• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    December 2010
    S M T W T F S
    « Nov   Jan »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    262728293031  

Pulau Langkawi

Salam Ukhuwah…

Akhirnya saya dan suami serta si kembar berpeluang bercuti ke Pulau Langkawi pada hujung minggu yang lalu. Kami meluangkan 5 hari 4 malam untuk sesi bercuti kali ini.

Saya hanya membawa si kembar apabila tiga lagi anak yang lain telahpun bercuti di Kuala Lumpur seminggu sebelumnya. Si kecil hanya bercuti di rumah bersama bibik…

Percutian kali ini merupakan episod kedua saya di pulau ini selepas 12 tahun sebelumya.

Seawalnya kami telah membuat keputusan untuk menggunakan khidmat ejen pelancongan bagi memudahkan percutian kali ini. Namun sebaliknya yang berlaku, apabila ejen tersebut membuat ‘kesilapan’ apabila nama kami tiada di dalam sistem komputer semasa ingin daftar masuk di Terminal Pengangkutan Kos Rendah (LCCT) untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL). Kami terpaksa membeli tiket penerbangan yang baru selepas menunggu satu jam di lapangan terbang tersebut. Sungguh mengharu-birukan!

Penerbangan dari LCCT ke LTAL memakan masa lebih kurang 1 jam.

Namun, kata orang menaiki feri ke Pulau Langkawi sebenarnya lebih menarik berbanding berpergian dengan kapal terbang. Saya menyetujuinya apabila langkah pertama dulu ke Pulau ini dengan menaiki feri begitu menyeronokkan dengan pemandangan yang menarik, tentunya barisan pulau-pulau sepanjang perjalanan dan lambungan ombak yang mengancam! Kos juga tentunya lebih menjimatkan.

Selain dari tambang yang lebih murah, tiada lagi caj lain yang akan dikenakan termasuklah lebihan bagasi mahupun timbangannya.

Setibanya di LTAL, kami di jemput oleh saudara Zamri, seorang sahabat yang baru diperkenalkan untuk membantu sepanjang percutian di pulau ini. Kami menggunakan perkhidmatan teksinya untuk menikmati percutian yang sempurna, tanpa perlu merisaukan tentang hal-hal berkaitan jalan, tempat menarik untuk dituju dan pelbagai maklumat tempatan yang diperlukan sepanjang percutian kami ini.

Ikan Bakar!

Kami langsung menuju ke tempat penginapan, berehat seketika kerana hari sudahpun lewat petang. Usai solat Jama’ kami sudah bersedia untuk menikmati makan malam istimewa – ikan bakar! Orang kata juga, kalau ke pulau ini tidak sah jika tidak menjamah ikan bakar. Mungkin juga – sungguh menyelerakan!

Keesokan paginya, kami telah berada di stesen Kereta Kabel Langkawi sebelum waktu tengahari. Terima kasih kepada saudara Zamri yang telah menyediakan tiket untuk kami – tidak perlu lagi untuk beratur panjang – yang saya kira beratur untuk mendapatkan tiket dan beratur lagi untuk mendapatkan kereta kabel sudah memakan masa setengah jam berdiri!

Dari puncak jambatan gantung besi (suspension bridge) nun di atas sana dapatlah kita menghayati satu panorama Langkawi yang mempunyai keindahan begitu menarik. Selain dari pemandangan pulau-pulau yang banyak bertebaran, kelihatan di lautan sana banyak bot yang berlabuh di sini. Kami diberitahu bahawa Langkawi kian menjadi pusat pelayaran yang terkenal di Asia Timur dengan adanya empat buah marina yang moden di sini.

Island Hopping!

Keesokannya pula kami melakukan aktiviti island hopping yang memakan masa separuh hari, dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Kami dibawa menaiki bot bersama 15 orang pelancong lain untuk pergi ke beberapa tempat yang telah diaturkan.

Kami dibawa belayar dengan bot kecil yang dipandu laju menuju sekitar pulau dan menikmati pengalaman yang hebat dengan ombak yang kuat. Seketika kami berhenti di kawasan hutan paya bakau untuk melihat kawanan helang mencari makanan. Tarikan ini sungguh menakjubkan.

Lebih kurang 10 minit memerhati panorama tersebut, kami mula dibawa menuju ke Pulau Dayang Bunting. Kedatangan kami di sini disambut mesra oleh monyet-monyet yang begitu banyak sekali di dalam habitat semulajadinya sepanjang laluan papan untuk ke Tasik Dayang Bunting. Dari si tua hinggalah kepada yang baru sahaja dilahirkan – sangat kecil dan berwarna pink – semuanya jinak sekali menanti kedatangan pelancong dengan harapan akan disuakan makanan.

Kami diberi masa 1 jam untuk menikmati tasik ini. Walau bagaimanapun, untuk sampai ke tasik tersebut terlebih dahulu perlu mendaki bukit yang tingginya boleh tahan! Sempatlah merasa penat sebelum dapat menjamu mata melihat ketenangan air tasiknya yang sangat menghijau di kelilingi pokok-pokok merimbun – sungguh menyegarkan alam. Ramai juga pelancong yang mengambil peluang untuk mandi-manda. Namun kami hanya naik bot solar sahaja.

Seterusnya kami dibawa ke Pulau Beras Basah. Monyet-monyet juga banyak berkeliaran di sini. Peruntukan masa 1 jam diberikan untuk melakukan pelbagai aktiviti sampingan. Ramai yang mengambil kesempatan mandi laut. Kami hanya makan-makan sahaja kerana perut sudah mula terasa lapar.

Taman Geopark

Saya fikir percutian kali ini lebih dari apa yang kami jangkakan, sangat menarik dan seronok dapat meneroka sekitar pulau ini. Pulau Langkawi hari ini bukan sahaja menawarkan sekadar percutian laut menarik, tetapi turut merangkumi tarikan lain seperti Taman Geopark yang merupakan satu tarikan baru menggambarkan keunikan alam semulajadi. Saya tidak melepaskan peluang untuk menaiki gajah bersama si kembar selama 10 minit melalui laluan hutan yang selamat.

Alhamdulillah, tiada masalah cuaca sepanjang kami berada di sini.

Walaupun ingatan terbang merindui anak-anak lain yang ditinggalkan, namun sesi bercuti ini seringkali terasa pendek. Percutian kami ini masih tidak cukup untuk meneroka segala yang terdapat di sini. Saya hanya berkesempatan melawat lima tempat menarik, tentunya masih banyak lagi tarikan lain yang sedang menanti kedatangan pelancong seperti kami ini.

5.00pm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: