• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    June 2011
    S M T W T F S
    « May   Jul »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  

Bumi Allah

Salam Ukhuwah…

Hampir dua bulan sudah novel Bumi Cinta berada di tangan saya, namun tidak juga berkesempatan menelaahnya, walaupun sangat berminat dengan karya-karya terbaik hasil minda novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy.

Saya mula membacanya berdikit-dikit kerana kesesakan luang waktu, tapi itu bukan caranya apabila mula membaca karya terbaik. Akhirnya saya membawanya terbang bersama perjalanan saya ke bumi Allah, Bangkok.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Narathiwat ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit sungguh benar-benar terisi dengan karya yang mengagumkan ini. Seterusnya karya ini terus menemani hari-hari saya di hotel yang ditinggalkan suami kerana menyelesaikan urusan kerjanya.

Akhirnya saya mampu menamatkan Bumi Cinta walau agak terlambat! Walaupun berada di bumi Bangkok, novel ini telah membawa saya jauh terbang ke bumi Moscow. Dua tempat di bumi Allah dihuni oleh minoriti Muslimin, namun Alhamdulillah tetap ada Muslim yang masih lagi basah dan mesra dengan rasa iman dan tauhid kepadaNya.

Antara bumi Bangkok dengan Moscow tidak jauh beza walaupun jaraknya beribu batu, persamaannya ada pada keseronokan dunia dan gersangnya iman. Namun Bumi Cinta ternyata membawa sesuatu yang luar biasa dan berbeza berbanding latar belakang tempatnya, semuanya tentang betapa indahnya Islam.

Karya yang ditulis dengan kekuatan ilmu Islam, dilazatkan lagi dengan pengalaman yang bukan calang, cukup mampu memberi kesan yang mendalam kepada para penelaahnya. Tidak mampu dibanding dengan nilaian bukunya yang hanya puluhan ringgit, namun nilai ilmiahnya cukup  tinggi walau disebut sebagai novel sahaja.

Novel yang bukan sekadar bacaan ringan memenuhi masa luang, tetapi cukup memukau bilamana mampu membawa kita ke bumi Moscow secara maya. Terasa akrab dengan letakan pelbagai bangunan bersejarahnya, belajar memahami budaya masyarakatnya yang sangat jauh beza dengan masyarakat Melayu, dan cuba membayangkan bidadari Rusia yang katanya sangat tidak tertanding.

Ilmu

Semuanya sungguh tertarik. Bukan sekadar tarikan yang ada pada Moscow, tetapi sebenarnya karya ini sangat dekat di jiwa apabila diabadikan bersama ayat-ayat suci al-Quran. Sehinggakan terasa benar betapa masih nipis dan kurangya ilmu di dada, apabila penerangan demi penerangan tentang keindahan Islam benar-benar mampu dijiwai dan dijadikan pedoman hidup pada masa hadapan.

Sememangnya Bumi Cinta merupakan sebuah novel pembangun jiwa dan penuh motivasi kepada setiap pembacanya. Kepada sahabat yang belum lagi menelaahnya, saya jamin sangat berbaloi jika memanfaatkannya. Ia bukanlah novel yang memberatkan perasaan, tetapi sungguh berilmu dalam bersantai. Juga mampu menginsafi diri tentang kerdilnya kita sebagai hamba Allah yang sentiasa diburu nafsu duniawi. Namun jika dihidayahkan Allah, sejahat manapun manusia akan mampu kembali ke fitrahnya yang suci.

Hanya sedikit saya terkilan apabila terdapat banyak kesalahan ejaan yang boleh mengganggu kelancaran bacaan. Namun tidaklah merencatkan kehebatan plot ceritanya yang mendebarkan.

Akhirnya, pesan saya; jangan lupa sediakan tisu ya…!

10.28pm

Advertisements

Selamat Hari Bapa

Salam Ukhuwah…

Sedikit kesempatan dalam kesempitan masa untuk mengupdate blog, saya terpanggil untuk mencoretkan sesuatu sebagai suatu tanda ingatan dan penghargaan kepada semua kaum lelaki yang bergelar bapa. Tentunya teristimewa buat suami, merangkap ayah kepada anak-anak saya, dan ayahanda tercinta, yang telah banyak berkorban demi keluarga bahagia kami.

Betapa Islam telah memberi status istimewa kepada kaum lelaki didalam sesebuah rumahtangga, apabila merekalah yang dilantik sebagai ketua keluarga. Hadirnya seorang suami, merangkap ayah akan menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anak, seterusnya  mengemudi rumahtangga sehingga mampu melahirkan sebuah keluarga yang bermoral.

Namun, status istimewa ini hanya mampu dicapai oleh seorang suami/ ayah yang tahu betapa pentingnya pembangunan terbaik dalam institusi kekeluargaan. Mereka perlu ikhlas, tegas dan berilmu agama serta sentiasa berusaha dalam mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah keluarga.

Ketua keluarga yang berkualiti akan mampu mewujudkan ahli keluarga yang setiap seorangnya mempunyai nilai kemanusiaan yang baik. Akan lahirlah anak-anak yang berakhlak sempurna dan bertanggungjawab dalam kehidupannya.

Doa

Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih mempunyai seorang ayah, ketua kepada kami sekeluarga. Walaupun telah berumur, tetapi masih lagi gagah dalam mengharungi sebuah kehidupan dengan semangatnya yang sentiasa kental sebagai seorang pejuang Islam tulen! Masih sihat untuk ke mana-mana sahaja demi menyebarkan kehebatan Islam tidak kira kepada sesiapapun jua.

Itu luarannya, dalamannya sangat halus budi pekertinya, tidak bisa untuk saya sendiri mencari tandingannya!

Hanya pinta saya, bukan meminta kepada ayahanda saya yang tercinta – kerana sudah banyak pengorbanannya dalam membina keluarga bahagia kami – tetapi saya ingin memohon kepada kalian sahabat semua, jika tiada keberatannya, hulurkanlah doa yang ikhlas semoga ayahanda sentiasa beroleh kekuatan menyebarkan keluasan keadilan Islam dalam keadaan mana sekalipun. Terima kasih!

Salah satu kenangan bersama ayahanda adalah semasa persiapan majlis perkahwinan saya 12 tahun yang lalu. Saya yang sangat sukakan warna biru memang teringin benar memakai persalinan biru semasa hari bahagia. Namun keinginan saya ‘tidak diluluskan’ ayahanda! Semata-mata kerana biru itu UBN agaknya! Maka saya langsung tidak membantah lalu memilih tema lain untuk menyerikan majlis pada ketika itu.

Hikmah

Apa yang boleh saya katakan, sebenarnya kita sebagai seorang anak tidak perlu merasa terkilan dengan sebarang tindakan yang dilakukan oleh kedua ibubapa pada satu-satu masa. Terima saja keinginan mereka pada waktu itu dengan lapang dada. Jika masih ada yang terbuku, hanya doa penyambung bicara semoga suatu masa nanti kita beroleh hikmah yang lebih baik dari hari ini.

Hayat mereka, mahupun kita sendiri, hanya singkat di dunia ini. Sebaiknya dengan ruang waktu yang masih dimiliki hari ini, kita bersama mengambil peluang terbuka luas untuk menabur bakti kepada mereka seikhlas mungkin. Berbuat baiklah kepada orang tua, kerana merekalah orangnya yang paling banyak melakukan pengorbanan dalam membesar dan mendidik kita selama ini.

Paling penting adalah bersikap lemah-lembut apabila berbicara dengan ibubapa kita, tahu berbudi dan berbahasa. Banyak perkara mudah yang boleh dilakukan untuk membahagiakan jiwa mereka, mungkin sesekali boleh saja kita berbelanja untuk ibubapa lebih-lebih lagi apabila mereka berkeinginankan kepada sesuatu.

Tidak semua daripada kita berpeluang untuk menjaga dan mengurus sendiri ibubapa dihari tua mereka – samada kerana kita sibuk dengan urusan duniawi, mahupun kerana tiada ‘kepakaran’ dalam mengurus orang tua, namun sesekali jangan berlepas tangan. Pastikan kita turut serta dalam menjaga kebajikan mereka keseluruhannya dalam apa jua cara sekalipun, mudah-mudahan perasaan mereka terjaga dan akan cuba memahami mengapa kita tidak mampu sentiasa berada di sisi mereka berpanjangan.

Kepada sahabat yang tiada punya ayah lagi di dunia ini, sentiasalah hulurkan doa buat mereka, semoga sejahteralah kehidupan di dunia sana hendaknya. Seorang anak yang baik akan memastikan sekurang-kurangnya mereka mendoakan kesejahteraan ibubapanya lima kali sehari, usai setiap solat. Sama-samalah kita amalkannya.

6.34pm

Bertindik

Salam Ukhuwah…

Ruang masa pada cuti sekolah ketika ini, sempat juga saya mengambil peluang untuk menindik telinga anakanda. Kali ini giliran anakanda perempuan yang kedua pula, selepas anakanda perempuan sulong sudah selesai bertindik beberapa tahun yang lalu. Biasalah ibu-ibu ni kan, nak juga tengok anak-anak perempuan mereka cantik bergaya dengan subang yang pelbagai pilihan di pasaran.

Biasanya saya menindik telinga anakanda diusia empat tahun. Kenapa diusia empat tahun? Tiada yang istimewanya, melainkan saya juga bertindik telinga diusia itu. Lagipun saya sendiri merasakan usia tersebut paling sesuai untuk bertindik, orangnya tidaklah terlalu kecil mahupun besar, boleh memahami setiap perlakuan ke atas mereka dan insyaAllah tahu untuk ‘menguruskan’ sedikit kesakitan yang dikenakan – pastinya mereka sudah ‘malu’ untuk menangis keterlaluan – kalau tak…maknya juga yang malukan…!

Sebenarnya, anakanda yang inipun sudah pernah bertindik setahun yang lalu – ketika umurnya empat tahun – tetapi nampaknya lubang tindik kembali tertutup selepas sehari tidak memakai subang. Alahai…kesian dia…sekali lagi nak kena ‘tembak’, sekali lagi nak kena rasa terkejut dan sekali lagi nampaknya nak kena menahan sakit!

Masa saya dulu-dulu mana nak ada adegan ‘tembak-tembak’ ni kan…main cucuk dengan batang kemuncup saja. Dulu saya tindik telinga dengan emak saudara (kakak ayahanda saya). Arwah mulakan dengan bacaan basmalah, selawat dan doa serta disapu dengan minyak ubat, tup! Dah berlubang cuping telinga saya…

Generasi hari ini tahu ke nak letak batang kemuncup yang lembut tu dalam lubang tindik? Tentunya tak sempat merasakan? Itu belum lagi adegan pakai kancing dawai sebagai subang sementara sebelum digantikan dengan subang yang sebenarnya – biasanya subang emas.

Berubah

Nampaknya zaman sudah banyak berubah, mahu bertindikpun harus ke kedai aksesori – rasanya sudah tiada lagi yang lakukannya di rumah.

Petugas akan mulakan dengan proses menanda cuping telinga yang mahu ditindik supaya tidak senget, disusuli dengan semburan ubat kebas supaya kuranglah sakitnya apabila ditindik nanti.

Kalau dulu hanya seorang petugas yang menindik sebelah demi sebelah, tetapi nampaknya sekarang ini mereka lakukan berdua supaya tindikan boleh dilakukan serentak pada kedua-dua belah cuping – terkejut dan sakit hanya sekali! Elok sangatlah tu.

Alhamdulillah, segalanya telah selamat selepas beberapa saat sahaja. Kelihatan anakanda sedikit terkejut dan menahan sedikit kesakitan, tetapi masih ada sabarnya untuk tidak menangis. Kalau sewaktu ketika dahulu saya memujuknya dengan aiskrim selepas usai bertindik, tetapi kali ini sempat membawanya ke majlis kesyukuran seorang sahabat selepas itu – dapatlah juga telur pengantin dan gulu-gula sebagai hadiahnya…ok jugakkan…?

Biasanya selepas tiga hingga lima hari, insyaAllah kawasan tindik telinga akan sembuh sepenuhnya. Saya tiada pantang larang makan untuk anakanda, hanya sekadar menyapu minyak Gamat di bahagian belakang dan hadapan kawasan tindik tersebut setiap kali selepas mandi, selama tiga hari berturut-turut.

Ada juga risiko kecil yang mungkin berlaku apabila kita menindik telinga. Lebih-lebih lagi kepada kulit yang sensitif. Mungkin akan terjadi sedikit infeksi sekitar tempat bertindik untuk beberapa hari berikutnya. Tetapi tidaklah berbahaya, hanya sapu ubat sahaja sehingga benar-benar sembuh dan bolehlah ibu tersenyum panjang melihat anak-anak yang mula cantik bergaya…

9.27pm

Buku

Salam Ukhuwah…

Memiliki buku baru tentunya menjadi satu kepuasan tersendiri kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat membaca. Tentunya minat yang satu ini merupakan satu amalan yang sangat positif. Tidak kiralah genre bacaan mana sekalipun, sedikit mahupun banyak, tentunya buku-buku ini pastinya menjadi kesayangan kita semua. Apa yang pasti, secara tidak langsung akan wujudlah tempat simpanan tersendiri untuk koleksi ini.

Apapun cara bagaimana kita menyimpan dan menyusun koleksi buku-buku ini, saya percaya bahawa ruang yang telah disediakan itu akan makin berkurangan saban waktu. Inilah masalah saya! Koleksi buku yang telahpun disediakan tempat, nampaknya makin menyemakkan mata yang memandang.

Ruang untuk buku saya masih kekal di tempat asal dan seluas itulah, tetapi buku yang kian menambah saban waktu mampu menambahkan lagi kesesakan pada ruang sediada. Jika dibanding antara saya dengan suami, nampaknya encik suami lebih banyak membeli buku. Seronok menambah pengetahuan, tetapi sentiasa buat-buat lupa berfikir di mana lokasi seterusnya untuk menempatkan koleksi yang kian bertambah ini.

Berhenti membeli buku? Itu bukan jawapannya. Amatlah salah sekiranya kita asyik memikirkan tempat penyimpanan koleksi buku, sehingga mampu membantutkan minat membaca yang sangat baik ini. Selalunya beli dulu, baca, kemudian baru fikir di mana berakhirnya nasib buku tersebut.

Itupun saya sudah mengurangkan pembelian majalah, hanya membeli merujuk kepada tajuk utama yang mahu difokuskan. Kalaulah saya teruskan minat membeli kerana berkenan kepada sesuatu majalah, terutamanya Anjung Seri, alamatnya menimbunlah rak buku saya. Langkah bijak, membeli hanya apabila diperlukan sahaja!

Selepas lima tahun, buat operasi besar-besaran pada rak buku, kemudian pilih yang mana boleh dihadiahkan kepada sesiapa berminat untuk memilikinya. Elakkan dari menjadi sampah!

Masalah?

Sebenarnya, sebanyak manapun koleksi buku yang dimiliki, ia tidak akan memberi masalah kepada ruang dalaman rumah kita seandainya tahu menyimpannya secara elok. Rumah tidak akan terasa sesak jika ada tempat khusus yang disediakan untuk koleksi ini.

Mungkin ada sahabat yang telah menyediakan bilik bacaan khusus di dalam rumah masing-masing, mahupun rak yang disediakan khas untuk buku, atau sekadar menyusun buku di mana-mana ruang kosong sahaja untuk sesedap mata memandang.

Jadi, sekarang ini saya hanya menyimpan dan menyusun buku bukan lagi untuk memudahkan pencarian, tetapi sekadar menjaga pandangan mata supaya tidak kelihatan bersepah. Disiplin yang satu ini memang nak kena jaga, jangan sehingga ruang menjadi semak dan bersepah akibat daripada penyakit MALAS. Kalau penyakit MALAS sudah datang, akibatnya lagi besar ruang yang diperlukan.

Tidak dinafikan bahawa tugasan mengurus dan membersih rumah seringkalinya membebankan, namun itulah cabarannya dalam memastikan kita benar-benar memberikan ruang kepada sesuatu yang sepatutnya sahaja. Jika mahu memberikan ruang untuk buku sahaja, jangan pula terlajak memberi ruang tidak sepatutnya kepada barangan lain, yang adakalanya sudah boleh dikategorikan sebagai sampah!

Sekarang ini saya hanya menyusun buku merujuk kepada saiznya. Jika mendatar, yang bersaiz besarlah berada di bawah, mahupun menegak, saiz besarlah berada di belakang. Hanya mampu mewujudkan keseragaman pandangan sahaja, tidak lebih dari itu.

Nasib baiknya, tempat penyimpanan buku saya berpintu, maka dapatlah menutup pandangan umum selain dari melindungi buku dari berhabuk. Kalau terbuka…errkkk…tentunya sudah tidak cantik untuk dipandang!

10.08am

Penampilan Diri

Salam Ukhuwah…

Sebagaimana kita melihat remaja pada hari ini terutamanya di peringkat menengah, begitulah saya suatu ketika dahulu, sibuk belajar bagaimana cara mahu menjaga penampilan diri, terutamanya perihal kecantikan wajah – yang mula dimasalahi dengan kulit berminyak, langsung dilawati jerawat. Tidak kiralah jerawat nasi mahupun batu, sungguhlah ia merimaskan emosi.

Maka bermulalah episod saya mencuba produk kecantikan, tetapi tidaklah sehingga belajar untuk bermekap. Sekadar untuk menghilangkan masalah pada wajah. Kesimpulannya, nak juga merasa cantik!

Itu satu bab, belum lagi keinginan untuk berjalan persis model, catwalk lah kononnya…sehingga saya mula belajar berjalan dengan menjunjung buku! Ada sahabat yang pernah buat? Rasa terrorlah sangat kalau mampu berjalan dari A hingga ke hujung B tanpa menjatuhkan buku di atas kepala. Susah tau! Tulang belakang nak kena tegak, mata pula harus tepat pandang ke hadapan dan langkah kaki harus tersusun cantik pada satu garisan sahaja.

Semuanya gara-gara nak cantik! Bukan mak ayah yang ajar, tapi berjangkit dengan kawan-kawan sebaya yang semuanya nak jadi cantik. Termasuklah cara berpakaian juga, rasa mahu mencuba pelbagai fesyen terkini. Namun yang ini ada batasnya apabila masih dalam kefahaman kewajipan menutup aurat sepenuhnya. Jadi, saya belajar cara untuk menyuaipadankan warna baju dan tudung, sehinggalah pemilihan kasut!

Itu muqaddimahnya – tentang penampilan diri. Tetapi bukan itu yang mahu saya bualkan. Bukan sekadar cantik – lebih jauh dari itu, yang sebenarnya adalah sihat tubuh badan.

Cantik vs Sihat

Mana yang lebih penting? Cantik atau sihat?

Mudahnya, kita perlu sihat untuk kelihatan cantik. Betulkan?

Maka, bermulalah episod seterusnya dalam kehidupan saya untuk menjaga kesihatan sepenuhnya apabila mula bermastautin di Skudai, Johor. Saya mula sedar untuk menjaga kesihatan diri apabila mula berjauhan daripada keluarga. Saya belajar untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, baik dari segi pola pemakanan dan cuba untuk bersenam.

Minggu ini juga, saya berkesempatan menghadiri majlis kesyukuran seorang sahabat yang membuka Farmasi. Lebih mengujakan apabila disediakan tempat untuk membuat pemeriksaan kesihatan diri secara menyeluruh dengan percuma. Saya mula memeriksa kandungan gula dalam darah, mengambil tekanan darah, mengukur tahap kolestrol dalam badan, dan membuat ujian BMI. Alhamdulillah, segalanya masih terkawal.

Pada usia 30-an kini, saya masih cuba untuk tetap menjaga pemakanan dan adakalanya bersenam walaupun sangatlah tidak berutin tetap. Nasib baiknya, saya bukanlah pencinta makanan. Selalunya makan untuk mengalas perut dan tidak pernah berkira pun perihal sedap mahupun tidak. Saya boleh makan apa saja dan suka mencuba sesuatu yang baru, tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja.

Adakalanya boleh makan berulangkali pada selang waktu yang singkat tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja pada setiap kalinya. Selain daripada halal, selalunya saya memilih masakan yang kurang berlemak, kurang berminyak, kurang garam, kurang gula, kurang segalanya…janji ia makanan yang boleh membantu menyihatkan badan.

Bukan bermakna saya menolak terus kerepek yang mendorong kearah kegemukan, seafood yang gah dengan kolestrol dan makanan segera yang menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang agak tinggi, ada juga mengambilnya tetapi sangat jarang. Biasa sangat kita mengambil makanan sebegini ketika makan di luar dan bersantai bersama keluarga.

Saya juga sangat jarang mengambil minuman berkarbonat – yang sebenarnya berkafein juga (Coca-cola/ Pepsi). Langsung mendidik anak-anak untuk tidak membelinya. Jika ada juga yang ‘tersesat’ masuk ke rumah, saya pastikan mereka menambah air masak ke dalam minuman tersebut sebelum meminumnya, untuk mengurangkan rasa manis yang teramat.

Buat anak-anak, saya galakkan mereka bersarapan dengan Koko Krunch dan susu rendah lemak. Dengan harapan mereka memiliki tubuh badan yang sihat dan bertenaga untuk memulakan kehidupan harian.

Usaha  

Ini semua adalah usaha yang saya lakukan untuk menjaga kesihatan, baik untuk diri sendiri mahupun keluarga. Seboleh mungkin saya mahu jauhkan sebarang penyakit dari menyentuh diri, sekurang-kurangnya pada usia yang masih boleh dikatakan ‘muda’. Biarlah usaha ini dilihat kecil dan sedikit, mudah-mudahan saya mampu lakukannya secara istiqamah.

Tetapi saya sangat sukakan coklat! Perempuan macam ni la kot…jarang nak jumpa lelaki yang suka coklat kan…? Lelaki suka bola! Tetapi bukan semua coklat boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan, bahkan ada sejenis asid dalam coklat yang boleh berperanan merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Hanya coklat yang berkafein (Cadbury) sahaja kurang digalakkan. Namun masih ada kemaafan apabila faktanya adalah; kafein yang wujud di dalam coklat adalah tidaklah berbahaya. Jadi apalagi? Makan je lah…

Walau bagaimanapun, sejauh mana kita berinisiatif untuk menjaga kesihatan diri, samada menjaga pola pemakanan mahupun aktif bersenam, ia tetap juga perlu disokong dengan gaya hidup yang sihat. Terutamanya, JANGAN MEROKOK!

Sudah terbiasa dengan amalan merokok, dan sudah kalih telinga mendengar ‘jangan merokok’, inilah yang menimpa kepada emosi perokok tegar. Mereka sudah mencapai kepada suatu tahap ketagihan yang kompleks. Kenapa? Kerana ia berpunca dari tiga perkara utama: pengaruh dadah nikotin dalam tembakau, tabiat yang tidak mahu diubah dan psikologi yang mengatakan bahawa merokok mampu menghilangkan tekanan.

Sebenarnya tiada alasan untuk berkata tidak kepada rokok, kerana kini sudah wujud pelbagai jenis rawatan yang disediakan untuk mengatasi masalah ketagihan tembakau. Paling penting, kemahuan untuk berubah! Bersedia untuk melakukan penghijrahan diri kepada yang lebih baik. InsyaAllah niat yang baik akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih memahami kenapa proses perubahan ini sangat perlu dilakukan.

Tiada guna duit yang tidak terhitung banyaknya, kerja yang terbaik, kereta yang berprestasi tinggi, dan rumah yang sangat moden, serta kawan-kawan yang bersemangat, tetapi diri sendiri terabai – tiada ketenangan jiwa dek kesihatan yang tidak memuaskan.

Pinjaman

Maka, sayangilah tubuh badan kita yang hanya pinjaman daripada Allah s.w.t. semata-mata. Organ dalaman adalah sangat penting untuk kesinambungan nyawa penyambung hayat. Bersama tanamkan kesedaran untuk sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, walaupun kita merasa bahawa diri ini sedang sihat walafiat. Sementara kita masih sihat hari ini, buatlah pilihan yang terbaik buat diri sendiri, semoga kebajikan diri dapat dioptimumkan pada tahap yang sewajarnya.

Seterusnya, jangan sesekali abaikan komponen yang paling penting dalam kehidupan, manfaatkanlah ayat-ayat suci al-Quran dan sertailah dengan doa yang berpanjangan semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik sepanjang umur ini. InsyaAllah!

10.30am

Rombongan

Salam Ukhuwah…

Membuka tirai cuti persekolahan kali ini, saya menyertai rombongan keluarga suami ke majlis perkahwinan anak saudara, Ariff, bersama isterinya, Azian, di Bandar Pusat Jengka, Pahang.

Kami yang berada di Kelantan sepakat untuk berkumpul di Kuala Lumpur (KL) terlebih dahulu, menyertai adik-beradik lain yang sememangnya tinggal di KL.

Rombongan kami seramai lebih kurang 30 orang sahaja mula bertolak dari KL ke Jengka pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, kami telah sampai tepat pada waktu yang telah dijanjikan, namun nampaknya terpaksa menunggu lebih kurang satu jam kerana persiapan di pihak pengantin perempuan yang belum selesai…

Walau bagaimanapun, majlis tetap berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran ramai jemputan. Sebelum pulang, kami beramai-ramai mengambil kesempatan bergambar di pelamin pengantin di dalam rumah. Merasa jugaklah berada di atas pelamin, masa saya kahwin dulu mana nak ada pelamin-pelamin kan…duduk saja di dalam bilik, bersimpuh atas permaidani tepi katil saja. Itulah secebis kenangan!

Kami beransur pulang lebih kurang jam 2.30 petang. Saya dan keluarga pula tidak terus pulang ke Kelantan, tetapi menuju ke Kuantan terlebih dahulu untuk menyambung percutian keluarga. Sementelah sekarang ini cuti sekolah, maka saya mengambil kesempatan membawa anak-anak, yang turut disertai ibu mertua dan keluarga kakak ipar bersantai di sekitar Pantai Balok.

3.08pm