• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2011
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Seorang Perempuan

Salam Ukhuwah…

Santai di tahun baru bersama nukilan terkini daripada saya…

Sekarang aku sudahpun bergelar tunangan orang. Sejauh aku mengenali dirinya sememangnya tunangku itu seorang lelaki yang baik. Tetapi jika diikutkan hati ini, tidaklah dia memenuhi syarat-syarat lelaki impianku. Ada ke manusia yang dapat jodoh seperti yang dimpikan? Tak ada kan? Namun, paling aku suka kerana dia seorang yang pendiam, maka sangat jarang benar kami dapat berbual panjang. Begitu juga apabila dia bersama kawan-kawannya, kuranglah kot ‘laghanya’ itu. Harap-harap begitulah!

Nama timangannya, Muhammad. Kerjanya sebagai Arkitek, berilmu pengetahuan dalam bidang senibina. Sangat jauh bezanya dengan aku yang langsung tidak tahu melukis. Lukis orang lidi tahulah.

Raut wajahnya boleh tahan, sedaplah untuk aku memandangnya apabila kami bergelar suami isteri nanti. Sekarang ni mana boleh pandang-pandang banyak sangat, mata nak kena jagaBukan aku nak puji banyak sangat pun, namun kawan-kawanpun cakap kami kelihatan agak sepadan. Ok la tu kot! Kalau dia yang ‘lebih’, susah pula aku nak jaga…Tapi itu semua sampingan saja kan? Paling penting adalah kesetiaan! Harap-harap setialah kami berdua hingga ke penghujung usia…insyaAllah!

Agak bagus juga cara dia tackle aku. Bukan terus cakap ‘assalamualaikum’, tapi dia pasang spy…nak selidik aku ini sudah berpunya ke belum. Patutlah kawan aku tu macam-macam disoal siasatnya aku ini.

Sebagai penghargaan, nama kawan aku tu Rina. Si Rina ni kira ‘satu kepala’ dengan aku. Rina bukan setakat soal siasat aku, tapi menyempat juga dia iklankan pasal seorang lelaki yang bernama Muhammad itu.

Hajat untuk berkenalan dengan aku telah Muhammad sampaikan melalui Rina. Katanya, bukan sekadar untuk berkenalan, tetapi misinya jauh…untuk memperisterikan aku! Beraninya dia. Aku pula yang gugup. Tetapi bagiku itulah lelaki sejati, ada wawasan! Aku tangguhkan jawapannya…mak ayah kan ada. Aku masih lagi dibawah tanggungan mak ayah, jadi kenalah tanya pendapat mereka dulu. Tapi dalam hati, harap-harap mak ayah setuju…!

“Dah rasa cukup umur ke nak kahwin?” Aku diam saja, nak jawab boleh sangat…umur 17 tahun pun dah boleh kahwin kan? Tapi rasanya lebih bersopan kalau diam.

Degup jantung aku memang laju tak boleh tahan. Kerana aku diam, terus mak ayah aku diam juga. Kenapa boleh jadi macam ni? Takkan la mereka nak tunjuk sopan juga. Mana boleh macam ni…Errr…diam tanda setuju? Boleh aku buat kesimpulan macam tu?

Mak ayah aku dah ada calon lain ke? Memang sebelum ini mak ada cerita tentang anak teruna Makcik Yah, kawan masa dia kerja dulu. Tapi cerita itu dah basi la…ini cerita baru mak!

Akhirnya mak ayah bagi keputusan jua…Aku dah agak dah…berlagak la tu…! Aku dah agak mak ayah mesti terima punyalah. Syaratnya senang saja, suruh mak ayah si Muhammad tu datang merisik! Kulit wajahku merona merah jambu. Syukur Alhamdulillah! InsyaAllah jodohku ada dengan Muhammad.

Aku bagitahu Rina keputusannya, dia bersorak lebih dari aku! Siapa yang nak kahwin ni? Dia kata tumpang gembira dan terus mendoakan semoga kami akan ke jinjang pelamin secepat mungkin. Aku? Aaamiin…!

Pertama kali kami dipertemukanpun, kelihatan sangat bahawa dia seorang yang pemalu. Aku pun naik segan dibuatnya. Takdirnya, aku memang seorang perempuan yang peramah. Sekurang-kurangnya apabila berhadapan dengannya yang pendiam, tidaklah aku menjadi kepoh tidak bertempat.

Walaupun aku ini seorang yang peramah, tetapi sifat malu seorang perempuan masih kekal sebati dalam diriku. Dengan perempuan aku tak kisah nak huhahuha, tapi dengan lelaki, akulah perempuan Melayu terakhir. Sangat bersopan santun.

Selepas dihadiahkan sebentuk cincin bertatahkan sebutir berlian, termetrilah ikatan pertunangan antara aku dengan Muhammad. Seronok juga menempuh alam pertunangan ni. Namun jadual hidup kami tidak banyak berubah. Biasa-biasa saja, cuma kami lebih banyak berkomunikasi sendiri, tidak lagi menggunakan perantaraan Rina. Rasanya lebih baik begitu dalam menjaga perhubungan kami. Lagipun bukannya kami sering berhubung, untuk hal-hal penting sahaja.

Selalunya Muhammad yang banyak mulakan komunikasi antara kami, aku lebih banyak menunggu saja. Seganlah!

Muhammad pun tahu menjaga batas perhubungan kami. Sangat jarang untuk dia ‘bergurau’ dengan aku, seringkalinya dia berwatak serius. Paling lama dia menelefon akupun rasanya lebih kurang 20 minit. Selalunya kami berta’aruf secara tidak langsung, dia tanya, aku jawab…Kadang-kadang rasa boring juga dengan perhubungan yang slow macam ni,  tapi itulah yang sebaiknya. Dating-dating jangan haraplah. Dalam mimpi je!

Mak ayah memang setuju sangat cara kami berhubungan. Elok sangatlah macam tu, katanya. Lagi diaorang suka sangat dengan Muhammad ni, dia bukanlah lelaki yang merokok. Itu semestinya menjadi syarat utama apabila aku memilih lelaki untuk dijadikan suami! Mana aku boleh tahan dengan bau asap rokok yang sangat busuk tu. Pulak tu cuba bayangkan bau nafas suami kala kami berdua-duaan…mungkin aku boleh pengsan kot.

Kalau tak pengsan masa tu pun esok lusa pula mesti aku dapat penyakit free je. Mula-mula mesti batuk-batuk dulu…lepas tu? Ish…tak nak aku mati dengan jasa orang lain. Sebelum aku sayang orang lain, biarlah aku sayang diri sendiri dulu. Amanah Allah ni untuk aku jaga tubuh badan yang dianugerahkannya agar sentiasa dalam keadaan sihat walafiat, insyaAllah…

Suatu hari aku ditakdirkan demam, siap masuk wad lagi. Teruk la tu. Selesai pemeriksaan semua, doktor kata aku ada Apendisitis yang sudah pecah sebelum sempat dibedah. Sungguh aku terkejut. Maka aku menerima rawatan dengan membuang apendiks  melalui pembedahan!

Barulah aku tahu bahawa Apendisitis adalah sejenis penyakit senyap. Keradangan boleh berlaku apabila apendiks dijangkiti bakteria. Ia disebabkan oleh bukaan apendiks yang tersumbat dan mengumpul banyak bakteria di dalamnya. Keradangan yang berlaku dalam tempoh tertentu boleh mengakibatkan apendiksnya pecah dan menyebabkan keadaan yang lebih parah. Rupanya ia berlaku terlalu cepat, iaitu dalam tempoh enam hingga lapan jam selepas mengadu sakit perut, apendiks boleh pecah!

Selepas pulang dari hospital, Muhammad suruh aku berehat panjang. Dia suruh aku bercuti panjang walaupun sudah mendapat cuti sakit, disuruhnya juga aku mencukupkan rehatku sehingga sebulan. Memang la aku tidak setuju tapi dia cakap, tubuh badan ni nak pakai lama…Betul juga!

Kurang setahun pertunangan, akhirnya kami berkahwin. Rina lah yang paling sibuk menguruskan perihal aku nak kahwin. Katanya kerana sayangkan aku dia sanggup susahkan diri semata-mata untuk melihat majlisku menjadi. Aku tabik spring. Tunggulah harinya nanti insyaAllah aku akan balas segala jasa baiknya kepadaku.

Seronok juga apabila menjadi isteri. Cinta yang dahulunya berputik, sekarang sudah mekar mewangi. Rina pula sibuk nak kahwin juga. Siapa eh aku nak bagi kat dia? Ada jugak aku tolong intai-intaikan, tapi nampak macam tak jalan je, mana nak jalannya kalau yang aku punya pun dia yang tolong carikan. Aku langsung tiada kepakaran dalam bab menjodohkan ni. Akhirnya yang aku dengar, Rina dah jumpa sendiri calon suaminya.

Bagus sangat la tu, tak menyusahkan aku lagi. Dalam bab yang ini la…aku memang surrender. Lagipun sejak dulu lagi aku memang tak ramai kawan lelaki.

Selepas kahwin baru aku belajar-belajar masuk dapur. Itulah kelemahan aku yang paling ketara apabila bergelar isteri. Nasib baik aku dapat suami yang sedang belajar menerima kelemahan aku yang ini. Nasib baik lagi, dia banyak tolong aku ketika sesi masuk dapur. Itu yang paling aku suka. Aku pun nak juga dia tahu yang masak memasak ni bukannya senang kepada orang yang macam aku ni.

Boleh dikatakan bulan-bulan pertama perkahwinan kami adalah untuk sesi berta’aruf panjang. Aku belajar cara menggosok pakaiannya, belajar memasak makanan kegemarannya, dan tentunya belajar untuk menjadi penumpang, bukan lagi driver. Dia sudah buktikan janjinya dulu bahawa kami akan ke tempat kerja bersama-sama. Memang dia pernah berjanji kepadaku suatu ketika dulu, bahawa kami akan berkongsi kereta setiap hari untuk ke pejabat selepas kahwin. Katanya, dia tidak suka berseorangan dalam kereta, berteman itu lebih baik. Boleh borak-borak, insyaAllah boleh merapatkan hubungan suami isteri.

Hampir setahun barulah kerja-kerja dapurku agak menjadi. Selalunya aku minta resipi daripada Rina, dia memang terror bab masak-masak ni. Rina memang tak lokek ilmu. Selalu sedia membantu aku kala memerlukan. Bertuahlah suaminya nanti. Aku harap suamiku juga bertuah memilikiku walaupun aku tak terror bab masak-memasak ni.

Selepas dua tahun berkahwin, barulah kami dikurniakan zuriat. Susah juga aku nak lekat. Tapi berbaloilah apabila kami berdua sepakat untuk bersama-sama menguruskan si kecil yang seorang ini. Paling aku suka apabila sesi mengaji al-Quran, suami selalu meriba puteriku ini. Doaku semoga zuriatku ini akan mampu menguasai al-Quran dengan sempurna suatu hari nanti. InsyaAllah! Cahaya mata adalah anugerah Allah yang tiada nilainya.

Beberapa tahun seterusnya kami terus belajar membina keserasian dalam kehidupan berumahtangga. Tawa, duka semuanya bercambur gaul. Aku dengan Rina agak renggang kerana masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Sekarang ini ramai kawan-kawanku terdiri daripada isteri kepada kawan-kawan suamiku. Adat perempuan berkahwin macam tu lah kan? Kadang-kadang kami melakukan aktiviti rehlah bersama.

Aku pun bekerja macam biasa juga. Berkawan dengan kawan-kawan yang sama juga sejak mula-mula kerja dulu lagi. Kawan yang selalu teman aku makan tengahari di pejabat namanya Sarah. Lebih tua tiga tahun dari aku. Cantik juga orangnya, dah pun berkeluarga juga. Suka sangat dengan aktiviti membeli-belah dan sesi makan-makan, tapi tak juga gemuk-gemuk. Paling tak tahan dia memang kelakar orangnya.

Berkawan dengannya mampu menghiburkan hatiku. Tapi sebenarnya dirinya sendiri tak terhibur kerana suaminya ada ura-ura nak tambah cawangan, tak tertambah lagi tu pasal masih lagi memegang alasan ‘nak menjaga hati isteri’, walaupun sebenarnya hati isteri dah separuh koyak dengan perbuatan suami yang ada perempuan lain. Aku tak nak komen banyak-banyak, paling penting aku kena jaga rumahtangga sendiri, kena bagi yang terbaik buat suami tercinta.

Kalau ada salah dan silap, kena belajar lagi memperbaiki kesilapan. Banyak perkara sebenarnya yang aku jadikan teladan daripada rumahtangga Sarah. Aku harap dapat menjadi isteri dan ibu yang baik dalam rumahtanggaku.

(Bersambung…)

11.34pm

« »

4 Responses

  1. Menarik cite di atas. Cepat sambung ya. tak sabar nak baca lagi…

    • Terima kasih kerana sudi membaca.
      Ilham macam ni datang tak tentu masa…dah sebulan rasanya saya perapkan sebelum diedit.

      Tq.

  2. Assalamualaikum wbt,
    kakak lama saya tak baca cerita akak sebab sibuk di hospital🙂

    Sungguh sweet kisah di atas. Saya doakan jodoh akak dan suami sehingga ke syurga.

    Akak doakan saya juga bertemu jodoh sehingga ke syurga.

    • W’lam,
      Cik doktor pun menyempat juga ya baca cerita-cerita macam ni…🙂
      Akak cuba ‘lorongkan’ sebuah kisah kehidupan yang mula diambil mudah oleh masyarakat hari ini, dari mula bagaimana sepatutnya kita berkenalan dengan bakal suami, alam pertunangan sehinggalah menjaga sebuah perkahwinan.
      Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk akak sekeluarga.
      Bila nak berjodoh ni? Dalam blog tu macam dah ada hint nak bagi ‘kad’ kat akak ni…🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: