• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2010
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  

Rejab

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk sekali lagi bertemu dengan Rejab, 1431 Hijrah. Umumnya, setiap Muslim yang tahu menghargai bulan-bulan istimewa dalam Islam, akan turut serta menyambut Rejab dengan penuh penghormatan.

Namun, masih ramai Muslim yang langsung tiada ambil peduli tentang mana-mana bulan Islam pun. Kalaupun yang selalu dalam ingatan, mungkin juga Ramadhan dan Syawal. Kesibukan hariankah yang membawa kelalaian untuk mengingatkan bulan-bulan istimewa ini? Jawapannya tentu sekali bukan kerana kesibukan urusan dunia, tetapi kerana langsung tiada kepekaan untuk mengambil peduli perihal keagungan cabang-cabang Islam itu sendiri.

Namun, sesekali usah kita memberat-beratkan sehingga melampaui apa yang sepatutnya tentang sambutan bulan-bulan yang hebat ini, sehingga mempersoalkan permasalahan ke atasnya, berbincang yang tiada tara tentang keistimewaannya, yang tentunya banyak dihuraikan di dalam artikel berkaitan, dan ada juga yang  membuat pilihan tertentu mengikut kefahaman masing-masing tentang keistimewaan hari-hari dalam bulan ini untuk menambahkan amalan padanya.

Mari kita permudahkan, bahawa setiap Muslim yang paling beruntung adalah mereka yang berilmu tentang Rejab. Bagaimana mahu berilmu, tentunya kita perlu banyak membaca bahan bacaan berkaitan dan bertanya kepada ahli agama yang selayaknya. Jangan sesekali membaca secara membuta tuli. Maka dengan ilmu yang sahih, marilah bersama kita belajar untuk lebih bersedia melaksanakan amalan yang sepatutnya tanpa sebarang rasa ragu dan melampau.

Semangat

Tentunya kedatangan Rejab juga mengajar kita semua untuk menghidupkan semula semangat baru, bagi menghadapi Ramadhan agung yang lebih besar pengertiannya kepada semua Muslim, yang menyedari kehebatan amalan dan gandaan pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.. Maka bermula dari Rejab inilah, seterusnya meraikan Syaaban, kita semua sepatutnya mula berseronok  dan belajar untuk menanam azam memperbaiki segala kekurangan didalam amalan keugamaan masing-masing, insyaAllah.

Sebelum hadirnya Ramadhan yang mulia, kita sebagai Muslim perlu menghangatkan rasa cinta untuk menyambut kehadirannya, dengan mula beribadah secara lebih baik dan memberi komitmen yang lebih sempurna dalam beribadah di bulan Rejab dan Syaaban. Itulah cara Allah memberi didikan kepada hamba-hambaNya supaya lebih bersedia untuk menyambut Ramadan Karim.

Israk dan Mikraj

Rejab juga merupakan bulan Israk dan Mikraj, mukjizat besar yang mengajar kita semua tentang pembuktian kenabian Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.. Peristiwa ini juga memberikan terlalu banyak pengajaran kepada ummat Islam untuk mengukuhkan keimanan kita semua terhadap kebesaran Allah s.w.t..

Israk dan Mikraj merupakan sebuah perjalanan Nabi yang panjang, dimana ia melibatkan perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, seterusnya ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh. Pemilihan dua masjid tertua di dunia ini yang merupakan tempat paling suci didalam Islam, merupakan petanda bahawa ia merupakan tempat yang saling berkaitan mengenai arah kiblat, dan juga sebagai sebuah pusat gerakan penyebaran Islam sejak dahulu-dahulu lagi oleh Rasul-rasul yang terdahulu.

Sewajarnya kita juga turut berbangga kerana menjadi ummat Nabi Muhammad s.a.w., seorang Rasul yang sangat istimewa apabila didalam Israk tersebut, bagindalah yang menjadi Imam solat kepada Rasul-rasul yang lain di Masjidil Aqsa, dalam suasana alam kerohanian, dan bersalaman di antara satu sama lain, sedangkan mereka semua itu telahpun meninggal dunia.

Peristiwa ini juga menjadi saat terpenting bilamana Nabi Muhammad s.a.w. didalam Mikrajnya, langsung menghadap Allah s.w.t. secara berhadapan di Sidratul Muntaha, tanpa ditemani Malaikat Jibril, untuk menerima perintah solat lima waktu, sebagai pembuktian ketaatan setiap hamba kepada tuhannya, yakni Allah yang Maha Berkuasa.

Pertemuan agung ini juga memberi gambaran hebat bahawa ia suatu puncak penghormatan dan penghargaan Allah s.w.t. kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., sebagai seorang nabi terakhir yang akan menyempurnakan Islam sebagai agama yang cukup sifatnya buat manusia seantero dunia.

Peristiwa ini juga memberi peringatan tentang realiti sebenar kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat, apabila diperlihatkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang gelagat penghuni-penghuni Neraka dan Syurga, yang sudah tentu memberi suatu amaran kepada kita semua tentang kemungkinan apa yang akan kita hadapi di sana kelak, adalah berkesinambungan dengan apa yang telah kita lakukan pada kehidupan sekarang ini.

Iktibar

Sekadar ini saya nukilkan tentang keistimewaan dan iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab, tentunya saya dan sahabat semua masih perlu menambah ilmu mengenainya. Saya yakin ia sentiasa perlu diulang tayang ceritanya saban tahun, dengan harapan semoga kita semua tidak lalai dalam memperincikan lagi keistimewaan bulan-bulan dalam Islam.

Marilah bersama kita panjatkan doa yang berpanjangan semoga sentiasa dikurniakan hidayah, kesihatan yang maksimum, istiqamah, dan motivasi terbaik dalam melaksanakan amalan-amalan yang baik pada setiap ketika, mudah-mudahan tanggungjawab seorang hamba kepada Penciptanya akan tertunai jua. Semoga amal laku kita akan sentiasa bertambah baik dari hari ke hari, insyaAllah.

“Dan peringatkanlah mereka tentang hari-hari Allah, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang amat bersabar lagi bersyukur”

[Surah Ibrahim : 5]

8.00pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: