• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2011
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

santai…

Salam Ukhuwah…

Atas permintaan seorang sahabat, Kak Rosnizah, saya panjangkan lagi edisi perjalanan ke Uzbekistan, dan gambar-gambar sekitar Umrah suatu ketika dulu.

***********************************************************************

ok, selamat meneruskan ibadah puasa untuk sesi 10 hari kedua Ramadhan.

6.38pm

Advertisements

Rahmat

Salam Ukhuwah…

Alhamdulillah, berlalu seminggu sudah episod kita melalui Ramadhan, masih berbaki tiga hari lagi untuk melalui tempoh 10 hari pertama di bulan yang sangat mulia ini. 10 hari pertama yang menjanjikan Rahmat daripada Allah s.w.t. buat semua hamba-hambaNya yang berpuasa. Dengan yang demikian, kita gerakkan lagi kesedaran yang telahpun dimiliki semoga tidak mensia-siakan peluang yang terbuka luas dan hadir sekali lagi dalam baki hayat yang masih ada.

Rahmat Allah s.w.t. juga hadir dalam silaturrahim. Lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini, Allah s.w.t. sangat mengalu-alukan kepada semua hamba-hambaNya untuk menyambungkan silaturrahim tidak kira dengan siapapun jua. Dengan janjiNya bahawa, akan ada rahmatNya buat kita yang bersilaturrahim, apabila tiba saat pertemuan denganNya kelak.

Bersama kita panjangkan silaturrahim sesama saudara semuslim, kita muliakan kedua ibubapa, menyayangi ahli keluarga, menghormati saudara-mara, berbuat baik kepada yang lebih muda, dan bertegur-sapa dengan jiran tetangga.  Mudah-mudahan nikmat berada pada Ramadhan kali ini akan lebih terasa.

Nikmat Ramadhan juga mampu tercipta apabila kita mengambil kesempatan untuk menjalani ibadah puasa bersama ahli keluarga terdekat, lebih-lebih lagi apabila berkesempatan berbuka puasa bersama. Biasanya apabila semua ahli keluarga berkumpul suasana akan bertukar menjadi hangat. Masing-masing ada gayanya yang tersendiri – yang dewasa tentunya sibuk memasak, menghidang, mengemas – si kecil pula dengan pelbagai karenah penyeri keletihan warga yang berpuasa. Sangat meriah!

Begitulah juga apabila keluarga besar saya mula berkumpul untuk berbuka puasa pada 3 Ramadhan yang lalu. Berbuka puasa bersama ahli keluarga lain yang pastinya insyaAllah akan menjadi acara mingguan bagi keluarga besar kami.

Kongsi

Untuk minggu pertama, saya sendiri membawa murtabak dan air kelapa untuk dikongsikan bersama. Begitulah juga adik-beradik yang lain, semuanya ada bahagian masing-masing untuk dikumpulkan bersama menjadi hidangan berbuka anggota kami yang seramai lebih kurang 40 orang. Menu utama pula adalah nasi kerabu kuning.

Apabila waktu berbuka hampir tiba, kami semua mengambil tempat masing-masing. Dewasa lelaki, dewasa perempuan, remaja lelaki, remaja perempuan, anak-anak kecil, dan bibik semua punya tempat dan sudutnya yang tersendiri. Namun keseronokan sedikit terganggu apabila ayahanda dan suami sendiri tiada dalam senarai, bilamana mereka punya program tersendiri. Inilah dia keluarga orang politik! Susah sangat untuk mencari satu tarikh yang betul-betul kami boleh duduk bersama semeja. Kalau orang ni ada orang tu pula yang tak de…

Apapun, berkumpul untuk berbuka puasa bukan sekadar menghadiri acara makan-makan. Lebih dari itu ianya mampu mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga. Setiap anggota keluarga dapat bertanya khabar, saling bertukar fikiran dan memanjangkan lagi persaudaraan antara generasi baru – anak masing-masing yang makin bertambah saban tahun. Pertemuan seperti ini akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan di antara kaum kerabat.

6.26pm

Manis

Salam Ukhuwah…

Bukan manis pada juadah berbuka mahupun bersahur, tetapi manis pada sebuah memori.

Alhamdulillah, malam 1 Ramadhan yang lalu menambahkan kemanisannya buat saya apabila anakanda kedua selamat menamatkan Iqra’nya. Melangkah setapak lagi, diusia lapan tahun dia mula membaca al-Quran yang saya mulakan dengan surah-surah Muqaddam, bermula dengan Juzu’ ke-30. Saya mahu dia mengaji surah-surah pendek terlebih dahulu, mudah-mudahan akan lebih mudah untuk dihafal dan dibaca di dalam solat nanti.

Pengalaman sebegini tentunya sangat bermakna bagi ibubapa, apatah lagi kepada saya yang bergelar surirumah. Apabila memutuskan untuk berhenti kerja suatu ketika dahulu, tentunya saya mahu lakukan yang terbaik buat anak-anak. Saya mahu dekat dengan mereka, walaupun seringkalinya menguji kesabaran dalam melayani karenah anak-anak ini. Namun ia lebih mematangkan kehidupan seseorang yang bergelar ibu.

Saya tahu usia lapan tahun agak lambat bagi sesetengah ibubapa, tetapi tetap juga mahu berbangga kerana ia lebih awal daripada si kakak sulong yang mula melangkah kepada al-Quran pada usia 10 tahun. Saya sendiri yang mengajar mereka seawal mengenal huruf alif, dengan sebutan ‘a’ dan selanjutnya sehinggalah tamat sirinya.

Selesai Iqra’ – mahupun menggunakan pelbagai kaedah lain – insyaAllah anak-anak telahpun dapat membaca al-Quran dengan agak baik dan lebih lancar. Mudah-mudahan semua anak-anak saya akan khatam al-Quran sebelum ke sekolah menengah nanti.

Saya sendiri tidak menggunakan pendekatan Iqra’ sahaja kepada semua anak, tetapi juga menggunakan kaedah Qiraati kepada anak-anak yang lain. Si sulong yang menggunapakai siri Qiraati kini sudah berada pada Juzu’ empat, dan bolehlah dikatakan saya sudah berpuas hati dengan kelancarannya.

Mengajar

Mengajar al-Quran juga janganlah sekadar membaca sahaja, tetapi perlu dipastikan sebutan dan tajwidnya yang betul. Saya sendiri memperuntukkan masa sekali sehari untuk mengajar anak-anak mengaji, iaitu selepas solat Maghrib. Jika hari cuti saya jadikannya dua kali sehari, selepas solat Subuh dan Maghrib.

Biasanya saya mengajar al-Quran kepada anak-anak dalam tempoh 15 hingga 30 minit setiap seorang, bergantung kepada kefasihan mereka. 15-30 minit membaca al-Quran pada setiap hari bukanlah lama. Lebih lama minitnya kalau kita menghadap tv mahupun melakukan aktiviti lain.

Pencapaian anak-anak adalah berbeza-beza, maka disinilah peranan ibubapa untuk lebih memahami bagaimana cara untuk memudahkan pembacaan mereka ke tahap yang lebih baik pada setiap masa.

Adalah lebih baik sekiranya diwaktu senggang lainpun, kita sentiasa menyebut-nyebut bunyi mahupun membaca pendek ayat-ayat al-Quran, supaya setiap masa anak-anak dapat mendengar petikan al-Quran ini.

Rutin ini perlulah berdisiplin dan istiqamah, tentunya ibubapa terlebih dahulu perlu menjaga disiplin ini. Jangan jadi chipsmore – sekejap ada, sekejap tak ada – kesian kepada anak-anak yang mula meneroka satu ilmu baru didalam kehidupan mereka. Maka, ibubapa perlu lakukannya secara berterusan, mudah-mudahan anak akan ringan tulang untuk berterusan mengaji apabila tiba masanya.

Belajar al-Quran perlulah ada disiplin yang tinggi, istiqamah pada ketetapan waktunya dan bersabar dalam pembelajarannya. Saya sendiri mengaku agak kurang sabar dalam mengajar anak-anak mengaji. Hanya doa menjadi penyambung urusan semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam mengajar anak-anak mengenali al-Quran dengan lebih sempurna.

Seawal Usia

Anak-anak sangat perlu diajar mengenal al-Quran seawal usia mereka, selewat usia empat tahun. Ini adalah tanggungjawab ibubapa, barulah boleh dilebarkan lagi kepada pihak sekolah yang biasanya mengendalikan kelas Kafa.

Inilah dia yang dinamakan awalan didikan Islam, mendidik anak-anak mengenal huruf-huruf al-Quran sebelum mereka mampu membacanya dengan fasih. Apatah lagi jika mampu merencanakan hidup mereka sehingga menjadi al-Hafiz suatu masa nanti, sangat besar ertinya kepada ibubapa yang menggalas tanggungjawab dalam melahirkan sebuah generasi yang berpaksikan al-Quran.

Usia awalan ini sangatlah sesuai diperkenalkan al-Quran kepada anak-anak kerana minda mereka masih ‘kosong’. Lidah mereka juga masih ‘lembut’ untuk menyebut ayat-ayat al-Quran, cepat menerima apa yang diajarkan dan boleh membetulkan kesilapan dengan mudah, malah boleh mengingatinya dalam masa yang singkat.

Apa yang saya perhatikan juga, anak-anak yang mudah membaca Iqra’ pada usia awalan akan mudahlah juga membaca bahan bacaan yang lain. Jika begitu, sebenarnya ayat-ayat al-Quran menambahkan lagi kecerdasan otak. Bijak al-Quran, bijaklah akademiknya.

Masalah yang sering berlaku apabila ibubapa sendiri yang meminggirkan al-Quran didalam kehidupan mereka. Jangan biarkan keadaan ini berlarutan. Jika ibubapa tidak tahu membaca al-Quran, jangan sesekali memangsakan anak-anak dengan kedhaifan ilmu mereka.

Ibubapa tetap berperanan untuk mencari kelas-kelas mengaji al-Quran buat anak-anak mereka, dan tentunya lebih bermakna sekiranya ibubapa juga turut mencari peluang buat diri mereka sendiri memulakan langkah pertama dalam mendalami ilmu al-Quran. Walaupun sudah berusia matang, masih belum terlambat jika ibubapa turut menanam azam untuk sama-sama belajar al-Quran. Dengan izin Allah, usaha yang baik akan membuahkan kecemerlangnan.

Akhirnya, marilah kita berterusan membaca al-Quran tanpa penghujungnya walaupun kita telah berkali-kali mengkhataminya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini, semoga dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran mampu untuk melembutkan jiwa-jiwa kita semua dalam menerima hidayah berterusan daripada Allah s.w.t.. Demi untuk kebaikan kehidupan kita di dunia dan kesejahteraan di akhirat nanti. InsyaAllah!

p/s: kepada sahabat yang berminat nak terjemahkan tulisan jawi TG ni, saya nak bagi hadiah…boleh? saya serius ni…tempoh 24jam je…untuk seorang sahaja! pastikan cepat dan tepat!

1.08pm

Hari Sukan

Salam Ukhuwah…

Jumaat lalu, saya sekeluarga telah menghadiri Hari Sukan anjuran sekolah salah seorang anakanda. Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat menepati janji untuk bersama-sama memeriahkan program tersebut. Saya sendiri kalau boleh tidak mahu gagal dalam menghadiri mana-mana acara istimewa bagi anak-anak, biar mereka rasa dihargai dengan setiap apa yang dilakukannya.

Kami tiba di Kompleks Sukan USM, Kubang Kerian seawal 8.30 pagi. Kelihatan sudah ramai ibubapa dan ahli keluarga murid-murid memenuhi dewan. Kelihatan semuanya sungguh bersemangat untuk menjayakan aktiviti pada hari tersebut.

Aktiviti yang dilakukan di dalam dewan tertutup, turut membantu untuk memberi lebih keselesaan kepada semua yang hadir. Tiada panas terik, sekadar rengekan anak-anak kecil yang kebosanan.

Lebih kurang jam 9.00 pagi, acara sukan dimulakan. Anak-anak kecil seawal usia 3 tahun sehinggalah 6 tahun galak benar bersukan. Alhamdulillah, semuanya kelihatan mampu bersukan dengan baik sehinggalah ke waktu penamat.

Aktiviti sebegini memang menyeronokkan. Penghargaan harus diberikan kepada pihak sekolah yang menyediakan pelbagai acara sukan untuk dipertontonkan. Saya lihat anakanda juga bersemangat ketika menjayakannya. Tidak macam saya dulu-dulu, agak lembab dalam bab bersukan ni…

Saya sendiri sangat menggalakan anak-anak menyertai mana-mana acara sukan. Mudah-mudahan dengan bersukan mereka akan menjadi lebih cergas dan cerdas. Biarlah kehidupan mereka seimbang antara aktiviti luar dengan aktiviti dalam rumah. Benarkan mereka bersosial bersesuaian dengan umur mereka, tentunya dalam kawalan ibubapa. Biarkan mereka bebas mengeksploitasi kebolehan diri dengan sebaiknya.

Jangan kerana ibubapa mahukan kecemerlangan akademik, sehinggakan anak-anak terpaksa menghadap buku saja. Ataupun kerana takutkan gejala sosial yang buruk melanda anak-anak, mereka hanya dibenarkan ‘bersosial’ dengan tv, laptop, PSP, gameboy, dan apa saja yang seangkatan dengan budaya ‘merobotkan’ anak-anak dengan aktiviti melangut sedemikian. Aktiviti sebegini tidak akan mampu melahirkan anak-anak yang matang pada masa hadapan.

Hadiah

Akhirnya, semua anak-anak disediakan hadiah sama rata, maknanya tiada pemenang. Bersukan untuk seronok-seronok sahaja, bertujuan melahirkan semangat kesukanan dikalangan anak-anak. Elok juga begitu bagi anak-anak kecil, tiadalah nanti yang menangis kerana tidak mendapat apa-apa hadiah, mahupun hadiah mereka tidak sama dengan kawan-kawan yang lain. Maka, setiap seorang dihadiahkan goodies dan beg ala-ala green bag.

Selesai semuanya, saya membawa anak-anak ke Pizza Hut berhampiran. Perut masing-masing sudah mahu diisi. Ini merupakan aktiviti makan luar yang terakhir bagi kami sekeluarga sebelum hadirnya Ramadhan. Selepas ini tentunya aktiviti berbuka puasa pula, bukan di luar tetapi di rumah. Tidak sabar juga menanti siapa pula ‘orang baru’ yang berjaya berpuasa penuh pada kali ini!

2.51pm

* Terima kasih kepada seorang sahabat yang sudi menegur saya; ‘Serisuri ke?’ 🙂