• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2010
    S M T W T F S
    « Nov   Jan »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  

Salam Muharam 1432

Salam Ukhuwah…

Dalam saya tertangguh-tangguh menyiapkan artikel ‘Salam Muharam 1432’, rupanya hari ini kami sekeluarga menerima berita gembira – SPRM TUTUP KES MELIBATKAN NIK AZIZ DAN MENANTU – itu sms yang saya terima pada jam 4.44 petang tadi daripada seorang sahabat di Kuala Lumpur. Alhamdulillah! Terima kasih jua kepada sahabat-sahabat yang mengucapkan tahniah kepada kami. Bak kata sms daripada kakak ipar saya, ‘what a gracious Muharam’! Ya, kebenaran itu tetap akan muncul kerana Allah itu Maha Adil.

Meneruskan artikel ini, saya memanjangkan Salam Muharan 1432 kepada semua sahabat. Mudah-mudahan ia belum lagi benar-benar terlambat hendaknya…Kesibukan urusan harian membantutkan ruang saya di sini.

Alhamdulillah, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk menghirup nyaman udara Muharam 1432. Ironinya, tahun baru = azam baru. Sebaiknya kita cuba berazam untuk menggunapakai baki hayat yang ada ini untuk terus bersemangat mengejar segala kejayaan di dunia, namun sesekali jangan lupakan akhirat yang kekal abadi. Mencintai dunia biar ada batasnya, tetapi mencintai akhirat itu adalah segala-galanya.

Tetapkanlah hati ini dalam Islam. Berdoalah sentiasa tanpa ada halangan semoga ada ketikanya doa kita ini akan dimakbulkan Allah s.w.t.. Semoga mana-mana impian yang belum mampu dicapai, akan jua dimakbulkan Allah s.w.t walau mungkin terpaksa melalui banyak cabaran.

Bukan sebuah kehidupan andai tiada cabaran. Setiap ujian itu mampu mendewasakan tindakan kita untuk hari-hari seterusnya. Mungkin ada pahitnya, tapi manisnya jua tetap ada. Jika bukan hari ini, mungkin esok, mungkin juga lusa, tetapi sentiasalah kita ingat bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, sehina-hina kita sebagai hambaNya di muka bumi ini, insyaAllah ada waktunya kita boleh tersenyum gembira, tanpa kita sedar bahawa itulah sebenar-benarnya nikmat yang kita cari selama ini.

Setahun yang berlalu banyak memberi teladan kepada saya. Sebuah perjalanan yang panjang, tetapi terasa pendek sahaja masanya. Alhamdulillah, kehidupan saya bertambah baik dari hari ke hari. Saya tetap bersemangat meneruskan kehidupan dan membina keyakinan yang lebih baik bahawa hidup ini direncanakan secara sempurna oleh Allah s.w.t.. Akan ada hikmah yang besar selepas setiap ujian yang melanda.

Setahun

Dari sisi lain, cukuplah setahun sudah saya berada di sini, dengan membawa harapan kepada diri sendiri bahawa wujudnya blog ini adalah untuk mewarnai hari-hari saya yang mendatang dengan lebih sempurna, semoga ia juga mampu menjadi bekalan menuju ke pengakhiran yang abadi. Doa saya juga, semoga blog ini akan terus memberi manfaatnya kepada diri sendiri dan kepada semua sahabat yang masih setia mengikuti tulisan di sini.

Saya mengharapkan apa saja amalan yang dilaksanakan sepanjang kehidupan ini akan mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.. Saya sentiasa cuba untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa, memujuk nafsu supaya tidak terlalu ikutan dalam dunia yang serba-serbi haru-biru kebelakangan ini. Saya mahukan identiti Muslim yang tersendiri. Semoga saya juga mampu menjadi teladan kepada orang lain, mampu memberi kebaikan kepada semua yang mengenali saya, insyaAllah. Jauhkanlah segala sifat-sifat yang buruk daripada diri ini, kerana sesungguhnya azab di akhirat nanti amatlah memeritkan.

Tidak dinafikan dari semasa ke semasa masih ada komen-komen sampah yang masuk ke blog ini, namun seperti biasa, memang saya tidak berminat untuk melayannya. Komen-komen yang berupa fitnah tiada gunanya saya sambut. Biarkan saja ia terperap ditelan peredaran masa. Sekiranya ada fitnah yang menular, saya lebih suka mendiamkan diri berbanding membuat sebarang kenyataan penafian, melainkan ia sudah keterlaluan.

12 Tahun

Melewati tahun baru ini juga, alhamdulillah, usia perkahwinan saya menjangkau 12 tahun. Tiada lain yang kami harapkan melainkan doa yang berterusan semoga rumahtangga ini akan sentiasa dilimpahi rahmatNya. Jauhkanlah kami daripada sebarang ujian yang tidak mampu kami tanggung. Semoga apa jua yang mendatang akan mendekatkan lagi kami kepadamu Ya Allah.

Saya meminta suami meraikannya untuk ke suatu tempat yang boleh dianggap istimewa kepada kami berdua. Permintaan saya ditunaikan – tapi nampaknya keinginan saya untuk ke Pulau Langkawi masih belum tertunai kerana cuaca tempohari tidak mengizinkan.

Tiada sambutan istimewa sebenarnya, sekadar makan-makan sahaja – dan kami tetap memilih menu Arab kerana sangat sukakannya. Tiada lafaz janji baru dibuat, hanya borak-borak santai merencanakan agenda keluarga kami yang lebih padat pada tahun hadapan.

Agenda

Sebagai seorang ibu yang berstatus surirumah, antara agenda yang menjadi keutamaan saya adalah anak-anak. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula menjejakkan kaki ke sekolah. Untuk sesi persekolahan akan datang, seorang lagi anakanda saya akan memulakan sesi persekolahan tadika. Sungguh saya tidak sabar untuk melihat anak yang seterusnya ini memakai uniformnya. Jika bilangan anak yang bersekolah bertambah bilangannya, maka secara tidak langsung bertambahlah tugas saya sebagai driver.

Kerana saya antara ibu yang sukakan kepelbagaian, maka bermula sesi persekolahan baru nanti saya perlu menghantar/ mengambil anak-anak pada empat buah sekolah yang berbeza-beza! Anakanda sulong di sekolah lain, anakanda yang kedua di sekolah lain, si kembar di sekolah lain, dan si adik juga di sekolah yang berbeza.

Seperti biasa, keutamaan hanya kepada anakanda yang baru melangkah ke  alam persekolahan. Didikan saya tidak berubah. Pakai saja apa yang masih boleh dipakai. Pakaian baru dan kasut baru hanya disediakan selepas cuti penggal pertama. Awal sesi persekolahan saya hanya menyediakan kewangan untuk alatulis baru dan menyelesaikan masalah berkaitan yuran pengajian sahaja. Beg sekolah baru pula hanya diberikan apabila mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Agihan kewangan untuk waktu sebegini sangatlah penting, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang mempunyai ramai anak memulakan sesi persekolahan. Bagi saya, yang paling penting adalah terlebih dahulu menyelesaikan yuran pengajian anak-anak.

Anakanda sulong saya akan melangkah ke darjah lima untuk sesi persekolahan baru nanti – hati seorang ibu mula berdebar untuk UPSR – walaupun lambat lagi, anakanda kedua pula akan ke darjah dua – nampaknya sudah mula boleh menguasai tulisan, membaca dan memahami pertuturan bahasa cina, walaupun masih malu-malu untuk menuturkannya sendiri. Saya tumpang seronok walaupun tidak memahaminya! Tetapi jauh di sudut hati terasa juga sedikit terkilan kerana tidak berpeluang membantunya sewaktu membuat homework. Hanya setia berada disisi sambil memberi komen-komen membina untuk memotivasikan dirinya.

Motivasi

Motivasi yang baik daripada ibubapa akan membantu anak-anak tekun dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Saya cuba memberi yang terbaik kepada anak-anak, cuba memahami jiwa mereka. Namun tentunya ada juga kemahuan yang mereka impikan tidak mampu saya tunaikan. Pentingnya, kita telah laksanakan yang terbaik dan iringkan dengan doa yang berterusan daripada ibubapa semoga anak-anak akan berjaya dalam kehidupan mereka. Bukan hanya berjaya dalam kehidupan dunia tetapi sejahteralah hatinya nanti menuju akhirat, insyaAllah!

Saya juga berimpian untuk menjadikan anak-anak sebagai Hafiz dan Hafizah. Saya sedang merancang dan cuba membentuk anak-anak kearah impian tersebut. InsyaAllah akan tiba masanya nanti, apabila anak-anak mula menamatkan sesi persekolahan rendah.

Awalan ini si sulong mula menghafaz surah-surah pendek untuk dibaca didalam sembahyangnya, kala tertentu dia akan menjadi imam kepada adiknya. Saya akan mendengar hafalannya itu dan membetulkan mana yang silap. Mudah-mudahan cuti yang panjang ini mampu menambahkan lagi surah-surah hafalannya itu. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu kaedah sebenar untuk menghafaz al-Quran, sekadar menghafaz ikut-ikutan sebagaimana saya menghafaz surah-surah semasa sesi persekolahan dulu-dulu. Kira menjadi jugaklah.

Dalam berpolitik, besar harapan saya semoga PAS akan terus maju mendokong ISLAM, bergerak gagah menawan Malaysia. InsyaAllah!

7.00pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: