• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    July 2011
    S M T W T F S
    « Jun   Aug »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  

Sedang dinanti kehadirannya

Salam Ukhuwah…

Rejab sudah lama berlalu, Syaaban meniti ke pengakhiran, Ramadhan sedang dinanti kehadirannya – satu bulan yang merupakan anugerah terbesar daripada Allah s.w.t. buat semua hambaNya.

Jika Rejab dan Syaaban adalah bulan latihan mendidik diri, maka Ramadhan adalah waktunya untuk kita semua menjadi yang terbaik. Tanyalah kepada mereka yang cintakan ibadat, yakinlah bahawa Ramadhan ini merupakan satu bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Bulan yang berlipat ganda pahalanya bilamana setiap apa saja yang kita lakukan, akan mendapat balasan berganda.

Sewajarnya sebelum pintu Ramadhan dibuka luas – dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan durjana – marilah kita sama-sama berperanan untuk menggilapkan kembali warna hati yang mungkin sudah kelam dibelenggu dosa-dosa yang berpanjangan sepanjang setahun berlalu.

Ramadhan membuka luas peluang untuk kita semua menundukkan nafsu yang selama ini bertemankan syaitan. Inilah ketikanya kita perlu meninggalkan pelbagai peringkat maksiat dalam kehidupan. Bukan melihat kepada maksiat yang berdosa besar sahaja, tetapi yang kecil-kecilan juga harus kita usir jauh dari menguasai diri sepanjang Ramadhan ini.

Menjadi hamba yang terbaik adalah kewajipan bagi setiap Muslim, lebih-lebih lagi ketika kita berpuasa di bulan Ramadhan yang sangat mulia ini. Semoga puasa yang kita jalani sepanjang Ramadhan kali ini mampu menjadi perisai yang utuh dalam menegah diri dari melakukan perbuatan yang sia-sia.

Nafsu

Namun, mungkin juga nafsu kita akan menjadi makin berganda-ganda walaupun kala ini tiada lagi syaitan-syaitan yang mampu menjinakkan hati. Dimana silapnya? Kita sendiri! Yang ‘tidak sempat’ mendidik nafsu untuk menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh kemuliaan.

Ramadhan bukan sekadar melaksanakan ibadah puasa, bukan hanya berlapar dahaga sahaja, tetapi lebih bermakna dari itu. Ramadhan mengajar kita membina kekuatan diri dari dalam, dengan menundukkan nafsu sendiri, lantas mudah-mudahan mampu diperlihatkan peribadi yang lebih elok dibandingkan sebelumnya.

Ramadhan juga adalah waktunya untuk kita belajar mengawal nafsu makan. Belajar untuk menggunakan akal ketika bersahur dan berbuka puasa. Jangan menyalahi fitrah berpuasa yang sebenarnya bertindak untuk membawa keberkatan dalam kehidupan, bukannya menjurus kearah pembaziran berleluasa.

Bersederhana ketika makan insyaAllah mampu mendidik kita mensyukuri segala kurniaan pada hari tersebut, memberi ketenangan ketika menjamah rezeki, seterusnya memberi kekhusyukan dalam menjalani ibadat lain sepanjang Ramadhan ini. Makan secara berlebihan hanya akan mengakibatkan rasa kenyang yang keterlaluan, kesannya kita akan rasa malas dan lalai dalam melaksanakan ibadat sampingan.

Jika Ramadhan tidak mampu mengubah diri kita kearah yang lebih baik, maka bukan lagi syaitan yang galak menggoda, tetapi nafsu sendiri yang sedang bermaharajalela bertapak di hati. Sebelum hadirnya Ramadhan kali ini, marilah kita bermuhasabah diri mudah-mudahan akan bertambahlah nilai keimanannya dan sempurnalah perlaksanaannya. InsyaAllah!

8.01am

Advertisements

Raya

Salam Ukhuwah…

Kali ni nak cerita perihal persiapan raya.

Eh…!

Ya, Alhamdulillah, saya sendiri sudah hampir membereskan semua perkara tentang raya. Dari baju raya saya, anak-anak dan suami semuanya sudah siap ditempah…dan telahpun dibawa balik ke rumah, digosok dan digantung di dalam almari! For Display Only!

Untuk pakaian casual pula, seperti biasa saya akan membeli baju anak-anak sepanjang tahun secara berdikit-dikit ketika mana-mana sale berlangsung. Beli dengan saiz yang agak padan untuk dipakai ketika raya nanti, balik rumah simpan! Itu yang saya selalu praktiskan semenjak lima tahun kebelakangan ini. Anak sudah ramai…mana nak sempat beli sekaligus. Praktikalnya membeli sebegini; saya tidak kelam kabut memilih dan boleh bersantai ketika membuat pilihan tanpa gangguan orang yang terlalu sesak.

Tetapi praktis sebegini hanya sesuai untuk orang-orang yang tidak cerewet dalam menentukan pakaian anak-anak – seperti saya! Tidak pernah memikirkan tentang perkataan up to date dalam ‘menjenamakan’ anak-anak, terjumpa yang berkenan di hati dengan harga mampu bayar, itulah yang akan menjadi milik anak-anak. Cukup tiga pasang setiap seorang, selesailah tanggungjawab  saya untuk mengembirakan anak-anak di hari raya nanti.

Semua pakaian anak-anak, saya beli dengan harga yang berdiskaun. Dari diskaun serendah 30% sehinggalah 70%. Jimat dan sangat berhemah dalam berbelanja. Tidak pernah saya mengambil ‘New Arrival’, sekadar mencuci mata sahaja.

Bagi saya, biarlah segalanya dalam keadaan bersederhana sahaja. Tidak perlu berlebih-lebihan sehingga sanggup berhabisan kerana menyambut Hari Raya. Tidak kiralah kita pada status yang mana sekalipun, persiapan hari raya seharusnya dalam keadaan terkawal perbelanjaannya. Jangan sehingga kita terpaksa membuat hutang kerana mahu berbelanja sakan. Itu semua sangat tidak perlu. Jika kita mahu berbelanja lebih, perlulah belajar untuk menabung sebelum waktunya.

Terakhir

Minggu terakhir sebelum Ramadhan menjelma tinggal beberapa hari saja lagi ni, kerja-kerja pembersihan rumah juga makin giat dijalankan. Terpaksalah saya buat-buat rajin, nasib baik ada bibik yang sangat-sangat rajin. Banyak barang-barang yang tidak digunapakai di atas rumah sudah dimasukkan ke dalam stor luar rumah. Mana-mana yang masih lagi nampak menarik tetapi sudah tidak mahu digunakan, saya beri kepada jiran yang memerlukan.

Ramadhan nanti hanya mahu berehat saja, sekadar buat rutin harian. Berniat mahu menumpukan diri kepada ibadah yang pahalanya sangat berlipat kali ganda. Rugi kalau tidak mampu merebut peluang terbuka yang datang hanya setahun sekali sahaja.

Sekarang ini hanya menunggu sampul duit raya sahaja. Anak saudara kiri kanan sudah makin bertambah, maka bertambah jugalah bajet duit raya. Tidak mengapalah, dengan memberi insyaAllah mampu membersihkan harta yang kita kumpul selama ini. Syukur Alhamdulillah diatas segala kurniaan yang Allah rezekikan kepada kami sekeluarga selama ini.

6.45pm

Nama Yang Satu Ini

Salam Ukhuwah…

Walaupun seminggu telah berlalu, saya tetap juga mahu mengambil kesempatan untuk mengenangkan seseorang yang istimewa dimedan perjuangan PAS – medan juang ISLAM – walaupun tidaklah saya mengenalinya secara rapat.

Beliau yang saya maksudkan adalah Dr Lo’ Lo’ binti Ghazali. Satu nama yang kukuh dalam kepimpinan PAS, merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa – muslimat pertama daripada PAS yang memenangi kerusi dalam Wilayah Persekutuan dengan majoriti yang agak besar.

Sekitar Jun yang lalu, pulangnya suami dari Muktamar tahunan PAS, saya membelek koleksi gambar-gambar semasa muktamar tersebut yang diambil suami. Antara wajah-wajah yang saya tidak kenali adalah seorang perempuan separuh umur berkerusi roda, mempunyai fizikal yang agak berisi, tersenyum mesra dalam keramaian hadirin, turut bersemangat hadir didalam himpunan tersebut. Saya bertanya kepada suami siapa gerangannya?

Jawapan “Dr Lo’ Lo’” yang diberikan suami amat mengejutkan saya. Ya, saya sepatutnya amat kenal dengan empunya nama yang satu ini. Dr Lo’ Lo’ yang saya kenali sebelum ini – bertubuh kecil sederhana dan sihat pergerakannya – tidak seperti apa yang dilihat ketika itu. Maka sedarlah saya bahawa saat itu beliau sedang bertarung antara melawan penyakit kanser, dengan semangat jitu untuk berjuang dalam gerak kerja PAS demi untuk ISLAM tercinta. Sungguhlah beliau seorang yang istiqamah didalam perjuangan.

Kenangan

Saya hanya punya sedikit kenangan bersama Dr Lo’Lo’. Sebagai seorang doktor perubatan suatu ketika dulu, saya juga pernah menjadi ‘pesakitnya’. Beliaulah orangnya yang pertama memberi berita gembira kepada kami suami isteri, apabila saya disahkan mengandung sulong pada tahun 2000. Itulah kali pertama saya bertemu mata dengan beliau. Khidmat terbaik sebagai seorang doktor sentiasa dilaksanakan secara terperinci setiap kali lawatan pemeriksaan kandungan saya. Saat kandungan saya mahu dilahirkan, beliau masih beria-ia mahu menyambut kelahiran itu walaupun sudah beberapa kali memberitahunya bahawa anak ini akan dilahirkan disisi nenda dan tokkunya.

Sehinggalah pada malam Ahad 16 Syaaban/ 17 Julai yang lalu, saya menerima sms mengkhabarkan pemergian beliau untuk selamanya. Terasa kehilangan dari kejauhan.

Akhirnya, buat saya dan kalian sahabat semua, bersama kita tanamkan azam untuk mewarisi kekuatan jiwa mujahidah yang seorang ini. Kita bersama teruskan agenda perjuangannya dalam menyebarluaskan pengaruh ISLAM di bumi Malaysia ini. InsyaAllah!

AL-FATIHAH!

7.15pm

Berpergian

Salam Ukhuwah…

Baru keluangan masa selepas berpergian lebih kurang dua minggu baru-baru ini.

Bermula 28/6 – 10/7/11, saya bersama suami menghadirkan diri dalam rombongan seramai 27 orang yang lain telah mengikuti lawatan kerja ayahanda ke Uzbekistan, dan diakhiri dengan menunaikan ibadat Umrah di Tanah Suci, Mekah.

Anak-anak semuanya saya amanahkan kepada bibik untuk dijaga sempurna, sambil berpesan-pesan kepada kejiranan untuk melihat-lihat juga situasi di rumah. Untuk urusan persekolahan anak-anak pula, saya memohon pertolongan dua orang sahabat menghantar dan mengambil mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang.

Al-maklum apabila berlama-lama berpergian, maka bil telefon pun mula melambung sementelah menghubungi anak-anak di rumah. Itupun saya hadkan kepada tiga hari sekali sahaja menghubungi mereka dan tidak berlama-lama di talian. Biasanya saya hanya membayar bil telefon RM100 sebulan, tetapi jika berpergian jauh tentunya boleh mencapai sehingga RM200. Lari bajet! Memujuk hati, tak pe lah…sekali-sekala saja…  

Perjalanan

Sepanjang perjalanan tempohari begitu banyak ilmu baru mampu saya kutip, selain dari mata terang memandang pelbagai anugerah alam yang sungguh menarik dan mengesahkan lagi kehebatan penciptaan bumi ini oleh Allah s.w.t.

Tidak mampu untuk saya tuliskan kesemua lukisan memori di dalam minda, sekadar bercerita ala kadar sahaja dan mungkin gambar-gambar sampingan boleh memanjangkan cerita perjalanan kali ini.

Menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan, sungguh menduga kesabaran. Urusan yang melibatkan pihak Imegresen dan Kastam sangat melecehkan. Pihak Kastam di sana memerlukan setiap orang mengisytiharkan wang tunai yang dibawa, walaupun anda sekadar membawa RM100 sahaja, mahupun mana-mana jumlah matawang lain sekalipun. Urusan dokumentasi paspot oleh pihak Imegresen juga terlalu lama (lembab) bagi setiap orang.

Beberapa luggage juga ditahan selepas discan – kerana bekalan ubatan perubatan yang dibawa. Diaorang ingat pil apalah agaknya. Terpaksalah beberapa ahli rombongan membuka beg diaorang yang besar-besar tu…

Samarkand

Selepas segala urusan berjaya diselesaikan, kami disediakan bas untuk langsung ke Samarkand melalui perjalanan selama enam jam. Alhamdulillah, menjelang malam kami selamat tiba di hotel yang saya kira bertaraf tiga bintang sahaja. Sangat sederhana, sehinggakan walaupun ada penyaman udara di setiap bilik, kami semua tetap merasa bahangnya. Bukan hanya di bilik, di lobi dan ruang makan pun tidak terasa kenyamanannya.

Keesokan hari, kami telah berpeluang mengikuti sesi lawatan yang agak padat di sana. Sangat banyak tempat menarik di Samarkand yang telah kami lawati, meliputi Gur-Emir Mausoleum, Tillya Kari Madrassahs, Masjid Bibi Khanum, dan beberapa tempat bersejarah yang lain. Paling bermakna dalam lawatan ini apabila kami diberi peluang untuk menziarahi Makam Imam Bukhari secara dekat.

Tashkent

Selepas berada dua hari dua malam di Samarkand, kami langsung meneruskan perjalanan kembali ke Tashkent melalui jalan udara. Lawatan seterusnya meliputi Khast Imam Complex, Imam al-Bukhari High Religious School, Museum of Islamic Manuscripts, dan banyak lagi tempat menarik yang lain.

Dua hari satu malam berada di sana, sesungguhnya kami semua telah mendapat begitu banyak pengetahuan, pengajaran dan pengalaman sangat tidak ternilai apabila mampu menyaksikan pelbagai bahan bersejarah kebangkitan Islam yang dipamerkan.

Menyentuh perihal makan minum, sepanjang berada di sini sangat sedikit kami mampu menjamah nasi putih. Apatah lagi mahu makan ayam masak merah ke, ikan sardin ke…mahupun sayur yang digoreng segar. Saya hanya mampu makan serba sedikit sahaja. Ada juga ahli rombongan yang langsung tidak menjamah makanan yang dihidangkan kerana langsung tidak bercitarasa melayu.

Perihal penduduk pula, ramai di kalangan mereka tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik, tetapi semuanya baik-baik orangnya dan tidak banyak karenah. Suatu ketika seorang ahli rombongan memerlukan teksi untuk pulang ke hotel bersendirian kerana urusan peribadi. Siap tersesat-sesat lagi kerana pemandu tidak faham arahan destinasi yang diberikan. Nasib baiklah terjumpa rakyat tempatan lain yang boleh memahami bahasa Inggeris. Alhamdulillah, akhirnya sampai ke hotel dengan selamat.

Selesai lawatan kami di Uzbekistan, kami terbang ke Dubai. Dua hari satu malam di sana, kami meneruskan perjalanan ke Madinah. Lawatan kami berakhir di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadat Umrah.

Alhamdulillah, segalanya telah disempurnakan dan kami selamat kembali ke Tanah Air. Allahuakbar!

11.28pm