• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2010
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Rezeki

Salam Ukhuwah…

Hampir setiap hari saya mencuri sedikit kesempatan melewati halaman rumah, memerhati dengan bersungguh apa jua perkara yang wujud di sekeliling. Fikiran rasa lapang mengagumi kebesaran tuhan.

Jika merumput, saya leka mencium bau tanah dan kesegaran rumput diawal pagi. Seminggu ini pula hujan banyak turun membasah bumi, lagilah menyegarkan rumput-rumput yang tak pernah kenal erti putus asa memancing saya mencabutnya. Sungguh hujan itu rahmat, tapi bencinya saya pada rumput-rumput yang tak pernah segan mahu melata, walau hampir setiap hari saya mengusirnya! Si kecil saya yang dua orang berada di rumah pada setiap pagi sangat suka apabila sesi merumput, ‘mentanah’ sakan la diaorang tu…

Seperti selalunya, saya yang sangat berjiwa kampung sememangnya sentiasa mahu berada di dalam persekitaran yang menghijau. Alhamdulillah, suasana tempat tinggal saya ini masih lagi utuh dihiasi pokok-pokok kayu yang usianya sudah puluhan tahun barangkali. Tanah pula sangat subur. Tanamlah apa saja insyaAllah menjadi. Lebih-lebih lagi sekarang ini musim buah, nampaknya kebun di sebelah rumah benar-benar menjadi.

Nikmat

Ini tahun pertama saya menikmati hasil kebun. Alhamdulillah, saya mampu merasai nikmat durian, duku, langsat, dokong, rambutan, dan manggis tanpa perlu membelinya. Sebelum itu, saya dapat petai yang berlonggok-longgok. Nikmat sungguh dapat merasai pelbagai hasil buah. Sudah berminggu saya breakfast dengan durian, belajar untuk tidak mengambil makanan yang berat-berat bagi meraikan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Rezeki ini saya kongsikan dengan jiran-jiran seadanya. Seronok memberi apabila tiba-tiba sahaja saya dibalasi dengan nasi bungkus – ada nasi dagang, adakalanya nasi kerabu, al-maklum jiran di depan rumah saya tu tukang masak – siap berjualan lagi! Kadang-kadang boleh merasa lepat ubi! Klasik! Ada ketikanya saya menghantar buahan ke rumah ayahbonda, tempat kami adik-beradik berkumpul. Semoga tahun depan rezeki datang lagi…mudah-mudahan…

Kampung saya ini masih ada nilai estetikanya, walau damainya adakala berkocak dengan adegan semi jenayah. Lebih kurang seminggu yang lalu, rumah kekanda saya hampir dipecah masuk, Alhamdulillah selamat kerana disedari jiran. Nasib kekanda yang lain pula, separuh ayam ternakannya dicuri hampir sebulan lalu. Semakin menjadi-jadi nampaknya gejala tidak baik dikalangan masyarakat kita.

Sayanglah jika di kampung yang damai inipun masalah jenayah mula melebar, apatah lagi kehidupan di bandar yang kian mendesak. Takut dan mengerikan. Saya takut dengan realiti sosial semasa.

Saya masih berharap kampung ini akan terus damai. Dihuni oleh masyarakat yang sentiasa cintakan ketenangan. Harapan saya untuk selamanya.

Persiapan

Dalam santai-santai saya juga mahu bertanya, bagaimana persiapan Syawal sahabat semua?

Baju raya?

Biskut raya?

Kelengkapan raya yang lain?

Masih ada lagi masa sebelum Ramadhan. Jangan usik kemuliaan Ramadhan dengan agenda Syawal. Sangat rugi sebenarnya jika kita menodai Ramadhan dengan perkara-perkara lagha, terutama apabila kita sibuk membeli-belah.

Hari ini saya beli baju raya online untuk anak-anak. Sangat jarang saya membeli online, tapi nampaknya gambar-gambar yang disertakan sangat mencairkan hati seorang ibu. Untuk mendapatkan kadar diskaun, saya memesan beberapa helai. Inilah untungnya anak ramai. Itu cara saya apabila membeli. Tidak akan membeli jika tiada diskaun. Jika ke pasaraya besar, saya hanya akan membeli pakaian anak-anak yang punya diskaun sekurang-kurangnya 30%, jika kurang dari itu, jangan harap saya beli.

Saya pernah melihat seorang ibu membeli satu gown terkini yang cantik untuk puterinya, yang baru saja berusia beberapa tahun dengan harga ratusan ringgit. Kalaulah saya berduit sekalipun, rasanya tidak akan membazir sebegitu. Jika saya berkenan, akan sanggup menunggu sehingga harganya berkurangan. Saya pernah menunggu sehingga setahun untuk mendapat diskaun pada sehelai baju. Rasanya berbaloi aja.

Saya tidak kisah jika fesyen itu sudah out of date, yang penting keselesaan dalam berpakaian. Saya juga suka membeli ketika mega sale. Rasanya sangat berpatutan untuk duit yang dilaburkan. Biasanya suami serahkan kepada saya perihal membeli pakaian anak-anak. Dia jarang membeli, melainkan semasa travel.

Minggu ini juga saya mula beroperasi membersih cermin tingkap rumah. Juga mahu membersih rumah seadanya.

Perbelanjaan

Saya juga suka jika kita boleh berkongsi bagaimana cara mengawal perbelanjaan di musim ‘perayaan’ ini. Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan dua perayaan, Ramadhan juga sudah disuluh sebagai perayaan – tentunya perihal makan-makan (hendaknya janganlah kita terikut-ikut dengan budaya makan-makan ini), apatah lagi Syawal yang barang tentu ia adalah hari untuk kita bersuka ria.

Saya seronok untuk tahu bagaimana cara sahabat semua menguruskan kewangan. Salah satu cara saya mengurus kewangan di musim perayaan adalah sebagaimana di atas, hanya membeli pakaian raya semasa sale sahaja. Jika ke pasar Ramadhan, saya limitkan kepada tiga jenis lauk sahaja, dua jenis kuih, dua jenis air. Nampak berkirakan? Tapi pengalaman lalu banyak mengajar bahawa kita hanya rambang mata sahaja, bukan diukur ‘keluasan perut’ untuk menampung nafsu makan yang meracau.

Juga saya mendisiplinkan diri dengan tidak pernah membenarkan wang saya mengalir untuk membeli bunga api apatah lagi mercun. Saya ‘mengharamkan’ keseronokan itu semua keatas kewangan keluarga. Itu didikan ayahbonda saya dalam menghargai rezeki. Saya mengambil disiplin itu sebaiknya kerana dididik bahawa membakar bunga api mahupun mercun samalah juga kita membakar duit! Keseronokannya hanya seketika, tetapi duit yang hangus sukar untuk kita peroleh kembali, ia juga berkaitan dengan keberkatan hidup.

Kefahaman harus diberi kepada anak-anak pula, Alhamdulillah mereka cuba faham, walaupun ‘si kecil mana yang tidak ghairah melihat bunga api?’ Ada juga mereka curi-curi beli dengan duit raya, sudahnya saya minta semua duit raya yang disimpan sendiri oleh mereka. Habis cerita. Jika mahu anak-anak jadi baik, maka disiplinkan mereka. InsyaAllah mereka mengerti apa kesalahan yang telah mereka lakukan.

Bagi penerangan sudah, nasihat sudah, membebel sudah, akhirnya tindakan mesti dikenakan. Anak-anak biasanya akur apabila tindakan sudah dikenakan. Paling penting ibubapa mestilah menujukkan teladan yang baik terlebih dahulu.

Ada ibubapa takut untuk menegur anak-anak, takut mereka melenting. Konsep ini sangat salah. Jika tidak kita ibubapa yang melahir dan membesar mereka, siapa lagi yang boleh mendidik zuriat ini kalau bukan ibubapa yang sama.

Seringkali memberitahu suami bahawa apa yang baik daripada keluarga saya, akan cuba diterapkan kepada anak-anak, begitu juga apa yang baik dari keluarga suami, akan kita suaipadankan. Mana yang buruk daripada kedua-dua belah keluarga, kita sejarahkan saja jadi kenangan sewaktu membesar suatu ketika dahulu.

Ramadhan

Saya sendiri cuba mencipta emosi gembira untuk menyambut Ramadhan yang makin hampir. Juga kepada anak-anak yang sedang membesar, saya mahu mereka merasai suatu kelainan yang baik untuk menggamit Ramadhan.

Tahun ini saya mensyaratkan si sulong berpuasa penuh. Si adik pula sekurang-kurangnya sehari pun jadilah. Lain-lain anak, saya memang tidak menggalakkan kerana mereka masih kecil.

Tahun ini juga saya mahu mengajar si sulong menunaikan solat sunat tarawih. Jika dia tidak mampu untuk mendirikan banyak salam, satu salam pun sudah ok bagi saya.

Untung benar kerana rumah ayahbonda terletak bersebelahan masjid, senang untuk mendidik anak-anak berjamaah.

Saya perhatikan, saban tahun makin ramai jamaah yang bersemangat menunaikan solat tarawih. Tidak kira tua muda, kebanyakan masjid mahupun Qaryah Ramadhan di Bandar Kota Bharu, makin penuh safnya. Harapnya bukan kerana moreh yang disediakan pihak-pihak tertentu. Sangat besar harapan agar kita semua akan turut memakmurkan Ramadhan kali ini sebaiknya, lebih baik dari yang sebelumnya.

Perlu diingat, jika membawa anak-anak kecil bersama semasa tarawih, kawal selia mereka untuk tidak berbuat bising. Jika dibawa bekalan sampingan, sampah jangan dibuang merata-rata, pastikan dikemas sebelum kembali ke rumah. Teguran ini untuk saya juga, jua kepada sahabat. Jangan pula memandang angkuh jika ditegur, tidak bertamadun umpamanya jika begitu.

Zakat

Semalam saya membaca khabar kadar zakat fitrah bagi Negeri Kelantan pada tahun 2010 ditetapkan RM7, meningkat sepuluh sen berbanding tahun lalu. Penetapan kadar  zakat fitrah ini mengambil kira harga semasa  beras. Kebiasaannya zakat fitrah ini disempurnakan bayarannya pada akhir Ramadan, dan waktu yang paling afdhal adalah sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri.

Merdeka

Akhirnya, selamat menyambut bulan kemerdekaan Negara yang ke-53.

Apa yang dapat kita lihat selepas Negara kita mencapai umur kemerdekaan 53 tahun?

Mungkin pembangunan Negara kita yang boleh dibanggakan.

~ Namun, seminggu dua ini kita juga disibukkan dengan sistem perundangan Negara yang menerima cadangan untuk dipinda beberapa perlembagaan, ekoran kes rogol ke atas kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Masih juga rapuh! Mahu dipinda itu ini mengikut suasana dan keadaan, namun tetap takut untuk melaksanakan Hudud!

~ Hasilnya, rakyat yang makin mula kehilangan moral! Bunuh-membunuh bagaikan santapan harian. Itu belum lagi diteliti kes-kes penyalahgunaan dadah, gejala merokok yang makin menjadi-jadi, gro, pelacuran, ponteng sekolah, khalwat, rogol, zina, anak luar nikah, buang bayi…, sememangnya diluar jangkauan! Tak terkata dan memang sungguh mengaibkan masyarakat Islam, kerana pelakunya sebilangan besar adalah Muslim.

~ Umno juga mula panas punggung menjelang PRU13, mula mengVoguekan Puteri mereka meliar masuk kampus. Realitinya bolehkah Nisa’ juga mahu lebat memasang banting di sekitar kampus, terutamanya UiTM Shah Alam?

Inilah realiti Negara kita!

11.45pm

8 Responses

  1. Salam Perjuangan!…

    Nik, Tahniah kerana menjadi seorang isteri dan Ibu (kpd anak2) yang membahagiakan Abg. Fahmi. Kami akan tetap menyokong Nik, walau ribut taufan yang melanda. Perjuangan seorang lelaki yang hebat…pasti ada seri kandi yang hebat juga untuk terus mengapai cita-cita.

    Abg Zack.. UTM Skudai 94-99

  2. minta cikit…hheheee…

  3. terima kasih kerana berkongsi ilmu n pandangan…yg baik djadikan panduan

  4. Insyaallah, Raya tahun ini saya Beraya di Kelantan iaitu di kampung Ibu Mertua saya di Jeli(Air Lanas) dan juga di kampung Bapa Mertua saya di Kedai Lalat , tak jauh dekat sekali.

    Pertama apabila giliran beraya di kelatan, apa yang paling saya suka sekali ialah, saya suka pergi ke Rantau Panjang dan di Golok Thailand. Saya suka makanan-makanan kat sini, dan perangai saya ialah saya suka try atau cuba cari makanan-makanan pelik terutama di Tahaland tetapi halal.
    Sememangnya setiap kali Hari Raya saya memang sepakat bersama Isteri mempunyai giliran berhari raya di kampung masing-masing.
    Insyaallah jika tiada apa halagan dan kelapangan kita boleh berjumpa. Tetapi saya ni kalau boleh tidak mahu orang kenal sejak dahulu lagi. Jika saya ke Kelantan pasti saya singgah di sana menjenguk ke Masjid TGNA dan beberapa kali berjumpa.
    Jangan marah ya jika saya ini tidak menonjolkan diri saya untuk di kenali. itu lah perangai saya sejak dahulu lagi. Di internet saya ada bermacam-macam nama dahulu lagi.
    Yang penting ialah Perjuangan dan Dakwah tidak pernah luntur. Dan semangat ini lah di bawa untuk memastikkan dan membalas balik Jasa-jasa pemimpin yang telah berjaya membangunkan Negeri Kelantan dan juga negeri lain dan sekaligus membawa Islam kepada rakyat itu.

    Takbir3x.

    • Rupanya saya berjiran kampung dengan isteri saudara.

      Sangat tidak hairan orang-orang yang berkunjung ke Kelantan akan jatuh cinta dengan makanannya yang pelbagai.

      InsyaAllah setiap hari raya pertama Aidilfitri TGNA akan adakan rumah terbuka. Selamat datang!

      Semoga perjuangan akan diteruskan hingga ke akhir hayat, insyaAllah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: