• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    September 2010
    S M T W T F S
    « Aug   Oct »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  

Hari Raya ‘Aidilfitri

Salam Ukhuwah…

Saban tahun sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi keluarga saya biasa-biasa saja.

Menjadi kebiasaan saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah ayahbonda, dan Hari Raya Aidiladha di rumah mertua.

Tahun ini saya memaksa diri untuk berawalan ke masjid bagi menunaikan solat sunat Hari Raya. Kerana awalnya saya tiba di masjid maka berpeluanglah untuk bersolat di dalam bangunan Masjid, walaupun di tingkat atas. Syukur Alhamdulillah, kerana sudah banyak kali saya terpaksa sembahyang di luar bangunan masjid kerana melengah-lengahkan masa di pagi 1 Syawal.

Suasana hari raya makin terasa apabila laungan kalimah kebesaran dan keagungan Allah swt,  yang bermula seawal 7.30 pagi makin kencang kedengaran, bagi mengisi masa luang sebelum solat yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi. Jemaah pun sudah mula memenuhi masjid, lantas perkarangan masjid pula menjadi pilihan. Alhamdulillah, tiada hujan walaupun langit sedikit mendung. Keadaan kelihatan baik-baik sahaja.

Tok Guru yang sentiasa menepati masa mula mengambil tempat menghampiri 8.30 pagi. Sedikit ucapan diberikan mengalukan kedatangan jemaah. Sebagaimana yang dilakukan imam-imam lain, beliau juga mengingatkan jemaah tentang bagaimana Solat Sunat Aidilfitri dilaksanakan. 7 kali takbir di rakaat pertama dan 5 kali takbir di rakaat kedua, serta bacaan setiap kali selepas takbir dilakukan. Tok Guru juga mengambil kesempatan membacanya secara beramai-ramai sebelum solat dilakukan.

Saf

Saya mengambil kedudukan di saf kedua, di sebelah kiri saya dua orang kanak-kanak yang saya kira mereka adalah adik-beradik, di sekitar usia sekolah rendah. Mereka tidak memakai telekung sembahyang, tetapi cukup sekadar memakai tudung dan berstokin. Saya sangat bersetuju dengan didikan sebegitu sedari kecil, tidak perlu bersusah-susah dengan telekung sembahyang baru boleh solat, tapi sudah cukup dengan pakaian di badan yang telahpun menutup aurat.

Si kakak ok saja kelihatannya, tetapi beberapa kali membetulkan kedudukan si adik yang begitu teruja kelihatannya sebelum solat dimulakan.

Saya sebenarnya sedikit terganggu apabila si adik kerap bergerak semasa solat dilakukan. Inilah cabarannya apabila kita bersolat di sebelah anak-anak kecil. Saya biarkan saja. Biarkan saja kelakuan itu, mereka masih kecil dan mudah-mudahan ini merupakan latihan pertama bagi mereka untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Saya hanya mencuba untuk khusyuk di dalam solat. Rugi juga rasanya kalau melayan perkara yang bukan-bukan pada solat yang hanya didirikan setahun sekali sahaja.

Khutbah

Usai solat Tok Guru mula menyampaikan khutbahnya.

Didalam khutbahnya, Tok Guru mengalukan kedatangan 1 Syawal yang sekali lagi menyaksikan setiap Muslim gembira dan ceria menyambut kehadiran tetamu, dan saling berkunjung di antara satu sama lain untuk mengeratkan silaturrahim. Ianya satu amalan mulia yang wajar diteruskan. Namun, dalam kegembiraan itu kita juga perlu menghayati nilai dan pengertian takbir raya yang dilafazkan sepanjang hari raya ini.

Beliau juga mengajak para jemaah untuk meneruskan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, kerana sesungguhnya matlamat berpuasa pada Ramadhan lalu adalah untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa kepada Allah. Dengan harapan semoga kita semua beroleh kekuatan untuk terus melakukan amalan-amalan terpuji, sebagaimana yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan tempohari. Selain itu, berterusan menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan yang keji. InsyaAllah!

Harapan menggunung juga semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang dibebaskan dari api neraka sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.. Pembebasan dari api nerakalah yang merupakan kejayaan yang paling hakiki!

Beliau juga mengingatkan kepada semua jemaah untuk menabur bakti dan sumbangan sebanyak mungkin serta sanggup berkorban untuk Islam tercinta, sebelum dipanggil untuk menghadap Allah s.w.t.. Sesungguhnya perkara yang paling berharga saat kita di hadapan Allah s.w.t. kelak ialah amalan kebajikan serta jihad Fisabilillah yang telah dilakukan di dunia ini.

Saya kira khutbah Tok Guru lebih kurang 20 minit. Usai saja doa diaminkan, setiap jemaah saling bersalaman. Rupa-rupanya anak kecil di sebelah saya adalah anak sepupu saya sendiri.

Bagus sungguh sepupu saya mendidik anak-anaknya berawalan ke masjid pada pagi 1 Syawal.

Sangat baik sebenarnya mendidik anak-anak kecil ke masjid seawal usia, tapi saya sendiri tiada kekuatan itu untuk mengajak anak-anak kecil ke masjid untuk satu program yang besar, dengan niat takut mengganggu jemaah lain. Kita sama-sama fikirkan mana yang terbaik!

Rumah Terbuka

Tok Guru lantas menjemput semua jemaah menjamu selera di rumah terbukanya. Jemaah menghormati jemputan beliau lalu tidak kira tua muda, muslimin dan muslimat, mereka beramai-ramai menjamu laksa sebagai hidangan pertama di meja bufet.

Saya mengambil tempat di sebelah muslimat untuk sama-sama memberi hamper kepada anak-anak kecil yang berduyun-duyun ramainya. Suasanya sungguh kelam-kabut, walaupun sudah berulang kali saya berpesan supaya beratur sebaiknya. Mereka sangat teruja barangkali, yang akhirnya satu pasu bunga besar bonda saya terbalik…!

“Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah”

(Riwayat Abu Dawood)


6.29pm

2 Responses

  1. Salam Aidilfitri:

    Alhamdullillah akhirnya saya sampai juga ber Hari Raya di Negeri Kelantan pada hari raya yang ketiga.
    Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri ke rumah Akak Seri. Mungkin kesuntukkan waktu saya dan sekeluarga tidak dapat hadir.
    Tetapi saya juga sempat melawat sanak saudara di sekitar Kota Baharu. Oleh kerana kesesakkan lalulintas di Kota Baharu amat sesak, kami sekeluarga hanya dapat melawat dua tiga rumah sahaja.
    Niat di hati memang ingin sangat melawat TGNA dan Akak seri, tetapi mungkin bukan rezeki tahun ini.
    Insyaallah kita bertemu di lain kali.
    Salam Aidilfitri el Mubarak….Maaf Zahir dan Batin.

  2. Salam ‘Aidilfitri,

    Alhamdulillah kerana dapat juga merasa suasana raya di Kelantan walaupun dalam kesesakan lalulintas yang teruk saban tahun.
    Akak sendiri pun ‘trauma’ nak pergi beraya, lebih-lebih lagi kalau bersama anak kecil. Nak balik rumah mertua yang makan masa tak sampai 1 jam pun boleh jadi 2 jam lebih kalau silap merancang masa perjalanan.
    Apapun inilah masanya untuk kita berziarah, bertemu mata setelah sekian lama tak berjumpa dan bertanya khabar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: