• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    November 2010
    S M T W T F S
    « Oct   Dec »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    282930  

Cuti

Salam Ukhuwah…

Cuti panjang untuk anak-anak datang lagi!

Seolah sudah menjadi kemestian untuk anak-anak saya memenuhkan cuti mereka dengan hadir ke kelas melukis dan mewarna. Belum lagi cuti bermula, mereka sendiri sudah merancang untuk ke kelas tersebut. Seperti biasa saya akan bersetuju saja sementelah mahu masa luang mereka terisi dengan baik.

Saya lihat mereka cukup bersemangat untuk menghadirkan diri ke kelas tersebut. Saya memutuskan untuk menghantar mereka empat kali dalam seminggu ke kelas tersebut, satu jam bagi setiap sesi.

Persediaannya hanyalah membeli set pensil warna yang baru sahaja. Terpaksa beli kerana yang lama sudah tidak cukup setnya…selepas setahun digunapakai. Bukan mereka tidak pernah meminta untuk dibelikan set pensil warna yang baru sebelum ini, tetapi saya mengambil pendekatan berpada-pada – selagi boleh pakai, pakai. Biar mereka menghargai barangan yang sedia ada, biar mereka tahu untuk menjaga barangan peribadi seeloknya.

Apabila saya membelikan mereka sesuatu, pastikan ia berbaloi untuk digunakan dalam tempoh waktu yang lama.

Tanpa sebarang aktiviti yang menyeronokkan, saya yakin anak-anak akan keboringan berada di rumah. Saya sendiri tidak suka jika anak-anak hanya menghabiskan waktu cuti mereka dengan bermain-main, menonton televisyen, balik kampung, dan lain-lain aktiviti yang kurang memberansangkan minda mereka.

Sebagai ibubapa kita perlu kreatif dalam mengisi masa lapang anak-anak. Dalam dunia serba canggih hari ini, anak-anak merupakan aset penting yang harus dipantau perkembangan kehidupan mereka. Terlalu banyak masalah sosial yang melingkar masyarakat kita hari ini, bukan sekadar apa yang ditonton di televisyen, tetapi sehinggalah kepada penggunaan gajet sekecil handphone sekalipun.

Pantau

Saya sendiri memantau penggunaan handphone anak-anak, tidak mahu dia menyalahgunakan perkhidmatan yang disediakan, dari perihal membuat panggilan, mesej, bergambar, mms, dan sehinggalah kepada game yang mereka layari.

Sebenarnya masih terlalu banyak perkara yang perlu dipantau, tetapi dalam sedikit keadaan kita jangan terlalu mengongkong kebebasan anak-anak. Kita harus memberi sedikit kepercayaan kepada mereka, mudah-mudahan pemantauan dan kebebasan yang kita berikan adalah seimbang untuk masa depan mereka.

Saya kira ibubapa jangan terlalu memanjakan anak-anak. Cukup dengan memberi keselesaan sekadar kemampuan yang ada. Contohnya, jika penggunaan handphone itu satu keperluan, kita boleh akur dengan permintaannya, tetapi tentukanlah bajet yang sewajarnya bukan mengikut nafsu yang meraja.

Sejak beberapa bulan ini pula anak lelaki sulong saya mula pandai merengek minta dibelikan PSP. Namun saya masih lagi tidak mengendahkan rengekannya. Rasanya cukuplah dulu saya belikan dia GameBoy setahun yang lalu. Saya ‘susahkan’ dia dengan ‘janji manis’, terlebih dahulu perlu menjadi Top 5 di dalam kelas. Sekarang ini dia berada ditempat keenam. Saya tidak mahu ‘memudahkan’ perkara yang tidak penting, biar mereka tahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.

Saya kira itu bukanlah sejenis penderaan kepada mental anak-anak. Bukan sengaja mahu menyusahkan keadaan, tetapi perlu mendahulukan apa yang sepatutnya, memberitahu yang mana lebih perlu diutamakan, memberi motivasi sebaiknya, memberi harapan seandainya ada kemajuan yang terlaksana, seterusnya cuba menunaikan setiap impian mereka dengan sempurna. Biasanya saya seorang ibu yang menepati janji.

Ransangan berupa hadiah juga adalah suatu yang baik kepada anak-anak. Tentukan matlamat yang sesuai dengan keupayaan, mudah-mudahan mereka sentiasa mahu berusaha menunjukkan kehebatan yang sebenar, kerana setiap anak itu ada potensinya yang semulajadi. Pentingnya, sokongan yang berterusan daripada ibubapa. Lebih penting, ibubapa perlulah menepati janji. Anak-anak tidak pernah lupa kepada janji, yang sering buat-buat lupa adalah kita!

Tuisyen

Dalam memenuhi luang cuti panjang juga saya sendiri kurang berminat untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen. Saya mahu anak-anak berada dalam keadaan santai melalui musim cuti persekolahan mereka. Walaupun ramai sahabat yang mempunyai anak seusia anakanda sulong saya mula risau tentang UPSR, saya sendiri tidak meletakkan peperiksaan sebagai target utama kepadanya dalam menghabiskan cuti persekolahan.

Mungkin juga setiap ibubapa perlu faham ciri anak masing-masing. Anakanda sulong saya nampaknya lebih berminat kepada aktiviti yang berorientasikan kemahiran. Maka saya cuba melorongkan minatnya itu semoga ia boleh berkembang dengan baik. Saya mahu mengambil pendekatan tidak mahu membebankan mereka dengan impian tinggi daripada ibubapa, tetapi ibubapa yang perlu memberi sokongan kepada minat anak-anak.

Tetapi semestinya setiap perkara yang diminati anak-anak itu perlu kepada pemantauan yang baik daripada ibubapa. Minatnya itu kita permudahkan, tetapi bersyarat, bahawa dia perlu belajar bersungguh-sungguh supaya antara minat dengan persekolahan perlu seimbang. Saya kira itu suatu bentuk sokongan yang boleh saya berikan kepada anak-anak sewaktu mereka membesar.

Mengaji al-Quran

Cuti yang panjang ini juga saya mengharapkan anak-anak dapat mengaji al-Quran dengan lebih banyak. Anakanda sulong saya baru sahaja masuk Juzu’ kedua (sungguh lambat!), anak kedua melangkah ke Muqaddam (lambat juga…!), si kembar di Iqra’ 3, dan si adik baru saja Iqra’ 1.  Nampaknya kakak, abang mahupun adik semuanya perlukan intensif. Saya perlu fikirkan suatu kaedah yang lebih baik nampaknya.

Sekarang ini si kakak sahaja yang mengaji al-Quran dua kali sehari – selepas Subuh dan Maghrib – si adik-adik yang lain hanya selepas Maghrib sahaja. Apabila tiba waktu mengaji saya terpaksa meladani pelbagai ragam anak-anak. Ada yang lancar bacaannya, ada yang tersangkut-sangkut, ada yang menangis apabila ditegur berulangkali, akhirnya ada pula yang ‘terkena upah’.

Saya tabik kepada semua guru yang mengajar al-Quran kerana ia bukan suatu lapangan yang mudah. Setiap guru al-Quran mempunyai peranan dan tugas yang amat berat, rumit serta mencabar. Kita akan menerima pelbagai ragam anak didik. Paling penting seorang guru al-Quran mestilah boleh berlembut dan sangat penyabar orangnya. Guru al-Quran juga perlu mempunyai kemahiran yang lengkap tentang ilmu al-Quran. Setiap guru al-Quran yang baik perlu memahami dan menghayati cara mengajar al-Quran dengan betul.

Anak-anak adalah penyeri kepada kehidupan kita semua. Jangan sesekali merungut kebosanan dalam melayan karenah mereka yang pelbagai. Letih itu adalah lumrah, ubatnya adalah kejayaan dalam mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna kepada Islam. Saya sendiri sentiasa mahu menjadi ibu yang lebih baik kepada anak-anak. Mahu meluangkan lebih masa dalam memahami kehidupan mereka, semoga baiklah perjalanan kehidupan mereka sehingga ke penghujung usia.

Jangan lupa sentiasa mendoakan yang baik-baik saja kepada anak-anak kita, jua tanamkan azam semoga kitalah ibu yang terbaik buat anak-anak yang diamanahkan oleh Allah di dunia ini.  InsyaAllah!

Saya juga sedang merancang satu percutian untuk kami sekeluarga. Saya cadangkan kepada suami untuk ke Pulau Langkawi  – mungkin seminggu dua lagi. Sebenarnya saya mendapat satu tawaran istimewa dari Celcom – pakej percutian ke Pulau Langkawi dengan kadar yang agak berpatutan – entah betul atau tidak, saya masih belum menghubungi nombor telefon yang diberikan. Lagi pula sekarang inikan musim tengkujuh…sesuai ke nak ke Pulau?

11.36pm

Advertisements

Kepulangan

Salam Ukhuwah…

Syukur Alhamdulillah, ayahbonda saya selamat kembali ke kampung halaman selepas mengerjakan ibadah Haji baru-baru ini. Saya telah mengambil peluang untuk menyambutnya di lapangan terbang pada petang semalam, bersama tiga orang anak kecil. Sebenarnya bukan seronok membawa anak kecil di tempat ramai, tetapi telah menjadi kebiasaan kepada ayahbonda untuk melihat cucu-cucu terlebih dahulu apabila lama berpergian, katanya boleh memberinya semangat lebih, apabila melihat anak-anak kecil tersenyum girang berlari-lari memeluknya erat.

Saya pula mencuri peluang sebegitu untuk memberi kenangan yang indah kepada anak-anak kala dapat bersama datuk nenek mereka, tentunya ia sebuah memori yang hebat untuk dikenang apabila mereka dewasa kelak. Saya kira generasi cucu kepada ayahbonda sangat bertuah kerana mereka memiliki Tokku dan Nenda yang sangat penyayang kepada anak-anak kecil. Baiknya mereka kepada cucu yang seramai 52 orang ini melimpah, dan sedang sabar menunggu kehadiran tiga orang lagi cucu yang akan hadir bila-bila masa saja nanti.

Kepulangan ayahbonda dengan tahap kesihatan begitu baik sangat melegakan kami semua yang menyambut kepulangannya. Senyumannya yang lebar jelas menggambarkan bahawa ayahbonda dalam keadaan sihat dan gembira sepanjang pemergiannya. Tiada apa yang kami harapkan, sekadar ayahbonda sentiasa bersenang hati di sana. Tiada apa yang kami ingin ucapkan, melainkan rasa syukur yang teramat. Hilanglah sudah kerinduan hati seorang anak selama ini.

Walaupun ritual Haji itu sangat memenatkan, namun ia memberi berjuta makna. Tersenyum dalam kepenatan kerana impian telahpun tertunai. Alhamdulillah, peluang dihujung usia digunapakai sebaiknya. Ada senyum kepuasan tergambar di bibirnya. Ahli rombongan yang lain juga kelihatan seronok semuanya. Setiap perjalanan itu ada kemanisannya. Mudah-mudahan setiap langkah kaki itu mampu mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Seingatan saya, ibadah Haji kali ini adalah yang ketiga kepada ayahbonda saya. Pertama kali adalah pada tahun 1981, kali kedua – 1997, dan inilah yang kesekian kalinya. Pada saya ia suatu tempoh yang bersesuaian dan dalam kemampuan untuk mengerjakan ibadah tersebut. Siapapun kita sebagai Hamba Allah, sebenarnya tidak akan mampu menahan kerinduan untuk mengunjungi Baitullah jika diseru lagi. Kali ini hajat ayahbonda saya kesampaian, dan tentunya saya juga bercita-cita besar untuk diseru sebagai Tetamu Allah pada tahun-tahun berikutnya, insyaAllah!

8.11am

 

Hari Raya Aidiladha

Salam Ukhuwah…

Sedikit suram sambutan Hari Raya Aidiladha bagi saya pada tahun ini.

Walaupun menjadi kebiasaan saya menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah mentua, tetapi seringkali suami memilih untuk mengerjakan solat sunat hari raya bersama ayahanda di masjid Pulau Melaka terlebih dahulu. Katanya rugi jika tidak merebut peluang mendengar khutbah ayahanda. Usai solat barulah kami bergegas pulang ke rumah mentua.

Namun kali ini kami pulang lebih awal ke rumah mentua. Walaupun merancang mahu sampai di rumah mentua sebelum waktu Asar sehari sebelum raya, sudahnya kami sampai pada malam hari raya juga.

Suasana malam raya terasa sedikit sayu saat mendengar laungan kalimah kebesaran dan keagungan Allah swt – melalui corong radio – yang bermula selepas solat Maghrib ditunaikan, ketika itu saya masih lagi di dalam kereta menghampiri rumah mentua.

Pada pagi raya, suami mengimami solat sunat Hari Raya di surau berdekatan. Solat mula didirikan menghampiri 8.30 pagi. Sedikit ucapan diberikan mengalukan kedatangan jemaah. Seperti biasa, ingatan diberikan kepada jemaah terlebih dahulu tentang bagaimana Solat Sunat Aidiladha dilaksanakan.

Alhamdulillah, tiada hujan walaupun sekarang ini musim tengkujuh. Langit masih bercahaya dan tiada tanda hujan akan turun.

Tema

Raya kali ini kami memilih tema biru untuk semua ahli keluarga. Saya bukanlah berminat sangat dengan ‘biru’, tetapi seorang kawan telahpun menghadiahi anakanda sulong saya sehelai gown labuh biru yang cantik. Maka, saya tidak lagi perlu untuk bersusah payah menyediakannya lagi, sekadar mencukupkan pakaian raya ahli keluarga yang lain dengan warna yang senada. Janji ada baju baru!

Si kakak sulong bergown labuh, si adik perempuan berbaju kurung, anak-anak lelaki pula berbaju melayu, kecuali si kecil yang memakai casual. Semuanya kelihatan berseri, tetapi sepanjang hari raya saya terpaksa beberapa kali membetulkan kedudukan baju anak-anak kerana semua jahitan sengaja dilabuhkan seinci – mahu pakai lama…jimat kos!

Pada hari raya pertama kami tidak menerima ramai tetamu, semua orang sibuk menguruskan korban masing-masing. Pada sebelah petang pula kami beramai-ramai ke rumah abang ipar saya, membuat kunjungan ke rumah barunya sambil menjamu selera bermenukan pelbagai variasi masakan lembu. Berkumpul beramai-ramai sesama ahli keluarga sememangnya satu amalan mulia yang sangat wajar dijadikan tradisi.

Namun, dalam kegembiraan itu juga saya terkenangkan ayahbonda yang berada nun jauh di Tanah Suci. Doa saya semoga ayahbonda dalam keadaan sihat sejahtera, beroleh kekuatan untuk  melakukan ritual haji sehinggalah beroleh haji yang mabrur, insyaAllah. Semoga akan selamat kembali ke pangkuan keluarga sedikit hari saja lagi…

8.00am

Tetamu Allah

Salam Ukhuwah…

InsyaAllah dengan izinNya, esok ayahbonda saya akan berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Ibadah Haji, langsung menjadi tetamu Allah s.w.t. di Baitullah. Doa kami semua mengiringi ayahbonda semoga perjalanannya selamat sampai ke destinasi, diperteguhkan imannya, dipelihara kesihatan sepanjang berada di sana agar sempurnalah ibadah haji yang akan dilaksanakan, dikurniakan haji yang mabrur, dan selamat kembali ke tanah air apabila tiba masanya nanti, insyaAllah.

Majlis kesyukuran telahpun kekanda saya langsungkan pada hari semalam dalam suasana sederhana tetapi meriah dengan kehadiran kerabat terdekat.

Ibadah Haji merupakan antara ibadah yang terbesar didalam Islam dan sangat mulia. Ianya adalah Rukun Islam yang kelima, dimana amalannya mencakupi amalan-amalan yang terdapat pada ibadah-ibadah lain, serta banyak faedah yang akan diperoleh.

Sesungguhnya mengerjakan ibadah Haji adalah antara amal ibadah yang sangat afdhal untuk mendampingkan diri kepada Allah s.w.t., dan merupakan jihad tanpa mengangkat senjata dalam Islam. Pahala jihad ini akan hanya diberikan kepada mereka yang berjaya mendapat ‘haji mabrur’, yakni haji yang diterima oleh Allah s.w.t..

Walau bagaimanapun, ibadah Haji ini hanya wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Melaksanakan ibadah Haji mahupun Umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup bagi setiap Muslim yang telahpun baligh, berakal sempurna dan memiliki kemampuan.

Erti kemampuan dalam melaksanakan ibadat Haji adalah sihat tubuh badan, berupaya untuk sampai ke Tanah Suci walau dengan apa cara sekalipun, mempunyai bekalan yang cukup selama berada di sana sehinggalah kembali, – juga bekalan (nafkah) kepada tanggungannya yang ditinggalkan di tanah air sepanjang dia melaksanakan ibadah Haji – bukan sekadar bekalan makan minum, tetapi turut meliputi keselamatan harta dan keluarganya yang ditinggalkan –  jika dia tidak mampu memiliki penjaga kepada harta dan keluarganya, maka ibadat Haji itu tidak wajib ke atas dirinya, kerana dia sudah dikira tidak berkemampuan.

Inilah keindahan Islam, yang menggambarkan bahawa Islam bukanlah agama paksaan.

12.37am

Tanggungjawab

Salam Ukhuwah…

Apabila mula bekerja suatu masa dahulu, saya dikelilingi oleh para sahabat yang lebih matang usianya. Secara tidak langsung dapat berkongsi pelbagai pengalaman daripada kehidupan mereka terdahulu, terutama soal rumahtangga dan yang paling saya minati adalah soal mendidik anak-anak. Daripada sesi penceritaan rencam itu dapatlah saya simpulkan bahawa betullah bagai dikata, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, – mendisiplinkan anak-anak kecil lebih mudah berbanding anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Cabaran mendidik anak-anak sememangnya cukup besar. Jadikan ia suatu ransangan untuk kita menjadi ibubapa yang lebih baik pada setiap masa. Jika kita tidak dapat menguasai ilmu keibubapaan secara semulajadi, maka sangat wajar kita mencari-cari ilmu tersebut, yang sesungguhnya sangat banyak bahan bacaan yang sedia membantu kita memahami bagaimana cara untuk membina jalinan perhubungan yang baik antara ibubapa dengan anak.

Sebagai ibubapa kita perlu tahu cara didikan terbaik untuk anak-anak sendiri. Bagaimana memanjakan kehidupan si kecil, seterusnya cara melayan anak-anak yang meningkat remaja. Layanan yang sama rata, tetapi mestilah bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Ibubapa perlu memahami anak-anak yang berbeza tahap pemikiran dan pemahaman mereka keatas sesuatu perkara.

Anak-anak kecil yang belum faham tentang makna kehidupan sebenar haruslah sentiasa dilindungi perlakuan mereka. Ibubapa adalah pelindung sebenar dalam rutin harian kehidupan mereka. Ibubapa berperanan besar memberi kasih sayang dan perhatian secukupnya kepada anak-anak kecil yang sedang berkembang fizikal dan mental mereka. Biarkan mereka membesar mengikut fitrah semulajadi kanak-kanak yang sentiasa dalam suasana riang gembira. Jangan sesekali membebankan mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Mencabar

Apabila saya memilih untuk menjadi surirumah, tentunya tugas utama adalah menguruskan rumahtangga, tetapi mengurus anak-anak lebih mencabar kerana mereka mempunyai identiti yang berbeza. Oleh kerana setiap manusia itu mempunyai emosi yang berbeza-beza, maka kita perlu tahu untuk menguruskannya supaya ia tidak memakan diri sendiri. Tentunya emosi ibubapa perlu berada pada tahap yang lebih baik dalam mengurus emosi anak-anak yang lebih bercampur-campur.

Jika kita memiliki anak yang ramai, adakalanya di kalangan mereka akan memerlukan cara didikan yang tersendiri. Ada anak yang mudah menerima setiap nasihat daripada ibubapa, ada anak yang perlu diberi perhatian lebih berbanding adik-beradiknya yang lain. Ada yang banyak cakap, ada pula yang pendiam. Watak yang pelbagai ini memerlukan ibubapa lebih prihatin untuk memahami isi hati mereka.

Biasanya apabila anak-anak bergaduh sesama mereka, setiap seorang akan saya soal siapa yang mulakan. Sudah tahu jawapannya, saya bagi peringatan, dipenghujungnya barulah ada sedikit ‘upah’. Jangan pula ibubapa asyik menghukum si abang mahupun si kakak, si adik selalu saja terlepas bebas daripada hukuman. Ini konsep yang salah. Tidak kiralah kakak, abang mahupun adik, setiap daripada mereka harus bertanggungjawab.

Sesiapa yang bersalah dia perlu tahu apa kesalahannya. Barulah mereka faham apa yang telah mereka lakukan itu adalah salah dan mudah-mudahan mereka tidak akan mengulangi kesalahan seumpamanya lagi.

Saya masih percayakan kepada sistem ‘hukuman’ walaupun ibubapa moden lebih menitikberatkan konsep psikologi apabila anak-anak membuat salah dan silap. Tetapi ‘menghukum’ juga ada caranya, yang pasti rumah saya tidak mempunyai rotan!

Setiap anak-anak perlu tahu tanggungjawab mereka yang bersesuaian dengan umur mereka.  Jika ibubapa berbicara dengan bahasa yang baik, saya pasti anak-anak boleh memahami saranan daripada orang tua mereka.

Tindakan

Marah kepada anak-anak bukan penyelesaian utama. Sebelum marah, pastikan terlebih dahulu kita memahami apa masalah sebenar mereka. Adakalanya kesalahan yang berlaku bukannya berpunca daripada dirinya sendiri. Mungkin daripada adik-beradik yang lain mahupun kawan-kawan sekeliling. Biar mereka jelaskan perkara yang sebenar berlaku terlebih dahulu. Jangan sesekali ibubapa drastik mengambil tindakan apabila berhadapan dengan anak-anak yang sedang bermasalah.

Sebagai ibubapa, adakalanya perasaan kita ‘membara’ terhadap anak-anak. Adakalanya kita telah memberitahu mereka tentang sesuatu perkara dengan penuh diplomasi, tetapi layanan yang diterima sangat mendukacitakan. Namun, jangan sesekali kita berputus asa, anak-anak adalah amanah Allah, maka jangan berlepas tangan, berusahalah sehingga mereka mampu menjadi seorang manusia yang boleh memberi manfaat kepada orang lain, terutama tahu cara untuk menghormati orang tua sendiri.

Remaja

Anak-anak yang sedang menginjak remaja biasanya makin sukar ditegur, dinasihati, malah ada sehingga terpaksa diberi amaran untuk membuat perubahan seperti yang dimahukan oleh ibubapa. Bukan langsung tidak berubah, tetapi mereka mahu mencipta susasana kepuasan yang tersendiri, mengelak daripada apa yang dimahukan oleh ibubapa. Adakalanya mereka lebih suka mendahulukan rakan-rakan berbanding ibubapa.

Kalau kita bukan remaja yang sebegitu diusia dulu, tidak mustahil jika terpaksa melaluinya kini dalam mendidik anak-anak sendiri. Tentu sekali anak-anak seusia remaja ini tidak lagi sesuai dididik dengan cubitan, rotan, dan juga tengkingan yang berlebihan. Membebel secara berpanjangan juga tidak memberi kesan kepada mereka, mungkin suku info saja menusuk ke jiwa, selebihnya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Walau bagaimanapun, peringatan haruslah sentiasa diberikan kepada anak-anak ini.

Ibubapa wajib menjadi idola kepada anak-anak. Jika kita sebagai ibubapa sentiasa mengharapkan anak-anak akan menjadi manusia berguna pada masa hadapan, begitulah juga anak-anak yang sentiasa inginkan ibubapa mereka adalah yang terbaik dalam menguruskan kehidupan mereka.

Berkongsi

Ibubapa yang baik akan menjadi tempat anak-anak mencurah perasaan, tidak lagi perlu orang lain untuk mendengar keluh kesah mereka. Masalah akan mula timbul apabila ibubapa tidak bersedia menadah telinga mendengar cerita anak-anak, saat itulah mereka merasakan diri tidak dihargai, seterusnya masuk ke dunia luar untuk mencari orang luar yang bersedia mendengar luahan hati mereka.

Namun, jika pada suatu ketika anak tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan ibubapa, jangan kita memaksa. Bagi mereka ruang untuk bertenang, mudah-mudahan ada masanya nanti mereka akan ceritakannya juga apabila sampai masanya.

Ibubapa yang prihatin boleh mengagak apabila anak-anak bermasalah, dari riak wajah, perlakuan, butir bicara, tentunya ada kelainan. Ada ketikanya mereka kelihatan longlai, memberontak tidak tentu pasal, menengking adik-beradik yang lain, dan sebagainya.

Pemantauan

Saya sendiri berprinsip bahawa setiap ibubapa perlu tegas kepada anak-anak, tetapi jangan sehingga mengongkong kebebasan mereka dalam menikmati kehidupan. Biarkan mereka meneroka dunia, tetapi masih didalam pemantauan. Saya dan adik-beradik lain sendiri melalui proses didikan terbuka daripada ayahbonda, lebih-lebih lagi ayahanda. Tetapi dengan kebebasan yang terancang itulah kami tidak pernah sesekali melencong arah apabila berjauhan daripada mereka, lebih-lebih lagi diusia kami di kampus.

Namun saya juga percaya, bukan hanya kerana kami diberi didikan sempurna, tetapi doa berpanjangan yang tiada penghujungnya buat anak-anak di perantauan. Inilah tugas kita sebagai ibubapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan anak-anak untuk kehidupan dunia mereka yang berkesinambungan hingga ke akhirat.

12.35pm