• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2011
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Malu

Salam Ukhuwah…

Sifat malu sangat sinonim dengan seorang wanita.

Sememangnya menjadi fitrah semulajadi wanita dikurniakan sifat malu oleh Allah s.w.t.. Sepatutnya dengan sifat malu inilah wanita mengambil pendekatan yang lebih baik dalam tingkah lakunya – malu untuk berperilaku yang tidak senonoh, malu untuk mendedahkan aurat, malu untuk bersosial sakan, dan malu apa saja demi menjaga maruah baik dirinya.

Namun bagaikan serba tidak kena apabila kita sendiri dapat melihat sebilangan besar wanita hari ini sudah hilang sifat malunya. Hilang malu, hilanglah seri seorang wanita, hilanglah nilai adab sopan yang menjadi tiang kehidupan untuk dimuliakan dalam masyarakat kita hari ini.

Sebilangan besar wanita hari ini bolehlah dianggap sebagai tiada malunya lagi apabila mula memandang enteng kepada kewajipan menutup aurat, terlalu bebas dalam pergaulan berlainan jantina, berani melakukan perbuatan maksiat secara terbuka – apakah mereka ini tidak dididik sempurna oleh ibubapa? Atau tiada jati diri dalam pegangan hidup masing-masing? Jua tidak tahukah mereka tentang hukum-hakam didalam Islam dan azab neraka yang pedih sedang menunggu siapa jua yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.?

Sangatlah jelas bahawa mereka tiada berpegang kepada Islam yang diakui agamanya, langsung mencabar kekuatan Allah s.w.t., tidak merasa ngeri kepada azab neraka yang pedih dan tidak rindukan nikmatnya janji syurga Ilahi.

Walau apapun silapnya, sebelum keadaan menjadi lebih parah, itu semua sudah berbalik kepada kita untuk bertanggungjawab memperbetulkan keadaan sebelum wanita hari ini terus hanyut dibawa arus kemodenan semasa.

Awalannya kita harus positif dalam mendefinisi sifat malu, tentunya malu yang bersifat positif. Dalam Islam sendiri sangat menitikberatkan sifat malu, begitu juga dalam masyarakat Melayu kita yang asalnya sebuah masyarakat yang bermaruah, baik dari segi menjaga harga diri mahupun dalam bersosial bersama masyarakat awam.

Sifat malu yang positif akan menjauhkan seseorang dari perbuatan yang menjurus kepada maksiat, lantas mengingati Allah s.w.t. apabila mahu melakukan apa jua perkara yang tidak baik.

Harga Diri

Bersifat pemalu merupakan harga diri yang tiada nilai jual belinya. Melihat lebih mendalam, malu juga separuh daripada iman. Tiada malu maka tiadalah juga iman di jiwa mereka.

Malu bukan sahaja bersifat kepada perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia bermula dengan bagaimana kita menjaga akal fikiran. Akal yang dikurniakan Allah s.w.t. inilah akan mendorong kita untuk menjaga semua pancaindera yang dikurniakan Ilahi – malu untuk kita berfikir yang bukan-bukan, malu untuk melihat perkara maksiat, malu untuk mendengar sebarang unsur melaghakan, malu untuk memakai, memakan dan menyentuh apa jua yang haram, malu diatas apa jua perkara yang dinilaikan sebagai tidak sepatut kita melakukannya.

Itulah peranannya sifat malu. Tetapi jika sudah melayang sifat malu yang satu ini, mulalah mereka melakukan pelbagai tindakan yang membuta tuli. Tiada ambil peduli lagi kepada sensitiviti masyarakat, jauh sekali mahu mengingati hukum-hakam Allah s.w.t.. Jika ada yang menegur mulalah mengeluarkan ayat skima – peduli apa aku?

Ya, kita peduli kerana masih ada sifat kasih sayang antara Muslim, kerana kita masih ada sifat malu untuk melihat mereka yang tidak tahu malu terkinja-kinja mencari identiti diri yang entah bila akan berpenghujung, walau sebenarnya sudah diidentitikan bahawa kita adalah Muslim.

Saya percaya bahawa kita mempunyai persepsi yang tersendiri apabila melihat adegan antara wanita dengan lelaki yang bergaul secara berlebihan di tempat awam, baik apabila mereka mula bersalaman, bertepuk tampar, berhimpit, dan apa jua perilaku yang memperlihatkan suasana bebas antara bukan mahram, tentunya sangat mendukacitakan bagi setiap mereka yang mengaku Muslim.

Kita perlu tahu untuk membataskan pergaulan terutama apabila berurusan dengan berlainan jantina. Bukan langsung tidak boleh berhubung antara wanita dengan lelaki, tetapi sangat perlu tahu batas-batasnya. Paling penting adalah akhlak masing-masing, samada wanita mahupun lelaki perlu ada sifat malu agar kita bersama menjadi pendinding kepada maruah diri sendiri.

Jika keadaan memerlukan kita berhubungan antara wanita dengan lelaki, pastikan ia hanya untuk tujuan yang diperlukan sahaja, tidak perlu diperpanjangkan kepada perkara-perkara lain yang tiada kaitannya.

Hak Wanita

Wanita perlu berasa malu apabila berada pada tempat yang tidak sepatutnya, tetapi bukannya malu sehingga hanya terperuk di dalam rumah tanpa langsung mengetahui perkembangan dunia hari ini. Jika hanya kerana malu sehingga menjadi bodoh, inilah yang dikatakan malu tidak bertempat.

Islam sendiri memberikan hak kepada wanita untuk keluar menuntut ilmu, berdakwah dan mencapai kecemerlangan dalam kehidupannya, walaupun di luar sana pelbagai cabaran menanti wanita hari ini.

Menjadi seorang wanita yang pemalu tidak akan merugikan siapapun, malah setiap wanita yang baik ini secara langsung mampu menghindari segala keburukan yang berlaku didalam masyarakat hari ini seperti kes rogol, pengguguran haram, buang bayi, sumbang mahram, pemerdagangan orang, pelacuran, dan sebagainya. Kes-kes sebegini lazimnya berlaku kerana ransangannya bermula daripada wanita yang langsung tidak merasa kekok untuk bergaul sakan dengan kaum lelaki yang bukan mahramnya.

Baginda Rasulullah s.a.w. juga pernah meninggalkan ingatan kepada ummatnya bahawa sebilangan besar penghuni neraka adalah wanita. Sebagai wanita seharusnya kita pahatkan ingatan ini agar ia menjadi hijab ketika mana nyaris melakukan apa jua perlakuan yang boleh mengundang dosa.

Maka, jika yang masih belum bertudung, hadirkanlah jiwa yang bersih untuk mula menutup mahkotamu yang cantik, jika ada yang masih suka berpakaian yang senteng seksi, ketat mahupun jarang, sudah tiba masanya untuk kita belajar menutup aurat dengan lebih sempurna. Jangan sekadar kita berpakaian tetapi kelihatan seolah telanjang apabila semua susuk tubuh boleh dinilai sudut seginya.

Berpakaian sebegini hanya mengundang kecenderungan mata-mata yang memandang untuk lebih melakukan maksiat. Ingatlah bahawa wanita yang berperilaku sebegini telah ditinggalkan amaran oleh Baginda Rasulullah s.a.w., bahawa mereka tidak akan mencium bau syurga, sedangkan syurga itu bauannya akan dapat dihidu sejauh perjalanan yang teramat jauh.

Istimewa

Sepatutnya wanita menjadi perhiasan yang paling disanjungi di dunia ini, menjadi seorang yang teristimewa kepada seorang lelaki bergelar suami, tetapi sayang, dunia hari ini menjadikan wanita hanya mainan untuk dieksploitasikan secara sukarela oleh wanita itu sendiri.

Wanita yang berjaya dalam hidupnya dan masih mengekalkan identiti Muslim sangatlah disanjungi masyarakat dan Islam. Wanita sebeginilah seharusnya disifatkan sebagai seorang yang berjaya dalam kehidupannya dan mampu membuktikan bahawa mereka adalah terbaik dalam identiti yang paling istimewa. Perjuangan untuk kekal dalam indentiti Muslim bukannya perkara mudah pada hari ini, namun ia memerlukan satu komitmen dan kesabaran dalam mendepani segala cabaran dunia yang begitu hebat sekali.

Kekal dalam identiti Muslim bukan sekadar mahukan sanjungan, tetapi nawaitunya adalah untuk bersama-sama berkongsi manfaat dalam masyarakat awam.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 14-20 Januari 2011/ 09-15 Safar 1432. Terima kasih.)

12.30pm

2 Responses

  1. Salam.🙂

    Saya baru di sini.
    Minta tunjukajar.🙂

    Saya sudahpun ikuti sambungannya.
    Menarik dan bermanfaat buat semua.🙂

    Jika diberi kebenaran,
    saya ingin berkongsi artikel penuh artikel ini di facebook.
    Itupun jika tidak keberatan.🙂

    Apapun,
    didoakan moga-moga diberikan segala yang terbaik oleh NYA
    untuk terus berkarya.
    Amin ya RABB🙂

    • W’lam,

      Selamat datang ke rumah saya, tiada apa yang perlu diajar, pohon bersopan santun sahaja.

      Terima kasih kerana membaca tulisan saya, semoga apa yang baik dapat kita kongsikan bersama.

      Saya membenarkan artikel ini dikongsi kepada umum, tetapi selepas seminggu disiarkan oleh SIASAH untuk tidak mengganggu siarannya. Pohon juga kreditkan kepada serisuri.wordpress.com

      Doakan juga semoga saya mampu menghasilkan artikel-artikel yang baik untuk dimanfaatkan bersama, insyaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: