• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2010
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Rahsia

Salam Ukhuwah…

InsyaAllah dalam pengetahuan kita semua bahawa ada satu malam rahsia yang amat istimewa pada 10 malam terakhir Ramadhan ini, yakni Lailatul Qadar, yang mana kita semua diperintahkan untuk tekun mencarinya.

Lailatul Qadar adalah anugerah utama Allah swt untuk Ramadhan.

Mencari Lailatul Qadar tentunya menjadi keazaman kita semua, namun apa yang lebih penting adalah mengerjakan ibadat sekualiti yang mungkin pada 10 malam terakhir Ramadhan. Imarahkanlah malam-malam tersebut dengan membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat, bertahajud, berdoa, bermuhasabah, bertafakur dan menangisi segala dosa silam… sesaat pun kita tidak akan rugi, malah berdoalah sepanjang masa mudah-mudahan ibadah kita itu tersenarai pada Lailatul Qadar.

Malam ini terlalu istimewa apabila setiap ibadat yang dikerjakan akan digandakan sehingga menyamai nilai ibadat yang dilakukan selama 1,000 bulan, bersamaan 83 tahun empat bulan.

Dikhabarkan bahawa pada malam tersebut, ribuan malaikat telah setia menunggu untuk mengangkat ibadat setiap hamba Allah dari alam dunia ke langit. Ribuan malaikat ini akan turut mendoakan setiap hamba Allah yang beribadat, berzikir dan berdoa kepada Yang Maha Esa pada malam itu, dan insyaAllah doa yang dipanjatkan itu akan dimakbulkan permohonannya.

Inilah suatu berita yang begitu masyhur digambarkan untuk kita semua membesarkan Lailatul Qadar, suatu malam yang paling mulia dan berkat, hanya datang sekali setahun sahaja.

Semoga Ramadhan kali ini mampu membantu kita membentuk peribadi dan akhlak Muslim yang lebih baik. Mudah-mudahan ia akan mengukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta.  Bersama kita berdoa semoga kita akan berada di kalangan hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan sentiasa mahu sujud kepada Allah.

Aaamiin…

10.41am

Silaturrahim…

Salam Ukhuwah…

Tanpa prejudis, saya membawa satu persoalan yang dikemukan oleh tetamu di sini untuk bersama kita bincangkannya secara umum. Moga apa yang baik dapat kita manfaatkan bersama, insyaAllah…

salam.
Kak ina, disini saya inginkan satu kupasan yg terang lg jelas mengenai cara-cara mentaati suami.

Begini, berdosakah saya sekiranya tidak menjadikan keluarga belah suami serapat keluarga saya? Maksudnya saya tidak sejoin or sebulu dgn sebilangan ahli keluarga belah suami. Ini disebabkan oleh kakak2 suami yg mempunyai mulut yg begitu tajam apabila berkomunikasi dgn sy. Bila dirujuk pd suami katanya mmg kakak2nya dari dulu lg berperangai begitu. Tp bg sy sebagai org baru dlm keluarga mereka tdk wajarlah seandainya diberi layanan sebegitu. Jd rentetan dr situ hati sy mula luluh dan tawar dgn sikap kakak2 ini dan hormat sy mula kendur. Kini sy jd pendiam dan tdk lg serancak dulu seandainya bertemu mereka. Terfikir jua dihati ini sampai bilakah keadaan sebegini?…

Leraikan kekusutan ini wahai kak ina. Harap sgt.

Setiap pasangan yang berkahwin itu perlu ada sedikit sebanyak ilmu rumahtangga sebagai bekal dalam pelayaran kehidupan mereka. Suami/ isteri perlu memahami dengan baik sistem kekeluargaan dalam Islam, yang mana ia adalah sebuah keluarga yang kian membesar apabila sebuah perkahwinan dilangsungkan. Akan ada ibu bapa, mentua, ipar dan saudara-mara lain.

Apabila mendirikan rumahtangga, bukan hanya anak menantu yang perlu bersilaturrahim dengan setiap ahli keluarga kedua belah pihak, tetapi ia juga akan melibatkan besan. Hubungan besan juga perlu baik dan sesama akur bahawa adat resam serta budaya kedua-dua keluarga adalah berbeza.

Apa yang sangat perlu difahami adalah, kita berkahwin dengan seseorang yang latar belakangnya adalah sama sekali berbeza dengan pengalaman kehidupan yang pernah dilalui selama ini. Sangat tidak hairan jika perbezaan ini (samada ia kecil mahupun sangat ketara) boleh mengakibatkan konflik di dalam kehidupan berumahtangga yang dibina.

Jelas sekali sebelum mendirikan rumahtangga, kita semua perlu faham bahawa ‘kita bukan hanya berkahwin dengan pasangan sahaja, tetapi kita perlu ‘berkahwin’ dengan semua ahli keluarganya’. Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa, samada keluarga sendiri mahupun keluarga pasangan, kita perlu berbuat baik dengan sama rata.

Walau bagaimanapun, saya pasti ia bukannya mudah bagai dikata. Oleh yang demikian, langkah yang paling tepat adalah bertolak-ansur dalam sesetengah situasi, yang mungkin kita tidak menyukainya di dalam keluarga pasangan. Saya juga percaya, tidak semua yang berlaku di dalam keluarga kita akan disukai sepenuhnya oleh pasangan. Inilah yang dikatakan sebagai tolak-ansur untuk menjaga kerukunan rumahtangga sendiri.

Konflik

Tidak dinafikan konflik antara ipar-duai adalah antara masalah yang sering terjadi dalam masyarakat kita. Perlu diingat bahawa setiap peribadi itu tiada yang sempurna. Kita tidak sempurna, begitu juga orang lain yang berada di persekitaran kita.

Apa yang penting, hubungan kita suami isteri berada pada tingkat yang normal. Pasangan suami isteri itu sendiri perlu ada perasaan sayang yang menebal kepada rumahtangga yang telah dibina. Setiap pasangan perlu mengenalpasti apa keutamaan di dalam keluarga mereka. Pentingnya adalah sistem komunikasi yang teratur untuk mengelakkan sebarang konflik berlaku.

Sungguhpun begitu, jika berkomunikasi bersama pasangan, elakkan daripada sentiasa memburukkan dan mengkritik keluarga pasangan. Hubungan suami isteri boleh renggang apabila sering meluahkan kata-kata negatif terhadap keluarga masing-masing. Dalam masalah yang melibatkan keluarga besar, setiap pasangan perlu bijak mengawal persepsi negatif.

Tidak perlu membawa masuk masalah picisan ke dalam rumahtangga kita. Jika sering dibincangkan perkara yang sama dimana penyelesaiannya berada di tangan orang lain, tidak hairan jika rumahtangga sendiri akan goyah.

Tidak dinafikan pengurusan konflik juga ada perbezaannya antara suami dengan isteri. Lelaki dan wanita mempunyai cara berbeza ketika mengurus konflik.

Wanita (isteri) akan lebih memandang berat mengenai masalah yang berlaku. Rata-rata kebanyakan wanita ingin menyelesaikan konflik lebih cepat berbanding lelaki. Mereka mahu setiap konflik yang berlaku seharusnya diselesaikan segera.

Berbeza dengan lelaki (suami) yang lebih kelihatan cool, tidak suka berbincang perkara yang pada pandangannya adalah remeh dan berjaya mengawal emosi mereka. Mereka kurang menonjolkan emosinya yang sebenar. Mereka juga akan cuba mengelak dari berkonfrontasi, sedangkan pada ketika itu wanita masih lagi belum berpuas hati terhadap masalah yang dihadapi.

Dalam situasi ini, suami perlu membantu isteri dengan mewujudkan komunikasi yang lebih terbuka, tetapi tidak cuba menyebelahi mana-mana pihak.

Untuk mengekalkan keharmonian berumahtangga, setiap pasangan perlu mengubah diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengharapkan orang lain berubah. Pasangan berterusan bahagia sekiranya mampu mengekalkan tahap rasa hormat-menghormati di antara satu sama lain. Setiap pasangan yang baik akan cuba menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.

Jangan kerana ipar-duai, rumahtangga kita pula yang porak-poranda. Jika ada masalah bersama mereka, suami/ isteri perlu tahu untuk menyeimbangkan suasana dan keadaan semasa. Banyak hati yang perlu dijaga, maka sewajarnya diberikan layanan yang sepatutnya kepada setiap individu yang berkaitan.

Dalam waktu yang sama, suami/ isteri hendaklah memastikan bahawa hati pasangannya tidak terluka dengan sikap ipar-duai.

Akhlak

Untuk menghormati keluarga pasangan masing-masing, adalah perlu suami/ isteri mempamerkan akhlak yang baik. Bersifat pemurah dan ringan tulang antara sifat yang terbaik untuk lebih mudah mengambil hati keluarga pasangan. Banyak hati akan dapat ditawan melalui pemberian sekali-sekala dan mudah dalam memberi sebarang pertolongan apabila diperlukan. Keluarga pasangan akan lebih menyayangi menantunya yang ini. Sememangnya fitrah manusia sebegitu.

Pada saya, tidak perlu kita membalas sebarang ‘kejahatan’ yang telah dilakukan ipar-duai kepada diri. Perkataan yang sering saja disebut, tentunya bersabarlah, dan mungkin boleh beralah dengan situasi tersebut, mudah-mudahan ia tidak merosakkan peribadi sendiri dan pasangan kita, seterusnya mampu menyelamatkan keadaan dari terus merebak ke arah yang lebih teruk.

Sifat yang sangat terhormat adalah, kita cuba memahami situasi dan memaafkan perkara-perkara yang kelihatan ‘bodoh’ itu. Sifat sebegini sangat perlu supaya tidak akan terjadi perbalahan sesama sendiri, walaupun punca masalah yang timbul adalah daripada ipar-duai.  Cuba bersabar dengan karenah mereka yang ‘separa masak’ itu. Jangan sesekali kita bertindak mengikut perasaan.

11.04pm

Tegas

Salam Ukhuwah…

Seminggu yang lalu, anakanda kedua saya membawa pulang dari sekolah kad lukisan Hari Raya ciptaannya sendiri.

Ada tiga watak yang dilakarkan di dalam lukisan tersebut. Ada Pa, Cek dan dirinya (Abang Nik).

Apa yang mengejutkan saya, dalam waktu yang sama agak melucukan, Cek dipotretkan sedang bercekak pinggang di tingkap rumah! Mmm…sampai begitu sekali saya digambarkan! Saya bertanya kenapa Cek sebegitu? Dia menunjukkan kepada wataknya yang sedang bermain, katanya, ‘Cek sedang marah kerana Abang Nik bermain di luar rumah sewaktu panas.’ …mmm…tahu pun salahkan…!

Tentunya kita semua maklum bahawa imaginasi anak-anak tidak pernah menipu. Mereka adalah individu yang ikhlas, riang, kreatif, benar, bersemangat, luhur, dan tentunya kehidupan mereka sepatutnya dihiasi dengan suasana yang menceriakan, penuh tarikan dan diberi perlindungan sepenuhnya.

Selain terkejut dan lucu, saya sebenarnya terasa malu apabila dipotretkan begitu. Juga rasa bersalah kepadanya jua anak-anak yang lain, apabila secara tidak langsung seolah-olah saya telah menggamkan personaliti sebagai seorang ibu yang garang.

Saya mahu bermuhasabah.

Apabila melihat potret saya yang sebegitu, terasa perlu ada perubahan pada diri sendiri sebagai seorang ibu. Saya mahu membetulkan persepsi anak-anak kepada saya ke arah yang lebih baik. Kiranya sungguhlah tidak menarik apabila Cikgu mereka melihat potret saya yang sebegitu. Tahupun malu!

Sememangnya berbanding saya, suami lebih berlembut dan memanjakan anak-anak.

Saya kira ada baiknya begitu, seorang berlembut dan seorang lagi agak tegas, tetapi jangan pada semua keadaan.

Sikap

Sebenarnya, tegas itu adalah sikap saya. Bukan hanya kepada anak-anak, tetapi juga kepada orang lain. Saya juga tegas kepada kanak-kanak lain. Pernah ketika saya menghantar si Kembar ke Pasti, dan melihat ada kanak-kanak membuang sampah di merata, saya memanggil mereka dan menyuruhnya mengutip kembali sampah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Pernah juga saya menyuruh anak jiran yang sedang bermain di halaman rumah, untuk kembali ke rumah masing-masing bagi menunaikan solat apabila telah masuk waktunya. Pernah juga saya meninggi suara sewaktu bekerja dulu, kerana menegur rakan sekerja yang bicaranya berbau lucah. Semua itu adalah kerana sikap semulajadi saya yang agak tegas.

Namun saya pasti, tegas saya, garang saya, adalah bertempat.

Pada saya, ketegasan sangat perlu mengikut kesesuaian, tetapi kurangkan berleter dan marah-marah. Lebihkan belaian kepada anak-anak kecil dan fahami jiwa anak-anak remaja.

Apa yang paling penting dalam mendidik anak-anak adalah bersabar, jangan cepat melatah. Ceriakan kehidupan mereka, jangan biarkan mereka kemurungan. Anak-anak kecil yang sering dikongkong minda mereka boleh menjadi anak-anak yang memberontak pada masa hadapan. Maka lahirlah anak-anak remaja yang mudah melenting, langsung kepada kerosakan akhlak yang tragis.

Walaupun seorang yang tegas, saya yakin lebih memahami anak-anak, jua tahu bagaimana untuk mengembirakan kanak-kanak.

Memahami

Renungan lembut seorang ibu mampu mencairkan hati anak-anak. Saya percaya bahawa ibu akan lebih memahami anak-anak dalam banyak keadaan, kerana hubungan mereka sangat akrab sejak di dalam kandungan lagi. Pelukan ibu yang penuh kasih sayang akan melembutkan jiwa anak-anak.

Ada waktunya saya bergurau sakan dengan anak-anak, adakalanya boleh melakonkan watak-watak tertentu bersama mereka. Dilain waktu pula, ambil kesempatan membaca doa-doa pendek bersama anak-anak. Ini juga mampu membina jati diri Muslim yang baik kepada mereka.

Saya juga cuba mempraktikkan ajaran ini, terutama apabila mereka mahu tidur – membaca doa, menterjemahkannya, dan memberi pengharapan kepada mereka seadanya. Pada saya ia mampu memberi sedikit kelembutan jiwa kepada anak-anak, apabila ibubapa memberi keyakinan bahawa mereka mampu menjadi anak-anak yang baik pada setiap masa.

Kita tidak boleh menjadi ibubapa yang membosankan kepada anak-anak.

Ada ibubapa tidak tahu bergurau, sentiasa mencari kesalahan, tiada berdisiplin – ini semua suatu tingkah yang sangat tidak elok kepada peribadi anak-anak.

Jadikan anak-anak kecil sebagai kanak-kanak yang sentiasa dalam keadaan ceria, dan jadikan anak-anak remaja sebagai kawan yang boleh berkongsi separuh daripada kehidupan anda sebagai seorang yang dewasa. Ketahuilah bahawa ini semua tarikan kepada mereka apabila kita mampu berbicara tentang kecantikan, kematangan, kesihatan, perancangan masa depan, dan sebagainya.

Anak-anak ini sebenarnya sangat mudah dididik jika kena acuannya. Jadikan keluarga yang  telah kita wujudkan hari ini, sentiasa bekerjasama dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan. Kebersamaan ini akan mengukuhkan lagi jati diri anak-anak dalam tumbesaran kehidupan mereka yang masih panjang. InsyaAllah…

Disiplin

Sangatlah tidak salah untuk menjadi seorang ibu yang tegas, apabila mereka telah mempunyai seorang ayah yang berlembut dan sering memanjakan mereka. Bertegas bukan bermaksud mendera. Ketegasan saya kerana mahukan anak-anak berdisiplin dalam kehidupan mereka, tidaklah nanti mereka menjadi seorang yang tidak tahu mengurus diri apabila berjauhan dengan keluarga kelak.

Buat si ayah pula, jangan sesekali abaikan tanggungjawab untuk menjadi Hero sejati kepada anak-anak. Seorang ayah juga perlu proaktif. Ayah perlu tahu untuk menyeimbangkan suasana kiranya anak-anak sudah mempunyai ibu yang tegas. Bukan memburukkan seorang ibu, tetapi perlu memberi penerangan kepada anak-anak bahawa ketegasan ibu itu adalah untuk mendidik. Jika anak bersalah, sesekali jangan menjadi benteng mereka. Biarkan mereka tahu apa kesalahan yang telah dilakukan.

Semahunya setiap ibubapa perlu menjadi idola terbaik kepada semua anak-anak. Tonjolkan kepada mereka sifat yang baik sepanjang masa. Pastikan tingkah laku kita sentiasa terkawal.

Sebenarnya anak-anak sememangnya menyayangi ibuayah mereka. Sayang mereka insyaAllah kerana dapat merasa jaminan dilindungi secara sempurna. Maka sebagai ibubapa, kasihilah mereka sepenuh hati dengan mengkualitikan masa bersama mereka pada setiap ketika. Fahami jiwa mereka, insyaAllah kita akan menyerap rasa kasih dan terhibur dengan telatah anak-anak yang pelbagai.

Istimewa

Sebagai ibubapa kita tidak perlu membuat perbandingan di antara anak-anak. Setiap anak itu ada keistimewaan masing-masing. Ada anak kita yang banyak cakap, sangat aktif, pendiam, sangat penyayang, dan pelbagai lagi. Macam-macam ada. Kepelbagaian ciptaan Allah inilah yang membantu kita membina keistimewaan dalam berkeluarga. Ibubapa perlu melayan setiap anak dengan seimbang agar wujud keseronokan dalam kehidupan mereka.

Kita sebagai ibubapa juga tidak perlu membandingkan diri sendiri dengan ibubapa yang lain. Tentunya kita perlu yakin kepada diri sendiri. Walau selemah mana pun kita dalam pelbagai aspek kehidupan, itu bukanlah penghalang untuk kita menjadi ibubapa yang terbaik kepada anak-anak.

Ibubapa tidak boleh ditukar ganti oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ambil berat perihal anak-anak sedari mereka dilahirkan sehingga ke akhir hayat. Jangan sesekali membelakangi mereka.

Jangan pula sebaliknya apabila anak-anak mula memikirkan bahawa ibubapa merupakan musuh  dalam kehidupan mereka. Sangatlah aib jika mereka mempunyai sisi gelap dalam sejarah kehidupan bersama ibuayah. Sangat trauma!

Bersamalah kita mencuba untuk membimbing keluarga menjadi sebuah keluarga Muslim yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat setempat. Perbaiki diri sendiri terutamanya, seterusnya pasangan dan anak-anak kita. Mudah-mudahan kita mampu mewujudkan sebuah generasi baru yang bersih peribadinya dari sebarang kerosakan kehidupan hari ini. Katakan kepada diri, sebenarnya kita mampu lakukannya!

Sayangilah anak-anak, mereka adalah kurniaan terhebat dari Allah untuk menambahkan kualiti kehidupan kita semua.

5.43pm

p/s: Selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia…

Kemahuan

Salam Ukhuwah…

Syukur Alhamdulillah, semalam anakanda kedua saya telah berjaya menambahkan kuantiti puasanya kepada dua hari. Tiada paksaan, cuma saya memintanya sedikit bersabar untuk bersama-sama berbuka puasa di rumah neneknya (mertua saya) pada hari semalam.

Sekali lagi saya gembira kerana anakanda yang ini sudah punya kemahuan untuk berpuasa, terasa berbaloi bercerita perihal kehebatan berpuasa pada setiap hari.

Namun, hari ini anakanda kedua saya itu tidak berpuasa, pagi-pagi lagi sudah mengkhabarkan tidak mahu berpuasa, dengan alasan kelas hari ini berlarutan hingga ke petang. Saya memahami kerana dugaannya makin bertambah besar, kebiasaan kawan-kawannya akan mengambil makanan berat sebelum menyambung sesi petang – di situ ada tarikan! Biarlah, saya pun kesian juga apabila dia terpaksa berulang kali turun naik tangga sekolah di tingkat tiga.

Esok saya akan cuba lagi untuk memujuk anakanda yang ini berpuasa. Sekurang-kurangnya dia mampu berpuasa dua hari seminggu, makin saya perlu kreatif untuk memomokkan dia dengan janji-janji manis. Terpulang kepada kita sebagai ibubapa bagaimana mahu mendidik anak-anak dengan jayanya, kerana kita yang sebenarnya lebih memahami mereka, bukan orang lain.

Masih saya ingat memori puasa saya sewaktu alam persekolahan rendah dahulu, setiap hari pergi dan balik dari sekolah berjalan kaki di bawah terik mentari. Sampai saja di rumah sememangnya terasa sungguh penat, lebih-lebih lagi jika Ramadhan di musim panas. Berkali-kali berniat mahu membatalkan saja puasa pada hari itu kerana tidak betah menahan dahaga, tetapi masih ada sayangnya, habisnya saya mengambil seketul ais besar dalam peti lalu merendamnya dalam baldi, lalu berlama-lamalah saya menikmati kesejukan air itu di bilik mandi.

Rugilah bisnes bonda saya pada kebanyakan hari Ramadhan, kerana ais itu adalah jualannya untuk menampung perbelanjaan sekolah kami suatu ketika dahulu.

Tabungan

Si sulong pula makin ralit menghitung wang tabungan, yang mana wang saku harian ke sekolah akan saya berikannya sekembali dari sekolah untuk ditabungkan. Katanya mahu beli tiket kapal terbang, berangan mahu ke mana belum lagi diberitahu.

Saya tumpang gembira dengan karenah anak-anak, semoga hari-hari Ramadhan mereka akan dilalui dengan penuh keceriaan. Dengan harapan saya dan suami juga mampu memberi kesedaran terbaik kepada mereka tentang istimewanya Ramadhan dalam Islam, insyaAllah…

Jika boleh, saya mahu sentiasa bercerita kepada anak-anak tentang kemuliaan Ramadhan, mudah-mudahan mereka menjadi teruja untuk berterusan berpuasa. Saya tidak mahu mereka hanya berpuasa tetapi kosong penghayatannya. Biarlah ada sedikit ilmu (bersesuaian usia) yang boleh mereka fahami kenapa perlunya mereka berpuasa.

Mungkin sahabat semua boleh cadangkan kepada saya bahan bacaan terbaik untuk anakanda  sepanjang Ramadhan ini. Saya hargai jika ada perkongsian.

Sebagaimana kita sebagai seorang dewasa yang berpuasa, bukan kerana semata-mata puasa Ramadhan itu adalah wajib, tetapi mudah-mudahan kerana kita merenung jauh pada sudut pahala dan dosa, berkat dan fadhilat, rahmah dan maghfirah. Tentunya pengetahuan tambahan inilah yang secara langsung akan membentuk sikap dan perlakuan kita pada Ramadhan yang mulia ini, dengan harapan ia berlanjutan hingga ke akhir hayat.

Sudah lapan hari Ramadhan menginjak, insyaAllah kita akan mampu menyelesaikan bakinya dengan usaha yang makin bersungguh. Marilah bersama panjatkan doa, mudah-mudahan kita sentiasa bersabar dalam melaksanakan ibadah sepanjang Ramadhan ini, dengan harapan yang tinggi semoga di pengakhirannya nanti akan ada sebuah kepastian yang sungguh bermakna, insyaAllah!

12.15am

Puasa

Salam Ukhuwah…

Sekembali saja dari persekolahan, saya mesti bertanya kepada anak-anak yang bersekolah rendah samada mereka berpuasa atau sebaliknya. Lebih-lebih lagi kepada anakanda yang kedua, maklumlah cabarannya sedikit berlainan apabila di kelilingi oleh kawan-kawan yang berbangsa Cina. Biasanya dia akan berpuasa sewaktu sesi persekolahan, walaupun saya bekalkannya wang saku sebagaimana biasa.

Dia hanya akan berbuka sekembali ke rumah apabila melihat adik-adik yang lain makan. Di sekolah mungkin dia mendapat motivasi daripada pelajar-pelajar Muslim lain yang berpuasa.

Letih! Itulah bicara mereka pada 1 Ramadhan yang lalu, hari pertama mengerjakan ibadat puasa.

Raut wajah mereka memang memenatkan. Kesian saya melihatnya.

Itu adegan sekembali dari sekolah, setelah mereka siap mandi untuk menyegarkan tubuh.

Tentunya masih berbaki berjam-jam lagi sebelum waktu berbuka. Mereka tidak memohon untuk berbuka puasa, tetapi memberi isyarat lenggok tubuh bahawa kudratnya sudah sampai di sini sahaja.

Ini tahun pertama bagi anakanda sulong saya akan berpuasa penuh, insyaAllah! Tahun pertama juga kepada si adik untuk belajar berpuasa. Untuk si sulong saya menggunakan perintah veto, manakala bagi si adik masih lagi dihangatkan dengan janji-janji muluk terhebat.

Antaranya, Bazar Ramadhan! Pilihlah mana satu menu yang berkenan di hati, insyaAllah akan dimakbulkan, janji ia makanan yang menyihatkan.

Untuk si sulong saya sudah mensyaratkan kepadanya agar berpuasa penuh, manakala si adik masih diberi pilihan terbuka. Saya tidak pernah tegas kepadanya dalam bab ini. Biarlah, dia masih anak kecil yang baru sahaja berusia tujuh tahun. Saya mahu dia berpuasa atas kehendaknya sendiri.

Pada 1 Ramadhan lalu, dia berbuka puasanya pada jam enam petang. Sebelum berbuka pasti dia bertanya dahulu, saya on saja, walau sebelum itu mengingatkannya akan janji-janji manis yang ditabur. Si anak yang ini pula memang kalis janji. Memang langsung tidak tertarik kepada apa-apa janji sekalipun, yang penting dia mahu makan apabila rasa lapar menjengah.

Walau sedikit terkilan, saya membenarkannya kerana dia masih lagi dalam sesi latihan. Saya akan sentiasa memberi dia kebebasan untuk membuat keputusan.

Gembira

Hari ini saya mampu beremosi gembira kerana akhirnya anakanda yang kedua mampu berpuasa penuh. Sebelum ini dia tidak berjaya menghabiskan puasanya. Ada saja alasan untuk dia berbuka. Hari ini dia tidur memanjang sekembali dari sekolah. Saya tahu dia keletihan, tetapi biarlah, kanak-kanak lain yang berpuasa pun letih juga.

Saya memberitahunya bahawa Allah telah menilai puasanya itu. Janjinya, esok dia akan berpuasa lagi. Tentunya saya akan gembira jika dia berjaya, dan langsung tidak kecewa jika puasanya itu tidak menjadi.

Saya memakbulkan janji untuk membawa mereka ke Bazar Ramadhan. Hari ini saya memilih untuk ke Kubang Kerian.

Si sulong mula musykil untuk membuat pilihan minuman, mulanya mahukan air ‘dragon’, kemudian memutuskan untuk air asam boi, manakala si adik memilih milo! (tak de taste langsung! – tentunya setiap hari saya sediakan milo di rumah). Saya ikut saja, biarkan mereka enjoy. Saya pula memilih air tebu, manakala suami komit dengan tuaknya.

Nasi ayam pula dipilih sebagai hidangan. Satu bungkus untuk dikongsi bersama. Saya sendiri memilih sup tulang dan ayam percik sahaja – bajet terus ke sahur pagi esok! Suami mahu yang ringan-ringan saja, kuetiow goreng untuknya dan mi goreng untuk anak-anak yang lain di rumah. Untuk hidangan ringan semasa berbuka, suami memilih murtabak dan nasi manis.

Sangat seronok apabila mereka sudah pandai membuat pilihan sendiri. Nasib baik anakanda yang berdua ini tidak mempunyai senaraian panjang dalam pilihan menu berbukanya. Sedan-sedan saja.

Lucunya, si sulong asyik memberi pesan kepada saya agar jangan beli itu ini, takut tidak habis katanya. Baguslah tu…

Janji kedua, sesiapa yang berpuasa boleh makan di meja makan, yang tidak berpuasa sila bersila di atas tikar. Syarat ini sedikit menjadi. Tentu keseronokannya berbeza apabila dapat makan beramai-ramai di meja makan berbanding bersila di bawah. Lebih-lebih lagi apabila hari ini merupakan hari pertama kami berbuka puasa di rumah sendiri, yang mana hari-hari sebelumnya kami berbuka di rumah ayahbonda.

Berbuka

Jam Astro menjadi penunjuk waktu kami. Maklumlah, adakalanya Bilal di masjid berhampiran melewatkan azan seminit dua bagi memberikan peluang dia berbuka terlebih dahulu.

Anakanda saya yang berdua itu tersenyum puas apabila masuknya waktu berbuka. Saya juga puas. Nampaknya 5 Ramadhan 1431 mencatat sejarah kepada anakanda kedua saya apabila berjaya mengerjakan ibadat puasa dengan jayanya. Alhamdulillah…

Hari ini kami ‘makan besar’. Bukan lauk-pauknya yang banyak, tetapi terasa kesempurnaan apabila bilangan ahli yang berpuasa bertambah seorang lagi. Nampaknya si bongsu pun mahu join sama. Tidaklah sangat mengganggu, tetapi asyik mahukan minuman berais yang tentunya sangat tidak sesuai untuk anak-anak yang berumur setahun lebih.

Pengetahuan

Kita ambil sedikit pengetahuan, bahawa puasa Ramadhan hukumnya adalah wajib bagi orang yang sihat. Ia merupakan suatu bentuk ibadah kepada Allah SWT, tentunya dengan cara menahan diri dari makan dan minum selama lebih kurang 13 jam sehari, juga mendidik bagaimana harus kita mengawal nafsu kepada perkara-perkara yang kurang elok, dan juga mengawal diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa.

Puasa juga berperanan mendidik kita untuk menjadi lebih penyabar, berdisiplin, pemurah, dan mudah-mudahan akan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Ilahi, lebih-lebih lagi dengan tahap kesihatan yang membolehkan kita melaksanakan ibadah puasa pada Ramadhan kali ini.

Ramadhan kali ini menambah nilai kepada kami sekeluarga.

Segala kudrat yang ada kupanjatkan syukur kepadaMu Ya Allah…

12.36am

Ramadhan

Salam Ukhuwah…

Mudah-mudahan kita masih lagi menjadi Muslim yang Mu’min, akan bersedia untuk taat kepada perintah Allah sentiasa. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang telahpun dua hari bertamu. Maka bergembiralah dalam menyambut tetamu yang sering dirindui kehadirannya, 30 hari yang sangat agung dan penuh barkah serta rahmat seluas alam.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi dibekalkan nyawa untuk bersua dengan Ramadhan kali ini. Hendaknya marilah kita bersama mengambil kesempatan ini untuk membuat sedikit perubahan peribadi kearah yang lebih baik, dengan memberi peluang kepada diri sendiri memperbanyakkan amalan-amalan terbaik, mudah-mudahan ia mampu menjadi bekalan kita menghadap Allah dikemudian hari, insyaAllah.

Tidak ada bulan-bulan lain yang sehebat Ramadhan, kerana ia adalah bulan ibadat yang mampu menggandakan pahala dan membersihkan karat dosa kita semua.

Ibadat yang menjadi pati Ramadhan adalah puasa dan solat sunat Tarawikh. Maka sewajarnya kita semua dapat melaksanakan ibadah ini dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan.  Bersama kita tanamkan keazaman untuk melaksanakan ibadat puasa dan bertarawikh pada tahun ini dengan lebih hebat kesempurnaannya berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesempatan ini sangat bernilai untuk direbut.

Sangatlah rugi andainya kita melalui hari-hari Ramadhan sebagaimana hari-hari biasa yang lain. Rebutlah Ramadhan kali ini untuk kita manfaatkan setiap saatnya dengan amalan terhebat serta amal kebajikan yang terbaik. Allah s.w.t. telah bersedia untuk menggandakan pahala bagi setiap amalan baik yang kita laksanakan sepanjang Ramadhan ini.

Jangan lupa memohon keampunan kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, mudah-mudahan kita akan dilindungi daripada azab pedih api neraka di akhirat kelak.

Fasa

Sebagaimana yang sudah kita maklum saban tahun, Ramadhan ini terbahagi kepada tiga fasa, yakni sepuluh hari pertama adalah Rahmat. Persiapkan diri kita semua untuk menerima rahmat ini secara melimpah ruah. Mudah-mudahan dengan rahmat itulah hati-hati kita ini akan menjadi lembut untuk sentiasa menerima hidayah daripada Allah s.w.t..

Sepuluh hari kedua Ramadhan pula adalah fasa untuk kita mendapat Keampunan (maghfirah) daripada Allah s.w.t. sebanyak-banyaknya. Inilah saatnya yang terbaik untuk kita semua memohon keampunan keatas segala dosa-dosa yang tidak terhitung banyaknya. Mudah-mudahan kesempatan yang ada ini akan dipenuhi dengan zikir-zikir memuji kebesaran tuhan, agar dilembutkan hati untuk menyesali setiap perbuatan menzalimi diri sendiri, dengan harapan yang menggunung kita semua akan diampuni dan diterima taubatnya. Amiiin…

Akhirnya, tingkatkan amalan kita semua pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Allah s.w.t telah menjanjikan kepada semua hambanya tentang Pembebasan dari siksa azab api neraka yang teramat pedih. Kita tanamkan semangat untuk menggandakan lagi amalan, baik dalam membaca dan bertadarus al-Quran, berzikir, beristighfar, berselawat, bersedekah, bertarawikh, beriktikaf, dan apa saja yang baik-baik.

Tentunya juga kerana kenikmatan Lailatul-Qadar yang sering diterujakan kepada semua hamba-hambaNya, nilai keberkatan dan ganjaran pahala pada malam tersebut yang lebih baik dari seribu bulan.

Bahkan kita juga harus bersemangat untuk mengakhiri Ramadhan kali ini, kerana sesungguhnya  sesekali tiada yang pasti samada Ramadhan seterusnya terus dimiliki.

“Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan semasa berbuka puasa, dan kegembiraan semasa bertemu Tuhan-Nya”

(Riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa’ie dan Ibn Majah)

10.40am

Rezeki

Salam Ukhuwah…

Hampir setiap hari saya mencuri sedikit kesempatan melewati halaman rumah, memerhati dengan bersungguh apa jua perkara yang wujud di sekeliling. Fikiran rasa lapang mengagumi kebesaran tuhan.

Jika merumput, saya leka mencium bau tanah dan kesegaran rumput diawal pagi. Seminggu ini pula hujan banyak turun membasah bumi, lagilah menyegarkan rumput-rumput yang tak pernah kenal erti putus asa memancing saya mencabutnya. Sungguh hujan itu rahmat, tapi bencinya saya pada rumput-rumput yang tak pernah segan mahu melata, walau hampir setiap hari saya mengusirnya! Si kecil saya yang dua orang berada di rumah pada setiap pagi sangat suka apabila sesi merumput, ‘mentanah’ sakan la diaorang tu…

Seperti selalunya, saya yang sangat berjiwa kampung sememangnya sentiasa mahu berada di dalam persekitaran yang menghijau. Alhamdulillah, suasana tempat tinggal saya ini masih lagi utuh dihiasi pokok-pokok kayu yang usianya sudah puluhan tahun barangkali. Tanah pula sangat subur. Tanamlah apa saja insyaAllah menjadi. Lebih-lebih lagi sekarang ini musim buah, nampaknya kebun di sebelah rumah benar-benar menjadi.

Nikmat

Ini tahun pertama saya menikmati hasil kebun. Alhamdulillah, saya mampu merasai nikmat durian, duku, langsat, dokong, rambutan, dan manggis tanpa perlu membelinya. Sebelum itu, saya dapat petai yang berlonggok-longgok. Nikmat sungguh dapat merasai pelbagai hasil buah. Sudah berminggu saya breakfast dengan durian, belajar untuk tidak mengambil makanan yang berat-berat bagi meraikan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Rezeki ini saya kongsikan dengan jiran-jiran seadanya. Seronok memberi apabila tiba-tiba sahaja saya dibalasi dengan nasi bungkus – ada nasi dagang, adakalanya nasi kerabu, al-maklum jiran di depan rumah saya tu tukang masak – siap berjualan lagi! Kadang-kadang boleh merasa lepat ubi! Klasik! Ada ketikanya saya menghantar buahan ke rumah ayahbonda, tempat kami adik-beradik berkumpul. Semoga tahun depan rezeki datang lagi…mudah-mudahan…

Kampung saya ini masih ada nilai estetikanya, walau damainya adakala berkocak dengan adegan semi jenayah. Lebih kurang seminggu yang lalu, rumah kekanda saya hampir dipecah masuk, Alhamdulillah selamat kerana disedari jiran. Nasib kekanda yang lain pula, separuh ayam ternakannya dicuri hampir sebulan lalu. Semakin menjadi-jadi nampaknya gejala tidak baik dikalangan masyarakat kita.

Sayanglah jika di kampung yang damai inipun masalah jenayah mula melebar, apatah lagi kehidupan di bandar yang kian mendesak. Takut dan mengerikan. Saya takut dengan realiti sosial semasa.

Saya masih berharap kampung ini akan terus damai. Dihuni oleh masyarakat yang sentiasa cintakan ketenangan. Harapan saya untuk selamanya.

Persiapan

Dalam santai-santai saya juga mahu bertanya, bagaimana persiapan Syawal sahabat semua?

Baju raya?

Biskut raya?

Kelengkapan raya yang lain?

Masih ada lagi masa sebelum Ramadhan. Jangan usik kemuliaan Ramadhan dengan agenda Syawal. Sangat rugi sebenarnya jika kita menodai Ramadhan dengan perkara-perkara lagha, terutama apabila kita sibuk membeli-belah.

Hari ini saya beli baju raya online untuk anak-anak. Sangat jarang saya membeli online, tapi nampaknya gambar-gambar yang disertakan sangat mencairkan hati seorang ibu. Untuk mendapatkan kadar diskaun, saya memesan beberapa helai. Inilah untungnya anak ramai. Itu cara saya apabila membeli. Tidak akan membeli jika tiada diskaun. Jika ke pasaraya besar, saya hanya akan membeli pakaian anak-anak yang punya diskaun sekurang-kurangnya 30%, jika kurang dari itu, jangan harap saya beli.

Saya pernah melihat seorang ibu membeli satu gown terkini yang cantik untuk puterinya, yang baru saja berusia beberapa tahun dengan harga ratusan ringgit. Kalaulah saya berduit sekalipun, rasanya tidak akan membazir sebegitu. Jika saya berkenan, akan sanggup menunggu sehingga harganya berkurangan. Saya pernah menunggu sehingga setahun untuk mendapat diskaun pada sehelai baju. Rasanya berbaloi aja.

Saya tidak kisah jika fesyen itu sudah out of date, yang penting keselesaan dalam berpakaian. Saya juga suka membeli ketika mega sale. Rasanya sangat berpatutan untuk duit yang dilaburkan. Biasanya suami serahkan kepada saya perihal membeli pakaian anak-anak. Dia jarang membeli, melainkan semasa travel.

Minggu ini juga saya mula beroperasi membersih cermin tingkap rumah. Juga mahu membersih rumah seadanya.

Perbelanjaan

Saya juga suka jika kita boleh berkongsi bagaimana cara mengawal perbelanjaan di musim ‘perayaan’ ini. Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan dua perayaan, Ramadhan juga sudah disuluh sebagai perayaan – tentunya perihal makan-makan (hendaknya janganlah kita terikut-ikut dengan budaya makan-makan ini), apatah lagi Syawal yang barang tentu ia adalah hari untuk kita bersuka ria.

Saya seronok untuk tahu bagaimana cara sahabat semua menguruskan kewangan. Salah satu cara saya mengurus kewangan di musim perayaan adalah sebagaimana di atas, hanya membeli pakaian raya semasa sale sahaja. Jika ke pasar Ramadhan, saya limitkan kepada tiga jenis lauk sahaja, dua jenis kuih, dua jenis air. Nampak berkirakan? Tapi pengalaman lalu banyak mengajar bahawa kita hanya rambang mata sahaja, bukan diukur ‘keluasan perut’ untuk menampung nafsu makan yang meracau.

Juga saya mendisiplinkan diri dengan tidak pernah membenarkan wang saya mengalir untuk membeli bunga api apatah lagi mercun. Saya ‘mengharamkan’ keseronokan itu semua keatas kewangan keluarga. Itu didikan ayahbonda saya dalam menghargai rezeki. Saya mengambil disiplin itu sebaiknya kerana dididik bahawa membakar bunga api mahupun mercun samalah juga kita membakar duit! Keseronokannya hanya seketika, tetapi duit yang hangus sukar untuk kita peroleh kembali, ia juga berkaitan dengan keberkatan hidup.

Kefahaman harus diberi kepada anak-anak pula, Alhamdulillah mereka cuba faham, walaupun ‘si kecil mana yang tidak ghairah melihat bunga api?’ Ada juga mereka curi-curi beli dengan duit raya, sudahnya saya minta semua duit raya yang disimpan sendiri oleh mereka. Habis cerita. Jika mahu anak-anak jadi baik, maka disiplinkan mereka. InsyaAllah mereka mengerti apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Bagi penerangan sudah, nasihat sudah, membebel sudah, akhirnya tindakan mesti dikenakan. Anak-anak biasanya akur apabila tindakan sudah dikenakan. Paling penting ibubapa mestilah menujukkan teladan yang baik terlebih dahulu.

Ada ibubapa takut untuk menegur anak-anak, takut mereka melenting. Konsep ini sangat salah. Jika tidak kita ibubapa yang melahir dan membesar mereka, siapa lagi yang boleh mendidik zuriat ini kalau bukan ibubapa yang sama.

Seringkali memberitahu suami bahawa apa yang baik daripada keluarga saya, akan cuba diterapkan kepada anak-anak, begitu juga apa yang baik dari keluarga suami, akan kita suaipadankan. Mana yang buruk daripada kedua-dua belah keluarga, kita sejarahkan saja jadi kenangan sewaktu membesar suatu ketika dahulu.

Ramadhan

Saya sendiri cuba mencipta emosi gembira untuk menyambut Ramadhan yang makin hampir. Juga kepada anak-anak yang sedang membesar, saya mahu mereka merasai suatu kelainan yang baik untuk menggamit Ramadhan.

Tahun ini saya mensyaratkan si sulong berpuasa penuh. Si adik pula sekurang-kurangnya sehari pun jadilah. Lain-lain anak, saya memang tidak menggalakkan kerana mereka masih kecil.

Tahun ini juga saya mahu mengajar si sulong menunaikan solat sunat tarawih. Jika dia tidak mampu untuk mendirikan banyak salam, satu salam pun sudah ok bagi saya.

Untung benar kerana rumah ayahbonda terletak bersebelahan masjid, senang untuk mendidik anak-anak berjamaah.

Saya perhatikan, saban tahun makin ramai jamaah yang bersemangat menunaikan solat tarawih. Tidak kira tua muda, kebanyakan masjid mahupun Qaryah Ramadhan di Bandar Kota Bharu, makin penuh safnya. Harapnya bukan kerana moreh yang disediakan pihak-pihak tertentu. Sangat besar harapan agar kita semua akan turut memakmurkan Ramadhan kali ini sebaiknya, lebih baik dari yang sebelumnya.

Perlu diingat, jika membawa anak-anak kecil bersama semasa tarawih, kawal selia mereka untuk tidak berbuat bising. Jika dibawa bekalan sampingan, sampah jangan dibuang merata-rata, pastikan dikemas sebelum kembali ke rumah. Teguran ini untuk saya juga, jua kepada sahabat. Jangan pula memandang angkuh jika ditegur, tidak bertamadun umpamanya jika begitu.

Zakat

Semalam saya membaca khabar kadar zakat fitrah bagi Negeri Kelantan pada tahun 2010 ditetapkan RM7, meningkat sepuluh sen berbanding tahun lalu. Penetapan kadar  zakat fitrah ini mengambil kira harga semasa  beras. Kebiasaannya zakat fitrah ini disempurnakan bayarannya pada akhir Ramadan, dan waktu yang paling afdhal adalah sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri.

Merdeka

Akhirnya, selamat menyambut bulan kemerdekaan Negara yang ke-53.

Apa yang dapat kita lihat selepas Negara kita mencapai umur kemerdekaan 53 tahun?

Mungkin pembangunan Negara kita yang boleh dibanggakan.

~ Namun, seminggu dua ini kita juga disibukkan dengan sistem perundangan Negara yang menerima cadangan untuk dipinda beberapa perlembagaan, ekoran kes rogol ke atas kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Masih juga rapuh! Mahu dipinda itu ini mengikut suasana dan keadaan, namun tetap takut untuk melaksanakan Hudud!

~ Hasilnya, rakyat yang makin mula kehilangan moral! Bunuh-membunuh bagaikan santapan harian. Itu belum lagi diteliti kes-kes penyalahgunaan dadah, gejala merokok yang makin menjadi-jadi, gro, pelacuran, ponteng sekolah, khalwat, rogol, zina, anak luar nikah, buang bayi…, sememangnya diluar jangkauan! Tak terkata dan memang sungguh mengaibkan masyarakat Islam, kerana pelakunya sebilangan besar adalah Muslim.

~ Umno juga mula panas punggung menjelang PRU13, mula mengVoguekan Puteri mereka meliar masuk kampus. Realitinya bolehkah Nisa’ juga mahu lebat memasang banting di sekitar kampus, terutamanya UiTM Shah Alam?

Inilah realiti Negara kita!

11.45pm