• Kalendar Hijrah

  • Kalendar

    August 2011
    S M T W T F S
    « Jul   Sep »
     123456
    78910111213
    14151617181920
    21222324252627
    28293031  

Manis

Salam Ukhuwah…

Bukan manis pada juadah berbuka mahupun bersahur, tetapi manis pada sebuah memori.

Alhamdulillah, malam 1 Ramadhan yang lalu menambahkan kemanisannya buat saya apabila anakanda kedua selamat menamatkan Iqra’nya. Melangkah setapak lagi, diusia lapan tahun dia mula membaca al-Quran yang saya mulakan dengan surah-surah Muqaddam, bermula dengan Juzu’ ke-30. Saya mahu dia mengaji surah-surah pendek terlebih dahulu, mudah-mudahan akan lebih mudah untuk dihafal dan dibaca di dalam solat nanti.

Pengalaman sebegini tentunya sangat bermakna bagi ibubapa, apatah lagi kepada saya yang bergelar surirumah. Apabila memutuskan untuk berhenti kerja suatu ketika dahulu, tentunya saya mahu lakukan yang terbaik buat anak-anak. Saya mahu dekat dengan mereka, walaupun seringkalinya menguji kesabaran dalam melayani karenah anak-anak ini. Namun ia lebih mematangkan kehidupan seseorang yang bergelar ibu.

Saya tahu usia lapan tahun agak lambat bagi sesetengah ibubapa, tetapi tetap juga mahu berbangga kerana ia lebih awal daripada si kakak sulong yang mula melangkah kepada al-Quran pada usia 10 tahun. Saya sendiri yang mengajar mereka seawal mengenal huruf alif, dengan sebutan ‘a’ dan selanjutnya sehinggalah tamat sirinya.

Selesai Iqra’ – mahupun menggunakan pelbagai kaedah lain – insyaAllah anak-anak telahpun dapat membaca al-Quran dengan agak baik dan lebih lancar. Mudah-mudahan semua anak-anak saya akan khatam al-Quran sebelum ke sekolah menengah nanti.

Saya sendiri tidak menggunakan pendekatan Iqra’ sahaja kepada semua anak, tetapi juga menggunakan kaedah Qiraati kepada anak-anak yang lain. Si sulong yang menggunapakai siri Qiraati kini sudah berada pada Juzu’ empat, dan bolehlah dikatakan saya sudah berpuas hati dengan kelancarannya.

Mengajar

Mengajar al-Quran juga janganlah sekadar membaca sahaja, tetapi perlu dipastikan sebutan dan tajwidnya yang betul. Saya sendiri memperuntukkan masa sekali sehari untuk mengajar anak-anak mengaji, iaitu selepas solat Maghrib. Jika hari cuti saya jadikannya dua kali sehari, selepas solat Subuh dan Maghrib.

Biasanya saya mengajar al-Quran kepada anak-anak dalam tempoh 15 hingga 30 minit setiap seorang, bergantung kepada kefasihan mereka. 15-30 minit membaca al-Quran pada setiap hari bukanlah lama. Lebih lama minitnya kalau kita menghadap tv mahupun melakukan aktiviti lain.

Pencapaian anak-anak adalah berbeza-beza, maka disinilah peranan ibubapa untuk lebih memahami bagaimana cara untuk memudahkan pembacaan mereka ke tahap yang lebih baik pada setiap masa.

Adalah lebih baik sekiranya diwaktu senggang lainpun, kita sentiasa menyebut-nyebut bunyi mahupun membaca pendek ayat-ayat al-Quran, supaya setiap masa anak-anak dapat mendengar petikan al-Quran ini.

Rutin ini perlulah berdisiplin dan istiqamah, tentunya ibubapa terlebih dahulu perlu menjaga disiplin ini. Jangan jadi chipsmore – sekejap ada, sekejap tak ada – kesian kepada anak-anak yang mula meneroka satu ilmu baru didalam kehidupan mereka. Maka, ibubapa perlu lakukannya secara berterusan, mudah-mudahan anak akan ringan tulang untuk berterusan mengaji apabila tiba masanya.

Belajar al-Quran perlulah ada disiplin yang tinggi, istiqamah pada ketetapan waktunya dan bersabar dalam pembelajarannya. Saya sendiri mengaku agak kurang sabar dalam mengajar anak-anak mengaji. Hanya doa menjadi penyambung urusan semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam mengajar anak-anak mengenali al-Quran dengan lebih sempurna.

Seawal Usia

Anak-anak sangat perlu diajar mengenal al-Quran seawal usia mereka, selewat usia empat tahun. Ini adalah tanggungjawab ibubapa, barulah boleh dilebarkan lagi kepada pihak sekolah yang biasanya mengendalikan kelas Kafa.

Inilah dia yang dinamakan awalan didikan Islam, mendidik anak-anak mengenal huruf-huruf al-Quran sebelum mereka mampu membacanya dengan fasih. Apatah lagi jika mampu merencanakan hidup mereka sehingga menjadi al-Hafiz suatu masa nanti, sangat besar ertinya kepada ibubapa yang menggalas tanggungjawab dalam melahirkan sebuah generasi yang berpaksikan al-Quran.

Usia awalan ini sangatlah sesuai diperkenalkan al-Quran kepada anak-anak kerana minda mereka masih ‘kosong’. Lidah mereka juga masih ‘lembut’ untuk menyebut ayat-ayat al-Quran, cepat menerima apa yang diajarkan dan boleh membetulkan kesilapan dengan mudah, malah boleh mengingatinya dalam masa yang singkat.

Apa yang saya perhatikan juga, anak-anak yang mudah membaca Iqra’ pada usia awalan akan mudahlah juga membaca bahan bacaan yang lain. Jika begitu, sebenarnya ayat-ayat al-Quran menambahkan lagi kecerdasan otak. Bijak al-Quran, bijaklah akademiknya.

Masalah yang sering berlaku apabila ibubapa sendiri yang meminggirkan al-Quran didalam kehidupan mereka. Jangan biarkan keadaan ini berlarutan. Jika ibubapa tidak tahu membaca al-Quran, jangan sesekali memangsakan anak-anak dengan kedhaifan ilmu mereka.

Ibubapa tetap berperanan untuk mencari kelas-kelas mengaji al-Quran buat anak-anak mereka, dan tentunya lebih bermakna sekiranya ibubapa juga turut mencari peluang buat diri mereka sendiri memulakan langkah pertama dalam mendalami ilmu al-Quran. Walaupun sudah berusia matang, masih belum terlambat jika ibubapa turut menanam azam untuk sama-sama belajar al-Quran. Dengan izin Allah, usaha yang baik akan membuahkan kecemerlangnan.

Akhirnya, marilah kita berterusan membaca al-Quran tanpa penghujungnya walaupun kita telah berkali-kali mengkhataminya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini, semoga dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran mampu untuk melembutkan jiwa-jiwa kita semua dalam menerima hidayah berterusan daripada Allah s.w.t.. Demi untuk kebaikan kehidupan kita di dunia dan kesejahteraan di akhirat nanti. InsyaAllah!

p/s: kepada sahabat yang berminat nak terjemahkan tulisan jawi TG ni, saya nak bagi hadiah…boleh? saya serius ni…tempoh 24jam je…untuk seorang sahaja! pastikan cepat dan tepat!

1.08pm

2 Responses

  1. Kepada Muhammad Nur Alif Aiman

    Rabbana Hablana Min Azwajina Wa Zurriyatina Qurratia’yun Wa hablana Lil muttaqi na imama

    Doa Nabi Allah Ibrahim Alaihis Salam, sejak puluh ribu tahun dahulu semasa meletak batu asas kaabah, baitullah al haram di Mekah Al haram. Supaya suami isteri, anak cucu dan zuriat menjadi buah hati dan memimpin golongan al muttaqin.

    Allah humma amin

    • Terima kasih kerana sudi untuk menterjemahkan tulisan jawi TG di atas.

      Sedikit pembetulan:

      ~ kepada cucuanda Alif Aiman
      ~ Rabbana Hablana Min Azwajina Wa Zurriyyatina Qurrata A’yun Waj’alna lilmuttaqina Imama

      Lain2, Alhamdulillah semuanya tepat.
      Akan saya tunaikan janji saya, insyaAllah.
      Selanjutnya akan saya emelkan kepada saudara tawaran yang telahpun dipersetujui kami suami isteri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: