• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    March 2011
    S M T W T F S
    « Feb   Apr »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  

Cinta

Salam Ukhuwah…

Menelusuri kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyebar luaskan panji-panji Islam, secara tidak langsung akan menemukan kita dengan kehebatan cinta Saidatina Khadijah r.a.. Cinta beliau sangat unggul apabila selalu saja disebut-sebut namanya oleh Baginda walaupun telah wafat. Inilah dia cinta sejati daripada seorang isteri buat suaminya yang tercinta.

Telah terbukti bahawa kuasa cinta sama sekali tidak memandang kepada faktor luaran semata, tidak kisah tentang faktor usia dan status seseorang. Begitulah Rasulullah s.a.w. yang telah membalas cinta isterinya dengan tulus. Saidatina Khadijah r.a. telah mengisi penuh ruang hati Baginda sehingga tiada tandingannya di antara isteri-isteri yang lain.

Inilah cinta sebenar yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w., tentu sekali ianya cinta berlandaskan Islam. Jika cinta itu bertunjangkan agama akan terlihatlah keindahan dan ketulusannya apabila setiap pasangan memiliki kualiti yang terbaik. Pasangan yang berkualitikan Islam insyaAllah akan mampu membina rumahtangga yang bahagia. Tentunya mereka akan mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t..

Mengutamakan cinta kepada Allah s.w.t., akan dibalasi dengan rahmatNya yang berpanjangan kepada rumahtangga kita. Maka sepatutnya terlebih dahulu kita betulkan niat bahawa berumahtangga adalah kerana Allah. Bersamalah kita membina impian semoga rumahtangga yang dibina itu akan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Sempurnakanlah cinta kita kepadaNya terlebih dahulu, dengan harapan akan bertambah sempurnalah kasih sayang yang tercipta antara kita dengan pasangan.

Jangan sesekali menjadikan perkahwinan sebagai penyebab mengapa kita semakin jauh dalam menggapai rahmat Allah s.w.t.. Seharusnya kita istiqamah berada di jalan yang sepatutnya walaupun tanggungjawab kita makin bertambah, kesibukan makin membelit diri dan tekanan mungkin makin menjadi-jadi. Tidak sepatutnya sebuah perkahwinan membawa kepada kelalaian yang mungkin akan memudaratkan hubungan kita denganNya.

Berkahwin

Berkahwin bukan sekadar kerana cinta antara dua jantina untuk memenuhi tuntutan nafsu seksual secara halal semata, tetapi niatkanlah rumahtangga yang dibina itu sebagai satu institusi dalam melahirkan hamba Allah s.w.t. yang terbaik.

Rumahtangga yang dibina berasaskan nafsu semata seringnya tidak kukuh, maka tentunya cepat runtuh. Pasangan tidak mungkin akan memahami soal tanggungjawab dan mengambil mudah tentang pembangunan sesebuah keluarga. Mungkin juga setiap perintah dan larangan Allah s.w.t. dengan mudah diketepikan tetapi tuntutan nafsu pula lebih diutamakan. Bahagia hanya ketika senang tetapi mudah terluka apabila melalui episod duka.

Kala ini pergaduhan menjadi lauk dalam rumahtangga. Jika sudah mempunyai zuriat, anak-anak inilah yang akan pula menjadi mangsa kepada keadaan yang tidak sejahtera. Paling teruk apabila mereka membesar sebagai satu generasi sampah kepada masyarakat. Pengakhirannya? Syurga neraka jauh sekali difahami, sengsara pula di dunia yang tiada pernah bertepi.

Jika tahu mengemudi rumahtangga, benarlah bahawa sebuah perkahwinan akan mengundang keseronokan dunia. Mudah-mudahan ia berlanjutan sehingga ke akhirat. Tetapi keseronokan sebuah perkahwinan hanya mampu direalisasikan dengan tepat apabila ia mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.. Rumahtangga harus dibina dengan asas yang kukuh agar ia tidak akan runtuh dikemudian hari.

Matlamat

Apabila kita telah memutuskan untuk berkahwin maka sediakanlah matlamat jangka panjangnya. Matlamat ini bukan dibina selepas berkahwin, tetapi ia telah bermula ketika sesi mencari pasangan hidup lagi. Allah s.w.t. telah menganugerahkan akal untuk kita berfikir, lalu membuat pilihan terbaik dalam menyempurnakan cinta sesama manusia.

Proses memilih pasangan bukan sekadar melihat keseronokan daripada zahir sahaja, tetapi ia memerlukan kepada seseorang yang yang berakhlak baik untuk mengemudi rumahtangga. Tentunya apabila kita sedang membuat pilihan terbaik, pandangan pertama yang akan dinilai kepada seseorang adalah akhlaknya.

Jelas sekali peribadi seseorang itu akan membiaskan tentang rasa cinta mereka kepada Allah s.w.t. kerana akhlak yang baik asasnya adalah kekuatan iman di jiwa. Selain dari akhlak menjadi tumpuan, individu yang bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga seharusnya telahpun bersedia dalam menerima sebuah tanggungjawab.

Tentunya ia sebuah tanggungjawab yang sangat berlainan dan amat berat berbanding ketika hidup sendirian. Jangan terlalu mengambil mudah dalam menurut keinginan membina sebuah rumahtangga, kerana disana pastinya akan ada kesulitan yang harus diselesaikan bersama bukannya sebelah pihak saja.

Sebenarnya perkahwinan memberikan kita suatu ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan kasih sayang yang begitu mengasyikkan. Kasih sayang bukan sekadar ungkapan sayang tetapi ia lebih kepada perhatian, bukan sekadar pada tahun awalan sebuah perkahwinan tetapi ianya perlu mekar setiap hari hingga ke penghujung nyawa. Setiap pasangan perlu berusaha untuk memahami keperluan teman hidupnya.

Jangan sekadar menduga di fikiran sahaja, tetapi sesekala perlu bertanya apa yang si dia mahukan dalam rumahtangga. Tentunya akan terasa lebih bermakna sekiranya kita sering berkomunikasi dengan pasangan masing-masing. Komunikasi yang baik mampu memberi kefahaman kepada setiap pasangan, untuk lebih memahami segala kelebihan dan kekurangan diantara satu sama lain.

Sangat penting kita mewujudkan keserasian antara suami isteri, usahakanlah untuk mewujudkan perasaan saling sayang-menyayangi dan bertolak-ansur dalam semua keadaan. Asasnya adalah anugerah perasaan cinta dan kasih sayang kepada setiap pasangan yang berkahwin. Dengan perasaan indah inilah mampu memberikan ketenangan kepada setiap pasangan dalam mengemudi rumahtangga masing-masing.

Beban yang berat insyaAllah mampu menjadi ringan apabila saling tolong-menolong, rasa marah yang membara insyaAllah mampu dimatikan dengan sentuhan penuh kelembutan, dan keletihan seharian dapat diubati dengan hanya sebuah senyuman.

Persefahaman antara suami isteri harus diusahakan dari semasa ke semasa, kerana ia tidak datang dengan mudah. Setiap masa akan ketemu perkara baru yang ada dalam diri pasangan kita dan ia mungkin berubah-ubah seiring dengan peningkatan usia dan tempoh perkahwinan. Paling penting adalah sifat sabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki bersama.

8.38am

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (IV)

Keadaan kembali seperti sedia kala selepas tiga tahun apabila kaum Muslimin tidak lagi diboikot. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. sekali lagi menerima ujian hebat daripada Allah s.w.t. tatkala bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya, Saidatina Khadijah r.a. telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Baginda terpaksa menanggung kesedihan yang amat sangat apabila bapa saudara yang sentiasa melindunginya, dan isterinya yang senantiasa menjadi kekuatannya, tiada lagi disisi dalam meneruskan perjuangan ini.

Kematian Abu Talib memberi peluang besar kepada pihak Quraisy untuk memperhebatkan lagi penentangan dan gangguan mereka terhadap dakwah yang sedang disebarkan Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa perlu malu alah lagi kepada pelindung Baginda selama ini.

Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. mengambil inisiatif berlepas ke Taif, dengan membawa harapan besar untuk menyebarluaskan lagi Islam di sana. Selain itu besar juga harapan Baginda untuk mendapatkan perlindungan daripada Bani Thaqif, iaitu satu qabilah besar yang mendiami Taif. Selama ini Bani Thaqif telah mempunyai hubungan yang baik dengan Bani Hashim, iaitu keturunan Nabi Muhammad s.a.w..

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. tiba di sana, Baginda telah mengunjugi pimpinan Taif untuk  menyampaikan risalah Allah s.w.t.. Namun dukacita sekali apabila mereka menolak mentah-mentah apa saja seruan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w., bahkan Baginda telah dilayani dengan biadab sekali. Tiada langsung sifat memuliakan dan menghormati tetamu.

Walaupun menerima penentangan yang sungguh hebat daripada pimpinan Taif, Nabi Muhammad s.aw. tetap tabah dan cekal dalam meneruskan agenda perjuangannya. Jika pemimpin Taif tidak mahu menerima apa saja seruannya, Baginda mensasarkan pula ajarannya kepada masyarakat awam di sana. Namun hakikatnya tetap sama apabila mereka juga enggan menerima ajaran mulia daripada Nabi Muhammad s.a.w..

Bukan sekadar menentang seruan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan penduduk Taif mahu Baginda meninggalkan tempat mereka. Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabatnya mahu keluar dari kawasan berkenaan, penduduk Taif mula membuat kacau ganggu terhadap perjalanan Baginda. Mereka mula mengejek, mencaci, menghina, mengugut, menyerang dan membaling batu sehingga Nabi Muhammad s.a.w. tercedera dengan luka-luka di seluruh badannya.

Berdoa

Setelah perjalanan mereka kembali tenang, lantas Nabi Muhammad s.a.w. menadah tangan berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar mereka dilindungi dan berterusan hidup dalam ketenangan, walaupun menerima ujian yang begitu berat sekali.

Dalam perjalanan pulang ke Makkah ini juga, sejarah Islam telah menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bertemu dengan Malaikat Jibril dan malaikat yang menjaga gunung-ganang yang mengelilingi Taif. Malaikat ini telah menawarkan kepada Baginda suatu pertolongan untuk menghancurkan penduduk Taif dengan meranapkan gunung di antara satu sama lain, sebagai balasan keatas perlakuan buruk mereka sewaktu diseru kepada Islam.

Namun demikian Nabi Muhammad s.a.w. telah menolak tawaran lumayan tersebut, bahkan terus berdoa kepada Allah s.w.t. mudah-mudahan penduduk Taif dan generasi seterusnya, dikurniakan rahmat dan hidayah untuk menerima Islam sebagai aqidah mereka pada masa hadapan. Sesungguhnya Islam tidak akan tersebar dek kerana paksaan, tetapi ia akan menyentuh jiwa manusia dengan keindahan dan keadilan sistemnya.

Begitulah mulianya sikap Nabi Muhammad s.a.w.. Walaupun telah mengalami kecederaan yang agak teruk selepas dianiayai penduduk Taif, Baginda tetap berdoa memohon kebaikan kepada orang-orang yang telah berbuat jahat kepadanya, jauh sekali untuk berdendam. Aqidah Islam yang telah dipasak kukuh dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w., telah menjadi tunjang kekuatan kepada Baginda dalam menghadapi apa jua agenda musuh yang sentiasa mencari peluang untuk menjahanamkan Islam.

Dalam lapangan dakwah Islam tiada kemenangan mampu dicapai dengan mudah, melainkan setelah diuji dengan pelbagai ujian yang memeritkan. Hanya kesabaran dan istiqamah  mampu menjadi pendorong dalam menutut janji manis sebuah kemenangan daripada Allah s.w.t..

Kuasa Allah

Kuasa Allah s.w.t. telah merancang segala-galanya untuk Nabi Muhammad s.a.w. terus bangkit dalam menyebarkan dakwah Islam. Selepas Baginda diuji dengan beberapa situasi yang menekan perasaannya, baik ketika menghadapi saat kematian dua orang tersayang yang banyak menyokong perjuangannya yakni Abu Talib dan Khadijah, jua penolakan dakwah oleh masyarakat Taif secara agresif, lalu Allah s.w.t. ‘menghadiahkan’ sesuatu yang istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengubati lara di jiwanya.

Nabi Muhammad s.a.w. telah dikurniakan mukjizat besar berupa sebuah perjalanan yang hebat, dikenali sebagai Isra’ dan Mi’raj. Isra’ diertikan sebagai suatu perjalanan Baginda pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah, menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin. Manakala Mi’raj pula merupakan perjalanan Baginda dari bumi menuju ke langit, yakni Sidratul Muntaha.

Mukjizat sehebat ini tidak pernah dikurniakan Allah s.w.t. kepada mana-mana Nabi dan Rasul sebelum ini melainkan hanya Nabi Muhammad s.a.w. mendapat keistimewaanNya. Perjalanan hebat ini telah memperlihatkan kepada Baginda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t., langsung telah menjadi sumber kekuatan baru dan inspirasi terbaik kepada Rasulullah s.a.w., dalam mematangkan lagi perjuangan menyebarkan Islam dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Pertemuan

Rasulullah s.a.w. terus memperluaskan lagi dakwahnya. Baginda mula melakukan pertemuan demi pertemuan dengan para qabilah yang datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat Haji, terutamanya jamaah dari Yathrib (Madinah). Baginda akan menyeru kepada mereka tentang kesempurnaan Islam dan diperdengarkan ayat-ayat al-Quran yang sangat indah alunan dan pengertiannya.

Seruan Islam mula disampaikan kepada suku Khazraj, ketika mereka datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat Haji. Rasulullah s.a.w. telah maklum akan kedatangan mereka lalu satu perjumpaan telah dilakukan berhampiran bukit Aqabah. Lantas ada dikalangan mereka mula menerima dengan lapang hati untuk memeluk Islam. Apabila mereka kembali ke Madinah Islam mula tersebar di sana pula.

Pada musim Haji seterusnya suku Khazraj sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. dengan membawa sekali wakil daripada suku Aus. Pertemuan ini juga diadakan di bukit Aqabah. Dalam pertemuan kali ini satu perjanjian telah dibuat dengan Baginda dimana mereka telah berjanji tidak akan menyekutukan Allah s.w.t., dengan apa jua cara sekalipun dan akan meninggalkan cara hidup jahiliah selama ini. Islam telah menjadi aqidah baru kepada mereka langsung mengubah nilai kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Aqabah I (Perjanjian Damai).

Selepas Perjanjian ini dilaksanakan, Rasulullah s.a.w. telah menghantar utusan dakwah ke Madinah bertujuan menyebarkan Islam di sana. Baginda ingin mengukuhkan pegangan Islam kepada mereka yang baru saja memeluk Islam disamping mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Hasilnya amatlah memberansangkan apabila utusan ini telah mencapai kejayaan yang besar.

Pada tahun seterusnya telah tiba rombongan yang lebih besar terdiri daripada suku Aus dan Khazraj, termasuklah wanita. Bilangan kaum Khazraj lebih besar berbanding kaum Aus. Mereka telah mengadakan pertemuan dengan Rasulullah s.a.w. pada tempat yang sama semasa Perjanjian Aqabah I dilaksanakan. Kali ini Perjanjian Aqabah II pula dimeterikan dimana ia menyentuh perihal peperangan.

Pembunuhan Karakter

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Dalam sejarah tamadun dan pertembungan bangsa di dunia, terdapat pelbagai kaedah peperangan telah digunakan untuk mengalahkan musuh. Lazimnya, ia meliputi segenap aspek kehidupan hasil terciptanya peluang dari setiap konflik yang berlaku. Pertembungan yang berlaku juga disusuli dengan hidangan pelbagai permainan psikologi melibatkan setiap krisis dalam masyarakat.

Krisis dan konflik ini dimanipulasi mengikut selera perancang untuk mencapai objektif melemahkan musuh masing-masing. Dalam sesuatu keadaan, misi ini akan melibatkan dana yang tidak terhad bagi menembusi struktur masyarakat, mendoktrin pemikiran yang diperlukan melalui semua alat propaganda yang telah tersedia digunakan. Sudah semestinya semua misi ini dilaksanakan secara sulit oleh manusia atau kumpulan manusia yang agak kecil.

Dalam masa yang sama perancang jenayah ini, sentiasa membuat perbincangan secara berkala bagi tujuan mengukur kesan kepada serangan yang telah dilancar seterusnya merancang langkah susulan.

Pembunuhan karekter atau character assassination adalah antara kaedah popular digunakan dalam sesuatu pertembungan. Biasanya kaedah ini melibatkan individu tertentu yang menjadi ancaman kepada sesuatu pihak yang berkuasa atau yang mahu berkuasa. Kadang kala ia juga digunakan untuk menghapuskan peluang atau potensi yang sedia terbina pada musuh sebelum ianya bertambah besar menjadi ancaman yang lebih serius.

Dalam banyak operasi pembunuhan karektor ini, reputasi dan integriti musuh (mangsa) akan cuba dirosakkan melalui manipulasi fakta secara besar-besaran dan berlebihan bagi mencipta kesan psikologi serta persepsi buruk kepada musuh. Gambaran salah yang tercipta dari manipulasi fakta ini biasanya akan disusuli dengan tindakan untuk memalukan individu tersebut dengan hujah-hujah yang boleh dipertikaian tetapi dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh tertentu.

Bagi memastikan misi yang dilancarkan berjaya, semua saluran yang boleh digunakan musuh untuk membetulkan fakta dengan hujah balas mesti ditutup rapat. Sebarang langkah yang mungkin perlu dilaksanakan termasuk memalukan atau memukul mangsa serta orang bersimpati dengan mangsa. Tekanan perlu dilaksanakan secara berterusan kepada pihak yang bersimpati dengan mangsa termasuk menggunakan kelemahan individu berkenaan supaya diam dan jangan berbuat apa-apa. Biasanya kerja-kerja bagi peringkat ini akan dilakukan oleh askar-askar upahan tanpa mereka mengetahui siapa perancang sebenar.

(Ikuti penjelasan selanjutnya di kelantanprogres.blogspot.com)

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (III)

Salam Ukhuwah…

Pelbagai cabaran perit terpaksa dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabat dalam menyebarkan Islam pada waktu itu. Sebahagian daripada mereka diseksa, dianiaya, disingkir, dan dipulaukan. Baginda tetap jua bersabar disamping berusaha untuk mendapatkan perlindungan kepada semua pengikutnya.

Akhirnya Nabi Muhammad s.a.w. membuat keputusan untuk membenarkan para pengikutnya meninggalkan Makkah, apabila baginda melihat penyeksaan daripada puak Quraisy telah mencapai pada tahap yang amat teruk sekali. Nabi Muhammad s.a.w. sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang dihadapi oleh pengikutnya, lantas baginda menyarankan agar mereka berhijrah ke Habsyah walaupun pada ketika itu ia dipimpin oleh seorang raja Nasrani. Ini kerana raja tersebut sememangnya terkenal dengan sifat kasih sayang dan keadilannya.

Kaum Muslimin langsung menerima baik pandangan yang disuarakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., lalu penghijrahan tersebut dilakukan bagi mendapatkan perlindungan yang lebih baik kepada kehidupan mereka. Penghijrahan ini bertujuan mengelakkan fitnah yang akan mencemarkan kesucian Islam, dan diharapkan mampu memberi kemudahan yang lebih baik kepada mereka untuk menghayati dan menyebarkan Islam dengan lebih meluas lagi.

Hijrah

Penghijrahan ini merupakan yang pertama didalam Islam. Golongan yang berhijrah ini disarankan untuk tinggal di sana buat sementara waktu sehingga keadaan di Kota Makkah kembali reda.

Tidak berpuas hati dengan penghijrahan kaum Muslimin ini, pihak Quraisy langsung menghantar perutusan untuk menghadap Raja Habsyah, Najashi. Perutusan ini telah membawa cenderamata yang banyak dengan nilaian yang tinggi sebagai rasuah kepada pemimpin tertinggi Negara tersebut, dengan harapan semoga mereka menghalau keluar golongan Muslimin yang berlindung di sini. Tentunya pihak Quraisy telahpun mempunyai perancangan jahat sekiranya kaum Muslimim ini dihalau keluar dari Habsyah.

Namun sangkaan mereka meleset apabila Najashi langsung tidak berminat dengan kepelbagaian hadiah yang dibawa itu, bahkan tidak mahu menyerahkan kaum Muslimin yang telahpun mendapat perlindungan daripadanya. Sebagai seorang raja yang bijak, terlebih dahulu beliau mahukan sesi soal jawab berlangsung tentang kepercayaan dan agama baru yang telah dianuti oleh muhajirin ini.

Kaum Muslimin yang berpegang teguh dengan Islam ini mula memberi penjelasan yang meyakinkan di hadapan Najashi, dan turut disertai oleh para pimpinan lain serta perutusan Quraisy ini. Mereka bercerita tentang zaman jahiliah yang sangat hina kehidupannya apabila beramai-ramai menyembah berhala, adab laku yang tidak bermoral, pembunuhan, dan sebagainya. Kala ini Allah s.w.t. telah mengutuskan seorang Nabi yang bersifat sangat mulia langsung membawa seruan untuk mengubah kehidupan mereka kearah yang lebih sempurna.

Pengakuan turut dilakukan di hadapan Najasyi bahawa mereka telahpun menyambut baik seruan yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.. Islam telah mendapat tempat di jiwa mereka sebagai satu aqidah dan mahu mempraktikkan sebaiknya ajaran yang disampaikan oleh baginda ini. Namun kerana perbezaan anutan ini, mereka telah diseksa dan dizalimi sehingga tidak tertanggung bebanannya lalu penghijrahan terpaksa dilakukan. Kaum Muslimin ini sekali lagi memohon perlindungan daripada raja tersebut. Lantas Najashi akur dengan permintaan mereka.

Perutusan Quraisy masih mencari helah untuk memperdaya Najashi, apabila mereka menyatakan pula bahawa golongan Muslimin ini sangat mengecam Nabi Isa dan ibunya, Maryam. Namun kebijaksanaan raja tersebut makin terserlah apabila sekali lagi beliau mahukan pandangan Islam daripada golongan muhajirin ini tentang isu tersebut. Dengan tegas mereka menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s. itu adalah seorang hamba Allah yang telah dilahirkan oleh Maryam, seorang gadis suci yang telah dikurniakan zuriat apabila ditiupkan roh dan kalimatNya kedalam rahimnya.

Tepat sekali penerangannya apabila Najasyi dengan tegasnya mengakui keterangan ini adalah benar kerana beliau amat faham tentang agama yang dianutinya, iaitu Nasrani. Beliau amat jelas tentang titik kebenaran dan persamaan di antara dua agama samawi ini, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s.. Kedua-dua agama ini adalah dari sumber yang sama yakni wahyu daripada Allah s.w.t..

Akhirnya Najashi menyerahkan kembali pelbagai hadiah yang dipersembahkan kepadanya, lalu perutusan Quraisy ini telah kembali dalam kegagalan. Kaum Muslimin pula terus mendapat perlindungan di Negara tersebut.

Propaganda

Selepas beberapa lama mendapat perlindungan di Habsyah, kaum Muslimin memutuskan untuk kembali ke kota Makkah apabila mereka mendapat perkhabaran bahawa Islam mula bertapak di sana. Namun perkhabaran ini adalah propaganda jahat semata apabila ternyata gangguan dan permusuhan daripada pihak Quraisy terhadap kaum Muslimin masih berterusan dan tidak berkurang sedikitpun.

Terpaksalah sebahagian daripada mereka kembali ke Habsyah, dan sebahagian lagi masuk ke kota ini secara sulit dan bersembunyi agar kepulangan ini tidak diketahui oleh pihak Quraisy. Mereka terpaksa meminta perlindungan daripada pembesar Quraisy yang bersimpati dengan nasib kaum Muslimin ini.

Selang beberapa lama selepas kejadian tersebut kaum Muslimin sekali lagi telah berhijrah ke Habsyah dengan jumlah yang lebih besar, apabila mereka terusan mengalami penderaan dan penyeksaan yang semakin teruk daripada pihak Quraisy. Penghijrahan ini merupakan yang kedua dalam Islam.

Pihak Quraisy makin buntu dengan perkembangan ini apabila mereka tahu penghijrahan Muslimin bukan sekadar untuk mencari perlindungan, bahkan menyebar luaskan lagi pengaruh Islam di Negara lain.

Mereka mula mencari ikhtiar lain untuk menghancurkan Islam. Maka Nabi Muhammad s.a.w. yang masih berada di kota Makkah mula menjadi sasaran utama pihak Quraisy. Walau bagaimanapun, apa jua matlamat mereka keatas baginda tentu sekali sukar dicapai sekiranya Abu Talib masih menjadi perisai utama dalam memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka masih menghormati bapa saudara baginda ini sebagai seorang bangsawan terkemuka dan terhormat di kota Makkah.

Maka terlebih dahulu pihak Quraisy datang menemui Abu Talib untuk memujuknya supaya menegah Rasulullah s.a.w. daripada terus menyebarkan dakwah Islam. Selain itu mereka juga cuba mempengaruhinya supaya menyerahkan baginda kepada kalangannya, dengan tujuan untuk membunuhnya. Namun tawaran ini tidak diterima oleh Abu Talib kerana beliau sentiasa menyebelahi Rasulullah s.a.w..

Boikot

Akhirnya pimpinan Quraisy telah memutuskan untuk memboikot Nabi Muhammad s.a.w. dan Bani Hasyim serta Bani Muttalib tanpa mengira samada mereka Muslim mahupun sebaliknya. Seluruh penduduk Makkah telahpun membuat perjanjian untuk memboikot dan memulau baginda serta keturunannya. Penduduk di sini tidak boleh membuat sebarang perhubungan, tidak boleh berjual beli dan juga tidak boleh berkahwin dengan mereka.

Nabi Muhammad s.a.w. dan Bani Hasyim serta Bani Muttalib mula dikhianati serta dianiayai oleh penduduk Makkah, termasuklah bapa saudara Nabi sendiri, iaitu Abu Lahab. Dalam tempoh masa tiga tahun mereka telah dipinggirkan daripada masyarakat setempat, dan terpaksa mengalami satu suasana yang amat getir sekali terutamanya kebuluran apabila bekalan makanan terputus. Anak-anak kecil terutamanya berterusan menangis kerana kelaparan dan golongan dewasa pula terpaksa mengikat perut dengan hanya memakan daun-daun kayu sahaja.

(Artikel ini telah disiarkan dalam SIASAH edisi 13 – 19 Rabiul Akhir 1432/ 18-24 Mac 2011. Terima Kasih.)