• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    May 2011
    S M T W T F S
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

Beg Plastik

Salam Ukhuwah…

Sejak bermulanya kempen Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Sabtu, yang bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini yang diperluaskan ke seluruh Negara bermula 1 Januari 2011, saya merupakan antara ahli masyarakat yang memutuskan untuk tidak lagi membeli-belah pada hari Sabtu.

Bukan membawa maksud saya ingin memboikot kempen yang sangat bagus ini, namun diri sendiri yang masih tidak boleh menerima hakikat untuk membawa green bag sendiri. Adakalanya rasa menyusahkan, leceh dan ralat! Apabila setiap kali membeli-belah, setidak-tidaknya saya memerlukan enam beg plastik dalam pelbagai ukuran untuk mengisi stok belian.

Lagipun terasa susah benar untuk berenggang dengan beg plastik yang satu ini. Sudah menjadi kelaziman kepada saya menyimpan elok semua beg plastik untuk digunakan pula sebagai plastik sampah. (Recycle juga kan…?) Tidaklah perlu saya membeli plastik hitam/ biru khas itu lagi…jimat!

Fakta

Sebenarnya, kalaupun saya berbangga kerana berulang kali (recyle) menggunakan beg plastik ini, faktanya adalah; ia tetap juga akan menjadi sampah pada akhirnya! Sampah yang tidak mampu dilupuskan dari muka bumi ini. Inilah alasan awal kenapa perlunya kita katakan tidak kepada beg plastik.

Selain itu, saya kira umum telahpun mengetahui bahawa penggunaan beg plastik ini sungguh tidak digalakkan, apabila ia berisiko tinggi dan membahayakan kehidupan kita semua. Maka, saya ingin kongsikan sedikit info yang diperoleh, semoga ada manfaatnya untuk sahabat semua tambahkan lagi pengetahuan tentang perlunya setiap ahli masyarakat berusaha untuk menghadkan penggunaan beg plastik ini.

Bukan hanya kerana tidak lupus, tetapi beg plastik ini juga diperbuat dari sumber berharga, iaitu minyak. Ia juga tidak mampu dibakar. Jikapun dibakar, ia membebaskan satu bahan yang boleh menyebabkan kanser, yang dikenali sebagai karsinogen. Jika ia ditanam pula, boleh memberi kesan kepada sumber air minuman kita hasil dari toksin yang ada dalam kandungan beg plastik ini.

Fakta seringkas inipun sebenarnya sudah mampu memberi kesedaran dan kefahaman kepada kita semua. Seterusnya bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk meminimumkan jumlah sisa buangan plastik, bagi mengurangkan risikonya yang cukup membahayakan kepada bumi kita. Jika sebelum ini sudah terlalu banyak beg plastik yang tidak mampu dilupuskan, maka sudah tiba masanya untuk kita sama-sama berazam menghadkan penggunaannya mulai sekarang.

Berkurangnya penggunaan beg plastik sebenarnya memberi kesan yang sangat baik kepada alam sekitar. Mungkin bukan untuk masa terdekat ini tetapi untuk masa depan, buat generasi yang akan datang – anak cucu kita juga.

Maka, sepatutnya saya sudah sedar dan faham kenapa harus mengurangkan penggunaan beg plastik ini. Sadisnya, saya sendiri yang tidak bersungguh-sungguh untuk bersama-sama melakukan perkara yang baik ini dalam tempoh masa yang sudah lama berlalu.

Green Bag

Namun, Sabtu yang lalu saya telah keluar dari ‘pantang’ tersebut dengan menghadirkan diri ke Parkson Kota Bharu, menemani kekanda yang ingin mencari keperluan keluarganya. Awalan lagi saya telah menyediakan sebuah ‘tote bag’ sebagai persediaan ganti kepada beg plastik. Saya sendiri telah mempunyai green bag, tetapi tidak mahu membawanya kerana bersaiz kecil (+ tidak cantik) dibanding dengan tote bag tersebut yang lebih besar dan lebih luas bukaannya (+ cantik).

Sambil mencari-cari barangan keperluan kami, seronok juga mata saya melilau melihat gaya pengunjung yang lain menggayakan green bag masing-masing. Namun, nampaknya semua pengunjung hanya membeli barangan keperluan yang sedikit dan terhad sahaja, mungkin kerana kesukaran untuk memasukkan pelbagai barangan kedalam beg masing-masing yang kelihatannya hanya satu beg setiap seorang.

Pertama kali saya menggunakan green bag (baca tote bag), terasa juga ada sedikit gangguan dalam acara membeli-belah. Saya terpaksa memilih barang yang benar-benar diperlukan supaya semua barangan dapat dimasukkan ke dalam beg yang satu ini. Barulah saya terfikir bahawa kita sepatutnya membawa lebih dari satu beg jika mahu membeli-belah pada hari Sabtu.

Namun, jika kita masih terasa ada kekangan untuk menggunakan green bag pada hari Sabtu, maka cubalah belajar untuk menggantikannya dengan beg kertas sahaja. Selain itu diri sendiri juga harus terus belajar meminimumkan penggunaan beg plastik pada setiap kali sesi membeli-belah pada hari-hari yang lain. InsyaAllah, alah bisa tegal biasa!

Gagal

Kempen ini hanya akan gagal apabila kita selalu saja memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah kepada pelaksanaan yang sebenarnya amat mudah. Semuanya bergantung kepada SAYA dan SAHABAT SEMUA! Kesedaran adalah dari kita sendiri. Kita perlu belajar untuk memulakan langkah pertama, dan insyaAllah akan menjadi mudah sahaja pada langkah yang seterusnya.

Jika sudah berkeluarga, ini adalah contoh terbaik buat anak-anak, seterusnya kepada anak-anak kecil lain yang memandang. Peranan kita yang kecil ini mampu memberi impak yang besar untuk menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli masyarakat lain. InsyaAllah mereka akan turut serta dalam kempen yang sungguh berfaedah ini.

Kempen yang sangat bagus ini, akan berjaya sekiranya SAYA dan SAHABAT SEMUA mengambil tanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing secara ikhlas, tanpa ada sebarang alasanpun untuk menidakkannya. Maka, bertekadlah untuk bersama-sama mengurangkan penggunaan beg plastik demi kesejahteraan bumi kita yang satu ini.

Jika berani bertindak, sepatutnya amalan ini dijadikan sebagai tabiat harian, bukannya untuk Sabtu sahaja!

1.40pm