• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    October 2010
    S M T W T F S
    « Sep   Nov »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Hadiah Ulangtahun Perkahwinan (II)

Salam Ukhuwah…

Sedang tidak mampu mengawal kegembiraan! 🙂

Tahniah KELANTAN!

SELAMAT BERCUTI…

sambung…

“Dah berapa hari rasa tak sedap badan macam ni?” Doktor Kamalia merangkap doktor peribadinya bertanya.

“Dah hampir seminggu. Tak selesa sangat,” Rania menerangkan situasinya.

“Mmmm…agak-agak mengandung lagi tak?” Sempat pula Doktor Kamalia bergurau. “Tapi kalau mengandung pun apa salahnya kan.”

“Ada pula macam tu.”

“Kita cek sekejap, kita buat ujian ultrasound scan nanti boleh tengok kalau-kalau ada sebarang petunjuk…manalah tahu ada tanda-tanda kehamilan.”

Hamil? Di usia 40 tahun? Rania mencongak-congak umurnya yang sememangnya masuk 40 tahun pada tahun ini. Janganlah hendaknya, rasanya dia sudah cukup tua untuk mendapat baby lagi. Lagipun sudah lama dia tidak melalui proses kelahiran. Si bongsunya pun sudah berusia lima tahun, sudah masuk sekolah pun. Sekarang ini dia sudah boleh goyang kaki, tidak lagi perlu  bersusah payah mengurus anak kecil yang kadangkala memang cerewet. Seronok apabila anak-anak kian membesar, melayang terus separuh daripada keletihan dalam kehidupan. Tetapi hari ini?

Dia melihat Doktor Kamalia meletakkan satu alat di atas perutnya yang berfungsi untuk mendapatkan gambaran dalaman di dalam sistem peranakannya. Denyutan jantung dikesan!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Usai solat Isya’, Firdaus termenung panjang memikirkan di mana gerangan isterinya kala ini.  Isterinya belum lagi muncul di rumah. Katanya terpaksa hantar kawan ke airport. Ada-ada je alasan! Jarang benar Rania balik malam-malam macam ni.

Firdaus tidak sedap badan. Sementelah dari tengahari tadi lagi tubuhnya terasa dingin dan adakalanya terasa hangat. Dia baring saja di atas sejadah, kepalanya sedikit pusing, terasa bagaikan seluruh perabot bilik berpusing mahu menghempapnya.

Perutnya pula mula memulas tidak tentu pasal. Dia gagahi bangun ke ruang dapur. Daging goreng kunyit kegemarannya yang disediakan si dara sulong langsung tidak membangkitkan. Salad mangga pula terasa pahit sekali. Air kopi yang jarang benar diambilnya harus pula menjadi teman kali ini. Aduh! Sakit apa pula yang menyerangnya saat ini…

Wajahnya sedikit pucat. Sudah acap benar dia keluar masuk ke bilik air memuntahkan isi perutnya yang sebenarnya sudah tidak punya apa-apa pun. Muntahnya sudah keterlaluan yang memungkinkan boleh berlakunya dehidrasi.

Tiba-tiba dia terasa pula mahu makan ayam Kenny Rogers. Sabar, mahu menunggu kepulangan isteri terlebih dahulu, mudah-mudahan dapatlah dia bermanja lebih. Wajahnya sedikit ceria mengenangkan isteri yang akan kembali sekejap saja lagi.

“Assalamualaikum!”

Kelihatan isterinya berjalan masuk ke dalam rumah. Alhamdulillah, selamat sampai juga akhirnya…Firdaus berjalan mendapatkan isterinya. Dia cuba menceriakan wajahnya, cuba tidak merisaukan isterinya. Dia mencium ubun isterinya. Damai terasa hati. Sahlah bahawa sesungguhnya damai hati suami apabila melihat si isteri berada di sisi. Betulkan?

“Waalaikumussalam…,” Firdaus menjawab salam, lantas menarik tangan mulus isterinya menuju ke ruang dapur untuk bersama menjamah hidangan malam. Dia menghulur pinggang kepada isterinya. Nasi dibubuh separuh penuh. Gulai lemak udang, daging goreng kunyit dan salad mangga serta sambal tomato bakar diletakkan bersama. Langsung kopi panas dituangkan juga untuk isterinya itu.

Sesekala memanjakan isteri apa salahnya kan…? Firdaus juga mula menjamah hidangan walaupun sebenarnya seleranya sudah hilang. Dia meneruskan jua suapannya perlahan-lahan  sambil matanya melihat betapa berseleranya isterinya menghadap hidangan pada malam ini. Akhirnya Firdaus membuka mulut, “berselera nampak…”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sebagaimana hari-hari yang lain, berpagi-pagi lagi Firdaus sudah keluar melangkah ke pejabat, meninggalkan isteri tersayang di rumah.

Office kita ada majlis hari ni,” seorang staf perempuan, Kirana memberitahu Firdaus. “Saya lupa bagitahu Encik Firdaus, bos buat jamuan kesyukuran untuk Jabatan kita, jangan lupa tengahari ni. Dia jemput sekali pasangan masing-masing,” perempuan itu senyum kecil dan terus berlalu.

Tenang seketika.

Firdaus mula memikirkan sesuatu. Kepalanya ditekan-tekan. Sudah beberapa minggu berlalu semenjak isterinya berdandan tempohari, sebenarnya dia masih belum membeli sebarang hadiahpun kepada isteri kesayangannya itu sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-15. Bukan dia tidak merancang untuk membeli, tetapi kebelakangan ini dia memang sibuk di pejabat.

 

“Dah banyak kali dia call handphone encik Firdaus tadi tapi tak dapat-dapat,” itulah jawapan daripada Maria, sahabat isterinya yang menjawab panggilan telefonnya dari pejabat, katanya sedang menemani isterinya di rumah yang kurang sihat.

Patutlah…habis bateri rupanya. Kesian Rania. Firdaus pejam mata seketika.

“Rania macamana sekarang?” Firdaus menyambung kata bertanya khabar.

“Muntah-muntah ni…,” suara Maria sedikit cemas tetapi masih terkawal nadanya. “InsyaAllah saya akan jaga dia dengan baik,” sambungnya.

“Terima kasih, pastikan dia ok, saya akan cuba balik secepat mungkin.” Firdaus akhiri perbualan.

“Rania dah lemah sangat ni,” selang setengah jam Maria menelefonnya kembali. “Kalau boleh dia minta Encik Firdaus balik. Dia mahu ke klinik, tapi mahu Encik Firdaus menemaninya. Dah lima kali dia muntah. Sekarang dia sedang berehat.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Selepas menunggu lebih kurang sepuluh minit, nama Rania dipanggil jururawat bertugas. Firdaus senyum kepada Doktor Kamalia, yang pada pandangannya seorang perempuan yang agak berisi tetapi cukup berwibawa perwatakannya. Dia menjemput Rania duduk di hadapannya.

Baby bawa masalah ke?” Doktor Kamalia mula mengambil BP Set untuk membuat ujian tekanan darah. Lengan Rania dibalut dengan cuff, telinganya sendiri pula disumbat stetoskop, lantas ditekan pam getah itu beberapa kali untuk mengembangkan cuff tersebut. “Ok, tekanan darah sedikit meningkat tetapi masih terkawal, perkara biasa kepada ibu-ibu mengandung yang mengalami alahan seperti sakit kepala, loya dan mual serta sering muntah,” dia menulis sesuatu pada kertas di hadapannya.

“Ia biasanya berlaku diawal kehamilan, insyaAllah sebulan dua lagi hilanglah. Paling penting jaga makan, jangan biarkan perut kosong. Boleh makan sikit-sikit tetapi kerap, ambil biskut atau roti pun dah ok,” nasihat Doktor Kamalia lagi.

Firdaus bingung. Kata-kata daripada doktor itu sungguh menyenakkan fikirannya. Baby? Mengandung? Alahan? Mulutnya kelu tidak mampu berkata-kata. Oh, barangkali muntah-muntahnya tempohari pun kira alahan juga lah ya…Namun ada suatu perasaan lain menguasai dirinya kini, dia memaut tangan isterinya, digenggam kejap, mahu saja rasanya dia memeluk isterinya disaat itu juga! Tenaganya terasa luar biasa saat ini, oh, ada nyawa baru didalam perut isterinya!

Syukur Ya Allah…Alhamdulillah, Engkau masih merezekikan zuriat untukku! Firdaus meraut wajahnya lantas tangannya kembali meraih jemari isterinya yang masih lemah itu. “Nia…” Firdaus gagahi untuk bersuara. “terima kasih Nia…terima kasih…Abang bersyukur sangat-sangat,” Firdaus memimpin isterinya keluar dari bilik rawatan.

Seketika mereka berdua saling menyepi. Masing-masing punya pemikiran tersendiri. Bagi Rania, ia adalah ujian untuknya, namun bagi Firdaus, ia adalah rezeki yang senantiasa di tunggu-tunggu kehadirannya.

Firdaus bangun apabila nama Rania dipanggil untuk mengambil ubat. Selesai mendengar penerangan jururawat bertugas, dia memimpin Rania ke kereta. Dia ceria sekali, bibirnya tidak putus mengucapkan syukur kepada Ilahi.

“Assalamualaikum, Nia macamana?” Maria menghubungi Firdaus, “saya dah belikan buah dan salad kat rumah tu. Saya tak boleh tunggu, ada hal nak kena uruskan. InsyaAllah petang nanti saya datang lagi.”

Firdaus memberitahu status semasa kesihatan isterinya. Kedengaran suaranya begitu ceria sekali.

“Ok, nanti saya akan call Rania bila dia dah ok nanti,” Maria memang sahabat yang sering mengambil berat perihal kawan-kawannya.

Rania sekadar membisu. Dia hanya menjadi pendengar kepada perbualan singkat itu. “Kirim salam kat Maria…cakap terima kasih kerana sedia membantu…,” suara Rania perlahan. “Bagitahu dia Nia dah tambah ok sekarang.”

“Hello Kirana…” Firdaus membuat panggilan. “Macam ni…isteri saya tak sihat, so saya tak dapat hadir jamuan kesyukuran tengahari ni. Tapi insyaAllah esok saya jemput semua staf datang rumah saya ya. Saya pun ada nak buat jamuan kesyukuran juga. Satu lagi, hari ni kira saya cutilah. Tolong isikan borang cuti untuk saya ya.”

Firdaus meneruskan pemanduan. Mindanya kini hanya ada Rania, dan tentunya zuriat baru yang akan hadir dalam keluarga mereka. Dia berjanji akan memberi sepenuh perhatian kepada kesihatan isterinya itu. Firdaus faham bahawa tentunya ada risiko mengandung diusia begini. Namun sokongan daripadanya secara berterusan insyaAllah akan mengurangkan beban emosi yang ditanggung isterinya kelak.

Sebagai suami, dia akan berusaha untuk menyenangkan hati isterinya dalam apa jua keadaanpun. Biar isterinya itu rasa dihargai dan berbahagia hidup disisinya. Selagi terdaya dia akan cuba memberikan yang terbaik. Selagi mampu dan tidak melanggar syara’, insyaAllah dia akan cuba tunaikan setiap impian isterinya itu.

Alhamdulillah, syukur Ya Allah atas kurniaan yang sungguh tidak ternilai ini….

Dengan dada yang sungguh lapang, Firdaus berharap idea untuk mengadakan jamuan kesyukuran esok akan berjaya mengembirakan Rania. Itulah hadiah terbaik daripadanya sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-15!

Harap-harap isterinya ok!

TAMAT

12.21am

Advertisements

Menakluk Putrajaya

Salam Ukhuwah…

Apabila saya menulis tentang 20 Tahun Pemerintahan PAS Kelantan, saya menerima komen yang sebegini;

‘dah 50 tahun lebih Pas dan kuncu kuncunya tak dapat memerintah Malaysia. Apa cerita pulak tu?’

Maka, ini jawapan umum saya…

Terima kasih saya dahulukan atas kesudian saudara mengunjungi laman ini. Saya hargai lontaran idea yang dikemukakan, secara positifnya ini menunjukkan bahawa saudara masih peka terhadap masalah yang dihadapi oleh PAS.

InsyaAllah, sekali PAS melangkah untuk menggapai cita-cita menakluk Putrajaya, kami tidak akan buntu dalam berpolitik. Setiap masalah yang melanda akan diusahakan untuk ditemukan jalan penyelesaiannya, sehinggalah impian besar untuk memerintah Malaysia akan terlaksana apabila tiba masanya nanti.

Dalam situasi politik hari ini saya percaya bahawa kemenangan sedang menghampiri PAS.  Umno sedang nazak cedera parah dan sangat mengharapkan bantuan golongan anak-anak muda yang kelihatannya lebih cenderung memilih Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Hub Pusat Hiburan Malam

Apakah perancangan pentadbiran Perdana Menteri kita yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam juga merupakan agenda ‘menggula-gulakan’ anak-anak muda kita? Selain kononnya hub ‘bodoh’ ini bertujuan memacu industri pelancongan dan mewujudkan kira-kira 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020. Inilah hakikatnya perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan tiga hari yang lalu .

Mari kita renungkan perancangan pelaksanaan hub ini. Ia akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa. Ini adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Salah satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menyulitkan penghibur antarabangsa untuk beraksi di negara ini.

Lebih mengaibkan lagi apabila EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi, dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Lihatlah! Betapa langkah ini secara langsung akan menyuburkan lagi penubuhan kelab-kelab malam baru bertujuan menampung kehadiran lebih ramai ‘pemabuk’! Lebih-lebih lagi apabila beberapa peraturan baru bagi hiburan seumpama ini akan dilaksanakan, termasuklah membenarkan pelanjutan had waktu operasinya.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin pertama negara yang mengaku Muslim, perlu mengambil kira kepentingan hala tuju Islam, kesan daripada tindakan yang diambil, seterusnya maslahah jangka pendek dan jangka panjang. Sewajarnya difikirkan antara kebaikan dan keburukan sebelum melontarkan apa-apa idea kepada khalayak umum. Fahami sebenar-benarnya apakah keperluan rakyat umum.

Pendaftaran Pengundi Baru

Walau sejijik manapun perancangan kerajaan sekarang ini, kita masih bersyukur kerana sokongan anak-anak muda terhadap PR makin meningkat saban hari. Paling penting, PR perlu memastikan mereka mendaftar sebagai pengundi, kerana golongan muda ini sangat hebat semangat juangnya disamping mudah dalam memahami sebarang sebaran maklumat terkini. Jentera parti perlu bergerak hebat dalam memastikan kempen mendaftar pengundi baru mencapai sasaran yang ditargetkan.

Dalam pada itu, tentunya kita sudah maklum bahawa salah seorang Naib Presiden Umno telah mencadangkan masjid dijadikan pusat pendaftaran pengundi baru. Eh, Umno guna mazhab mana pula? Semua sudah maklum bahawa dalam akidah Umno, politik dan masjid mesti dipisahkan. Bila masa pula Umno berminat dengan masjid? Belum lagi beku isu mereka menggunakan Jabatan Agama di sebuah negeri untuk merosakkan suasana Ramadhan tempohari. Tambahan pula Pemuda Umno di negeri tersebut telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, yang menggambarkan bahawa ceramah dan tazkirah itu seolah-olah berkempen politik. Hakikatnya, semakin ramai jemaah di rumah Allah, semakin pupuslah Umno di bumi Malaysia ini.

Transparency International (TI)

Dalam masa yang sentiasa kehadapan ini, PAS akan bersedia pada kedudukan untuk mengukuhkan parti dan meneruskan agenda perjuangan yang satu, yakni bermatlamat menjatuhkan musuh, siapa lagi kalau bukan Umno? Ini adalah alasan terbaik untuk menyelamatkan Negara dari berterusan tenat dengan pelbagai masalah, terutamanya soal rasuah yang berleluasa, dimana baru dua hari lepas Transparency International (TI) telah melaporkan bahawa Malaysia masih kekal di tangga ke 56 pada Indeks Persepsi Rasuah sebagaimana tahun sebelumnya, tetapi mata yang dikutip terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4 daripada markah maksimum 10 mata, tersasar jauh dari sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sepatutnya 4.5 kepada 4.9.

Ini jelas menggambarkan bahawa kerajaan telah gagal dalam menangani rasuah, secara langsung usaha untuk menjadikan Negara ini sebagai Negara berpendapatan tinggi akan turut gagal memandangkan wujud perkaitan antara rasuah dengan pendapatan per kapita. Tentu sekali rakyat melihat bahawa kerajaan sangat tidak konsisten dalam menangani soal berkaitan rasuah ini.

‘Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok’

Bagaimana pula dengan masalah sosial yang makin menyerang generasi muda hari ini? Mampukah Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang bertemakan ‘Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok’ mencapai sasarannya? Atau hanya sekadar projek khas yang dilaksanakan oleh Wanita Pertama? Negara kita untuk mendapatkan ‘lesen’ bagi melakukan pembaziran secara berleluasa? Sungguhlah dia tidak sensitif terhadap kesengsaraan kehidupan sesetengah rakyat Negara ini, sentiasa berpanjangan dibelenggu masalah ekonomi setempat yang berterusan membebankan, apabila kos sara hidup makin tinggi dan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Mari kita renungkan seketika, 50 tahun Umno memerintah Negara, apa jadi dengan Islam di bumi Malaysia ini? Jadinya, Umno yang mengaku memperjuangkan Islam itu telah secara terang-terangan menolak Undang-undang Islam, apatah lagi bercita-cita besar untuk menubuhkan Negara Islam? Kita tidak hairan jika DAP menolak Hudud atau apa saja tentang kebangkitan Islam, tetapi tersangat musykil apabila Umno yang tanpa segan silu melaungkan merekalah pembela Islam, tetapi tiba-tiba tanpa malu tanpa segan juga menolak Hudud dan segala perkaitannya, apakah maknanya ini? Umno seumpama manusia Munafiq. Islam pada zahir, tetapi iktikadnya? Kepercayaannya? Amalannya?

Sememangnya PAS telah lama berjuang di Malaysia dan telah lali dengan segala macam masalah dan isu yang melanda politik Negara sejak sekian lama. Dalam politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS, sedaya upaya kita mahu menjaga persepsi dan pandangan masyarakat dalam mengambil sesuatu tindakan politik, walaupun sebenarnya kita mampu untuk melakukannya.

Berdakwah sememangnya tugas PAS. Sememangnya PAS telah lama berdakwah sejak lebih 50 tahun lalu. Maka lihatlah sendiri dengan mata akal dan mata hati, antara PAS dan Umno, parti manakah yang ikhlas dengan perjuangan masing-masing? Saya sangat mengharapkan saudara boleh berlaku jujur pada Islam.

1.01am

 

Hadiah Ulangtahun Perkahwinan

Salam Ukhuwah…

Jom santai membaca cerpen hasil nukilan saya…

Namanya cantik, Rania. Seorang surirumah sepenuh masa. Manis orangnya, berlemah lembut pula peribadinya. Sudah 15 tahun mendirikan rumahtangga, namun katanya tetap masih lagi ingin mengenali hati budi suami tersayang.

Firdaus suaminya, pasti menerima khidmat terbaik daripada si isteri tercinta sebelum melangkah keluar ke jalanan, berkemeja segak dipadankan dengan tali leher yang sepadan iramanya, tentu saja menambahkan lagi aura si suami. Menambahkan lagi rasa kasih sayang didalam rumahtangga, dia tidak pernah lupa untuk menjamah hidangan pagi hasil air tangan terbaik daripada isterinya kala berkesempatan. Jika bukan hidangan berat, sekadar roti bakar pun sudah cukup sedap baginya untuk mengalas perut sebelum berpergian.

Mungkin kerana Rania seorang surirumah, maka dia berkeluangan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepadanya. Dulupun isterinya bekerja, malah perkenalan pertama mereka juga adalah kerana urusan kerja. Tetapi selepas 15 tahun bergelar wanita berkerjaya, dia yang menyarankan agar isterinya menjadi surirumah sepenuh masa. Lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak kian membesar, terasa benar olehnya bahawa ibu sangat berhak mendidik zuriat-zuriatnya sendiri.

Kalau dulu, seawal jam enam petang barulah isterinya boleh menjamah mata anak-anak setelah seharian di luar sana, tetapi kini tidak lagi. Jam enam petang sudah menjadi rutin untuknya melayan karenah anak-anak bermain di laman rumah.

Namun, hari minggu kali ini ada sesuatu yang berbeza. Berpagi-pagi lagi Rania sudah mengemas rumah sebaiknya. Bukan sahaja rumah, tetapi dirinya juga sudah berdandan hebat. Jubah kaftan sutera cifon berwarna ungu lembut menjadi pilihannya, rambutnya yang panjang mengurai dilepas bebas. Santai saja dia duduk di sofa di tengah rumah, sedang menonton rancangan kegemarannya, Deko Bersama Eric. Nama Eric Leong sudah sebati di bibirnya, namun tidaklah menjadi bahan cemburu kepada suaminya. Katanya, bila la Eric ni nak ada rambut? Sedap sikit mata nak memandang…Kalau sudah begitu lafaznya, maka si suami yang berambut lebat itu masih bertakhta di hatinya sampai bila-bila. Jangan harap la Eric tu nak tumbuh rambut! Itu la kot doa si suami…!

Firdaus menghampiri isterinya. Dari belakang dia memerhati gelagat isteri tersayang, dia belum lagi mandi pagi, isterinya sudah bersiap-siap lain macam! Dia lupa sesuatu rancangan? Tak mungkin…! Isterinya mahu ke mana-mana?

“Tak mandi lagi…?” sapa isterinya.

“Tak…” selamba saja Firdaus menjawab. Dia leka memerhati isterinya nan satu. Sesekala matanya menatap pada kaca tv.

Rania bangun, kaftan labuhnya beralun lembut, gemalai menghampiri suaminya.

“Busuk…eeeiii…”

Firdaus mencium diri sendiri, memang bau yang kurang menyenangkan. Sekejap lagi mandilah! Tapi apa hal dengan isterinya? Tidak pula lidahnya mahu bertanya. Isterinya ada agenda istimewa? Rania datang dekat lagi, lantas menarik manja lengan sasanya. Lembut tangan si isteri, terasa damai di hati suami. Firdaus mengikut saja rentak isterinya, melangkah santai, sambil sesekali ada jelingan manja dan menggoda daripada isteri tersayang. Sangat hairan! Tetapi sesekali ada adegan suspen begini sangat membangkitkan!

Rania senyum mengada-ngada, kelihatan menyembunyikan sesuatu daripadanya. Jarang isterinya bersolek ala-ala artis, tetapi hari ini sangat mengujakan. Hidung dilukis mancung bak seludang, bibir berkilauan menggoda dengan lipgloss penyeri membentuk kesempurnaan kemanjaan seorang isteri, senang bicara katakan saja, bibir yang bak delima merekah! Belum cukup lagi isterinya berdandan penuh, sapuan nipis pemerah pipi nuansa merah jambu sangat sesuai untuk kulitnya yang cerah, tampak lebih alami pada pipi pauh dilayangnya itu.

Bau perfume yang segar menambahkan lagi keyakinannya untuk menggoda si suami.  Memang tergoda sungguh Firdaus melihatkan kecantikan isteri yang lebih daripada hari-hari biasa. Tidak jemu mata si suami memandangnya.

Firdaus menanti-nanti apa kata isterinya. Dia pula mengambil tempat di sofa berhampiran balkoni rumah, menghadap si jantung hatinya. Membelai tangan mulus si isteri, lantas mencium lembut jemari perempuan yang sudah 15 tahun setia berada di sisinya.

Perasaan ingin tahu terus membuak di fikirannya. Sihat ke isteri aku ni…?

Dia menarik nafas, cuba meneutralkan otaknya bagi membolehkan sel-sel neuron menghantar dan mengumpul maklumat untuk membolehkan dia berada dalam keadaan penuh sedar, lantas boleh berfikir dengan baik, seterusnya memahami kondisi isterinya kini, seterusnya dia mahu membina  komunikasi yang berkesan selepas ini.

Oh! Rupanya…

“Nia…” Firdaus mula menyusun ayat. “Ok, tengahari ni…” Mata Rania bersinar-sinar.

“Tengahari ni apa bang? Lambat la abang ni…cakap cepat sikit boleh?”

Firdaus senyum. “Sabar la…” Dia bertukar tempat duduk ke sebelah isterinya. Tarik nafas lagi untuk mendapatkan oksigen secukupnya. Lantas dihembus perlahan-lahan. Matanya menusuk pandangan isterinya. Sungguh cantik Rania dalam kaftan barunya itu. Melayang lagi duitnya bulan ini! Tahu sangat dia kalau dah bersutera bagai mahu nyaris-nyaris boleh hapus RM500 dari akaun banknya. Tapi cantikkan, mampu sangat mencairkan hati suami. Tak pelah, bukannya dia selalu berbelanja bagai nak rak.

Apa sebenarnya permintaan khas daripada isterinya hari ini, hadiah yang canggih-canggih? Kepada seorang isteri pastinya hari ini hari yang amat besar ertinya. Ulangtahun perkahwinan ke 15!

“Tengahari ni…” Rania tidak sabar-sabar merenungnya. Menggenggam erat jemarinya. Semakin lama semakin mencengkam. Bagaikan tidak akan melepaskan dirinya sampai bila-bila pun. “…kita keluar nak?” Firdaus memaut lembut tangan isterinya, menjadikan tangan mereka bersatu. “Kita lunch kat kedai mamak,” pandangan Rania lemah, mulutnya muncung. Seronok juga sesekala tengok bini merajuk!

“Bosan!” Rania terus bangun.

Sudah…

“Kalau setakat nak pergi kedai mamak baik la saya masak sendiri,” Rania meluru ke dapur. “Handsome sangat ke mamak tu?”

Handsome abang lagi…,” Firdaus bersuara lembut, mulutnya tersenyum kambing. Geli hatinya melihat orang tua merajuk. “Abang bukannya nak tengok mamak tu, abang nak makanlah. Nak makan nasi daun pisang ala india…,”

“Apa yang best sangat dengan daun pisang tu?” sempat lagi Rania bertanya. “Bukannya kita makan pun daun pisang tu!”

Firdaus tergelak kecil, Rania merenungnya tajam. Dia buat-buat sibuk membuka peti ais, membawa keluar segala lauk-pauk dan sayur-sayuran. Berjalan laju-laju ke arah sinki, meletak semua lauk-pauk ke dalam besen rendaman. Ada ikan, ayam, daging, sotong, udang, segala mak nenek dia nak masak? Rania merenungnya semula dalam jarak beberapa langkah sahaja darinya dengan mata yang membulat. Solekan mata smokeynya yang tadi nampak sesuai untuk menyerlahkan keseksian jelingan lagi menggoda dan sungguh galak, kini bertukar bagaikan pandangan perempuan yang bertenggek di poster filem Hisss!

“Nia…” Firdaus mengambil langkah mendekat. Perlahan dia memaut tangan isterinya, dan memberi ciuman ringkas di ubunnya. Jemari lembut itu dibelai lagi. “Ok, serius! Nia nak makan kat mana?”

“Renai!”

“Erm…boleh tahan. Siapa nak belanja?” Firdaus menguji lagi. “Anak-anak bawak sekali? Diaorang pun dah banyak kali minta nak makan kat hotel,” Firdaus ringan tulang menyimpan semula semua barangan yang diangkut isterinya tadi ke peti ais. “Dila pun asyik claim hadiah, kan dia dapat top 5 hari tu. Abang ada janji dengan dia nak bawa dia makan kat hotel.”

Sepi.

“Ok, ok, …anak-anak kita bawa lain kali. Esok masih ada…”

Huh, faham pun! Rania meredupkan pandangan kearah suaminya yang sudahpun menutup peti ais. “So, pukul berapa kita nak pergi? Pukul 11 boleh?” Rania pandang wajah suaminya yang sudah kelihatan uban putih menghiasi awalan rambutnya. Masih boleh dibilang helaian putihnya.

“Ok.” Firdaus senyum.

Handsome abang…,” Rania tersenyum manis membalas senyum suaminya, “tapi lagi handsome kalau hari ni abang pakai baju yang Nia dah gosok siap-siap dalam bilik tu. Hadiah daripada Nia tau…!”

“Nia dah beli hadiah untuk abang?” Firdaus sedikit terkejut.

Wajahnya kelihatan sugul.

Rania serba salah. Salah ke dia beli baju tu? Bukannya dia minta belanja lebih pun bulan ni untuk beli kemeja BritishIndia tu. Lagipun, suaminya belum lagi tengok baju tu, apatah lagi tahu brandnya. Alah, sehelai setahun pakai baju BritishIndia takkanlah boleh muflis kot. Dari bulan lepas dia plan beli baju tu, tentunya dia dah bajet elok-elok.

“Ya bang, Nia beli kemeja untuk abang,” Rania bersuara perlahan, “tapi kalau abang tak suka Nia takkan paksa abang pakai.” Sedih!

Firdaus diam lagi, tetapi wajahnya kelihatan senyum sumbing memandang isterinya yang sedikit muram. “Abang ingat nak minta Mazda CX-9!”

Bersambung…

10.56pm

20 TAHUN PEMERINTAHAN PAS KELANTAN

Salam Ukhuwah…

Samada anda seorang yang peka mahupun sebaliknya, usia kerajaan PAS Kelantan kini sudah mencapai 20 tahun! Ia merupakan kelansungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlangsung sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 pada 21 Oktober 1990.

Menjelang 20 Oktober 2010, genaplah usia 20 tahun pentadbiran Negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulama’ berteraskan keazaman Membangun Bersama Islam, yang membawa maksud bahawa setiap tindakan yang diambil adalah dengan penuh teliti pelaksanaannya dalam semua aspek, yang turut mengambil kira soal halal haram, syurga neraka dan dosa pahala!

Sepanjang 20 tahun menerajui pentadbiran negeri, telah tersurat bahawa Negeri Kelantan mempunyai identiti yang tersendiri, sementelah telah banyak menerajui dan memimpin perubahan serta mendahului di dalam pelbagai aspek pembangunan. Ia merupakan suatu nilai kejayaan kepimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Menteri Besar.

Dengan semangat Islam yang padu, kerajaan PAS Kelantan tetap bertahan biar pun terpaksa meniti perjalanan yang penuh onak duri selama tempoh tersebut. Pentadbiran PAS Kelantan tidak pernah berganjak dengan pendirian yang melibatkan aqidah Islam, walaupun terus menerima kritikan mahupun kecaman, terutama daripada Kerajaan Pusat.

Pentadbiran Negeri Kelantan mendidik rakyatnya dengan mengambil pendekatan menyebarkan ilmu Islam pada setiap ketika dengan cara belajar, mengajar dan memerhati, supaya rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan penuh sedar untuk mengingati Allah s.w.t. pada setiap keadaan sepanjang kehidupan, bukan sekadar menerima Islam secara tradisi, yakni turun-temurun.

Lebih besar maknanya apabila selama puluhan tahun inilah Umno telah gagal dalam misinya merampas Serambi Mekah. Sudah acap benar Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan bertukar ganti dalam tempoh tersebut, namun amat malang sekali apabila setiap seorang di kalangan mereka terpaksa mengalami kegagalan, malah kekecewaan yang menggunung untuk merampas kuasa Islam di bumi berkat ini. Mereka gagal mencipta sebarang kejayaan walaupun pelbagai tohmahan pedih menusuk jantung pemerintahan PAS Kelantan selama ini.

ALLAHUAKBAR!

12.12am

 

Bermakna

Salam Ukhuwah…

Hujung minggu kali ini sungguh bermakna buat saya.

Kembali berpergian ke Kuala Lumpur (KL) untuk bersama meraikan majlis pertunangan anak saudara perempuan sulong saya, merangkap cucu perempuan sulong ayahanda pada hari semalam (8 Zulkaedah 1431).

Anak saudara memilih persalinan biru lembut berfesyen mini kurung, bertudung ala-ala Ariani, sungguh cantik bergaya di hadapan kamera.

Alhamdulillah, segalanya telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna pada tenghari semalam, dalam keadaan cukup sederhana dan serba ringkas, hanya disediakan tempat duduk untuk adegan sarung cincin sahaja. Suasana agak meriah dengan kehadiran sebilangan adik-beradik yang lain, berbaloi untuk keluarga kekanda sulong saya.

Tidak banyak saya menyumbang untuk majlis ini kerana kejauhan, tetapi saya kira majlis sudah berjaya kerana anak saudara itu sendiri sungguh kreatif orangnya. Saya sendiri merasa kagum dengan kebolehannya menguruskan majlis sendiri, hampir 60% keperluan dalam majlis tersebut diuruskan dengan kudratnya. Namun tidak hairan kerana bakatnya itu memang menurun daripada bondanya yang sentiasa kreatif dalam membuat kerja-kerja tangan yang berseni.

Nampaknya minat kami sama. Bezanya dia tahu membuat kerja-kerja tangan yang berseni, saya pula sekadar mampu mengeluarkan idea-idea yang hebat. Apapun, saya sangat senang dengan kebolehan yang satu ini, sungguh tidak sabar untuk menunggu majlis akad nikahnya nanti, tetapi tarikhnya masih lagi samar. Saya hanya mampu berdoa semoga tempoh pertunangan ini tidak akan mengambil masa yang lama, agar tenanglah hati kekanda saya dan abang ipar untuk melihat anak dara sulongnya itu ada peneman hidup untuk menemani seluruh kehidupannya pada tempoh masa akan datang. InsyaAllah…

Saya hanya menghadiahkan sepasang persalinan sutera crepe yang dibeli online, itupun berkongsi dengan adinda dan seorang kakak ipar…tak mampu la tu…!

Pada sebelah petang, kekanda menjemput rakan taulannya untuk meraikan majlis kesyukuran pula. Katanya, Syawal tempohari tidak berpeluang untuk mengadakan rumah terbuka, maka dikesempatan majlis anakanda tersebut, dia turut mengambil peluang untuk menjemput ramai sahabat bertandang ke rumah. Seronok juga sesekala saya melihat orang KL bersosial, janji dimana saja kita berada konsep ‘kejiranan’ yang bagus harus dititikberatkan!

Cerpen

Dua bulan lagi cukuplah setahun blog ini, saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk disumbangkan dalam bentuk penulisan. Saya mahu menghasilkan artikel yang lebih berinformasi untuk dikongsikan bersama, insyaAllah dengan kekerapan yang lebih baik. Aktiviti menulis sangat baik untuk minda saya selain membaca.

Sebelum menyediakan artikel ini, sebenarnya saya telah menulis sebuah cerpen untuk hidangan tetamu di sini. Ini juga minat saya. Kisah suami isteri. Saya bukanlah kreatif, tetapi rasa ingin berkongsi dengan cara yang berlainan sentiasa ada di fikiran. Tentunya cara penulisannya juga berbeza, yang penting adalah perkongsian yang baik, yang mana isu kekeluargaan sentiada ada di hati saya.

Saya sentiasa percaya bahawa kemahuan yang tinggi kepada sesuatu adalah pemangkin kepada semangat yang wujud dalam diri. Paling penting adalah ilmu dan pengetahuan, insyaAllah kita mampu melaksanakan apa jua impian yang kita mahukan.

Syukur

Sekadar ini saya ingin berkongsi buat seketika. Syukur kepada Allah yang memudahkan perjalanan petang semalam. Malam tadi saya tiba di rumah jam 12.30 pagi.

Saat inipun saya masih lagi mengantuk. Tapi masih belum berkesempatan untuk melelapkan mata kerana hati teringat kepada ‘rumah rehat’ ini yang seringkali diabaikan untuk urusan dunia yang lain.

Mungkin selesai saja artikel ini saya mahu berehat seketika. Mahu mengembalikan kesihatan tubuh untuk mendapatkan minda yang sihat. InsyaAllah…

Jika kelapangan petang ini pula saya mahu berkebun. Sebelum ke KL tempohari saya telah membeli tiga pokok Ros, tiga pokok Daisy dan satu Adenium. Terpaksa juga melabur untuk membeli tanah, baja dan racun.

Akhirnya, terima kasih kepada sahabat yang memberi hadiah untuk hari lahir saya yang ke 33. Hanya dua hadiah sahaja, tetapi isinya sangat mengujakan! Aroma set Moroccan Rose yang menggoda, bau set Iris yang menghangatkan, dan isi ‘sampul’ pemberian suami yang mengujakan!

Rezeki di hari tua…

12.20pm

Kemaskini…

Salam Ukhuwah…

Sepatutnya hari ini saya ke Kuala Lumpur (KL), untuk berangkat ke Johor pada esok hari bagi menyertai rombongan perkahwinan anak saudara sebelah suami. Nampaknya terpaksa saya batalkan kerana masalah tertentu, dan hanya suami yang mewakilkan keluarga kami ke sana.

Sedikit masa terluang menjadi milik saya, maka peluang digunakan untuk ‘mengemas rumah’ ini yang hampir dua minggu tidak dikemaskini.

Kalau boleh dikeluangan ini juga saya mahu menelaah buku, apa saja buku, asalkan ada pengetahuan baru yang dapat saya peroleh secara tidak langsung. Senang saja sebenarnya mahu mendapatkan buku, pergi saja ke rumah ayahbonda, tentunya ada saja buku-buku baru yang boleh diteroka. Pokoknya, mahu atau tidak…? Kalau ada kemahuan, separuh buku mampu dihabiskan kira sudah bagus kepada saya, kalau sebaliknya, selepas dua tiga helai…aktiviti seterusnya hanya belek-belek sahaja sehingga ke penghujungnya.

Nasib baiknya, saya masih ada minat untuk membaca. Ada sahabat sarankan saya baca buku Sinergi, karangan Hilal Asyraf. Sahabat saya kata best! Terpanggil juga untuk saya membacanya.

Kata sahabat itu lagi, dia komplen blog saya yang katanya kosong saja…maksud tersiratnya, mana gambar? Sukar untuk saya bagi jawapan yang telus. Sebenarnya saya takut kalau-kalau gambar-gambar yang dilampirkan nanti disalahgunakan, lebih-lebih lagi gambar yang melibatkan ahli keluarga. Jawapan saya, sabarlah dulu…kalau direzekikan adalah nanti.

Tamat

Nampaknya tamat sudah masyarakat kita meraikan Syawal!

Kebetulan saya ke KL hujung minggu yang lalu bagi meraikan majlis Konvokesyen adinda, sempat juga beraya di rumah rakan taulan di sana.

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri majlis konvokesyen adinda di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Bersama saya dua orang anakanda, yang sulong dan yang kedua, serta seorang anak saudara yang sememangnya tinggal di Kuala Lumpur. Setiap seorang saya sediakan hadiah untuk diberikan kepada emak saudara bongsu mereka. Pastinya hadiah tersebut bertemakan coklat! Kerana adinda saya itu sangat sukakan coklat, saya juga!

Malamnya mahu saja menyuruh adinda saya belanja kami makan, tapi nampaknya tidak kesampaian kerana dia sudah punya program lain. Suami mengajak saya ke Al-Rawsha, di Jalan Damai/ Ampang – rasa-rasanya peminat menu arab sangatlah maklum lokasinya – apalagi…berbunga-bungalah hati saya mahu menjamah nasi arab yang sememangnya sangat menyelerakan itu. Walaupun ramai pengunjung ke sana sangat sukakan menu kambingnya, namun saya tetap memilih ayam.

Agak sudah lama saya ‘menolak’ menu yang berunsurkan daging, rasanya sudah 15 tahun cuba mengawal menu tersebut. Bukan langsung tidak makan daging, tetapi cukuplah sekadar dua tiga keping saja dalam satu hidangan.

Tetapi sepengetahuan saya, daging kambing bukanlah menu yang menjadi penyebab utama kepada penyakit berbahaya. Kononnya ada kajian yang telah berjaya membuktikan bahawa daging kambing mempunyai kandungan kolestrol, kalori dan lemak paling rendah berbanding sumber daging lain. Walaupun begitu maklumatnya, saya tetap menolak daging kambing kerana sudah terlekat di minda bahawa ‘daging’ itu tidak elok untuk menu seharian.

Ulser!

Namun, seminggu ini saya tidaklah ‘bahagia’ apabila bibir membengkak akibat dua biji ulser! Dua tompokan putih di bibir sebelah dalam sungguh memeritkan.

Bagi sahabat yang pernah terkena ulser ini tentunya tahu betapa sakitnya mulut ketika makan, minum, bercakap, gosok gigi, dan apa saja gerakan mulut. Boleh hilang selera makan!

Sebenarnya saya tergigit bibir ketika makan. Gelojoh?

Tetapi sebenarnya ulser juga boleh berlaku akibat kekurangan zat dalam makanan harian, kurang rehat serta kemungkinan juga kerana jangkitan bakteria di dalam mulut. Ulser ini boleh saja diatasi dengan amalan meminum air secukupnya.

Tahukah sahabat bahawa sebenarnya golongon wanita lebih berisiko menghidapi ulser ini, terutama ketika mengandung dan haid.

Namun usahlah risau kerana ulser ini biasanya akan pulih dengan sendiri. Kalaupun berulang ia tetaplah tidak serius dan juga bukan sejenis penyakit berjangkit kepada sesiapa di sekeliling kita. Tetapi jika ulser masih juga tidak sembuh, malah semakin bertambah tompokannya dari hari ke hari, maka segeralah berjumpa doktor kerana ini mungkin boleh mengakibatkan barah mulut. Tentunya pemeriksaan lanjut perlu dilakukan apabila ulser yang dialami bersaiz besar dari kebiasaan, lebih-lebih lagi apabila ia berdarah dan lambat sembuh.

Manfaat

Tetapi sesekala sakit mulut ada juga manfaatnya apabila secara tidak langsung kita kurang bercakap. Kurang bercakap, insyaAllah kuranglah bicara perihal perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Hakikatnya, saya memang suka bercakap. Sesekali perlu juga ‘diam’ untuk muhasabah diri. Suami pun pernah pesan supaya kurangkan bercakap! Susah, apabila sejak hingusan saya adalah kanak-kanak riang yang ‘banyak mulut’.

Tetapi sebenarnya setiap teguran itu tentu ada kebaikan. Pentingnya, lembutkan hati untuk menerima segala nasihat daripada orang lain. Jangan mudah marah, cuba tenangkan fikiran, terimalah teguran tersebut seadanya.

Hati terguris apabila ditegur? Itu biasalah, saya pun begitu. Rasa geram pun ada! Macam la dia tu baik sangat…,tapi jangan sehingga ‘tumbuh tanduk’! Rendahkan hati, mudah-mudahan Allah permudahkan kita untuk menerima hidayat daripadaNya.

Setiap teguran itu ada khasiatnya. Jika kita mengaku masih ada iman di hati, insyaAllah kita berasa lapang dengan sebarang teguran yang mendatang. Samada teguran itu senang didengar telinga mahupun sebaliknya, sedarlah bahawa setiap teguran yang dilontarkan itu secara tidak langsung akan membawa peribadi kita kearah yang lebih baik. InsyaAllah!

Lebih sempurna kiranya mampu difikirkan bahawa setiap teguran yang diberi itu tandanya masih ada yang sudi menyayangi diri kita. Tentunya benar begitu! Jika dia tidak sayang, kenapa sibuk-sibuk mahu membantu kita membetulkan kesilapan? Sepatutnya kita berterima kasih kepada sesiapa saja yang memberi teguran.

Kemahiran

Pentingnya, kemahiran dalam memberi teguran!

Adakalanya kita telah melakukan kesilapan dalam memberi teguran kepada sesiapa saja, lantas ada yang menjeruk rasa. Kalau hati sudah terasa, hubungan baik selama inipun boleh bertukar menjadi dingin dan kaku. Mungkin tiada lagi tegur sapa dan gurau mesra. Hilang sudah tujuan membuat kebaikan, sebaliknya membuahkan kerosakan dalam perhubungan.

Maka cuba elakkan situasi yang sebegini. Selalu saja kita diingatkan bahawa apabila ingin menegur, tegurlah secara berhikmah! Hikmah itu maksudnya bijaksana. Bijaksana yang bagaimana? Kita harus berusaha memahami kaedah terbaik dalam memberi sebarang teguran agar orang yang menerima teguran itu dapat menerima nasihat tersebut dengan lapang hati, seterusnya bermotivasi untuk melakukan perubahan kearah yang lebih positif.

Dalam kita mendidik seseorang juga, motivasi sangat memainkan peranan penting. Saya sendiri lebih berminat jika setiap teguran yang diberikan itu berbentuk motivasi. Motivasi mampu menjadi penggerak kepada seseorang untuk membuat pencapaian yang lebih baik dalam kehidupan mereka pada masa hadapan. Seseorang yang bermotivasi tinggi akan mempunyai kekuatan tersendiri untuk mencapai kecemerlangan pada setiap masa.

Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor. Adakalanya manusia bertindak berdasarkan perasaan dan nalurinya sendiri dan ada juga yang dipengaruhi oleh persekitaran semasa. Walau dengan apa cara faktor sekalipun manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat, tentunya mereka akan mencari jalan yang paling mudah untuk mancapai matlamat tersebut. Dorongan kepada manusia untuk bertindak inilah yang dinamakan motivasi!

Pastinya sebelum membuat sebarang teguran, kenali terlebih dahulu peribadi orang yang mahu kita nasihati itu. Tutur kata yang baik dan bersopan dalam membuat teguran juga mampu membuatkan seseorang itu selesa dalam menerima sebarang pendapat yang dihadirkan kepadanya.

Suasana dan emosi yang baik kepada kedua-dua belah pihak juga memainkan peranan yang besar. Jangan pula menambah beban kepada emosi yang sedang marah, pilu, kepenatan, dan apa saja yang seumpamanya. Pilihlah waktu yang paling santai antara kedua-duanya.

Juga tidak digalakkan kita menegur kesilapan seseorang di hadapan khalayak. Aib seseorang harus kita pelihara bersama, dengan harapan semoga aib diri sendiri juga tidak terbuka luas kepada orang lain.

12.38pm