• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    September 2010
    S M T W T F S
    « Aug   Oct »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  

Sempurna

Salam Ukhuwah…

Saya sangat menghargai sekiranya ada perkongsian terbuka dalam apa jua tajuk menarik yang boleh kita bincangkan dan panjangkan bersama di sini.

Namun, saya ingin mencadangkan kepada tetamu di sini yang mempunyai idea baik untuk dikongsikan bersama pembaca lain, supaya menulis dengan lebih sempurna ejaannya.

Saya kira setiap penulis yang mempunyai idea menarik serta berminat untuk menulis panjang lebar, tentunya dia sendiri banyak membaca untuk menambahkan pengetahuan mereka. Tentu sekali medan bacaan mereka adalah bahan baik yang memaparkan bahasa-bahasa sempurna, malah ejaan yang teratur. Ini tidak boleh dinafikan lagi. Pada saya, banyaknya idea seseorang berbalik kepada banyaknya dia membaca.

Saya bukanlah terlalu cerewet untuk menerima ejaan-ejaan yang disingkatkan, mahupun ditokok tambah pula cara mengejanya, tetapi agak terkilan dengan penggunaan bahasa dan ejaan yang mempunyai banyak kesilapan, boleh mengganggu minat saya dan mungkin minat ramai yang lain untuk membacanya, seterusnya memberi komen-komen yang boleh mengembangkan minda kita semua.

Bukan meminta bahasa yang berbunga-bunga, tetapi cukup dengan menggunakan bahasa yang biasa, tetapi sempurna pada susunan ayatnya juga ejaannya.

Belajarlah untuk menulis dengan baik.

Saya juga sering saja menjengah blog-blog lain, sayang jika terjumpa blog-blog yang baik tetapi dicacamarbakan dengan bahasa-bahasa pasar yang terlalu banyak, disulamkan pula dengan ejaan-ejaan ringkas serta bahasa ala-ala pondan, sehinggakan saya terpaksa membacanya berulangkali untuk difahami.

Berblog

Boleh saja jika mahu kata; suka hati dialah, dah blog dia! Tetapi bagi saya, jika kita berblog dengan tujuan untuk menyebarkan ilmu yang baik, maka baikkanlah cara sebarannya. Menulis sebegitu boleh diibaratkan sebagai melepas batuk di tangga sahaja, sekadar suka-suka kerana ada idea dan minat untuk menulis, tetapi bukan niat untuk sebenar-benarnya memberi ilmu kepada pembaca yang sememangnya dahagakan ilmu. Kalau ‘kami’ ini tidak berminat untuk mencari ilmu, tiadanya kami ini blogwalking untuk mencari jawapan kepada sebarang kemusykilan.

Jika harus berfikir sejenak untuk menterjemahkan satu singkatan mahupun ejaan yang ditokok tambah, tidakkah ia mengganggu pembacaan? Gangguan ini boleh menyebabkan kita menolak untuk terus menghabiskan bacaan pada artikel tersebut.

Tawu = tahu, kte = kita, men = main, len = lain, luper = lupa, hanak = anak, tataw = tak tahu… Bahasa yang sudah hilang seninya. Mahu membaca sambil berfikir erti singkatan mahupun tokok tambah patah perkataan itu sememangnya sungguh tidak enak sekali!

Apakah penulis sebegini membaca bahan bacaan cacamarba? Tentu sekali jawapannya tidak, kerana mereka mempunyai idea yang baik. Habis tu? Ia berbalik kepada diri sendiri. Samada mahu serius menyebar ilmu secara sempurna, atau apakah mereka punya sasaran pembaca tertentu dengan bahasa yang sebegitu? Saya tidak mampu menjawabnya. Pada saya, setiap ilmu yang baik itu harus disebarluaskan dengan sempurna, insyaAllah natijahnya juga sempurna.

Penulis

Apabila dirisik, rupanya kebanyakan penulis ‘ringkas’ ini adalah golongan anak-anak muda kita, tetapi sungguhlah hairan apabila ia berjangkit kepada golongan seusia saya dan keatas, yang saya kira sudah sangat tidak sesuai berbahasa sedemikian. Mahu kembali merasa muda dengan bahasa yang sebegitu? Atau dengan niat menarik generasi muda seumpamanya untuk membaca artikel yang ditulis? Saya menyimpulkan, untuk mengajak kepada sesuatu yang baik perlu kepada contoh yang baik, bukan sebaliknya.

Saya yakin apabila kita membaca artikel dengan tulisan sedemikian, tidak akan mampu menjinakkan hati para pembaca untuk menilai ketelusan ilmunya.

Tidakkah penulis merasa rugi jika tidak mampu menyampaikan ilmu yang baik kepada pembacanya? Ia mengaibkan.

Saya sendiri akui bukan cantik dalam berbahasa, tetapi sekurang-kurangnya saya mencuba  untuk menjaga bahasa dan ejaan pada setiap artikel yang saya tuliskan.

Jangan samakan menulis artikel dengan menulis SMS. Menulis artikel adalah untuk tatapan ramai, sedangkan kiriman SMS untuk bacaan orang-orang tertentu sahaja. Lebih-lebih lagi SMS adalah untuk orang-orang yang sudah maklum ‘siapa’ kita, tetapi tidak pada artikel yang pembacanya mungkin asing dalam menilai diri penulis tersebut.

Berbahasa dengan baik sebenarnya sangat indah dibaca, bila diporak porandakan nilai seninya, dimana serinya dalam kita ‘berkata-kata’?

11.03pm

p/s;

Al-Fatihah buat Allahyarham YB Che Hashim Sulaima, Adun Galas, yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 4.34 petang tadi.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin!

Advertisements

Kesihatan

Salam Ukhuwah…

Saya menerima satu pendapat/ pandangan daripada seorang tetamu di sini. Satu pandangan yang saya kira boleh diperpanjangkan lagi perbincangannya. Sebagai menghargai pandangan yang dikemukan, saya cuba memberi pendapat saya yang sederhana, kerana bidang yang diperbincangkan bukanlah bidang pengetahuan umum saya. Terlebih dahulu saya memohon kemaafan kiranya ada pandangan saya yang silap. Wallhua’lam…

Sedikit teguran, kiranya lebih baik setiap tulisan yang dikemukan dihasilkan dengan ejaan yang sempurna untuk menarik minat ramai membacanya. Saya telah mengedit sedikit tulisan di bawah untuk lebih selesa dibaca, walau sebenarnya masih banyak yang perlu diedit untuk kesempurnaan tatapan semua.

Salam

Tujuan saya masuk ke sini bukan untuk membuat apa-apa komen mengenai perkara yang ditulis diatas. cume saya ingin menarik perhatian puan mengenai maruah agama Islam kita yang telah dicabul oleh sikap kita yang mengikut sangat rentak org2 bukan Islam dari segi perubatan. Anak dara dan isteri kite dengan sewenang2 di cabul atas nama perubatan dan kite lebih mengambil sikap diam macam xde ape2 berlaku.

Kita lebih sibuk dgn isu2 remeh sedangkan anak dara dan isteri kita dibogelkan sedangkan di negara kafir sendiri keadaan ini dipertikaikan. Sampai bila kah keaadan ini akan berterusan. Kita beragama…dan agama kita Islam. Manakah Institusi bidan. Kenapa kita tidak membina klinik atau hospital khas untuk kaum hawa…kenapa kita tidak membina kolej khas untuk kaum hawa menjadi bidan…menaja kaum doktor pompuan untuk menjadi pakar… no matter what it takes…

Lagi satu hal…skrg nampaknya kite lebih rela anak dara kita menjadi jururawat. Beribu-ribu anak dara kita dilatih menjadi jururawat. kalo nak ikut % rase2 99% adalah nak dara kita. Bidang ini mmg salah jika hospital memaksa mereka merawat kaum lelaki. kalo lah semua jururawat ini dilatih sebagai bidan…dan bidan2 ini kemudiannya kite tempatkan di setiap masjid…dan diletakan pulak dibawah kuasa seorang doktor pompuan…yang mungkin menjaga banyak masjid dibawahnya…baru lah maruah Islam betul2 terjaga…

Kitev mesti hidupkan balik cara lama…Bidang ini tidak salah jika mereka hanya ditugaskan merawat kaum hawa. Dulu ada Hospital Asistant yang memang ditugaskan untuk pesakit lelaki. tetapi skrg Hospital Assistant pun dah pupus. Nasib yang sama dgn bidan. Pregnancy is not a disease. Ianya satu anugerah dari Allah swt…tetapi kalo kita anggap ianya penyakit… maka jadi la ia penyakit… dan datang lah berbagai2 jenis penyakit…

nampak gaya kita org tua la yang merosakkan anak gadis kita sendiri. Bile cakap selalunya jawapannye…kerja murni…murni ape nya kalo kite ketepikan ugama… umo baru 18, 19, 20 lom kawin lagi… semua alat sulit lelaki dah nampak…melayu , cina , india ! Masalah ini adalah masalah iman…keadaan ini megikis iman kita semua…kita menghina anugerah Allah. Kita lebih bersikap ikut suke…ikut pilihan…sebenarnya tiada pilihan dalam Islam…mesti megikut apa yang telah diperintahkan…

sila lawati fb saya; adam mohamad, disitu saya ade wat posting mengenai perkara same…

saya mohon maaf drpd puan yang memang saya sangat hormati dan saya memang menyangi ayahanda puan. Tuan Guru adalah semangat dan kekuatan kepada semua kaum muslimin dan muslimat di Malaysia yang sekarang dah haru biru…tengelam punca…

Kesihatan wanita sememangnya agak kompleks, lazimnya ia sering dikaitkan dengan proses kelahiran, kesuburan, kemandulan, penyakit yang melibatkan organ-organ peranakan, ketumbuhan, kanser, dan sebagainya. Dua jenis kanser yang paling ditakuti wanita ialah kanser pangkal rahim dan kanser payudara. Kanser lain yang juga mampu menjadi igauan wanita adalah kanser rahim dan ovari.

Untuk wanita itu sendiri perlu ada tiga perkara penting dalam kehidupan kesihatan mereka, iaitu pengetahuan, sikap dan amalan penjagaan kesihatan diri.

Saya juga bersetuju untuk menyarankan kepada pihak-pihak yang sepatutnya, untuk membangunkan semula institusi perbidanan kampung yang boleh dikatakan sudah hilang seninya di Negara kita ini. Perbidanan kampung yang sangat sinonim dengan menyambut kelahiran bayi.

Kelahiran bayi perlulah disambut dengan penuh adab Islam. Tentunya orang yang paling layak menyambut setiap kelahiran adalah bidan mahupun doktor perempuan.

Setiap kali si isteri mengandung, sewajarnya si suami perlu menyediakan kedudukan kewangan yang lebih baik untuk proses kelahiran zuriat mereka. Apa yang saya maksudkan adalah persediaan kewangan untuk mendapatkan doktor wanita, yang tentunya boleh didapati dengan mudah di klinik bersalin swasta.

Walau dalam keadaan kewangan rumahtangga yang sederhana, berusaha dan berdoalah semoga si isteri mendapat seorang doktor wanita untuk menyambut kelahiran zuriat anda. Itulah sebenarnya keutamaan!

Seorang sahabat saya, seorang isteri berkerjaya yang hanya berpendapatan lebih kurang RM1000 sebulan, apabila disahkan dirinya mengandung, sanggup setiap bulan memperuntukkan RM200 sebagai tabungan untuk melahirkan anak di klinik swasta demi jaminan mendapatkan doktor wanita. Si suami pula yang berpendapatan sedikit lebih baik daripada si isteri pula membuat tabungan RM200 sebulan untuk membeli keperluan menyambut kehadiran orang baru dan keperluan ubat-ubatan untuk isteri tercinta dalam tempoh berpantang.

Katanya, bukan kita bersalin setiap tahun, apa salahnya berhabis duit sekali arung untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik. Biar berhabis, asal hati puas tidak sewenang-wenangnya membuka aurat di hadapan lelaki asing.

Kandungan

Dalam banyak keadaan, kandungan lazimnya tidak mendatangkan kemudaratan besar kepada si ibu. Andai kemudaratan besar berlaku pada kandungan yang boleh membahayakan nyawa si ibu mahupun si anak, haruslah kita mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki sekiranya ketiadaan doktor perempuan yang sehebat doktor lelaki tersebut.

Wanita mengandung yang tidak mengalami sebarang komplikasi kepada kandungannya, jangan pula lebih berminat untuk mendapatkan doktor lelaki sebagai doktor peribadinya, selama mana tempoh pemeriksaan dan rawatan dijalankan. Lebih-lebih lagi kini sudah ramai doktor wanita yang berjaya sebagai doktor sakit puan.

Perbidanan

Saya antara wanita yang percaya kepada perbidanan kampung, lebih-lebih lagi untuk sesi berpantang selepas bersalin, dan sangat ingin benar menyebarluaskan tarikan perbidanan kampung kepada wanita-wanita lain di luar sana.

Ia sepatutnya dinaiktaraf semula. Kiranya mampu untuk memberi persekitaran sihat dalam persaingan kepada perubatan moden dan mampu pula memberi pilihan serta memenuhi keperluan semasa.

Rawatan kampung ini berkait rapat dengan sistem rawatan kesihatan tradisional yang berasaskan campuran herba-herba tertentu, dan tentunya kini telah diubahsuai dengan teknologi terkini yang dijalinkan dengan serapan prinsip-prinsip kesihatan yang moden dan canggih.

Perbidanan kampung kelihatannya makin merosot permintaannya, hatta kepada masyarakat Melayu kampung sekalipun. Perbidanan ini bukan sahaja untuk masyarakat Melayu sebenarnya, tetapi ia merangkumi masyarakat umum yang berbilang bangsa.

Mungkin juga istilah ‘bidan’ tidak mampu menarik perhatian wanita moden, tetapi ia tidak sukar apabila kiranya ada istilah baru yang boleh digunakan untuk menggantikan perkataan bidan itu.

Saya lebih percayakan perbidanan kampung dalam proses berpantang, terutamanya penjagaan makanan dalam berpantang untuk mengelakkan dari gejala-gejala buruk berlaku yang boleh membawa kepada tumpah darah terutamanya. Waktu berpantang yang sempurna dan teratur merupakan faktor terpenting untuk menentukan tahap kesihatan ibu pada masa hadapan.

Kejururawatan

Saya percaya bahawa bidang kejururawatan ini sangatlah luas dan terbahagi kepada beberapa bidang utama. Daripada pembacaan umum, saya mendapati bahawa di Negara kita bidang asas jururawat meliputi jururawat kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat akademik.

Bidang kejururawatan bukan sekadar diperlukan untuk proses pemulihan, tetapi keberkesanannya merangkumi aspek-aspek lain seperti meningkatkan tahap kefahaman dalam penjagaan kesihatan kepada individu, keluarga dan masyarakat. Juga menyebarluaskan kefahaman bagaimana penyakit dapat dicegah, rawatannya dan jenis pemulihan yang terbaik.

Tidak dinafikan bahawa bidang kejururawatan ini akan melibatkan bahagian fizikal tubuh badan, tetapi jangan kita sekadar melihat dengan mata kasar sahaja, mereka juga sebenarnya dilatih untuk memahami aspek emosi dan mental serta jiwa dan rohani pesakit. Adalah sangat baik kiranya para jururawat juga dibekalkan dengan ilmu agama dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan. Apa jua keadaanpun, agamalah yang akan menjadi benteng terbaik dan berkesan dalam apa jua tindakan yang kita lakukan.

Setiap jururawat ada emosinya apabila berhadapan dengan pesakit, tetapi saya percaya mereka sudah dilatih dengan baik untuk mengurus keadaan tersebut, sebagai suatu tugasan dan menjalankan tanggungjawab dengan sepenuh kepercayaan yang diamanahkan.  Sebaik-baiknya dimulakan dengan ucapan basmalah, mudah-mudahan dilindungi dari sebarang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam proses perawatan ini sentuhan langsung pada kulit tentunya akan berlaku. Hal ini dibolehkan ketika sesi rawatan dijalankan dan dalam tempoh tertentu. Tentunya ia bersifat sementara dan perlu tahu batas-batasnya. Jika pesakit kembali pulih, maka hukum haram bersentuhan berlainan jantina kembali sebagaimana biasa.

Di zaman Rasululllah s.a.w. juga pernah wanita Islam bertugas sebagai jururawat di medan perang. Mereka ditugaskan untuk merawat tentera yang tercedera.

Menjadi jururawat bukanlah satu profesion secara suka-suka untuk melihat aurat orang lain. Setiap jururawat juga bukanlah selesa untuk melihat aurat pesakit yang terdedah, lebih-lebih lagi apabila melihat aurat yang berlainan jantina. Namun dalam keadaan sakit dan darurat tentunya ia diharuskan, sewajarnya jururawat perlu terlebih dahulu dengan budi bicaranya memohon kebenaran sebaiknya daripada pesakit tersebut seadanya.

Jururawat Wanita

Jururawat sememangnya sangat sinonim dengan wanita, ini mungkin kerana sikap fitrah seorang wanita yang lebih mempunyai sikap peramah terhadap pesakit dan budi pekerti yang berlemah-lembut dalam merawat dan menjaga pesakit secara komprehensif, maka profesion ini dilihat lebih berpihak kepada wanita.

Semestinya jururawat wanita ada dilemanya dalam tugasan seharian mereka. InsyaAllah dengan niat yang ikhlas untuk membantu para pesakit yang memerlukan rawatan, mereka merawat dengan sebaiknya. Mungkin juga dalam banyak keadaan, kemampuan wanita sebagai jururawat lebih dikagumi.

Saya juga bersetuju kiranya jururawat perempuan merawat pesakit perempuan, dan begitulah sebaliknya. Saya meletakkan keadaan jururawat perempuan yang merawat pesakit lelaki adalah dalam keterpaksaan. Lelaki yang baik juga sebenarnya lebih selesa jika diberi pilihan untuk jururawat lelaki merawat mereka. Namun kerana tidak mampu membuat pilihan, terima seadanya pilihan yang ada berasaskan faktor-faktor tertentu.

Jika mampu membuat pilihan, adalah penting untuk memilih jururawat Muslim untuk merawat pesakit Muslim.

Saya juga percaya bahawa setiap wanita yang memilih kerjaya sebagai jururawat telah mendapat persetujuan suami mahupun ibubapa mereka. Kepercayaan dan keyakinan terhadap kerjaya pasangan mahupun anak masing-masing, akan memberi kepuasan dan kegembiraan kepada setiap jururawat yang berkhidmat.

Jururawat Lelaki

Saya percaya di Negara kita jururawat lelaki masih belum mendapat tempat sebaiknya didalam pasaran. Ini juga menjadi tanggungjawab kepada anak-anak muda lelaki untuk menyahut cabaran sebagai jururawat.

Menjadi jururawat melibatkan ilmu dan kemahiran, disulami pula dengan sikap sopan-santun, tingkah-laku, budi bahasa serta akhlak yang baik. Perlu kepada senyuman yang ikhlas, mesra, elok budi bicaranya, serta mudah menghulurkan pertolongan saat diperlukan pesakit.

Tidak dinafikan ramai juga jururawat yang tidak menepati ciri-ciri yang dinyatakan, mungkin sikap semulajadi mereka sebegitu yang sukar diubah sehingga terbawa-bawa semasa bekerja dan bebanan kerja yang ditanggung pada waktu tertentu terlalu banyak, terutama di hospital mahupun klinik kerajaan.

Walau bagaimanapun, sebanyak mana jururawat yang dilihat di Negara kita sekarang ini, sebenarnya jumlah mereka belum lagi mencukupi. Antara punca utama ketidakcukupan dalam profesion ini adalah kerana kurangnya minat anak-anak muda kita menceburi bidang yang sebenarnya amat penting ini. Juga kerana kurangnya pengetahuan tentang kerjaya yang semakin berkembang baik ini.

Masyarakat juga perlu sedar bahawa kurangnya tenaga kerja dibidang ini mampu menjejaskan tahap kesihatan rakyat umum.

Namun, saya percaya bahawa sejak kebelakangan ini profesion jururawat mula mendapat tempat di hati anak-anak muda kita dengan tumbuhnya pelbagai kolej yang menawarkan kursus kemahiran klinikal khusus yang sentiasa berkembang.

Bagi saya, kerjaya jururawat merupakan salah satu pekerjaan yang baik kerana merekalah antara orang yang berusaha untuk membantu pesakit, walaupun terpaksa menghadap penyakit-penyakit yang boleh dikira menjijikkan. Sekurang-kurangnya kewujudan mereka sedikit membantu dalam mengurangkan penderitaan dan kesakitan yang dialami pesakit tersebut.

Jururawat bukan hanya sekadar menjadi pembantu kepada doktor, tetapi kadangkala turut melaksanakan tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal dalam keadaan tertentu, terutamanya apabila berlaku kes kecemasan sebelum kedatangan doktor.

Etika

Jururawat wanita juga lazimnya berteman apabila merawat pesakit lelaki di bilik persendirian, selain untuk membantu ia juga mampu mengelakkan sebarang fitnah berlaku. Jururawat yang bertugas seharusnya menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada jenis penyakit yang dirawat, bukan kepada aurat pesakit. Kebiasaannya pesakit akan berada dalam kedudukan tidak terlalu terdedah kepada bahagian yang tidak perlu dirawat. Saya yakin jururawat juga sudah dilatih untuk menjaga aib pesakit seadanya.

Hubungan antara jururawat dengan pesakit adalah profesional. Ini adalah etika dalam dunia perubatan. Mereka perlu menyimpan aib pesakit. Tidak boleh sesekali dengan sewenang-wenangnya menceritakan perihal pesakit kepada orang lain.

5.45pm

Hari Raya ‘Aidilfitri

Salam Ukhuwah…

Saban tahun sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi keluarga saya biasa-biasa saja.

Menjadi kebiasaan saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah ayahbonda, dan Hari Raya Aidiladha di rumah mertua.

Tahun ini saya memaksa diri untuk berawalan ke masjid bagi menunaikan solat sunat Hari Raya. Kerana awalnya saya tiba di masjid maka berpeluanglah untuk bersolat di dalam bangunan Masjid, walaupun di tingkat atas. Syukur Alhamdulillah, kerana sudah banyak kali saya terpaksa sembahyang di luar bangunan masjid kerana melengah-lengahkan masa di pagi 1 Syawal.

Suasana hari raya makin terasa apabila laungan kalimah kebesaran dan keagungan Allah swt,  yang bermula seawal 7.30 pagi makin kencang kedengaran, bagi mengisi masa luang sebelum solat yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi. Jemaah pun sudah mula memenuhi masjid, lantas perkarangan masjid pula menjadi pilihan. Alhamdulillah, tiada hujan walaupun langit sedikit mendung. Keadaan kelihatan baik-baik sahaja.

Tok Guru yang sentiasa menepati masa mula mengambil tempat menghampiri 8.30 pagi. Sedikit ucapan diberikan mengalukan kedatangan jemaah. Sebagaimana yang dilakukan imam-imam lain, beliau juga mengingatkan jemaah tentang bagaimana Solat Sunat Aidilfitri dilaksanakan. 7 kali takbir di rakaat pertama dan 5 kali takbir di rakaat kedua, serta bacaan setiap kali selepas takbir dilakukan. Tok Guru juga mengambil kesempatan membacanya secara beramai-ramai sebelum solat dilakukan.

Saf

Saya mengambil kedudukan di saf kedua, di sebelah kiri saya dua orang kanak-kanak yang saya kira mereka adalah adik-beradik, di sekitar usia sekolah rendah. Mereka tidak memakai telekung sembahyang, tetapi cukup sekadar memakai tudung dan berstokin. Saya sangat bersetuju dengan didikan sebegitu sedari kecil, tidak perlu bersusah-susah dengan telekung sembahyang baru boleh solat, tapi sudah cukup dengan pakaian di badan yang telahpun menutup aurat.

Si kakak ok saja kelihatannya, tetapi beberapa kali membetulkan kedudukan si adik yang begitu teruja kelihatannya sebelum solat dimulakan.

Saya sebenarnya sedikit terganggu apabila si adik kerap bergerak semasa solat dilakukan. Inilah cabarannya apabila kita bersolat di sebelah anak-anak kecil. Saya biarkan saja. Biarkan saja kelakuan itu, mereka masih kecil dan mudah-mudahan ini merupakan latihan pertama bagi mereka untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Saya hanya mencuba untuk khusyuk di dalam solat. Rugi juga rasanya kalau melayan perkara yang bukan-bukan pada solat yang hanya didirikan setahun sekali sahaja.

Khutbah

Usai solat Tok Guru mula menyampaikan khutbahnya.

Didalam khutbahnya, Tok Guru mengalukan kedatangan 1 Syawal yang sekali lagi menyaksikan setiap Muslim gembira dan ceria menyambut kehadiran tetamu, dan saling berkunjung di antara satu sama lain untuk mengeratkan silaturrahim. Ianya satu amalan mulia yang wajar diteruskan. Namun, dalam kegembiraan itu kita juga perlu menghayati nilai dan pengertian takbir raya yang dilafazkan sepanjang hari raya ini.

Beliau juga mengajak para jemaah untuk meneruskan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, kerana sesungguhnya matlamat berpuasa pada Ramadhan lalu adalah untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa kepada Allah. Dengan harapan semoga kita semua beroleh kekuatan untuk terus melakukan amalan-amalan terpuji, sebagaimana yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan tempohari. Selain itu, berterusan menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan yang keji. InsyaAllah!

Harapan menggunung juga semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang dibebaskan dari api neraka sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.. Pembebasan dari api nerakalah yang merupakan kejayaan yang paling hakiki!

Beliau juga mengingatkan kepada semua jemaah untuk menabur bakti dan sumbangan sebanyak mungkin serta sanggup berkorban untuk Islam tercinta, sebelum dipanggil untuk menghadap Allah s.w.t.. Sesungguhnya perkara yang paling berharga saat kita di hadapan Allah s.w.t. kelak ialah amalan kebajikan serta jihad Fisabilillah yang telah dilakukan di dunia ini.

Saya kira khutbah Tok Guru lebih kurang 20 minit. Usai saja doa diaminkan, setiap jemaah saling bersalaman. Rupa-rupanya anak kecil di sebelah saya adalah anak sepupu saya sendiri.

Bagus sungguh sepupu saya mendidik anak-anaknya berawalan ke masjid pada pagi 1 Syawal.

Sangat baik sebenarnya mendidik anak-anak kecil ke masjid seawal usia, tapi saya sendiri tiada kekuatan itu untuk mengajak anak-anak kecil ke masjid untuk satu program yang besar, dengan niat takut mengganggu jemaah lain. Kita sama-sama fikirkan mana yang terbaik!

Rumah Terbuka

Tok Guru lantas menjemput semua jemaah menjamu selera di rumah terbukanya. Jemaah menghormati jemputan beliau lalu tidak kira tua muda, muslimin dan muslimat, mereka beramai-ramai menjamu laksa sebagai hidangan pertama di meja bufet.

Saya mengambil tempat di sebelah muslimat untuk sama-sama memberi hamper kepada anak-anak kecil yang berduyun-duyun ramainya. Suasanya sungguh kelam-kabut, walaupun sudah berulang kali saya berpesan supaya beratur sebaiknya. Mereka sangat teruja barangkali, yang akhirnya satu pasu bunga besar bonda saya terbalik…!

“Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah”

(Riwayat Abu Dawood)


6.29pm

Syawal

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, selamat sudah kita menempuh 1 Syawal, dan hari ini kita masih lagi dipanjangkan umur untuk terus menceriakan Syawal hingga ke penghujungnya, insyaAllah. Mudah-mudahan masih ada kelonggaran untuk diri kita sendiri bagi meraikan Puasa 6 di bulan Syawal yang mulia ini.

Jika puasa di Ramadhan lalu mampu memberi maghfirah keatas dosa-dosa silam, maka biasa-biasakanlah diri kita untuk menyambung puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal, kerana ia mampu menggambarkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. diatas segala nikmat yang telah dikurniakan selama ini. Sesungguhnya tiada nikmat yang lebih agung selain dari pengampunan dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini.

Puasa 6 Syawal juga boleh dilakukan sekaligus bersama puasa qada’ yang ditinggalkan pada Ramadhan lalu (kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syara’). Hendaklah berniat bagi kedua-dua puasa tersebut. Menyegarakan qada’ puasa adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syara’. Ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah s.w.t. sahaja yang akan menilai dan menentukan balasan kepada mereka yang berpuasa.

Setiap hamba Allah yang berusaha untuk bersegera melaksanakan puasa 6 di bulan Syawal lebih membuktikan rasa cintanya terhadap ibadah puasa, malah tidak pernah rasa bosan dan malas dalam melaksanakannya.

Khatam

Kini tiada lagi solat sunat Tarawikh menghiasi malam-malam kita sebagaimana Ramadhan lalu,  khatamlah sudah sebuah al-Quran Karim yang mengandungi 114 Surah dikumandangkan sepanjang malam-malam tersebut. Alhamdulillah, semoga kita mampu menghayati penceritaan Kitab Allah ini, selain begitu mengasyikkan mendengar alunan gagah ayat-ayat suci ini dilantunkan oleh para imam yang hebat bacaannya.

Ramadhan merupakan bulan al-Quran, bulan yang sangat mulia apabila menjadi pilihan untuk diturunkan al-Quran. Tentunya hanya Ramadhan dberi penghormatan untuk disebut di dalam al-Quran.

Al-Quran mula diturunkan oleh Allah s.w.t. secara keseluruhannya ke Lauhin Mahfudz. Tiada yang maklum bilakah masanya penurunan al-Quran ini. Penurunan seterusnya dalam jumlah keseluruhannya adalah ke Baitul ‘Izzah, yakni langit pertama. Langit yang kelihatan apabila kita mendongak ke atas sana, tetapi tidaklah diketahui posisi manakah penurunan al-Quran tersebut dilakukan.

Daripada Baitul ‘Izzah langsung kepada Rasulullah s.a.w.. Kali ini bukan lagi sekaligus, tetapi beransur-ansur berdasarkan keperluan mahupun peristiwa atau kejadian semasa.

Al-Quran merupakan sebuah kitab panduan di dalam keseluruhan kehidupan manusia, yang mencakupi hukum-hakam yang sememangnya cukup lengkap dan sangat sempurna ajarannya. Juga untuk membawa petunjuk, membimbing kepada kebaikan, menjelaskan jalan benar serta jalan yang menyesatkan. Setiap maksud yang didatangkan di dalam al-Quran saling berkaitan dan wajiblah ditaati oleh semua hamba Allah tanpa ada sebarang pemisahan walau satu ayatpun!

Bacalah!

Bacalah al-Quran secara konsisten, bukan hanya pada Ramadhan. Istiqamahlah sekurang-kurangnya sekali sehari. Pilihlah masa yang paling sesuai dengan keadaan kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan ia akan menjadi satu kemestian. Lima minit sehari pun sudah memadai dari langsung tiada ayat-ayat yang menghiasi bibir kita selama 24 jam.

Jangan hanya ketika Ramadhan kita menjenguk al-Quran secara bersungguh-sungguh, tetapi jadikanlah ia amalan harian. Allah telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada hamba-hambaNya yang sentiasa mendampingi al-Quran.

Jika berpeluang, belajarlah untuk menghafal surah mahupun ayat-ayatnya yang tertentu.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi)  hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”

(al-Baqarah 2: 208)

5.10pm

Buli

Salam Ukhuwah…

Sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengetengahkan satu persoalan yang dikemukan oleh tetamu di sini untuk kita bincangkan bersama. Semoga apa yang baik dari perbincangan ini mampu menambahkan lagi pengetahuan kita semua, insyaAllah…

Assalamualaikum..

Pertama kali saya sampai ke sini.. dan saya tertarik dengan saranan dan pengalaman yang Puan tulis.. setelah tamat pembacaan saya pada n3 ni saya termenung sejenak.. ada persoalanan yang ingin saya tanyakan tentang anak2..

Saya berusia 34 tahun dan mempunyai seorang putera berusia 10 tahun dan seorang puteri yang berusia 4 tahun. Alhamdulillah saya dikurniakan seorang anak lelaki yang baik budi pekerti dan sangat menghormati ayah dan ibunye serta orang2 lain.. berjiwa lembut dan sangat mengasihani golongan yang susah.. andai kata ada cerita dikaca tv yang menyentuh jiwanye, sudah pasti ada air mata yang bergenang menanti untuk gugur.. itu berlaku sejak si abg berusia 2 tahun tatkala melihat cerita kartun TARZAN yang di alihsuara yang cukup popular seketika dulu.. pada fizikal si abg tidak langsung menunjukkan dia seorang yang lembut.. dia sama seperti lelaki lain yang badan berisi sedikit.. cuma airmuka dan jiwanya sahaja..

Yang menjadi kerunsingan saya setiap kali anak sya ini keluar rumah, tak kiralah ke sekolah, bermain, mengaji atau ke tempat tuisyen, saya pasti risau dan bimbang akan keselamatannya.. sebab anak sya ini sangat kurang melawan apabila dibuli rakan.. saya sangat bimbang akan hal tersebut.. jika Puan ada sebarang nasihat atau saranan kepada saya, saya amat berbesar hati menerimanya agar ianya mampu mengurangkan keresahan hati seorang ibu.. Tkasih.

W’lam…

Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya. Kiranya ia suatu tempat untuk kita berkongsi pengalaman hidup seharian secara mudah dan praktikal, terutama perihal perkongsian bagaimana membina generasi baru yang lebih baik. Saya sangat mengalu-alukannya.

Saya juga menjenguk blog saudari, nampaknya seorang ibu yang hebat kerana masih berstatus pelajar! Rajinnya dia…tapi anak pun kena tambah lagi tu…!

Saya percaya persoalan yang menjadi kerunsingan saudari, adalah juga menjadi menungan ibu-ibu yang lain termasuklah saya. Tetapi saudari antara ibu yang bertuah kerana telah memiliki si Abang yang kelihatannya seorang bertanggungjawab dan berakhlak baik. Alhamdulillah…Berjiwa lembut tu menurun emak dia kot, nampak raut wajah emaknya pun lembut aje…

Saya cuba berkongsi tentang kes buli terhadap anak-anak yang sangat memberi kesan kepada ibubapa apabila mereka mula berjauhan daripada kita.

Dalam kita merasa bimbang terhadap situasi-situasi yang kurang baik di luar sana, cuba-cubalah dahulu memberi peluang kepada anak-anak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri terlebih dahulu. Namun, dalam masa yang sama kita tetap memantau keadaan dari semasa  ke semasa.

Lazimnya, anak-anak lelaki dikurnikan Allah tahap daya tahan yang lebih tinggi berbanding anak-anak perempuan.

Sebagai ibubapa, dari jauh kita perlu tahu dengan siapa anak-anak kita berkawan. Perhatikan juga jika anak-anak kita mula bercerita tentang kenakalan kawan-kawannya di sekolah, ini mungkin membantu kita untuk lebih memahami keadaan pada masa hadapan. Selalulah memberi pesan kepada anak-anak bahawa sangat penting untuk mereka memberitahu ibubapa sekiranya ada orang yang cuba membuli mereka.

Untuk mengelakkan kejadian buli berlaku kepada anak-anak, berpesanlah kepada mereka agar tidak berjalan sendirian di tempat sunyi, tetapi berjalan secara berkumpulan. Pembuli tidak tertarik kepada kumpulan yang ramai.

Mangsa

Jika anak mula menceritakan tentang kejadian buli yang menimpa mereka, perkara pertama yang kita boleh lakukan ialah dengan memuji tindakan berani mereka memberitahu tentang kejadian tersebut. Dengan ini kita boleh mencipta suatu perasaan kental di jiwa anak-anak ini.

Kita akan dapat mengesan apabila anak-anak menjadi mangsa buli kiranya dia kelihatan takut apabila tiba masa untuk dia beraktiviti di luar rumah, samada ke sekolah, tuisyen, mengaji, bermain, dan sebagainya. Kiranya mereka lebih suka berada di rumah sahaja dan tidak mahu ke mana-mana melainkan ditemani. Apabila berada di rumah pula, mereka tidak ceria sebagaimana biasa, menjadi sedikit pendiam, rasa serba tidak kena, dan mengalami sedikit gangguan ketika tidur.

Mungkin juga kita boleh meneliti tubuh badan mereka untuk melihat samada wujud tanda-tanda luka yang tidak begitu jelas pada mana-mana bahagian badannya.

Jika ciri-ciri ini ada pada anak-anak kita, maka sokongan daripada ibubapa amat-amatlah diperlukan, juga daripada kawan-kawan baik mereka untuk membantu mereka membina semula keyakinan diri yang sedikit terjejas.

Jika masalah kemurungan tersebut berpunca dari sekolah, maka sangat baik kiranya ibubapa mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan guru kelas mereka terutamanya. Berbincang dengan guru tersebut masalah yang dihadapi, dan bertanyalah pandangannya bagaimana mahu membantu anak ini keluar dari masalah tersebut.

Tidak dinafikan, secara langsung ibubapa akan menjadi marah jika tahu anak-anak dibuli. Itu adalah perasaan fitrah, tetapi bersabarlah! Jangan mengambil tindakan melulu, dan sesekali jangan mengajar anak-anak ini melawan si pembuli, lebih-lebih lagi terhadap sekumpulan besar pembuli, itu kerana ia akan mendatangkan bahaya yang lebih besar kepada dirinya sendiri, melainkan jika mereka mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri!

Akhirnya, sentiasalah berdoa semoga kita sekeluarga sentiasa dilindungi Allah dari segala bencana kerosakan dunia. Wallahua’lam…

6.23pm

Semangat ISLAM!

Salam Ukhuwah…

Dalam Islam tiada istilah semangat Kebangsaan, yang ada hanyalah semangat Islam! Tentunya Islam ini lebih besar pengaruhnya berbanding Kebangsaan, kerana ia membawa pengaruh seantero dunia, bahkan semangat menuju ke akhirat – bukan hanya semangat pada sebuah Negara, bahkan sekadar untuk urusan dunia semata.

Sebagai Muslim, wajib bagi kita menerima dan memahami bagaimana Islam mendidik ummatnya untuk menerima ilmu Islam sebagai suatu cara hidup, tiada cara yang lain melainkan Islam semata! Islam menjanjikan kesejahteraan kehidupan dunia yang berkesinambungan ke akhirat. Tiada semangat lain di dunia ini yang boleh menjamin kehidupan manusia selamat di akhirat, tetapi ia dijamin dalam Islam.

Islam tiada batasnya untuk apa jua bangsa dan keturunan mana sekalipun!

Sangat benar bahawa semangat Kebangsaan yang ditawarkan oleh Umno adalah suatu kesalahan akidah dalam perjuangannya di bumi Malaysia ini.

Bukan sekadar kesalahan akidah, tetapi di mana sebenarnya semangat cintakan Negara yang cuba ditonjolkan oleh pemerintah didalam bulan Kemerdekaan kali ini? Sangat terang dan bersuluh bahawa semangat kemerdekaan pada rakyat umum berada pada tahap merudum dan sangat menyedihkan.

Pandangan mata kasar, bolehlah dikatakan bahawa semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini semakin hilang.

Kenapa Pemerintah telah gagal memberi pengertian dalam pengisian menyambut Kemerdekaan Negara? Kerana mungkin kita hanya Merdeka pada nama, tetapi minda kita masih terus dijajah.

Pemerintah terus menjajah minda rakyat dengan mengadakan sambutan Kemerdekaan sebagai suatu cara untuk mempromosikan Umno itu sendiri, yang mana pada hakikatnya sebilangan besar rakyat semakin meluat dengan pelbagai ketidakjujuran dalam pemerintahan Negara selama ini. Sungguhlah tidak matang cara Umno berpolitik, tiada ketelusan, dan langsung tidak berpijak kepada amalan demokrasi yang sebenar.

11.07am