• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2011
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Calon

Salam Ukhuwah…

Saya dahulukan dengan kalungan tahniah buat Puan Normala Sudirman. Mesra disapa dengan panggilan Cikgu Mala, merupakan calon wanita dari PAS yang bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini. Semoga kemenangan menjadi milik kita, insyaAllah! Sama-sama kita doakan!

Senario hari ini memperlihatkan bahawa tidak asing lagi jika wanita mula bersedia tampil untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Mereka juga mempunyai aura kepimpinan dan bersedia seiring membantu untuk membangunkan masyarakat dan Negara.

Keadaan masyarakat yang berbilang kaum, adat dan budaya serta suasana masyarakat setempat juga antara faktor keperluan penglibatan wanita dalam bidang politik. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini wanita yang menjadi calon dalam pilihan raya di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah.

Jika suatu ketika dahulu sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dan Negara kelihatan begitu kurang sekali, tetapi tidak lagi pada hari ini apabila kita sudah mampu melihat bahawa peranan mereka sudah tidak boleh disisih dan diketepikan lagi. Mereka mampu menjadi contoh yang berkualiti dalam kepimpinan Negara.

Peluang yang diberikan kepada wanita hari ini kelihatannya bertambah baik, apabila mereka telah diberi kesempatan yang lebih sempurna untuk bersama-sama berjuang dalam bidang politik, seterusnya turut berada didalam portfolio pentadbiran negara samada dibidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial, dan budaya.

Pencapaian pendidikan wanita yang lebih tinggi pada masa kini, secara langsung membentuk keperibadian mereka untuk lebih berdaya saing dan bersemangat kental dalam menghadapi cabaran semasa. Mereka lebih bersedia dalam memastikan potensi, bakat, kebolehan, kemahiran, dan kepakaran serta tahap keprofesionalisme mereka disedari dan diiktiraf. Pengetahuan yang lebih baik ini juga mendorong penyertaan mereka dalam pelbagai bidang penting Negara, termasuklah sebagai ahli politik.

Martabat yang Sempurna

Islam membenarkan wanita melibatkan diri  dalam pelbagai bidang penting Negara, seperti politik, ekonomi dan sosial dengan matlamat untuk bersama-sama membangun dan memajukan Negara serta ummah keseluruhannya.

Martabat kaum wanita telah diletakkan pada tempat yang sempurna didalam Islam dan memiliki hak-hak keistimewaan yang tersendiri. Kaum wanita telah diberi kedudukan dan penghormatan serta dimuliakan pada tahap yang sewajarnya, mengikut lunas-lunas Islam dan fitrah kejadian mereka. Bahkan mereka berpeluang untuk turut berperanan dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika wanita terlibat dibidang politik sekalipun, tugasan sebagai ahli politik sebenarnya masih berada didalam tabii kewanitaan. Tentunya ahli politik tidak terlibat dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kekuatan fizikal, tetapi ia lebih menggunakan kebijaksanaan berfikir dan kepantasan bertindak.

Islam melihat kesemua manusia dengan pandangan yang sama, kerana asal usul mereka juga adalah sama. Beza antara manusia adalah mengikut tahap ketaqwaannya kepada Allah s.w.t., bukannya jantina seseorang itu. Secara tidak langsung terurailah tohmahan bahawa Islam mengongkong dan mendiskriminasikan wanita.

Muslimah

Penglibatan kaum wanita yang membawa imej Muslimah juga semakin dipandang positif. Satu persepsi yang baik mula mampu dibina kepada wanita yang berimej sedemikian. Mereka tidak lagi dipandang sebagai suatu kaum yang sekadar bergelar anak, isteri dan ibu, tetapi sudah mula bersedia untuk berperanan dan menyumbang kepada masyarakat awam.

Wanita Muslimah juga mampu menjadi wakil dan berkhidmat untuk rakyat. Mereka terpilih daripada kalangan yang berkemampuan dan bijak. Ini kerana mereka juga sudah memiliki kepakaran untuk memiliki maklumat yang setanding sesiapa saja di luar sana.

Suasana hari ini juga turut menuntut wanita Muslimah untuk bersama-sama menerajui kepimpinan. Penglibatan mereka adalah bertujuan untuk menjadi wakil kepada wanita Islam lain dalam memberi idea terbaik mengurus isu-isu kewanitaan sejagat dengan lebih islamik, bukannya berterusan dikuasai oleh wanita sekular dan prejudis kepada Islam. Kita tidak mahu berterusan memberi kemenangan kepada calon wanita yang secara jelas tidak menyokong perjuangan Islam yang sebenar.

Sebuah Kehidupan

Imam Al-Ghazali telah mendefinasikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Beliau juga turut menekankan bahawa politik dan agama bagaikan dua saudara kembar. Agama sebagai asas kepada sebuah kehidupan, manakala politik adalah kekuasaan yang merupakan penjaganya. Maka, apa saja perkara didalam kehidupan ini yang tidak mempunyai asas agama sudah tentulah ia akan runtuh, begitulah juga apabila sesebuah kekuasaan tidak dijaga dengan sempurna akan hilang dan lenyap begitu sahaja.

Apabila dimaksudkan bahawa politik itu sebagai sebuah kehidupan, maka setiap daripada kita  yang berkecimpung dalam bidang politik akan memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat awam.

Justeru itu, apabila wanita memutuskan untuk bersama-sama terlibat dalam bidang politik, mereka sebenarnya telah bersedia untuk melangkah lebih jauh keluar dari lingkungan pengurusan rumahtangga, untuk ‘duduk’ didalam masyarakat bertujuan menyumbang peranan dalam pembangunan masyarakat dan Negara.

Fitnah

Walaupun politik di Malaysia sering sahaja teruji dengan pelbagai fitnah yang mengotorkan setiap individu yang terlibat didalamnya, kita sendiri telahpun mempunyai garis panduan berlandaskan Islam dan saranan terbaik kepada wanita sebelum mereka melibatkan diri sebagai calon pilihan raya, seterusnya menjadi seorang pemimpin wanita yang berjaya.

Maka, apabila wanita telah membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam politik, mereka perlu bijak untuk mengurus masa di antara keluarga dan cita-cita. Sudah tentunya terlebih dahulu mereka perlu mendapat keizinan sepenuh hati daripada suaminya. Selain daripada itu sokongan jitu daripada suami dan setiap ahli keluarga, amatlah diperlukan untuk memahami tugasan yang diamanahkan kepada mereka.

Anak-anak perlu diberi kefahaman sempurna tentang tugasan ibu yang berpolitik, agar mereka tahu untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan. Kita juga tidak mahu kecemerlangan seorang ibu yang berjaya dalam berpolitik dibayangi dengan ahli keluarga yang terabai kehidupan mereka.

Umumnya wanita yang terlibat didalam politik dilihat perlu lebih menjaga akhlaknya. Mereka perlu menjaga baik etika pergaulan apabila berada di kalangan lelaki, dengan bersikap lebih serius dan berusaha untuk menghindari apa jua perilaku yang boleh mendatangkan fitnah. Keseriusan semasa bermu’amalah ini boleh membantu menutup peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mencipta fitnah dengan tujuan menimbulkan kerosakan peribadi calon tersebut.

Wanita juga perlu menjaga baik maruah dan keselamatan dirinya. Berpakaian menutup aurat tentunya suatu cara untuk memelihara kemuliaan mereka. Sudah tentu berpakaian yang elok akan membantutkan niat jahat manusia yang sentiasa bernafsu negatif keatas wanita.

Kaum wanita yang menceburi apa jua bidang pekerjaan tidaklah perlu berlagak sebagaimana lelaki semata-mata mahu dihormati, tetapi berdirilah atas keyakinan diri sendiri bahawa seseorang itu akan dihormati kerana ketegasan prinsipnya. Sudah tentulah wanita perlu mengekalkan adab sopannya, menutup aurat, tidak bersolek, dan mendapat keizinan daripada suami jika dia sudah berkahwin.

Selain dari terlibat dalam bidang politik, wanita juga digalakkan untuk melibatkan diri dan bergiat melalui pelbagai pertubuhan Non-governmental Organization (NGO), untuk bersama-sama menyalurkan idea dalam usaha membangunkan Negara.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 28 Januari – 3 Februari 2011/ 23 – 29 Safar 1432. Terima kasih.)

Istimewa

Salam Ukhuwah…

Allah s.w.t. telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang sangat istimewa, asasnya sebagai peneman kesunyian kepada kaum lelaki, sebagaimana terciptanya Hawa untuk Adam.

Tentunya apabila seorang lelaki dan wanita bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan, maka hadirlah kegembiraan, ketenangan dan kedamaian dalam jiwa setiap pasangan. Akan wujudlah seorang pendorong semangat, teman untuk senyum tawa dalam bergurau senda, berkasih sayang dan berkongsi rasa apa saja sehingga ke akhir hayat.

Walau bagaimanapun, sebelum wanita ini melangkah jauh mencari kecemerlangan diri – daripada menjadi seorang anak sehinggalah mereka pula bergelar seorang ibu – langkah kakinya sangatlah panjang di dunia yang terbentang luas ini. Maka haruslah terlebih dahulu mereka memahami apakah penceritaan al-Quran terhadap penciptaan mereka di dunia ini.

Al-Quran telah menyatakan secara rumusnya bahawa wanita ini terbahagi kepada tiga keadaan umum; ada wanita yang dirinya mampu menjadi fitnah dan musuh kepada manusia lain, ada juga wanita yang menjadi ujian besar kepada kaum lelaki kerana penampilannya amat mempesonakan kepada setiap mata yang memandang, dan tentunya pilihan akhir ini adalah impian setiap daripada kita, menjadi wanita yang menjadi anugerah  paling bernilai kepada seorang lelaki yang bergelar suami dalam mencari syurga di dunia ini.

Wanita dikurniakan Allah s.w.t dengan wajah yang cantik, sedap mata apabila memandangnya. Ada manis dan mulusnya. Tetapi sebenarnya cantik pada wanita itu bukanlah pada solekan yang dikenakannya, bukan pada pakaian yang digayakannya, bukan pada ukuran badannya yang meliuk lintuk, bahkan cantiknya yang sebenar adalah terletak pada akalnya untuk bijak memilih jalan yang terbaik dalam kehidupannya.

Untuk melahirkan dan membentuk wanita yang baik inilah kita memerlukan suatu asuhan dan didikan yang sempurna, mengikut acuan Islam sedari kecil lagi. Maka tentunya kita juga memerlukan seorang ibu, yang juga merupakan seorang wanita yang elok pekerti dalam mendidiknya. Wanita bermaruah insyaAllah akan menyumbang kepada lahirnya generasi yang sempurna perwatakannya. Inilah suatu kitaran hidup yang terbaik telah diaturcarakan oleh Allah s.w.t..

Daripada pandangan mata kasar kita hanya dapat melihat wanita adalah suatu makhluk Allah s.w.t yang lemah fizikalnya. Kadangkala juga kita melihat wanita menggunakan air matanya sebagai senjata untuk meraih simpati. Tetapi sebenarnya air mata itulah kurniaan besar daripada Allah s.w.t. dalam memberi peluang untuk mereka mengekspresikan emosi dalam pelbagai keadaan, baik ketika mereka sedang sedih, bahagia, bangga, dan sebagainya.

Unik

Tetapi jika kita perhalusi ciptaan ini sebenarnya wanita sangatlah unik. Mereka dikurniakan sifat yang berlemah-lembut, tetapi ada ketegasan dalam jiwanya. Lazimnya mereka mampu menanggung bebanan kejiwaan yang kuat. Walau dalam keadaan sukar sekalipun, wanita yang baik seringkali berhabisan mempertahankan maruah dirinya walau diuji seteruk mana sekalipun. Mereka tetap akan berusaha untuk menjaga kehormatan dirinya daripada diganggu anasir jahat di luar sana.

Lebih-lebih lagi apabila wanita diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk melalui proses mengandung yang meletihkan, dan begitu mencabar dari segi fizikal serta mental sepanjang tempoh sembilan bulan. Seterusnya kesusahan untuk melahirkan zuriat sebagai penyambung keturunan, langsung membesarkan dan mendidik anak-anak ini dengan penuh kasih sayang.

Jika kita berpandukan logik akal, proses mengandung sepatutnya dikurniakan kepada kaum lelaki, kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal untuk menanggung beban kandungan tersebut yang beratnya berkilo-kilo, dan alahan sepanjang sesi tersebut.

Tetapi disinilah istimewanya wanita apabila Allah s.w.t. memilihnya untuk diberi kelayakan tersebut. Ini kerana mereka memiliki jiwa dalaman yang lebih kuat. Mereka lebih bersifat penyabar, lemah-lembut dan penyayang, dimana sifat-sifat inilah yang akan diguna pakai untuk menjaga seeloknya zuriat yang dikandungnya itu. Mereka lebih peka dalam memberi kasih sayang kepada zuriatnya dalam keadaan mana sekalipun.

Kaum lelaki agak sukar untuk meluahkan kasih sayang mereka secara jelas. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan sebagai suami dan ayah, mereka sebenarnya lebih tegar untuk membina sebuah keluarga yang bahagia.

Jalan Hidup

Seorang ibu yang baik akan cuba membentuk keluarganya dengan ciri-ciri sebuah rumahtangga Muslim yang sempurna. Dengan harapan semoga zuriatnya ini mampu menjadi seorang yang patuh, bertanggungjawab, amanah, berdisiplin, bermotivasi, dan tahu bagaimana untuk memilih jalan hidup yang terbaik, atas kesedaran dan kefahaman tentang peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan dalam kehidupan Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang bergelar ibulah yang akan membina pemimpin dan generasi terbaik pada masa hadapan. Ibu yang baik akan bersedia menyediakan dirinya sebagai guru dalam memberi didikan awalan kepada anak-anak. Istimewanya apabila mereka mampu mengajar anak-anak secara praktikal – bukan sekadar amali – tentang soal akhlak, adab sopan, tingkah laku seiring dengan kehendak Islam, dengan memberi contoh teladan yang sempurna kepada anak-anak ini.

Peranan seorang wanita sangatlah besar dalam melindungi generasi baru dari terus terjebak dalam pelbagai anasir jahat di luar sana. Anak-anak sememangnya sangat memerlukan perhatian daripada seorang ibu, apabila bapa mereka telah sibuk keluar untuk mencari rezeki bagi menampung sebuah keluarga. Maka disinilah peranan ibu sangat diperlukan sebagai penyokong kepada tumbesaran dan perkembangan maksimum anak-anak mereka.

Dari sini kita dapat melihat bahawa Islam telah meletakkan suatu kedudukan yang sempurna elok kepada wanita di dunia ini. Tiada agama lain di dunia yang memberi fokus seistimewa ini terhadap wanita melainkan Islam. Wanita telah dikurniakan hak dan dilayani sesuai dengan fitrah dan kejadian mereka.

Jika seorang anak gadis telah dididik sempurna oleh seorang ibu yang bermaruah, maka akan lahirlah seorang wanita yang mampu menjadi anak yang taat kepada kedua ibubapanya,  menjadi isteri terbaik kepada suaminya apabila dia berjaya dalam menjamin kerukunan dan kesejahteraan rumahtangganya, seterusnya turut menjadi ibu yang cemerlang dalam membentuk peribadi mulia zuriatnya, langsung menjadi hamba Allah s.w.t. yang patuh pada agamanya.

Fitrah

Fitrah wanita yang bersifat lemah-lembut ini sewajarnya mendapat perhatian dan layanan yang sempurna daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Hiburkanlah jiwa mereka dengan kasih sayang sejati sepanjang hayat, mudah-mudahan ia berbaloi buat suami mendapat khidmat terbaik di dalam sebuah rumahtangga yang sungguh diberkati Allah s.w.t..

Namun, seindah-indah ciptaan wanita ini, kebanyakan daripada kita langsung tidak menghargai betapa istimewanya kejadian seorang wanita di dunia ini. Sebagai wanita, marilah kita bersama menghargai diri sendiri. Perlu untuk kita terlebih dahulu menghargai diri sendiri sebelum orang lain tahu bagaimana untuk menghargai diri kita. Wanita perlu tahu batas tindakan mereka dalam membuat pilihan dalam hidup.

Wanita harus memilih untuk memperjuangkan identiti diri yang bersih dan istimewa seanggun anugerah Maha Penciptanya. Kita semua harus berkeyakinan tinggi dan tahu apa yang terbaik untuk diri dalam kehidupan hari ini. Setiap wanita harus kekal dalam sifat fitrah azalinya walau sehebat manapun status mereka di mata dunia hari ini. Mereka seharusnya mempunyai sikap bersopan santun, penuh beradab, manis tingkahnya dan masih menyimpan sifat malu yang menjadi tabir terakhir dalam niat melakukan perkara yang sia-sia.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 21 – 27 Januari 2011/ 16 – 22 Safar 1432. Terima Kasih.)

3.01pm

Demam

Salam Ukhuwah…

Seminggu yang lalu saya ditakdirkan demam selama tiga hari!

Sebenarnya saya amat jarang benar mendapat demam, setahun sekali mungkin. Itupun cukuplah dengan panadol dua biji, rehat seketika, insyaAllah segalanya kembali normal apabila bangun nanti.

Tetapi nampaknya bukan kali ini. Samada virusnya yang luar biasa ataupun antibodi saya semakin kurang tahanannya kerana peningkatan usia. Tua?

Sangat teruk rasanya penangan demam saya kali ini, tidak mampu lagi dengan sekadar dua biji panadol, tetapi sehingga lapan biji!

Makan sungguh tidak menyelerakan apabila mulut terasa tawar, pahit, payau, loya…semuanya bercampur. Separuh daripada nikmat kehidupan telah Allah s.w.t. ambil balik. Itulah hebatnya kuasa Allah s.w.t. yang tidak mampu dikawal manusia walaupun di atas batang tubuhnya sendiri.

Ada sahabat yang menghubungi pun tidak mampu saya jawab kerana tekak juga teramat sakit. Sangat terasa seksa apabila mahu menelan liur, inikan pula mahu bercakap-cakap, tidaklah saya mampu. Saya hanya mampu menulis mesej memberitahu bahawa saya demam dan tidak mampu bercakap kerana sakit tekak. Itupun mengambil masa yang agak lama untuk menulis mesej apabila jari-jemari semuanya terasa lemah.

Letih

Pada mulanya selepas selesai tugasan mengambil anak-anak yang bersekolah pagi, saya merasa letih-letih badan dan mata terasa mengantuk. Saya berehat seketika sebelum kembali keluar untuk mengambil anak yang bersekolah sesi petang.

Sekembali ke rumah dan solat Asar, badan sudah terasa makin lemah dan tekak pula makin sakit. Menjelang Maghrib, saya terpaksa minta tolong suami ajarkan anak-anak membaca al-Quran selepas Maghrib nanti dan membantu menyelesaikan kerja sekolah mereka. Nampaknya saya makin tidak mampu untuk bangun lagi, simpan tenaga untuk solat sahaja. Anak-anak langsung saya tidak ambil kisah lagi, nasib baiklah ada bibik yang uruskan makan minum mereka.

Tugas menghantar dan mengambil anak-anak pada hari berikutnya terpaksa saya serahkan kepada suami. Mahu juga gagahkan diri untuk membuat kerja-kerja rutin, tapi nampaknya langsung tidak mampu apabila kepala sungguh terasa sakit bagaikan dicucuk-cucuk, badan pula sungguh terasa lemah sekali. Mahu menghadap komputer pun saya tidak mampu.

Apabila saya ajukan kepada keluarga tentang rasa yang agak teruk pada demam kali ini, mereka menasihatkan agar ke klinik untuk membuat ujian kemungkinan dijangkiti denggi. Denggi? Jauh tersasar daripada apa yang saya sendiri fikirkan. Paling jauh saya fikirkan, kemungkinan saya mengandung!

Klinik

Hari ketiga demam barulah saya menjengah klinik. Begitulah saya selalunya, melambat-melambatkan sesi berjumpa doktor. Bukan takutkan doktor tapi tidak sukanya saya kepada ubat!

Saya memandu sendiri untuk ke klinik kerana suami terpaksa ke Kuala Lumpur.

Saya ceritakan kepada doktor simptom yang dialami dan memintanya membuat dua ujian ke atas saya, ujian denggi dan ujian mengandung! (Errr…ini sebenarnya yang saya takutkan!)

Nampaknya kedua-dua ujian berjawapan negatif. Alhamdulillah! Rasa lega sangat-sangat. Terasa boleh senyum sikit selepas beberapa hari tak mampu senyum…Senyum sikit sahaja kerana saya terpaksa membawa balik empat jenis ubat!

Nampaknya memandu semasa demam bukanlah satu aktiviti yang baik. Sampai saja di rumah badan saya terasa makin longlai dan saya hanya mampu tidur saja lagi selepas mengambil ubatan tersebut.

Keesokan harinya saya rasa demam makin kebah, tetapi kepala dan tekak masih juga sakit. Kena makan ubat lagi la nampaknya…

Saat-saat begini rasanya setiap orang yang sedang sakit akan ingatkan kepada sebuah kematian. Sepanjang tempoh kesakitan tempohari itulah yang saya fikirkan. Alhamdulillah, sehingga hari ini Allah s.w.t. masih panjangkan umur saya dan tubuh badan kembali bermaya, hanya tekak yang masih berbaki sakit. Ubat lagi!

10.51pm



Malu

Salam Ukhuwah…

Sifat malu sangat sinonim dengan seorang wanita.

Sememangnya menjadi fitrah semulajadi wanita dikurniakan sifat malu oleh Allah s.w.t.. Sepatutnya dengan sifat malu inilah wanita mengambil pendekatan yang lebih baik dalam tingkah lakunya – malu untuk berperilaku yang tidak senonoh, malu untuk mendedahkan aurat, malu untuk bersosial sakan, dan malu apa saja demi menjaga maruah baik dirinya.

Namun bagaikan serba tidak kena apabila kita sendiri dapat melihat sebilangan besar wanita hari ini sudah hilang sifat malunya. Hilang malu, hilanglah seri seorang wanita, hilanglah nilai adab sopan yang menjadi tiang kehidupan untuk dimuliakan dalam masyarakat kita hari ini.

Sebilangan besar wanita hari ini bolehlah dianggap sebagai tiada malunya lagi apabila mula memandang enteng kepada kewajipan menutup aurat, terlalu bebas dalam pergaulan berlainan jantina, berani melakukan perbuatan maksiat secara terbuka – apakah mereka ini tidak dididik sempurna oleh ibubapa? Atau tiada jati diri dalam pegangan hidup masing-masing? Jua tidak tahukah mereka tentang hukum-hakam didalam Islam dan azab neraka yang pedih sedang menunggu siapa jua yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.?

Sangatlah jelas bahawa mereka tiada berpegang kepada Islam yang diakui agamanya, langsung mencabar kekuatan Allah s.w.t., tidak merasa ngeri kepada azab neraka yang pedih dan tidak rindukan nikmatnya janji syurga Ilahi.

Walau apapun silapnya, sebelum keadaan menjadi lebih parah, itu semua sudah berbalik kepada kita untuk bertanggungjawab memperbetulkan keadaan sebelum wanita hari ini terus hanyut dibawa arus kemodenan semasa.

Awalannya kita harus positif dalam mendefinisi sifat malu, tentunya malu yang bersifat positif. Dalam Islam sendiri sangat menitikberatkan sifat malu, begitu juga dalam masyarakat Melayu kita yang asalnya sebuah masyarakat yang bermaruah, baik dari segi menjaga harga diri mahupun dalam bersosial bersama masyarakat awam.

Sifat malu yang positif akan menjauhkan seseorang dari perbuatan yang menjurus kepada maksiat, lantas mengingati Allah s.w.t. apabila mahu melakukan apa jua perkara yang tidak baik.

Harga Diri

Bersifat pemalu merupakan harga diri yang tiada nilai jual belinya. Melihat lebih mendalam, malu juga separuh daripada iman. Tiada malu maka tiadalah juga iman di jiwa mereka.

Malu bukan sahaja bersifat kepada perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia bermula dengan bagaimana kita menjaga akal fikiran. Akal yang dikurniakan Allah s.w.t. inilah akan mendorong kita untuk menjaga semua pancaindera yang dikurniakan Ilahi – malu untuk kita berfikir yang bukan-bukan, malu untuk melihat perkara maksiat, malu untuk mendengar sebarang unsur melaghakan, malu untuk memakai, memakan dan menyentuh apa jua yang haram, malu diatas apa jua perkara yang dinilaikan sebagai tidak sepatut kita melakukannya.

Itulah peranannya sifat malu. Tetapi jika sudah melayang sifat malu yang satu ini, mulalah mereka melakukan pelbagai tindakan yang membuta tuli. Tiada ambil peduli lagi kepada sensitiviti masyarakat, jauh sekali mahu mengingati hukum-hakam Allah s.w.t.. Jika ada yang menegur mulalah mengeluarkan ayat skima – peduli apa aku?

Ya, kita peduli kerana masih ada sifat kasih sayang antara Muslim, kerana kita masih ada sifat malu untuk melihat mereka yang tidak tahu malu terkinja-kinja mencari identiti diri yang entah bila akan berpenghujung, walau sebenarnya sudah diidentitikan bahawa kita adalah Muslim.

Saya percaya bahawa kita mempunyai persepsi yang tersendiri apabila melihat adegan antara wanita dengan lelaki yang bergaul secara berlebihan di tempat awam, baik apabila mereka mula bersalaman, bertepuk tampar, berhimpit, dan apa jua perilaku yang memperlihatkan suasana bebas antara bukan mahram, tentunya sangat mendukacitakan bagi setiap mereka yang mengaku Muslim.

Kita perlu tahu untuk membataskan pergaulan terutama apabila berurusan dengan berlainan jantina. Bukan langsung tidak boleh berhubung antara wanita dengan lelaki, tetapi sangat perlu tahu batas-batasnya. Paling penting adalah akhlak masing-masing, samada wanita mahupun lelaki perlu ada sifat malu agar kita bersama menjadi pendinding kepada maruah diri sendiri.

Jika keadaan memerlukan kita berhubungan antara wanita dengan lelaki, pastikan ia hanya untuk tujuan yang diperlukan sahaja, tidak perlu diperpanjangkan kepada perkara-perkara lain yang tiada kaitannya.

Hak Wanita

Wanita perlu berasa malu apabila berada pada tempat yang tidak sepatutnya, tetapi bukannya malu sehingga hanya terperuk di dalam rumah tanpa langsung mengetahui perkembangan dunia hari ini. Jika hanya kerana malu sehingga menjadi bodoh, inilah yang dikatakan malu tidak bertempat.

Islam sendiri memberikan hak kepada wanita untuk keluar menuntut ilmu, berdakwah dan mencapai kecemerlangan dalam kehidupannya, walaupun di luar sana pelbagai cabaran menanti wanita hari ini.

Menjadi seorang wanita yang pemalu tidak akan merugikan siapapun, malah setiap wanita yang baik ini secara langsung mampu menghindari segala keburukan yang berlaku didalam masyarakat hari ini seperti kes rogol, pengguguran haram, buang bayi, sumbang mahram, pemerdagangan orang, pelacuran, dan sebagainya. Kes-kes sebegini lazimnya berlaku kerana ransangannya bermula daripada wanita yang langsung tidak merasa kekok untuk bergaul sakan dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Baginda Rasulullah s.a.w. juga pernah meninggalkan ingatan kepada ummatnya bahawa sebilangan besar penghuni neraka adalah wanita. Sebagai wanita seharusnya kita pahatkan ingatan ini agar ia menjadi hijab ketika mana nyaris melakukan apa jua perlakuan yang boleh mengundang dosa.

Maka, jika yang masih belum bertudung, hadirkanlah jiwa yang bersih untuk mula menutup mahkotamu yang cantik, jika ada yang masih suka berpakaian yang senteng seksi, ketat mahupun jarang, sudah tiba masanya untuk kita belajar menutup aurat dengan lebih sempurna. Jangan sekadar kita berpakaian tetapi kelihatan seolah telanjang apabila semua susuk tubuh boleh dinilai sudut seginya.

Berpakaian sebegini hanya mengundang kecenderungan mata-mata yang memandang untuk lebih melakukan maksiat. Ingatlah bahawa wanita yang berperilaku sebegini telah ditinggalkan amaran oleh Baginda Rasulullah s.a.w., bahawa mereka tidak akan mencium bau syurga, sedangkan syurga itu bauannya akan dapat dihidu sejauh perjalanan yang teramat jauh.

Istimewa

Sepatutnya wanita menjadi perhiasan yang paling disanjungi di dunia ini, menjadi seorang yang teristimewa kepada seorang lelaki bergelar suami, tetapi sayang, dunia hari ini menjadikan wanita hanya mainan untuk dieksploitasikan secara sukarela oleh wanita itu sendiri.

Wanita yang berjaya dalam hidupnya dan masih mengekalkan identiti Muslim sangatlah disanjungi masyarakat dan Islam. Wanita sebeginilah seharusnya disifatkan sebagai seorang yang berjaya dalam kehidupannya dan mampu membuktikan bahawa mereka adalah terbaik dalam identiti yang paling istimewa. Perjuangan untuk kekal dalam indentiti Muslim bukannya perkara mudah pada hari ini, namun ia memerlukan satu komitmen dan kesabaran dalam mendepani segala cabaran dunia yang begitu hebat sekali.

Kekal dalam identiti Muslim bukan sekadar mahukan sanjungan, tetapi nawaitunya adalah untuk bersama-sama berkongsi manfaat dalam masyarakat awam.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 14-20 Januari 2011/ 09-15 Safar 1432. Terima kasih.)

12.30pm

Seorang Perempuan (II)

Salam Ukhuwah…

Sambung…

Suatu hari Rina datang menziarahiku. Membawa kisah yang sama, suaminya ada perempuan lain. Situasinya berbeza apabila Rina yang berhati lembut ini memberi keizinan untuk suaminya berpoligami, apabila dia cuba mahu menjadi isteri yang terbaik kepada suaminya dan tidak mahu anak kecilnya terganggu dengan permasalahan orang tua. Aku terpana.

Panjang aku berfikir, Sarah yang sentiasa menghiburkan aku, Rina yang sentiasa berbuat baik kepadaku, kenapa nasib mereka begitu? Mereka berdua cantik orangnya, bukan hanya wajah yang cantik, tapi aku kira sikap pun elok, sembahyang pun cukup. Kepada aku semuanya ok, tetapi mungkin ada lagi yang kurang kepada suami masing-masing.

Aku termenung memikirkan nasib Sarah dan Rina. Tak banyak yang mampu aku tolong melainkan ungkapan kata ‘sabar’, walaupun aku tahu sangat mereka sudah lama bersabar. Terfikir juga aku, dalam rumahtangga mereka tak cukup kasih sayang ke? Asyik bergaduh ke? Isteri selalu menjawab mulut ke? Suami panas baran ke? Oh, aku pula yang tumpang sedih!

Sampai masanya kami menyambut ulangtahun perkahwinan yang kesembilan, tetapi tidak semeriah sambutan ulangtahun yang sebelumnya, suamiku ditahan di hospital kerana masalah sesak nafas secara tiba-tiba. Selepas pemeriksaan dibuat barulah aku tahu bahawa suamiku mengalami serangan jantung!

Tambah doktor lagi, masalah ini berpunca daripada darah beku yang berada di bahagian kaki telah bergerak ke paru-paru (pulmonary embolism), yang menyebabkan rasa sakit dada dan sesak nafas. “Kenapa masalah ini boleh berlaku?” Aku mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor yang merawat. Kata doktor, antara puncanya adalah kerana duduk terlalu lama di depan komputer atau bekerja selama berjam-jam secara pasif di atas kerusi.

Apabila keadaan ini berterusan, otot-otot akan menjadi kaku, keras dan mata menjadi pedih. Dengan keterangan doktor tersebut menjadikan aku perlu berhati-hati kerana aku juga merupakan seorang pekerja pejabat yang menghabiskan masa yang panjang duduk di meja menghadap komputer bagi menyiapkan kerja. Kata doktor lagi, masalah ini akan menjadi lebih buruk apabila bilik yang diduduki berhawa dingin. Udara yang sejuk akan mempercepatkan kadar pembekuan darah terutama di bahagian kaki. Masalahnya, pejabat mana tak pakai aircond?

Kata doktor lagi, simptom penyakit ini boleh dilihat apabila seseorang individu merasa cepat letih, lemah di bahagian kaki, kurang selera makan, batuk-batuk yang berterusan, seringkali mengalami semput nafas, dan denyutan nadi yang laju. Ya, memang aku tak nafikan antara simptom-simptom tersebut memang pernah berlaku kepada suamiku, tetapi masing-masing ambil mudah. Itulah kesilapan terbesar kami.

Untuk mengurangkan tahap darah beku yang dialami oleh suamiku, doktor telah memberinya ubat yang berfungsi menghentikan dan memperlahankan darah beku tersebut. Ubat yang diberikan ini akan membantu mencegah darah beku yang sedia ada daripada menjadi besar dan menghentikan pembentukan darah beku yang baru. Pemerhatian akan dilakukan secara berterusan kerana penyakit ini dikategorikan sebagai merbahaya dan mampu mengancam nyawa.

Aku sedih.

Mulalah aku mengimbau memori kami berdua selama ini, ketika sakan bergembira, ketika bergaduh, pernah juga sehingga tidak bertegur sapa maksimum dua hari. Tapi kali ini tidak mungkin aku mampu lagi untuk bergembira, jauh sekali untuk bergaduh dengannya.

Saat beginilah sayangku kepadanya makin memuncak. Tidak mahu rasanya untuk berpisah walau sesaatpun, aku mahu setia menjaganya. Aku pun tahu sangat dia benar-benar perlukan aku untuk menemaninya sepanjang rawatan dilakukan. Aku faham sangat dia seorang yang manja dan sangat suka dibelai.

Aku hanya balik sekali sehari saja ke rumah, untuk mandi dan memasak bekalan untuk dibawa ke hospital. Tetapi pada suatu hari, sedang aku bersiap untuk kembali ke hospital, aku ternampak satu kotak kecil berbalut cantik diletakkan dalam laci barang-barang peribadiku. Musykil juga, kotak hadiah ke ni? Rupanya inilah kejutan daripada suamiku sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan kami yang kesembilan. Alhamdulillah, seutas rantai tangan emas yang cantik, terima kasih, bang.

Aku termenung seketika, sebak pun ada. Dalam kesibukan suami, masih sempat dia membuat kejutan yang sebegini. Aku yang kurang sibuk 30% berbanding dia pun sekadar menyediakan sekeping kad ucapan saja untuk tatapannya. Aku nak bagi hadiah apa ya?

Kad itu hanya kutulis bahasa santai menghargai setiap apa saja yang telah dia rela berkongsi hidup denganku. Aku lihat berulangkali dia membaca tulisan itu sebagai penemannya sepanjang berada di hospital.

Sebagai menghargai kirimanku itu, dia membalas dengan sepucuk surat. Katanya kertas dan pen dia minta daripada jururawat bertugas. Lucunya siap ada pantun bagai…sempat lagi dia buat lawak. Walaupun dia sedang sakit, dia masih mampu tersenyum dan mahu aku terus tersenyum manis disisinya. Ya, aku tahu dia sedang sakit. Kadang-kadang aku boleh tengok dia menahan-nahan nafasnya, tersekat-sekat.

Saat itu sungguh aku pun rasa sesak nafas melihat tingkahnya. Hanya doa dan terus berdoa agar kami masih dihayatkan bersama untuk suatu tempoh masa yang masih panjang. Anak kami pula ada ketikanya terkumat-kamit bibirnya, entah apa yang diucapkannya. Apabila kutanya katanya dia baca tiga Qul, ustazah minta semua murid-murid hafal untuk baca didalam solat. Alhamdulillah…

Nampaknya tahap kesihatan suamiku bertambah baik. Doktor menasihatkan supaya dia mengubah gaya hidupnya kearah yang lebih sempurna. Aku meyakinkan doktor tersebut bahawa kami akan melakukan perubahan yang lebih baik dalam gaya hidup sekeluarga agar tiada berulang perkara-perkara sebegini lagi. Aku berjanji untuk lebih ambil peduli perihal kesihatan ahli keluargaku. Aku tidak mahu menyesal sekali lagi.

Sekembali suamiku ke rumah, kami bersama-sama berazam untuk lebih bertanggungjawab kepada tahap kesihatan masing-masing. Kami tidak mahu lagi berkampung di hospital. Kami mahu mulakan nafas baru yang lebih bernilai.

Aku sangat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memberi peluang kedua untukku meraih kebahagian dalam kehidupan berkeluarga ini. Kali ini aku bukan hanya hidup untuk makan minum, pergi kerja, belanja itu ini, dan melaksanakan ibadat rutin, tetapi ia lebih meyakinkan dari itu, aku mahu menjadi isteri yang lebih baik, bukan sekadar menjaga diri sendiri tetapi lebih bertanggungjawab kepada setiap ahli keluarga.

Selang beberapa bulan selepas suamiku kelihatan benar-benar sihat, kami merancang satu percutian keluarga untuk dinikmati bersama. Aku mahu bersantai, aku mahu enjoy setelah sekian lama sebenarnya kami tidak bercuti kemana-mana destinasi istimewa. Aku mahu menghirup udara segar. Gembiranya aku apabila proposalku diterima dengan lapang hati oleh suami.

Akhirnya! Aku mula menjadi surirumah sepenuh masa selepas 15 tahun berulang-alik ke pejabat. Aku berhenti kerja secara sukarela, tanpa paksaan sesiapapun. Sekarang ini ‘pejabatku’ di rumah, tetap sibuk juga kerana aku memang seorang yang tidak boleh duduk diam. Barulah aku tahu bahawa sebenarnya berada di rumah adalah lebih seronok bilamana kita mula berkhidmat kepada rumahtangga sendiri sepenuh masa. Sambil-sambil tu bolehlah aku tajamkan lagi kemahiranku untuk menjadi chef!

Sekarang aku sudah punya dua orang cahaya mata, Alhamdulillah, dikurniakan sepasang zuriat yang sihat dan keletah ragamnya.

Anak sulongku mula melangkah ke darjah satu, maka tugasan harianku semakin bertambah, agak terkejar ke sana ke mari. Bertambah fahamlah aku bagaimana tugas seorang isteri, ibu, pekerja yang merangkap driver kepada anak yang mula bersekolah.

Aku akan sentiasa panjatkan doa kepada Allah s.w.t. semoga kebahagiaan yang aku miliki hari ini akan terus berpanjangan hingga ke akhir hayat kami, insyaAllah…

TAMAT

7.06pm

Rutin

Salam Ukhuwah…

Berhujung minggu selepas usai seminggu sudah sesi persekolahan baru bermula…

Anak-anak sudah kembali ke alam persekolahan selepas bercuti panjang. Mudah-mudahan semangat mereka tidak hilang ditelan kegembiraan bercuti panjang tempohari.

Saya mula mengalami kesibukan. Lenguh kaki juga agak terasa kerana bercuti panjang dari menekan pedal minyak dan brek pada setiap hari, dan sekarang sudah kembali berulang-ulang dengan beberapa rutin sehari.

Itu masih lagi boleh tahan, yang sudah kurang tahanannya mungkin kedudukan kewangan bagi setiap ibubapa pada setiap tahun diawal sesi persekolahan. Sesi kali ini saya agak berhabisan apabila perlu membayar yuran untuk lima orang anak yang memulakan pengajian masing-masing dipelbagai peringkat. Lebih-lebih lagi apabila saya memutuskan untuk menghantar tiga orang sikecil ke tadika swasta.

Menghabiskan ribuan RM untuk yuran pengajian, pakaian seragam anakanda yang menjengah ke tadika dan keperluan alatulis bukanlah satu jumlah yang sedikit. Itu bagi keperluan keluarga saya, tentunya lebih lagi keperluannya kepada keluarga yang lebih besar dan anak-anak juga yang sudahpun makin membesar hingga ke peringkat menengah. Namun, inilah yang dinamakan tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap ibubapa.

Tentunya sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kita semua telah melakukan yang terbaik dalam menyediakan segala yang mampu untuk diberikan kepada anak-anak bagi memulakan sesi baru mereka. Itulah juga sasaran saya, tidak mengapalah jika perlu berhabisan untuk bidang pendidikan, asalkan anak-anak boleh menimba ilmu dalam keadaan yang selesa dan terbaik, insyaAllah.

Sara Hidup

Walau bagaimanapun, dalam suasana Negara kita hari ini yang menuntut kos sara hidup makin tinggi, isu kewangan tetap jua akan timbul diawal sesi persekolahan, lebih-lebih lagi kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3000 sebulan. Sahabat saya yang hanya mempunyai tiga orang anak sahaja dan semuanya mula bersekolah mengeluh apabila poketnya sudah mengering diawal bulan lagi.

Hari ini fenomena kenaikan harga barangan keperluan harian melambung-lambung naiknya. Jika saya sendiripun terpaksa menghabiskan hampir RM100 setiap kali ke pasar basah untuk bekalan peti kami dan keperluan dapur lain bagi tempoh seminggu, cuba bayangkan bagaimana keluarga lain di kejiranan kita yang punca pendapatannya hanya sedan-sedan saja, cuba menyusun kedudukan kewangan mereka yang sememangnya jarang bertambah untuk kekal hidup pada status sama pada setiap masa.

Itu belum lagi kewangan sokongan sewaktu kecemasan – mungkin keperluan ubatan, pembelian sampingan keperluan rumah, pakaian tambahan seisi keluarga, dan sebagainya. Maka disinilah kita perlu memahami peranan keutamaan dalam kehidupan. Perlu untuk kita memilih mana yang lebih penting. Keputusannya hanya kita yang tahu.

Kedudukan kewangan ini juga perlu difahami oleh setiap pasangan suami isteri. Jika timbul kekusutan dalam menyusun kewangan keluarga, maka luangkan sedikit masa untuk berbincang apa yang sepatutnya dilakukan dalam kapasiti masing-masing. Suami isteri perlu bantu-membantu diantara satu sama lain, tetapi keutamaan memberi nafkah kepada keluarga adalah tanggungjawab suami sebagai ketua rumahtangga. Isteri sekadar membantu mana yang perlu sahaja dengan kerelaannya.

Kita juga perlu mengajar anak-anak erti berjimat-cermat. Awalan inilah kita cuba mendidik anak-anak untuk menabung baki duit saku persekolahan mereka.

Apa yang penting, kita terus belajar untuk hidup sekadar kemampuan yang ada. Sentiasa bersederhana dalam mengawal nafsu yang sentiasa berkeinginan besar. Tidak perlu untuk berlumba-lumba dengan orang lain jika itu bukan kemampuan dan keperluan dalam kehidupan kita. Keinginan yang keterlaluan sering saja mengundang pembaziran yang hanya merugikan diri sendiri sahaja, secara langsung hilanglah keutamaan kepentingan dalam kita menguruskan keperluan utama.

Tahun baru 2011 juga telah menarik kita pada usia yang lebih hampir kepada kematian. Luangkan masa juga untuk kita perhalusi dimana kita sejauh ini dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t..

12.59pm

Seorang Perempuan

Salam Ukhuwah…

Santai di tahun baru bersama nukilan terkini daripada saya…

Sekarang aku sudahpun bergelar tunangan orang. Sejauh aku mengenali dirinya sememangnya tunangku itu seorang lelaki yang baik. Tetapi jika diikutkan hati ini, tidaklah dia memenuhi syarat-syarat lelaki impianku. Ada ke manusia yang dapat jodoh seperti yang dimpikan? Tak ada kan? Namun, paling aku suka kerana dia seorang yang pendiam, maka sangat jarang benar kami dapat berbual panjang. Begitu juga apabila dia bersama kawan-kawannya, kuranglah kot ‘laghanya’ itu. Harap-harap begitulah!

Nama timangannya, Muhammad. Kerjanya sebagai Arkitek, berilmu pengetahuan dalam bidang senibina. Sangat jauh bezanya dengan aku yang langsung tidak tahu melukis. Lukis orang lidi tahulah.

Raut wajahnya boleh tahan, sedaplah untuk aku memandangnya apabila kami bergelar suami isteri nanti. Sekarang ni mana boleh pandang-pandang banyak sangat, mata nak kena jagaBukan aku nak puji banyak sangat pun, namun kawan-kawanpun cakap kami kelihatan agak sepadan. Ok la tu kot! Kalau dia yang ‘lebih’, susah pula aku nak jaga…Tapi itu semua sampingan saja kan? Paling penting adalah kesetiaan! Harap-harap setialah kami berdua hingga ke penghujung usia…insyaAllah!

Agak bagus juga cara dia tackle aku. Bukan terus cakap ‘assalamualaikum’, tapi dia pasang spy…nak selidik aku ini sudah berpunya ke belum. Patutlah kawan aku tu macam-macam disoal siasatnya aku ini.

Sebagai penghargaan, nama kawan aku tu Rina. Si Rina ni kira ‘satu kepala’ dengan aku. Rina bukan setakat soal siasat aku, tapi menyempat juga dia iklankan pasal seorang lelaki yang bernama Muhammad itu.

Hajat untuk berkenalan dengan aku telah Muhammad sampaikan melalui Rina. Katanya, bukan sekadar untuk berkenalan, tetapi misinya jauh…untuk memperisterikan aku! Beraninya dia. Aku pula yang gugup. Tetapi bagiku itulah lelaki sejati, ada wawasan! Aku tangguhkan jawapannya…mak ayah kan ada. Aku masih lagi dibawah tanggungan mak ayah, jadi kenalah tanya pendapat mereka dulu. Tapi dalam hati, harap-harap mak ayah setuju…!

“Dah rasa cukup umur ke nak kahwin?” Aku diam saja, nak jawab boleh sangat…umur 17 tahun pun dah boleh kahwin kan? Tapi rasanya lebih bersopan kalau diam.

Degup jantung aku memang laju tak boleh tahan. Kerana aku diam, terus mak ayah aku diam juga. Kenapa boleh jadi macam ni? Takkan la mereka nak tunjuk sopan juga. Mana boleh macam ni…Errr…diam tanda setuju? Boleh aku buat kesimpulan macam tu?

Mak ayah aku dah ada calon lain ke? Memang sebelum ini mak ada cerita tentang anak teruna Makcik Yah, kawan masa dia kerja dulu. Tapi cerita itu dah basi la…ini cerita baru mak!

Akhirnya mak ayah bagi keputusan jua…Aku dah agak dah…berlagak la tu…! Aku dah agak mak ayah mesti terima punyalah. Syaratnya senang saja, suruh mak ayah si Muhammad tu datang merisik! Kulit wajahku merona merah jambu. Syukur Alhamdulillah! InsyaAllah jodohku ada dengan Muhammad.

Aku bagitahu Rina keputusannya, dia bersorak lebih dari aku! Siapa yang nak kahwin ni? Dia kata tumpang gembira dan terus mendoakan semoga kami akan ke jinjang pelamin secepat mungkin. Aku? Aaamiin…!

Pertama kali kami dipertemukanpun, kelihatan sangat bahawa dia seorang yang pemalu. Aku pun naik segan dibuatnya. Takdirnya, aku memang seorang perempuan yang peramah. Sekurang-kurangnya apabila berhadapan dengannya yang pendiam, tidaklah aku menjadi kepoh tidak bertempat.

Walaupun aku ini seorang yang peramah, tetapi sifat malu seorang perempuan masih kekal sebati dalam diriku. Dengan perempuan aku tak kisah nak huhahuha, tapi dengan lelaki, akulah perempuan Melayu terakhir. Sangat bersopan santun.

Selepas dihadiahkan sebentuk cincin bertatahkan sebutir berlian, termetrilah ikatan pertunangan antara aku dengan Muhammad. Seronok juga menempuh alam pertunangan ni. Namun jadual hidup kami tidak banyak berubah. Biasa-biasa saja, cuma kami lebih banyak berkomunikasi sendiri, tidak lagi menggunakan perantaraan Rina. Rasanya lebih baik begitu dalam menjaga perhubungan kami. Lagipun bukannya kami sering berhubung, untuk hal-hal penting sahaja.

Selalunya Muhammad yang banyak mulakan komunikasi antara kami, aku lebih banyak menunggu saja. Seganlah!

Muhammad pun tahu menjaga batas perhubungan kami. Sangat jarang untuk dia ‘bergurau’ dengan aku, seringkalinya dia berwatak serius. Paling lama dia menelefon akupun rasanya lebih kurang 20 minit. Selalunya kami berta’aruf secara tidak langsung, dia tanya, aku jawab…Kadang-kadang rasa boring juga dengan perhubungan yang slow macam ni,  tapi itulah yang sebaiknya. Dating-dating jangan haraplah. Dalam mimpi je!

Mak ayah memang setuju sangat cara kami berhubungan. Elok sangatlah macam tu, katanya. Lagi diaorang suka sangat dengan Muhammad ni, dia bukanlah lelaki yang merokok. Itu semestinya menjadi syarat utama apabila aku memilih lelaki untuk dijadikan suami! Mana aku boleh tahan dengan bau asap rokok yang sangat busuk tu. Pulak tu cuba bayangkan bau nafas suami kala kami berdua-duaan…mungkin aku boleh pengsan kot.

Kalau tak pengsan masa tu pun esok lusa pula mesti aku dapat penyakit free je. Mula-mula mesti batuk-batuk dulu…lepas tu? Ish…tak nak aku mati dengan jasa orang lain. Sebelum aku sayang orang lain, biarlah aku sayang diri sendiri dulu. Amanah Allah ni untuk aku jaga tubuh badan yang dianugerahkannya agar sentiasa dalam keadaan sihat walafiat, insyaAllah…

Suatu hari aku ditakdirkan demam, siap masuk wad lagi. Teruk la tu. Selesai pemeriksaan semua, doktor kata aku ada Apendisitis yang sudah pecah sebelum sempat dibedah. Sungguh aku terkejut. Maka aku menerima rawatan dengan membuang apendiks  melalui pembedahan!

Barulah aku tahu bahawa Apendisitis adalah sejenis penyakit senyap. Keradangan boleh berlaku apabila apendiks dijangkiti bakteria. Ia disebabkan oleh bukaan apendiks yang tersumbat dan mengumpul banyak bakteria di dalamnya. Keradangan yang berlaku dalam tempoh tertentu boleh mengakibatkan apendiksnya pecah dan menyebabkan keadaan yang lebih parah. Rupanya ia berlaku terlalu cepat, iaitu dalam tempoh enam hingga lapan jam selepas mengadu sakit perut, apendiks boleh pecah!

Selepas pulang dari hospital, Muhammad suruh aku berehat panjang. Dia suruh aku bercuti panjang walaupun sudah mendapat cuti sakit, disuruhnya juga aku mencukupkan rehatku sehingga sebulan. Memang la aku tidak setuju tapi dia cakap, tubuh badan ni nak pakai lama…Betul juga!

Kurang setahun pertunangan, akhirnya kami berkahwin. Rina lah yang paling sibuk menguruskan perihal aku nak kahwin. Katanya kerana sayangkan aku dia sanggup susahkan diri semata-mata untuk melihat majlisku menjadi. Aku tabik spring. Tunggulah harinya nanti insyaAllah aku akan balas segala jasa baiknya kepadaku.

Seronok juga apabila menjadi isteri. Cinta yang dahulunya berputik, sekarang sudah mekar mewangi. Rina pula sibuk nak kahwin juga. Siapa eh aku nak bagi kat dia? Ada jugak aku tolong intai-intaikan, tapi nampak macam tak jalan je, mana nak jalannya kalau yang aku punya pun dia yang tolong carikan. Aku langsung tiada kepakaran dalam bab menjodohkan ni. Akhirnya yang aku dengar, Rina dah jumpa sendiri calon suaminya.

Bagus sangat la tu, tak menyusahkan aku lagi. Dalam bab yang ini la…aku memang surrender. Lagipun sejak dulu lagi aku memang tak ramai kawan lelaki.

Selepas kahwin baru aku belajar-belajar masuk dapur. Itulah kelemahan aku yang paling ketara apabila bergelar isteri. Nasib baik aku dapat suami yang sedang belajar menerima kelemahan aku yang ini. Nasib baik lagi, dia banyak tolong aku ketika sesi masuk dapur. Itu yang paling aku suka. Aku pun nak juga dia tahu yang masak memasak ni bukannya senang kepada orang yang macam aku ni.

Boleh dikatakan bulan-bulan pertama perkahwinan kami adalah untuk sesi berta’aruf panjang. Aku belajar cara menggosok pakaiannya, belajar memasak makanan kegemarannya, dan tentunya belajar untuk menjadi penumpang, bukan lagi driver. Dia sudah buktikan janjinya dulu bahawa kami akan ke tempat kerja bersama-sama. Memang dia pernah berjanji kepadaku suatu ketika dulu, bahawa kami akan berkongsi kereta setiap hari untuk ke pejabat selepas kahwin. Katanya, dia tidak suka berseorangan dalam kereta, berteman itu lebih baik. Boleh borak-borak, insyaAllah boleh merapatkan hubungan suami isteri.

Hampir setahun barulah kerja-kerja dapurku agak menjadi. Selalunya aku minta resipi daripada Rina, dia memang terror bab masak-masak ni. Rina memang tak lokek ilmu. Selalu sedia membantu aku kala memerlukan. Bertuahlah suaminya nanti. Aku harap suamiku juga bertuah memilikiku walaupun aku tak terror bab masak-memasak ni.

Selepas dua tahun berkahwin, barulah kami dikurniakan zuriat. Susah juga aku nak lekat. Tapi berbaloilah apabila kami berdua sepakat untuk bersama-sama menguruskan si kecil yang seorang ini. Paling aku suka apabila sesi mengaji al-Quran, suami selalu meriba puteriku ini. Doaku semoga zuriatku ini akan mampu menguasai al-Quran dengan sempurna suatu hari nanti. InsyaAllah! Cahaya mata adalah anugerah Allah yang tiada nilainya.

Beberapa tahun seterusnya kami terus belajar membina keserasian dalam kehidupan berumahtangga. Tawa, duka semuanya bercambur gaul. Aku dengan Rina agak renggang kerana masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Sekarang ini ramai kawan-kawanku terdiri daripada isteri kepada kawan-kawan suamiku. Adat perempuan berkahwin macam tu lah kan? Kadang-kadang kami melakukan aktiviti rehlah bersama.

Aku pun bekerja macam biasa juga. Berkawan dengan kawan-kawan yang sama juga sejak mula-mula kerja dulu lagi. Kawan yang selalu teman aku makan tengahari di pejabat namanya Sarah. Lebih tua tiga tahun dari aku. Cantik juga orangnya, dah pun berkeluarga juga. Suka sangat dengan aktiviti membeli-belah dan sesi makan-makan, tapi tak juga gemuk-gemuk. Paling tak tahan dia memang kelakar orangnya.

Berkawan dengannya mampu menghiburkan hatiku. Tapi sebenarnya dirinya sendiri tak terhibur kerana suaminya ada ura-ura nak tambah cawangan, tak tertambah lagi tu pasal masih lagi memegang alasan ‘nak menjaga hati isteri’, walaupun sebenarnya hati isteri dah separuh koyak dengan perbuatan suami yang ada perempuan lain. Aku tak nak komen banyak-banyak, paling penting aku kena jaga rumahtangga sendiri, kena bagi yang terbaik buat suami tercinta.

Kalau ada salah dan silap, kena belajar lagi memperbaiki kesilapan. Banyak perkara sebenarnya yang aku jadikan teladan daripada rumahtangga Sarah. Aku harap dapat menjadi isteri dan ibu yang baik dalam rumahtanggaku.

(Bersambung…)

11.34pm