• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    April 2011
    S M T W T F S
    « Mar   May »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930

Masuk Dapur

Salam Ukhuwah…

Kali ini cerita saya masuk dapur, berpagi-pagian lagi dengan penuh semangat untuk masak nasi lemak kukus kononnya…Kiranya ini pertama kali buat saya, memasak nasi lemak kukus versi tersendiri. Ambil resipi daripada blog Puan Shamam (sukesukemasak.blogspot.com), dan tentunya ada ubah suai sedikit mengikut citarasa sendiri.

Masa dulu-dulu tak sempat nak belajar buat resipi ni (tak sempat? malas?), tetapi sekarang sudah semakin feminin sejak bergelar surirumah sepenuh masa. Itulah hikmahnya berhenti kerja, dan saya sangat mensyukurinya. Bolehlah mencuba nasib menjadi chef. Untuk dapur rumah je lah kan…jauh sangat-sangat nak masuk MasterChef!

Tetapi sebenarnya bibik saya yang sangat banyak membantu. Dia yang lebih bertenaga untuk menghasilkan nasi lemak kukus ini, yang saya sediakan untuk majlis meraikan ulangtahun anakanda saya yang bertiga – dimana tarikh lahir mereka semuanya pada April, selang seminggu setiap seorang. Jimat bajet mak ayah…

Barulah saya tahu bahawa memasak nasi lemak kukus ni agak senang jugalah. Selama ni saya ingatkan susah. Pentingnya kena ada kemahuan dan kerajinan!

Saya hidangkannya bersama sambal tumis ikan bilis (kasar), ikan bilis goreng (halus), telur rebus (saya potong kecil-kecil menggunakan egg cutter – untuk memberi lebih tarikan kepada anak-anak), kacang goreng dan timun.

Seperti biasa saya mulakan majlis selepas Asar.

Ada nasi lemak kukus, spagheti, mihun goreng, sandwich, sate buah bersiramkan coklat, dan minuman sejuk. Alhamdulillah, menu yang saya hidangkan semuanya habis.

Saya pun dah pasang angan-angan mahu buat sekali lagi nasi lemak kukus dalam masa terdekat ni. Macam best je! Niatnya nak hantar ke rumah ayahbonda…mudah-mudahan menjadilah.

9.43pm

Advertisements

Si Kembar

Salam Ukhuwah…

Si kembar saya sudahpun mencecah umur enam tahun. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya saya sentiasa membuat sedikit jamuan ringkas ala-ala majlis ulang tahun, tetapi dalam suasana cukup ringkas dan penuh santai. Tiada bertema, malah senarai jemputan sekadar ber‘sms’ dan jemputan mulut sahaja.

Acara makan-makan ringan pada kali ini saya adakan di perkarangan rumah. Ini untuk memudahkan para jemputan saya, yang terdiri daripada anak-anak saudara dan anak-anak jiran sahaja lebih merasa bebas untuk makan bersama-sama.

Majlis bermula selepas solat Asar, dengan menyajikan dua biji kek, nasi goreng, mee goreng dan meehoon goreng serta minuman sejuk berperisa root beer.

Terima kasih kepada semua anak-anak kecil yang sudi memeriahkan suasana…

10.46pm

Hadirnya Nabi Muhammad s.a.w. (Akhir)

Rasulullah s.a.w. juga telah melantik seramai 12 orang naqib (ketua), yang terdiri daripada sembilan orang daripada kaum Khazraj dan tiga orang daripada kaum Aus. Kedua-dua kaum ini merupakan penduduk utama di kota Madinah. Pelantikan ini sebagai matlamat jangka panjang dalam menyebarluaskan lagi Islam di Madinah, seterusnya menjadi penghubung di antara Baginda di Makkah dengan masyarakat Madinah. Naqib-naqib inilah yang akan bertanggungjawab menyeru masyarakat Madinah kepada Islam.

Kebijaksanaan dan kegigihan Rasulullah s.a.w. dalam usahanya menyebarkan syiar Islam kepada penduduk Madinah telah membuahkan hasil, apabila mereka mula menyambut seruan tersebut dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa sebarang paksaanpun. Islam begitu cepat tersebar dan berkembang baik di Madinah. Ini merupakan kejayaan besar yang dicapai oleh Baginda dalam perjuangannya menyebarkan Islam, sehingga terbentuklah sebuah Negara Islam pertama di Madinah.

Hijrah

Selepas Perjanjian Aqabah II dimeterikan juga, ia disusuli dengan penghijrahan besar-besaran Muslim Makkah ke Madinah sehingga terbentuknya sebuah Negara Islam di sana. Hijrah ke Madinah dilakukan atas jemputan penduduk di sana, dan mereka telah berjanji akan melayani kaum Muhajirin sebagaimana saudara sendiri.

Hijrah merupakan satu strategi Rasulullah s.a.w., dalam meneruskan perjuangan mengembangkan Islam secara aman dan sejahtera. Apabila Islam telah mendapat tempat didalam masyarakat, akan lahirlah sebuah rumpun Muslimin yang kukuh dan tentunya sukar digugat oleh anasir jahat yang sering saja mencari peluang untuk memusnahkan mereka.

Tentu sekali penghijrahan bagi kaum Muslimin bukannya bermaksud melarikan diri, tetapi dengan tujuan yang jelas untuk meneruskan perjuangan menyebarkan Islam kepada umum dengan lebih meluas dan berani. Jika kaum Muslimin masih di Makkah tentunya seruan Islam sukar untuk didedahkan secara meluas, apabila aktiviti mereka sering saja diancam oleh masyarakat Quraisy dengan pelbagai bentuk halangan yang boleh menjejaskan Islam.

Namun penghijrahan beramai-ramai kaum Muslimin pada kali ini terlalu banyak likunya, apabila kaum musyrikin Makkah mengetahui tentang rancangan mereka untuk berhijrah ke Madinah. Mereka telah cuba menghalang penghijrahan tersebut, kerana amat bimbang sekiranya Islam makin tersebar luas di Madinah dan kawasan-kawasan lain di sekitarnya nanti.

Setelah Muslimin lain berjaya berhijrah ke Madinah, akhirnya tibalah masanya untuk Rasulullah s.a.w. pula berhijrah ke sana lantaran Baginda telah mendapat ugutan bunuh daripada pihak Quraisy Makkah. Rasulullah s.a.w. telah menempuh satu perjalanan yang sukar apabila memilih laluan berbeza dan lebih jauh menuju ke Madinah. Ini merupakan satu strategi untuk mengelakkan perjalanan Baginda dapat dikesan oleh kaum Quraisy.

Masjid Pertama 

Akhirnya Rasulullah s.a.w. selamat tiba di Madinah, walaupun pelbagai helah telah digunakan oleh kaum Quraisy untuk membunuhnya. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda adalah membina sebuah masjid, iaitu Masjid Quba’. Ia merupakan masjid pertama yang dibina didalam Islam. Masjid ini dianggap sebagai lambang penyatuan masyarakat Islam di Madinah. Ia bukan sahaja dibina semata-mata tempat untuk beribadat, malah digunakan sebagai pusat pentadbiran yang merangkumi bidang politik dan ekonomi masyarakat Islam Madinah.

Bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat Islam di Madinah, Rasululullah s.a.w. telah menjalinkan persaudaraan di antara golongan Muhajirin dengan Ansar. Golongan Muhajirin yang merupakan masyarakat Muslim Makkah yang telah berhijrah ke Madinah, telah ‘dipersaudarakan’ dengan golongan Ansar, yang merupakan penduduk asal Madinah – dimana mereka telah memeluk Islam dan terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj.

Persaudaraan ini asasnya adalah Islam. Kaum Ansar sangat ikhlas menerima kaum Muhajirin sebagai saudara rapatnya demi cinta mereka kepada Islam dan untuk kebaikan bersama. Jalinan yang diinisiatifkan oleh Rasulullah s.a.w. ini telah melahirkan sebuah persaudaraan Islam tulen antara mereka, ibarat saudara kandung sendiri. Langkah bijak yang diambil oleh Baginda ini adalah bertujuan membantu golongan Muhajirin, yang telah sanggup berhijrah sehelai sepinggang meninggalkan kota Makkah. Mereka langsung tidak punya sebarang harta benda malah kaum keluarga sekalipun.

Piagam Madinah

Rasulullah s.a.w. juga telah menyediakan satu perlembagaan untuk penduduk di sana, bertujuan menyatupadukan masyarakat setempat yang dikenali sebagai Piagam Madinah. Perlembagaan ini dipersetujui bersama masyarakat Muslim dan Bukan Muslim. Ia menyebut tentang tanggungjawab setiap ahli masyarakat terhadap Negara Madinah. Piagam Madinah ini juga merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

Apabila Madinah dibangunkan sebagai sebuah Negara Islam dibawah kepimpinan Rasulullah s.a.w., maka kaum Muslimin mula bebas melaksanakan suruhan Islam tanpa perlu bersembunyi lagi. Bermula dari saat inilah Islam makin menyinar ke seluruh Semenanjung Arab.

Kaum Musyrikin Makkah yang mendapat perkhabaran ini, makin tidak berpuas hati dan mula merasa terancam dengan perkembangan Islam yang pesat di Madinah. Tentera Makkah mula melakukan serangan keatas Madinah. Namun segala usaha mereka hanya sia-sia belaka apabila kaum Muslimin dapat menghalang setiap perancangan jahat mereka.

Perjanjian Hudaibiah

Pada tahun keenam Hijrah, kaum Muslimin berhasrat untuk menziarahi Kota Makkah bagi mengerjakan ibadat Haji. Namun hasrat mereka telah dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiah – terletak di luar Kota Makkah. Walaupun utusan kaum Muslimin telah menerangkan tujuan kedatangan mereka, namun pihak Quraisy tetap enggan menerima penjelasan tersebut.

Setelah perbincangan dibuat di antara utusan masing-masing, akhirnya satu perjanjian telah dibuat diantara kaum Muslimin dengan pihak Quraisy Makkah, yang dinamakan sebagai Perjanjian Hudaibiah. Perjanjian ini telah memihak kepada kaum Quraisy.

Antara yang terkandung di dalam perjanjian adalah, kaum Muslimin tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadat Haji pada tahun tersebut tetapi telah ditunda ke tahun hadapan (7 Hijrah). Selain itu gencatan senjata dikenakan selama 10 tahun antara kedua-dua belah pihak, dan mereka sama sekali tidak boleh memihak kepada mana-mana kaum apabila berlakunya sebarang persengketaan.

Namun begitu perjanjian ini dicabuli, apabila Musyrikin Makkah telah memberi bantuan ketenteraan dan senjata kepada sekutunya (Bani Bakar), yang mula menyerang sekutu ummat Islam (Bani Khuza’ah). Tindakan mereka ini menyebabkan kaum Muslimin memutuskan untuk membalas serangan keatas Musyrikin Makkah, yang telah mengingkari pejanjian yang telah disepakati bersama.

Pembukaan Kota Makkah

Maka pada tahun 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah kembali ke Makkah dengan membawa kekuatan 10,000 orang tentera yang lengkap dengan peralatan perang. Melihatkan kekuatan tentera Muslimin, langsung penduduk Makkah menyerahkan kota tersebut kepada Rasulullah s.a.w. tanpa sebarang syarat jua tanpa sebarang pertumpahan darah.

Lalu Rasulullah s.a.w. mengarahkan kesemua patung-patung berhala di sekeliling Kaabah dimusnahkan segera. Baginda juga mengarahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan lalu mendirikan solat sunat beramai-ramai. Penduduk Makkah yang menjadi tawanan juga telah diberi kemaafan dan dibebaskan tanpa sebarang hukuman dikenakan. Pelbagai tindakan kemanusiaan yang telah diambil oleh Rasulullah s.a.w. ini, telah menjinakkan banyak jiwa-jiwa musyrikin untuk memeluk Islam.

Ibadah Haji yang terakhir dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah pada tahun 10 Hijrah. Baginda telah menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, dengan memberi ingatan yang jelas tentang dua harta peninggalannya, yakni al-Quran dan al-Sunnah. Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kepada ummatnya supaya sentiasa berpegang teguh dan merujuk kepada al-Quran dan Hadis sebagai panduan dalam meneruskan kehidupan seterusnya.

Rasulullah s.a.w. amat menyintai ummatnya, namun sejauh mana cinta kita kepadanya?

Thành phố Hồ Chí Minh

Salam Ukhuwah…

Xin Chào!

Boleh faham sapaan saya?

Boleh…! ??? Ok, jangan jawab sapaan itu kepada saya kerana tidak tahu lagi untuk membalasnya. Sekadar itu sahaja yang saya tahu berbahasa Vietnam, yang bermaksud ‘Hello!’. Tambah sedikit lagi pengetahuan, tajuk yang saya berikan untuk artikel ini adalah bermaksud Bandar Ho Chi Minh.

Ya, Alhamdulillah, kaki saya telah direzekikan mencecah Bandar Ho Chi Minh baru-baru ini, yang merupakan bandaraya terbesar di Vietnam. Sebelum tahun 1975, Bandar ini dikenali sebagai Saigon, dimana nama ini masih lagi digunakan secara meluas oleh rakyat tempatan.

Ho Chi Minh nampaknya makin menjadi pilihan destinasi pelancongan bagi rakyat Malaysia hari ini. Mungkin kerana jaraknya yang tidak terlalu jauh dan kosnya yang tidak terlalu membebankan, serta punya banyak tarikan tersendiri.

Saya telah menyertai rombongan seramai 12 orang, sangat teruja untuk ke sana kerana ia merupakan edisi pertama kali buat kami semua. Teringin benar untuk melawat Ho Chi Minh apabila diperdengarkan cerita tentang kesan peninggalan perang, saya teruja untuk merasai pengalaman masuk ke dalam terowong keselamatan mereka.

Sebelum terbang meninggalkan tanahair saya terlebih dahulu membuat pertukaran matawang dari Ringgit Malaysia (RM) ke Vietnam Dong (VDN). Tentu saja sekelip mata boleh menjadi jutawan dengan wang yang berjuta-juta, apabila RM1 = VDN5,800! (Seeloknya kita tukar ke matawang Dong dan juga USD kerana di sana nanti boleh menggunakan kedua-dua matawang ini. Istimewanya, di tempat-tempat tertentu juga matawang RM boleh digunakan).

Destinasi

Penerbangan selama 1 jam 50 minit dari Kuala Lumpur tidaklah terlalu lama untuk sampai ke destinasi yang dituju. Perubahan waktu hanya lewat satu jam berbanding Malaysia. Ho Chi Minh dari pandangan udara merupakan sebuah Bandar yang sangat padat, tetapi sangat menarik perhatian dengan bangunannya yang berwarna-warni.

Dari lapangan terbang kami disambut oleh En.Shafie, selaku pemandu pelancong di sana. Dia yang merupakan rakyat Kemboja, sangat fasih berbahasa Melayu. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel, dapat kita lihat Bandar Ho Chi Minh dihiasi penuh dengan bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai senibina sungguh berseni dan klasik. Bagi kaki fotografi sememangnya ia suatu terapi yang sungguh mengujakan sekali, untuk terus merakam kebanyakan pemandangan yang boleh dikira bernilai seninya.

Sambil memerhati hiruk-pikuk warga kota yang begitu sibuk menjalani aktiviti harian, tarikan lain yang mengujakan adalah motorsikal yang merupakan pengangkutan utama di sini sangat melimpah-ruah di jalanan. Bersesuaianlah apabila Bandar ini dikenali sebagai Bandar Motorsikal.

Tidak kira dimana saja dan diwaktu mana sekalipun, sepanjang empat hari berada di sana pemandangan rutin yang akan kita lihat adalah ratusan, malah mungkin juga menjangkau ribuan motorsikal akan memenuhi jalan raya. Bilangan kereta pula boleh dibilang dengan jari sahaja.

Kepada mereka yang sedikit fobia untuk melintas jalan, saya sangat yakin kefobiaan mereka itu akan bertambah jika berada di sini apabila melihat ratusan motor yang bersimpang-siur di jalanan. Pemandangan ini mungkin boleh memeningkan pemerhatian mereka ketika melintas. Usah bimbang, itu hanyalah fenomena seharian penduduk di sini. Jika mahu melintas, berjalan saja ke tengah laluan dengan berbekalkan sedikit hati-hati.

Tidaklah perlu gopoh tetapi perlu berjalan perlahan-lahan saja semasa melintas, supaya tidak terkena motor yang sentiasa bergerak. Pemandu tersebut akan dengan senang hatinya memberi laluan dengan penuh sabar. Pemanduan mereka tidak laju kerana terpaksa juga berhati-hati dengan motor-motor lain yang memenuhi jalan. Ada juga mainan hon tetapi tidaklah sehebat di Tanah Arab, dan tiada sebarang laungan maki hamun kedengaran di jalanan.

Menariknya di sini apabila helmet telah menjadi aksesori tersendiri kepada rakyatnya. Helmet yang bereka bentuk separuh ala-ala tempurung, sangat berwarna-warni dan mempunyai pelbagai corak menarik, dari tulisan pelbagai ragam, animasi, gambar-gambar tersendiri, menjadikannya suatu tarikan yang melucukan kepada pelancong. Saya yakin benar bahawa helmet tersebut tidak akan lulus jika dipakai di Malaysia!

Lawatan

Program di sana agak bebas dari segi pergerakan untuk ke mana-mana, kerana sesi lawatan adalah tertakluk kepada permintaan kami sendiri. Walau bagaimanapun, faktor masa perlu dititik beratkan agar kepuasan semua peserta dapat dipenuhi.

Kami telah dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di sini, seperti Muzium yang menyimpan pelbagai khazanah tidak ternilai berkaitan Vietnam dan Cu Chi Tunnel untuk dipertontonkan kesan kehancuran akibat peperangan dengan tentera Amerika suatu ketika dahulu. Sememangnya kunjungan ke Vietnam seakan-akan hilang aura sekiranya tidak melihat kesan perang, bekas pusat latihan tentera dan kampung yang musnah dibom ketika kancah peperangan melanda negara ini.

Muzium ini sangat ‘mengerikan’ kepada sesiapa yang fobia dengan darah dan seumpamanya. Gambar-gambar semasa peperangan berlaku, dan mangsa peperangan yang mati di merata-rata tempat dalam keadaan menyayat hati sangat meruntun jiwa. Begitu juga potret generasi baru yang dilahirkan pasca perang, sebilangan besar mengalami kecacatan kekal yang teruk akibat penggunaan bom kimia dalam peperangan tersebut.

Namun nasib dan penderitaan golongan kurang upaya ini tidak diabaikan oleh kerajaan. Mereka telah dilatih di bengkel kemahiran untuk menghasilkan kepelbagaian kraftangan, dari pelbagai sumber semulajadi termasuklah tanduk binatang, tayar terbuang, batu, melukis atas kulit telur, dan membuat bermacam-macam seni ukiran. Hasil kraf ini kemudiannya dijual kepada para pelancong sekaligus menjadi sumber pendapatan kepada mereka.

Cu Chi Tunnel

Apabila dibawa ke Cu Chi Tunnel yang merupakan laluan terowong keselamatan sejauh 200 kilometer, maka sampailah hajat saya yang ditunggu-tunggu. Saya mahu mendapat pengalaman memasuki terowong tersebut ala-ala tentera Viet Cong dan keluarga mereka, yang tinggal ‘bertapa’ di dalamnya setelah penempatan mereka dibom.

Namun hajat untuk masuk ke terowong melalui lubang kecil ala-ala tentera dan ahli keluarga mereka tidak kesampaian apabila ketika itu saya memakai baju kurung! Sangat tidak sesuai kerana sungguhlah lubang empat segi itu tersangatlah kecil, hanya untuk badan yang bersaiz XS- M sahaja!

Walau bagaimanapun, masih ada sinar untuk saya masuk ke terowong tersebut melalui lubang lain yang sudahpun diubahsuai untuk para pelancong. Saya yang sentiasa teruja dengan aktiviti sebegini menjadi orang pertama dalam rombongan masuk ke terowong, tetapi sangatlah terkejut kerana telah disambut oleh kelawar-kelawar yang melekat di bumbungnya.

Sejarahnya, terowong ini mula dibina pada tahun 1948 dimana ia telah digali oleh tentera Vietnam, dengan hanya bermodalkan penyodok dan bekas anyaman buluh sahaja untuk mengangkut keluar tanah. Jaraknya dikatakan menular menjangkau sempadan Kemboja, tetapi keterujaan saya sekadar sejauh 20 meter sahaja…

Namun tetap menakjubkan pandangan apabila diperlihatkan sistem jaringan terowong tersebut yang dilengkapi dengan dewan makan, dewan mesyuarat, kilang senjata, bilik bedah, dan wad untuk pesakit. Tambah mengujakan apabila dibina patung-patung ‘manusia’ yang sedang ‘bekerja’ di dalam terowong tersebut. Sungguh tertarik!

Produk

Sepanjang berada di sini juga, kami telah dibawa ke restoran Muslim untuk memastikan kehalalan produk yang disediakan. Walau bagaimanapun ia sedikit mahal kerana agak kurang pilihannya.

Tidak sah rasanya kalau tidak bercerita tentang sesi membeli-belah. Maka kami telah dibawa ke beberapa tempat menjamu mata yang sering saja menjadi tumpuan ramai pelancong. Tentu paling tersohor adalah pasar Ben Thanh dan pasar malamnya, yang boleh dikatakan mempunyai pelbagai pilihan barangan untuk dibeli sebagai koleksi peribadi mahupun buah tangan apabila kembali ke tanah air.

Pasar ini juga dikatakan menawarkan harga yang lebih murah, dan sesekali jangan lupa tawar-menawar sehingga 50% terutamanya produk kulit tiruan. Jika ke pasar-pasar dan hanya membeli dalam jumlah yang kecil lebih sesuai digunakan matawang Dong, tetapi jika pembelian mencapai ratusan lebih untung jika dibayar menggunakan USD.

Biasanya di sini para pelancong dari Malaysia lebih tertarik untuk membeli kain pasang (terutama sutera Vietnam), baju siap (jahitan sulaman dan manik), beg tangan, dan pelbagai pilihan lain. Ada juga yang memilih cadar dan langsir dimana kesemuanya siap bersulam. Jika sukakan barangan kraf, banyak dijual binaan model kapal kayu di kaki lima hotel.

Umumnya Bandar Ho Chi Minh adalah selamat untuk dikunjungi. Penduduk mereka juga agak baik dan murah senyuman. Kunjungan ke sini menghadiahkan kenangan indah kepada saya dan pastinya, kepada sahabat yang suka melancong anda tentunya akan seronok sepanjang berada di sini.

12.12am