• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    November 2010
    S M T W T F S
    « Oct   Dec »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    282930  

Tanggungjawab

Salam Ukhuwah…

Apabila mula bekerja suatu masa dahulu, saya dikelilingi oleh para sahabat yang lebih matang usianya. Secara tidak langsung dapat berkongsi pelbagai pengalaman daripada kehidupan mereka terdahulu, terutama soal rumahtangga dan yang paling saya minati adalah soal mendidik anak-anak. Daripada sesi penceritaan rencam itu dapatlah saya simpulkan bahawa betullah bagai dikata, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, – mendisiplinkan anak-anak kecil lebih mudah berbanding anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Cabaran mendidik anak-anak sememangnya cukup besar. Jadikan ia suatu ransangan untuk kita menjadi ibubapa yang lebih baik pada setiap masa. Jika kita tidak dapat menguasai ilmu keibubapaan secara semulajadi, maka sangat wajar kita mencari-cari ilmu tersebut, yang sesungguhnya sangat banyak bahan bacaan yang sedia membantu kita memahami bagaimana cara untuk membina jalinan perhubungan yang baik antara ibubapa dengan anak.

Sebagai ibubapa kita perlu tahu cara didikan terbaik untuk anak-anak sendiri. Bagaimana memanjakan kehidupan si kecil, seterusnya cara melayan anak-anak yang meningkat remaja. Layanan yang sama rata, tetapi mestilah bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Ibubapa perlu memahami anak-anak yang berbeza tahap pemikiran dan pemahaman mereka keatas sesuatu perkara.

Anak-anak kecil yang belum faham tentang makna kehidupan sebenar haruslah sentiasa dilindungi perlakuan mereka. Ibubapa adalah pelindung sebenar dalam rutin harian kehidupan mereka. Ibubapa berperanan besar memberi kasih sayang dan perhatian secukupnya kepada anak-anak kecil yang sedang berkembang fizikal dan mental mereka. Biarkan mereka membesar mengikut fitrah semulajadi kanak-kanak yang sentiasa dalam suasana riang gembira. Jangan sesekali membebankan mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Mencabar

Apabila saya memilih untuk menjadi surirumah, tentunya tugas utama adalah menguruskan rumahtangga, tetapi mengurus anak-anak lebih mencabar kerana mereka mempunyai identiti yang berbeza. Oleh kerana setiap manusia itu mempunyai emosi yang berbeza-beza, maka kita perlu tahu untuk menguruskannya supaya ia tidak memakan diri sendiri. Tentunya emosi ibubapa perlu berada pada tahap yang lebih baik dalam mengurus emosi anak-anak yang lebih bercampur-campur.

Jika kita memiliki anak yang ramai, adakalanya di kalangan mereka akan memerlukan cara didikan yang tersendiri. Ada anak yang mudah menerima setiap nasihat daripada ibubapa, ada anak yang perlu diberi perhatian lebih berbanding adik-beradiknya yang lain. Ada yang banyak cakap, ada pula yang pendiam. Watak yang pelbagai ini memerlukan ibubapa lebih prihatin untuk memahami isi hati mereka.

Biasanya apabila anak-anak bergaduh sesama mereka, setiap seorang akan saya soal siapa yang mulakan. Sudah tahu jawapannya, saya bagi peringatan, dipenghujungnya barulah ada sedikit ‘upah’. Jangan pula ibubapa asyik menghukum si abang mahupun si kakak, si adik selalu saja terlepas bebas daripada hukuman. Ini konsep yang salah. Tidak kiralah kakak, abang mahupun adik, setiap daripada mereka harus bertanggungjawab.

Sesiapa yang bersalah dia perlu tahu apa kesalahannya. Barulah mereka faham apa yang telah mereka lakukan itu adalah salah dan mudah-mudahan mereka tidak akan mengulangi kesalahan seumpamanya lagi.

Saya masih percayakan kepada sistem ‘hukuman’ walaupun ibubapa moden lebih menitikberatkan konsep psikologi apabila anak-anak membuat salah dan silap. Tetapi ‘menghukum’ juga ada caranya, yang pasti rumah saya tidak mempunyai rotan!

Setiap anak-anak perlu tahu tanggungjawab mereka yang bersesuaian dengan umur mereka.  Jika ibubapa berbicara dengan bahasa yang baik, saya pasti anak-anak boleh memahami saranan daripada orang tua mereka.

Tindakan

Marah kepada anak-anak bukan penyelesaian utama. Sebelum marah, pastikan terlebih dahulu kita memahami apa masalah sebenar mereka. Adakalanya kesalahan yang berlaku bukannya berpunca daripada dirinya sendiri. Mungkin daripada adik-beradik yang lain mahupun kawan-kawan sekeliling. Biar mereka jelaskan perkara yang sebenar berlaku terlebih dahulu. Jangan sesekali ibubapa drastik mengambil tindakan apabila berhadapan dengan anak-anak yang sedang bermasalah.

Sebagai ibubapa, adakalanya perasaan kita ‘membara’ terhadap anak-anak. Adakalanya kita telah memberitahu mereka tentang sesuatu perkara dengan penuh diplomasi, tetapi layanan yang diterima sangat mendukacitakan. Namun, jangan sesekali kita berputus asa, anak-anak adalah amanah Allah, maka jangan berlepas tangan, berusahalah sehingga mereka mampu menjadi seorang manusia yang boleh memberi manfaat kepada orang lain, terutama tahu cara untuk menghormati orang tua sendiri.

Remaja

Anak-anak yang sedang menginjak remaja biasanya makin sukar ditegur, dinasihati, malah ada sehingga terpaksa diberi amaran untuk membuat perubahan seperti yang dimahukan oleh ibubapa. Bukan langsung tidak berubah, tetapi mereka mahu mencipta susasana kepuasan yang tersendiri, mengelak daripada apa yang dimahukan oleh ibubapa. Adakalanya mereka lebih suka mendahulukan rakan-rakan berbanding ibubapa.

Kalau kita bukan remaja yang sebegitu diusia dulu, tidak mustahil jika terpaksa melaluinya kini dalam mendidik anak-anak sendiri. Tentu sekali anak-anak seusia remaja ini tidak lagi sesuai dididik dengan cubitan, rotan, dan juga tengkingan yang berlebihan. Membebel secara berpanjangan juga tidak memberi kesan kepada mereka, mungkin suku info saja menusuk ke jiwa, selebihnya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Walau bagaimanapun, peringatan haruslah sentiasa diberikan kepada anak-anak ini.

Ibubapa wajib menjadi idola kepada anak-anak. Jika kita sebagai ibubapa sentiasa mengharapkan anak-anak akan menjadi manusia berguna pada masa hadapan, begitulah juga anak-anak yang sentiasa inginkan ibubapa mereka adalah yang terbaik dalam menguruskan kehidupan mereka.

Berkongsi

Ibubapa yang baik akan menjadi tempat anak-anak mencurah perasaan, tidak lagi perlu orang lain untuk mendengar keluh kesah mereka. Masalah akan mula timbul apabila ibubapa tidak bersedia menadah telinga mendengar cerita anak-anak, saat itulah mereka merasakan diri tidak dihargai, seterusnya masuk ke dunia luar untuk mencari orang luar yang bersedia mendengar luahan hati mereka.

Namun, jika pada suatu ketika anak tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan ibubapa, jangan kita memaksa. Bagi mereka ruang untuk bertenang, mudah-mudahan ada masanya nanti mereka akan ceritakannya juga apabila sampai masanya.

Ibubapa yang prihatin boleh mengagak apabila anak-anak bermasalah, dari riak wajah, perlakuan, butir bicara, tentunya ada kelainan. Ada ketikanya mereka kelihatan longlai, memberontak tidak tentu pasal, menengking adik-beradik yang lain, dan sebagainya.

Pemantauan

Saya sendiri berprinsip bahawa setiap ibubapa perlu tegas kepada anak-anak, tetapi jangan sehingga mengongkong kebebasan mereka dalam menikmati kehidupan. Biarkan mereka meneroka dunia, tetapi masih didalam pemantauan. Saya dan adik-beradik lain sendiri melalui proses didikan terbuka daripada ayahbonda, lebih-lebih lagi ayahanda. Tetapi dengan kebebasan yang terancang itulah kami tidak pernah sesekali melencong arah apabila berjauhan daripada mereka, lebih-lebih lagi diusia kami di kampus.

Namun saya juga percaya, bukan hanya kerana kami diberi didikan sempurna, tetapi doa berpanjangan yang tiada penghujungnya buat anak-anak di perantauan. Inilah tugas kita sebagai ibubapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan anak-anak untuk kehidupan dunia mereka yang berkesinambungan hingga ke akhirat.

12.35pm

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: