• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2010
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  

Padat

Salam Ukhuwah…

Cuti persekolahan yang baru saja berlalu sungguh padat buat saya.

Saya memulakan percutian dengan menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Terengganu.  Sudah lama saya tidak ketemu dengan sepupu yang seorang ini, sudah bergelar doktor rupanya, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Saya yang sangat suka menghadiri majlis perkahwinan, tentunya tidak melepas peluang melihat tatarias ratu sehari. Entah apalah penyakit yang menimpa saya, sentiasa terkesan dengan majlis perkahwinan. Seronok melihat yang cantik-cantik!

Hampir satu jam juga di majlis itu, saya dan suami sudah sepakat untuk mengambil peluang cuti persekolahan kali ini untuk membawa anak-anak bersantai di kolam. Maka kami terus saja check-in di resort berhampiran. Terima kasih kepada pengurusan resort yang memberikan layanan baik kepada kami. Masih ingat lagi rupanya mereka kepada kami yang pernah bermalam di sana lebih kurang setahun yang lalu.

Usai solat qasar dan jama’ fardhu Zohor dan Asar, terus saja saya melepaskan anak-anak ke kolam. Tidak peduli kepada bahang terik mentari jam 2.30 petang, anak-anak saya ‘merasmikan’ kolam pada waktu itu. Tiada yang lain! Hanya yang berlima itu, si kecil saya tinggalkan bersama bibik di rumah. Saya hanya memerhati dari tepian. Penyakit saya seterusnya, tidak tahu main air! Sepuas hati saya membiarkan anak-anak bermain semahunya, sehinggalah jam 6.00 petang barulah mereka mengerti erti menggigil.

Malamnya kami dibelanja makan oleh pengurusan resort, sangatlah saya berterima kasih dengan masakan yang enak itu. Apapun, makan-makan bukan priority dalam hidup saya. Ada lagi penyakit saya, tidak suka makan!

Esoknya, usai bersarapan, sekali lagi anak-anak menyerang kolam. Sehingga ke tengahari barulah mereka kenal erti letih.

Pulang

Petangnya kami bertolak pulang ke Kota Bharu. Puaslah hati kami sebagai ibubapa dapat mengembirakan jiwa anak-anak. Walaupun hanya seketika, cukuplah sekadar itu mengikut kemampuan kami. Dua hari satu malam, rasanya sudah lama meninggalkan si kecil di rumah. Tunggulah apabila dia boleh berjalan nanti, insyaAllah peluangnya akan hadir untuk bersama ahli yang lain.

Kami sampai di rumah lewat petang, nampaknya sudah lewat untuk menghadirkan diri ke majlis perkahwinan anak bodyguard ayahanda saya. Apapun, suami bergegas memenuhi undangan. Saya surrender di rumah, menguruskan anak-anak yang sudah keletihan melalui sebuah perjalanan. Malamnya kami ke rumah ayahbonda, selalunya begitulah apabila kembali dari berpergian, ‘tunjuk muka’ adabnya, selain makan malam dan bertanya khabar bersama ahli keluarga yang lain.

Sekembali ke rumah, saya mula mengemaskini ‘rumah’ yang ini. Alhamdulillah, anak-anak tidak mengganggu, suami pula sibuk mengupdate bola! Saya suka juga tengok bola, tapi kalau tak ada gol dalam setengah jam pertama, lebih baik saya menghadap internet!

Hari seterusnya saya memperuntukkan masa untuk mencari-cari hadiah untuk bakal pengantin, nampaknya sepanjang cuti sekolah kali ini saya menerima 13 jemputan majlis kesyukuran. Maka, untuk memudahkan urusan, setiap undangan itu saya hadiahkan sebuah vase kaca yang cantik! (ikut citarasa saya la kan…tak tau la kan pengantin suka ke tidak…janji saya ada cenderahati untuk mereka…semoga berbahagialah hingga ke akhir hayat, insyaAllah!).

Muktamar

Namun, tidak kesemua jemputan dapat saya penuhi, terutamanya ketika muktamar berlangsung. Alhamdulillah, saya dapat menghadiri muktamar seadanya. Jika aral untuk ke sana, saya langsungkan melalui webtv.pas, seronok juga. Paling saya terkesan, ucapan perwakilan dari Sarawak. Kenapa terkesan? Satunya, saya melihat ada kesungguhan kemahuan untuk mereka semua menyebarluaskan empayar PAS di sana walaupun dalam kapasiti yang kecil, walaupun terpaksa melalui pelbagai kesukaran, dan sedih juga mendengar keluhan mereka.

Duanya, kerana lenggok ucapan perwakilan tersebut ‘kurang serius’. Isinya serius, tetapi terlalu santai. Tahu apa yang saya fikirkan masa tu? Takutnya ayahanda saya marah! Sedikit pantang untuk ayahanda saya apabila berbicara tentang perkara serius tetapi disantaikan. Namun, perwakilan itu selamat, yang tidak selamatnya apabila ada perwakilan lain yang mempersendakan Perdana Menteri kita dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Maka marahlah ayahanda saya dalam sesi penggulungannya. Kesimpulan dari kata-katanya, hormatilah sesiapa saja di kalangan kita hatta musuh! (Saya pula tidak pernah kena marah dengan ayahanda semasa sunti, tetapi apabila bergelar isteri, pernah juga kena ‘tegur’ dengannya apabila melengahkan urusan berkaitan suami! Moral: TAATILAH SUAMI WAHAI ISTERI! – seronok la jadi suami ya…

Peluang

Selesai saja urusan bermuktamar, saya bergerak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja suami, sekali lagi mengambil peluang membawa anak-anak bercuti. Kebiasaannya kami tidak merancang percutian, ia hanya bergantung kepada ‘rezeki’. Kali ini saya hanya membawa tiga orang anak, si sulong dan yang kedua saya tinggalkan di rumah datuk nenek mereka, sementelah menjadi kebiasaan sepupu-sepupunya berkumpul di sana semasa sesi cuti persekolahan.

Apabila saya mahukan percutian, saya ingin benar percutian itu benar-benar menjadi. Percutian saya bermakna pergerakan! Saya tidak suka tidur semasa bercuti, masa yang ada harus dihabiskan semaksimum mungkin dengan pergerakan ke mana sahaja. Namun, bercuti dengan anak-anak kecil memang tidak menang kaki tangan, mulut pun tidak berhenti menegah itu ini. Memang sangat mencabar kesabaran!

Apapun, ke mana sahaja kita pergi, apa saja yang kita lakukan, kembalikan anak-anak kita kepada ilmu ketuhanan. Dalam bersantai sahaja, kita terangkan apa saja yang boleh membesarkan kehebatan Maha Pencipta. Boleh ceritakan tentang keindahan alam, tentang apa yang boleh dan tidak boleh dalam Islam, tunjukkan contoh perilaku yang baik, dan macam-macam lagi.

Sesi percutian kali ini juga saya ditemani sebuah novel yang menarik. SS (tajuk rahsia) hanya untuk bacaan santai sahaja, tetapi cukup terkesan dengan watak dua beradik lelaki yang merebut cinta seorang perempuan. Saya terjebak dalam buku cintan-cintun? Mungkin juga, tetapi ia sebuah cinta selepas berkahwin. Ia menggambarkan sebuah rumahtangga idaman bagi setiap isteri, mungkin.

Ceria

Akhirnya sesi persekolahan kembali. Jadual hidup saya kembali ke asal. Berpagi-pagi sudah menguruskan anak-anak. Alhamdulillah, anak-anak ceria untuk kembali ke sekolah, tidak ada yang bermalasan untuk bangun pagi. Tetapi secara jujurnya, saya pula yang kemalasan setelah bercuti panjang dari menjadi driver…aduhhh…! Motivasinya, saya suka melayan anak-anak bercakap semasa memandu, kesempatan untuk sesi soal jawab semua perkara. Ia boleh menjadi satu sesi mendidik yang amat berkesan. Maka, itulah ubat kepada malas saya untuk bertukar kepada rajin!

Selepas menghantar empat orang anak ke sekolah, saya boleh bersantai-santai dengan dua orang si kecil yang ada di rumah. Biasanya saya peruntukkan masa setengah jam untuk berjalan-jalan di laman rumah sambil bermain dengan si kecil.

Menjadi surirumah memberikan saya kehidupan yang lebih santai.

Memberi peluang kepada saya untuk lebih memahami anak-anak. Itulah kemahuan saya.

Nampaknya si kecil saya sudah memulakan langkah pertama, masih menggigil lututnya. Baru saja dua tiga langkah, dia kembali merangkak. Walaupun sudah punya ramai anak, saya percaya saat-saat beginilah yang dinantikan oleh setiap ibubapa. Sangat teruja!

Lebih-lebih lagi kepada seorang ibu yang melahirkan, peluang keemasan begini janganlah terlepas peluang untuk melihat perkembangan anak-anak, juga untuk mensyukuri nikmat kesihatan yang baik kurniaan Allah kepadanya. Kelak nanti, ada cerita yang boleh kita khabarkan kepadanya.

Rekod

Dua anakanda yang bersekolah rendah, membawa pulang buku rekod untuk peperiksaan yang dilalui mereka sebelum bercuti. Alhamdulillah, ada sedikit peningkatan pada peratusannya walaupun sangatlah sedikit. Saya hadiahkan sebuah beg untuk si kakak dan belt untuk si adik, sekadar suntikan motivasi untuk mereka bersungguh-sungguh lagi. Kadang-kadang jika tiada kesempatan untuk mencari hadiah, saya akan membawa mereka makan-makan sahaja.

Buat sekadar kemampuan!

9.07am

« »

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: