• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    February 2011
    S M T W T F S
    « Jan   Mar »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728  

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (II)

Salam Ukhuwah…

Usia remaja Muhammad dipenuhi dengan aktivit-aktiviti yang berfaedah. Dia sentiasa dilindungi Allah s.w.t. daripada sebarang perlakuan yang tidak baik. Akhlaknya terpelihara dan maksum dari sebarang kehinaan dunia ini, sehinggalah dia dikenali sebagai al-Amin (yang amanah).

Tempoh usianya sentiasa diisi dengan melakukan pelbagai kebajikan dan kebaikan kepada masyarakat umum. Muhammad juga seorang yang sering berlapang dada dengan apa jua situasi yang berlaku keatasnya. Dia seorang yang sentiasa tenang dan mesra dalam bergaul dengan sesiapa sahaja, sehingga setiap orang yang pernah berhubung dengannya akan menyayangi dirinya.

Muhammad seorang yang mengutamakan perasaan kasih sayang dalam sebarang perhubungan tanpa membezakan taraf hidup seseorang. Dia juga seorang yang berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukannya.

Dalam usianya yang masih muda, Muhammad mula mempercayai sepenuhnya keEsaan Allah s.w.t.. Dia tidak pernah menyembah berhala dan langsung meninggalkan kehidupan sosial arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran pada waktu itu.

Ketika usia Muhammad menjangkau 25 tahun, bapa saudaranya mula menyarankan kepadanya untuk menyertai rombongan perniagaan (kafilah), yang dimiliki oleh seorang usahawan berjaya yang bernama Khadijah binti Khuwailid.

Untuk pertama kalinya dia diberi tanggungjawab terhadap rombongan perniagaan ke Syam (Syria). Tentu sekali urusniaga kali ini mencapai kejayaan dengan pencapaian keuntungan yang luar biasa apabila diuruskan oleh seorang pemuda yang bijaksana.

Bukan hanya kerana Muhammad seorang yang bijaksana, tetapi kejujuran dan peribadi mulia miliknya telah menarik minat Khadijah untuk menawarkan dirinya bagi mengahwini pemuda ini. Lamaran tersebut diterima baik oleh Muhammad, walaupun Khadijah merupakan seorang janda yang telahpun mencapai usia 40 tahun. Perbezaan umur selang 15 tahun ini tetap membawa sinar kebahagiaan kepada mereka berdua, apabila telah dikurniakan zuriat seramai enam orang, dua lelaki dan empat perempuan.

Bertafakur

Dalam pada itu, Muhammad terusan merasa tertekan dengan keadaan kaumnya (Quraisy) yang terus berada dalam keadaan jahil dan langsung tidak beragama. Mereka berterusan menyembah berhala buatan sendiri dan memohon apa saja dari patung-patung keras tersebut, sentiasa dalam keadaan mabuk, berzina, sehinggalah sanggup membunuh anak kandung sendiri, terutamanya bayi perempuan.

Keadaan ini menyebabkan Muhammad merasa terganggu dan sedih dengan kaumnya sendiri, lantas dia mula mengasingkan dan menjauhkan dirinya daripada situasi tersebut. Matlamatnya hanya satu, mencari petunjuk dan hidayah dalam membantu menyedarkan kaumnya tentang betapa buruknya laku mereka selama ini.

Menghampiri umurnya 40 tahun, Muhammad telah memilih Gua Hira’ yang terletak di kawasan bukit Jabal Nur sebagai lokasinya untuk bertafakur. Dia telah beribadat sebagaimana agama yang dibawa Nabi Ibrahim a.s.. Selama berbulan-bulan dia menyendiri di sana, isterinya, Khadijah terus setia membekalkan makan minum buat suaminya yang tercinta.

Pada suatu ketika, tanggal 17 Ramadhan, dalam usia 40 tahun, Muhammad telah didatangi Malaikat Jibril sewaktu dirinya sedang bertafakur di Gua Hira’. Lantas Jibril menyampaikan wahyu Allah di telinganya dengan meminta Muhammad membacanya.

Kita sudahpun sedia maklum bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis (ummiy). Maka apabila Jibril memintanya membaca tentu sekali Muhammad tidak dapat memenuhi permintaan tersebut. Sehinggalah tiga kali Jibril mengulangi permintaan yang sama, namun Muhammad tetap memberi jawapan bahawa dia tidak tahu membaca.

Langsung akhirnya Jibril membacakan wahyu Allah yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., diikuti lafaznya itu oleh baginda Nabi sebagaimana apa yang telah diucapkan oleh malaikat tersebut. Wahyu pertama ini merupakan Surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima.

Nabi Akhir Zaman

Setelah Jibril berlalu, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersegera pulang ke rumahnya dalam keadaan tubuh yang menggigil ketakutan dan penuh kejutan. Baginda meminta isterinya, Khadijah untuk menyelimutinya.

Setelah emosinya kembali tenang, Baginda berkongsi khabar kepada isterinya apa yang telah dialami. Sebagai seorang isteri yang baik dan memahami perasaan suaminya, lantas Khadijah membenarkan apa jua perkhabaran yang disampaikan kepadanya. Dengan pujukan yang menenangkan bahawa sesekali Tuhan tidak akan menghina suaminya itu yang telahpun memiliki peribadi yang mulia selama ini.

Duga Khadijah bahawa ada sesuatu yang baik akan berlaku keatas suaminya, lalu dia telah mengambil inisiatif dengan membawanya ke rumah sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang Nasrani dan ahli kitab Injil yang banyak mengetahui pengkisahan Nabi akhir zaman. Lantas dia menceritakan apa yang telah berlaku keatas suaminya. Sangatlah jelas kepada Waraqah bahawa malaikat Jibrillah yang telah mendatangi Nabi Muhammad s.a.w., dengan membawa wahyu daripada Allah s.w.t..

Penyampaian wahyu ini membawa maksud bahawa Muhammad telah dilantik sebagai Nabi akhir zaman, yang akan membawa sinar Islam kepada seluruh ummat manusia sehingga hari kiamat. Waraqah juga menjelaskan bahawa Jibril jugalah yang telah mendatangi Nabi Musa a.s. dan nabi-nabi sebelumnya. Dia juga melafazkan janji bahawa akan akur dan turut sama membantu dalam perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. selepas itu.

Nabi Muhammad s.a.w. berterusan menerima wahyu dari semasa ke semasa dalam tempoh masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah dikumpulkan dan disusun di dalam suatu kitab yang dinamakan al-Quran. Ayat-ayat al-Quran sangat jelas pengertiannya dan saling berhubung di antara ayat-ayat tersebut. Al-Quran merupakan kitab yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai panduan dan pedoman buat ummatnya, diiringi Sunnahnya sebagai gabungan terbaik dalam mencapai hidayah menuju penyerahan diri di hadapan Allah s.w.t. kelak.

Seruan Islam

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. mula menyeru manusia ke jalan Allah, dia mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Hanya anggota keluarga terdekat sahaja dan masyarakat bawahan yang menjadi pengikut setia kepada setiap seruan Baginda. Tentu sekali isteri Baginda, Saidatina Khadijah, merupakan individu serta wanita pertama yang memeluk Islam.

Turut serta dalam perjuangan awalan ini adalah Ali bin Abi Talib, sepupu Baginda yang juga merupakan lelaki (kanak-kanak) pertama memeluk Islam. Kemudian Abu Bakar (lelaki dewasa), sahabat karib Baginda sejak kecil, diikuti oleh Zaid bin Haritsah (remaja), anak angkat Baginda, dan Ummu Aiman, pengasuh Baginda semenjak ibunya masih ada. Dari dakwah yang masih rahsia ini, disusuli pula dengan belasan yang lain telah memeluk Islam. Seterusnya Aisyah, puteri Abu Bakar, yang telah memeluk Islam pada angka awal puluhan.

Nabi Muhammad s.a.w. mula memperhebatkan kegiatan dakwah dengan mengumumkannya secara terbuka, apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah telah memeluk Islam. Antara mereka ialah Uthman bin Affan, Zubair bin Al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail, dan ramai lagi.

Agama Islam telah disebarkan dengan keyakinan yang lebih tinggi lantas membuahkan tarikan yang lebih baik kepada masyarakat awam untuk memeluk Islam. Namun, baginda masih terpaksa menghadapi pelbagai cabaran daripada golongan bangsawan dan para pemimpin atasan, yang mula merasakan kedudukan mereka terancam jua mampu menggoyahkan anutan agama datuk nenek mereka sebelum ini.

(Artikel ini telah disiarkan di dalam SIASAH edisi 25 Februari – 3 Mac 2011/ 22 – 28 RabiulAwal 1432. Terima Kasih.)

Tajaan Haji

Assalamualaikum dan Salam sejahtera…

Semalam saya telah menerima sms daripada seorang kawan, memaklumkan bahawa isu tajaan haji masih dibangkitkan di dalam satu laporan Bernama (21 Februari 2011) yang bertajuk Poser Over Inaction Against Son In Law.

Laporan ini telah menyebut kenyataan dari Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia. Setiausahanya, Tengku Amalluddin Sani Raja Ahmad Sufian telah mempersoalkan kenapa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas saya, berhubung isu salah urus kewangan dan isu tajaan Haji ini dengan hanya menyerahkan siasatan lanjut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Umum mengetahui bahawa SPRM telahpun menyiasat perkara ini, seterusnya memaklumkan keputusan bahawa kes ini telah ditutup.

Lanjutan itu juga sebagai tanda kesyukuran, TGNA telah mengambil sebahagian dari wang tabungannya untuk diinfaqkan kepada parti, dan saya pula telah membuat kenduri kesyukuran di atas selesainya isu ini.

Setelah perbincangan dibuat dengan beberapa orang individu yang mengetahui hal sebenar tentang isu ini, saya merasakan bahawa perlunya penjelasan mengenai perkara yang berlaku supaya umum akan mengetahui kebenarannya. Lebih-lebih lagi apabila individu yang terlibat sepenuhnya dalam isu tajaan haji ini terusan diam membisu, mungkin untuk menyelamatkan diri seterusnya membiarkan saya yang dipersalahkan.

Asasnya isu tajaan Haji tidak pernah berkait dengan saya, kerana kami suami isteri hanya menyertai rombongan Haji TGNA. Untuk makluman, saya dan isteri telahpun merancang untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun 2009 dan telah dimaklumkan kepada ibubapa kedua-dua belah pihak. Bagi tujuan ini dari awal lagi kami telahpun mendaftar diri dengan satu agensi yang diiktiraf dan berpengalaman di Kota Bharu.

Dalam tempoh tidak lama selepas itu, saya mendapat khabar bahawa ada pihak yang sedang menguruskan rombongan Haji bersama TGNA dan keluarga. Apabila mengetahui hasrat TGNA pada saat-saat akhir untuk menunaikan ibadat Haji pada tahun tersebut (yang sebelumnya masih samar kerana faktor kesihatan), kami suami isteri telahpun meminta persetujuan daripada beliau untuk menyertai rombongan tersebut. TGNA sangat mengalukan hasrat untuk bersamanya, lalu kami membatalkan pendaftaran dengan agensi sebelumnya.

(Ikuti penjelasan selanjutnya di kelantanprogres.blogspot.com)

10.13am

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w.

Salam Ukhuwah…

Dalam aqidah Islam, setiap Muslim wajib beriman kepada para Nabi dan Rasul, langsung beriman jua kepada setiap kitab yang diturunkan Allah s.w.t.. Bukan sekadar membenarkan dan meyakinkan al-Quran semata, bahkan mengimani kitab Zabur, Taurat dan Injil.

Walaupun sedemikian, kita sangat perlu berwaspada apabila kitab-kitab selain dari al-Quran, bolehlah dianggap sebagai hanya tinggal pada nama sahaja pada hari ini. Sedangkan maklumat didalamnya terlalu banyak boleh dipertikaikan, apabila perubahan demi perubahan telah dibuat keatas kitab Allah yang asal itu oleh tangan-tangan kafir la’antullah. Kitab-kitab ini sudah terlalu jauh menyimpang dari sumber wahyu Allah yang sebenar.

Tentunya kitab-kitab palsu ini hanya digunapakai untuk merosakkan aqidah Muslim semata. Sangatlah jelas bahawa kita tidak lagi perlu mengimani kitab-kitab yang telahpun diubahsuai ini, mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

Al-Quran juga telah menyebut bahawa inilah kitab terakhir yang diturunkan Allah s.w.t.. Tiada lagi kitab selepas al-Quran, yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskan kepada seluruh ummat manusia.

Namun, ada berita gembira telah diwahyukan oleh Allah s.w.t. didalam kitab Injil yang asli, betapa akan hadirnya seorang lagi Nabi sesudah Nabi Isa a.s., yakni Nabi Muhammad s.a.w..

Allah s.w.t. telahpun berfirman kepada Nabi Isa a.s., bahawa akan hadirnya seorang Rasul selepasnya yang bernama Muhammad, dan dialah merupakan Nabi yang terakhir diutuskan ke dunia ini.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. telah memberi rahmat untuk seluruh alam ini. Baginda merupakan satu anugerah agung kurniaan Allah s.w.t. kepada seluruh ummat manusia, sebagai penunjuk jalan kebenaran menuju akhirat yang kekal abadi. Baginda juga memberi makna yang lebih bernilai kepada sebuah kehidupan dimana wujudnya kita di alam ini adalah semata-mata kerana Allah s.w.t..

Perubahan yang sangat besar telah berlaku kepada kehidupan ummat pada masa itu selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Langsung meninggalkan kesannya secara berterusan terhadap seluruh ummat sehinggalah ke hari ini, dengan membawa mesej keamanan sejagat dalam makna sebuah persaudaraan Islam. Jua menjadi model terbaik dalam mendidik dan membentuk peribadi Muslim yang berakhlak mulia.

Kelahiran

Kita hangatkan kembali sejarah ringkas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w..

Pada suatu ketika di Kota Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal Tahun Gajah, seorang putera telah dilahirkan oleh seorang ibu yang bernama Aminah binti Wahab. Kelahiran sulong ini sangat membahagiakan bagi seorang wanita yang baru sahaja bergelar ibu, walaupun suaminya, Abdullah bin Abdul Muttalib, tiada disisi apabila telah kembali ke Rahmatullah disaat kandungannya masih lagi menghitung hari untuk dilahirkan.

Kelahiran putera ini dalam keadaan yang sungguh luar biasa sekali, apabila bondanya langsung tidak merasakan kesakitan sebagaimana lazimnya seorang wanita melahirkan zuriatnya. Bayi ini berada dalam keadaan sempurna sekali, langsung tidak menangis ketika menjenguk dunia.

Kelahiran yang ditunggu-tunggu ini sangat membawa kebahagiaan kepada datuknya, Abdul Muttalib bin Hasyim, lantas mengurniakan nama Muhammad kepada cucuandanya itu, yang bermaksud ‘terpuji’.

Nama Muhammad sebenarnya sangat asing kepada masyarakat Arab pada waktu itu, sememangnya tiada seorangpun yang memiliki nama tersebut selama ini. Namun itulah tandanya kebesaran Ilahi yang telah mencetuskan ilham terbaik kepada Abdul Muttalib, sebagaimana yang telah diwahyukan kepada Nabi Isa didalam Kitab Injil.

Ibu susuan

Sebagaimana bayi-bayi yang lain, awalannya Muhammad telah disusui oleh bondanya sendiri.  Namun selepas beberapa bulan apabila susu bondanya beransur kering, dia mula diserahkan kepada ibu susuannya, Thuwaibah, yang merupakan seorang hamba milik bapa saudaranya, Abu Lahab. Ini bagi memastikan bayi secara berterusan menerima khasiat hanya daripada susu ibu yang mampu mengurangkan jangkitan sebarang penyakit.

Walau bagaimanapun, bondanya tetap mahu Muhammad disusukan dalam suasana yang lebih baik, bukan di kota yang menjadi tumpuan ramai tetapi di desa yang mempunyai persekitaran yang lebih damai. Maka, Halimatun Saadiah telah dipilih untuk menyusukannya sehingga umur dua tahun, dan terus memeliharanya sehingga berumur lima tahun.

Berpisahlah Muhammad dengan bondanya, apabila dia dibawa ke sebuah desa yang jauh dari kesibukan Kota Makkah. Namun dalam tempoh tersebut seringkali dia dibawa ke Makkah untuk mengunjungi bondanya.

Sejak bayi Muhammad mula berada dalam persekitaran desa yang lebih baik berbanding kehidupan sebuah kota, yang biasanya mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir tidak sihat dan boleh merosakkan fikiran. Persekitaran yang baik secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap tumbesaran fizikal dan mental bayi ini.

Dia telah membesar sebagai kanak-kanak yang sihat walafiat dan mempunyai perlakuan yang bersopan santun, berbudi bahasa serta boleh dipercayai sifatnya sedari kecil lagi. Allah telah memeliharanya daripada sebarang unsur kehidupan yang tidak baik, sebagai persediaan untuk menjadi Nabi pada masa akan datang.

Kehidupannya sangat sederhana, langsung tidak diulit dengan kemewahan apabila dia membesar di kalangan orang-orang miskin sahaja bersama ibu susuannya. Dari sini dia mula belajar erti susah senang sebuah kehidupan sedari kecil lagi.

Yatim Piatu

Akhirnya, pada usia enam tahun Muhammad telah meminta keizinan daripada bondanya untuk menziarahi pusara ayahandanya buat pertama kali di Madinah. Dengan keizinan daripada datuknya, maka berangkatlah dia bersama bondanya ke sana. Namun, tanpa diduga kesedihannya bertambah apabila bondanya pula wafat ketika dalam perjalanan pulang dari ziarah tersebut.

Maka yatim piatulah Muhammad pada usia kanak-kanak lagi. Dia mula berada dibawah jagaan datuknya dengan penuh kasih sayang yang tiada taranya. Jua pengasuhnya, Ummu Aiman teramat sayang kepadanya.

Namun kasih sayang ini juga tiada berpanjangan apabila datuknya pula meninggal dunia pada usianya lapan tahun. Sungguhlah Muhammad sangat berdukacita dengan pemergian datuknya yang sangat dia sayangi.

Langsung Muhammad dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib, atas pilihannya sendiri. Walaupun bapa saudaranya ini miskin tetapi dia kaya dengan hati budi. Lagi pula dia sudah terbiasa hidup dengan bapa saudaranya ini, apabila sering ditinggalkan oleh datuknya apabila keluar dari kota Makkah.

Apabila usianya menjangkau 12 tahun, Abu Talib buat pertama kalinya membawa Muhammad ke Syam (Syria) bersama-samanya untuk membantunya berdagang. Ketika sampai disuatu tempat bernama Basra, dia telah bertemu dengan seorang Ahli Kitab bernama Buhaira, yang kelihatannya sangat tertarik kepada anak saudaranya itu yang mempunyai perwatakan yang sangat baik.

Sebagai seorang Ahli Kitab yang mempercayai kandungan kitab Injil, langsung dia menemui tanda-tanda kenabian pada diri Muhammad. Dia yakin bahawa remaja yang berada di hadapannya inilah bakal menjadi Nabi akhir zaman. Lantas dia menasihatkan Abu Talib agar segera menyelesaikan urusannya di situ dan membawa pulang anak saudaranya itu ke Makkah. Mereka akur kepada nasihat itu langsung kembali ke kampung halaman.

Kala ini Muhammad makin berdikari dengan mula mengembala kambing bagi meringankan beban bapa saudara yang memeliharanya. Dia makin membesar sebagai seorang yang penyabar, tabah dan amanah serta langsung tidak terpengaruh dengan kehidupan duniawi.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 18 – 24 Februari/ 15 – 21 RabiulAwal 1432. Terima Kasih)

55

Salam Ukhuwah…

Seawal jam 5.20 pagi tadi saya menerima satu pesanan ringkas daripada kekanda Nik Abdul Rahim, mengkhabarkan satu lagi berita gembira apabila isterinya, Arina Abdul Rahman selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada jam 5.02 pagi. Lelaki lagi!

Namun, bagi kekanda saya hadirnya si kecil lelaki ini mampu memberi keseronokan kepadanya sekeluarga apabila mereka telahpun mempunyai tujuh orang dara pingitan.

Nampaknya kurang dua bulan saya menyambut kedatangan anak saudara baru tempohari, kali ini  bertambah lagi. Bermakna keluarga kami makin membesar! Seperti biasa saya tumpang gembira dengan kehadiran ahli keluarga baru. Menambahkan lagi jumlah anak saudara, yang tentunya bertambah jua cucu ayahbonda ke angka 55!

Tarikh 6 Rabiul Awal 1432/ 9 Februari 2011 tentunya menjadi suatu hari yang sangat istimewa kepada setiap ahli keluarga kami barangkali, apabila kekanda saya yang seorang inilah telah mampu membuat ‘pencapaian’ yang setara dengan ayahbonda kami! 🙂 Istimewanya apabila kelahiran ini merupakan zuriat kekanda saya yang kesepuluh!

Sehingga waktu ini saya masih belum berkesempatan menjenguk si kecil, sekadar membayangkan kulitnya yang putih bersih apabila semua kakak dan abangnya berkulit sedemikian.

Saya kalungkan ucapan tahniah kepada kekanda sekeluarga, semoga si bongsu? ini mampu  menjadi hamba Allah yang soleh, insyaAllah. Doa dipanjatkan dengan harapan semoga rezeki kian bertambah dan sejahteralah seisi keluarga hendaknya.

Seterusnya, kami sedang menunggu giliran adinda yang sedang membawa kandungannya berusia tiga bulan. Sekarang ini dia sedang berada jauh di perantauan, menemani suami menyambung pengajian di Glassgow. Katanya mahu melahirkan si sulong di tanahair, disisi ayahbonda. Mudah-mudahan tiada aral melintang untuknya berbuat demikian. Kami sentiasa bersedia bila-bila masa saja untuk menerima kehadiran orang baru.

Alhamdulillah diatas segala nikmatNya…!

11.34pm

Akal, Emosi dan Nafsu

 

Salam Ukhuwah…

Jika ada yang mahu mengaitkan Akal dan Nafsu wanita, sering saja kita mendengar ungkapan ini digunakan, ‘1 Akal dan 9 Nafsu’.

Saya sendiri lebih melihat kepada kemungkinan ‘9 nafsu’ itu merujuk kepada emosi wanita yang pelbagai. Istilah ‘emosi’ mungkin lebih sedap didengar berbanding dengan ungkapan ‘nafsu’, yang sering saja dijuruskan kepada perlakuan yang tidak baik.

Bagi lelaki pula mereka diumpamakan sebagai mempunyai ‘9 Akal dan 1 Nafsu’.

Sebenarnya benarkah begitu?

Kebenarannya, istilah ini tidak pernahpun diungkapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah apabila kedua-duanya tidak sesekali menyatakan perbezaan kemampuan akal di antara lelaki dengan wanita. Jua tiada pernah disebut-sebutpun oleh mana-mana ‘Ulama tersohor di dalam Islam. Maka ternyatalah bahawa ia hanyalah suatu ungkapan yang masyhur semata-mata, dipetik daripada si polan yang entah siapa sebenarnya.

Sebelum bermaklumat lebih jauh, terlebih dahulu kita cuba dapatkan definasi Akal, Emosi dan Nafsu dalam penjelasan yang ringkas sahaja.

Secara ringkasnya, Akal bolehlah didefinasikan sebagai kekuatan untuk melahirkan keputusan tentang sesuatu realiti, selepas disatukan oleh pemerhatian lima pancaindera utama ke dalam otak yang telahpun mempunyai maklumat awalan keatas sesuatu perkara tersebut.

Manakala Emosi membawa pengertian yang lebih pelbagai. Rumusnya, ia merupakan suatu dorongan yang diatur oleh akal, namun selalunya digambarkan sebagai sisi negatif berbanding keadaan yang rasional kerana kepelbagaian ragamnya.

Nafsu pula bolehlah dikaitkan dengan suatu tarikan mahupun keinginan setiap manusia kepada perkara-perkara yang boleh mengembirakan jiwanya. Ia bukan sahaja menjurus kepada syahwat semata mahupun perkara-perkara yang kelihatan buruk sahaja, tetapi merangkumi keinginan asas setiap individu seperti makan minum, pemilikan harta, persaingan dan sebagainya.

Keajaiban

Akal merupakan suatu keajaiban luar biasa nilainya yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada setiap manusia, yang membuktikan bahawa makhluk inilah paling sempurna kejadiannya dibandingkan dengan ciptaan makhluk lain seantero alam ini. Kurniaan akal fikiran merupakan hikmah dan rahmat tuhan dalam melengkapkan kejadian seorang manusia. Adanya akal inilah yang mengangkat martabat manusia langsung menjadikannya makhluk yang paling utama. Seluruh kesempurnaan Allah s.w.t. juga terpamer pada kehebatan ciptaan akal ini.

Secara fitrahnya manusia dikurniakan akal fikiran yang sama rata oleh Allah s.w.t., kecuali mungkin ada kurniaan yang luar biasa kepada individu tertentu, dimana mereka mempunyai kecerdasan akal yang tinggi sejak dilahirkan.

Dalam contoh yang mudah, kita telah melihat kecemerlangan pelajar-pelajar lelaki dan wanita adalah pada tahap yang hampir sama. Jika perolehan maklumat kepada setiap individu adalah pada kadar yang sama rata dan mereka menelaahnya dengan kemampuan akal dan kecerdasan masing-masing, insyaAllah akan membuahkan kecemerlangan. Maka bolehlah diakui bahawa daya fikir antara lelaki dengan perempuan adalah pada tahap yang sama.

Namun begitu tahap daya fikir antara lelaki dengan wanita bukanlah sekadar tertakluk kepada kemampuan akal dan kecerdasan semata. Tetapi ia juga merangkumi cara setiap individu berfikir secara ilmiah, iaitu keupayaan untuk mengemukakan pandangan kritis keatas sesuatu perkara dan membuahkan idea baru yang belum pernah wujud sebelum ini. Pengalaman hidup seseorang juga boleh mempengaruhi kemampuan akal itu sendiri.

Tidak dinafikan bahawa dalam pemerhatian umum, lelaki itu lebih bijak dalam menggunakan akalnya berbanding wanita yang mempunyai banyak emosi. Dalam banyak keadaan kita dapat melihat bahawa lelaki seringkali berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, manakala wanita tidaklah terlalu selektif dalam menyatakan sebarang keinginannya.

Jikapun wanita dikatakan kurang akalnya ia bukanlah kerana kemampuan akalnya yang lemah. Tetapi lebih kepada fitrah kejadian wanita yang kurang pengalamannya dalam kehidupan, berbanding lelaki yang lebih luas langkahnya di bumi ini.

Maka fahamlah kita bahawa, istilah yang membezakan akal antara lelaki dengan wanita sehingga perbezaan ‘8 darjat’ hanyalah dongeng semata-mata.

Memanfaatkan Akal

Paling pentingnya akal ini digunakan sebaik-baiknya mengikut syariat yang telah ditetapkan Allah s.w.t.. Setiap individu seharusnya tahu bagaimana untuk memanfaatkan akal dengan cara yang terbaik, seiring dengan tujuan kurniaannya berlandaskan syariat Maha Penciptanya.

Tentu sekali antara tugas akal yang utama adalah, memikirkan dan memahami ayat-ayat Allah s.w.t. di dalam kitab suci al-Quran dengan tujuan untuk mengenaliNya dengan lebih yakin, langsung beriman kepadaNya.

Sangatlah rugi kepada mana-mana manusia yang cuai dalam menggunakan akalnya, sehingga tersisih daripada terus mendapat hidayah yang berpanjangan daripada Allah s.w.t.. Lebih malang lagi apabila akal tersebut digunakan untuk mencemuh Islam itu sendiri. Sangat tidak pelik jika hal ini berlaku apabila manusia sudah lupa asal usul kejadiannya, lantas angkuh untuk mengakui kekuasaan Allah s.w.t..

Hakikatnya akal yang dikurniakan Allah s.w.t. ini perlu sentiasa disiram dan dibaja, jua dihapuskan segala kekotoran yang melekat kepadanya. Ini bertujuan untuk melahirkan akal yang cerdas dan pintar. Akal yang sihat akan membantu kita berfikir secara lebih bijak dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan.

Akal yang sihat tentunya akan berfungsi sebagai pemandu dalam membawa manusia kepada destinasi terbaik di penghujung usia kita nanti. Mudah-mudahan sejahteralah kita nanti disaat menghadap Allah yang Maha Esa.

Janganlah kita berada di kalangan manusia yang tidak tahu untuk menggunakan akal, sehingga nafsu pula yang berlagak mendahului akal. Apabila keadaan ini berlaku tentu sekali manusia akan terus berada dalam keadaan lalai dari terus mengingati makna kewujudan mereka di dunia ini. Sebagaimana ada pepatah menyebut, ‘semua manusia memiliki akal, tetapi sedikit sahaja yang berakal’.

Emosi dan Nafsu Terurus

Walau bagaimanapun, akal yang cerdas ini perlulah diseimbangkan dengan emosi yang terurus. Kebiasaannya emosi yang terganggu boleh mengakibatkan tindakan yang diambil merujuk kepada pandangan nafsu yang tidak baik semata. Apabila emosi telah mendahului akal, tentunya seseorang itu sedang mengalami keadaan mindanya yang tidak stabil.

Kita dapat melihat seseorang itu mungkin akan mengalami tekanan perasaan, kekecewaan, kemurungan, dan sebagainya apabila emosi mereka terganggu. Akibat dari gangguan ini ada kemungkinan mereka akan melakukan pelbagai tindakan diluar kawalan sehinggalah sanggup memilih jalan yang paling singkat, yakni membunuh diri.

Begitu juga dengan nafsu yang merupakan fitrah kepada kejadian setiap manusia. Ia juga harus diurus dengan baik seiring dengan syariat Islam yang telah ditentukan Allah s.w.t.. Nafsu harus sentiasa dididik agar tidak meliar tanpa haluan yang sebenar. Mendidik nafsu bererti kita sentiasa menahan diri daripada merasa selesa dengan nikmat dunia.

Selain dari akal yang bijak dan emosi yang terurus serta nafsu yang terdidik, jiwa juga haruslah ditundukkan agar kita sesekali tidak akan lupa kepada kehebatan Allah s.w.t. yang menganugerahkan kurniaan besar ini. Jauhkanlah jiwa dari perasaan takjub kepada kehebatan diri sendiri. Hiasilah jiwa dengan zikir memuji kebesaran Allah s.w.t. dan sentiasalah panjatkan doa semoga kita dikurniakan hidayah yang berpanjangan hingga ke akhir hayat, insyaAllah!

(Artikel ini telah disiarkan di dalam SIASAH edisi 11 – 17 Februari 2011/ 08 – 14 RabiulAwal 1432. Terima Kasih.)

9.10am

‘Kitar Semula’

Salam Ukhuwah…

Minggu ini saya lakukan operasi ‘kitar semula’ pakaian. Boleh ke istilah ni digunapakai?

Apa yang telah saya buat?

Saya membuat pengecaman didalam almari, akhirnya berjaya mengeluarkan berpasang-pasang baju, jubah, kain tudung, baju anak-anak dan beberapa jenis kain lain untuk ditukar hakmilik kepada sesiapa yang lebih memerlukannya.

Alhamdulillah, hati rasa lapang sungguh apabila melihat ruang yang padat sebelum ini mampu diberi ‘nafas’ yang lebih selesa. Inilah alternatif terbaik untuk memberi ruang yang lebih ‘aman’ kepada isi rumah.

Saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan dari menyimpan pelbagai jenis barangan yang sudah tidak digunapakai lagi di dalam ‘stor’. Dengan tindakan yang lebih bernilai, berikan saja kepada orang lain. Tetapi kenalah pastikan juga barangan yang kita berikan itu dalam keadaan yang masih boleh diterima pakai. Jangan pula sehingga ada yang rasa terhina apabila memilikinya.

Suatu tempat khusus di dalam almari saya mahupun anak-anak telahpun disediakan untuk menyimpan pakaian yang sudah tidak mahu dipakai lagi. Kerja-kerja ‘kitar semula’ akan lebih senang dibuat apabila barangannya sudahpun terkumpul.

Semua anak-anak sudahpun faham apa yang perlu mereka lakukan apabila pakaian tersebut sudah tidak sesuai dengan mereka lagi. Mereka akan meletakkan pakaian tersebut pada ruang yang telah disediakan, dan saya akan menyemaknya sekali lagi samada pakaian tersebut benar-benar sudah tidak sesuai buat mereka. Saya juga beritahu anak-anak bahawa orang lain yang tidak berkemampuan akan memakai pakaian mereka pula.

Kebetulan pada suatu hari sepupu bertandang ke rumah, maka saya tanyakannya samada dia sudi menerima baju-baju terpakai saya dan anak-anak untuk diberikan kepadanya. Alhamdulillah, dia bersedia menerimanya dan janjinya jika baju-baju tersebut tidak sesuai dengannya, akan dia agihkan pula kepada orang lain yang memerlukan. Saya bersetuju dengan cadangannya itu.

Saya meyakinkan sepupu bahawa semua pakaian masih berada dalam keadaan elok, kecuali baju anak-anak yang mungkin ada sedikit kesan kotoran degil yang tidak hilang walaupun telah dibasuh.

Kenangan

Dalam pada memilih pakaian yang mahu ditukarmilik, sebenarnya masih ada rasa sayang untuk melepaskannya. Mungkin kerana ada kenangan disebalik pakaian tersebut. Salah satunya baju kurung saya yang sudahpun berusia sepuluh tahun, dimana kainnya saya beli di Brunei ketika sesi berbulan madu suatu ketika dulu. Pakaiannya masih kelihatan baru, tetapi mungkin kerana sudah terlalu lama memilikinya, saya rela melepaskannya pergi.

Lagipun cuba bayangkan, dalam tempoh sepuluh tahun berapa banyak pakaian baru yang kita miliki? Ya, terlalu banyak! Mungkin lebih dari yang sepatutnya. Seketika kita harus rasional, dengan memberi peluang kepada orang lain yang benar-benar memerlukan pakaian untuk memilikinya.

Tanya kepada diri, adakah kita masih menggunapakai barangan ini? Lihat di dalam almari, mungkin kita sudah memiliki berpuluh-puluh pasang baju, kasut yang berbaris-baris di rak, pilihan tas tangan yang pelbagai, dan pelbagai aksesori lain yang meruntun nafsu apabila melihatnya. Tetapi sebenarnya dalam tempoh sebulan beberapa kali sahaja kita sempat memakai semua barangan tersebut.

Maka, inilah masanya untuk kita memikirkan semula keperluan penggunaan keatas pelbagai barangan tersebut. Belajarlah untuk menyeimbangkan keperluan yang sebenar dan nafsu yang selalu tamak.

Sesekala kita perlu hadirkan hati untuk bermuhasabah tentang perbelanjaan yang kita keluarkan selama ini. Adakah sehingga ke tahap membazir? Tentunya sifat membazir itu sahabat kepada syaitan la’natullah. Dengan kata mudah, bersahabat dengan syaitan hanya mengundang dosa semata.

Jika perbelanjaan kita masih dalam keadaan terkawal, Alhamdulillah, tetapi mungkin masih ada lagi yang perlu dikurangkan. Lebihan dari pengurangan ini mungkin kita boleh menyumbang kepada sumber-sumber lain seperti pendidikan anak-anak, menderma mahupun menabung untuk masa hadapan.

9.49pm