dinilai hati budi bakal menantunya itu. Namun, siapa yang boleh meramal masa depan? Maka berserahlah, dengan sangka baik menjadi bentengnya, bahawa perancangan Allah itu adalah terbaik buat sekalian hambaNya. Semoga bertanggungjawablah menantunya ini dalam memberi kasih sayang sepenuh hati kepada puterinya itu. Mudah-mudahan tiada cerita luka yang akan hinggap di telinganya sepanjang kembara baru yang dimulakan puterinya itu.

Istimewa

Kepada si anak yang telah memulakan kehidupan baru, selalulah beringat bahawa masih ada insan istimewa yang sentiasa menunggu kepulangan mereka. Kasih sayang ibu ayah ini tiada penghujungnya. Kala usia senja menjelma, hidup ibu ayah ini akan bertambah sepinya apabila berjauhan dengan anak-anak. Hanya kenangan perit-jerih membesarkan anak-anak menjadi tunggak memori mereka. Walau terseksa suatu ketika dahulu, ada saatnya mereka berbahagia tatkala mengimbas senda gurau bersama anak-anak, meraikan kejayaan, mendengar keluh kesah, itulah dia sebuah kenangan.


Selamat Hari Bapa…

9.00pm

Rejab

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk sekali lagi bertemu dengan Rejab, 1431 Hijrah. Umumnya, setiap Muslim yang tahu menghargai bulan-bulan istimewa dalam Islam, akan turut serta menyambut Rejab dengan penuh penghormatan.

Namun, masih ramai Muslim yang langsung tiada ambil peduli tentang mana-mana bulan Islam pun. Kalaupun yang selalu dalam ingatan, mungkin juga Ramadhan dan Syawal. Kesibukan hariankah yang membawa kelalaian untuk mengingatkan bulan-bulan istimewa ini? Jawapannya tentu sekali bukan kerana kesibukan urusan dunia, tetapi kerana langsung tiada kepekaan untuk mengambil peduli perihal keagungan cabang-cabang Islam itu sendiri.

Namun, sesekali usah kita memberat-beratkan sehingga melampaui apa yang sepatutnya tentang sambutan bulan-bulan yang hebat ini, sehingga mempersoalkan permasalahan ke atasnya, berbincang yang tiada tara tentang keistimewaannya, yang tentunya banyak dihuraikan di dalam artikel berkaitan, dan ada juga yang  membuat pilihan tertentu mengikut kefahaman masing-masing tentang keistimewaan hari-hari dalam bulan ini untuk menambahkan amalan padanya.

Mari kita permudahkan, bahawa setiap Muslim yang paling beruntung adalah mereka yang berilmu tentang Rejab. Bagaimana mahu berilmu, tentunya kita perlu banyak membaca bahan bacaan berkaitan dan bertanya kepada ahli agama yang selayaknya. Jangan sesekali membaca secara membuta tuli. Maka dengan ilmu yang sahih, marilah bersama kita belajar untuk lebih bersedia melaksanakan amalan yang sepatutnya tanpa sebarang rasa ragu dan melampau.

Semangat

Tentunya kedatangan Rejab juga mengajar kita semua untuk menghidupkan semula semangat baru, bagi menghadapi Ramadhan agung yang lebih besar pengertiannya kepada semua Muslim, yang menyedari kehebatan amalan dan gandaan pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.. Maka bermula dari Rejab inilah, seterusnya meraikan Syaaban, kita semua sepatutnya mula berseronok  dan belajar untuk menanam azam memperbaiki segala kekurangan didalam amalan keugamaan masing-masing, insyaAllah.

Sebelum hadirnya Ramadhan yang mulia, kita sebagai Muslim perlu menghangatkan rasa cinta untuk menyambut kehadirannya, dengan mula beribadah secara lebih baik dan memberi komitmen yang lebih sempurna dalam beribadah di bulan Rejab dan Syaaban. Itulah cara Allah memberi didikan kepada hamba-hambaNya supaya lebih bersedia untuk menyambut Ramadan Karim.

Israk dan Mikraj

Rejab juga merupakan bulan Israk dan Mikraj, mukjizat besar yang mengajar kita semua tentang pembuktian kenabian Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.. Peristiwa ini juga memberikan terlalu banyak pengajaran kepada ummat Islam untuk mengukuhkan keimanan kita semua terhadap kebesaran Allah s.w.t..

Israk dan Mikraj merupakan sebuah perjalanan Nabi yang panjang, dimana ia melibatkan perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, seterusnya ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh. Pemilihan dua masjid tertua di dunia ini yang merupakan tempat paling suci didalam Islam, merupakan petanda bahawa ia merupakan tempat yang saling berkaitan mengenai arah kiblat, dan juga sebagai sebuah pusat gerakan penyebaran Islam sejak dahulu-dahulu lagi oleh Rasul-rasul yang terdahulu.

Sewajarnya kita juga turut berbangga kerana menjadi ummat Nabi Muhammad s.a.w., seorang Rasul yang sangat istimewa apabila didalam Israk tersebut, bagindalah yang menjadi Imam solat kepada Rasul-rasul yang lain di Masjidil Aqsa, dalam suasana alam kerohanian, dan bersalaman di antara satu sama lain, sedangkan mereka semua itu telahpun meninggal dunia.

Peristiwa ini juga menjadi saat terpenting bilamana Nabi Muhammad s.a.w. didalam Mikrajnya, langsung menghadap Allah s.w.t. secara berhadapan di Sidratul Muntaha, tanpa ditemani Malaikat Jibril, untuk menerima perintah solat lima waktu, sebagai pembuktian ketaatan setiap hamba kepada tuhannya, yakni Allah yang Maha Berkuasa.

Pertemuan agung ini juga memberi gambaran hebat bahawa ia suatu puncak penghormatan dan penghargaan Allah s.w.t. kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., sebagai seorang nabi terakhir yang akan menyempurnakan Islam sebagai agama yang cukup sifatnya buat manusia seantero dunia.

Peristiwa ini juga memberi peringatan tentang realiti sebenar kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat, apabila diperlihatkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang gelagat penghuni-penghuni Neraka dan Syurga, yang sudah tentu memberi suatu amaran kepada kita semua tentang kemungkinan apa yang akan kita hadapi di sana kelak, adalah berkesinambungan dengan apa yang telah kita lakukan pada kehidupan sekarang ini.

Iktibar

Sekadar ini saya nukilkan tentang keistimewaan dan iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab, tentunya saya dan sahabat semua masih perlu menambah ilmu mengenainya. Saya yakin ia sentiasa perlu diulang tayang ceritanya saban tahun, dengan harapan semoga kita semua tidak lalai dalam memperincikan lagi keistimewaan bulan-bulan dalam Islam.

Marilah bersama kita panjatkan doa yang berpanjangan semoga sentiasa dikurniakan hidayah, kesihatan yang maksimum, istiqamah, dan motivasi terbaik dalam melaksanakan amalan-amalan yang baik pada setiap ketika, mudah-mudahan tanggungjawab seorang hamba kepada Penciptanya akan tertunai jua. Semoga amal laku kita akan sentiasa bertambah baik dari hari ke hari, insyaAllah.

“Dan peringatkanlah mereka tentang hari-hari Allah, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang amat bersabar lagi bersyukur”

[Surah Ibrahim : 5]

8.00pm

Tahniah

Salam Ukhuwah…

Setinggi ucapan tahniah yang tiada taranya saya kalungkan untuk semua yang terlibat dalam menjayakan Muktamar Tahunan PAS kali ke-56, yang baru saja melabuhkan tirainya petang tadi.

Sekali setahun menghadirkan diri ke Muktamar, akan ada manisnya yang terpahat di hati. Ia mampu memberi sentuhan ajaib untuk menyuntik semangat dan kekuatan baru kepada setiap pejuang yang hadir.

Ada kesungguhan telah ditunjukkan oleh semua yang hadir Muktamar kali ini, menunjukkan PAS masih ramai pencintanya, yang terus gagah mencintai perjuangan menyebarkan syiar Islam di merata Malaysia, bahkan sehingga sentiasa bersedia memberi kesanggupan yang segera untuk menyahut panggilan jihad ke Palestin! Ya, Kemenangan atau Syahid! Itulah matlamat kami!

Dimaklumkan bahawa pada malam 13 Jun yang lalu, seramai lima orang lagi petugas Yayasan Amal Malaysia berlepas ke Gaza, bagi meneruskan Misi Kemanusiaan Gaza, bertujuan memantau pelbagai projek bernilai RM1.5 juta yang telah disumbangkan oleh Yayasan itu sebelum ini. Wira kita kali ini diwakili oleh, YB Abd Rani Osman (Adun Meru-PAS), Ust Jamsari B Marsom, Cikgu Mohamad Fauzi Abu Samah, Syed Ahmad B Syed Mohamed Ali, dan Mohamad Aszami B Anuar. Marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kali ini, insyaAllah!

Tabah

Kelihatan perjalanan Muktamar kali ini agak sempurna, kecuali terdengar bisik-bisik makanannya yang tidak cukup dan ada ketikanya keputusan bekalan air. Tapi ini semua ada alasannya, yang telahpun diterangkan dan dipohon maaf oleh Pengerusi Tetap, insyaAllah akan dimaafi oleh semua yang hadir. Apalah sangat dengan kekurangan itu, berbanding dengan ketabahan seorang Perwakilan Muslimat yang datangnya seorang diri nun jauh dari Sabah, meninggalkan suami yang bersedia menyokong perjuangan ini dari jauh, dengan setia bersedia menjaga anak-anak mereka seramai sepuluh orang dan seorang ibu yang sakit, tinggal bersama-sama mereka.

Kisahnya bersambung lagi, sampai saja di Kota Bharu dikeheningan Subuh, dikhabarkan oleh suami tercinta, ibu mertuanya telah kembali ke rahmatullah, al-Fatihah! Dia ingin kembali ke pangkuan keluarga, namun bicara suami, alang-alang sudah sampai di bumi Kelantan, burmuktamarlah! Pujuk suami lagi, urusan pengkebumian tinggalkan kepada kami adik-beradik di sini, yang penting bagaimana kita mengurus sempurnakan seorang ibu semasa hayatnya. Allahuakbar! Inilah dia seorang suami pejuang, yang sama-sama berjuang demi melihat Islam itu turut bersinar terang di bumi Sabah, insyaAllah akan tiba masanya nanti!

Inilah sebuah gerakan Islam yang hebat membakar semangat pejuangnya, sentiasa bersedia menongkah arus dalam perjuangan mencari kebenaran dan kebebasan yang menjadi impian kepada setiap rakyat Malaysia. InsyaAllah segala apa yang telah diharungi dan dikerjakan selama ini ada hikmah dan kemuliaannya disisi Allah s.w.t., tiadalah mudharat nanti di akhirat sana.

Beza

Muktamar Tahunan PAS jauh bezanya dengan Perhimpunan Agung UMNO, yang tentunya Umno hanya berhimpun untuk berseronok membajai kepalsuan ciptaan mereka. Umno tidak pernah akan menjadi secemerlang PAS, kerana agendanya hanyalah Melayu, bukannya Islam!

PAS akan sentiasa teguh berdiri dengan prinsip-prinsip Islam yang agung. Inilah dia betapa tulusnya PAS, yang tidak mungkin ketemu dalam tubuh Umno. Jauh bezanya perjuangan memartabatkan agenda Melayu, dibanding dengan ketulusan PAS untuk meneruskan perjuangan para Anbia’, yakni demi untuk keagungan lslam dan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini, khususnya di Malaysia.

PAS sendiri dipimpin oleh pemimpin yang sangat berkualiti dalam kepimpinannya. Akhlak pemimpin PAS jauh bezanya dengan apa yang dimiliki oleh pemimpin Umno. Jikapun mungkin ada picisan pemimpin yang terkena dengan jangkitan spesis Umno, insyaAllah hayatnya tidak panjang di dalam saf kepimpinan PAS.

Ketahuilah bahawa PAS adalah satu mimpi buruk buat Umno! Mereka sangat takutkan kebenaran yang dibawa oleh PAS. Bak kata Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya yang bertajuk, Ke Putrajaya Menjulang Kemenangan, kita sentiasa berada di dalam bahtera yang tepat!

Perjalanan menuju kemenangan semakin hampir, ada cahaya yang sedang menunggu pada Pilihanraya Umum akan datang, insyaAllah!

3 Julai 2010

Juga jangan lupa kepada semua sahabat, 3 Julai 2010, kita semua telah sepakat untuk sekali lagi turun ke jalanan bagi menunjukkan bantahan secara besar-besaran ke atas kebiadaban pihak Kerajaan Barisan Nasional meluluskan Lesen Judi Piala Dunia 2010.

Himpunan besar-besaran ini insyaAllah akan diadakan di perkarangan Masjid Negara, kemudian berarak ke Istana Negara untuk mengiringi pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan Memorandum Membantah Lesen Judi Bola, serta merayu campur tangan Raja-raja Melayu untuk mendesak agar Kerajaan Malaysia memansuhkan Lesen Judi Bola.

InsyaAllah, kita bersama-sama ke sana apabila tiba masanya. Allahuakbar!

(artikel ditulis usai bermuktamar)

7.06am

p/s: Selamat Datang Rejab – Bulan Sembahyang & Bulan Palestin

PASti

Salam Ukhuwah…

Saya yakin dan pasti setiap warga politik di tanah air maklum bahawa Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung beberapa hari saja lagi, yakni dari 9 hingga 13 Jun ini, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik). Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam menjayakan Muktamar kali ini, saya turut merasa bangga kerana Kelantan sekali lagi menjadi tuan rumah kepada satu sesi yang amat penting kepada PAS.

Maka, saya turut berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan pimpinan, tetamu, perwakilan dan pemerhati dari seluruh Negara, yang insyaAllah akan memenuhi Kota Bharu selama lima hari.

Jika tiada aral melintang, insyaAllah saya juga akan menjadi pemerhati di sana nanti. Kepada sahabat yang masih dalam dilema samada hadir atau tidak, saya juga teruja untuk menjemput dan mempersilakan kalian semua memutuskan YA untuk hadir ke muktamar tersebut. Masih lagi sempat untuk menguruskan apa yang sepatutnya, sebelum datang menyertai muktamar di sini. Mudah-mudahan dengan kehadiran penuh mampu menghasilkan Muktamar yang bersemangat dan bersungguh serta berjaya.

Tiada ruginya jika kita bersama menghadiri muktamar ini. Banyak manfaatnya untuk kita bersama melihat dan menghayati sejauh mana kemampuan PAS, seterusnya menghadirkan cadangan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ketara sepanjang perjuangan ini. Sokongan padu daripada ahli dan penyokong serta kehebatan pimpinan akan lebih mewujudkan PAS yang lebih bersemangat juang melalui perbahasan dan cadangan yang akan dikemukakan.

Demokrasi

Tentunya PAS yang sangat mendokong konsep demokrasi, akan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan daripada semua pihak. Saya percaya bahawa muktamar kali ini akan mampu membuahkan semangat juang yang tinggi, kerana kita makin hampir dengan pilihanraya umum ke-13. Tentunya kita sentiasa bersepakat bahawa Islam itu tunjang PAS dalam perjuangan, tetapi kita mahu perubahan kepada strategi dan pendekatan PAS dalam memperkasakan perjuangan untuk menuntut keadilan dan kebebasan bersuara untuk semua rakyat di Negara ini.

Sebagai parti pembangkang, kita masih lagi dijajah oleh pemerintah yang hanya tahu memastikan kepentingan mereka tidak tergugat sahaja. Kita tidak bebas dalam menyuarakan kemahuan, kalaupun Negara kita merdeka menghampiri 53 tahun sudah. Tiada pencerahan yang kita idam-idamkan.

Pemerintah bagaikan terus dungu perihal demokrasi. Mahukan pilihanraya, tetapi menolak demokrasi terpuji, apa ini? Jika benar-benar mahu Rakyat Didahulukan, serlahkanlah demokrasi yang sebenar, kerana sesungguhnya demokrasi itu adalah hak rakyat! Kita sebagai rakyat sudah sekian lama menuntut hak untuk benar-benar mengamalkan demokrasi yang benar-benar bersih. Jika rakyat dididik baik dalam amalan demokrasi, saya yakin Malaysia akan lebih mampu menghasilkan rakyat yang lebih bijak, bukan sekadar pak angguk saja yang kehilangan semangat juang.

Inilah perbuatan terkutuk Umno yang sering meragut hak dan suara rakyat, sehinggakan kemenangan Pakatan Rakyat di Perak pun boleh mereka rampas semudahnya oleh suatu sistem kepimpinan yang meloyakan. Sungguh Umno adalah sebuah organisasi yang kotor lagi  membusukkan.

Kita sentiasa bersedia menerimapakai amalan demokrasi yang masih dilandasi etika dan tidak melanggar norma Islam. Kita masih lagi bertauhidkan Allah. Bolehlah kita fahamkan bahawa demokrasi adalah suatu cara toleransi dalam memilih pemimpin di kalangan warga Negara. Demokrasi membantu rakyat dalam memilih calon terbaik yang berkelayakan memimpin dan mengurus Negara ini.

Demokrasi tidak bertentangan dengan prinsip Islam, kerana amalan ini juga mengambil keputusan berdasarkan suara majoriti. Demokrasi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih calon yang terbaik di kalangan mereka. Sehingga tidak melangkaui batas Islam, amalan demokrasi adalah dibenarkan. Demokrasi membenarkan rakyat umum menyuarakan keinginan mereka.

Umpan

Umno sudah tidak mampu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang mapan, berdaya saing dan terus maju, kerana mereka sering saja memperbodohkan rakyat dengan umpan-umpan rasuah, yang terlalu banyaknya berleluasa semasa pilihanraya, lebih-lebih lagi apabila berlakunya pilihanraya kecil.

Andai setiap piliharaya itu bersih perjalanannya, saya yakin keputusannya tidak sebagaimana hari ini. Tapi apakan daya, kita terpaksa menerima hakikat dalam keterpaksaan bahawa sekadar ini kemampuan yang kita ada. Kita ada pilihan, tetapi seringkali diserang tanpa sedikitpun kasihan.

Hak

Harus juga kita ingatkan bahawa, setiap warga yang layak mengundi sangatlah wajib menggunakan haknya untuk mengundi calon terbaik, agar mereka dapat memberi kesaksian di hadapan Allah nanti, bahawa mereka telah memilih seorang pemimpin yang benar-benar layak untuk menjaga Islam di muka bumi ini.

Sekali lagi saya menyeru, marilah bersama menghadirkan diri untuk menyemarakkan lagi Muktamar kali ini. Mungkin juga ia boleh diibaratkan sebagai satu percutian yang menarik buat anda sekeluarga sempena cuti sekolah kali ini. InsyaAllah, saya juga akan cuba membawa anak-anak ke sana, biar mereka menikmati apa sebenarnya Muktamar PAS yang diwar-warkan itu. Anak-anak kecil inilah yang akan menyambung generasi memperkasakan PAS pada masa hadapan.

InsyaAllah kita mampu menikmati ganjaran yang besar di akhirat nanti atas nama perjuangan menyebarluaskan Islam, khususnya di bumi Malaysia ini!

7.13am

Berkongsi

Salam Ukhuwah…

Hampir genap separuh tahun sudah saya berada di sini. Alhamdulillah, saya menyukainya.

Saya memang suka menulis, sejak dahulu-dahulu lagi. Keinginan untuk berkongsi rasa sentiasa berkobar-kobar. Sebelum berblog, seringkali juga saya menulis sesuatu dan berkongsi rasa itu di mana-mana ruang yang sesuai di internet. Namun tidak lagi saat ini, saya sudah punya ruang sendiri.

Saya mula sedar sukakan penulisan sejak darjah satu lagi, sentiasa peroleh markah yang baik dalam penulisan, walau seringkali juga  menulis dengan ejaan loghat klate…budak kampunglah katakan…sekolah pun kampung – kelas saya dulu bangunan kayu saja! Lagi pula saya memang sukakan bahan bacaan, pernah juga mendapat anugerah sebagai murid paling banyak meminjam buku dari perpustakaan semasa darjah lima.

Waktu itu saya sukakan buku-buku penyiasatan, kiranya pasti sahabat-sahabat seusia tentu arif benar dengan koleksi siri Nancy Drew, Hardy Boys dan yang sewaktu dengannya. Tapi itu dulu, sekarang mahu baca Harry Potter yang tebal itu pun fikir berulang-ulang kali, yang akhirnya saya langsung tak baca! (mmm…kalau AH yang tulis saya baca kot! – obsesnya saya kepada penulis yang seorang ini! err…saya tak pernah seobses ini sebelum ini…satu rahsia, saya sedang mengagumi seorang penulis muda berbakat warga tempatan, jangan risau, dia seorang perempuan!)

Aktif

Sekarang ini saya mahu lebih aktif menulis. Lebih-lebih lagi apabila masa saya banyak dihabiskan di rumah. Bukan hanya mahu menulis, saya juga berkeinginan untuk lebih banyak membaca bagi menambahkan pengetahuan, seterusnya berkongsi rasa dengan sahabat semua. Tidak kisahlah berapa hit yang diperoleh, pentingnya ilmu yang saya dapat, mahu disebar luaskan. Walau seorang saja yang membacanya, yakinlah bahawa setiap ilmu itu akan  disebarluaskan dari mulut ke mulut pula. Satu atau dua artikel seminggu pun sudah cukup untuk saya.

Kalau boleh, saya tidak mahu berhenti menulis. Macam minat kita yang lain juga, jika terberhenti lama, susah mahu hangatkan kembali. Blog ini pun bukan sekadar untuk saya menulis, tapi mampu untuk mentautkan ukhuwah.

Tulisan saya kali ini agak santai-santai saja iramanya. Mahu menarik nafas kelelahan, yang akhirnya ‘hidup’ juga blog saya sepanjang enam bulan pertama ini. Banyak pahit manis yang telah saya tempuh dalam tempoh yang sesingkat ini. Namun, Alhamdulillah, saya boleh menerima seadanya segala bentuk teguran, yang kadang-kadang tidak dinafikan boleh meruntuhkan semangat jika tiada kekuatan dalaman, boleh bikin hangat jika tiada kesabaran yang menjadi teman.

InsyaAllah, saya akan sentiasa belajar bersedia untuk menerima lagi apa jua jenis teguran, asalkan ia boleh membina jati diri seadanya. Selebihnya, saya panjatkan doa semoga tiada riak yang akan wujud di hati ini andai menerima pujian, yang kadang-kadang tidak lulus untuk disiarkan di bahagian komen.

Ringkas

Saya seorang yang ringkas, tidak pernah mahu membebankan fikiran dengan perkara-perkara yang macam-macam. Ambil yang perlu saja, yang remeh-temeh tolak ke tepi. Kalau semua perkara harus difikir teliti, hidup ini hilang seronoknya. Serahkan setiap perkara itu pada ahlinya, jika kita bukan ahli dalam bidang itu, usah sibuk-sibuk untuk cari penyelesaiannya. Begitu juga dalam politik, ada orang tanya saya itu dan ini, tidak semua perkara boleh dijawab, kerana tidak semua perkara diketahui. Kita ada pimpinan, kita ada rakyat, tentunya saya menjadi rakyat, yang tidak memungkinkan tahu semua perkara yang diagendakan oleh pimpinan.

Tidak perlu kita berbicara lebar untuk tunjuk pandai. Jika sekadar C yang kita tahu, jangan cuba-cuba berlagak sehingga G kita meleret-leret, cakap sehingga C sudahlah. Ada masanya diam itu lebih baik, lebih bijaksana kelihatannya. Kelihatan bijak itu lebih elok dari terlihat kebodohan sendiri.

Pentingnya hidup ini perlu sentiasa mencari kebenaran. Kita perlu bermaklumat pada setiap masa dan ketika. Segarkan minda dengan pengetahuan. Jangan biarkan kedunguan menguasai diri. Lama-kelamaan kita mungkin terjerat dalam kelesuan mental, yang boleh mengakibatkan pelbagai kemusnahan dalam kehidupan, yang memungkinkan masalah kemurungan, halusinasi, yang akhirnya banyak yang telah memilih jalan singkat, bunuh diri! Na’uzubillah…

Terima Kasih

Untuk sekian kalinya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjadikan blog ini sebagai teman dalam kehidupan. Tidak lupa kepada sahabat-sahabat yang sudi meninggalkan jejak dalam ruangan komen. Juga kepada sahabat-sahabat yang sudi mempromosi Serisuri dalam pautan blog mereka. Semoga tautan ukhuwah ini akan terus berpanjangan.

Buat suami, terima kasih kerana memberi ruang dan masa yang baik untuk saya meneruskan minat di sini. Pesannya, hanya boleh berlama-lama di sini ketika dia tiada di rumah! Balik saja dia ke rumah, kembalilah menjadi isteri, berhentilah dari membawa watak seorang penulis. Jangan juga melewat-lewatkan tidur!

Tidak dinafikan semenjak berblog, kadang-kadang ia mengganggu waktu tidur, kerana saya sentiasa memilih rutin untuk tidur diawal waktu. Namun, saya limitkan sehingga jam 1 pagi sahaja, jangan lebih dari itu. Kalaupun mata masih segar bugar, saya paksa diri untuk tidur juga. Kesihatan wajib didahulukan. Saya tidak mahu mengalami sebarang masalah kesihatan. Tidak mahu bangun pagi dalam kemalasan. Saya mesti bersemangat untuk menguruskan anak-anak diawal pagi, juga memberi contoh terbaik buat mereka bahawa hidup ini mesti ada disiplinnya, bukan main redah saja.

Saya percaya bahawa kita semua memerlukan tidur beberapa jam dalam sehari, untuk memberikan tubuh rehat yang sebenar. Tidur merupakan keadaan rehat badan secara semulajadi. Tidur yang berkesan mampu membantu kita mendapatkan mental yang cerdas, daya ingatan yang baik dan akan memiliki tahap kesihatan yang lebih sempurna. Pada saya, keperluan tempoh masa untuk tidur pula bergantung kepada kesesuaian tubuh badan masing-masing, bukannya rigid pada tempoh masa tertentu.

Kita perlu sihat untuk memulakan hari yang sihat!

Muktamar

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada sahabat semua, bahawa minggu depan insyaAllah kita akan bermuktamar, kali yang ke 56!

Muktamar merupakan satu sesi muhasabah. Sesi muhasabah tahunan ini merupakan forum terbaik untuk para pimpinan menilai segala pencapaian dan gerakerja setahun yang lalu. Ia juga merupakan satu medan terbuka untuk mengutarakan pandangan, teguran dan kritikan serta cadangan membina, bagi mengukuhkan lagi gerakerja PAS dalam meneruskan agenda perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini.

Namun kesempatan bermuktamar kali ini tentunya tempoh masa terbaik untuk mengatur rancangan rapi sebagai persiapan menghadapi pilihanraya ke-13, yang dijangka akan diadakan pada 2011. Gerakerja yang benar-benar tersusun haruslah dikemukakan untuk melawan Umno habis-habisan!

Maka, untuk mewujudkan sebuah organisasi yang sempurna haruslah dipertaruhkan dahulu kesatuan fikrah, lebih-lebih lagi kepada saf pimpinan di semua peringkat, seterusnya ahli-ahli yang setia dan sedia mendokong perjuangan suci ini. Bermotivasilah bahawa PAS akan sentiasa bersedia memerintah demi menjulang Islam di persada Malaysia!

Jumpa di sana…InsyaAllah!

9.00pm

p/s:

Bersama kita doakan keselamatan semua ahli rombongan yang terlibat dalam Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam.

Lagi terserlah wajah sebenar kejahatan rejim zionis Israel yang langsung tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa.