• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2010
    S M T W T F S
    « Nov   Jan »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  

54

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, bertambah lagi ahli keluarga besar kami apabila kakak ipar saya selamat melahirkan zuriat kelimanya pada 21 Muharram 1432/ 27 Disember 2010 yang lalu, tidak sampai sebulan selepas saya menerima anak saudara baru tempohari. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima pesanan ringkas daripada kekanda Nik Asri yang menyatakan isterinya, Zalina telah selamat melahirkan seorang lagi bayi lelaki pada jam 3.15 pagi. Sekali lagi lelaki!

Tentunya saya tumpang gembira dengan kelahiran ini yang menambahkan lagi jumlah anak saudara, dan inilah cucu yang ke 54 ayahbonda.

Tahniah kepada kekanda saya sekeluarga, mudah-mudahan hadirnya permata hati kali ini mampu menambahkan lagi ummat Muhammad s.a.w. yang berkualiti, insyaAllah. Penantian selepas tiga tahun untuk mendapat cahaya mata baru akhirnya tertunai sudah. Hadiah awalan daripada saya, hanya doa semoga bertambahlah rezeki dan berbahagialah dengan keluarga yang makin membesar.

Hadiah seterusnya, Jeli Gamat Bermadu! 🙂 (Langkawi la tu…). Kata si penjual, jeli ini merupakan minuman kesihatan yang baik untuk digunakan secara tradisional kepada perempuan selepas bersalin. Kebetulan saat melahirkan, saya sedang berada di Langkawi, maka kesempatan diambil untuk membeli beberapa produk gamat untuk dijadikan buah tangan kepada adik-beradik dan juga jiran tetangga serta sahabat handai terdekat.

Saya masih belum berkesempatan melawat anak saudara baru ini semenjak kelahirannya. InsyaAllah bertuahlah si kecil ini apabila telah lengkap mempunyai dua orang abang dan dua orang kakak yang akan menyayanginya.

Apapun adinda saya telahpun menghantar mesej ‘penting’ kepada saya semalam. Oh, mahu ambil giliran ya…? Nampaknya dia tidak menunggu lama untuk turut serta dalam ‘countdown’ ini. Dalam bab ini saya mahu mengalah. Rasanya sudah cukup dengan bilangan anak yang ada pada hari ini. Jika direzekikan lagi? Saya menerimanya sebagai rezeki yang perlu disyukuri nikmatnya.

6.22pm

Advertisements

Pulau Langkawi

Salam Ukhuwah…

Akhirnya saya dan suami serta si kembar berpeluang bercuti ke Pulau Langkawi pada hujung minggu yang lalu. Kami meluangkan 5 hari 4 malam untuk sesi bercuti kali ini.

Saya hanya membawa si kembar apabila tiga lagi anak yang lain telahpun bercuti di Kuala Lumpur seminggu sebelumnya. Si kecil hanya bercuti di rumah bersama bibik…

Percutian kali ini merupakan episod kedua saya di pulau ini selepas 12 tahun sebelumya.

Seawalnya kami telah membuat keputusan untuk menggunakan khidmat ejen pelancongan bagi memudahkan percutian kali ini. Namun sebaliknya yang berlaku, apabila ejen tersebut membuat ‘kesilapan’ apabila nama kami tiada di dalam sistem komputer semasa ingin daftar masuk di Terminal Pengangkutan Kos Rendah (LCCT) untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Kami terpaksa membeli tiket penerbangan yang baru selepas menunggu satu jam di lapangan terbang tersebut. Sungguh mengharu-birukan!

Penerbangan dari LCCT ke LTAL memakan masa lebih kurang 1 jam.

Namun, kata orang menaiki feri ke Pulau Langkawi sebenarnya lebih menarik berbanding berpergian dengan kapal terbang. Saya menyetujuinya apabila langkah pertama dulu ke Pulau ini dengan menaiki feri begitu menyeronokkan dengan pemandangan yang menarik, tentunya barisan pulau-pulau sepanjang perjalanan dan lambungan ombak yang mengancam! Kos juga tentunya lebih menjimatkan.

Selain dari tambang yang lebih murah, tiada lagi caj lain yang akan dikenakan termasuklah lebihan bagasi mahupun timbangannya.

Setibanya di LTAL, kami di jemput oleh saudara Zamri, seorang sahabat yang baru diperkenalkan untuk membantu sepanjang percutian di pulau ini. Kami menggunakan perkhidmatan teksinya untuk menikmati percutian yang sempurna, tanpa perlu merisaukan tentang hal-hal berkaitan jalan, tempat menarik untuk dituju dan pelbagai maklumat tempatan yang diperlukan sepanjang percutian kami ini.

Ikan Bakar!

Kami langsung menuju ke tempat penginapan, berehat seketika kerana hari sudahpun lewat petang. Usai solat Jama’ kami sudah bersedia untuk menikmati makan malam istimewa – ikan bakar! Orang kata juga, kalau ke pulau ini tidak sah jika tidak menjamah ikan bakar. Mungkin juga – sungguh menyelerakan!

Keesokan paginya, kami telah berada di stesen Kereta Kabel Langkawi sebelum waktu tengahari. Terima kasih kepada saudara Zamri yang telah menyediakan tiket untuk kami – tidak perlu lagi untuk beratur panjang – yang saya kira beratur untuk mendapatkan tiket dan beratur lagi untuk mendapatkan kereta kabel sudah memakan masa setengah jam berdiri!

Dari puncak jambatan gantung besi (suspension bridge) nun di atas sana dapatlah kita menghayati satu panorama Langkawi yang mempunyai keindahan begitu menarik. Selain dari pemandangan pulau-pulau yang banyak bertebaran, kelihatan di lautan sana banyak bot yang berlabuh di sini. Kami diberitahu bahawa Langkawi kian menjadi pusat pelayaran yang terkenal di Asia Timur dengan adanya empat buah marina yang moden di sini.

Island Hopping!

Keesokannya pula kami melakukan aktiviti island hopping yang memakan masa separuh hari, dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Kami dibawa menaiki bot bersama 15 orang pelancong lain untuk pergi ke beberapa tempat yang telah diaturkan.

Kami dibawa belayar dengan bot kecil yang dipandu laju menuju sekitar pulau dan menikmati pengalaman yang hebat dengan ombak yang kuat. Seketika kami berhenti di kawasan hutan paya bakau untuk melihat kawanan helang mencari makanan. Tarikan ini sungguh menakjubkan.

Lebih kurang 10 minit memerhati panorama tersebut, kami mula dibawa menuju ke Pulau Dayang Bunting. Kedatangan kami di sini disambut mesra oleh monyet-monyet yang begitu banyak sekali di dalam habitat semulajadinya sepanjang laluan papan untuk ke Tasik Dayang Bunting. Dari si tua hinggalah kepada yang baru sahaja dilahirkan – sangat kecil dan berwarna pink – semuanya jinak sekali menanti kedatangan pelancong dengan harapan akan disuakan makanan.

Kami diberi masa 1 jam untuk menikmati tasik ini. Walau bagaimanapun, untuk sampai ke tasik tersebut terlebih dahulu perlu mendaki bukit yang tingginya boleh tahan! Sempatlah merasa penat sebelum dapat menjamu mata melihat ketenangan air tasiknya yang sangat menghijau di kelilingi pokok-pokok merimbun – sungguh menyegarkan alam. Ramai juga pelancong yang mengambil peluang untuk mandi-manda. Namun kami hanya naik bot solar sahaja.

Seterusnya kami dibawa ke Pulau Beras Basah. Monyet-monyet juga banyak berkeliaran di sini. Peruntukan masa 1 jam diberikan untuk melakukan pelbagai aktiviti sampingan. Ramai yang mengambil kesempatan mandi laut. Kami hanya makan-makan sahaja kerana perut sudah mula terasa lapar.

Taman Geopark

Saya fikir percutian kali ini lebih dari apa yang kami jangkakan, sangat menarik dan seronok dapat meneroka sekitar pulau ini. Pulau Langkawi hari ini bukan sahaja menawarkan sekadar percutian laut menarik, tetapi turut merangkumi tarikan lain seperti Taman Geopark yang merupakan satu tarikan baru menggambarkan keunikan alam semulajadi. Saya tidak melepaskan peluang untuk menaiki gajah bersama si kembar selama 10 minit melalui laluan hutan yang selamat.

Alhamdulillah, tiada masalah cuaca sepanjang kami berada di sini.

Walaupun ingatan terbang merindui anak-anak lain yang ditinggalkan, namun sesi bercuti ini seringkali terasa pendek. Percutian kami ini masih tidak cukup untuk meneroka segala yang terdapat di sini. Saya hanya berkesempatan melawat lima tempat menarik, tentunya masih banyak lagi tarikan lain yang sedang menanti kedatangan pelancong seperti kami ini.

5.00pm

Majlis Kesyukuran

Salam Ukhuwah…

Masih lagi terasa penat dan letih badan walaupun sudah seharian saya berada di rumah sekembali dari percutian keluarga di Pulau Langkawi. Oh, nampaknya sampai juga saya ke sana ya! Itulah percutian keluarga yang terakhir bagi kami sebelum sesi persekolahan akan dibuka beberapa hari saja lagi.

Sebelum ke Pulau Langkawi tempohari, sempat kami mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan rasa terima kasih kepada Allah s.w.t., diatas keputusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara yang telah membersihkan nama suami dan ayahanda saya diatas tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa lebih kurang setahun yang lalu.

Alhamdulillah, majlis kami berjalan lancar. Kami telah menyediakan menu nasi palau, mihun soto dan mi kari.

Terima kasih diucapkan kepada kaum keluarga, jiran sekampung, sahabat handai, dan semua jemputan yang sudi hadir ke rumah saya tempohari. Kepada yang tidak berkelapangan hadir, terima kasih jua kerana sudi menghantar pesanan-pesanan yang bermotivasi kepada kami sekeluarga.

Saya melihat majlis tempohari sebagai suatu medan untuk mengeratkan silaturrahim di antara ramai sahabat suami, yang saya kira sesetengah daripada mereka seolah menjauh semenjak kes tersebut mendapat liputan yang meluas di media massa. Alhamdulillah, saya mendoakan semoga majlis yang kami laksanakan ini mampu memperkukuhkan kembali jalinan persahabatan di antara mereka. Berkawan biarlah beribu.

Bersahabat tiada syaratnya. Tidak kiralah bagaimana peribadinya, rupa parasnya, hartanya, keturunannya, itu semua bukan ukuran, paling penting adalah kita sendiri tahu menghargai nilai sebuah persahabatan. Apabila berkawan sememangnya kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Seorang sahabat yang baik akan menambahkan lagi keceriaan dalam hidup dan mampu menjauhkan kesedihan dalam kehidupan kita semua.

Paling tepat, sahabat yang benar-benar sahabat adalah orang yang makin menghampiri disaat yang lain kian menjauh. Mereka tidak akan sanggup melihat kita berada di dalam kesusahan. Seorang sahabat yang baik juga akan berpanjangan menjaga maruah kita dan sesekali tidak akan menjaja aib diri kepada orang lain. Sahabat terbaik akan kekal seiring hingga ke akhir hayat.

Akhirnya, haruslah diingat bahawa sanjungan bukanlah sebuah persahabatan!

9.40am

Bilik Baru

Salam Ukhuwah…

Minggu ini saya membuat ‘operasi’ membersihkan rumah. Agenda sebenar adalah menyediakan bilik baru untuk anak-anak lelaki saya – mengasingkan mereka kepada bilik persendirian – tidak lagi mereka duduk sebilik antara adik-beradik lelaki dengan perempuan.

Sekarang ini anak-anak sudah kian membesar. Tentunya saya juga mahu menjadi ibubapa yang bertanggungjawab menyediakan bilik berasingan untuk anak-anak perempuan dan lelaki. Lagi pula tentunya kita semua sudah maklum bahawa pengasingan bilik tidur mengikut jantina adalah sangat perlu dilakukan. Ini adalah ajaran Islam – langkah awalan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, terutamanya sumbang mahram.

Tidaklah sesusah mana untuk mengasingkan mereka – baik ketika mengajar tidur di bilik sendiri dan apabila mula tidur berasingan mengikut jantina. Sekadar perlu menemani mereka pada malam-malam awalan, insyaAllah mereka mampu tidur dengan lenanya pada malam-malam seterusnya.

Pengasingan begini bolehlah dikatakan sebagai langkah kedua, apabila langkah pertamanya adalah mengasingkan anak-anak daripada tidur sebilik bersama ibubapa. Untuk mencapai hasrat tersebut seharusnya kita memahami keperluan untuk memiliki sebuah rumah yang sekurang-kurangnya mempunyai tiga bilik tidur – bilik ibubapa, bilik anak perempuan dan bilik anak lelaki.

Saya sendiri mula menyediakan bilik persendirian untuk anak sulong apabila dia sudah berusia tujuh tahun. Agak lambat – kerana sebelum itu saya masih tidak punya rumah sendiri – masih menumpang di rumah ibubapa. Apabila mendiami rumah sendiri lebih mudah untuk saya menguruskan anak-anak yang lain. Mencecah umur empat tahun anak-anak sudah tidak lagi tidur di bilik utama. Sesekala ada juga saya memberi peluang kepada mereka untuk bermanja.

Dalam tempoh tersebut juga, saya cuba mendidik anak-anak untuk memberi salam sebelum masuk ke bilik utama, dan saya juga mempraktikkan mengetuk pintu bilik mereka sebelum menjengah masuk. Ini adalah sangat perlu dalam menjaga privasi kehidupan masing-masing.

1.40pm

SIARAN MEDIA

Bismillahhirrahmanirrahim

Assalamualaikum  wbt dan salam Muharam.

Segala puji-pujian bagi Allah swt yang telah memberi nikmat Islam dan Iman kepada kita semua. Dengan sifat Rahman dan RahimNya maka kita masih terus hidup pada hari ini untuk memperoleh nikmat yang melimpah bagi melansungkan kehidupan seharian.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang menjadi teladan kepada umatnya untuk memilih jalan terbaik dan diredhai Allah swt, menuju ke pengakhiran kebahagian yang kekal abadi.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan melalui siaran ini setelah merujuk kepada kenyataan media oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil, berhubung hasil penelitian laporan siasatan oleh Jabatan Peguam Negara yang telah membersihkan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan nama saya, di atas tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa sekitar setahun yang lalu. Perkara ini juga telah mendapat liputan oleh beberapa akhbar perdana pada hari ini.

Setinggi-tinggi syukur kepada Allah swt kerana telah menyelesaikan kes ini dengan pengakhiran yang baik kepada semua dan membersihkan nama saya sekeluarga.

Sememangnya dari awal siasatan, situasinya amat tenang dan saya berkeyakinan penuh bahawa semua tuduhan tersebut adalah rekaan semata-mata. Justeru, saya dan kakitangan PMBK telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM Kelantan semasa dalam siasatan.

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan tahniah kepada SPRM, khususnya kepada Pengarah dan kakitangan SPRM Negeri Kelantan kerana telah menjalankan siasatan kes ini dengan adil dan profesional, walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan keputusan.

Saya penuh sedar bahawa terdapat banyak gangguan media berlaku semasa siasatan keatas tuduhan yang bermula dengan sekeping ‘surat layang’ ini. Bagi saya, pihak SPRM telah menjalankan tugas dengan baik dan mengikut prosedur tanpa terpengaruh oleh gelombang fitnah yang dirancang dan dicipta oleh pihak tertentu hasil dari artikel-artikel keluaran media dan bloger yang rela diperalatkan.

Memang ramai yang terpengaruh dan mula memandang serong kepada kami termasuk segelintir pimpinan tertinggi PAS.

Tidak dapat dinafikan bahawa ujian ini memberi peluang kepada diri untuk bermuhasabah di atas kedhaifan sendiri dan InsyaAllah lebih mematangkan saya untuk mendepani masa depan.

Dalam masa yang sama, rentetan isu ini juga jelas menampakkan ia sememangnya dirancang untuk diperbesarkan menggunakan kemahiran politik yang berkualiti tinggi. Apabila isu ini mendidih, maka asakan membuta tuli kepada saya bermula supaya matlamat operasi yang telah ditetapkan oleh perancangnya tercapai.

Jutaan terima kasih kepada semua ahli keluarga, dan sahabat handai yang memberi sokongan khususnya Ayahanda dan Bonda serta kekanda Nik Abduh kerana memberi sokongan terbuka semasa isu sedang memuncak. Tidak lupa terima kasih khusus kepada Bonda Che Som Bt Che Ali dan ahli keluarga di Machang yang sentiasa mendoakan tanpa jemu untuk keselamatan dan kesejahteraan saya sekeluarga.

Akhir sekali, sekalung penghargaan khusus kepada isteri saya yang tercinta kerana tetap berada di sisi disaat-saat sukar dan memberanikan diri menceritakan hal sebenar dalam artikelnya. Terima kasih juga kerana memberi kebenaran siaran ini dikeluarkan dalam laman Serisuri.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya Negeri Kelantan terus terpelihara dari kerakusan golongan oportunis politik dan broker kuasa yang sentiasa mengancam.

Kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik!

 

Sekian, wassalam.

 

Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman

Pulau Melaka

10 Muharam 1432/16 Disember 2010

 

 

Salam Muharam 1432

Salam Ukhuwah…

Dalam saya tertangguh-tangguh menyiapkan artikel ‘Salam Muharam 1432’, rupanya hari ini kami sekeluarga menerima berita gembira – SPRM TUTUP KES MELIBATKAN NIK AZIZ DAN MENANTU – itu sms yang saya terima pada jam 4.44 petang tadi daripada seorang sahabat di Kuala Lumpur. Alhamdulillah! Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan tahniah kepada kami. Bak kata sms daripada kakak ipar saya, ‘what a gracious Muharam’! Ya, kebenaran itu tetap akan muncul kerana Allah itu Maha Adil.

Meneruskan artikel ini, saya memanjangkan Salam Muharan 1432 kepada semua sahabat. Mudah-mudahan ia belum lagi benar-benar terlambat hendaknya…Kesibukan urusan harian membantutkan ruang saya di sini.

Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk menghirup nyaman udara Muharam 1432. Ironinya, tahun baru = azam baru. Sebaiknya kita cuba berazam untuk menggunapakai baki hayat yang ada ini untuk terus bersemangat mengejar segala kejayaan di dunia, namun sesekali jangan lupakan akhirat yang kekal abadi. Mencintai dunia biar ada batasnya, tetapi mencintai akhirat itu adalah segala-galanya.

Tetapkanlah hati ini dalam Islam. Berdoalah sentiasa tanpa ada halangan semoga ada ketikanya doa kita ini akan dimakbulkan Allah s.w.t.. Semoga mana-mana impian yang belum mampu dicapai, akan jua dimakbulkan Allah s.w.t walau mungkin terpaksa melalui banyak cabaran.

Bukan sebuah kehidupan andai tiada cabaran. Setiap ujian itu mampu mendewasakan tindakan kita untuk hari-hari seterusnya. Mungkin ada pahitnya, tapi manisnya jua tetap ada. Jika bukan hari ini, mungkin esok, mungkin juga lusa, tetapi sentiasalah kita ingat bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sehina-hina kita sebagai hambaNya di muka bumi ini, insyaAllah ada waktunya kita boleh tersenyum gembira, tanpa kita sedar bahawa itulah sebenar-benarnya nikmat yang kita cari selama ini.

Setahun yang berlalu banyak memberi teladan kepada saya. Sebuah perjalanan yang panjang, tetapi terasa pendek sahaja masanya. Alhamdulillah, kehidupan saya bertambah baik dari hari ke hari. Saya tetap bersemangat meneruskan kehidupan dan membina keyakinan yang lebih baik bahawa hidup ini direncanakan secara sempurna oleh Allah s.w.t.. Akan ada hikmah yang besar selepas setiap ujian yang melanda.

Setahun

Dari sisi lain, cukuplah setahun sudah saya berada di sini, dengan membawa harapan kepada diri sendiri bahawa wujudnya blog ini adalah untuk mewarnai hari-hari saya yang mendatang dengan lebih sempurna, semoga ia juga mampu menjadi bekalan menuju ke pengakhiran yang abadi. Doa saya juga, semoga blog ini akan terus memberi manfaatnya kepada diri sendiri dan kepada semua sahabat yang masih setia mengikuti tulisan di sini.

Saya mengharapkan apa saja amalan yang dilaksanakan sepanjang kehidupan ini akan mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.. Saya sentiasa cuba untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa, memujuk nafsu supaya tidak terlalu ikutan dalam dunia yang serba-serbi haru-biru kebelakangan ini. Saya mahukan identiti Muslim yang tersendiri. Semoga saya juga mampu menjadi teladan kepada orang lain, mampu memberi kebaikan kepada semua yang mengenali saya, insyaAllah. Jauhkanlah segala sifat-sifat yang buruk daripada diri ini, kerana sesungguhnya azab di akhirat nanti amatlah memeritkan.

Tidak dinafikan dari semasa ke semasa masih ada komen-komen sampah yang masuk ke blog ini, namun seperti biasa, memang saya tidak berminat untuk melayannya. Komen-komen yang berupa fitnah tiada gunanya saya sambut. Biarkan saja ia terperap ditelan peredaran masa. Sekiranya ada fitnah yang menular, saya lebih suka mendiamkan diri berbanding membuat sebarang kenyataan penafian, melainkan ia sudah keterlaluan.

12 Tahun

Melewati tahun baru ini juga, alhamdulillah, usia perkahwinan saya menjangkau 12 tahun. Tiada lain yang kami harapkan melainkan doa yang berterusan semoga rumahtangga ini akan sentiasa dilimpahi rahmatNya. Jauhkanlah kami daripada sebarang ujian yang tidak mampu kami tanggung. Semoga apa jua yang mendatang akan mendekatkan lagi kami kepadamu Ya Allah.

Saya meminta suami meraikannya untuk ke suatu tempat yang boleh dianggap istimewa kepada kami berdua. Permintaan saya ditunaikan – tapi nampaknya keinginan saya untuk ke Pulau Langkawi masih belum tertunai kerana cuaca tempohari tidak mengizinkan.

Tiada sambutan istimewa sebenarnya, sekadar makan-makan sahaja – dan kami tetap memilih menu Arab kerana sangat sukakannya. Tiada lafaz janji baru dibuat, hanya borak-borak santai merencanakan agenda keluarga kami yang lebih padat pada tahun hadapan.

Agenda

Sebagai seorang ibu yang berstatus surirumah, antara agenda yang menjadi keutamaan saya adalah anak-anak. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula menjejakkan kaki ke sekolah. Untuk sesi persekolahan akan datang, seorang lagi anakanda saya akan memulakan sesi persekolahan tadika. Sungguh saya tidak sabar untuk melihat anak yang seterusnya ini memakai uniformnya. Jika bilangan anak yang bersekolah bertambah bilangannya, maka secara tidak langsung bertambahlah tugas saya sebagai driver.

Kerana saya antara ibu yang sukakan kepelbagaian, maka bermula sesi persekolahan baru nanti saya perlu menghantar/ mengambil anak-anak pada empat buah sekolah yang berbeza-beza! Anakanda sulong di sekolah lain, anakanda yang kedua di sekolah lain, si kembar di sekolah lain, dan si adik juga di sekolah yang berbeza.

Seperti biasa, keutamaan hanya kepada anakanda yang baru melangkah ke  alam persekolahan. Didikan saya tidak berubah. Pakai saja apa yang masih boleh dipakai. Pakaian baru dan kasut baru hanya disediakan selepas cuti penggal pertama. Awal sesi persekolahan saya hanya menyediakan kewangan untuk alatulis baru dan menyelesaikan masalah berkaitan yuran pengajian sahaja. Beg sekolah baru pula hanya diberikan apabila mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Agihan kewangan untuk waktu sebegini sangatlah penting, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang mempunyai ramai anak memulakan sesi persekolahan. Bagi saya, yang paling penting adalah terlebih dahulu menyelesaikan yuran pengajian anak-anak.

Anakanda sulong saya akan melangkah ke darjah lima untuk sesi persekolahan baru nanti – hati seorang ibu mula berdebar untuk UPSR – walaupun lambat lagi, anakanda kedua pula akan ke darjah dua – nampaknya sudah mula boleh menguasai tulisan, membaca dan memahami pertuturan bahasa cina, walaupun masih malu-malu untuk menuturkannya sendiri. Saya tumpang seronok walaupun tidak memahaminya! Tetapi jauh di sudut hati terasa juga sedikit terkilan kerana tidak berpeluang membantunya sewaktu membuat homework. Hanya setia berada disisi sambil memberi komen-komen membina untuk memotivasikan dirinya.

Motivasi

Motivasi yang baik daripada ibubapa akan membantu anak-anak tekun dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Saya cuba memberi yang terbaik kepada anak-anak, cuba memahami jiwa mereka. Namun tentunya ada juga kemahuan yang mereka impikan tidak mampu saya tunaikan. Pentingnya, kita telah laksanakan yang terbaik dan iringkan dengan doa yang berterusan daripada ibubapa semoga anak-anak akan berjaya dalam kehidupan mereka. Bukan hanya berjaya dalam kehidupan dunia tetapi sejahteralah hatinya nanti menuju akhirat, insyaAllah!

Saya juga berimpian untuk menjadikan anak-anak sebagai Hafiz dan Hafizah. Saya sedang merancang dan cuba membentuk anak-anak kearah impian tersebut. InsyaAllah akan tiba masanya nanti, apabila anak-anak mula menamatkan sesi persekolahan rendah.

Awalan ini si sulong mula menghafaz surah-surah pendek untuk dibaca didalam sembahyangnya, kala tertentu dia akan menjadi imam kepada adiknya. Saya akan mendengar hafalannya itu dan membetulkan mana yang silap. Mudah-mudahan cuti yang panjang ini mampu menambahkan lagi surah-surah hafalannya itu. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu kaedah sebenar untuk menghafaz al-Quran, sekadar menghafaz ikut-ikutan sebagaimana saya menghafaz surah-surah semasa sesi persekolahan dulu-dulu. Kira menjadi jugaklah.

Dalam berpolitik, besar harapan saya semoga PAS akan terus maju mendokong ISLAM, bergerak gagah menawan Malaysia. InsyaAllah!

7.00pm

53

Salam Ukhuwah…

Syukur Alhamdulillah, pada 24 Zulhijjah 1431/ 1 Disember 2010 yang lalu, lebih kurang jam 10.30 pagi, lahirlah seorang lagi bayi lelaki ke dalam keluarga besar kami. Saya tumpang gembira dengan kelahiran ini. Sangat teruja kerana bilangan anak saudara saya yang bertambah, jua inilah cucu yang ke 53 ayahbonda.

Saya sangat yakin bahawa kekanda saya Nik Adli dan kakak ipar saya Sles Monira, betul-betul teruja kerana sangat sudah lama mereka menanti untuk menambah bilangan ahli keluarga. Akhirnya penantian mereka selama lapan tahun telah dimakbulkan Allah pada hari itu. Tahniah! Semoga bertambahlah rezeki dan kebahagiaan keluarga kalian dengan hadirnya permata hati yang ketiga ini. InsyaAllah!

Seawal 8.30 pagi saya menerima sms daripada adinda yang mengkhabarkan kakak ipar telahpun berada di klinik, bersedia untuk bersalin pada bila-bila masa sahaja. Bonda dan adinda turut hadir menemani proses kelahiran.

Saya sempat melawat anak saudara baru di klinik selepas kelahirannya, si kecil yang mirip abangnya yang kedua, berkulit putih dan bermata sepet. Adinda saya pula sibuk merakam gambar. Tidak boleh berlama-lama di situ, lebih kurang setengah jam selepas itu saya pun berlalu untuk mengambil anak-anak yang berada di kelas melukis. InsyaAllah jika keluangan lagi saya boleh menjenguk mereka di rumah pula.

8.45am