• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2010
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  

Ayah

Salam Ukhuwah…

Saya punya seorang ayah yang hebat. Sayangnya saya kepadanya hanya ada di hati ini, rasanya tidak pernah diluahkan kepadanya dengan kata-kata, dan kiranya semua adik-beradik kami begitu. Mungkin ada sedikit bezanya kepada kakak saya yang sulong dan si bongsu, yang seringkali juga memeluk dan mencium pipi ayah jika mereka ketemu. Tetapi jaranglah, kerana kedua-duanya tinggal di Kuala Lumpur.

Walau apapun gerak laku kami kepadanya, kami tahu betapa ayah sayang kepada kesemua anak-anaknya yang seramai sepuluh orang ini. Semestinya kami adik-beradik sering saja mendahulukan penghormatan kepadanya, kerana sedaya boleh kami tidak akan menjatuhkan maruah dan reputasinya yang sangat dihormati ramai. Kami akur betapa kami berkongsi ayah dengan ramai orang di luar sana. Alhamdulillah, Allah menganugerahkan sesuatu yang hebat buat kami sekeluarga.

Namun, siapapun kita sebenarnya, bersyukurlah apabila telahpun mempunyai sebuah keluarga, yang lengkap dengan ibu dan ayah. Jikapun ibu dan ayah itu ada kekurangannya di situ, di sini, mereka tetap pasangan ibubapa yang telah ‘mewujudkan’ kita di muka bumi ini. Sebagai seorang anak, wajib untuk kita melayan baik mereka seadanya sepanjang hayat.

Derhaka

Tidak perlu berfikir jauh, kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak cerita anak-anak yang derhaka kepada kedua ibubapa mereka, sehingga sanggup membuang ibu ayah di tepi-tepi jalan, mendera mental dan fizikal mereka, menghantar ke rumah orang-orang tua tanpa mempedulikan kesunyian kehidupan mereka…anak apakah ini? Jikapun azab akhirat itu tidak kelihatan pada pandangan mata kasar, cubalah berfikir sejenak bahawa hidup ini ada hukum karmanya, hari ini kita melaknati ibubapa, insyaAllah esok lusa anak-anak kita pula yang akan menyulitkan kehidupan kita. Na’uzubillah…

Cuba kita perhatikan, berapa ramaikah ibubapa yang sanggup membuang anak mereka sesuka hati kalaupun kehidupan mereka sangat mendesak? Usah peduli tentang kes buang anak, kerana mereka itu bukan ‘ibubapa’. Sangat berat hati ibu ayah untuk menyerahkan anak kandung kepada orang lain, walaupun mereka terpaksa menerima hakikat ketidakmampuan membesarkan anak-anak itu akibat kemiskinan atau apa saja kesulitan yang mencengkam.

Tanggungjawab

Begitu pula saat seorang ayah mewalikan perkahwinan anak perempuan mereka. Bukan mudah untuk dia melepaskan tanggungjawab melindungi anak perempuannya itu kepada lelaki lain. Namun, inilah dia hakikat sebuah kehidupan. Kerana sebuah kasih sayanglah dia dengan rela hati menyempurnakan erti cinta kepada anaknya pula. Ayahanda saya sendiri menitiskan air mata saat saya diijabkabulkan. Entah apa perasaannya, dia tidak pernah memberitahu saya.

Saya terfikir bahawa setiap ayah yang sempurna akan berat hatinya untuk melepaskan anak perempuannya kepada lelaki lain, yang bergelar suami. Setelah berpuluh tahun di bawah pemerhatian dan kasih sayangnya, akan tiba jua hari yang dijanjikan itu, dalam kegembiraan ada juga kesebakan. Tanggungjawab menjaga puterinya itu akan bertukar tangan jua, dengan iringan doa yang berpanjangan semoga selamatlah rumahtangga yang baru dibina itu.

Pada kejauhan, dia rela menyerahkan amanah besar kasih sayangnya ini kepada seseorang yang baru saja dia kenali. Hati seorang ayah pasti ada gundahnya. Pasti ada persoalannya walau telah dinilai hati budi bakal menantunya itu. Namun, siapa yang boleh meramal masa depan? Maka berserahlah, dengan sangka baik menjadi bentengnya, bahawa perancangan Allah itu adalah terbaik buat sekalian hambaNya. Semoga bertanggungjawablah menantunya ini dalam memberi kasih sayang sepenuh hati kepada puterinya itu. Mudah-mudahan tiada cerita luka yang akan hinggap di telinganya sepanjang kembara baru yang dimulakan puterinya itu.

Istimewa

Kepada si anak yang telah memulakan kehidupan baru, selalulah beringat bahawa masih ada insan istimewa yang sentiasa menunggu kepulangan mereka. Kasih sayang ibu ayah ini tiada penghujungnya. Kala usia senja menjelma, hidup ibu ayah ini akan bertambah sepinya apabila berjauhan dengan anak-anak. Hanya kenangan perit-jerih membesarkan anak-anak menjadi tunggak memori mereka. Walau terseksa suatu ketika dahulu, ada saatnya mereka berbahagia tatkala mengimbas senda gurau bersama anak-anak, meraikan kejayaan, mendengar keluh kesah, itulah dia sebuah kenangan.


Selamat Hari Bapa…

9.00pm

« »

One Response

  1. ~ SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI EL-MUBARAK ~

    MAAF ZAHIR DAN BATIN

    FROM:

    ibni-battutah SEKELUARGA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: