• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    November 2010
    S M T W T F S
    « Oct   Dec »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    282930  

Cuti

Salam Ukhuwah…

Cuti panjang untuk anak-anak datang lagi!

Seolah sudah menjadi kemestian untuk anak-anak saya memenuhkan cuti mereka dengan hadir ke kelas melukis dan mewarna. Belum lagi cuti bermula, mereka sendiri sudah merancang untuk ke kelas tersebut. Seperti biasa saya akan bersetuju saja sementelah mahu masa luang mereka terisi dengan baik.

Saya lihat mereka cukup bersemangat untuk menghadirkan diri ke kelas tersebut. Saya memutuskan untuk menghantar mereka empat kali dalam seminggu ke kelas tersebut, satu jam bagi setiap sesi.

Persediaannya hanyalah membeli set pensil warna yang baru sahaja. Terpaksa beli kerana yang lama sudah tidak cukup setnya…selepas setahun digunapakai. Bukan mereka tidak pernah meminta untuk dibelikan set pensil warna yang baru sebelum ini, tetapi saya mengambil pendekatan berpada-pada – selagi boleh pakai, pakai. Biar mereka menghargai barangan yang sedia ada, biar mereka tahu untuk menjaga barangan peribadi seeloknya.

Apabila saya membelikan mereka sesuatu, pastikan ia berbaloi untuk digunakan dalam tempoh waktu yang lama.

Tanpa sebarang aktiviti yang menyeronokkan, saya yakin anak-anak akan keboringan berada di rumah. Saya sendiri tidak suka jika anak-anak hanya menghabiskan waktu cuti mereka dengan bermain-main, menonton televisyen, balik kampung, dan lain-lain aktiviti yang kurang memberansangkan minda mereka.

Sebagai ibubapa kita perlu kreatif dalam mengisi masa lapang anak-anak. Dalam dunia serba canggih hari ini, anak-anak merupakan aset penting yang harus dipantau perkembangan kehidupan mereka. Terlalu banyak masalah sosial yang melingkar masyarakat kita hari ini, bukan sekadar apa yang ditonton di televisyen, tetapi sehinggalah kepada penggunaan gajet sekecil handphone sekalipun.

Pantau

Saya sendiri memantau penggunaan handphone anak-anak, tidak mahu dia menyalahgunakan perkhidmatan yang disediakan, dari perihal membuat panggilan, mesej, bergambar, mms, dan sehinggalah kepada game yang mereka layari.

Sebenarnya masih terlalu banyak perkara yang perlu dipantau, tetapi dalam sedikit keadaan kita jangan terlalu mengongkong kebebasan anak-anak. Kita harus memberi sedikit kepercayaan kepada mereka, mudah-mudahan pemantauan dan kebebasan yang kita berikan adalah seimbang untuk masa depan mereka.

Saya kira ibubapa jangan terlalu memanjakan anak-anak. Cukup dengan memberi keselesaan sekadar kemampuan yang ada. Contohnya, jika penggunaan handphone itu satu keperluan, kita boleh akur dengan permintaannya, tetapi tentukanlah bajet yang sewajarnya bukan mengikut nafsu yang meraja.

Sejak beberapa bulan ini pula anak lelaki sulong saya mula pandai merengek minta dibelikan PSP. Namun saya masih lagi tidak mengendahkan rengekannya. Rasanya cukuplah dulu saya belikan dia GameBoy setahun yang lalu. Saya ‘susahkan’ dia dengan ‘janji manis’, terlebih dahulu perlu menjadi Top 5 di dalam kelas. Sekarang ini dia berada ditempat keenam. Saya tidak mahu ‘memudahkan’ perkara yang tidak penting, biar mereka tahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.

Saya kira itu bukanlah sejenis penderaan kepada mental anak-anak. Bukan sengaja mahu menyusahkan keadaan, tetapi perlu mendahulukan apa yang sepatutnya, memberitahu yang mana lebih perlu diutamakan, memberi motivasi sebaiknya, memberi harapan seandainya ada kemajuan yang terlaksana, seterusnya cuba menunaikan setiap impian mereka dengan sempurna. Biasanya saya seorang ibu yang menepati janji.

Ransangan berupa hadiah juga adalah suatu yang baik kepada anak-anak. Tentukan matlamat yang sesuai dengan keupayaan, mudah-mudahan mereka sentiasa mahu berusaha menunjukkan kehebatan yang sebenar, kerana setiap anak itu ada potensinya yang semulajadi. Pentingnya, sokongan yang berterusan daripada ibubapa. Lebih penting, ibubapa perlulah menepati janji. Anak-anak tidak pernah lupa kepada janji, yang sering buat-buat lupa adalah kita!

Tuisyen

Dalam memenuhi luang cuti panjang juga saya sendiri kurang berminat untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen. Saya mahu anak-anak berada dalam keadaan santai melalui musim cuti persekolahan mereka. Walaupun ramai sahabat yang mempunyai anak seusia anakanda sulong saya mula risau tentang UPSR, saya sendiri tidak meletakkan peperiksaan sebagai target utama kepadanya dalam menghabiskan cuti persekolahan.

Mungkin juga setiap ibubapa perlu faham ciri anak masing-masing. Anakanda sulong saya nampaknya lebih berminat kepada aktiviti yang berorientasikan kemahiran. Maka saya cuba melorongkan minatnya itu semoga ia boleh berkembang dengan baik. Saya mahu mengambil pendekatan tidak mahu membebankan mereka dengan impian tinggi daripada ibubapa, tetapi ibubapa yang perlu memberi sokongan kepada minat anak-anak.

Tetapi semestinya setiap perkara yang diminati anak-anak itu perlu kepada pemantauan yang baik daripada ibubapa. Minatnya itu kita permudahkan, tetapi bersyarat, bahawa dia perlu belajar bersungguh-sungguh supaya antara minat dengan persekolahan perlu seimbang. Saya kira itu suatu bentuk sokongan yang boleh saya berikan kepada anak-anak sewaktu mereka membesar.

Mengaji al-Quran

Cuti yang panjang ini juga saya mengharapkan anak-anak dapat mengaji al-Quran dengan lebih banyak. Anakanda sulong saya baru sahaja masuk Juzu’ kedua (sungguh lambat!), anak kedua melangkah ke Muqaddam (lambat juga…!), si kembar di Iqra’ 3, dan si adik baru saja Iqra’ 1.  Nampaknya kakak, abang mahupun adik semuanya perlukan intensif. Saya perlu fikirkan suatu kaedah yang lebih baik nampaknya.

Sekarang ini si kakak sahaja yang mengaji al-Quran dua kali sehari – selepas Subuh dan Maghrib – si adik-adik yang lain hanya selepas Maghrib sahaja. Apabila tiba waktu mengaji saya terpaksa meladani pelbagai ragam anak-anak. Ada yang lancar bacaannya, ada yang tersangkut-sangkut, ada yang menangis apabila ditegur berulangkali, akhirnya ada pula yang ‘terkena upah’.

Saya tabik kepada semua guru yang mengajar al-Quran kerana ia bukan suatu lapangan yang mudah. Setiap guru al-Quran mempunyai peranan dan tugas yang amat berat, rumit serta mencabar. Kita akan menerima pelbagai ragam anak didik. Paling penting seorang guru al-Quran mestilah boleh berlembut dan sangat penyabar orangnya. Guru al-Quran juga perlu mempunyai kemahiran yang lengkap tentang ilmu al-Quran. Setiap guru al-Quran yang baik perlu memahami dan menghayati cara mengajar al-Quran dengan betul.

Anak-anak adalah penyeri kepada kehidupan kita semua. Jangan sesekali merungut kebosanan dalam melayan karenah mereka yang pelbagai. Letih itu adalah lumrah, ubatnya adalah kejayaan dalam mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna kepada Islam. Saya sendiri sentiasa mahu menjadi ibu yang lebih baik kepada anak-anak. Mahu meluangkan lebih masa dalam memahami kehidupan mereka, semoga baiklah perjalanan kehidupan mereka sehingga ke penghujung usia.

Jangan lupa sentiasa mendoakan yang baik-baik saja kepada anak-anak kita, jua tanamkan azam semoga kitalah ibu yang terbaik buat anak-anak yang diamanahkan oleh Allah di dunia ini.  InsyaAllah!

Saya juga sedang merancang satu percutian untuk kami sekeluarga. Saya cadangkan kepada suami untuk ke Pulau Langkawi  – mungkin seminggu dua lagi. Sebenarnya saya mendapat satu tawaran istimewa dari Celcom – pakej percutian ke Pulau Langkawi dengan kadar yang agak berpatutan – entah betul atau tidak, saya masih belum menghubungi nombor telefon yang diberikan. Lagi pula sekarang inikan musim tengkujuh…sesuai ke nak ke Pulau?

11.36pm

2 Responses

  1. Setiap ibu bapa mempunyai cara didikan yang berbeza.

    • Betul tu, banyak peratusan bagaimana ibubapa hari ini mendidik anak-anak bergantung kepada bagaimana cara mereka dididik suatu ketika dahulu.

      Pengalaman lalu boleh menjadi teladan untuk kita hari ini. Pentingnya kita dapat mengekori peredaran zaman yang memerlukan kita memahami bagaimana anak-anak kita membesar didalam masyarakat hari ini, yang memerlukan banyak pembaharuan dalam cara mendidik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: