• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2011
    S M T W T F S
    « Apr   Jun »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Taekwondo

Salam Ukhuwah…

Seawal tahun ini dua orang anakanda telahpun menyertai kelas taekwondo, setelah berkali-kali memohon keizinan daripada saya. Si sulong yang sebenar-benarnya beria mahu ke kelas ini sementelah sudah ramai sepupu yang menyertainya. Lalu saya mendaftarkannya bersama-sama si adik dan anak saudara sebagai peneman latihan bersama. Lagi pula si adik ni kan lelaki…memang amat patut tahu tentang seni beladiri.

Suatu masa di kampus dahulu pun saya pernah berkeinginan untuk menyertai kelas taekwondo, namun terbantut bilamana tiada kawan yang mahu menyertainya bersama. Alasan mereka, yuran mahal, nak kena beli uniform lagi, nak kena bayar lagi apabila upgrading, semua nak kena pakai duit! Student mana ada duit kan…Akhirnya saya yang terpaksa ikut kawan-kawan sertai sukan baseballpercaya tak? Saya dapat A tau!

Ini merupakan satu-satunya aktiviti luar yang anak-anak saya sertai buat masa sekarang. Tempohari ada juga anakanda lelaki saya terpilih untuk sukan squash di sekolahnya, tetapi nampaknya tidak berezeki apabila saya memutuskan untuk berkata ‘tidak’. Ini kerana sesi latihannya bermula pada jam 7 petang hingga 9 malam.

Selalunya saya sentiasa menolak sebarang program luar yang melibatkan tempoh 7 malam hingga 8 malam, kecuali program Islamik. Sangat tidak sesuai untuk yang bergelar Muslim melakukan sebarang program luar pada tempoh Maghrib yang singkat.

Dengan bermulanya latihan taekwondo ini, nampaknya jadual hari minggu anak-anak makin terisi penuh. Dari kelas Fardhu ‘Ain, tuisyen, sehinggalah ke kelas taekwondo. Adakalanya kesian juga, tetapi mengenangkan lebih baik mereka mengisi masa lapang sedemikian dari asyik menonton tv dan bermain game sahaja. Lagipun mereka yang berkehendak, bukan saya yang memaksa.

Apabila mula menyertai latihan ini, secara tidak langsung akan mendisiplinkan anak-anak dalam menjadualkan hidup mereka. Tiada istilah ponteng kelas jika tiada alasan munasabah, perlu berlatih bersungguh-sungguh kalaupun ia hanya aktiviti sampingan dan menyiapkan diri sebaiknya apabila tiba masa untuk upgrading, mudah-mudahan suatu masa nanti mereka mampu menghabiskan latihan sehingga beroleh black belt!

Beladiri

Menyertai latihan ini juga merupakan satu aktiviti sampingan yang baik, bertujuan mempelajari seni beladiri yang tidaklah terlalu menjurus kepada unsur-unsur keganasan. Lagi pula ia mampu meningkatkan kekuatan fizikal seseorang individu, ditambah lagi dengan pengajaran disiplin diri dan moral kepada setiap pelajar yang menyertainya.

Ini juga suatu aspek yang penting kepada perkembangan jatidiri kanak-kanak yang sedang membesar, amat sesuai juga kepada para remaja kita hari ini. Selain dari itu, seni beladiri ini mudah-mudahan mampu memberikan perlindungan tersendiri kepada anak-anak kita, dari dihambat anasir jahat diluar sana yang semakin ghairah mencari mangsanya tidak kira waktu.

Namun, sudah menjadi lumrah barangkali anak-anak ini tetap menjadi pemalu sekiranya diminta beraksi di hadapan saya. Buat ala kadar saja…langsung tidak bersemangat. Langsung tidak ada suara-suara yang gagah perkasa itu, apatah lagi mahu melihat aksi-aksi panas tempur yang hebat. Sering juga terfikir, diaorang ni boleh berlawan ke?

Pernah sekali sahaja saya mengambil kesempatan melihat latihan taekwondo anakanda di sekolah. Seronok juga melihat gaya anak kecil beramai-ramai membuat pelbagai aksi tempur yang sangat menarik perhatian. Kelihatannya mereka sangat serius dan fokus semasa menerima arahan, sempat juga saya merakamkan beberapa aksi yang menarik sepanjang sesi latihan tersebut. Untuk kenang-kenangan…

6.32pm

Ikan Singgang

Salam Ukhuwah…

Kali ini saya mahu bercerita perihal Ikan Singgang!

Ada sahabat tak pernah merasa ikan singgang? Ok, tak mengapa, kerana saya kira ia sejenis masakan ikan yang berasal dari Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Timur. Mungkin juga negeri-negeri lain pun ada, tetapi menggunakan resipi dan nama yang berlainan barangkali.

Sejak kebelakangan ini ikan singgang menjadi kesukaan encik suami nampaknya…Nasib baik sangatlah kalau setakat ikan singgang, kalau dicakapnya mahu makan resipi ikan yang pelik-pelik, nampaknya saya terpaksa pakai resipi ‘tunjuk-tunjuk’ sahaja. (Errr…sahabat tahu ke resipi tunjuk-tunjuk ni…?)

Sebelum encik suami menjadi pencinta ikan singgang, kami sekeluarga sebenarnya sangat sukakan menu Arab jika ke Kuala Lumpur. Namun, segalanya bertukar irama apabila nampaknya encik suami sudah punya pilihan lain sejak kebelakangan ini, bertukar haluan dengan membawa saya dan anak-anak ke restoran ikan singgang di Jalan Chow Kit.

Pertama kali encik suami membawa saya menikmati masakan ikan singgang di sana, terasa janggal pula apabila terfikir apalah yang istimewanya sangat menikmati ikan singgang sejauh ini? Rupa-rupanya, adalah keistimewaanya sendiri kepada pencinta ikan singgang! Nak tahu? Kenalah cuba sendiri! Saya sendiri juga sukakan ikan singgang, tetapi menjadi kurang suka apabila dimasukkan bendi.

Asasnya, ikan singgang ini enak dimakan ketika masih panas, sungguh menyelerakan! Ditambah pula dengan ulam – timun, kacang botol, petai dan ikan bakar tawar – dicicah budu – yang diperisakan pula dengan bawang merah, limau nipis dan cili, sangat membangkitkan! Lebih menyeronokkan pula jika dimakan bersama ahli keluarga yang lain, menambahkan harmoninya.

Selain rasanya yang enak, sebenarnya masakan ikan singgang ini sangat baik untuk kesihatan apabila ianya hanya direbus dan tidak berlemak. Cara penyediaannya sangat ringkas dan cepat tetapi sungguh menyelerakan.

Biasanya kami memilih ikan kembong segar – lebih membangkit kenangan silam ketika makan di zaman kanak-kanak bersama ahli keluarga yang lain. Bahan-bahannya pula berversikan kampung – bawang putih, lengkuas, asam keping, lada besar (hijau), lada kecil (hijau), gula melaka (nnise), dan budu.

Resipi ikan singgang ini saya kira semua orang mampu buat. Tidak kira yang baru bertatih belajar masak nasi pun, saya yakin benar mereka boleh menghasilkan ikan singgang yang enak. Lagi pula, saya fikir semua orang boleh suka dengan ikan singgang ini.

 

 

6.16pm

Kuasa Cinta

(Versi SIASAH)

Salam Ukhuwah…

Cinta paling bernilai di dunia dan akhirat adalah milik Rasulullah s.a.w., apabila Baginda telah dianugerahkan gelaran ‘Kekasih Allah’. Nilainya terlalu tinggi apabila Allah s.w.t. telah memilih Rasulullah s.a.w. sebagai manusia yang paling bernilai kepadaNya, kerana Baginda telah sanggup menyerahkan segala jiwa dan raganya melebihi apa saja yang dimilikinya di dunia ini demi Islam. Rasulullah s.a.w. telah sanggup menghadapi pelbagai ujian dan cabaran yang memeritkan demi menyebarluaskan Islam hingga sehabis nyawanya.

Namun masih ada peluang untuk kita juga bernilai disisi Allah s.w.t., apabila bersedia menjadi hambaNya yang sentiasa memohon taubat walaupun seringkali melakukan salah dan silap. Mudah-mudahan tetap akan ada keampunan yang berulang-ulang daripada Maha Pengasih dan Penyayang untuk kita semua, insyaAllah!

Allah s.w.t. juga secara fitrah menganugerahkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada semua HambaNya. Tidak kiralah kepada siapa kita mencurahkan rasa cinta dan kasih sayang, hakikatnya perasaan itu mampu menyuburkan jiwa kepada setiap pemberi dan penerima cinta tersebut. Paling istimewanya apabila Allah s.w.t. menganugerahkan cinta kepada manusia berlainan jantina yang akhirnya disudahi dengan ikatan perkahwinan yang suci.

Terlalu banyak contoh cinta hebat di antara lelaki dengan perempuan yang telah kita maklum di dunia ini. Kita ada dongeng Uda dan Dara, Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet, dan banyak lagi pasangan romantis yang lain, tetapi didalam Islam jelas menyatakan bahawa rasa cinta membara yang wujud di antara lelaki dengan perempuan hanya boleh dihalalkan selepas mereka disatukan sebagai suami isteri.

Hal yang demikian, kita mengambil contoh terbaik perihal cinta suami isteri di dalam Islam. Maka akan kita temukan kisah kehebatan cinta Saidatina Khadijah r.a., isteri tercinta kepada Rasulullah s.a.w.. Cinta beliau sangat unggul apabila selalu saja disebut-sebut namanya oleh Baginda walaupun telah wafat. Inilah dia cinta sejati daripada seorang isteri buat suaminya yang tercinta.

Telah terbukti bahawa kuasa cinta sama sekali tidak memandang kepada faktor luaran semata, tidak kisah tentang faktor usia dan status seseorang. Begitulah Rasulullah s.a.w. yang telah membalas cinta isterinya dengan tulus. Saidatina Khadijah r.a. telah mengisi penuh ruang hati Baginda sehingga tiada tandingannya di antara isteri-isteri yang lain.

Cinta Sebenar

Inilah cinta sebenar yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w., tentu sekali ianya cinta berlandaskan Islam. Jika cinta itu bertunjangkan agama akan terlihatlah keindahan dan ketulusannya apabila setiap pasangan memiliki kualiti yang terbaik. Pasangan yang berkualitikan Islam insyaAllah akan mampu membina rumahtangga yang bahagia. Tentunya mereka akan mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t..

Mengutamakan cinta kepada Allah s.w.t., akan dibalasi dengan rahmatNya yang berpanjangan kepada rumahtangga kita. Maka sepatutnya terlebih dahulu kita betulkan niat bahawa berumahtangga adalah kerana Allah. Bersamalah kita membina impian semoga rumahtangga yang dibina itu akan mendekatkan diri kepada Maha Pencipta. Sempurnakanlah cinta kita kepadaNya terlebih dahulu, dengan harapan akan bertambah sempurnalah kasih sayang yang tercipta antara kita dengan pasangan.

Jangan sesekali menjadikan perkahwinan sebagai penyebab mengapa kita semakin jauh dalam menggapai rahmat Allah s.w.t.. Seharusnya kita istiqamah berada di jalan yang sepatutnya walaupun tanggungjawab kita makin bertambah, kesibukan makin membelit diri dan tekanan mungkin makin menjadi-jadi. Tidak sepatutnya sebuah perkahwinan membawa kepada kelalaian yang mungkin akan memudaratkan hubungan kita denganNya.

Penyatuan dua individu yang saling sayang-menyayangi, seharusnya mampu meniupkan lagi semangat untuk saling membimbing dan nasihat-menasihati di antara satu sama lain dalam ketaatan kepadaNya. Cinta dan kasih sayang akan jelas terbukti sekiranya kita beroleh manfaat yang lebih baik dalam kehidupan berumahtangga untuk kebahagian di dunia dan akhirat nanti.

Berkahwin

Berkahwin bukan sekadar kerana cinta antara dua jantina untuk memenuhi tuntutan nafsu seksual secara halal semata, tetapi kita perlu melihat lebih jauh dari itu. Niatkanlah rumahtangga yang dibina itu sebagai satu institusi dalam melahirkan hamba Allah s.w.t. yang terbaik.

Rumahtangga yang dibina berasaskan nafsu semata seringnya tidak kukuh, maka tentunya cepat runtuh. Pasangan tidak mungkin akan memahami soal tanggungjawab dan mengambil mudah tentang pembangunan sesebuah keluarga. Mungkin juga setiap perintah dan larangan Allah s.w.t. dengan mudah diketepikan tetapi tuntutan nafsu pula lebih diutamakan.

Sayang kepada rumahtangga tidak bermaksud kita perlu memenuhi setiap keinginan ahli keluarga, hatta kepada perkara yang dilarang syariat Islam. Ini akan merosakkan kehidupan individu itu sendiri, hanya akan merasa bahagia ketika senang tetapi mudah terluka apabila melalui episod duka.

Kala ini pergaduhan menjadi lauk dalam rumahtangga. Jika sudah mempunyai zuriat, anak-anak inilah yang akan pula menjadi mangsa kepada keadaan yang tidak sejahtera. Paling teruk apabila mereka membesar sebagai satu generasi sampah kepada masyarakat. Pengakhirannya? Syurga neraka jauh sekali difahami, sengsara pula di dunia yang tiada pernah bertepi.

Jika tahu mengemudi rumahtangga, benarlah bahawa sebuah perkahwinan akan mengundang keseronokan dunia. Mudah-mudahan ia berlanjutan sehingga ke akhirat. Tetapi keseronokan sebuah perkahwinan hanya mampu direalisasikan dengan tepat apabila ia mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.. Rumahtangga harus dibina dengan asas yang kukuh agar ia tidak akan runtuh dikemudian hari.

Matlamat

Apabila kita telah memutuskan untuk berkahwin maka sediakanlah matlamat jangka panjangnya. Matlamat ini bukan dibina selepas berkahwin, tetapi ia telah bermula ketika sesi mencari pasangan hidup lagi. Allah s.w.t. telah menganugerahkan akal untuk kita berfikir, lalu membuat pilihan terbaik dalam menyempurnakan cinta sesama manusia.

Proses memilih pasangan bukan sekadar melihat keseronokan daripada zahir sahaja, tetapi ia memerlukan kepada seseorang yang yang berakhlak baik untuk mengemudi rumahtangga. Tentunya apabila kita sedang membuat pilihan terbaik, pandangan pertama yang akan dinilai kepada seseorang adalah akhlaknya.

Jelas sekali peribadi seseorang itu akan membiaskan tentang rasa cinta mereka kepada Allah s.w.t., kerana akhlak yang baik asasnya adalah kekuatan iman di jiwa. Selain dari akhlak menjadi tumpuan, individu yang bercita-cita untuk mendirikan rumahtangga seharusnya telahpun bersedia dalam menerima sebuah tanggungjawab.

Tentunya ia sebuah tanggungjawab yang sangat berlainan dan amat berat berbanding ketika hidup sendirian. Jangan terlalu mengambil mudah dalam menurut keinginan membina sebuah rumahtangga, kerana disana pastinya akan ada kesulitan yang harus diselesaikan bersama bukannya sebelah pihak saja.

Perhatian

Sebenarnya perkahwinan memberikan kita suatu ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan kasih sayang yang begitu mengasyikkan. Kasih sayang bukan sekadar ungkapan sayang tetapi ia lebih kepada perhatian, bukan sekadar pada tahun awalan sebuah perkahwinan tetapi ianya perlu mekar setiap hari hingga ke penghujung nyawa.

Setiap pasangan perlu berusaha untuk memahami keperluan teman hidupnya. Jangan sekadar menduga di fikiran sahaja, tetapi sesekala perlu bertanya apa yang si dia mahukan dalam rumahtangga. Tentunya akan terasa lebih bermakna sekiranya kita sering berkomunikasi dengan pasangan masing-masing. Komunikasi yang baik mampu memberi kefahaman kepada setiap pasangan, untuk lebih memahami segala kelebihan dan kekurangan diantara satu sama lain.

Kita juga perlu belajar untuk sentiasa berhemah dalam sebarang tindakan yang diambil, berusaha untuk memahami keperluan pasangan, menunjukkan keprihatinan, dan sentiasa bersabar dalam apa jua ujian yang melanda.

Selamat Hari Guru

Salam Ukhuwah…

Selamat Hari Guru!

Satu ungkapan yang sering saja kita ucapkan kala 16 Mei saban tahun. Mudah-mudahan ungkapan ini bukan hanya sekadar ucapan yang biasa-biasa sahaja, tetapi suatu ucapan yang benar-benar ‘selamat’, bernilai dan benar-benar dihayati, buat para guru yang pernah mengajar kita semua selama ini. Jua buat para guru yang telah dan sedang mengajar anak-anak kita pula hari ini, serta semua guru yang telahpun menjadi insan mulia dalam mendidik semua generasi pada setiap detik waktu.

Hari ini kita mungkin telah menggapai impian dan cita-cita yang telah diazamkan selama ini, maka disitulah adanya jasa dan pengorbanan para guru yang telahpun mencurahkan ilmu dan baktinya buat kita semua. Tanpa mengharapkan sebarang balasan, malah dipanjatkan doa buat  semua yang bergelar pelajar, maka kejayaanlah yang sepatutnya kita berikan kepada para guru sebagai hadiah yang tiada nilainya.

Untuk menghargai jasa baik para guru, ibubapa juga harus memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada anak-anak betapa guru adalah seorang insan yang mulia. Anak-anak harus dipupuk semangat sayangkan para guru, agar dapat diwujudkan suasana saling menghormati sesama mereka. Maka, dikesempatan sambutan Hari Guru kali ini, ada baiknya kita menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat para guru yang sedang mengajar anak-anak kita.

Tidak perlu berhabis wang, tetapi cukuplah sekadar memberi satu tanda ingatan bahawa kita – ibubapa – yang berada di rumah, sangat berterima kasih kepada guru yang sedang mencurahkan ilmu dan baktinya kepada anak-anak kita. Tanpa guru itu, agak sukar sebenarnya untuk kita sendiri mengajar dan mendidik anak-anak mengenal seawal A, B, C, … 1, 2, 3 … sehinggalah mereka benar-benar celik ilmu.

Berbahagialah para guru, semoga perjuangan kalian semua diberkati sehingga akhir hayat, dan berolehlah balasan sewajarnya di akhirat kelak. InsyaAllah!

6.49pm

Beg Plastik

Salam Ukhuwah…

Sejak bermulanya kempen Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Sabtu, yang bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini yang diperluaskan ke seluruh Negara bermula 1 Januari 2011, saya merupakan antara ahli masyarakat yang memutuskan untuk tidak lagi membeli-belah pada hari Sabtu.

Bukan membawa maksud saya ingin memboikot kempen yang sangat bagus ini, namun diri sendiri yang masih tidak boleh menerima hakikat untuk membawa green bag sendiri. Adakalanya rasa menyusahkan, leceh dan ralat! Apabila setiap kali membeli-belah, setidak-tidaknya saya memerlukan enam beg plastik dalam pelbagai ukuran untuk mengisi stok belian.

Lagipun terasa susah benar untuk berenggang dengan beg plastik yang satu ini. Sudah menjadi kelaziman kepada saya menyimpan elok semua beg plastik untuk digunakan pula sebagai plastik sampah. (Recycle juga kan…?) Tidaklah perlu saya membeli plastik hitam/ biru khas itu lagi…jimat!

Fakta

Sebenarnya, kalaupun saya berbangga kerana berulang kali (recyle) menggunakan beg plastik ini, faktanya adalah; ia tetap juga akan menjadi sampah pada akhirnya! Sampah yang tidak mampu dilupuskan dari muka bumi ini. Inilah alasan awal kenapa perlunya kita katakan tidak kepada beg plastik.

Selain itu, saya kira umum telahpun mengetahui bahawa penggunaan beg plastik ini sungguh tidak digalakkan, apabila ia berisiko tinggi dan membahayakan kehidupan kita semua. Maka, saya ingin kongsikan sedikit info yang diperoleh, semoga ada manfaatnya untuk sahabat semua tambahkan lagi pengetahuan tentang perlunya setiap ahli masyarakat berusaha untuk menghadkan penggunaan beg plastik ini.

Bukan hanya kerana tidak lupus, tetapi beg plastik ini juga diperbuat dari sumber berharga, iaitu minyak. Ia juga tidak mampu dibakar. Jikapun dibakar, ia membebaskan satu bahan yang boleh menyebabkan kanser, yang dikenali sebagai karsinogen. Jika ia ditanam pula, boleh memberi kesan kepada sumber air minuman kita hasil dari toksin yang ada dalam kandungan beg plastik ini.

Fakta seringkas inipun sebenarnya sudah mampu memberi kesedaran dan kefahaman kepada kita semua. Seterusnya bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk meminimumkan jumlah sisa buangan plastik, bagi mengurangkan risikonya yang cukup membahayakan kepada bumi kita. Jika sebelum ini sudah terlalu banyak beg plastik yang tidak mampu dilupuskan, maka sudah tiba masanya untuk kita sama-sama berazam menghadkan penggunaannya mulai sekarang.

Berkurangnya penggunaan beg plastik sebenarnya memberi kesan yang sangat baik kepada alam sekitar. Mungkin bukan untuk masa terdekat ini tetapi untuk masa depan, buat generasi yang akan datang – anak cucu kita juga.

Maka, sepatutnya saya sudah sedar dan faham kenapa harus mengurangkan penggunaan beg plastik ini. Sadisnya, saya sendiri yang tidak bersungguh-sungguh untuk bersama-sama melakukan perkara yang baik ini dalam tempoh masa yang sudah lama berlalu.

Green Bag

Namun, Sabtu yang lalu saya telah keluar dari ‘pantang’ tersebut dengan menghadirkan diri ke Parkson Kota Bharu, menemani kekanda yang ingin mencari keperluan keluarganya. Awalan lagi saya telah menyediakan sebuah ‘tote bag’ sebagai persediaan ganti kepada beg plastik. Saya sendiri telah mempunyai green bag, tetapi tidak mahu membawanya kerana bersaiz kecil (+ tidak cantik) dibanding dengan tote bag tersebut yang lebih besar dan lebih luas bukaannya (+ cantik).

Sambil mencari-cari barangan keperluan kami, seronok juga mata saya melilau melihat gaya pengunjung yang lain menggayakan green bag masing-masing. Namun, nampaknya semua pengunjung hanya membeli barangan keperluan yang sedikit dan terhad sahaja, mungkin kerana kesukaran untuk memasukkan pelbagai barangan kedalam beg masing-masing yang kelihatannya hanya satu beg setiap seorang.

Pertama kali saya menggunakan green bag (baca tote bag), terasa juga ada sedikit gangguan dalam acara membeli-belah. Saya terpaksa memilih barang yang benar-benar diperlukan supaya semua barangan dapat dimasukkan ke dalam beg yang satu ini. Barulah saya terfikir bahawa kita sepatutnya membawa lebih dari satu beg jika mahu membeli-belah pada hari Sabtu.

Namun, jika kita masih terasa ada kekangan untuk menggunakan green bag pada hari Sabtu, maka cubalah belajar untuk menggantikannya dengan beg kertas sahaja. Selain itu diri sendiri juga harus terus belajar meminimumkan penggunaan beg plastik pada setiap kali sesi membeli-belah pada hari-hari yang lain. InsyaAllah, alah bisa tegal biasa!

Gagal

Kempen ini hanya akan gagal apabila kita selalu saja memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah kepada pelaksanaan yang sebenarnya amat mudah. Semuanya bergantung kepada SAYA dan SAHABAT SEMUA! Kesedaran adalah dari kita sendiri. Kita perlu belajar untuk memulakan langkah pertama, dan insyaAllah akan menjadi mudah sahaja pada langkah yang seterusnya.

Jika sudah berkeluarga, ini adalah contoh terbaik buat anak-anak, seterusnya kepada anak-anak kecil lain yang memandang. Peranan kita yang kecil ini mampu memberi impak yang besar untuk menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli masyarakat lain. InsyaAllah mereka akan turut serta dalam kempen yang sungguh berfaedah ini.

Kempen yang sangat bagus ini, akan berjaya sekiranya SAYA dan SAHABAT SEMUA mengambil tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing secara ikhlas, tanpa ada sebarang alasanpun untuk menidakkannya. Maka, bertekadlah untuk bersama-sama mengurangkan penggunaan beg plastik demi kesejahteraan bumi kita yang satu ini.

Jika berani bertindak, sepatutnya amalan ini dijadikan sebagai tabiat harian, bukannya untuk Sabtu sahaja!

1.40pm

Alumni

Salam Ukhuwah…

Pada 1 Mei 2011 yang lalu, saya telah berkesempatan menghadiri majlis makan malam alumni pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuantan sesi 89/90. Bukan alumni sekolah saya, tetapi sekolah suami saya. Majlis yang diadakan di dewan sekolah berkenaan boleh tahan kemeriahannya, dengan keluasan ruang dan tatarias yang sederhana sahaja masih mampu memberi kepuasan kepada setiap jemputan yang hadir.

Hampir 50 orang jemputan yang hadir bersama keluarga masing-masing. Untuk pertama kali saya menyertainya, dapat dirasakan kemeriahan suasananya kerana matlamat untuk mengumpul seramai mungkin sahabat-sahabat lama telahpun tercapai. Tahniah kepada pasukan penganjur yang telahpun bekerja keras dengan penuh semangat untuk melaksanakan majlis kali ini. Tanpa mereka, saya kira perjumpaan kali ini sukar untuk direalitikan.

Saya melihat suami begitu teruja apabila dapat bertemu mata dengan sahabat-sahabat seangkatan suatu ketika dulu yang sudah lama terpisah hampir 20 tahun yang lalu. Saya dapat bayangkan bagaimana seronoknya perasaan apabila dapat kembali berjumpa dengan sahabat-sahabat lama dan berkongsi pelbagai cerita.

Kami juga turut menjamah pelbagai menu yang dihidangkan ketika sesi makan-makan berlangsung. Saya bersama ahli keluarga yang lain berkongsi merasa nasi goreng, mihun goreng, sate, bubur kacang, dan banyak lagi pilihan ringan-ringan yang lain.

Suami juga sempat memberitahu saya bahawa majlis ini sangat bererti kepadanya, apabila dapat kembali semula ke pangkuan sekolah lama dan menghirup memori perit jerih berjauhan dengan keluarga diusia muda untuk menuntut ilmu.

Saya doakan semoga hubungan yang bertaut kembali tidak hanya bernoktah di situ. Terima kasih juga dihulurkan kepada semua yang sudi bertegur sapa dengan saya sepanjang majlis tersebut.

2.38pm

Selamat Hari Ibu

Salam Ukhuwah…

Sempena Hari Ibu pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk nukilkan sedikit peringatan buat diri sendiri dan sahabat semua, bahawa perlunya kita membahagiakan kehidupan seorang ibu. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang telahpun berada di pengakhiran usianya, belailah dengan penuh kasih sayang sejati daripada anak-anak. Luangkan sedikit masa yang berkualiti untuk terusan bertanya khabar mereka, walau kita sentiasa diulit kesibukan tuntutan duniawi yang seolah-olah tiada noktahnya.

Jangan sesekali mencipta pelbagai alasan demi membenarkan kesalahan masing-masing, untuk tidak menyerikan hari tua ibu sendiri. Secuai manapun kita, jangan sehingga menjadi anak derhaka yang mewajarkan seorang ibu tinggal di rumah kebajikan, tanpa kasih-sayang dan pembelaan sewajarnya daripada anak-anak.

Kita, yang bergelar anak – tidak kira dalam status mana sekalipun, kadang-kadang tanpa disedari sering juga alpa kepada hanya – seorang ibu – yang telah terlalu banyak berkorban dalam membesar dan mendidik kita selama ini, sehingga menjadi manusia yang berjaya didalam kehidupan masing-masing. Seringkalinya kita terlupa kepada pengorbanan besar seorang ibu.

Sebelum kita bersenang-lenang pada hari ini, seorang ibu telah lama melalui perit lelah yang jarang benar diungkit mereka. Sehingga hari inipun sukar untuk mendengar mereka merungut sekiranya dalam kesempitan, malah lebih rela melihat kita semua hidup bahagia dalam cara masing-masing.

Acapkah kita mendoakan kesejahteraan mereka untuk kehidupan dunia dan akhirat sana? Seringkalinya kita memohon dimurahkan rezeki untuk keluarga sendiri, tetapi dengan rasa tanpa bersalah mengetepikan doa buat mereka, sebagai balasan kepada pengorbanan seorang insan yang paling berharga dalam kehidupan kita selama ini.

Sebelum terlambat, hubungi mereka sebagai tanda ingatan yang tiada sempadannya. Selagi mereka masih bernyawa, buatlah yang terbaik untuk menghargai kasih sayangnya selama ini. Jangan sesekali mengabaikan perasaan mereka, yang semakin mudah tersentuh dengan pelbagai tindakan kita selama ini.

SELAMAT HARI IBU!


9.40pm