• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    January 2011
    S M T W T F S
    « Dec   Feb »
     1
    2345678
    9101112131415
    16171819202122
    23242526272829
    3031  

Calon

Salam Ukhuwah…

Saya dahulukan dengan kalungan tahniah buat Puan Normala Sudirman. Mesra disapa dengan panggilan Cikgu Mala, merupakan calon wanita dari PAS yang bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini. Semoga kemenangan menjadi milik kita, insyaAllah! Sama-sama kita doakan!

Senario hari ini memperlihatkan bahawa tidak asing lagi jika wanita mula bersedia tampil untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Mereka juga mempunyai aura kepimpinan dan bersedia seiring membantu untuk membangunkan masyarakat dan Negara.

Keadaan masyarakat yang berbilang kaum, adat dan budaya serta suasana masyarakat setempat juga antara faktor keperluan penglibatan wanita dalam bidang politik. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini wanita yang menjadi calon dalam pilihan raya di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah.

Jika suatu ketika dahulu sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dan Negara kelihatan begitu kurang sekali, tetapi tidak lagi pada hari ini apabila kita sudah mampu melihat bahawa peranan mereka sudah tidak boleh disisih dan diketepikan lagi. Mereka mampu menjadi contoh yang berkualiti dalam kepimpinan Negara.

Peluang yang diberikan kepada wanita hari ini kelihatannya bertambah baik, apabila mereka telah diberi kesempatan yang lebih sempurna untuk bersama-sama berjuang dalam bidang politik, seterusnya turut berada didalam portfolio pentadbiran negara samada dibidang pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial, dan budaya.

Pencapaian pendidikan wanita yang lebih tinggi pada masa kini, secara langsung membentuk keperibadian mereka untuk lebih berdaya saing dan bersemangat kental dalam menghadapi cabaran semasa. Mereka lebih bersedia dalam memastikan potensi, bakat, kebolehan, kemahiran, dan kepakaran serta tahap keprofesionalisme mereka disedari dan diiktiraf. Pengetahuan yang lebih baik ini juga mendorong penyertaan mereka dalam pelbagai bidang penting Negara, termasuklah sebagai ahli politik.

Martabat yang Sempurna

Islam membenarkan wanita melibatkan diri  dalam pelbagai bidang penting Negara, seperti politik, ekonomi dan sosial dengan matlamat untuk bersama-sama membangun dan memajukan Negara serta ummah keseluruhannya.

Martabat kaum wanita telah diletakkan pada tempat yang sempurna didalam Islam dan memiliki hak-hak keistimewaan yang tersendiri. Kaum wanita telah diberi kedudukan dan penghormatan serta dimuliakan pada tahap yang sewajarnya, mengikut lunas-lunas Islam dan fitrah kejadian mereka. Bahkan mereka berpeluang untuk turut berperanan dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika wanita terlibat dibidang politik sekalipun, tugasan sebagai ahli politik sebenarnya masih berada didalam tabii kewanitaan. Tentunya ahli politik tidak terlibat dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kekuatan fizikal, tetapi ia lebih menggunakan kebijaksanaan berfikir dan kepantasan bertindak.

Islam melihat kesemua manusia dengan pandangan yang sama, kerana asal usul mereka juga adalah sama. Beza antara manusia adalah mengikut tahap ketaqwaannya kepada Allah s.w.t., bukannya jantina seseorang itu. Secara tidak langsung terurailah tohmahan bahawa Islam mengongkong dan mendiskriminasikan wanita.

Muslimah

Penglibatan kaum wanita yang membawa imej Muslimah juga semakin dipandang positif. Satu persepsi yang baik mula mampu dibina kepada wanita yang berimej sedemikian. Mereka tidak lagi dipandang sebagai suatu kaum yang sekadar bergelar anak, isteri dan ibu, tetapi sudah mula bersedia untuk berperanan dan menyumbang kepada masyarakat awam.

Wanita Muslimah juga mampu menjadi wakil dan berkhidmat untuk rakyat. Mereka terpilih daripada kalangan yang berkemampuan dan bijak. Ini kerana mereka juga sudah memiliki kepakaran untuk memiliki maklumat yang setanding sesiapa saja di luar sana.

Suasana hari ini juga turut menuntut wanita Muslimah untuk bersama-sama menerajui kepimpinan. Penglibatan mereka adalah bertujuan untuk menjadi wakil kepada wanita Islam lain dalam memberi idea terbaik mengurus isu-isu kewanitaan sejagat dengan lebih islamik, bukannya berterusan dikuasai oleh wanita sekular dan prejudis kepada Islam. Kita tidak mahu berterusan memberi kemenangan kepada calon wanita yang secara jelas tidak menyokong perjuangan Islam yang sebenar.

Sebuah Kehidupan

Imam Al-Ghazali telah mendefinasikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Beliau juga turut menekankan bahawa politik dan agama bagaikan dua saudara kembar. Agama sebagai asas kepada sebuah kehidupan, manakala politik adalah kekuasaan yang merupakan penjaganya. Maka, apa saja perkara didalam kehidupan ini yang tidak mempunyai asas agama sudah tentulah ia akan runtuh, begitulah juga apabila sesebuah kekuasaan tidak dijaga dengan sempurna akan hilang dan lenyap begitu sahaja.

Apabila dimaksudkan bahawa politik itu sebagai sebuah kehidupan, maka setiap daripada kita  yang berkecimpung dalam bidang politik akan memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat awam.

Justeru itu, apabila wanita memutuskan untuk bersama-sama terlibat dalam bidang politik, mereka sebenarnya telah bersedia untuk melangkah lebih jauh keluar dari lingkungan pengurusan rumahtangga, untuk ‘duduk’ didalam masyarakat bertujuan menyumbang peranan dalam pembangunan masyarakat dan Negara.

Fitnah

Walaupun politik di Malaysia sering sahaja teruji dengan pelbagai fitnah yang mengotorkan setiap individu yang terlibat didalamnya, kita sendiri telahpun mempunyai garis panduan berlandaskan Islam dan saranan terbaik kepada wanita sebelum mereka melibatkan diri sebagai calon pilihan raya, seterusnya menjadi seorang pemimpin wanita yang berjaya.

Maka, apabila wanita telah membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam politik, mereka perlu bijak untuk mengurus masa di antara keluarga dan cita-cita. Sudah tentunya terlebih dahulu mereka perlu mendapat keizinan sepenuh hati daripada suaminya. Selain daripada itu sokongan jitu daripada suami dan setiap ahli keluarga, amatlah diperlukan untuk memahami tugasan yang diamanahkan kepada mereka.

Anak-anak perlu diberi kefahaman sempurna tentang tugasan ibu yang berpolitik, agar mereka tahu untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan. Kita juga tidak mahu kecemerlangan seorang ibu yang berjaya dalam berpolitik dibayangi dengan ahli keluarga yang terabai kehidupan mereka.

Umumnya wanita yang terlibat didalam politik dilihat perlu lebih menjaga akhlaknya. Mereka perlu menjaga baik etika pergaulan apabila berada di kalangan lelaki, dengan bersikap lebih serius dan berusaha untuk menghindari apa jua perilaku yang boleh mendatangkan fitnah. Keseriusan semasa bermu’amalah ini boleh membantu menutup peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mencipta fitnah dengan tujuan menimbulkan kerosakan peribadi calon tersebut.

Wanita juga perlu menjaga baik maruah dan keselamatan dirinya. Berpakaian menutup aurat tentunya suatu cara untuk memelihara kemuliaan mereka. Sudah tentu berpakaian yang elok akan membantutkan niat jahat manusia yang sentiasa bernafsu negatif keatas wanita.

Kaum wanita yang menceburi apa jua bidang pekerjaan tidaklah perlu berlagak sebagaimana lelaki semata-mata mahu dihormati, tetapi berdirilah atas keyakinan diri sendiri bahawa seseorang itu akan dihormati kerana ketegasan prinsipnya. Sudah tentulah wanita perlu mengekalkan adab sopannya, menutup aurat, tidak bersolek, dan mendapat keizinan daripada suami jika dia sudah berkahwin.

Selain dari terlibat dalam bidang politik, wanita juga digalakkan untuk melibatkan diri dan bergiat melalui pelbagai pertubuhan Non-governmental Organization (NGO), untuk bersama-sama menyalurkan idea dalam usaha membangunkan Negara.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 28 Januari – 3 Februari 2011/ 23 – 29 Safar 1432. Terima kasih.)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: