• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2011
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Istimewa

Salam Ukhuwah…

Allah s.w.t. telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang sangat istimewa, asasnya sebagai peneman kesunyian kepada kaum lelaki, sebagaimana terciptanya Hawa untuk Adam.

Tentunya apabila seorang lelaki dan wanita bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan, maka hadirlah kegembiraan, ketenangan dan kedamaian dalam jiwa setiap pasangan. Akan wujudlah seorang pendorong semangat, teman untuk senyum tawa dalam bergurau senda, berkasih sayang dan berkongsi rasa apa saja sehingga ke akhir hayat.

Walau bagaimanapun, sebelum wanita ini melangkah jauh mencari kecemerlangan diri – daripada menjadi seorang anak sehinggalah mereka pula bergelar seorang ibu – langkah kakinya sangatlah panjang di dunia yang terbentang luas ini. Maka haruslah terlebih dahulu mereka memahami apakah penceritaan al-Quran terhadap penciptaan mereka di dunia ini.

Al-Quran telah menyatakan secara rumusnya bahawa wanita ini terbahagi kepada tiga keadaan umum; ada wanita yang dirinya mampu menjadi fitnah dan musuh kepada manusia lain, ada juga wanita yang menjadi ujian besar kepada kaum lelaki kerana penampilannya amat mempesonakan kepada setiap mata yang memandang, dan tentunya pilihan akhir ini adalah impian setiap daripada kita, menjadi wanita yang menjadi anugerah  paling bernilai kepada seorang lelaki yang bergelar suami dalam mencari syurga di dunia ini.

Wanita dikurniakan Allah s.w.t dengan wajah yang cantik, sedap mata apabila memandangnya. Ada manis dan mulusnya. Tetapi sebenarnya cantik pada wanita itu bukanlah pada solekan yang dikenakannya, bukan pada pakaian yang digayakannya, bukan pada ukuran badannya yang meliuk lintuk, bahkan cantiknya yang sebenar adalah terletak pada akalnya untuk bijak memilih jalan yang terbaik dalam kehidupannya.

Untuk melahirkan dan membentuk wanita yang baik inilah kita memerlukan suatu asuhan dan didikan yang sempurna, mengikut acuan Islam sedari kecil lagi. Maka tentunya kita juga memerlukan seorang ibu, yang juga merupakan seorang wanita yang elok pekerti dalam mendidiknya. Wanita bermaruah insyaAllah akan menyumbang kepada lahirnya generasi yang sempurna perwatakannya. Inilah suatu kitaran hidup yang terbaik telah diaturcarakan oleh Allah s.w.t..

Daripada pandangan mata kasar kita hanya dapat melihat wanita adalah suatu makhluk Allah s.w.t yang lemah fizikalnya. Kadangkala juga kita melihat wanita menggunakan air matanya sebagai senjata untuk meraih simpati. Tetapi sebenarnya air mata itulah kurniaan besar daripada Allah s.w.t. dalam memberi peluang untuk mereka mengekspresikan emosi dalam pelbagai keadaan, baik ketika mereka sedang sedih, bahagia, bangga, dan sebagainya.

Unik

Tetapi jika kita perhalusi ciptaan ini sebenarnya wanita sangatlah unik. Mereka dikurniakan sifat yang berlemah-lembut, tetapi ada ketegasan dalam jiwanya. Lazimnya mereka mampu menanggung bebanan kejiwaan yang kuat. Walau dalam keadaan sukar sekalipun, wanita yang baik seringkali berhabisan mempertahankan maruah dirinya walau diuji seteruk mana sekalipun. Mereka tetap akan berusaha untuk menjaga kehormatan dirinya daripada diganggu anasir jahat di luar sana.

Lebih-lebih lagi apabila wanita diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk melalui proses mengandung yang meletihkan, dan begitu mencabar dari segi fizikal serta mental sepanjang tempoh sembilan bulan. Seterusnya kesusahan untuk melahirkan zuriat sebagai penyambung keturunan, langsung membesarkan dan mendidik anak-anak ini dengan penuh kasih sayang.

Jika kita berpandukan logik akal, proses mengandung sepatutnya dikurniakan kepada kaum lelaki, kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal untuk menanggung beban kandungan tersebut yang beratnya berkilo-kilo, dan alahan sepanjang sesi tersebut.

Tetapi disinilah istimewanya wanita apabila Allah s.w.t. memilihnya untuk diberi kelayakan tersebut. Ini kerana mereka memiliki jiwa dalaman yang lebih kuat. Mereka lebih bersifat penyabar, lemah-lembut dan penyayang, dimana sifat-sifat inilah yang akan diguna pakai untuk menjaga seeloknya zuriat yang dikandungnya itu. Mereka lebih peka dalam memberi kasih sayang kepada zuriatnya dalam keadaan mana sekalipun.

Kaum lelaki agak sukar untuk meluahkan kasih sayang mereka secara jelas. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan sebagai suami dan ayah, mereka sebenarnya lebih tegar untuk membina sebuah keluarga yang bahagia.

Jalan Hidup

Seorang ibu yang baik akan cuba membentuk keluarganya dengan ciri-ciri sebuah rumahtangga Muslim yang sempurna. Dengan harapan semoga zuriatnya ini mampu menjadi seorang yang patuh, bertanggungjawab, amanah, berdisiplin, bermotivasi, dan tahu bagaimana untuk memilih jalan hidup yang terbaik, atas kesedaran dan kefahaman tentang peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan dalam kehidupan Islam.

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang bergelar ibulah yang akan membina pemimpin dan generasi terbaik pada masa hadapan. Ibu yang baik akan bersedia menyediakan dirinya sebagai guru dalam memberi didikan awalan kepada anak-anak. Istimewanya apabila mereka mampu mengajar anak-anak secara praktikal – bukan sekadar amali – tentang soal akhlak, adab sopan, tingkah laku seiring dengan kehendak Islam, dengan memberi contoh teladan yang sempurna kepada anak-anak ini.

Peranan seorang wanita sangatlah besar dalam melindungi generasi baru dari terus terjebak dalam pelbagai anasir jahat di luar sana. Anak-anak sememangnya sangat memerlukan perhatian daripada seorang ibu, apabila bapa mereka telah sibuk keluar untuk mencari rezeki bagi menampung sebuah keluarga. Maka disinilah peranan ibu sangat diperlukan sebagai penyokong kepada tumbesaran dan perkembangan maksimum anak-anak mereka.

Dari sini kita dapat melihat bahawa Islam telah meletakkan suatu kedudukan yang sempurna elok kepada wanita di dunia ini. Tiada agama lain di dunia yang memberi fokus seistimewa ini terhadap wanita melainkan Islam. Wanita telah dikurniakan hak dan dilayani sesuai dengan fitrah dan kejadian mereka.

Jika seorang anak gadis telah dididik sempurna oleh seorang ibu yang bermaruah, maka akan lahirlah seorang wanita yang mampu menjadi anak yang taat kepada kedua ibubapanya,  menjadi isteri terbaik kepada suaminya apabila dia berjaya dalam menjamin kerukunan dan kesejahteraan rumahtangganya, seterusnya turut menjadi ibu yang cemerlang dalam membentuk peribadi mulia zuriatnya, langsung menjadi hamba Allah s.w.t. yang patuh pada agamanya.

Fitrah

Fitrah wanita yang bersifat lemah-lembut ini sewajarnya mendapat perhatian dan layanan yang sempurna daripada seorang lelaki yang bergelar suami. Hiburkanlah jiwa mereka dengan kasih sayang sejati sepanjang hayat, mudah-mudahan ia berbaloi buat suami mendapat khidmat terbaik di dalam sebuah rumahtangga yang sungguh diberkati Allah s.w.t..

Namun, seindah-indah ciptaan wanita ini, kebanyakan daripada kita langsung tidak menghargai betapa istimewanya kejadian seorang wanita di dunia ini. Sebagai wanita, marilah kita bersama menghargai diri sendiri. Perlu untuk kita terlebih dahulu menghargai diri sendiri sebelum orang lain tahu bagaimana untuk menghargai diri kita. Wanita perlu tahu batas tindakan mereka dalam membuat pilihan dalam hidup.

Wanita harus memilih untuk memperjuangkan identiti diri yang bersih dan istimewa seanggun anugerah Maha Penciptanya. Kita semua harus berkeyakinan tinggi dan tahu apa yang terbaik untuk diri dalam kehidupan hari ini. Setiap wanita harus kekal dalam sifat fitrah azalinya walau sehebat manapun status mereka di mata dunia hari ini. Mereka seharusnya mempunyai sikap bersopan santun, penuh beradab, manis tingkahnya dan masih menyimpan sifat malu yang menjadi tabir terakhir dalam niat melakukan perkara yang sia-sia.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 21 – 27 Januari 2011/ 16 – 22 Safar 1432. Terima Kasih.)

3.01pm

« »

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: