• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2010
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Puasa

Salam Ukhuwah…

Sekembali saja dari persekolahan, saya mesti bertanya kepada anak-anak yang bersekolah rendah samada mereka berpuasa atau sebaliknya. Lebih-lebih lagi kepada anakanda yang kedua, maklumlah cabarannya sedikit berlainan apabila di kelilingi oleh kawan-kawan yang berbangsa Cina. Biasanya dia akan berpuasa sewaktu sesi persekolahan, walaupun saya bekalkannya wang saku sebagaimana biasa.

Dia hanya akan berbuka sekembali ke rumah apabila melihat adik-adik yang lain makan. Di sekolah mungkin dia mendapat motivasi daripada pelajar-pelajar Muslim lain yang berpuasa.

Letih! Itulah bicara mereka pada 1 Ramadhan yang lalu, hari pertama mengerjakan ibadat puasa.

Raut wajah mereka memang memenatkan. Kesian saya melihatnya.

Itu adegan sekembali dari sekolah, setelah mereka siap mandi untuk menyegarkan tubuh.

Tentunya masih berbaki berjam-jam lagi sebelum waktu berbuka. Mereka tidak memohon untuk berbuka puasa, tetapi memberi isyarat lenggok tubuh bahawa kudratnya sudah sampai di sini sahaja.

Ini tahun pertama bagi anakanda sulong saya akan berpuasa penuh, insyaAllah! Tahun pertama juga kepada si adik untuk belajar berpuasa. Untuk si sulong saya menggunakan perintah veto, manakala bagi si adik masih lagi dihangatkan dengan janji-janji muluk terhebat.

Antaranya, Bazar Ramadhan! Pilihlah mana satu menu yang berkenan di hati, insyaAllah akan dimakbulkan, janji ia makanan yang menyihatkan.

Untuk si sulong saya sudah mensyaratkan kepadanya agar berpuasa penuh, manakala si adik masih diberi pilihan terbuka. Saya tidak pernah tegas kepadanya dalam bab ini. Biarlah, dia masih anak kecil yang baru sahaja berusia tujuh tahun. Saya mahu dia berpuasa atas kehendaknya sendiri.

Pada 1 Ramadhan lalu, dia berbuka puasanya pada jam enam petang. Sebelum berbuka pasti dia bertanya dahulu, saya on saja, walau sebelum itu mengingatkannya akan janji-janji manis yang ditabur. Si anak yang ini pula memang kalis janji. Memang langsung tidak tertarik kepada apa-apa janji sekalipun, yang penting dia mahu makan apabila rasa lapar menjengah.

Walau sedikit terkilan, saya membenarkannya kerana dia masih lagi dalam sesi latihan. Saya akan sentiasa memberi dia kebebasan untuk membuat keputusan.

Gembira

Hari ini saya mampu beremosi gembira kerana akhirnya anakanda yang kedua mampu berpuasa penuh. Sebelum ini dia tidak berjaya menghabiskan puasanya. Ada saja alasan untuk dia berbuka. Hari ini dia tidur memanjang sekembali dari sekolah. Saya tahu dia keletihan, tetapi biarlah, kanak-kanak lain yang berpuasa pun letih juga.

Saya memberitahunya bahawa Allah telah menilai puasanya itu. Janjinya, esok dia akan berpuasa lagi. Tentunya saya akan gembira jika dia berjaya, dan langsung tidak kecewa jika puasanya itu tidak menjadi.

Saya memakbulkan janji untuk membawa mereka ke Bazar Ramadhan. Hari ini saya memilih untuk ke Kubang Kerian.

Si sulong mula musykil untuk membuat pilihan minuman, mulanya mahukan air ‘dragon’, kemudian memutuskan untuk air asam boi, manakala si adik memilih milo! (tak de taste langsung! – tentunya setiap hari saya sediakan milo di rumah). Saya ikut saja, biarkan mereka enjoy. Saya pula memilih air tebu, manakala suami komit dengan tuaknya.

Nasi ayam pula dipilih sebagai hidangan. Satu bungkus untuk dikongsi bersama. Saya sendiri memilih sup tulang dan ayam percik sahaja – bajet terus ke sahur pagi esok! Suami mahu yang ringan-ringan saja, kuetiow goreng untuknya dan mi goreng untuk anak-anak yang lain di rumah. Untuk hidangan ringan semasa berbuka, suami memilih murtabak dan nasi manis.

Sangat seronok apabila mereka sudah pandai membuat pilihan sendiri. Nasib baik anakanda yang berdua ini tidak mempunyai senaraian panjang dalam pilihan menu berbukanya. Sedan-sedan saja.

Lucunya, si sulong asyik memberi pesan kepada saya agar jangan beli itu ini, takut tidak habis katanya. Baguslah tu…

Janji kedua, sesiapa yang berpuasa boleh makan di meja makan, yang tidak berpuasa sila bersila di atas tikar. Syarat ini sedikit menjadi. Tentu keseronokannya berbeza apabila dapat makan beramai-ramai di meja makan berbanding bersila di bawah. Lebih-lebih lagi apabila hari ini merupakan hari pertama kami berbuka puasa di rumah sendiri, yang mana hari-hari sebelumnya kami berbuka di rumah ayahbonda.

Berbuka

Jam Astro menjadi penunjuk waktu kami. Maklumlah, adakalanya Bilal di masjid berhampiran melewatkan azan seminit dua bagi memberikan peluang dia berbuka terlebih dahulu.

Anakanda saya yang berdua itu tersenyum puas apabila masuknya waktu berbuka. Saya juga puas. Nampaknya 5 Ramadhan 1431 mencatat sejarah kepada anakanda kedua saya apabila berjaya mengerjakan ibadat puasa dengan jayanya. Alhamdulillah…

Hari ini kami ‘makan besar’. Bukan lauk-pauknya yang banyak, tetapi terasa kesempurnaan apabila bilangan ahli yang berpuasa bertambah seorang lagi. Nampaknya si bongsu pun mahu join sama. Tidaklah sangat mengganggu, tetapi asyik mahukan minuman berais yang tentunya sangat tidak sesuai untuk anak-anak yang berumur setahun lebih.

Pengetahuan

Kita ambil sedikit pengetahuan, bahawa puasa Ramadhan hukumnya adalah wajib bagi orang yang sihat. Ia merupakan suatu bentuk ibadah kepada Allah SWT, tentunya dengan cara menahan diri dari makan dan minum selama lebih kurang 13 jam sehari, juga mendidik bagaimana harus kita mengawal nafsu kepada perkara-perkara yang kurang elok, dan juga mengawal diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa.

Puasa juga berperanan mendidik kita untuk menjadi lebih penyabar, berdisiplin, pemurah, dan mudah-mudahan akan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Ilahi, lebih-lebih lagi dengan tahap kesihatan yang membolehkan kita melaksanakan ibadah puasa pada Ramadhan kali ini.

Ramadhan kali ini menambah nilai kepada kami sekeluarga.

Segala kudrat yang ada kupanjatkan syukur kepadaMu Ya Allah…

12.36am

7 Responses

  1. cara saya mendidik ank dlm menghayati ramadhan juga adlh sama dgn nik, si sulong dan kedua tentunya disyaratkan untuk berpuasa penuh, ketiga umurnya masih 7 thn hari pertama saya membenarkan untuk minum air suam kerana terlalu keletihan hingga untuk berjalan di bazar ramadhan pun tak mampu, seperti nik ganjaran untuk berpuasa adalah ‘bazar ramadhan’ tapi bukan setiap hari.. takut nanti ditanam dimindanya kalau berpuasa wajib kebazar, cuma sekarang untuk mengajar bersolat terawih itu terlalu sukar, saya memanjatkan doa moga Allah membuka ruang di lain masa amin, yaRAB. terima kasih

    • Alhamdulillah, sudah punya ramai anak yang berpuasa penuh tentunya meriah sewaktu berbuka.
      Saya akui bukan mudah untuk mengajar anak bertarawih, tetapi memang kena ‘paksa’ jugalah walaupun cukuplah permulaannya denga satu salam sahaja.
      Anak saya sendiri sangat tidak teruja untuk mendirikan tarawih kerana bacaan ayatnya yang panjang, saya akuinya kerana sememangnya tidak sesuai dengan kudrat mereka.
      Untuk golongan dewasa, saya kira bacaan ayat yang panjang itulah suatu daya tarikan kepada tarawih.
      Apapun, terpulanglah kepada kita sebagai ibubapa bagaimana cara terbaik untuk mendidik, kerana insyaAllah kitalah yang lebih memahami anak-anak ini.
      Semoga berjaya dan selamat meneruskan ibadah di bulan yang mulia ini…semoga Allah permudahkan segalanya.

  2. Ihya Ramadhan….Selamat menyambut ramadhan dan selamat berpuasa.

    Ikhlas: ibni-battutah

  3. Alhamdullilah saya mempunyai dua orang Putra dan seorang puteri.

    Yang pertama ialah Putra Sulong yang berumur 13 tahun.
    Yang ke dua Putra lelaki juga yang berumur 10 tahun.
    Yang terakhir Puteri Perempuan yang berumur 10 bulan.

    Alhamdullilah putra-putra saya di latih berpuasa sejak mereka berumur 6 tahun lagi. Sehingga sekarang ini mereka semakin melaksanakan sepenuhnya puasa tersebut setelah bermula di Tahun satu lagi. Dan mereka sekarang ini tidak meninggalkan puasa dalam sebulan.

    Pada mula saya menggalakan mereka berpuasa ialah dengan memberi sokongan seperti ganjaran selepas ramadhan. Salah satunya saya memberi sedikit ganjaran wang upah jika mereka tidak meninggalkan ibadah puasa tersebut di samping memberi penerangan dan penghayatan didalam berpuasa.
    Keduanya saya mengikut kemahuan mereka yang suka untuk membeli juadah berbuka pusa dia Bazaar-bazaar ramadhan yang mereka ingin pergi. Dengan mengalakan mengikut selera berbuka puasa mereka.
    Ketiga saya selalu mempratik dan mengarah mereka Bersahur dengan mengambil makanan secukupnya dan juga meminum air yang banyak mengikut perubahan keadaan cuaca. Ini mendorongkan kepada mereka supaya tidak terlalu sangat letih dan berasa lapar dan dahaga keesokkan harinya. Ini kerana kanak-kanak kadang-kadang terlalu lasak dan cepat penat kerana mereka masih lagi kurang mahir untuk berpuasa.
    Alhamdullilah anak saya yang sulong itu tidak masaalah setiap kali berpuasa, padahal ia telah mengalami gastrik sebelum jika bukan di bulan Ramadhan.Saya juga sebenarnya mengalami gastrik jika lewat makan atau memakan tidak jadual. Masaalah ini selalu dia alami oleh anak sulong saya itu sehingga pada sebelum hari-hari lain selain ramadhan terpaksa di bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
    Saya alhamdullilah, kerana berkatnya Bulan Ramdhan itu, saya dan anak sulong saya itu tidak pernah langsung mengalami apa-apa penyakit atau gastrik semasa setiap kali datangnya Bulan Ramadhan dan Berpuasa. Kami anak beranak sentiasa mengerjakan Ibadah Puasa dengan baik sekali setiap tahun.
    Itu lah Barakah Bulan Ramadhan ini. Bulan segala bulan dan Bulan Ramadhan adalah Bulan Rahmat.

    Subahanallah…..Alhamdullilah….Allahuakbar

    • Baru saya tahu rupanya saudara dah berkeluarga.
      Anak-anak pun dah besar-besar pulak tu…

      Baguslah jika anak-anak sudah dididik berpuasa sejak kecil. Saya pula jenis yang mudah kesian. Emak saya pun selalu saja pesan, nak mengajar anak kecil puasa boleh, tapi jangan terlalu mendesak. Benda bukan wajib boleh ajar perlahan-lahan, sampai masanya insyaAllah menjadi elok.

      Sangat biasa ibubapa akan menjanjikan ganjaran ketika mula mengajar anak-anak berpuasa. Saya dulupun begitu juga, emak akan menjanjikan duit pada setiap hari yang berpuasa. Sangat seronok. Sehinggalah saya berada di asrama sekolah menengah pun, emak masih menjanjikan ganjaran duit jika saya mahu berpuasa penuh di asrama (tidak berulang-alik ke rumah sepanjang Ramadhan).

      Alhamdulillah, keluarga saya sihat walafiat sepanjang berpuasa.
      Saya doakan semoga keluarga saudara juga diberkati dan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang Ramadhan ini, seterusnya pada hari-hari selepasnya, insyaAllah…

  4. ~ SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI EL-MUBARAK ~

    MAAF ZAHIR DAN BATIN

    FROM:

    ibni-battutah SEKELUARGA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: