• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2010
    S M T W T F S
    « Jun   Aug »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031

Perkahwinan

Salam Ukhuwah…

Kebanyakan masyarakat Melayu kita masih tebal mengamalkan adat didalam melaksanakan majlis perkahwinan. Kadang-kadang boleh merimaskan generasi baru yang adakalanya lebih suka kepada majlis agak moden, mahupun yang lebih berjiwa islamik hanya mahukan majlis yang serba ringkas.

Saya mahu menulis sedikit tentang perjalanan majlis perkahwinan adinda saya baru-baru ini. Ada juga adat Melayu yang kami sertakan, tetapi mungkin boleh dikatakan sebagai adat yang telah diubahcaranya mengikut kesesuaian adab Islam.

Umumnya, tidak jauh bezanya adat Melayu dengan adab yang dianjurkan oleh Islam. Masyarakat Melayu yang sebenarnya masih lagi dilitupi adab sopan, masih lagi beralas budi bicaranya, ada seni dalam kaedah akhlaknya, maka setiap tingkah cara itu sememangnya cantik teratur dan lembut terancang perjalanannya.

Saya percaya bahawa masyarakat Melayu kita hari ini makin memahami bagaimana cara terbaik untuk melaksanakan majlis perkahwinan, yang lebih menggambarkan kesederhanaan dan lebih kelihatan islamik.

Perkahwinan sebenarnya adalah fitrah kepada setiap manusia.

Jarang sudah kita mendengar istilah ‘nikah gantung’ – semata-mata kerana belum upaya mengadakan kenduri, begitu juga dengan fahaman ‘langkah bendul’ – pengantin perempuan merupakan adik kepada kakaknya yang belum berkahwin, dan yang paling tragis ada juga masyarakat kita dulu-dulu membaca ‘jampi serapah’ – semata-mata percaya bahawa jampi tersebut mampu melindungi majlis perkahwinan yang diadakan itu daripada sebarang bentuk gangguan jahat makhluk halus.

Takdir

Ditakdirkan Allah, ‘perkenalan’ pertama adinda saya dengan suaminya berlaku di rumah saya tanpa dirancang. Jua tanpa dirancang, saya menjadi ‘orang tua’ pada hari tersebut, dengan kata lain, ‘mewakili’ ayahbonda untuk melihat bakal menantu. Dapatlah saya pengalaman menjadi ‘matchmaker’ tak bertauliah pada hari tersebut!

Seingatan saya, kami menerima tamu pada hari itu, rasanya lebih kurang setahun yang lalu.  Sahabat kepada suami saya, datang mereka sekeluarga untuk bertanya khabar. Sambil menyantuni, sememangnya datang mereka berhajat.

Sebelum ini pernah suami suarakan mengenai sahabatnya yang sangat berminat untuk menyunting adinda menjadi menantu mereka. Kerana soal ‘menjodohkan’ memang bukan kepakaran, maka saya hanya kembalikan persoalan itu kepada empunya diri.

Begitulah selalunya, jika ada yang datang bertanya, maka saya kembalikan kepada empunya diri, dia yang mahu memakainya untuk seluruh kehidupan, maka biarkan dia bebas membuat keputusan, jangan sesekali memaksa. Personaliti saya, tidak suka dipaksa dan sesekali tidak akan memaksa, hidup biar bebas untuk membuat keputusan sewajarnya.

Pasangan suami isteri ini masih muda, mereka juga tiada berpengalaman dalam kaedah menyunting bunga di taman, sementelah si teruna adalah si sulong dalam keluarga, samalah seperti saya yang tidak pernah sekalipun menjadi matchmaker.

Maka merancanglah saya sesuatu…

Sangat kebetulan pada hari tersebut adinda melepak-lepak di rumah saya. Sebenarnya bukan senang untuk menyuruh si dara keluar berjumpa tetamu kiranya dia tahu yang datang bertandang itu berhajat mahu ‘melihatnya’, maka terpaksalah saya menipu sunat. Saya hanya menyuruhnya keluar bersalaman dengan tetamu perempuan, lebih selamat rasanya begitu, dan kiranya idea itu menjadi.

Itulah secantik idea yang saya ada. Tidak memaksa, malah kiranya saya sudah mendidik adinda saya bagaimana meraikan tetamu yang datang bertandang.

Kerana rumah saya mempunyai ruang yang berbeza untuk mengasingkan tetamu lelaki dan perempuan, peranan seterusnya adalah untuk memberi peluang si teruna melihat si dara.

Cinta

Majlis perkahwinan adinda tempohari memberikan saya sedikit sebanyak pengalaman berguna. Saya yakin tautan cinta mereka dijalinkan setelah dimatchkan oleh kami ini, namun saya juga yakin bahawa mereka telah menjaga sebaiknya hubungan persahabatan, jalinan pertunangan, sehinggalah mereka melangkah masuk ke gerbang perkahwinan. Cita-cita mereka adalah untuk melakar mekar rasa cinta yang membara selepas berkahwin, maka tiada yang buruk dilakukan sehingga pertalian ini benar-benar halal.

Majlis akad nikah dilaksanakan di masjid ayahanda saya, dinikahkan sendiri oleh ayahanda. Pengantin perempuan menunggu saja di rumah. Begitulah kami adik-beradik perempuan selama ini, tidak akan sama-sama turun ke masjid untuk majlis akad nikah, kerana kami sudah bercantik-cantik menunggu suami datang…Bercantik-cantik bukan untuk tatapan orang luar, tetapi hanya untuk suami dan mahram sahaja!

Jangan kerana pengantin perempuan beria-ia mahu turut serta mendengar khutbah nikah yang hukumnya harus sahaja, sehinggakan jatuh pula kepada hukum haram, yakni berdosa, kerana telah menunjukkan kecantikannya (tabarruj bersolek) kepada umum, lebih-lebih lagi di tempat yang paling mulia, yakni masjid.

Pelamin

Tidak sesuai di sebut pelamin, tetapi kami hanya menyediakan tempat yang selesa untuk pengantin duduk bersila/ bersimpuh bersama dalam upacara yang disebut sebagai ‘upacara membatalkan air sembahyang’. Sangat bersesuaian istilah itu kerana usai diakad nikahkan, pengantin bersama-sama menunaikan solat sunat nikah di bilik pengantin perempuan.

Saya turut terkenangkan majlis perkahwinan saya dulu, kerana di bilik yang sama jugalah saya dirai sebagai pengantin.

Tempat yang disediakan atas permintaan saya kepada bonda. Rimas bonda atas permintaan saya. Takut nanti apa orang kata! Saya yakinkan dia bahawa ianya akan menjadi serba ringkas pada hari tersebut, jangan terlalu pedulikan ‘apa orang kata’, ia hanya satu sudut untuk pengantin bergambar.

Bonda tetap melahirkan kegusarannya takut-takut majlis ini dikatakan berlebih-lebihan. Saya cuba mendamaikan hatinya dengan meyakinkan bahawa majlis ini ada sedikit sebanyak sumbangan daripada kami adik-beradik yang berkemampuan, sebagai hadiah tidak langsung kepada adinda bongsu ini. Jangan terlalu kisahkan apa orang kata. Sedikit berlebihan – jika dilihat begitu – hanyalah sebagai tanda kasih sayang kami dalam meraikan pengantin baru.

Akhirnya bonda akur pada permintaan saya, yang sentiasa ingin lakukan yang terbaik pada hari yang teristimewa.

Kami tidak mampu menutup mulut ramai orang jika ada yang membawa cerita yang bukan-bukan. Kami hanya mampu berharap bahawa apa yang telah dilakukan sekadar kemampuan kami, insyaAllah dalam keadaan serba sederhana. Rasanya kami masih bersederhana dalam setiap aspek kehidupan, insyaAllah sentiasa mengharapkan redha tuhan dalam apa jua tindakan yang dilakukan.

Saya berbincang dengan desingner, fahamkan kepadanya bahawa dia perlu merealitikan sebuah tempat yang simple, hanya untuk pengantin duduk bersama dan bergambar. Saya mahu gembirakan adinda, juga untuk meraikan kedatangan ahli keluarga baru kami. Kalau ada mulut yang mahu mengata juga, jangan tuju kepada ayahbonda, kerana ia adalah perancangan saya.

Hangat

Tiada iringan kompang menyambut kehadiran pengantin lelaki, yang ada hanyalah sambutan hangat daripada ahli keluarga lelaki kami untuk mengiringi pengantin berjumpa pengantin perempuan.

Seperti biasa pengantin akan menjadi tumpuan ramai, sesi bergambar hanya diadakan di bilik pengantin sahaja dengan kehadiran semua kaum wanita. Majlis kelihatan tenang-tenang sahaja, semoga Tok Guru telah mampu membawa kefahaman yang baik kepada tetamu yang bertandang bahawa inilah sebaik-baiknya majlis perkahwinan diadakan. Tiada percampuran di antara lelaki dengan perempuan.

Tentu sekali tiada majlis persandingan.

Kerana tiada majlis persandingan, maka tiada jualah menu sampingan menepung tawar, merenjis air mawar, menabur beras, membaling bunga, makan beradat, menabur duit syiling, dan apa jua yang sewaktu dengannya.

Islam tidak menggalakkan adat bersanding yang tentunya ia dicedok dari ajaran agama Hindu, walaupun kini masyarakat Melayu telah banyak melakukan pengubahsuaian didalam adat tersebut. Majlis persandingan hanya akan mengakibatkan pembaziran yang berleluasa. Membazir harta adalah haram hukumnya.

Tiada makan beradat, pengantin hanya makan bersama ahli keluarga di meja makan di ruang makan rumah ayahbonda. Itupun usai solat Asar, setelah tetamu mula berkurangan. Tiadalah nanti sehingga tidak sempat melayan tetamu ketika keramaian.

Tidak sukar untuk ayahbonda mensyaratkan kepada keluarga bakal besan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan didalam majlis pernikahan tersebut. Kerana apa yang ayahbonda syaratkan adalah selari dengan kehendak Islam. Tiada adat yang berlebih-lebihan, kerana nikah kahwin ini adalah mudah sebenarnya. Jangan menyusahkan sehingga membebankan perkara yang mudah. Tetapi jangan pula kerana mahu bersederhana pada setiap perkara sehingga ada maruah yang tercela. Berpada-padalah mengikut keadaan dan suasananya.

Abang

Adinda saya masih bertatih membahasakan suaminya dengan panggilan ‘abang’, itu panggilan ‘wajib’ kepada setiap ahli keluarga kami kepada suami masing-masing. Sebagai tanda hormat  dan kasih kepada suami hingga ke akhir hayat.

Selamat datang kepada adik ipar saya ke dalam keluarga besar kami, bak kata ramai, seorang pengantin bukan hanya berkahwin dengan pasangannya, tetapi turut berkahwin dengan keluarga pasangannya.

Jagalah isteri/ suami sebaiknya, hormat ibubapa kedua-dua belah pihak, pandai-pandailah sesuaikan diri di dalam keluarga baru masing-masing, jaga adab dan budaya keluarga masing-masing, dan binalah kerukunan rumahtangga hingga ke akhir hayat.

Sebagaimana ucapan pengantin lelaki di dalam majlis keraian di Terengganu, buat isteri tersayang, ‘bersamalah kita memperbaiki diri masing-masing untuk membina kawalan yang lebih sempurna dalam mencari titik persamaan dalam melayari rumahtangga mengikut redha Allah s.w.t.. Semoga kita mampu melahirkan zuriat yang soleh dan solehah penyambung generasi alim ulama’ di bumi tuhan ini’. InsyaAllah!

Juga pesanan kepada adinda berdua, jua kepada pengantin-pengantin baru yang lain, dalam bergembira melayari kehidupan baru, jangan sesekali melupai ibubapa yang sentiasa setia menunggu khabar anak-anak. Buatlah seupaya mungkin untuk tidak mengguris hati kecil ibubapa, yang merelakan anak-anak pergi jauh meninggalkan mereka untuk kesekian kali. Sentiasa sediakan kesempatan untuk menghubungi mereka.

Sedarkan diri bahawa jikapun kita sudah berpunya mahupun dipunyai, ibubapa itulah yang pernah melahirkan, membesarkan, dan mendidik kita semua sehingga apa yang kita peroleh hari ini. Cermatlah dalam menghalusi hati kecil ibuayah yang bersusah menyediakan kesempurnaan kepada anak-anak saat mereka membesarkan kita semua.

Impian

Saya sendiri mengimpikan majlis perkahwinan yang sederhana sahaja untuk anak-anak nanti. Majlis yang ringkas tetapi tetap happening dengan undangan yang ramai. Cukup untuk hebahan kepada ramai bahawa anak ini sudah berpunya. Buat majlis secara teratur dan beradab, biar hadirin selesa menikmati suasananya.

Tuan rumah juga perlu memahami keperluan setiap undangan, samada mereka adalah saudara mara terdekat, sahabat handai, kejiranan, VIP, dan sebagainya, perlu tahu etika dalam melayani para tetamu ini mengikut tahap sosial masing-masing. Semoga tiada tetamu yang terasa mereka dipinggirkan.

Ini semua bukan hanya kerana adat, tetapi ia adalah adab yang menjurus kepada akhlak. Perlu bertegur sapa dengan tetamu walau hanya sepatah dua kata. Jangan hanya pandai menjemput tetapi tidak tahu untuk melayan.

Berkongsi

Saya cuba berkongsi sesuatu yang telah diajarkan oleh Tok Guru kepada keluarga kami, jika ada yang baik maka terimalah sebagai landasan dalam kehidupan, jika ada cacat celanya, maka tanamkanlah semangat untuk melaksanakan yang lebih baik. InsyaAllah setiap keazaman yang baik itu akan direstui Allah s.w.t..

Saya mahu bersantai…

Terima kasih kepada suami dan bonda kerana memahami minat saya, terima kasih En. Razif yang akur dengan keinginan saya untuk menghasilkan kad jemputan yang kononnya ‘mahukan kelainan’, terima kasih Kak Nun yang seringkali bersedia menemani saya sepanjang berurusan menyelesaikan masalah kad yang lewattt…(tension sekejap!), terima kasih Ida yang selalu bersedia untuk berkreatif menggubah barang hantaran, terima kasih sahabat sepanjang hayat (insyaAllah) Lin, yang sudi balik dari Kuala Lumpur untuk menghadirkan diri pada majlis tersebut, terima kasih kepada sahabat sepanjang hayat (insyaAllah) Nor, yang jauh di perantauan Sabah – yang asyik bertanya puas hati ke tak dengan baju-baju yang direalisasikan oleh kakaknya, Kak Yah – yang tentunya sangat berterima kasih yang amat kerana sudi meluangkan masa yang panjang semata-mata untuk memahami impian kakak pengantin (yang mana pengantin tak lah sekesah kakaknya nak pakai apapun – janji tutup aurat – pengantin kata nak pakai kain tudung bawal je! Kakak pengantin yang lebih-lebih tarik pengantin ke kedai itu ini semata-mata kononnya mahu cari tudung yang kononnya mahukan kelainan – siap beli tudung Made in Iran – tapi yang keluarnya muka Melayu jugak…). Terima kasih K.Nur kerana memuji mekap pengantin macam artis! (Kena check K.Nur siapa yang bertanggungjawab decide nak makeover pengantin macamana! Jawapan; Kakak pengantin la tu…sampai mak andam pun takut nak conteng muka pengantin kalau kakak pengantin tak de kat tepi!) Terima kasih Kak Pini yang tak letih-letih melayan karenah kakak pengantin yang mahukan itu ini semuanya perfect! – hatta kalau boleh satu benang langsir pun tak boleh tersimpul! Dan terima kasih kepada semuanya yang terlibat secara langsung dan tidak langsung…terutamanya yang langsung berurusan dengan saya…(harap-harap saya ok!), yang tak disebut di sini janganlah berkecil hati ok…Saya hargai semuanya!

11.10am

 

Gembira

Salam Ukhuwah…

Masih lagi dalam mood gembira…juga masih ada lagi saki baki keletihan…

Cukuplah kuota kami adik beradik yang seramai 10 orang ini mempunyai pasangan masing-masing.

Sekarang adinda bongsu saya sudahpun berumahtangga. Sudah ada batasnya antara saya dengan dia, kami tidak lagi ‘sebebas’ dulu untuk ke mana-mana berdua. Lazimnya jika dia di Kelantan, saya akan menjadi drivernya, sebaliknya jika saya di Kuala Lumpur, dia pula akan mengambil alih tugas.

Saya ingin mengimbau sedikit kenangan bersama adinda bongsu saya ini, tentunya sebelum dia berumahtangga. Saya sangat jarang memberinya nasihat, tetapi akan terlebih pula menasihati andai dia yang meminta sebarang nasihat…dalam apa jua keadaan. Tentunya antara yang dinasihati adalah berkaitan menjaga akhlak, lebih-lebih lagi kami adalah public figure – sentiasa diperhatikan tingkahnya.

Apabila sudah menjadi sunti, sangat fitrah kepada setiap anak gadis akan ada yang datang menyunting. Inilah sebahagian daripada proses kehidupan seorang perempuan. Begitu juga kepada adinda saya. Ada yang datang bertanya khabar, maka jika dia meminta nasihat tentang situasinya ketika itu, maka saya terbuka untuk menasihatinya tentang beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan terhadap calon untuk dijadikan suami. Saya akan memberinya nasihat secara umum, bukan terhadap peribadi seseorang.

Rumahtangga

Mendirikan rumahtangga akan memberikan kita sebuah kehidupan baru. Untuk mencapai sebuah kehidupan yang baik perlu kepada ketua keluarga yang baik. Untuk memilih calon yang difikirkan sesuai dan terbaik kepada diri, kita perlu mengkhususkan kepada beberapa perkara penting, terutamanya latar belakang calon itu sendiri.

Sebelum menilai seseorang, maka pulangkan nilaian itu kepada diri sendiri terlebih dahulu. Jika jiwa kita ada nilai Islamnya, maka pilihlah calon yang boleh menjiwai corak kehidupan seorang Muslim.

Pernah juga adinda saya bertanya jika dia mahu berkahwin semasa belajar, kerana saya sendiri berkahwin semasa belajar dan sarat mengandung ketika diakhir pengajian. Maka saya boleh menasihati adinda saya apa baik buruknya berkahwin semasa belajar. Tentunya ia bukan sebuah rumahtangga yang mudah, dan agak susah kepada saya pada waktu tersebut.

Agak besar perubahan yang saya perlu buat semasa awalan berumahtangga, tetapi kesabaran menjadi benteng, kerana saya telahpun memilih jalan kehidupan sendiri. Saya sendiri memilih untuk berkahwin awal apabila telah hadir ‘orangnya’ untuk mengelakkan persahabatan berlanjutan tanpa sebarang ikatan yang sah.

Namun, harus diingat bahawa perkahwinan bukan sekadar mahu mengelakkan diri dikuasai nafsu jahat, namun kematangan adalah yang lebih penting kerana rumahtangga itu adalah satu tanggungjawab, lebih besar dari mujahadah melawan nafsu. Membina rumahtangga perlu ada kekuatan dalaman. Bukan hanya untuk diri, tetapi kekuatan untuk menerima kekurangan yang ada pada pasangan, juga kekuatan untuk menjadi ibubapa yang baik kepada zuriat-zuriat yang akan hadir.

Apabila sudah melalui alam perkahwinan semasa belajar, saya secara peribadi tidak menggalakkan mahasiswa berkahwin sehingga menamatkan pengajian mereka. Boleh berkahwin jika sudah sampai serunya, tetapi saya mensasarkan dua aspek penting; pasangan yang benar-benar memahami dan rumahtangga yang sudah punya pendapatan tetap (suami). Namun, jika boleh dielak, elakkanlah sehingga benar-benar bersedia. Dalam waktu yang sama, bentengkanlah hubungan (jika sudah ada calonnya) dengan batas-batas Islam.

Melayari rumahtangga bukan suatu perkara yang mudah, ada suka dukanya. Adakalanya kita bergelak ceria dan ada ketikanya kita mungkin berendam air mata. Namun, sekali kita melangkah masuk ke alam perkahwinan, maka rumahtangga harus kita pertahankan kemakmurannya. Bertanggungjawablah, kerana ia sebuah amanah Allah.

Home

…where your story begins

7.06pm

Majlis

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, selesai sudah majlis kesyukuran bagi meraikan perkahwinan adinda saya semalam, tetamu terakhir kami hadir selepas Maghrib, setelah itu kami tutup kedai! Melayang sudah separuh debaran, separuh kesibukan, separuh penantian.

Belum lagi majlis tamat, kami adik-beradik termasuklah pengantin, sudah longlai menguruskan majlis semalam.

Bermulalah episod kehidupan baru bagi adinda saya, menjadi seorang perempuan yang bergelar isteri pula. Ada batas-batas kehidupan baru yang harus dia pelajari, disiplin baru dalam menguruskan rumahtangga, semoga berjayalah!

Sepuluh tahun selepas majlis menyambut menantu, isteri kepada kekanda saya, inilah majlis perkahwinan terakhir dalam adik-beradik kami. Tiada lagi yang lain, menyusul pula cucu-cucu ayahbonda yang sedang membesar.

Memori

Majlis semalam meninggalkan satu memori indah buat saya sendiri!

Ada kepuasannya untuk saya pada majlis ini. Walaupun ada sedikit tekanan, ia mengajar saya perihal perancangan!

Saya kira setiap ahli keluarga juga mampu tersenyum puas.

Ramai yang mengucapkan tahniah ketika bersalaman.

Saya terperasan! Ramai yang memuji itu cantik, ini cantik…

Majlis ini menterjemahkan minat saya untuk bereksplorasi tentang kecantikan. Saya menyukai bidang kecantikan, maka saya cuba ingin menterjemahkan bagaimana kecantikan itu boleh dieksploitasi sebaiknya menurut kaedah Islam. Sel-sel otak saya telah bekerja dengan agak baik untuk memanipulasi setiap keadaan, saya jadi kreatif, dan saya sendiri menyukainya. Saya tidak tahu bagaimana membuat sentuhan terakhir untuk kecantikan itu boleh dihayati, tetapi saya ada idea simple tetapi terkesan untuk merealisasikan suatu kepuasan. Namun, cukuplah untuk majlis ini, tiada lagi selepas ini.

Selepas ini saya mahu berehat, kaki saya sudah lenguh!

Syukur, Allah permudahkan segalanya…

“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki”

(Hadis)


3.28pm

Sah

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, sah sudah adinda saya, Nik Asma’ Salsabila binti Nik Abdul Aziz menjadi isteri kepada Ahmad Asyraf bin Zainuddin, kira-kira jam 9.45 malam tadi. Wujud sudah peneman abadi dalam kehidupan, teman bicara sepanjang hayat, teman memujuk kala merajuk…

Pertunangan yang termetrai pada Februari lalu, Alhamdulillah dapat disempurnakan ikatan sucinya selepas lima bulan. Tidak perlu untuk menunggu lama kerana kebetulan masing-masing usai saja menamatkan pengajian.

Alhamdulillah, Allah telah memanjangkan usia kami semua untuk sekali lagi merai majlis bermakna dalam keluarga besar ini. Maka tercapai jua hasrat ayahbonda dan kami sekeluarga untuk melihat adinda bongsu bergelar isteri kepada seseorang. Hanya majlis sederhana dihadiri ahli keluarga terdekat untuk meraikan ahli baru menyertai keluarga besar kami.

Dengan iringan doa serta ucapan-ucapan baik daripada hadirin, kami sekeluarga turut mendoakan semoga ikatan kasih sayang yang baru termetrai ini akan kekal selamanya hingga ke akhir hayat. Kami juga berdoa semoga kehidupan baru bergelar suami isteri yang masih panjang perjalanannya di hadapan, akan mampu dipandu dengan penuh mawaddah dan rahmah.

Akhirnya, dalam awalan kami turut mendoakan semoga adinda kami ini akan dikurniakan zuriat-zuriat yang sedap mata memandang dan penyejuk hati buat penyeri rumahtangga, amiiin.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”

(al-Nur 24: 32)


7.39am

Syaaban

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk meraikan kedatangan Syaaban, langsungnya memberi petunjuk bahawa kita kian menghampiri Ramadhan Mubarak, bulan rahmat kurniaan Allah.

Maka tinggal sebulan lagi untuk kita bersama-sama mempersiapkan diri menghadapi Ramadhan.

Selain memperbanyakkan amalan berpuasa sunat, suka juga untuk saya mengingatkan bahawa inilah hari-hari yang terakhir untuk mengqada’ puasa, jika ada di kalangan kita meninggalkan puasanya pada Ramadhan yang lalu, samada secara sengaja atau dengan sebab keuzuran syar’i. Jangan sesekali melengah-lengahkan lagi mengqada’ puasa tersebut dalam kita masih berdaya pada hari ini, sebelum Ramadhan yang akan menjengah tidak lama lagi, kelak nanti kita hanya akan menambahkan lagi koleksi dosa yang sudahpun menggunung tinggi akibat kelalaian sendiri, selain wajib keatas pelakunya itu membayar fidyah bagi setiap hari yang dilambatkan puasa gantinya itu.

Selamat beribadat…

4.34pm

Menjelang . . .

Salam Ukhuwah…

Seminggu dua ini saya agak sibuk, sentiasa bersedia untuk menyibukkan diri menguruskan keperluan adinda saya menjelang hari bahagianya. Hari penyatuan adinda saya semakin hampir, maka saya cuba memberikan yang terbaik sebagai dedikasi untuk hari istimewanya. Sibuk yang seringkali memenatkan, tetapi ada keseronokannya. Teringat pula hari bahagia saya dulu…

Selamat berbahagia adindaku…

Tentunya saya yang sentiasa terkesan dengan sebarang majlis perkahwinan! Ok, jangan bayangkan sebarang majlis yang hebat, tanpa persandingan, hanya pada sebuah bilik sahaja.

Hari-hari saya sejak kebelakangan ini penuh terisi, ada-ada saja keperluan yang harus dibereskan. Kali ini saya sendiri volunteer untuk menyibuk menguruskan beberapa perkara, tentunya saya memilih perihal tatarias! Dah minat ke situ memang sungguh-sungguh tak dapat nak mengelak! Nasib baik suami, ayahbonda dan adinda memahami – watak-watak penting! Terpaksalah mereka memberi ‘kebebasan’ kepada saya untuk menyempurnakan minat yang entah dari mana menurunnya!

Memilih untuk menyempurnakan perihal tatarias agak melecehkan. Banyak perkara yang kelihatan remeh dan temeh, tetapi harus sempurna diuruskan.

Kad

Alhamdulillah, saya juga sudah berjaya ‘merekacipta’ kad jemputan hasil imaginasi yang sentiasa di awangan…Syarat ayahbonda saya; hanya sekeping kertas, ringkas dan padat, serta bersederhana – maka saya ‘berjaya’ merealisasikannya! Sekadar ingin berkongsi ‘keletihan minda’ setelah berhari-hari juga saya berbincang dengan ‘designer’ untuk menghasilkan kad yang serba ringkas ini.

Apa yang penting, saya ada impian disebalik ‘ciptaan’ kad itu – jangan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya! Pada saya, tidak perlu melabur wang yang banyak pada perkara yang bukan-bukan, kad jemputan hanya akan dibuang selepas ‘di kalendarkan’ infonya. Adalah lebih baik kiranya wang yang dibazirkan pada kad itu dipindahkan kepada perkara yang lebih penting.

Bakti

Selain menyibukkan diri kerana sebuah keseronokan, saya juga mahu benar menabur bakti kepada ibubapa. Mahu meringankan beban mereka dalam menguruskan majlis ini. Saya sentiasa untuk lebih menjadi anak yang baik apabila bergelar suri. Bukan hanya mahu dekatkan diri kepada anak-anak, tetapi mahu lebih kerap mengurus baik keperluan ibubapa apabila mereka memerlukan khidmat anak-anak disisi.

Sangat tidak rugi saya menjadi suri kerana mampu memberi khidmat yang lebih baik kepada mereka. Apabila umur sudah meningkat dan anak-anak semakin membesar, naluri untuk menjadi anak yang lebih baik kepada ibubapa semakin berada pada tingkat yang lebih elok.

Sebagaimana saya mahu anak-anak saya berakhlak baik kepada saya di hari tua nanti, saya mahu sangat menunjukkan kepada mereka contoh yang baik semasa berhubungan dengan ibubapa. Sedaya upaya saya mahu menyenangkan hati ibubapa di hari tua mereka. Saya mahu mengkualitikan hari tua mereka. Saya mahu meyakinkan bahawa mereka telah melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anak dengan penuh kesempurnaan.

Berdoalah sentiasa semoga jangan sesekali kita menjadi anak derhaka kepada kedua ibubapa, dan kurniakanlah juga zuriat yang sempurna akhlaknya kepada kita semua. Sentiasa tanamkan impian untuk menjadi anak yang baik, dan ibubapa yang sempurna hingga ke akhir hayat.

Soalan

Sekadar saya ingin berkongsi, semenjak saya berblog, adakalanya saya dihadiri oleh persoalan yang diluar bidang saya, yang meminta saya menjawabnya dengan baik. Kadang-kadang ia membuatkan saya serba-salah. Sebagai seorang anak Tok Guru, mungkin diluar sana menganggap saya seorang yang ada ilmunya. Sebenarnya saya sama saja dengan kalian. Saya juga masih menuntut ilmu. Untuk tidak menjawab soalan, saya sendiri tidak sampai hati apabila ada yang mengharap.

Namun, dengan soalan-soalan yang hadir itulah saya mengucapkan syukur kepada tuhan, dengan soalan itulah saya temui jawapan yang mampu menambahkan ilmu saya. Terima kasih kepada yang bertanya…apa jua soalan!

Tuhan tahu tapi menunggu

(Tolstoy)/ (Edensor – Andrea Hirata)

5.05pm

Cerita

Salam Ukhuwah…

Adakalanya sebaik sahaja pintu kereta dibuka sekembali dari sekolah, anakanda saya mula bercerita.

Pintu kereta belum ditutup, ada-ada saja cerita yang dibualkan kepada ‘penumpang’ lain. Biasanya sekaligus saya mengambil anak-anak pulang dari sekolah.

Mengimbau kenangan saya dulu-dulu, pergi dan kembali dari sekolah berjalan kaki sahaja. Macam anak-anak sekarang juga, ada-ada saja cerita yang saya bualkan sepanjang perjalanan pulang. Masih segar dalam ingatan, saya dan Leynee, sahabat yang sentiasa berjalan beriringan pergi dan balik dari sekolah.

Kisahnya, cara kami sebagai budak-budak dahulu berborak ceria, dibanding anak-anak hari ini sebagai budak-budak yang meriah bercerita. Kami dulu membesar dalam suasana kampung, saya kira masih terpelihara dari anasir-anasir ‘bandar’. Agak jauh dari ‘kemodenan’ dalam berbahasa, maka patah bicaranya masih sopan kedengaran di telinga. Tiada perkataan yang pelik-pelik, bombastic, dan apa saja perkataan yang boleh membuatkan telinga orang tua berdesing jika diluahkan anak-anak.

Tidak kira kecil mahupun dewasa hatta tua sekalipun, setiap manusia itu ada hati dan perasaan. Berbahasa dengan baik boleh mewujudkan rasa hormat dan saling berkasih sayang sepanjang hayat.

Bahasa

Saya yakin semua orang sudah perasan bahawa bahasa pertuturan seharian masyarakat kita sudah banyak berubah. Jika lebih baik, saya akan tumpang seronok, tetapi masalahnya, ia advance kepada bahasa yang bukan-bukan, lebih menakutkan ianya sudah caca marba menjadi bahasa pondan pula. Sungguh menggelikan! Seolah-olah masyarakat kita secara halus mengiktiraf kewujudan pondan!

Bagaimana untuk berbahasa, bukanlah sehingga perlu berbunga-bunga, berpantun-pantun, tetapi bersopanlah, beradablah. Kita sebagai Muslim perlu ada jatidiri, kita sebagai Melayu ada adatnya.

Saya masih boleh menerima jika bahasa yang pelik-pelik itu digunapakai dalam bersms dan yang sewaktu dengannya, kerana ia tiada ‘bunyi’, tapi pastikan juga hanya digunapakai dengan orang-orang terdekat saja, tetapi bukan dengan orang yang sepatutnya dihormati, lebih-lebih lagi ibubapa. Tidak bolehnya, apabila bahasa pelik ini mula dituturkan, ada bunyinya, maka terlihatlah watak yang kurang adab sopan itu. Terserlah ketidakbijaksanaannya.

Nampaknya ‘bahasa’ anak-anak hari ini menjadi satu cabaran juga kepada ibubapa. Selain ibubapa sewajarnya menggunapakai bahasa-bahasa yang sempurna semasa berbicara dengan anak-anak, maka sangat sepatutnya ibubapa juga memantau ‘bahasa-bahasa lain’ yang dikeluarkan daripada mulut anak-anak hari ini. Jika tidak dipantau sepatutnya, ‘bahasa asing’ itu akan mampu menjadikan anak-anak kita ‘tidak tahu berbahasa’. Tiada hormat dalam berbicara!

Kadang-kadang anak-anak ini tidak tahupun ‘standard’ bahasa yang mereka gunakan, kerana bahasa jengkel itu digunapakai oleh kawan-kawan, maka mereka juga merasa itulah bahasa yang sepatutnya digunakan. Langsung bahasa itu dibawa masuk ke dalam rumah, membawa vocab baru dalam pertuturan bersama ahli keluarga yang lain. Maka, sebagai ibubapa harus segera menegah anak-anak dari menggunapakai bahasa jengkel sebegini dalam pertuturan seharian mereka.

Begitulah anak-anak saya, adakalanya membawa balik perkataan yang bukan-bukan apabila sudah mula ‘bermasyarakat’. Maka saya tidak tunggu lama untuk memberi kesedaran, saat itu juga saya memberi amaran! Jika sekali lagi perkataan yang tidak sepatutnya disebut dalam bicara, maka mulut akan dicubit! Itu amaran buat anak saya jika ada perkataan tidak senonoh diluahkan. Terpulang kepada gaya didikan masing-masing, tetapi pastikan kita sentiasa buat yang terbaik untuk anak-anak.

Tabiat

Jika ada bahasa yang kurang sempurna dituturkan oleh anak-anak, maka ibubapa harus segera menegurnya. Jangan sehingga menjadi tabiat yang boleh merosakkan akhlak anak-anak.

Jadi, sayangilah anak-anak kita semua, bertanggungjawablah untuk melahirkan satu generasi yang masih utuh adab sopannya.

Adab sopan itu perlu dilentur, sebelum mereka hanyut dibawa arus zaman.

Ajar anak-anak berbicara secara sopan, biar ada adabnya.

Apabila mengajar anak sesuatu, biarlah sehingga mereka faham. Bukan tahu mengajar anak saja, pastikan kita sebagai ibubapa juga punya kesediaan untuk merubah gaya bicara, ke arah yang lebih baik. Jika ibubapa boleh menegur kesalahan anak di situ di sini, maka terimalah komen anak-anak jika sesekali kita telah melakukan kesilapan di hadapan mereka. Senang sekali jika ibubapa boleh mengajukan kesefahaman, saling menegur di antara satu sama lain di kalangan ahli keluarga terutamanya.

Adakalanya anak-anak tidak boleh menerima istilah ‘nasihat’, lebih-lebih lagi ‘menerima nasihat’, seolah-olah buruknya perilaku sendiri sehingga perlu mendengar nasihat. Maka tukar saja budaya itu jika ingin menegur anak-anak sebegini, boraklah dengan berlembut, dengan budaya kasih sayang. Jangan keterlaluan menggunakan ‘kuasa’ sebagai ibubapa. InsyaAllah, dengan cara yang lebih santai boleh memberi kesan yang lebih mendalam kepada jiwa anak-anak.

Adab sopan itu lebih sinonim dengan Melayu, ketepikan bangsa, julanglah kita sebagai Muslim. Islam sendiri mengajar kita beradab dalam bermasyarakat, indahlah kehidupan ini.

4.02pm