• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2010
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Tegas

Salam Ukhuwah…

Seminggu yang lalu, anakanda kedua saya membawa pulang dari sekolah kad lukisan Hari Raya ciptaannya sendiri.

Ada tiga watak yang dilakarkan di dalam lukisan tersebut. Ada Pa, Cek dan dirinya (Abang Nik).

Apa yang mengejutkan saya, dalam waktu yang sama agak melucukan, Cek dipotretkan sedang bercekak pinggang di tingkap rumah! Mmm…sampai begitu sekali saya digambarkan! Saya bertanya kenapa Cek sebegitu? Dia menunjukkan kepada wataknya yang sedang bermain, katanya, ‘Cek sedang marah kerana Abang Nik bermain di luar rumah sewaktu panas.’ …mmm…tahu pun salahkan…!

Tentunya kita semua maklum bahawa imaginasi anak-anak tidak pernah menipu. Mereka adalah individu yang ikhlas, riang, kreatif, benar, bersemangat, luhur, dan tentunya kehidupan mereka sepatutnya dihiasi dengan suasana yang menceriakan, penuh tarikan dan diberi perlindungan sepenuhnya.

Selain terkejut dan lucu, saya sebenarnya terasa malu apabila dipotretkan begitu. Juga rasa bersalah kepadanya jua anak-anak yang lain, apabila secara tidak langsung seolah-olah saya telah menggamkan personaliti sebagai seorang ibu yang garang.

Saya mahu bermuhasabah.

Apabila melihat potret saya yang sebegitu, terasa perlu ada perubahan pada diri sendiri sebagai seorang ibu. Saya mahu membetulkan persepsi anak-anak kepada saya ke arah yang lebih baik. Kiranya sungguhlah tidak menarik apabila Cikgu mereka melihat potret saya yang sebegitu. Tahupun malu!

Sememangnya berbanding saya, suami lebih berlembut dan memanjakan anak-anak.

Saya kira ada baiknya begitu, seorang berlembut dan seorang lagi agak tegas, tetapi jangan pada semua keadaan.

Sikap

Sebenarnya, tegas itu adalah sikap saya. Bukan hanya kepada anak-anak, tetapi juga kepada orang lain. Saya juga tegas kepada kanak-kanak lain. Pernah ketika saya menghantar si Kembar ke Pasti, dan melihat ada kanak-kanak membuang sampah di merata, saya memanggil mereka dan menyuruhnya mengutip kembali sampah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Pernah juga saya menyuruh anak jiran yang sedang bermain di halaman rumah, untuk kembali ke rumah masing-masing bagi menunaikan solat apabila telah masuk waktunya. Pernah juga saya meninggi suara sewaktu bekerja dulu, kerana menegur rakan sekerja yang bicaranya berbau lucah. Semua itu adalah kerana sikap semulajadi saya yang agak tegas.

Namun saya pasti, tegas saya, garang saya, adalah bertempat.

Pada saya, ketegasan sangat perlu mengikut kesesuaian, tetapi kurangkan berleter dan marah-marah. Lebihkan belaian kepada anak-anak kecil dan fahami jiwa anak-anak remaja.

Apa yang paling penting dalam mendidik anak-anak adalah bersabar, jangan cepat melatah. Ceriakan kehidupan mereka, jangan biarkan mereka kemurungan. Anak-anak kecil yang sering dikongkong minda mereka boleh menjadi anak-anak yang memberontak pada masa hadapan. Maka lahirlah anak-anak remaja yang mudah melenting, langsung kepada kerosakan akhlak yang tragis.

Walaupun seorang yang tegas, saya yakin lebih memahami anak-anak, jua tahu bagaimana untuk mengembirakan kanak-kanak.

Memahami

Renungan lembut seorang ibu mampu mencairkan hati anak-anak. Saya percaya bahawa ibu akan lebih memahami anak-anak dalam banyak keadaan, kerana hubungan mereka sangat akrab sejak di dalam kandungan lagi. Pelukan ibu yang penuh kasih sayang akan melembutkan jiwa anak-anak.

Ada waktunya saya bergurau sakan dengan anak-anak, adakalanya boleh melakonkan watak-watak tertentu bersama mereka. Dilain waktu pula, ambil kesempatan membaca doa-doa pendek bersama anak-anak. Ini juga mampu membina jati diri Muslim yang baik kepada mereka.

Saya juga cuba mempraktikkan ajaran ini, terutama apabila mereka mahu tidur – membaca doa, menterjemahkannya, dan memberi pengharapan kepada mereka seadanya. Pada saya ia mampu memberi sedikit kelembutan jiwa kepada anak-anak, apabila ibubapa memberi keyakinan bahawa mereka mampu menjadi anak-anak yang baik pada setiap masa.

Kita tidak boleh menjadi ibubapa yang membosankan kepada anak-anak.

Ada ibubapa tidak tahu bergurau, sentiasa mencari kesalahan, tiada berdisiplin – ini semua suatu tingkah yang sangat tidak elok kepada peribadi anak-anak.

Jadikan anak-anak kecil sebagai kanak-kanak yang sentiasa dalam keadaan ceria, dan jadikan anak-anak remaja sebagai kawan yang boleh berkongsi separuh daripada kehidupan anda sebagai seorang yang dewasa. Ketahuilah bahawa ini semua tarikan kepada mereka apabila kita mampu berbicara tentang kecantikan, kematangan, kesihatan, perancangan masa depan, dan sebagainya.

Anak-anak ini sebenarnya sangat mudah dididik jika kena acuannya. Jadikan keluarga yang  telah kita wujudkan hari ini, sentiasa bekerjasama dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan. Kebersamaan ini akan mengukuhkan lagi jati diri anak-anak dalam tumbesaran kehidupan mereka yang masih panjang. InsyaAllah…

Disiplin

Sangatlah tidak salah untuk menjadi seorang ibu yang tegas, apabila mereka telah mempunyai seorang ayah yang berlembut dan sering memanjakan mereka. Bertegas bukan bermaksud mendera. Ketegasan saya kerana mahukan anak-anak berdisiplin dalam kehidupan mereka, tidaklah nanti mereka menjadi seorang yang tidak tahu mengurus diri apabila berjauhan dengan keluarga kelak.

Buat si ayah pula, jangan sesekali abaikan tanggungjawab untuk menjadi Hero sejati kepada anak-anak. Seorang ayah juga perlu proaktif. Ayah perlu tahu untuk menyeimbangkan suasana kiranya anak-anak sudah mempunyai ibu yang tegas. Bukan memburukkan seorang ibu, tetapi perlu memberi penerangan kepada anak-anak bahawa ketegasan ibu itu adalah untuk mendidik. Jika anak bersalah, sesekali jangan menjadi benteng mereka. Biarkan mereka tahu apa kesalahan yang telah dilakukan.

Semahunya setiap ibubapa perlu menjadi idola terbaik kepada semua anak-anak. Tonjolkan kepada mereka sifat yang baik sepanjang masa. Pastikan tingkah laku kita sentiasa terkawal.

Sebenarnya anak-anak sememangnya menyayangi ibuayah mereka. Sayang mereka insyaAllah kerana dapat merasa jaminan dilindungi secara sempurna. Maka sebagai ibubapa, kasihilah mereka sepenuh hati dengan mengkualitikan masa bersama mereka pada setiap ketika. Fahami jiwa mereka, insyaAllah kita akan menyerap rasa kasih dan terhibur dengan telatah anak-anak yang pelbagai.

Istimewa

Sebagai ibubapa kita tidak perlu membuat perbandingan di antara anak-anak. Setiap anak itu ada keistimewaan masing-masing. Ada anak kita yang banyak cakap, sangat aktif, pendiam, sangat penyayang, dan pelbagai lagi. Macam-macam ada. Kepelbagaian ciptaan Allah inilah yang membantu kita membina keistimewaan dalam berkeluarga. Ibubapa perlu melayan setiap anak dengan seimbang agar wujud keseronokan dalam kehidupan mereka.

Kita sebagai ibubapa juga tidak perlu membandingkan diri sendiri dengan ibubapa yang lain. Tentunya kita perlu yakin kepada diri sendiri. Walau selemah mana pun kita dalam pelbagai aspek kehidupan, itu bukanlah penghalang untuk kita menjadi ibubapa yang terbaik kepada anak-anak.

Ibubapa tidak boleh ditukar ganti oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ambil berat perihal anak-anak sedari mereka dilahirkan sehingga ke akhir hayat. Jangan sesekali membelakangi mereka.

Jangan pula sebaliknya apabila anak-anak mula memikirkan bahawa ibubapa merupakan musuh  dalam kehidupan mereka. Sangatlah aib jika mereka mempunyai sisi gelap dalam sejarah kehidupan bersama ibuayah. Sangat trauma!

Bersamalah kita mencuba untuk membimbing keluarga menjadi sebuah keluarga Muslim yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat setempat. Perbaiki diri sendiri terutamanya, seterusnya pasangan dan anak-anak kita. Mudah-mudahan kita mampu mewujudkan sebuah generasi baru yang bersih peribadinya dari sebarang kerosakan kehidupan hari ini. Katakan kepada diri, sebenarnya kita mampu lakukannya!

Sayangilah anak-anak, mereka adalah kurniaan terhebat dari Allah untuk menambahkan kualiti kehidupan kita semua.

5.43pm

p/s: Selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: